Rabu, 28 September 2022

MAJALAH GILA-GILA TAHUN 2020 #825 - #834

 Tahun 2020 adalah tahun wawasan. Namun tahun ini juga adalah tahun yang penuh dugaan, bukan hanya pada Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Siapa sangka satu penyakit yang baharu telah melanda dan melumpuhkan segala-galanya. Walaupun dahulu orang membayangkan di tahun wawasan ini manusia akan menaiki kereta terbang, tetapi usahkan kereta, kapal terbang juga tidak boleh terbang di musim covid-19!

Gila-Gila mempunyai hanya sepuluh keluaran di tahun 2020. Keluaran #828 telah menggabungkan tiga keluaran sekaligus iaitu keluaran bulan April, Mei dan Jun. Walaupun ia adalah keluaran yang menggabungkan bagi 3 bulan, namun tebalnya masih sama dengan keluaran-keluaran yang biasa. Semuanya disebabkan penangan Covid. GG juga tidak terkecuali. Namun yang pastinya GG tetap hebat kerana masih terus bertahan walaupun banyak perusahaan dan bisnes yang lingkup disebabkan pandemik ini.


#825

Hamba suka dengan kemeriahan dan warna cover GG yang membuka tirai tahun 2020 ini. Ia menggambarkan suasana tahun 2020 antara kemajuan dan kemunduran. Patinya pelukisnya tidak dapat menjangka beberapa bulan selepas itu covid akan menyebabkan satu Malaysia menderita.

Walaupun ini GG tahun 2020, hamba merasakan kartun lama lebih banyak daripada biasa. Tidak terasa keluaran ini seperti keluaran yang terbit di tahun baharu.

Jika selalunya bahagian tengah majalah memberikan cenderamata berbentuk poster, Kali ini GG memberikan sebuah diari lipat. Cenderamata seperti ini jika ia diberikan pada zaman sebelum telefon bimbit, tentunya akan jadi kegunaan yang amat baik. tetapi dengan adanya teknologi, hamba sendiri tidak terasa seperti ingin menggunakannya.


#826

Sejak tahun 2019 sehingga ke keluaran ini, GG giat mempromosikan aplikasi GG Komiks. Hamba sendiri memuat turun aplikasi ini semasa ia baru dilancarkan dulu. Ia memberikan peluang untuk kita menatap banyak karya kartun di atas talian termasuk beberapa keluaran majalah lama. Tetapi kini (2022) hamba dapati apps ini tiada lagi di playstore. Harapnya pihak GG mengaktifkannya semula.

Sejak beberapa keluaran sebelum ini juga ruangan tulisan bersiri telah mula meriah di GG termasuk satu ruang pojok baharu bertajuk Sius Nak Story. Tapi ruangan Sisa Nak Story ini tidak berapa power buat hamba. Cukuplah hanya ruangan pojok Mansasau dan Minahleter sahaja.


#827

GG kali ini sudah mula membawa tema covid di cover depannya. Menggambarkan pemakaian pelitup muka yang boleh digunakan jantan miang untuk berselindung melakukan aktiviti nakal mereka. Mansasau juga berbicara tentang penyakit ini di ruang pojoknya.

Long dalam kartunnya bertajuk 'Wanita Mesti serius....'  berkisah mengenai wanita akan datang. Kartun ini adalah sebuah kartuyn lama di mana Long membyangkan tentang beberapa perkara yang mungkjin dilakukan oleh wanita akan datang (di mana ketika itu ia belum terjadi lagi atau amat jarang berlaku). Apa yang dikhayalkan oleh Long itu ternyata ada yang berlaku hari ini seperti wanita menjadi penebar roti canai, wanita bermain sepak takraw, wanita lebih ramai berjogging di lapangan, wanita ramai memenagi award dalam perniagaan, dan lain-lain lagi.


#828

inilah GG yang menggabungkan keluaran April, Mei dan Jun sekaligus. Ini bermakna GG sendiri tidak dapat beroperasi dan keluar seperti biasa disebabkan covid. Ia adalah keluaran ulangtahun GG ke 42 disekalikan dengan keluaran hari raya. Tiada edisi bumper dikeluarkan.

Ada beberapa ruangan istimewa sempena ulangtahun ke 42 ini seperti apa yang berlaku 42 tahun yang lalu sehingga membawa kepada kewujudan GG serta biodata dan karikatur para pengasas GG.

Ada satu rencana oleh Ronasina bertajuk 'Syy... Ini Ceritanya' yang amat menarik minat hamba. Ia berkenaan kisau beliau yang diberikan kepercayaan oleh Jaafar Taib untuk membantu 'membuat' GG. Dalam keadaan orang tidak lagi berminat dengan bahan bacaan berbentuk fizikal, adalah satu cabaran buat Ronasina untuk menarik minat pembaca. Beliau juga gigih mencari dan mengumpulkan kartunis lama dan baharu untuk menjadi penyumbang tanpa dapat menjanjikan bayaran. Beliau dalam masa yang sama turut gigih menjaga anaknya yang sakit.


#829

Cover GG menggambarkan kegembiraan apabila sempadan antara negeri dibuka semula selepas ditutup sekian lama dek PKP. GG dalam mana-mana covernya sering menjadikan isu semasa sebagai bahan tarikan.

Kolum Mansasau dan Minahleter juga membicarakan tentang covid. Bahkan pojok Minahleter menyelar para jantan yang menjadikan negara kucar kacir kerana politik!

GG keluaran ini turut menyiarkan berita Jaafar Taib yang telah dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan mata akibat jangkitan kuman.

Para kartunis juga telah melakukan gotong royong menceriakan Rumah Kartun Dan Komik Malaysia setelah beberapa bahan pamerannya rosak kerana terbiar disebabkan PKP.


#830

Cover GG bulan kemerdekaan memaparkan kegembiraan tiga orang pesakit yang gembira kerana sembuh daripada penyakit Covid-19. Ia dianggap sebagai satu kemerdekaan.

Kolum Dunia Kartun kali ini memfokuskan tentang kartunis Zunar, seorang kartunis yang hari ini dikenali kerana kesinisan karyanya dalam politik dan cenderung kepada parti tertentu. Namun hamba lebih suka kepada kartun lama beliau - Liza dan Kaduk - Cinta Tak Semestinya Bersatu!

Ada tiga orang kartunis GG yang mempunyai kebolehan berjenaka di dalam bahasa Inggeris lewat karya-karya mereka iaitu Nuds, Ramzahurin dan Long. Nik juga pernah menyumbangkan kartun dalam bahasa Inggeris. Melalui kartun-kartun mereka sekurang-kurangnya hamba dapat belajar bahasa Inggeris melalui penyampaian yang cukup santai dan mudah. Hamba rindu karya Long, English 122.


#831

Cover depannya memberikan mesej bahawa Covid-19 telah menyebabkan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar daripada yang sekcil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya.

Bermula daripada beberapa keluaran sebelum ini, ruangan Tiga Dara Pingitan tidak lagi berada di permulaan majalah. Ia kini berada di pertengahan dan tidak lagi dalam warna.

Siri Hijrah Ke Isketambola memasuki bahagian keempat telah mula menarik minat hamba. Jalan ceritanya umpama satu riddle yang perlu diselesaikan untuk mencari jalan ke Isketambola.



#832

Terasa pembahagian di antara kartun baharu dengan yang lama begitu tidak seimbang. Sepatutnya bilangan kartun baharu melebihi yang lama. Yang hamba lihat adalah sebaliknya. Benar, kartun lama ini baik untuk diperkenalkan kepada generasi baharu. Tetapi perlu juga diketahui bahawa cara lawak orang hari ini dan gaya kartun yang mereka minati berbeza dengan yang lalu. Tetapi hamba juga faham akan kekangan pihak GG ini. Mereka bukannya sengaja. Cubalah kita ramai-ramai beri sokongan semula seperti di era kegemilangannya, pasti bentuk persembahan GG akan berubah.

GG memaklumkan pemergian tiga orang kartunis iaitu Nora Abdullah, Nor Azman bin Mohamad (Jering) dan Ismail Tomat.

Ada satu kartun lama tiga petak oleh Jaafar Taib yang walaupun kelakar tetapi mempunyai mesej yang amat mendalam. Kotak yang pertama memaparkan sepasang suami isteri yang masih muda tertawa kegelian melihat anak kecil mereka, seorang lelaki, mengenakan gincu di bibir. Petak yang kedua, suami isteri yang sama dalam usia pertengahan masih ketawa melihat penampilan anak lelaki mereka yang dalam usia sekolah rendah memakai baju kebaya ibunya yang besar sehingga nampak gedoboh. Pada petak yang ketiga, suami isteri ini yang berada dalam usia tua, tidak lagi ketawa apabila anak lelaki mereka dah jadi pondan!


#833

Mansasau dalam Geromalnya memberikan penghargaan buat para fronlines yang begitu gigih berjuang mempertahankan negara menghadapi covid-19.

Hamba makin rimas membaca kolum Sis Nak Story. Bahasanya bercampur aduk antara Melayu dan English, mengikut gaya anak muda perasan orang pekan. Kalau nak menulis dalam bahasa Inggeris, tulislah sepenuhnya dalam bahasa berkenaan. Jangan sekerat-sekerat, sekerat ular sekerat belut macam kata Tan Sri Rais Yatim. Kalau awak menulis sepenuhnya dalam BI hamba akan lebih puas hati. Usahlah berasa urban sangat. Awak tetap makan nasik!



#834

GG penutup tahun 2020. Tiada persembahan istimewa sempena penutup tahun. Belum ada kartunis baharu yang power dan boleh menjadi fenomena. kartun lama masih bersiaran seperti biasa. Kartun lama Ujang ada beberapa muka dalam keluaran ini dan ia merupakan antara kartun semasa pengelibatan awal Ujang. Dapat kita lihat gaya dan stroke lukisan beliau yang simple. Namun gaya yang biasa itu beberapa tahun kemudiannya berubah menjadi luar biasa.

Ada satu kartun bersiri baharu bertajuk Pelayaran oleh Epie mengenai bekas penagi yang berubah. Nampak penceritaannya agak menarik. Lukisan beliau pun boleh tahan. Kena sambunglah lagi pembacaan GG tahun 2021!






Khamis, 22 September 2022

CINTA DI DALAM GELAS - Andrea Hirata


 

Ini adalah novel kedua dwilogi Padang Bulan

Bagi sesiapa yang pernah membaca Buku Besar Peminum Kopi (BBPK) sebenarnya tidak perlu lagi membaca dwilogi ini kerana kisahnya adalah sama. Bezanya dwilogi ini memaparkan kisah yang lebih detail.

Jika di novel pertama penumpuannya lebih kepada watak Ikal, di buku kedua ini adalah giliran Maryamah aka Enong. Dalam novel kedua ini penulis menggunakan nama Maryamah berbanding Enong di dalam novel yang pertama. Kisah Maryamah adalah khusus mengenai persediaan beliau untuk menyertai pertandingan catur 17 Agustus. Target beliau adalah untuk menumpaskan Matarom, bekas suami Maryamah yang lebih banyak mendatangkan penderitaan di dalam alam rumah tangga mereka.

Maryamah tidak pernah bermain catur. Lagi pula catur bukannya permainan wanita di sini. Wanita juga tidak pernah dan dilarang menyertai pertandingan tersebut. Lantaran bagaimana Maryamah bisa menyertai pertandingan yang dianggap besar di kampung tersebut.

Di sinilah penulis memaparkan bukan sahaja kesungguhan Maryamah mempelajarai cara bermain catur bahakan yang terpenting adalah watak-watak di belakang yang menyokong perjuangan Maryamah. Mereka adalah satu team yang bekerjasama mencari jalan - dengan pelbagai cara - yang kadangkala melucukan demi untuk mempastikan Maryamah berjaya mara hingga ke akhir garisan. Watak-watak penting di belakang Maryamah adalah Ikal sendiri, Detektif M. Nur - spy kampung, Selamot - perempuan Bitun buta huruf yang beraksi sebagai manager, preman cebol, Giok Nio, Jose Rizal - burung merpati terlatih yang wataknya amat penting di dalam menyampaikan maklumat serta komunikasi antara Ikal dan M. Nur dan Nonochka Stronovsky - Grand Master catur yang membantu Maryamah bermain catur serta menganalisa gerakan permainan pesaing Maryamah.

Liku-liku Maryamah sebelum tiba ke final tidaklah mudah. Juga usaha para pendukung Maryamah juga amatlah bersungguh-sungguh walaupun mereka tidak mendapat apa-apa imbuhan. Secara tidak lansung cerita ini cuba mengangkat kedudukan wanita serta kehebatan mereka. Wanita juga harus menyokong wanita yang mahu memajukan diri. Dalam hal ini kesatuan wanita telah berjaya memungkinkan Maryamah menyertai pertandingan catur sekaligus menjadi wanita pertama menyertainya. Maryamah telah membuka pintu untuk penyertaan wanita-wanita lain selepas beliau. 

Penulisan dwilogi ini amat menghiburkan dan ia disampaikan dengan cara yang penuh humor walaupun situasinya serius. Selain itu Andrea yang lewat novel-novelnya bercerita mengenai kampung beliau, satu perkara yang jarang berlaku kepada mana-mana penulis untuk melakarkan tentang kampung sendiri dalam setiap novel yang dihasilkan. Tetapi melaluinya hamba dapat mengetahui bahawa penduduk Belitung adalah orang Melayu yang gemar mendengar lagu-lagu Melayu Semenanjung lewat siaran radio. Jika anda pernah menonton Laskar Pelangi tentunya dapat mendengar tutur kata masyarakat di sana yang mirip dengan pertuturan bahasa Melayu orang Malaysia.


Kenitra tidaklah bercerita tentang kampung sendiri
tetapi survival anak Melayu di Maghribi!


Isnin, 19 September 2022

SIPENA II - HIMPUNAN KARYA PEMENANG HADIAH SASTERA SELANGOR 2017


 

Naskhah ini dicetak di atas kerta yang bermutu tinggi dengan diberikan kulit yang tebal. Ia menghimpunkan karya-karya yang memenangi hati juri dalam Hadiah Sastera Selangor 2017. Sesungguhnya usaha kerajaan negeri Selangor di dalam memartabatkan karya sastera ini amatlah dipuji. Apabila pertama kali menatap naskhah ini di Pesta Buku Selangor 2021 tahun lalu, hamba tertanya-tanya juga akan diri hamba mengapa hamba tidak mengetahui akan kewujudan anugerah ini sedangkan hamba tinggal di Selangor. Jika mengikut kata aluan oleh  Menteri Besar selangor di permulaan antologi ini, ia dijalankan oleh akhbar Selangorkini. Mungkin kerana itu hamba tidak mengetahui akan pertandingan ini kerana akhbar berkenaan hamba pun tidak tahu boleh didapati di mana. Dulu hamba ada menerimanya sewaktu solat Jumaat di masjid berhampiran rumah sewaktu sebelum covid melanda. Tetapi memandangkan hamba lebih banyak bersolat di masjid berhampiran pejabat maka tidaklah hamba dapat menatap akhbar ini serta mengetahui apa yang ditawarkannya.

Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu cerpen, esei dan puisi. Terdapat pemenang hadiah utama bagi kategori cerpen dan puisi. Manakala bagi kategori esei para juri m,erasakan tiada peserta yang layak untuk memenangi hadiah utama.

Cerpen-cerpen yang memnangi hadiah kesemuanya berbentuk abstrak - satu penceritaan yang tidak berapa hamba gemari. Berbanding dengan puisi, abstrak di dalam puisi lebih hamba sukai kerana lebih terserlah kecantikan kata-kata melalui bait-bait yang ringkas dan puitis. Manakala bagi kategori esei atau rencana, sememnagnya hamba tidak meminati membaca rencana sastera dari dahulu lagi.

Hamba tidak mahu mengulas tentang apa-apa karya kerana semua karya ini telahpun dinilai oleh para juri yang hebat dengan ketuanya saudara Faizal Tehrani. Tetapi ada suatu gambar ilustrasi atau fotografi yang tidak menyenangkan mata hamba yang terletak mengiringi sajak yang memenagi hadiah utama. Ia adalah gambar sebuah bangunan dengan mural pada dindingnya memaparkan objek yang tidak senonoh. Tidakkah editor melihatnya terlebih dahulu. Atau adakah ini perlambangan kepada satu kebebasan, atau ini satu promosi tidak senonoh di bawah sedar?

Maaf, hamba tidak akan akan paparkan gambar berkenaan di sini!


Kenitra lebih best daripada buku di atas!


MAJALAH GILA-GILA TAHUN 2019 #814 - #824

 Pada tahun 2020 hamba membeli majalah Gila-Gila keluaran tahun 2019 secara sekaligus. Agak sukar untuk membelinya berdikit-dikit mengikut keluaran memandangkan tidak banyak kedai yang menjualnya hari ini. Walaupun dikira ketinggalan kerana tidak membelinya mengikut keluaran terkini, sekurang-kurangnya hamba berpuas hati kerana dapat memiliki koleksi yang lengkap. Dan sejak membeli secara sekaligus di awal tahun 2020 itu, hamba teruskannya di tahun 2021 dan 2022. Jadi majalah yang dikeluarkan pada tahun ini hamba menahan diri daripada membelinya dan akan membelinya secara bundle pada awal tahun hadapan. Majalah keluaran tahun 2019 ini walaupun telah lama membelinya, baru minggu inilah dapat hamba meluangkan masa untuk membacanya secara marathon. seronok juga kerana dapat membaca kisah yang bersiri secara terus tanpa perlu menunggu lama untuk mengetahui kisah sambungannya.

Majalah Gila-Guila tahun 2019 mengandungi 11 keluaran sahaja. Sepatutnya ia mempunyai 12 keluaran dengan hitung panjang satu keluaran sebulan. Tetapi bagi keluaran September dan Oktober ia telah disatukan dalam satu keluaran bernombor #822.

#814

Keluaran sempena tahun baharu 2019, memaparkan watak Jai yang terpaksa jauh duduk dim luar rumah kerana merokok. Ia adalah refleksi kepada peraturan larangan merokok di dalam premis makanan oleh KKM. GG dalam banyak hal, selalu meletakkan isu semasa sebagai persembahan muka kulitnya.

Geromal Mansasau sempena tahun baharu ini juga mencatatkan kejayaan GG yang masih lagi bertahan sehingga ke hari ini.

GG memberikan penghormatan kepada Dato' Azman Yusof dalam keluaran kali ini. Beliau yang merupakan pelukis di-Raja Selangor juga merupakan salah seorang daripada pengasas GG. Beberapa kartun lama beliau turut dipaparkan semula. Antara kartyun lama yang dipaparkan adalah Terkenang Semasa Kecil oleh Nan, Tok Bomoh oleh Zainal Buang Hussein, Legenda Kuih Bakul oleh Reggie Lee dan lain-lain lagi. Rupanya sejarah kuih bakul ini adalah untuk hidangan Dewa Dapur! Tiba-tiba sahaja hamba teringat tentang isu tarian Bon Odori!!!


#815

Kali ini Mishar memberikan penghormatan kepada kartunis Juragan. Kartunis Juragan adalah antara figura yang bersama-sama Mishar membina jenama majalah Batu Api. Juragan juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kartunis awal bagi majalah tersebut. Juragan juga adalah orang kuat di sebalik terbinanya Rumah Kartun dan Komik Malaysia.

Ada kartun Rejabhad tentabng 'Main' Dalam Tentera di mana latihan jasmani tentera dulu-dulu turut meilbatkan permainan tradisional seperti 'laga ayam', 'kejar pukul belakang', 'harimau dengan kambing', belalang-belatuk', 'carry darling' dan lain-lain lagi. Hamba percaya ada di antara nama permainann ini tidak lagi dikenal atau dimainkan pada hari ini.

Ada sebuah kartun oleh Dato' Lat bertajuk 'Tingkatan 3F, 1967...' mengenai kelas beliau semasa tingkatan 3 dengan kisah rakan-rakan beliau yang melucukan.


#816

Kartunis Mie menjadi pilihan Mishar untuk isu ini. Merupakan antara figura awal majalah Batu Api. Mie merupakan seorang yang bijak sejak zaman persekolahannya. Semasa menyumbang untuk Batu Api, beliau masih menuntut di ITM. Beliau kini adalah merupakan seorang arkitek bertauliah dan masih lagi aktif berkartun. Sebyuah kartun Mie berjudul Liku-Liku Ke Kampus turut dipaparkan.

Dalam isu ini disiarkan semula siri Al Kisah maka Tersebutlah oleh kartunis Nan. Meliaht kartun Nan, hamba suka melihat gaya persembahan beliau yang melukis tiap kotak dari sudut pandangan atau perspektif yang berbeza. Ia bukan sahaja menunjukkan gaya kreatif tetapi menjadikan pembaca tidak jemu melihat stroke beliau.

Fatah melalui Malaysia Permai mempersembahkan Main Teri, satu permainan tradisional yang melibatkan persembahan tarian yang diiringi muzik yang dikaitkan dengan penggunaan makhluk halus.

Ada dua kartun Baba Chuah di dalam isu ini bertahuk Banci dan Tanahair. Hamba memang meminati gaya lukisan kartyunis berbangsa Cina ini kerana hasil lukisan beliau yang kemas dan tersendiri. Walaupun bukan berbangsa Melayu, Baba Chuah dapat melukis tentang cerita orang Melayu dengan baik sekali.


#817

GG bilangan #817 ialah GG pada bulan kelahirannya iaitu April. Pada 1 April 2019 GG genap berusia 41 tahun. 41 tahun adalah usia yang amat matang sekiranya ia seorang manusia. Dalam Geromalnya, Mansasau bercerita tentang hayat majalah ini. 

GG kali ini memaparkan muka depan yang lain daripada biasa. Ia adalah poster filem Tiada Tajuk arahan Mawi. Muka depan ini sebenarnya bukanlah sebuah lukisan. ia adalah gambar fotografi yang diberi suntingan seperti cover majalah GG. Walau bagaimanapun tiada keterangan tentang filem ini di dalam majalah.

Kartunis yang menjadi tumpuan kali ini amat bersesuaian dengan sambutan hari ulang tahunnya. Mishar telah memilih kartunis Zanal Buang Hussein (ZBH) yang juga merupakan salah seorang daripada empat pengasas GG.  ZBH amat terkenal dengan lukisannya yang detail dan pakar melukis gambar kereta dan gadis jelita!




#818

Ini GG sempena bulan puasa. Hanya cover depannya sahaja yang bertepatan dengan tema. Persembahan di dalamnya lansung tidak ada kartun mengenai puasa.

Kartunis tumpuan adalah Aza yang terkenal dengan kartun bisunya. Aza kini mempunya galerinya sendiri di Jerantut, Pahang.

Kartun yang paling menarik perhatian hamba pada keluaran ini adalah kartun bisu oleh Jaafar Taib yang bertajuk banduan. Bukan sahaja idea beliau amat menggelikan hati, lukisannya juga amat menarik sekali.






#819

GG keluaran ini adalah edisi Hari Raya. Kalau dahulu, GG keluaran hari raya adalah majalah kartun yang amat di tunggu-tunggu. Ini kerana bagi keluaran hari raya, GG akan tampil dengan isu bumper yang lebih tebal daripada biasa. Biasanya edisi sebegini juga akan menyediakan cenderamata istimewa seperti kad raya, poskad ataupun sampul duit raya. Namun kini GG telah lama tidak keluar dengan isu bumper termasuklah edisi raya ini. Cuma kulit luarnya sahaja yang lebih tebal berbanding keluaran biasa serta sedikit penambahan muka surat, 16 muka lebih daripada biasa.

Kartunis Cabai merupakan penerima Anugerah Kampung Boy 2015. Beliau juga merupakan kartunis wanita yang mendominasi GG sejak sekian lama. Pernah tampil dengan majalah kartun sendiri yang hanya bertahan selama tiga tahun sahaja. Hamba masih ingat Cabai mempunyai kakak yang satu ketika dahulu turut aktif berkartun dengan menggunakan nama Whitesnake. Penyanyi Ajin Black Rose juga adalah saudara kandung beliau.

Berbanding dengan edisi puasa, edisi raya ini menampilkan kartun-kartun bertemakan raya, walaupun ada di antara kartunnya merupakan kartun ulangan. Walaupun begitu terasa persembahan kartun rayanya tidak seperti persembahan di zaman kegemilangannya. Hamba berdoa GG boleh buat satu comeback yang benar-benar ampuh.


#820

GG isu #820 memberikan belasungkawa buat kartunis Zamriabu yang telah kembali ke rahmatulLah pada 30 Jun 2019 di usia 63 tahun. Karya Pak zamri banyak tersiar di permulaan penerbitan GG. Watak-watak kartun beliau simple dan kelakar.

Pak Rossem pula berkisah tentang kunjungan beliau ke Bali bagi melihat perkembangan kartun di sana dan bertemu Jango Pramartha, editor majalah kartun Bali - Bog-Bog.

Akhirnya bagi keluaran 2019 ini ada juga kartun Ujang (walaupun ulangan) yang bertajuk Bomoh. Hamba rasa kartun ini dulu adalah untuk siaran hari raya kerana ada elemen berkenaan di dalam kartun tersebut.



#821

Untuk keluaran tahun 2019 ni, hamba rasa inilah cover yang paling elok sekali selain cover #817. Menggambarkan Malaysia yang meriah dengan warga asing (betulkah??).

Walaupun bulan 8 biasanya GG hadir dengan tema merdeka, hanya ada satu kartun sahaja yang berkaitan dengan meredeka, itupun kartun lama oleh Long yang bertajuk Budaya Rekacipta Dan Rekaciplak Merdeka. Tiada personaliti kartunis yang menjadi tumpuan pada isu ini.

Sejak awal Januari hamba tidak menjumpai sebarang cerpen atau tulisan bersiri menghiasi GG. Tetapi untuk keluaran ini ada dua tulisan bersiri iaitu Awek oleh Matt Romeo dan Lebih Senang Beri Jari Dari Bahu oleh Faisal M.


#822 

Siri kartun Al Kisah Maka Tersebutlah oleh Nan berakhir di keluaran ini. Ia adalah kisah sebuah kampung yang serba kekurangan dan berhasrat memanggil YB agar dapat melihat kesusahan mereka. Untuk menyambut YB mereka telah bergotong royong membuat itu dan ini, memperbaiki segala kerosakan dan membuat jamuan makan sehingga YB merasakan kampung berkenaan berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Akhirnya masalah mereka lansung tidak dapat diselesaikan. Dalam kartun ini ditampilkan watak Sudin, seorang anak muda yang bijak yang pemikirannya berbeza daripada orang kampung yang lain. Kerana kerap berbeza pendapat maka orang kampung tidak begitu gemar dengannya. Tetapi pandangan beliau inilah yang sepatutnya diterima dan diikuti.

Tidak terasa ada keistimewaan pada keluaran ini. Kartun lama yang diulang siarpun ada yang telahpun disiarkan pada satu keluaran di tahun 2019 ini juga seperti kartun bertajuk Judi oleh Juragan. Dan hal pengulangan kartun lama sebanyak dua kali dalam tahun yang sama bukanlah pada kartun ini sahaja tetapi pernah berlaku pada beberapa kartun yang lain.


#823

Andaikata tiada kartun terbaharu daripada kartunis veteran yang menghiasi majalah ini nescaya akan semakin pudarlah sinar GG. Ini kerana kartunis generasi yang baharu masih agak asing lagi buat hamba memandangkan rata-rata mereka tidak mempunyai siri kartun yang boleh dianggap sinonim dengan mereka seperti Atuk oleh Ujang, Dan, Din Don oleh Don atau A.Mamud oleh Fatah. Dalam edisi tahun 2019 ini hamba lihat hanya Cabai satu-satunya kartunis veteran yang konsisten dengan menayangkan Tiga Dara Pingitan berbanding kartunis veteran lain yang hanya muncul sekali sekala dengan karya baharu.

Siri Kepulangan Sofea oleh Juragan berakhir di edisi ini. Sofea ni sebenarnya adalah lelaki yang berperwatakan perempuan. Kerana kejelitaan beliau, ada juga lelaki yang berkenan. Ini sudah kira ada unsur LGBT! Pengakhirannya agak mengejutkan sekaligus menghampakan 'peminat' Sofea. Apa sudah jadi?


#824

GG berdukacita di atas pemergian seorang kartunis veteran - Almarhum Rosdin Sadin yang telah meninggal dunia pada 8 November 2019. Almarhum yang lukisannya banyak menghiasi majalah-majalah keluaran Al-Arqam sudah mula aktif melukis sejak muda di dalam beberapa majalah seperti Bambino. Sekiranya kita melihat ilustrasi beliau di majalah-majalah Al-Arqam, kita akan dapat melihat sentuhannya yang cukup cantik dan mempesona.

Tiga dara Pingitan membuat kejutan dengan kisah perkahwinan Esah. Tetapi hamba sejak awal cerita dapat menangkap bahawa perkahwinan ini tidak akan terjadi. Mana mungkin setelah puluhan tahun siri ini berjalan maka ada salah seorang dara ini akan bernikah. Ia tidak nakan jadi tiga dara pingitan lagi! Yup, dugaan hamba betul, ia tidak lebih daripada sekadar mimpi!

Ada satu ruangan pojok baharu bertajuk Sis Nak Story. Tidaklah hamba tahu siapa gerangan Sis ini. Tetapi yang nyata Sis tidak sepower Minahleter. 

Inilah serba sikit ulasan tentang GG tahun 2019. Tidak larat nak menghurai panjang mengikut setiap keluaran. Cukuplah hanya ringkasan yang serba ringkas sahaja. Apa yang penting GG perlu menyusun semula majalah ini untuk tampil dengan lebih menarik. Tidak kisahlah jika ia bercampur dengan kartun lama sekalipun. GG di zaman kegemilangannya harus dijadikan benchmark. Hamba rasa pihak GG sendiri bersetuju bahawa keluaran sekarang ini tidak sehebat keluarannya sekitar 80 dan 90an. Kartunis yang baharu harus mempunyai watak atau kisah yang kuat sehingga sinonim dengan mereka. Mereka bukannya tidak berbakat, tetapi masih belum ada killer character lagi. Oh yang bagi penyiaran semula kartun lama, seeloknya diletakkan ia diambil daripada keluaran GG yang ke berapa serta tahunnya sekali. Dan kepada penyusun halaman, harap pastikan kartun yang telah keluar, tidak akan disiarkan lagi. Ini kerana terdapat beberapa kartun yang keluar dua kali dalam keluaran 2019 ini.

Berhenti sekejap, nanti hamba godek GG tahun 2020 pula.



Khamis, 8 September 2022

WRITER'S CUT - Ramlee Awang Murshid


Tidak seperti Anding Ayangan III, Hikayat 1 yang hamba peram begitu lama setelah membelinya, Writer's Cut pula hamba baca selepas beberapa hari buku ini tiba ke pangkuan  sebaik menamatkan bacaan buku Perang Anjing Suruhan. Tentunya hamba mengharapkan karya RAM kali ini akan berbeza dan lebih baik daripada karya-karya beliau sebelum ini.

Writer's Cut berpusat kepada seorang penulis bernama Rusdi Salleh. Walaupun nama Rusdi yang dipilih pembaca akan merasakan bahawa RAM seolah bercerita tentang dirinya sendiri lantaran beberapa nama karya yang disebut di dalam naskhah ini adalah karya RAM sendiri khususnya 'Ranggau' yang bukan sahaja salah sebuah novel beliau tetapi turut menjadi pokok perbincangan/persoalan di dalam Writers's Cut.

Dalam berkisah tentang Rusdi, naskhah ini 'diganggu' oleh dua buah cerita yang lansung tidak berkaitan dengan jalan cerita tetapi memberikan perisa tambahan kepada penulisan. Rusdi telah berkisah secara lisan kepada isteri beliau tentang cerita yang beliau mahu tuliskan. Dua kisah berkenaan bertajuk Mahar Rangbulan dan Liverpool Ghost. Walaupun Rusdi hanya 'bercerita' ternyata kedua-dua cerita ini telah memakan mukasurat yang agak banyak sehingga perhatian hamba terhadap kisah Rusdi telah lari buat beberapa ketika.

Tetapi apa yang menarik apabila Rusdi bercerita kepada isterinya adalah beliau akan meminta pandangan tentang cerita tersebut. sewaktu hamba membaca dua kisah ini, seperti biasa otak hamba juga ligat memikirkan segala persoalan yang timbul. Ajaibnya persoalan yang timbul di kepala hamba itu jugalah yang ditanya atau di komentar oleh Jasmine, isteri Rusdi. Hamba percaya sebagai penulis yang mempunyai pengalaman yang bertahun-tahun, RAM telahpun menerima begitu banyak pandangan daripada pembaca beliau. Justeru apabila RAM telah mengetahui persoalan pembaca terhadap kedua cerita tersebut, RAM bolehlah membuat penambahbaikan untuk karya-karya yang akan datang. Kecualilah RAM masih juga mahu mengekalkan gaya sebegini......Justeru setelah ditolak jumlah mukasurat bagi kedua cerita ini, tebal mjuka surat bagi kisah Rusdi ini sebenarnya lebih kurang separuh sahaja. Adakah kedua kisah ini nanti akan muncul sebagai sebuah kisah dalam novel yang berasingan. Tidak mustahil ini adalah promosi awal RAM atau teaser untuk karya yang akan datang!

Rusdi terganggu dengan kehadiran dua orang yang misteri, seorang lelaki dan seorang perempuan. Lelaki yang bernama Pak Ngah telah ditemuinya di hadapan rumah manakala seorang wanita dilihat dua kali menemui anaknya Maya di taskanya. Kemudian hadir pula watak Sayed Razak yang mengumpan Rusdi dengan cek 1/2 juta untuk ke Belantara Tualang Patah bagi menyelesaikan masalah berkaitan Ranggau. 1/2 juta lagi akan dibayar Sayed Razak jika Rusdi berjaya menyelesaikan misinya.

Babak-babak Rusdi di Kampung Madu Tualang dan Belantara Tualang Patah membangkitkan semangat hamba untuk membaca kerana mempunyai nuansa dan rentak seperti karya-karya awal beliau yang penuh dengan persoalan yang membuatkan pembaca berfikir dan berusaha mencari jawapan. Cuma ia hadir agak lewat kerana diganggu oleh dua cerita tadi.  di sinilah nanti pembaca akan mengetahui misteri di sebalik watak Ranggau serta Sayed Razak. RAM juga membuat twist tentang watak Jamilah yang tiba-tiba mempunyai watak langsuir. Entahlah, hamba rasa Jamilah tak perlupun jadi langsuir. Lebih kelakar apabila seseorang menjadi Ranggau selepas meminum air mineral yang sebenarnya diisi dengan muntah seorang ahli sihir.

Pak Ngah dan Ain Nur sebenarnya mempunyai misi yang tersendiri. Mereka datang dari tahun 2032 dan bertemu dengan Rusdi di tahun 2003 bagi menghalang beliau ke Belantara Tualang Patah. Sejak menulis tentang time travel dalam Bagaikan Puteri, dilanjutkan ke siri Anding Ayangan, hamba sebenarnya dah kurang minat dengan premis sebegini. Ya, ia nampak menarik tapi cukuplah sekali dua menggunakan premis pengembaraan masa ini. Tidak hairan akan ada lagi kisah kembara masa ini di karya yang akan datang.

Pak Ngah datang bagi mengubah masa depan. Apa yang bakal dilakukan oleh Rusdi bakal menentukan nasib mereka di masa hadapan. Siapakah Pak Ngah dan Ain Nur ini?


Nota - Terima kasih buat saudari Zalilyani Khadijah yang membantu membelikan novel ini.


Jumaat, 2 September 2022

PERANG ANJING SURUHAN : DARURAT DAN KEKALAHAN KOMUNIS DI MALAYA 1948-60 - Noel Barber


Sejarah kita banyak yang ditulis oleh penjajah. Kerana orang kita tidak menulis sejarah, maka tidak banyak rekod yang kita perolehi pada hari ini datangnya daripada bangsa kita. Kadang-kadang apabila kita cuba menafikan sesuati perkara, yang ada pada kita hanyalah kata-kata lisan atau 'atok aku kata....' dan tidak ada sesuatu yang disimpan secara bertulis apatah lagi berekod. Maka jadilah dalam buku-buku sejarah ini, walaupun menceritakan tentang negara kita, heronya masih orang putih dan kita masih menjadi watak-watak sampingan.

Sepertimana tajuknya, buku ini adalah tentang peperangan Malaya menentang pengganas komunis (PK) yang mula bermaharajalela selepas pendudukan Jepun. Jika di negara jiran, pemimpin mereka dengan segera mengisyhtiharkan kemerdekaan sebaik sahaja Jepun keluar sehingga Belanda tidak berupaya untuk berkuasa semula, di sini tidak ada pemikiran yang sedemikian bahkan ada yang tertunggu-tunggu kepulangan semula orang putih untuk kembali mentadbir. Jika tidak mungkin seawal 1948 atau 1949 kita sudahpun memerintah negara sendiri. Walau bagaimanapun buku oleh Noel Barber ini, walaupun dari kaca mata orang putih, masih memaparkan tentang keadaan tanah air yang bergelut dengan ancaman komunis. Banyak fakta baharu yang hamba dapat. Tulisan Noel juga tidak membosankan (terima kasih juga kepada penterjemah yang dapat menterjemahkan karya ini dengan baik dan tidak kaku). 

Apa yang berlaku di antara Malaya dengan PK sebenarnya adalah satu peperangan. Tetapi orang putih tidak menamakannya 'perang' sebaliknya menggunakan istilah darurat atau emergency. Ia berkait rapat dengan urusan tuntutan insuran di mana urusan tuntutan yang berkait dengan kemusnahan atau kecelakaan semasa perang tentunya akan membebankan syarikat insuran. lebih-lebih lagi peperangan ini tidak akan diketahui beilakan kesudahannya. Jadi untuk mengelakkan berlakunya hal seperti yang dinyatakan, maka istilah darurat digunakan. Bijak kan. Hanya dengan penggunaan satu istilah, ia boleh merubah banyak perkara.

Banyak perkara-perkara yang menarik diceritakan oleh Noel sepanjang tempoh ini. Akan hamba perturunkan beberapa perkara di sini. Selebihnya adalah lebih baik para pembaca sendiri mendapatkan buku ini yang penuh dramatik dan debar.

Walaupun kita kenal PK sebagai manusia yang ganas, tetapi jangan kita merasakan bahawa mereka tidak mempunyai peraturan di kalangan mereka sendiri. PK mempunyai senarai 10 perkara yang perlu dipatuhiketika berada di dalam kem iaitu ;- Bercakap perlahan-lahan; mematuhi adat kebiasaan; memulangkan barang yanhg dipinjam; membayar sebarang kerosakan yang anda lakukan; bersikap jujur ketika menjual dan membeli; melayan tahanan dengan baik; memastikan asrama tempat tinggal bersih; memastikan barangan peribadi dalam keadaan baik; setiap hari pergi ke tandas dan mengelak kaum wanita ketika mandi. 

Kita maklum bahawa kerajaan banyak menggunakan perkhidmatan kaum asli dalam usaha menjejak penjajah. Salah seorang yang pernah digunakan ialah pengesan jejak bangsa Dayak dari Borneo yang bernama sardin. Sardin mempunyai satu set gigi palsu emas yang cantik yang dibeli menggunakan wang simpanannya. Beliau telah kehilangan set berkenaan ketika memanjat pokok kelapa untuk memetih buahnya. Sejak itu beliau kemurungan sehingga menjejaskan prestasi kerjanya. 'Demi kepentingan negara' pihak tentera menggantikan set gigi yang hilang tersebut!

Antara usaha British untuk mengekang pengaruh PK ialah mengumpulkan orang-orang cina yang hidup secara setinggan di pinggir-pinggir hutan ke sebuah penempatan baharu yang dipanhggil Kampung Baharu. Henry Gurney telah mengambil masa selama 18 bulan untuk memujuk para Sultan bagi memberikan kepada para setinggan surat ikatan hak milik atau geran untuk tanah pertanian dan kawasan penempatan!

Gerald Templer pernah dengan selambanya mengambil tanpa izin beberapa helai kain samping seragam polis berwarna biru yang cukup dipakai dalam majlis rasmi di depoh. beliau telah menyuruh seorang pembantu peribadi mengambil beberapa helai untuk dipakai oleh pembantu rumahnya di King's House supaya mereka kelihatan lebih menarik. Ketua Polis, Arthur Young telah mengarahkan pembantunya untuk menyampaikan 'salam' kepada Templer dan mengarahkan agar pakaian tersebut dipulangkan semula! Perghhh orang putih pun ada yang cilok harta kerajaan. Tetapi dalam masa yang sama ada orang putih yang benar-benar menjaga harta tersebut!

Kakitangan kerajaan hari ini apabila menerima sesuatu hadiah daripada orang luar adalah diminta untuk melaporkannya kepada ketua jabatan mereka. Ketua jabatan akan menentukan sama ada hadiah berkenaan wajar diterima atau tidak berdasarkan nilai, bertentangan dengan kepentingan kerajaan, mempunyai unsur rasuah atau tidak atau lain-lain faktor yang difikirkan munasabah. Amalan tersebut telah ada sejak dahulu lagi apabila seorang komunis yang telah menyerah diri bernama Osman Cina ingin menghadiahkan kepada Storrier sebatang pen berwarna emas tetapi telah ditolak oleh ketua jabatan Storrier.

Ada satu keadaan yang melucukan apabila orang-orang asli yang menerima ganjaranwang tunai daripada kerajaan atas maklumat yang mereka salurkan, turun ke pekan Lipis untuk membeli peti sejuk, gramofon dan radio yang menggunakan kuasa elektrik, dan kemudian dengan bangga mengangkut barangan itu balik ke kampung di hutan yang tidak pernah mendapat bekalan tenaga elektrik!

Antara yang kerap diserang oleh PK ialah ladang-ladang getah yang diuruskan oleh Inggeris. Ada sepasang suami isteri bernama Peter Lucy dan isterinya Tommy yang menjadi pengurus Ladang Amherst dikenali sebagai pasangan yang suka dengan Tanah Melayu. Kedua mereka cekap bermian dengan senjata, amat mengambil berat akan pekerja mereka dan berani mempertahankan ladang. Peter telah membuat persediaan dengan meletakkan guni-guni pasir di sekeliling rumah serta meletakkan plat besi di kereta Fordnya sehingga menjadi sebuah kereta berperisai. Kereta itu digelar monster. Sewaktu menghantar Tommy yang ingin bersalin ke Hospital Kuala Lumpur, kereta mereka telah diserang dan ternyata plat besi berkenaan berjaya melindungi mereka. Memandangkan kereta yang telah menjadi berat, mereka hanya mampu bergerak selaju 30km/j sahaja. Dan yang paling hebat sewaktu dihujani peluru komunis ini, Peter dan Tommy yang sedang sarat masih lagi mampu menembak dari kereta mereka. Kereta berperisai dan kegagahan mereka ini membuatkan hamba seperti sedang menonton filem Batman!

Ada seorang wanita, anggota polis Cawangan Khas bernama Irene Lee yang sering disebut di dalam buku ini. Irene adalah cina tempatan yang mana suaminya juga adalah merupakan anggota polis yang telah ditembak mati oleh PK. Di dalam buku ini diceritakan kecekapan dan keberanian Irene menjalankan tugas penyamaran serta menyusup masuk ke kawasan PK. Irene juga dikenali dengan kecekapan dan kepantasannya bermain pistol lebih hebat daripada orang lelaki!

Sebenarnya banyak lagi kisah menarik yang tercatat di dalam buku ini yang mana hamba rasa tidak patut dilepaskan oleh rakyat Malaysia untuk membacanya. Kisah ini berlarutan sehinggalah berlakunya Rundingan Baling dan kemerosotan pengaruh komunis selepas itu.
  

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...