Rabu, 22 Oktober 2014

CERITA CINTA AHMAD AMMAR - Grup Penjejak Tamadun Dunia



Biarpun telah membeli buku ini beberapa bulan yang lalu, namun hanya beberapa hari ini sahajalah hamba berkesempatan membacanya sehingga khatam. Hamba yakin bahawa hamba seperti ramai orang lain yang tidak mengenali tokoh yang disebut di dalam buku ini. Tidak mengenalinya semasa beliau hidup dan hanya kenal selepas beliau tiada lagi di dunia ini. Nama beliau mula menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan kematian beliau mempunyai tanda-tanda seorang yang mati syahid serta diberikan kemuliaan untuk dikebumikan di permakaman Eyyub Sultan yang juga menempatkan makam sabahabat Nabi, Abu Ayyub Al Ansari.

Buku ini mengandungi sejumlah catatan yang ditulis khas bagi memperingati almarhum. Penerbit cukup bijak apabila meletakkan tulisan ibu Ammar iaitu Puan Nur Azlina Abdul Aziz sebagai pembuka kerana hamba merasakan tulisan beliau telah mencakupi kesemua perkara secara ringkas mengenai diri almarhum. Tulisannya juga memperlihatkan bahawa beliau seorang penulis yang baik memandangkan segalanya cukup tersusun tanpa menimbulkan kebosanan kepada pembaca. Selanjutnya ia diikuti oleh tulisan bapa, ahli keluarga serta sahabat dan orang yang pernah rapat dengan beliau.

Pastinya ramai yang telah membaca buku ini bersetuju bahawa walaupun almarhum kembali kepada Allah dalam usia yang terlalu muda, terlalu banyak perkara kebaikan yang telah dilakukannya sehinggakan hamba merasa malu dengan diri sendiri kerana merasakan banyak lompong yang telah hamba tinggalkan. Dididik dalam sebuah keluarga haraki, ia diperteguhkan lagi dengan laluan pendidikan serta pengalaman yang beliau tempuhi. Rata-rata penulis memuji akhlak, kesungguhan menuntut ilmu, kematangan dan pelbagai lagi perkara positif yang ditonjolkan almarhum. Mengambil pengajian yang jarang menjadi pilihan, di institusi yang tidak diiktiraf JPA, di negara yang mempunyai bahasa yang berlainan, ini semua menunjukkan penyerahan secara bulat kepada Allah dengan niat untuk mencari ilmu bagi tujuan dakwah bukan memikirkan apa karier atau pekerjaan yang akan dijalankan di masa hadapan. Sesungguhnya almarhum telah disediakan oleh keluarga beliau bagi menjadi seorang pendakwah yang hebat, dan ternyata ia benar kerana buku ini hamba rasakan seolah dakwah beliau setelah kematian.

Membaca kesemua tulisan, pembaca tidak akan dapat lari daripada menemui beberapa perkara yang sama disebut beberapa orang penulis, yang hamba lihat seakan satu seruan kepada orang lain untuk mencari serta menyelidik perkara berkenaan. Antaranya ialah Risalah Nur, Hayrat Vakfi, Said Badiuzzman Nursi, Osmanlica, GPTD dan lain-lain lagi. Harus hamba akui bahawa hamba sendiri tidak mengetahui banyak mengenai sejarah Khilafah Uthmaniah. Dalam pengajian di sekolah atau universiti dahulupun tidak banyak yang disentuh. Untuk mengetahui sejarah Khilafah ini harus menggalinya sendiri daripada sumber asli Turki yang kebanyakannya ditulis dalam tulisan jawi Osmanlica. Justeru kehadiran almarhum untuk mempelajari perkara ini sebenarnya bagi memudahkan orang seperti kita untuk menelusuri sejarah kegemilangan agama kita sendiri.

Dalam banyak-banyak tulisan ini hanya tulisan bertajuk 'Kehilangan Ammar Umpama Perginya Sebutir Permata Pemuda Islam' oleh Mohd Azli Mohd Ali yang hamba rasakan tidak begitu umphh. Ini kerana tulisan beliau banyak mengungkapkan kembali kata-kata Ustaz Hasrizal Jamil di dalam blognya. Dan kata-kata yang sama juga kita boleh baca di dalam tulisan Ustaz Hasrizal yang turut menyumbang di dalam buku ini. Ustaz Hasrizal juga turut menukilkan hal ini di dalam bukunya Menalar Makna Diri, Kembara Menjejak Imam Birgivi. Jadi hamba merasakan seolah penulis kehilangan seluruh kreativitinya kerana hanya menaqalkan kata-kata orang lain yang bagi hamba amat mudah  sekali pekerjaannya. Ia juga menjadi tidak asli berbanding penulis lain yang mempunyai kisah tersendiri yang boleh disampaikan.

Harapan hamba akan timbul lagi barisan pemuda berwawasan dan berpandangan jauh seperti Ahmad Ammar. Buku ini sewajarnya menjadi bacaan para pemuda pemudi Islam sebagai pencetus semangat untuk melindungi agama. Juga bacaan terbaik untuk ibu bapa yang boleh mencontohi serba sedikit pengalaman ayahanda dan bonda almarhum Ammar di dalam mendidik beliau.


RINDU AWAK 200% - Liyana Zahim


Buku ini kalau hamba tak ceritapun tentunya ramai yang dah tahu, terutamanya anak-anak gadis remaja juga remaja purba, sama ada seorang kaki novel ataupun hantu penunggu siaran drama bersiri tiap-tiap petang di tv itu. Novel ini menjadi tambah popular apabila dibikin dalam bentuk drama hingga sibuklah makcik-makcik nak pulang awal dari pejabat kerana tidak mahu ketinggalan menontonnya. Siri drama waktu petang di tv ini hamba tahu memang ramai peminatnya. Sayangnya waktu siaran itu akan bertembung dengan waktu Maghrib, maka betapakah halnya apabila ibadat itu terganggu, sanggup tunggu untuk solat di akhir waktu (Maghrib gajah??) kerana mahu menonton hingga ke penghujung. Bukan drama ini sahaja bahkan tidak sepatutnya stesen tv menyiarkan mana-mana siaran yang akan melekakan penonton Muslim pada waktu-waktu kritikal ini. Seingat hamba di tahun-tahun 80an dulu pada waktu-waktu begini stesen tv akan menyiarkan drama bukan Melayu macam 4 Sekawan, Man In The Net dan pelbagai lagi.

Pengalaman membaca novel tidak sama dengan menonton dramanya. Membaca novel kita akan dapat menyelami sesuatu watak dengan lebih mendalam lagi kerana melalui penulisan pembaca akan dapat mengetahui isi hati watak-watak tersebut. Berbanding drama tv, kita hanya akan nampak lakonan yang zahir dan para pelakon terpaksa berusaha keras untuk menghidupkan watak seterusnya membuatkan penonton faham apa yang ingin disampaikan. Membaca novel cukup hanya membayangkan di kepala apa yang dilakukan oleh sesebuah watak, manakala pelakon tv kadang-kadang terpaksa melakukan dosa apabila melakonkan sesebuah adegan. Yalah, kalau dah bersentuhan bukan mahram itukan berdosa. (Nanti ada pulak manusia yang komen hamba, kalau macam tu macam mana orang nak berlakon - takkan watak suami isteri/adik beradik tak boleh bersentuh - tak hiduplah lakonan kalau jauh-jauh....Well, larangan ini bukan hamba yang buat. Kalau orang mengaji dia tahu dari mana punca hukumnya dan hamba cuma mengulangnya sahaja).

Tidak semua lakonan drama novel ini mengikuti 100% tulisan asalnya. Bahkan drama tv ada membuat sedikit penambahbaikan. Misalnya watak Irene di dalam novel lebih ditonjolkan selepas Armel mula berubah dan berbaik dengan suaminya Faezrul. Pada pandangan hamba penyelesaian secara baik hubungan mereka berdua itu boleh dianggap sebagai klimaks novel ini. Justeru kemunculan Irene untuk menggoda Faezrul hamba lihat tidak begitu kuat cabarannya berbanding apabila kedua-dua watak utama sedang berkrisis. Mungkin orang drama telah nampak perkara ini lalu menonjolkan watak Irene seiring dengan perjalanan kedua-dua watak utama. Oleh yang demikian para penonton masih dapat merasakan ada lagi perkara yang belum selesai sedangkan di dalam novel mood pembacaan hamba telahpun menurun setelah krisis rumah tangga mereka selesai.

Apabila menonton drama novel ini, hamba agak kerisauan kerana takut watak heroin akan mengajar wanita untuk menjadi isteri derhaka. Ini kerana apa yang dilihat melalui visual akan lekas berbekas di hati. Mungkin ada yang berkata bahawa penonton kita adalah bijak dan dapat memikirkan mana yang baik dan yang buruk. Hamba tidak merasa sedemikian. Yang bijak tidak ramai dan biasanya yang bijak pandai ini pula tidak ada masa untuk menonton tv. Jadi kelompok kecil yang tidak bijak inilah yang hamba risau akan meneladani atau meniru perlakuan watak tersebut apabila rumah tangga mereka sendiri berantakan. Berbanding novel, para pembaca masih dapat berfikir lagi secara waras tambahan pula otak mereka terpaksa memproses semula maklumat menjadi visual di dalam kepala. Mungkin membaca kenyataan hamba ini pelakon akan berbangga kerana watak mereka ternyata berkesan. Hamba tak tahu, kerana hamba takut apa yang berkesan dari segi negatif itu nanti yang akan menjadi ikutan.

Mungkin menjadi trend penulis novel sebegini yang memilih nama watak mereka dengan nama yang kedengaran agak ranggi dan fancy walaupun nama itu tidak ada rupa bunyi Melayu serta tiada makna lansung dalam bahasa Arab. Melayu mana yang namanya Armel, Esyana, Daria, Ezril dan entah apa lagi. Nama Zill mungkin ada makna dalam bahasa Arab yang membawa maksud bayang-bayang. Eh come on lah, orang Arab pun tak namakan anak mereka dengan perkataan bayang-bayang. Masalah segelintir orang kita, janji sebutan sedap di mulut dah boleh jadi nama. Bila baca Al-Quran terjumpa perkataan yang bunyinya sedap lantas dibuat nama anak tanpa merujuk kepada orang yang lebih tahu, sedangkan perkataan yang dipilih itu membawa makna yang buruk. Contohnya hamba pernah terjumpa orang yang nama mereka Hamir (keldai-keldai) dan Zaniah (perempuan zina). Teringat hamba beberapa tahun lalu melalui slot drama petang inilah ada satu watak hero yang bernama Firash. Entahlah, hamba dok di Maghribi dulu firash ni maknanya tilam. Best kut kalau orang panggil kita tilam!!


Selasa, 7 Oktober 2014

MENJELANG PEMBENTANGAN BAJET 2015



Masa balik kampung raya Haji haritu ayah hamba ada beritahu yang Jumaat minggu ni ada pembentangan bajet. Hamba ingatkan ayah hamba silap tarikh sebab bajet biasanya dibentangkan pada penghujung Oktober, nampaknya hamba sendiri yang silap. Pernah juga hamba pergi ke Parlimen mendengar pembentangan bajet dulu. Orang ramai, nak parking payah, jadi kalau nak pergi mutakhir ni hamba rasa berat sikit. Eloklah hamba dengar di radio sahaja sambil kunyak keropok.

Sejak PM sekarang ini mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau memberi peluang kepada rakyat untuk meluahkan pandangan serta cadangan yang boleh beliau teliti untuk tujuan penyediaan bajet ini. Sebagai rakyat hamba nampak itu satu perkara yang baik. Namun tidaklah hamba tahu berapa persenkah daripada semua pandangan yang dikemukakan itu akan diambilkira. Adakah PM sendiri yang membacanya secara lansung ataupun ia hanya dibaca oleh pegawai beliau. Andainya pegawai beliau yang membaca kesemuanya, maka hamba percaya banyak yang akan ditapis terlebih dahulu sebelum sampai ke tangan PM.

Hamba tidak mengharap apa-apa daripada bajet ini sebab dalam banyak hal hamba tidak begitu merasakan banyak kebaikan kepada hamba. Kehidupan tidak juga makin senang, perbelanjaan dapur semakin bertambah, barang semakin mahal, cukai yang tinggi tidak juga berkurang, duit mengalir umpama air - laju dan tiris. Beberapa hari yang lalupun petrol baru sahaja naik harga. Pada hari berkenaan hamba dalam perjalanan pulang dari Ipoh. Hamba memang berhenti untuk mengisi tangki yang semakin kering. Sememangnya kereta di stesen minyak agak banyak dan pembeli terpaksa beratur. Namun ketika itu hamba pun belum tahu bahawa harga petrol akan naik pada keesokannya. Jadi hamba isi seperti biasalah dan tidak sampai kepada had penuh. Rugi jugalah hamba kiranya kerana tidak membuat pengisian penuh. Hamba pun hairan dengan pihak kementerian, kenapa perlu tunggu (embargo) sehingga petang baru nak dibuat pengumuman. Salah apa kiranya diumumkan pada waktu pagi agar rakyat tidak kelam kabut beratur. Ustaz nak bagi ceramah di suraupun terbantut kerana nak isi minyak penuh dahulu.

Walaupun dikhabarkan bahawa harga petrol tidak dinaikkan, cuma subsidi sahaja yang dikurangkan, bagi rakyat harga petrol tetap naik. Rakyat tidak peduli dengan istilah atau bahasa yang disusun semula itu, yang pasti duit tetap dikeluarkan lebih daripada biasa. Tambah menyakitkan apabila kenaikan tersebut berlaku beberapa hari sahaja lagi menjelang Aidil Adha. Kalau hamba mengatakan pihak berkenaan tidak cerdik tentunya mereka akan marah, tapi hakikatnya begitulah. Boleh sahaja dilajakkan tarikhnya selepas sambutan raya, tetapi entahlah hamba tidak tahu muslihat disebaliknya. Yang pastinya rakyat berduka dan tauke petrol bergumbira. 

Hamba tidak tahu apa lagi perbelanjaan yang hamba perlu potong. Dari mula-mula masuk kerja dulupun hamba sudah sedia membawa bekal makanan dan minuman ke pejabat. Selalu juga tak makan tengahari kerana nak berjimat. Kereta pun pakai yang cc kecil - kenapa tak naik bas? Oh hamba boleh naik bas dan berkemungkinan hamba akan mengambil masa sehingga 3 jam menaiki pengangkutan awam tersebut dan sampai ke pejabat jam 10 pagi. Nak buat macam mana, hamba bukannya dibekalkan dengan kenderaan jabatan yang minyaknya juga ditanggung sepenuhnya. Hamba bawa kenderaan sendiripun selain hendak sampai ke pejabat sebelum waktunya, ia juga kenderaan anak-anak hamba ke sekolah. Itu juga penjimatan sebab 3 orang kalau naik van sekolah lagi banyak yang hamba kena keluarkan. Abih camno....

Bila hamba buka almari melihat pakaian yang digunakan ke pejabat, hamba tersedar bahawa pakaian hamba itu lama-lama belaka. Yang dah lebih 10 tahun pun ada. Walaupun lusuh hamba pakai juga hingga pernah hamba ditegur boss lama kerana baju yang lusuh. Kedekut sangatkah hamba, ya mungkin, hamba kedekut agar keluarga hamba ada lebihan untuk dibelanjakan. Tak apalah, ramai lagi orang yang pakaiannya lebih buruk daripada apa yang hamba miliki bahkan ada yang tidak berpakaian. Hamba masih bersyukur atas nikmat yang Allah beri.

Oklah dah tengahari rupanya. Saja nak maklum tengahari ni pun hamba tak beli nasi, hamba makan baki kuih raya puasa yang dua bulan lepas punya yang serdaknya ada sedikit lagi. Nak buat macam mana, anda naikkan harga bahananya kami yang rasa...


Sabtu, 4 Oktober 2014

DUNIA KEDUA - Mishar


Pertamanya hamba kena maklumkan pada kawan-kawan hamba bahawa ini bukan novel tulisan hamba. Hanya nama penulisnya sahaja yang dekat dengan nama hamba, cuma berbeza pada huruf 'S' sahaja. Lagipun nama ini bukan 'original' tetapi kependekan daripada Mior Shahriman Mior Hassan seorang penulis otai yang karyanya banyak tersiar melalui penerbitan oleh Creative Enterprise, terutamanya majalah Gila-gila.

Hamba tidak tahu sama ada hamba menyukai novel ini atau tidak. Pada permulaan hingga ke petengahan hamba mengikutinya dengan baik sekali. tetapi semakin sampai ke penghujung entah mengapa hamba semakin menyampah dengan ceritanya.

Kisah berlegar pada seorang gadis bernama Syuhada. Suami yang baru sahaja menikahinya pulang ke Kuala Lumpur untuk mengambil baju persandingan. Walau bagaimanapun semasa hari persandingan batang tubuh suaminya tak kunjung tiba walaupun jam telah menjangkau 2 petang. Akhirnya kelibat beliau muncul seorang diri berjalan kaki masuk ke kawasan rumah sambil menjinjing beg. Tidak kelihatan sebarang kenderaan yang membawa beliau.

Tamat majlis pada petang berkenaan, Ikram, suami Syuhada berkeras ingin membawanya berbulan madu pada petang itu juga sekaligus mengguris perasaan kedua orang tua mereka. Kedua mereka akhirnya bertolak menaiki sebuah teksi. Ketika inilah pembaca seolah telah di bawa ke alam lain dan bukan lagi dunia realiti. Sementara itu keadaan dirumah pengantin gempar apabila mendapati gambar perkahwinan yang sudah siap dicuci (maaf, ini novel 90an, kamera digital masih belum lahir ke dunia lagi) hanya kelihatan pengantin perempuan sahaja di dalamnya tanpa sebarang kelibat pengantin lelaki. Tambah mengejutkan apabila didapati bahawa pengantin lelaki telahpun maut dalam kemalangan sewaktu pulang ke Kuala Lumpur.

Jadia siapakah lelaki yang bersanding dengan Syuhada. Inilah yang terasa sekali kartunnya apabila lelaki berkenaan dapat dilihat oleh orang lain, siap boleh bersanding lagi (mungkin juga ada adegan makan nasi minyak bersama, kenyang hatu itu). Perjalanan dengan teksi, seperti yang disebutkan tadi, telahpun berada di alam lain apabila Syuhada sendiri merasa asing dengan tempat-tempat yang dibawa oleh Ikram. Selain itu mereka yang dikenali di alam lagi satu ini begitu berbeza sekali karakter mereka seperti yang dikenali. Jika di dunia realiti Syuhada mempunyai seorang kakak yang terencat akal, namun di situ beliau cukup sempurna. Kisah ini berjalan dengan panjang sehinggalah Syuhada akhirnya dijumpai di dalam hutan bersama kakaknya itu. Alangkah kartunnya apabila Syuhada yang orang ramai melihatnya meninggalkan rumah dengan teksi akhirnya ditemui tidak jauh dari situ.

Selepas episod ini bermulalah perjalanan cerita yang menyesakkan jiwa hamba membacanya. Syuhada terhumban lagi ke alam kedua. Kali ini lebih aneh lagi - terhumban ke sebuah pulau, menjadi lelaki, berlawan dengan ketam raksasa bernama yo-yo dengan kuasa sakti  dari sebentuk cincin, berkawin dengan Ratu Buruk yang mempunyai wajah yang lawa tetapi tidak berbaju dan lain-lain lagi. Jika pada kemasukan kali pertama ke alam lain Syuhada masih mempunyai kaitan dengan beberapa watak yang dikenali di alam realiti tetapi episod di pulau ini tidak lansung walaupun ada dua orang yang dikenalinya menjadi pengawal kepada Ratu Buruk. Ini kerana kedua watak itu lansung tidak memberikan impak kepada cerita.

Memandangkan ini tulisan tahun 90an, penulis turut mengambil kesempatan mempersendakan kerjasama PAS dan Semangat 46 pada era itu dengan menampilkan watak pemimpin Parti Agama Sejagat Semenanjung (PASS) dan pemimpin Semangat 69!! Hamba tidak mahu memperincikan hal ini kerana bagi hamba ia adalah suatu satira yang memualkan.

Novel ini tidak berakhir dengan happy ending buat Syuhada sebaliknya Haryati pula menjadi siuman sehingga boleh pula merawat orang selepas sembuh. Syuhada berakhir nasibnya sama seperti keadaan Haryati dahulu. Walaupun ini novel fantasi, namun fantasinya nampak mengarut dan tidak berapa meyakinkan batu jemala hamba untuk menerimanya.

KONSPIRASI - Abdul Rahim Awang



Barangkali Abdul Rahim Awang merupakan penulis/novelis thriller no.1 Tanah Melayu sebelum kemunculan Ramlee Awang Murshid.(Gelaran novelis no.1 yang selalu tertulis di kulit buku Ramlee itu tidaklah hamba tahu siapa yang memberikannya. Tiada pertandingan antara penulis thriller rasanya. Ramlee cuma beruntung kerana penulis lain tidak aktif seperti beliau yang begitu giat melahirkan karya saban tahun, terutamanya semenjak menjadikan kerja penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa). Novel tahun 90an ini cukup hamba minati sewaktu di zaman persekolahan dahulu dan hamba ulang baca beberapa hari yang lalu.

Seorang wartawan bernama Harun telah dibebaskan dari penjara. Kebebasan itu bagaikan tidak bererti apabila beliau sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Peluang bekerja semula dalam bidang penulisan seolah-olah tertutup apabila tiada siapa yang berminat mengambilnya bekerja. Walaupun beliau berada dalam keadaan emosi yang terganggu, Harun mendapat sokongan penuh isterinya Nina yang hamba lihat amat bersabar semenjak Harun dipenjarakan sehinggalah Harun mendapat kesusahan.

Kehidupannya yang tidak tentu arah ketika itu digunakan sepenuhnya oleh Datin Fadila Kang, isteri kepada Datuk Saiful Kang yang merancang satu penculikan bagi mendapatkan harta tebusan. Mangsa yang akan diculik adalah anak tiri beliau, Linda yang turut sama bersubahat dalam perkara ini. Penculikan yang dirancang dengan baik itu, menemui pelbagai cabaran di dalam perjalanannya bahkan lebih buruk lagi apabila Linda ditemui mati dibunuh.

Maka bermulalah episod mendebarkan dalam hidup Harun. Sudahlah Linda mati, duit tebusan yang ditinggalkan dalam sebuah beg juga rupanya hanya mengandungi gumpalan akhbar. Harun dalam keadaan terdesak untuk menghapuskan mayat Linda memandangkan bukti kematian hanya akan memerangkap beliau. Kebetulan ketika itu Harun telahpun mendapat peluang bekerja di Majalah Detektif Romantika, sebuah majalah yang memaparkan kisah kepolisian - hasil bantuan sahabat polisnya yang bernama Musa. Harun dilibatkan dalam usaha polis mengesan pembunuh Linda. Tenaga beliau diperlukan bagi menulis laporan terutamanya untuk siaran media massa. Peluang itu diambil oleh Harun untuk mengetahui setiap aktiviti polis, membolehkan beliau dapat mengelak daripada terjebak dalam cerita pembunuhan tersebut dan dalam masa yang sama cuba mengesan pembunuh yang sebenar.

Cerita ini cukup mendebarkan tetapi penamatnya terasa amat pantas sebaik sahaja Musa mengetahui bahawa Harun terlibat sama di dalam kes ini. Walaupun permainan Abdul Rahim Awang tidak seperti penulis novel thriller pada masa ini, namun beliau adalah penulis genre ini yang hebat pada zamannya. Tidaklah hamba tahu di mana dan apa aktiviti beliau sekarang, namun sekiranya beliau masih lagi sihat walafiat, hamba mengharapkan beliau dapat melahirkan buah tangan yang terbaru.





PRIMADONA - Abdul Talib Hassan



Penceritaan bermula dengan kisah seorang lelaki bernama Salman yang berburu seorang diri di sebuah hutan. Keberanian berburu seorang diri ini mungkin disebabkan pengetahuan serta pengalaman yang dimilikinya. Namun kerana terlanggar pantang sewaktu memburu kijang akhirnya beliau tidak berjumpa jalan pulang.

Pencarian jalan pulang akhirnya menemukan beliau dengan satu tempat yang kelihatan asing di dalam hutan, seolah-olah berjaga. Selepas itu beliau bertemu beberapa orang yang pernah dikenalinya semasa beliau kanak-kanak dahulu seperti Murad, Bongkok, Mameng dan Ratna Sari ayu a.k.a. Primadona. Anehnya wajah mereka masih sama seperti zaman kanak-kanak Salman dahulu seolah tidak dimakan usia.

Namun pada hakikatnya di dunia realiti, Salman telahpun hilang. Beliau tidak dapat dikesan serta tidak diketahui dimana keberadaannya. Salman sebenarnya seorang yang mempunyai nama di kalangan masyarakat. Tetapi sepanjang kehilangannya itu satu persatu kejahatan serta keburukan yang pernah dilakukan oleh beliau terbongkar sehingga nama beliau tidak lagi disanjung masyarakat.

Akhirnya beliau ditemui setelah tiga tahun berlalu, sedangkan Salman di alam khayalnya hanya merasakan masa baru berjalan 10 hari sahaja. Beliau ditemui dalam keadaan yang menyedihkan, keadaan yang tidak terurus, tidak berpakaian serta pinggang yang dilingkari rotan berduri. Duri rotan itu pula ada yang telah sebati dengan dagingnya serta ada yang bernanah.

Empat watak di atas sebenarnya telahpun mati dibunuh pengganas komunis sewaktu zaman darurat dahulu. Salman telah menjadi tidak siuman selepas itu dan selalu menyebut-nyebut nama keempat watak berkenaan.


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...