Ahad, 20 Oktober 2013

TRAGEDI WORLD CUP - UJANG NOVEMBER 1996

Beberapa hari sebelum menjelang Aidil Adha hamba ke Langkawi kerana menghadiri satu mesyuarat. Kesempatan berada di pulau lagenda ini hamba gunakan untuk bertemu seorang sahabat lama sewaktu di sekolah menengah dahulu. Sahabat hamba itu pernah sebilik dengan hamba. Beliau kini bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di pulau berkenaan.

Banyak kisah-kisah lama yang kami perbualkan. Salah satunya ialah kisah di mana kegembiraan kami bermain bola stokin terhenti dengan kedatangan guru disiplin yang mengadakan spot check. Pagi itu sebenarnya hari minggu di mana para pengawas akan mengadakan pemeriksaan bilik. Kerana merasakan waktu masih panjang maka masa tersebut diisi dengan bermain bola stokin. Kami yang kantoi diarahkan guru disiplin berdiri di luar bilik. Agak malang kerana masing-masing masih belum bersiap dengan pakaian yang selayaknya dan hanya dalam keadaan bertuala sahaja. Guru berkenaan seterusnya ke bilik lain untuk menjalankan pemeriksaan.

Ketika itu ada rakan sebilik yang tidak dikenakan tindakan menyeru hamba segera masuk ke bilik dan berpakaian. Dalam berani-berani takut hamba segera berpakaian lengkap dan tidak kembali semula ke luar bilik. Rakan-rakan yang lain hamba tidak ingat sama ada tidak sempat ataupun tidak berani kembali berpakaian.

Akhirnya kesemua mereka tadi di arahkan ke satu kawasan lapang di luar asrama dan mengadap ke asrama puteri. Tingkap asrama puteri yang jarang-jarang terbuka itu penuh dengan manusia yang menonton. Sahabat-sahabat yang malang dalam keadaan berlenggeng itu diarahkan menjunjung tong sampah besar sebagai simbolik sebuah piala.

Kisah itu hamba abadikan dalam sebuah tulisan dan diubahsuai sedikit dalam bentuk jenaka. Ia tersiar dalam majalah Ujang keluaran November 1996. Buat teman-teman hamba, hamba rindukan masa lalu kita!!





Jumaat, 18 Oktober 2013

GENERASI YANG HILANG - Abdul Rahim Awang




Novel ini merupakan sebuah penerbitan lama pada akhir tahun 80an. Nama Abdul Rahim Awang, penulisnya boleh dikatakan antara novelis popular pada era tersebut. Konspirasi merupakan antara novelnya yang paling mendapat sambutan. Tidaklah hamba tahu kini apakah perkembangan mutakhir penulis tersebut. Hamba pun tidak lagi mengikuti perkembangan atau buku tulisannya yang terbaru.

Novel ini sendiri telah pernah hamba baca pada awal 90an. Namun melihatnya dijual dengan hanya RM2 semasa Pesta Buku Antarabangsa KL yang lalu, hamba tidak ragu-ragu untuk membelinya. Lagipun ianya masih lagi elok berbalut plastik walaupun dicetak pada tahun 1992. Maknanya telah 21 tahun buku ini tidak laku sehinggalah hamba membelinya.

Generasi Yang Hilang adalah kisah kehancuran sebuah keluarga. En Murad, seorang ketua keluarga telah menggunakan wang syarikatnya bagi membiayai majlis pekahwinan anak gadis beliau. Walaupun berniat untuk menggantikan wang tersebut apabila mendapat bonus tahunan nanti, hasratnya tidak kesampaian apabila dimaklumkan bahawa syarikatnya akan dinilai juruaudit. Buntu untuk mendapatkan wang gantian, beliau cuba mereka suasana rompakan di pejabatnya. Ini termasuklah dengan memukul kepala pengawal keselamatan yang sedang tidur dengan cota. Walaupun berniat hanya untuk mencederakan pengawal itu sahaja, pukulan tersebut akhirnya membawa maut kepada pengawal tersebut.

Akhirnya Murad ditahan polis selepas siasatan rapi dijalankan. Perbicaraan di mahkamah mendapati beliau bersalah melakukan pembunuhan tanpa niat dijatuhi hukuman penjara selama 17 tahun. Bermulalah dari sinilah tragedi melanda seluruh anggota keluarga Murad. Anak beliau, Nordin yang berada di sebuah sekolah berasrama penuh mula rasa tertekan atas kesalahan bapanya. Beliau juga merasakan bahawa keluarganya yang lain juga tidak mengambil berat ke atas dirinya. Nordin mula terlibat dengan ganja yang diperkenalkan oleh tukang kebun sekolah beliau. Keperluan terhadap wang untuk membeli ganja memaksa Nordin mencuri wang dan barang-barang dari rakan serta sekolahnya. Akhirnya beliau dapat ditangkap dan dibuang sekolah.

Pengelibatan Nordin dalam dadah inilah punca kerosakan sebenarnya keluarga Murad. Penulis cuba menyampaikan mesej  bahawa dadah membawa kerosakan besar kepada institusi keluarga. Satu demi satu masalah menimpa dan akhirnya kebanyakan anggota keluarga Murad kepada Tuhan. Nordin pula semakin hilang arah.

Di akhir cerita diperlihatkan kisah hubungan baik yang berkekalan antara Murad (yang telah dibebaskan) dengan Husin, bekas pemandu Murad dan sahabat baiknya. Walaupun tidak lagi menjadi pemandu Murad namun Husin atas sifat setianya sebagai seorang sahabat tetap berlapang dada ketika Murad meminta ditumpangkan keretanya ke pekan. Bahkan watak Husin ini banyak membantu keluarga Murad sewaktu ketiadaan beliau.

Novel ini ditulis dengan bahasa yang mudah tanpa perlu kepada tulisan yang berbunga-bunga. Ia bukanlah novel jiwang yang mungkin digemari remaja (juga segelintir orang tua). Namun penyampaiannya amat baik dan boleh difahami tanpa memaksa otak untuk berfikir. Novel Generasi Yang Hilang memperlihatkan latar masa ketika itu di mana dadah merupakan isu yang amat besar. Kulit novel ini juga memperlihatkan seorang gadis dengan fesyen era tersebut. Hamba sendiri tidak pasti gadis di kulit novel ini merujuk kepada siapa kerana penumpuan novel ini lebih banyak kepada watak Nordin sendiri yang menjadi punca sebenar kerosakan keluarga Murad, walaupun pada mulanya Murad sendiri dilihat sebagai insan yang mendatangkan aib kepada keluarganya.

Rabu, 16 Oktober 2013

MAGIS - Ramlee Awang Murshid


Para peminat tegar Ramlee Awang Murshid (RAM) pastinya sudah akrab dengan watak Saifuddin aka Laksamana Sunan, ejim aka Tombiruo, Risham aka Ryu Watanabe, Carlos dan Mikhail. Kesemuanya merupakan watak-watak utama dalam novel yang pernah beliau hasilkan sebelum ini. Lantaran itu sekiranya mereka yang baru ingin berjinak dengan karya-karya RAM wajarlah membaca karya-karya yang bersangkutan dengan kesemua watak tadi sebelum membaca novel ini. Walau bagaimanapun tidaklah salah untuk pembaca baru untuk terus menguliti Magis, cuma dengan mengenali watak-watak yang disebutkan tadi lewat karya-karya sebelum ini akan lebih memberikan kefahaman serta penghayatan yang lebih berkesan.

Dalam novel ini RAM cuba bereksperimen dengan menggabungkan kesemua watak di atas dalam satu novel. Memandangkan watak Laksamana Sunan berasal dari kurun yang berbeza, hendak tak hendak, RAM terpaksa sekali lagi menggunakan babak rentasan masa (time travel) untuk menggabungkan mereka semua. Sejujurnya hamba sudah mula 'tidak selesa' dengan kisah pengembara masa ini memandangkan RAM pernah menggunakannya dalam beberapa novel sebelum ini terutamanya yang melibatkan watak Laksamana Sunan.

Tiada mesin masa yang terlibat dalam penceritaan novel ini. Semua watak dalam dunia masing-masing dibawa ke masa akan datang selepas melihat fenomena halo di langit. Kesemua watak itu pula 'diangkut' tatkala masing-masing sedang menghadapi peristiwa besar pada zaman masing-masing. Umpamanya Laksamana Sunan sedang diterkam dengan pedang oleh seorang pahlawan Siam bernama Trang dalam satu peperangan, dalam keadaan beliau tidak bersedia untuk menangkis manakala Ryu Watanabe pula sedang jatuh daripada tingkat tinggi sebuah hotel apabila terlihat fenomena halo dan seterusnya membawa mereka ke zaman lain.

Agak mudah sekali untuk menggunakan fenomena halo sebagai asbab untuk mengangkut watak-watak berkenaan ke masa akan datang. Manakala kepulangan semua watak ke zaman masing-masing pula dibuat dengan agak tragik iaitu kesemuanya terkorban dalam peperangan menentang Tuan Turak. Sebenarnya kesemua watak yang dipilih RAM mempunyai karakter yang berbeza dan istimewa lewat novel asal mereka. Namun kesemuanya mempunyai satu persamaan iaitu berani dan pernah bertempur pada zaman masing-masing. Sifat-sifat ini amat berguna pada zaman mereka dibawa. Ia dilukiskan RAM melalui banyaknya babak 'gocoh' di dalam Magis ini.

Masa depan yang dipilih oleh RAM bukannya calang-calang. Beliau memilih latar masa akhir zaman, tatkala tidak lagi ramai manusia yang beriman. Secara lansung beliau tidak menyatakan bahawa dunia waktu itu sedang diperintah oleh dajal laanatullah. Cuma melalui watak-watak yang ada, mereka menjangka bahawa kuasa yang berada di atas Tuan Turak adalah dajal itu sendiri. Bagi diri hamba sendiri, hamba tidak berani untuk menggunakan latar masa sedemikian. Ini memandangkan kisah akhir zaman amat berkait rapat dengan dalil-dalil naqli sama ada melalui Al-Quran ataupun hadith. Hamba tidak berani sewenang-wenangnya mengarang kisah dengan menggunakan latar masa akhir zaman dibimbangi menyalahi mana-mana dalil naqli yang ada. Hamba tidak mahu mengulas mengenai pemilihan latar masa oleh RAM ini dan hamba percaya beliau telah memikirkan dengan semasak-masaknya.

Mengenai nama pemerintah besar yang menggunakan nama Tuan Turak, hamba tidak pasti ia lahir atas sandaran apa. Cuma apabila hamba menterbalikkan perkataan turak itu sendiri, atau dibaca dari belakang - ia berbunyi karut! Adakah hamba benar RAM?

Setiap watak mempunyai kisah menarik yang tersendiri. Penggabungan kesemuanya membuatkan kadangkala hamba tidak puas membaca kerana bercampur aduk. Ada kalanya hamba lebih merasakan hati ini lebih seronok membaca pengkisahan setiap watak pada masa sebelum dan selepas mereka merentasi masa, bukannya apabila mereka semua berada di akhir zaman. Mungkin hamba rasa sebegini kerana masa sebelum dan selepas itu lebih berpijak di bumi yang nyata.

Dalam Magis kelihatan RAM memasukkan sedikit unsur 18SX walaupun tidak berapa ketara sama ada melalui penceritaan ataupun dialog wataknya, sesuatu yang hamba rasa tidak dilakukan beliau sebelum ini. Perlu diingat apabila hati membaca, otak akan mentafsir dengan imej di kepala. Jadi apabila RAM bercerita tentang manusia tanpa seurat benang, maka otak akan terus melakarkan imej tersebut. Ada kalanya hamba merasakan penceritaan seperti itu tidak perlu lansung seperti watak Mikhail yang mandi bogel di sungai beserta dialog jenaka dewasanya itu.
Semasa Pilihanraya Umum yang lepas, tagline 'Ini Kalilah' digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk menarik perhatian rakyat bagi mengundi mereka. Terdapat dua tempat di dalam novel ini di mana RAM menggunakan ungkapan tersebut di mana dua kali dilafazkan oleh Ejim dan sekali dilafazkan oleh Mikhail. Hamba tidak pasti adakah dengan penggunaan ungkapan ini RAM ingin menunjukkan kecenderungan politiknya atau tidak lebih sekadar satu lelucon atau unsur sinis di dalam penulisan. Ini kerana hamba merasakan ungkapan tersebut seperti tidak 'masyuk' di dalam dialog serta peristiwa yang sedang berlaku. 
Seperkara yang hamba suka setiap kali membaca tulisan RAM yang diterbitkan oleh Alaf 21 ini, RAM akan memberikan hint mengenai novelnya yang akan datang. Ini secara tidak lansung menunjukkan bahawa ideanya sentiasa mengalir deras dan beliau telah bersedia untuk menghadapi khalayak pembacanya dengan perkara yang baru yang pastinya ditunggu-tunggu dengan penuh sabar.

Secara keseluruhannya novel Magis adalah sebuah novel yang baik. Namun ia tidak dapat menandingi beberapa karya agung RAM sebelum ini. Hamba masih lagi memilih Semangat Hutan, Hatiku Di Harajuku dan Bagaikan Puteri sebagai karya terbaik yang pernah RAM hasilkan.




Sabtu, 5 Oktober 2013

ARMAGEDON 2012, BENCANA AKHIR ZAMAN - Muhammad Alexander



Buku ini hamba beli sebelum 2012 lagi. Tetapi dah lebih separuh tahun 2013 barulah hamba membacanya. Walaupun sekali imbas ia seperti menjawab persoalan kiamat yang timbul akibat berakhirnya kalendar kaum Maya, namun ia sebenarnya lebih daripada itu. Buku ini mengupas isu kiamat berdasarkan dalil-dalil naqli yang disepadankan dengan kajian saintifik.

Dalil-dalil berkenaan hari kiamat dari Al-Quran dan Al-Hadith disampaikan dengan cara yang mudah dan dapat difahami, terutamanya ketika zaman ia diturunkan, memandangkan ketika itu pengetahuan tentang sains amatlah terbatas. Zaman beredar dan manusia semakin mengenali sains. Alangkah hebatnya ayat-ayat suci kerana ia telah bercerita mengenai sains lama sebelum manusia memahaminya. Satu contoh paling mudah adalah mengenai kejadian manusia itu sendiri yang diterangkan secara terperinci di dalam Al-Quran. Dan apabila manusia telah mula dapat mengkaji mengenai kelahiran manusia, adalah didapati penerangan Al-Quran itu adalah bertepatan dengan sains moden. Dengan demikian pastilah kitab Al-Quran ini diturunkan oleh Tuhan yang Maha Kuasa serta Maha Luas Pengetahuan-Nya. Amat mustahillah kitab ini hasil karangan manusia. Lantaran itu kedapatan ramai ahli sains barat yang memeluk Islam apabila menyedari hakikat ini.

Maka buku ini cuba untuk menghuraikan dalil-dalil kiamat ini melalui perspektif sains. Contohnya ayat-ayat atau hadith yang menyebut tentang keadaan langit terbelah dan menjadi merah seperti mawar yang dilumuri minyak, matahari digulung, bumi dilipat, bintang-bintang berguguran dan sebagainya. Ia juga cuba untuk menghuraikan apabila dajal, yakjuj dan makjuj serta daabatul ardh bermaharajalela di muka bumi.

Sesungguhnya buku ini akan menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah. Memandangkan kajian mengenai sains adalah berterusan berjalan, maka hamba yakin apa yang penulis dapati bukanlah sesuatu yang muktamad. Berkemungkinan ada lagi penghuraian terhadap dalil-dalil kiamat yang masih dihuraikan dari sudut sains. Suka hamba cadangkan kepada penulis agar ayat-ayat Al-Quran serta hadith dapat ditulis ayat serta matan asalnya dalam bahasa Arab dan bukan sekadar terjemahannya sahaja. Begitu juga apabila penulis menghuraikan maksud perkataan Arab yang diambil dari kamus, pohon ditulis dalam huruf Arab dan bukannya huruf rumi. Ini kerana walaupun hamba boleh berbahasa Arab sedikit tetapi apabila membaca perkataan Arab bertulisan rumi ia boleh membawa kekeliruan dari segi sebutan memandangkan tulisan rumi tidak kadangkala tidak dapat membunyikan sesuatu perkataan dengan tepat.

Hamba amat mencadangkan agar buku ini menjadi sebahagian daripada simpanan anda di rumah. Ia amat bermanfaat serta membuka minda kita bahawa setiap apa yang dijadikan Allah itu akan pasti ada penjelasannya.

Jumaat, 4 Oktober 2013

CUIT DILEMA MELAYU MODEN - Zaini Hassan


Buku ini merupakan himpunan artikel sebuah pojok di bawah tajuk yang sama, yang tersiar setiap hari Rabu di akhbar Utusan Malaysia. Hamba sendiri tidak tahu kenapa terjebak membelinya sedangkan pojok ini kerap hamba baca. Namun dikhabarkan ia laku umpama goring pisang panas sewaktu awal pelancarannya, lebih-lebih lagi waktu itu merupakan waktu berlansungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Buku yang hamba sendiri beli semasa pesta tersebut telahpun menandakan bahawa ianya merupakan cetakan yang kedua.
Semua artikel yang terhimpun di dalam buku ini dibahagikan kepada empat tajuk besar iaitu Politik, Negara Bangsa, Media dan Umum. Separuh daripada buku ini sahaja telah membincangkan hal di bawah tajuk politik. Bahkan artikel yang berada di bawah tajuk lain juga masih terasa kuatnya bau politik dalam tulisan tersebut.
Walau apapun, hamba suka dengan gaya penulisan yang bersahaja oleh Zaini Hassan. Mempunyai semangat Melayu yang kuat, beliau jelas amat sayang kepada agama, bangsa dan tanah airnya. Sesuai dengan tajuk pojoknya, Zani Hassan ‘mencuit’ sesiapa sahaja terutamanya ahli politik. Walaupun hamba tidak cenderung dengan fahaman politik beliau, tulisan beliau amat menarik untuk direnung serta dibincangkan. Ini kerana beliau mengkritik dengan hujah yang bernas bertujuan untuk kebaikan anak bangsa. Ada tulisan dalam buku ini yang mendapat kritikan yang hebat sehingga membawa kepada kes di mahkamah. Benar amatlah kata hikmah bahawa mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang.
Ruangan Cuit masih lagi bersiaran di Utusan dengan yang terkini penulis menulis secara lansung dari Tanah Suci Makkah kerana menunaikan ibadah haji. Moga mendapat haji yang mabrur dan teruskan mencuit!!

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...