Sabtu, 27 Ogos 2022

PADANG BULAN - Andrea Hirata


 

Sewaktu mula membaca bab pertama novel ini, hati hamba berkata seolah-olah hamba telah pernah membacanya. Tetapi tajuk Padang Bulan rasanya ini kali pertama hamba menyelaknya. Inilah untungnya apabila hamba mencatatkan buku-buku yang pernah hamba baca di blog ini. Sekurang-kurangnya hamba boleh melihat kembali sekiranya buku ini pernah hamba baca dahulu.

Ternyata kisahnya amat mirip dengan naskhah Buku Besar Peminum Kopi yang hamba telah baca setahun yang lalu. Sepatutnya hamba membaca Padang Bulan dahulu sebelum membaca naskhah tersebut. Jadi boleh hamba katakan bahawa Buku Besar Peminum Kopi (BBPK) ini membicarakan dengan lebih detail atau terperinci lagi kisah tentang Enong atau Nong Maryamah dalam BBPK dan Ikal atau Ikaluddin dalam BBPK.

Daalam BBPK, watak Nong Maryamah lebih menonjol lagi dengan klimaksnya adalah kisah beliau menjadi juara catur. Namun dalam padang bulan, soal catur yang melibatkan watak berkenaan lansung tidak disentuh. Ia lebih kepada watak sampingan yang menyokong watak Ikal.

Sebaliknya, Ikal adalah hero di dalam Padang Bulan. Ikal meminati seorang gadis tionghwa bernama A Ling dan berusaha memikat beliau. Mendapat maklumat bahawa gadis berkenaan berkemungkinan telah beralih arah kepada Zinar membuatkan Ikal berusaha untuk merebutnya kembali. Ikal mahu membuktikan bahawa beliau lebih baik daripada Zinar lantas masuk dalam beberapa acara yang dipertandingkan sempena temasya 17 Ogos (hari kemerdekaan Indonesia) yang melibatkan Zinar. Namun Zinar lansung tidak mengetahui bahawa Ikal memang sengaja mahu bertanding dengan beliau.

Ikal tewas dalam kesemua acara. 

Merasakan dirinya pendek dan tidak setinggi Zinar, beliau membeli satu alat yang dikatakan boleh menambahkan ketinggian bernama Ortoceria (dalam BBPK dinamakan Happy High). Sama seperti dalam BBPK, alat ini hampir membawa maut kepada beliau. Dalam Padang Bulan, alat ini telah dibuang ke dalam sungai oleh Enong tetapi di BBPK ia telah dihadiahkan kepada Mat Nor.

Memandangkan hamba telah membaca BBPK terlebih dahulu, hamba merasakan membaca novel ini agak kurang nikmatnya memandangkan BBPK telah memberikan persembahan yang lebih detail. Jadi memandangkan buku-buku karya Andrea ini seolah mempunyai kaitan antara satu sama lain, cubalah untuk membaca karya beliau mengikut aturan keluarannya.


Sokonglah saya sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


Khamis, 25 Ogos 2022

BAHASA KENALAN CINTA - Abang Median Sharifah Abdullah


 

Novel ini merupakan cenderamata yang hamba terima daripada Pustaka Miri, Sarawak sewaktu hamba dan team Adana Publishing mengadakan promosi buku-buku kami sempena Program Galakan Membaca yang telah dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN N.73 Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. Perpustakaan Miri adalah agensi kerajaan negeri yang pertama memberikan kami peluang untuk mempromosikan buku-buku terbitan Adana Publishing. YB Datuk Sebastian juga amat mesra dan memberikan sokongan penuh terhadap usaha kami ini.

Bahasa Kenalan Cinta adalah himpunan 13 buah cerpen karangan Abang Median Sharifah Abdullah yang juga merupakan seorang guru. Kesemua cerpen ini lebih menjurus kepada kehidupan remaja dan alam persekolahan. Pelbagai isu yang dibawakan oleh Abang Median seperti kemiskinan, kesusahan hidup, kepercayaan tahyul, autisme dan lain-lain lagi. Beliau banyak berkisah tentang perhubungan antara murid dan guru. Dalam hal ini ada guru yang begitu gigih mengajar serta tabah dalam memberikan perkhidmatan. Agak mengejutkan apabila ada juga kisah-kisah yang memaparkan sikap segelintir guru yang memandang hina akan anak muridnya yang miskin sehingga dipanggil busuk, buaya pun tidak ada selera dengannya dan pelbagai lagi. Ada juga guru yang tidak dapat memahami masalah anak-anak yang mengalami autisme, guru yang hanya mahu mengajar kelas pelajar yang cerdik sahaja dan guru yang tidak menyokong usaha guru yang lain. Hamba percaya segala yang diadun di dalam naskhah ini, walaupun bersifat fiksyen, tidak dapat tidak pastinya hasil daripada pengalaman beliau yang luas sebagai seorang guru.

Kesemua cerpen ini juga berlatarbelakangkan negeri Sarawak dengan watak-wataknya terdiri daripada pelbagai etnik yang ada di sana. Kebanyakan kisahnya berlaku di kawasan pedalaman di mana perhubungan adalah begitu sukar dan guru memainkan peranan yang amat besar untuk menarik anak-anak yang berada di pedalaman ini untuk suka kepada pelajaran. 

Nampaknya buku ini sesuai untuk anak hamba yang bakal menjadi seorang guru - bahkan yang telah lama menjadi guru juga patut membacanya.


Sokonglah saya sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


HARIMAU-HARIMAU - Mochtar Lubis


 

Membaca tulisan Pak Mochtar ini (juga karyanya yang hamba ulas sebelum ini - Senja Di Jakarta), hamba melihat penggunaan Bahasa Melayunya amat mirip dengan penggunaan kita di Malaysia. Pak Mochtar menggunakan bahasa Melayu yang standard, tidak begitu bercampur baur dengan istilah yang hanya digunakan di Indonesia. Berbanding dengan beberapa karya penulis Indonesia hari ini yang apabila hamba baca, hamba terpaksa beberapa kali menggunakan kamus atas talian untuk mencari maknanya. Apapun, kekerapan mencari makna perkataan ini bukanlah satu halangan ataupun kekurangan. Sekurang-kurangnya hamba dapat menambah serba sedikit perbendaharaan kata dalam bahasa berkenaan.

Harimau Harimau adalah kisah tujuh orang lelaki yang masuk ke hutan bagi mencari damar. Tiga orang lelaki berumur dan selebihnya orang muda. Pak Haji adalah seorang lelaki yang pada masa mudanya telah banyak merantau ke negeri orang, justeru amat luas pengalamannya. Wak Katok pula terkenal sebagai seorang lelaki mistik, jaguh persilatan dan lama menuntut ilmu perbomohan. Beliau membawa selaras senapang dan merasakan dirinya pemimpin dalam kumpulan itu. Pak Balam adalah seorang lelaki yang pernah berjuang pada zaman-zaman pemberontakan. Yang lain adalah Buyung, satu-satunya yang masih bujang, Talib, Sanip dan Sutan. Kesemua pemuda ini berusia dalam lingkungan 20an.

Jauhnya tempat mereka mencari hasil hutan dengan kampung mereka adalah selama tujuh hari perjalanan. Di tempat mereka mencari hasil hutan terdapat huma kepunyaan Wak Hitam, juga seorang lelaki mistik yang dianggap oleh Wak Katok sebagai gurunya. Wak Hitam mempunyai sebuah pondok di situ. Di pondok Wak Hitam inilah kesemua lelaki bertujuh ini menumpang tidur.

Wak Hitam dalam hidupnya telah mengahwini banyak perempuan yang kesemuanya perawan sewaktu dinikahi. Dalam setiap waktu beliau akan mengekalkan empat orang isteri. Salah seorang isteri beliau akan dibawa bersamanya ke huma itu setiap kali beliau ke sana. Kali ini beliau membawa isterinya yang paling muda bernama Siti Rubiyah.

Siti Rubiyah adalah godaan besar bagi kesemua tujuh lelaki ini. Ada yang tidak rasa apa-apa dan ada pula yang tergelincir lebih jauh lagi. Walaupun unsur 'dewasa' dalam naskhah ini tidak sebanyak Senja Di Jakarta, tetapi hamba yang membacanyapun terasa malu juga. Tetapi naskhah ini memang hebat jalan penceritaannya. Hamba terasa seperti melihat sebuah filem sedang ditayangkan.

Konflik sebenarnya dan yang terbesarnya adalah sewaktu kesemua mereka ini dalam perjalanan pulang ke kampung. Pak Balam telah diserang oleh harimau sewaktu sedang qadha hajat sehingga mendatangkan kecederaan yang parah di betisnya. Pak Balam merasakan ini semua adalah disebabkan oleh dosa-dosa besar yang pernah beliau lakukan. Pak Balam menceritakan tentang dosa-dosa yang pernah beliau lakukan dan bertaubat. Semasa bercerita tentang dosa beliau itu juga, Pak Balam turut menceritakan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh Wak Katok sehingga membuatkan lelaki itu merasa malu. (Pernah timbul niat dalam diri Wak Katok untuk membunuh kesemua mereka yang ada untuk mengelakkan rahsianya daripada terbongkar kepada orang ramai).

Pak Balam mendesak orang lain menceritakan dosa mereka juga dan seterusnya bertaubat. Beliau percaya harimau berkenaan dikirim oleh Tuhan kerana dosa-dosa mereka. Orang lain mula serba salah. Mereka masing-masing ada dosa yang dilakukan. Wak Katok mendesak mereka bercerita akan dosa mereka lantara rahsia dirinya sendiri telah terdedah. Wak Katok bahkan mengancam akan menembak mati mereka yang enggan dengan senapangnya.

Talib kemudiannya mati diserang harimau sewaktu tersisih daripada rombongan kerana membuang air kecil. Sutan juga turut mati kemudiaannya. Pak Balam yang sudah parah dan membusuk lukanya juga akhirnya meninggal dunia. Kini yang tinggal hanyalah Wak Katok, Pak Haji, Buyung dan Sanip. Ketika ini Wak Katok telah menjadi watak hitam. Beliau hanya memikirkan tentang survival dirinya sahaja. Sebenarnya Wak Katok merasa takut akan harimau, namun disembunyikannya. Dia tidak mahu ketokohannya sebagai seorang dukun besar tercalar.

Hingga sampai satu ketika ketegangan melanda menyebabkan Wak Katok menghalau tiga orang yang lain. Walaupun beredar meninggalkan Wak Katok, tetapi ketiganya kemudian kembali secara senyap-senyap bagi menumpaskan Wak Katok. Mereka mahu merampas senapang yang ada padanya kerana mereka tahu tanpa senapang adalah sukar untuk menewaskan harimau.

Dalam operasi ini, walaupun senapang telah berjaya dirampas tetapi mereka membayarnya dengan harga yang tinggi apabila Pak Haji terkorban. Sebelum pergi Pak Haji sempat meninggalkan pesanan agar mereka membunuh harimau yang ada di jiwa mereka terlebih dahulu.

Kini tinggal tiga orang yang tersisa dan bagaimanakah nasib mereka kemudian?



Sokonglah saya sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


Isnin, 22 Ogos 2022

SENJA DI JAKARTA - Mochtar Lubis


 

Ini adalah kisah penghuni kota Jakarta yang rencam sekitar tahun-tahun awal selepas merdeka (Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945). Walaupun segala peristiwa yang berlaku berlatarmasakan waktu itu, tetapi hamba serasa ia seperti isu yang berlaku semasa. Dan walaupun ia berlaku di Jakarta, apa yang berlaku di sana terasa berlaku juga di sini. 

Mochtar Lubis melukiskan pelbagai watak di dalam novel ini yang mewakili kelas hidup yang berbeza. Isu perebutan kuasa dalam pemerintahan atau politik, korupsi, perzinaan, perbezaan ideologi, salah guna kuasa, penyelewengan, kakitangan kerajaan yang tidak amanah, kemiskinan dan pelbagai lagi isu yang dibawa, membuatkan hamba merasa apa yang berlaku pada hari ini telah berkar umbi sejak dahulu lagi. Ia seakan tidak berkesudahan, bersambung dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Mari kita lihat sevara ringkas beberapa watak yang ada di dalam novel ini.

Saimun dan Itam merupakan orang susah, bekerja mengutip sampah dan tinggal di pondok buruk yang disewa daripada Pak Ijo, orang yang hidupnya susah juga. Walaupun susah, Saimun ada cita-cita untuk maju. Kerana itu dia mahu belajar membawa kenderaan dan mendapatkan lesen. Tapi orang susah juga punya nafsu liar. Beliau membawa Neneng tinggal dikamarnya yang dikongsi dengan Itam. Bukan lagi berkongsi kamar. mereka kini berkongsi Neneng! Neneng akhirnya meninggalkan kamar mereka dan menjadi perempuan jalanan.

Suryono satu watak kumpulan elit, seorang lelaki yang bekerja dengan Kementerian Luar Negeri dan pernah bertugas di New York. Bapanya Raden Kaslan, seorang hartawan dan orang kuat parti. Suryono hudup bebas sampai ibu tirinyapun disapunya sekali. Bapanya Raden Kaslan pun dua kali lima jua. Tidak cukup dengan ibu tirinya, beliau juga berzina dengan Dahlia, isteri Idris, seorang lelaki yang merupakan kakitangan kerajaan yang amanah. Kerana mahu mencari dana buat parti (dan sekaligus mengisi pokjet sendiri) Raden Kaslan dan keluarga haru biru ini menyalahgunakan kedudukan mereka untuk mendirikan syarikat atas angin dan mendapatkan lesen-lesen secara salah dan tidak telus.

Sugeng adalah kakitangan kerajaan di Kementerian Perekonomian. Beliau pada awalnya merupakan seorang yang amanah. Namun kerana tekanan dan desakan daripada isterinya yang mahukan beliau mendapatkan rumah yang lebih selesa memandangkan isterinya sedang berbadan dua, maka beliau mula terlibat dalam aktiviti yang menyalahi peraturan. Bukan sahaja beliau mula jadi tidak amanah, tetapi sudah mula pandai minum dan berzina dengan Dahlia.

Idris adalah contoh kakitangan kerajaan kerajaan yang amanah sehingga ke akhirnya. Tetapi sifat amanahnya tidak disenangi Dahlia kerana Idris tidak dapat mengadakan kemewahan yang dikehendaki. Idris sering bertugas luar, jauh dan memakan masa yang lama. Dahlia menjadi isteri derhaka, tidur dengan orang lain dan menjana kemewahan daripada aktiviti tersebut. 

Suryono, walau mempunyai keperibadian yang jelek, mempunyai sebuah kumpulan diskusi yang sering membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan nasib rakyat, ideologi yang harus menjadi ikutan dan hal ehwal semasa. Di sini pelbagai pandangan tentang komunis, demokrasi dan Islam dibincangkan. Kebanyakan pesertanya nampak intelek dan bijak. Tapi kemudiannya berperangan haram jadah juga.

Watak-watak seperti Raden Kaslan, Halim dan Husin Limbara menunjukkan kebobrokan dan kerakusan dalam politik. Walaupun mendendangkan perjuangan untuk rakyat, mereka mengaut harta negara dan menyalahkan kedudukan mereka untuk kepentingan diri sendiri. Halim yang mereka pergunakan akhbarnya untuk kepentingan parti sebaliknya mempergunakan mereka. Halim ternyata seperti gunting dalam lipatan, pepat di luar rencong di dalam!

Dalam kekecohan politik ini, orang-orang komunis pula mengambil kesempatan. Mereka merancang melakukan demonstrasi dan kekecohan. Rakyat yang perlukan beras, garam dan minyak masak begitu mudah dipengaruhi. Membaca cerita-cerita politik dan ulah orang komunis ini, suasananya tidak jauh berbeza dengan kelakuan politikus hari ini.

Kadangkala naik mual membaca adegan dewasa yang kerap timbul di sana sini. Perzinaan, persundalan berlaku tanpa batas, seolah mereka ini tiada pendidikan agama lansung. Agak sukar untuk mempercayai bahawa semua ini berlatarmasakan masa lalu. Kita mungkin menyangkakan orang dahulu lebih baik akhlaknya daripada kita hari ini. Mungkin dari segi perlakuan dan sikap ada dan nampak perbezaannya, tetapi bila tiba pada nafsu ia sama sahaja. 

Adakah masyarakat hari ini masih sama seperti masyarakat masa lalu?


Sokonglah hamba sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


Selasa, 16 Ogos 2022

ANDING AYANGAN III, HIKAYAT 1 - Ramlee Awang Murshid


 

Novel ini hamba beli secara pra tempah. Tetapi walaupun memperolehinya awal, hamba seperti tidak bernafsu hendak menyentuhnya. Ia terdapar di dalam bilik hamba beberapa bulan, hinggakan ada beberapa objek lain yang sedikit demi sedikit berada di atasnya hingga menjadikannya tenggelam di atas lantai. Terasa begitu malas hendak membacanya lantara novel yang pertama dan yang kedua sudah terlalu lama dibaca dan semakin pudar dari ingatan.

Walaupun Ramlee menasihatkan pembaca untuk fokus, ternyata setelah hilang dari ingatan memori penceritaan buku pertama dan kedua, memang sukar untuk memberikan perhatian dengan baik. Kadangkala tertanya tanya dari mana dan siapa pula watak ini. Anding Ayangan hamba membacanya pada 2017 dan Anding Ayangan II pula pada 2020. Dan sekarang adalah tahun 2022, manalah hamba nak ingat penceritaan yang lalu. Tambahan pula dalam usia begini. Ramlee tidak menghasilkan siri Anding ini secara berturut-turut. Selepas Anding Ayangan, ia tidak diikuti dengan bahagian kedua, sebaliknya dengan beberapa novel lain. Walaupun ini adalah strategi Ramlee, ia mengganggu rentak pembacaan hamba.

Meneruskan frustasi novel 1 dan novel 2, novel ini juga masing belum menuju ke noktah terakhirnya. Maka para peminat akan terpaksa mengorek lagi poket mereka untuk mengetahui akan kesudahan cerita. Penggunaan bahasa daerah masih lagi dilakukan seperti novel-novel yang lalu. Cuma kali ini sudah tidak ada lagi glosari makna perkataan. Mungkin Ramlee mengharapkan pembaca untuk mencari maknanya dengan membuka semula novel lama atau guna sahaja tuan haji Google. Perkataan bahasa daerah ini umumnya sering digunakan di dalam novel ini seperti kalimah rungkui, pingkul, kidum dan lain-lain. Sekali dua sedap juga membacanya, lama kelamaan menyampahlah pula.

Furqan Ayyubi aka Betatar masih lagi berada di hospitak jiwa bersama Pak Hashim dan mereka akhirnya berjaya melepaskan diri dan berjaya masuk kembali ke dunia dongeng Anding Ayangan. Kemunculan watak Dr. Irfan sebagai pakar sakit jiwa akan membuatkan pembaca tertanya-tanya akan personaliti sebenar beliau. Watak ini kekal misteri sehingga ke akhir novel (satu strategi untuk anda membeli novel akan datang.) Kembali ke dunia Anding, Furqan ayyubi akan berganding dengan Pak Tua aka Saifuddin Jalis aka Laksamanan Sunan bagi menentang Raja Daulah dan mendapatkan kembali kemerdekaan Anding seterusnya menguasai Ayangan.

Masuknya watak Laksamanan Sunan ke dalam Siri Anding Ayangan merupakan satu crossover dalam novel-novel RAM. Saifuddin Jalis telah mengembara 200 tahun ke hadapan, ke sebuah tanah yang jauh dari Acheh seterusnya menambahkan lagi kekarutan dalam cerita.

Sementara itu di dunia nyata, watak Mutajassad, yang dinyatakan sebagai makhluk asing dari planet lain aka alien tetapi boleh masuk ke dalam batang tubuh orang lain, sudah seperti hantu pula lakunya. Seorang yang gilakan kuasa, beliau akan berusaha masuk ke dalam tubuh mana-mana manusia yang mempunyai kuasa. Dia mahu memerintah manusia. Kalau diikutkan, nampaknya Mutajassad ini mempunyai taste yang tinggi untuk berkuasa, tetapi RAM hanya bagi peluang beliau masuk ke dalam jasad-jasad pemimpin kecil bertaraf ADUN sahaja. Ketua Menteri pun tak lepas lagi apatah lagi sampai ke peringkat jawatan Perdana Menteri. Kegilaan Mutajassad telah menyembabkan ramai nyawa terbunuh dalam keadaan yang mengerikan sekaligus mengundang campur tangan pihak polis. Dalam novel ini pengelibatan pihak polis lebih menyerlah berbanding novel-novel Anding sebelumnya.

RAM suruh kita fokus kerana kisah Anding Ayangan bukan hanya berlaku pada masa sekarang, sudahlah masa sekarang, dibahagikan pula kepada dua dimensi yang berbeza. Kisah ini juga mencakupi peristiwa beberapa ratus tahun sebelumnya seolah-olah flashback  atau imbas balik tentang jalur peristiwa yang membawa kepada permasalahan pada hari ini.

Peristiwa masa lalu menceritakan tentang usaha Mutajassad yang tidak pernah jemu mahu menawan Anding. Usaha beliau, walaupun sering menggunakan beberapa jasad orang lain, terus sahaja menemui kegagalan. Usahkan hendak melawan secara berhadapan, hendak melepasi tembok bertampik sahaja beliau tidak mampu. Pengikut beliau yang melepasi garisan had tembok sahaja akan bertukar hancur menjadi debu. Zaman lalu ini juga akan menyorot kisah asal usul kehadiran Laksamana Sunan di bumi Anding yang dibawa bersama oleh Raja Suir Sang Ekong lewat pertempuran mereka di lautan.

Terllau banyak keajaiban di dalam kisah Anding ini. Ada keajaiban yang dikaitkan dengan agama. Contohnya keajaiban tembok bertampik yang diperkayakan dengan bacaan Al-Quran sehingga mampu menahan daripada serangan musuh. Kalau hamba komen lebih-lebih tentunya peminat RAM akan marah. Tentunya akan ada yang menjawab 'tidak mustahil boleh berlaku dengan kuasa Allah!'. Jika kita dok main kuasa Allah tentunya tiada yang mustahil bagi-Nya. Tetapi agama kita bukanlah mempromosikan keajaiban. Dalam banyak hal hamba suka melihat akan sejarah hidup Nabi kita sendiri, para sahabat, khalifah serta pemerintah dan kerajaan Islam selepasnya. Nabi kita dalam perang Uhud mendapat kecederaan yang teruk sekali. Ramai sahabat tumpas. Tidakkah Nabi sebagai orang yang mulia ini berdoa kepada Allah. Sudah tentu Nabi kita juga berdoa tetapi tidaklah bermaksud apabila musuh menyerang maka tiba-tiba mereka terpelanting sendiri kerana melanggar sebuah tembok halimunan. Kerajaan Islam juga banyak yang tewas. Adakah para pemimpin mereka kurang takwanya? Anding ini sebagai sebuah kawasan kecil tetapi pertahanan ghaibnya mak datuk ampuh sekali.

Hamba juga nak menarik perhatian kepada satu para di muka surat 503 yang berbunyi;

Saifudin harus memenuhi janjinya. Walhal dia belum berasa lapar. Tapi elok begitu - makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Seperti amalan Rasulullah SAW.

Perkara yang melibatkan Nabi ini kita jangan buat main. Takut nanti dianggap berdusta ke atas Nabi. Kita lihat pernyataan 'makan sebelum lapar '. Yang hamba tahu ialah makan apabila lapar. Kalau sebelum lapar maknanya kenyang lagi. Hamba percaya RAM mungkin merujuk kepada satu sabda seperti berikut;-

(نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع)

"Kami adalah satu kaum yang tidak makan sehinggalah kami lapar dan apabila kami makan (kami tidak makan) sehingga kenyang"

Hamba merujuk kepada beberapa laman web hadith. Ada yang mengatakan bahawa ini adalah hadith daif dan ada yang mengatakan bahawa ini bukan hadith dan tidak tercatat di dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. WalLahuaalam. Jadi pernyataan RAM di atas melalui novel ini pertamanya adalah tidak selaras dengan matan asal justeru menyalahi untuk mengatakan ia adalah amalan Nabi. Dan yang kedua jika ia selaras dengan matan sekalipun, ia masih tertakluk dengan sahih atau tidaknya ia datang daripada Nabi. Namun, jika kita menerima ia sebagai perkataan yang tidak disandarkan kepada Nabi pula, ia adalah satu nasihat yang baik bertujuan menjaga tubuh badan.

Novel ini bersambung lagi!

INDAHNYA MENJADI TETAMU ALLAH - Halimi Bin Muhamad Rusli & Dr Nur Hasanah Binti Ruslan


 

Tanah Suci Makkah dan Madinah adalah destinasi impian para mukmin yang bertaqwa. Mereka yang pernah bertamu ke sana pastinya akan merasa cepat rindu dan ingin segera kembali ke sana. Walaupun destinasi yang sama serta rutin ibadat yang serupa, pengalaman mereka yang menjadi dhuyufurRahman ini pastinya berbeza. 

Halimi Muhamad Rusli bersama isteri beliau Dr Nur Hasanah tampil dalam sebuah naskhah terbaharu yang menceritakan tentang pengalaman beliau berada di Tanah Suci dalam suasana norma baharu. Pemergian mereka pada Mac 2022 adalah semasa penyakit covid-19 varian omicron sedang bermaharajalela. Pastinya keadaan sewaktu ini agak berbeza dengan suasana musim umrah tatkala dunia masih aman daripada covid.

Halimi dan Hasanah mencatatkan pengalaman mereka dari semenjak hari pemergian sehinggalah kepulangan ke tanah air. Gambar-gambar sepanjang musafir serta beberapa ibrah, pandangan serta tips buat bakal tetamu Allah turut dicoretkan. Coretan mereka menggunakan bahasa yang santai, ringkas dan mudah menarik perhatian pembaca. Turut disertakan di dalam buku ini ialah beberapa QR code yang akan membawa pembaca ke beberapa laman atau video yang ada kaitan dengan pengkisahan. 

Buku terbitan Adana Publishing ini berharga RM29.90 dan boleh di dapati secara terus dengan penulisnya sama ada di FB beliau - Halimi Muhamad Rusli ataupun melalui link ini - https://wa.me/60109312806?text=Nak%20oder%20buku



Sokonglah saya sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


Isnin, 8 Ogos 2022

BLUES UNTUK AKU - Aie


 

Blues Untuk Aku, sebuah kisah yang penamatnya menjadi misteri buat pembacanya. Hanya penulis dan pelukisnya sahaja yang tahu akan kesudahannya. Dan kesudahan cerita ini beliau bawa bersamanya ke alam yang abadi. Bahkan sebuah lagi karya Aie, Aku Dan Sesuatu juga tiada penamatnya. Kedua-dua kisah ini tergantung begitu sahaja. Dan andaikata ada pelukis yang menyambung ceritanya, belum tentu sama seperti yang berada di minda almarhum Aie apatah lagi gaya persembahan lukisannya.

Blues Untuk Aku (BUA) muncul ketika zaman grunge, dan ia mempengaruhi gaya penampilan watak utamanya Ishak/Sahak. Keistimewaan Blues Untuk Aku bukan sahaja pada jalan ceritanya tetapi juga pada lukisannya. Gaya lukisan Aie dalam BUA seringkali menjadi rujukan penggemar lukisan termasuk hamba sendiri dan pernah hamba cuba lukis semula beberapa lukisan yang tersiar di dalam buku ini. Pada peringkat awal cerita, lukisan watak Sahak lebih nampak kartun. Namun sedikit demi sedikit gaya lukisan watak berkenaan berubah menjadi lebih realistik. Gaya watak Sahak juga mirip dengan ilustrasi watak Sham dalam Aku Hidup Dalam Blues.

Sahak adalah seorang pelukis bebas. Kita akan banyak membaca monolog Sahak, segala bentuk falsafah hidup terutama yang diperolehi daripada almarhum ayahnya, konflik jiwa, persahabatan, kekeluargaan, kasih sayang dan macam-macam. Mempunyai teman serumah bernama Ariyon (semua kita tahu karakter ini dinspirasikan daripada kartunis Tembakau), mereka kelihatan serasi dan saling memahami. Mendapat peluang bekerja dengan seorang gadis bernama Jessica, perhubungan yang pada awalnya lebih kepada pekerja dan majikan secara beransur-ansur menjadi rapat sebagai sahabat. Ariyon sering mengusik Sahak dalam hal perhubungan mereka ini.

Jessica mempunyai masalahnya yang tersendiri. Aie bertindak bijak kerana menjadikan watak Jessica agak misteri di awal penceritaan dan sedikit demi sedikit dihuraikan lewat penceritaan. Jessica, seorang muallaf, pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Bekas suaminya masih mengganggu dengan meminta wang. Sekiranya itu diingkari, maka tubuh Jessica boleh menjadi punching bag.

Kisah ini 'tamat' apabila penceritaan berada di kemuncaknya sewaktu bekas suami Jessica kembali menyerang, watak Khadijah - pekerja Jessica - mungkin  menjadi gunting dalam lipatan dan Sahak yang dalam perjalanan untuk mendapatkan Jessica. Bayangkanlah di saat getir ini ceritanya berakhir begitu sahaja, tanpa sebarang hint akan apa yang akan berlaku seterusnya. Teka teki yang bermula semenjak bulan Ogos 2000 ini tidak akan berjawab buat selamanya, dibawa bersama pengkaryanya yang telah meninggalkan kita pada 28 Jun 2021.

Hidup ini memang penuh dengan misteri dan persoalan yang tidak terjawab!


Sokonglah saya sebagai penulis dengan membeli buku ini.


Rabu, 3 Ogos 2022

MUZIUM MISTERI - KK Ng


 

KK Ng adalah nama baharu buat hamba. Tetapi melihat kepada ringkasan biodata beliau di buku ini menunjukkan bahawa beliau bukanlah pemain baharu dalam dunia komik. Beliau pernah menghasilkan beberapa karya dan ada yang pernah mendapat anugerah di Taiwan. Mungkin disebabkan beliau berkarya dengan menggunakan bahasa cina menyebabkan nama beliau tidak hamba kenali. Sewajarnya beliau memperbanyakkan karya di dalam bahasa Melayu apatah lagi beliau adalah seorang anak Malaysia. Lagipun karya komik ini juga boleh dibuat terjemahan ke dalam bahasa lain tanpa menjejaskan perjalanan cerita asal mahupun lukisannya.

Cerita komik ini mudah dan dapat difahami dengan baik. Mengisahkan seorang profesor bernama Jojo yang mahu mengubah dirinya menjadi jelita selama-lamanya telah dipengaruhi secara minda oleh Medusa untuk mencuri sebuah permata yang boleh mencapai cita-cita tersebut. Satu pameran patung-patung mistos Yunani di sebuah muzium yang turut mempamerkan permata berkenaan telah memulakan episod mendebarkan komik ini.

Medusa hanya mempergunakan Jojo untuk tujuan peribadinya. Patung-patung di muzium menjadi hidup dan menimbulkan huru hara. Terasa idea patung hidup ini seperti filem Night At The Museum pula. Maka huru hara yang berlaku kemudian ini ditangani pula oleh hero kita yang bernama Adi. Lanjutnya tak perlulah hamba ceritakan, sudah tentu hero akan jadi juara.

Gaya persembahan KK Ng sarat dengan gaya manhwa atau gaya komik China dan Hong Kong. Tiada elemen tempatan yang ditampilkan. Di samping komik, buku ini turut menampilkan beberapa fakta ringkas tentang muzium dan jenis-jenisnya, beberapa figura mitos Yunani, batu-batu permata yang dikatakan mempunyai sumpahan dan beberapa lakaran watak di dalam komik ini.


Sokonglah saya sebagai penulis dengan mendapatkan buku ini!


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...