Isnin, 27 April 2020

FANTASTIK - Hasrul Rizwan



Novel ini anak hamba yang membelinya. Kulit keras edisi terhad PBAKL 2019 bernombor siri 119/350. Di sudut atas di sebelah kanan tercatat dengan font yang halus - untuk pembaca matang, sama seperti trilogi Murtad. Jadi hamba menjangkakan nuansa yang sama - lebih kepada bahasa kasar, carutan dan sebagainya. Tapi membaca Fantastik dan terasa macam berleluasa unsur kelucahan. 

Namun andai diketepikan segala unsur lucah berkenaan (yang hamba rasa sekiranya tidak adapun lansung tak merosakkan cerita. Lagipun perkara yang urban ni memang kena ada carutan dan unsur lucah ke? Kenapa nak ikut cara urban yang tidak bermoral sedangkan kita boleh buat lebih baik daripada itu?) novel ini amat menarik sekali jalan ceritanya. Plotnya berjalan lancar, mudah dengan unsur debaran dan jenaka di sana-sini. Membacanya umpama melihat sebuah tayangan filem aksi.

Membaca sinopsi di kulit belakang serta permulaan cerita, mulanya hamba ingatkan ia adalah sebuah kisah cinta. Takkan Hasrul Rizwan menulis kisah sebegini. Namun permulaan yang nampak jiwang itu kemudiannya berubah menjadi panas sedikit demi sedikit.

Watak Ali kecewa kerana ditinggalkan kekasihnya Anita. Alasan remeh Anita ialah Ali terlalu baik buatnya. Kecewa dengan alasan itu, Ali bertekad untuk menjadi seorang bad boy! Plot perjalanan menjadi bad boy inilah yang paling menarik serta mendebarkan untuk dibaca. Ia cuma berlansung sekitar dua hari sahaja, bermula daripada ditinggalkan kekasih pada malam tahun baru itu, Ali terus bertekad untuk menjadi budak nakal. Beliau mahu mencari minuman keras, perempuan dan sebagainya. Namun usaha-usaha beliau ke arah itulah yang akan menimbulkan pelbagai konflik sehinggalah tiba kepada penghujung apabila beliau mahu membalas dendam kepada bekas teman wanitanya, Anita.

Bermula tersilap memasuki kelab gay, dipukul samseng, duitnya dicuri wanita yang ditolongnya, jiran sebelah rumah Mak Minah dibunuh sehinggalah kepada episod pelariannya yang menemukan Ali dengan Alma yang ketika itu sedang cuba untuk membunuh diri yang kemudiannya menimbulkan lebih banyak peristiwa di luar jangka.

Yup, hamba tidak boleh menceritakan keseluruhannya kerana ini akan mencalarkan mood anda nanti. Tapi percayalah bahawa kisah ini (minus perkatan-perkataan lucahnya) adalah amat menarik sekali.

Anda rasa apa Ali nak buat apabila akhirnya tahu yang Anita bukanlah seorang wanita! malas cerita, pergi beli sendiri di kedai!!

Sabtu, 25 April 2020

MAT GONG - Malungun


Buku ini masih elok lagi berbalut dengan plastik sepertimana kelazimannya sebuah buku baru. Sewaktu mengoyakkannya hamba menyangkakannya merupakan cetakan yang paling akhir tetapi terkejut apabila mendapatinya adalah buku cetakan yang pertama pada tahun 1995. Buku tahun 1995, hanya pada tahun 2020 dibuka - sudah 25 tahun usianya, di usia anak muda yang telah dewasa dan mula menggatal hendak bernikah. Bau kertasnya masih segar seperti buku-buku baru. Tiada juga kesan kekuningan yang biasanya menempel pada buku yang telah berusia. Justeru, walaupun telah berusia, buku ini umpama baru sahaja keluar dari kilang.

Mat Gong asalnya adalah kisah yang disiarkan secara bersiri di dalam majalah Gila-Gila. Namun hamba ketika itu tidak begitu mengikuti kisahnya walaupun membaca majalah berkenaan pada setiap keluaran. Mengandungi 54 bab, ini bermakna ia telah bersiaran di dalam 54 keluaran Gila-Gila yang memakan masa siaran lebih kurang dua tahun dan tiga bulan (berdasarkan keluaran Gila-Gila sebanyak dua kali sebulan ketika itu). Walaupun ilustrasinya yang dibuat oleh Don seolah ia adalah sebuah kisah jenaka, tetapi ia tidak sebegitu. Ia bukanlah sebuah kisah lawak sama sekali.

Latar masa Mat Gong adalah sekitar pertengahan tahun 50an membawa ke zaman selepas merdeka. Ia adalah kisah masyarakat di sekitar Kampung Tepus, Kampung Gapis dan Pekan Tandang dengan tumpuan utamanya kepada watak Muhammad bin Abdullah ataupun Mat Gong. Soal kenapa beliau dipanggil Mat Gong haruslah anda membacanya sendiri.

Secara keseluruhan Mat Gong adalah satu sindiran epada cara hidup masyarakat yang mahu hidup senang tanpa perlu banyak berusaha walaupun peluang telah datang bergolek di hadapan mata. Ini dapat dilihat pada diri Mat Gong yang telah menjumpai sebuah kawasan paya yang mempunyai bijih timah. Namun beliau bukan jenis panjang akal. Sebaliknya perkara itu diberitahunya kepada Tauke Lee yang kemudiannya memanfaatkannya dengan melakukan perlombongan secara haram. Mat Gong hanya dihulurkannya sedikit saguhati (dibaca rasuah) untuk menutup mulut. Namun pada Mat Gong dia berasa bangga kerana membantu Tauke Lee yang dianggap sahabatnya untuk menjadi kaya. Dia lebih suka sekiranya orang ramai mengetahui bahawa dialah yang menjadikan Tauke Lee kaya.

Tauke Lee adalah seorang kapitalis yang menggunakan kekayaannya untuk membeli orang kampung. Dari orang biasa seperti Mat Gong hinggalah ke peringkat yang paling tinggi seperti Tok Penghulu dan tuan S.O. (Settlement Officer). Boleh dikatakan bahawa hampir semua sogokan dalam novel ini datangnya daripada wang Tauke Lee, termasuk juga Mr George, pengurus estet getah yang juga milik Tauke Lee. Begitu mudahnya sogokan berlaku tanpa ada yang berasa salah dan hanya menganggapnya satu perkara biasa. Kerana itu masyarakat yang digambarkan seolah-olah terlalu mudah dibeli. Ini dapat dilihat pada watak Sarip, Lebai Musa, Tamin dan pemuda-pemuda Tandang yang pada mulanya mahu membuat hal di majlis pengislaman Ah Chai, akhirnya menjadi penyeri majlis pula dengan membuat persembahan silat selepas dijanjikan jawatan di estet serta lombong Tauke Lee.

Penjawat awam juga digambarkan sebagai tidak cekap dan kaki rasuah. Ini dapat dilihat pada watak Tok Penghulu, tuan S.O. serta kerani dan peon di pejabat tanah. Kesemua mereka bergerak hanya disebabkan adanya wang pelincir. Walaupun sudah ada wang pelincir, kerja yang dijalankan masih juga lambat. Bahkan kerana wang juga, amanah kerja lansung tidak ditunaikan. Tuan S.O. yang sepatutnya membuat pemeriksaan ke atas kawasan paya yang dipohon oleh Tauke Lee untuk mendapatkan lesen TOL tidak jadi melakukannya setelah koceknya dimasukkan wang oleh Tauke Lee. Tauke Lee juga menipu bahawa paya berkenaan hendak dijadikan kolam ikan lampam padahal ia merupakan tempat beliau melombong secara haram. Tuan S.O. dan Tok Penghulu juga digambarkan membaca akhbar sewaktu pagi di pejabat dan terus membaca walaupun orang telah ramai menunggu untuk bertemu. Pertemuan dengan orang ramai hanya dilakukan setelah mereka selesai membaca akhbar! Bahkan penghulu juga hanya menandatangani surat-surat yang ada ddi dalam tray beliau selepas seminggu berada di situ! Bayangkan jikalau beginilah sigat penjawat awam pada hari ini sudah pasti negara akan musnah dan tiada pembangunan akan dapat dijalankan dengan pantas.

Walaupun mempunyai duit yang sedikit kadangkala ia digunakan untuk berhibur dan dihabiskan begitu sahaja. Berhibur di kelab malam sambil minum minuman keras serta melanggan perempuan, minum todi, belanja kawan-kawan hanya kerana mahu dilihat kaya serta sebagai balasan tertentu, seakan menggambarkan adanya masyarakat yang tidak cerdik. Kerana itu golongan seperti ini amat mudah sekali dibeli.

Juga digambarkan akan perbuatan maksiat boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira status kedudukan. Dalam novel ini watak Letchumi boleh hamba katakan sebagai perempuan murahan yang boleh sahaja jatuh kepada mana-mana lelaki yang berwang. Ini digambarkan oleh penulis bahawa sebelum beliau rapat dengan Mat Gong, Letchumi pernah sahaja mesra dengan Mat Saleh bekas pemilik estet, Mr George sang pengurus bahkan mandur estet juga tidak terlepas.

Namun yang paling menonjol sekali adalah sikap manusia yang suka mengambil kesempatan di atas kebodohan bangsa Melayu. Benar, bangsa Melayu ketika itu tidak ramai yang berpendidikan tinggi. Apa yang segelintir mereka fikirkan mungkin hanya tentang kelansungan hidup. Yang penting mereka mereka ada duit untuk makan, pakai dan menambah peralatan dalam rumah. Kerana kebodohan mereka mudah dibeli, mudah diperdaya untuk menjualkan tanah serta diulit rasa bahawa mereka bijak sedangkan mereka sebenarnya telah dibeli dan semestinya orang di belakang mereka itulah yang lebih berkuasa kerana mereka yang dapat menentukan kehendak mereka dipenuhi melalui /kuasa wang yang ada pada mereka.

Kisah Mat Gong sebenarnya masih berlaku hingga ke hari ini. Novel ini satiranya adalah untuk mengingatkan segelintir orang Melayu yang masih lagi belum cerdik dan mudah dibeli. Bacalah novel ini dan anda akan dapat melihat Mat Gong di sekeliling anda!

Jumaat, 24 April 2020

TITAH PADUKA SERI


Titah Paduka Seri merupakan sebuah antologi cerpen yang mengandungi sebanyak 31 buah cerpen daripada 31 orang penulis yang ternama. Ini termasuklah beberapa karya Sasterawan Negara seperti Arena Wati dan Shahnon Ahmad. Penulis yang lain juga bukan calang-calang orangnya. Mereka sememangnya mempunyai nama yang kukuh dalam dunia sastera tanahair, pernah melahirkan beberapa karya yang hebat serta menerima pelbagai anugerah termasuk di peringkat antarabangsa. 

Kumpulan cerpen terpilih yang diselenggarakan oleh Amida Abdul Hamid (Anis) ini merupakan karya-karya terpilih daripada cerpen-cerpen yang pernah tersiar di majalah Dewan Sastera antara 1990 hingga 1999. Kita maklum bahawa majalah ini merupakan majalah sastera terunggul di negara terbitan Dewan Bahasa & Pustaka yang hanya memilih tulisan-tulisan yang terbaik sahaja. Justeru antara puluhan tulisan terbaik itu, dipilih sebanyak 31 karya untuk dimuatkan di dalam antologi ini.

Menggunakan tajuk Titah Paduka Seri, berdasarkan cerpen tulisan Abdul Latiff Bakar, cerpen Latiff ini saya kira sebagai satu karya sinis berkenaan kemelesetan ekonomi yang melanda tanah air kita sekitar penghujung 90an. Namun Latiff mengambil latar masa zaman dahulukala bagi menyampaikan mesejnya.

Apabila ada 31 karya, maka tentulah pelbagai tema yang dibawa oleh para penulis ini. Begitu juga dengan gaya bahasa, pengolahan, penggunaan metafora dan pelbagai lagi yang hamba kira apabila dibaca oleh generasi hari ini mungkin akan merasai sedikit kesulitan untuk memahami maksud yang tersirat. Ini memandangkan gaya penulisan hari ini lebih straight to the point, kurang gaya bahasa sastera di samping penggunaan slanga (dan tidak kurang bahasa kasar dan carutan). Walau apapun, ia adalah corak penulisan masa lalu yang penuh dengan ketelitian dalam penggunaan bahasa, satira dan sinis juga perlambangan yang kadangkala bombastik. Generasi muda harus membiasakan membaca karya sebegini agar nilai-nilai baik dalam penulisan sastera Melayu terus terpelihara sampai bila-bila.


Isnin, 20 April 2020

KARTUNIS MALAYSIA DAN MUSIM COVID 19

Para kartunis tanah air tidak mahu ketinggalan dalam menyampaikan mesej-mesej positif dan menghiburkan buat rakyat Malaysia melalui lukisan dan dialog kartun mereka yang lucu dan sinis. Kebanyakan karya ini ada tersiar di FB Rumah Kartun Dan Komik Malaysia. Hamba tidak memegang hakcipta mereka dan ulang siar di ruangan blok ini hanyalah dengan niat untuk menyebarluaskan lagi mesej yang mereka bawakan serta sebagai penghargaan atas sumbangan kartunis tempatan.




















Sabtu, 18 April 2020

GILA-GILA EDISI MUSIM COVID


Selesai menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, membeli barang-barang dapur di sebuah pasaraya, hamba ke sebuah kedai serbaneka bagi melihat-lihat majalah yang ada. Rak majalahnya begitu banyak yang kosong. Sama ada disebabkan memang tidak banyak majalah yang dicetak ketika ini ataupun pihak penerbitan sendiri tidak menjualnya sepanjang musim PKP ini. Tapi sebenarnya setiap kali hamba ke kedai inipun memang tidak banyak lagi majalah yang dijual. Bahkan kedai ini yang asal tujuan pembukaannya itupun untuk menjual akhbar dan majalah, kini lebih banyak menjual minuman dan makanan ringan dengan sedikit barangan permainan!

Di kedudukan teratas rak majalah berkenaan tersusun kemas beberapa naskhah majalah Gila-Gila keluaran terbaru. Walaupun di kulitnya tercatat keluaran Mac 2020 dan bukannya April 2020, itu sememangnya keluaran paling baru memandangkan majalah berkenaan umpama terbit lewat tidak mengikut bulan semasa.

Covernya oleh pelukis tersohor Jaafar Taib yang memaparkan jenaka di musim covid ini. Walaupun hamba menyedari bahawa majalah ini sekarang lebih banyak mengulang siar kembali kartun-kartun lama dan hanya sedikit sahaja kandungan kartun yang baru, namun hamba cuba untuk memberikan sokongan terhadap majalah ini. Hamba percaya Gila-Gila hari ini tidak untung banyak (dan barangkali tidak untung lansung). Gila-Gila hari ini umpama melakukan CSR, hanya untuk memastikan legasi kartun negara masih lagi bernafas walaupun ramai rakan seangkatan, apatah lagi yang datang kemudiannya banyak yang telah berkubur. 

Hanya kulit depannya sahaja yang bertemakan covid, namun isi dalamannya tiada yang bertemakan demikian kecuali ruangan pojok Geromal oleh Mansasau. Hanya ada beberapa kartun baharu sahaja seperti Bedah oleh Suko, Hijrah Ke Isketambola oleh Pheno Menon, beberapa kartun satu mukasurat serta beberapa tulisan pojok. Yang lainnya, atau 75 ke 80% adalah siaran ulangan terpilih daripada majalah-majalah lama.

Walau apapun, usaha menerbitkan majalah ini serta usaha untuk mengekalkannya amatlah hamba puji. Majalah ini boleh hidup lebih lama lagi dengan bahan-banhan baru yang lebih segar dengan syarat ramai yang kembali menyokong dan membeli majalah ini. Percayalah, majalah kartun lebih seronok dibaca dalam bentuk fizikal berbanding maya.

Menghidupkan legasi majalah ini adalah satu harapan yang kita sandarkan kepada generasi baru. Bukan sahaja kita membantu menghidupkan sebuah penerbitan, tetapi memberi peluang kehidupan serta rezeki kepada pengkarya dan kartunis tempatan!!



Jumaat, 17 April 2020

7 PINTU - Ahmad Rusydi

"Kenapa tujuh pintu ayah? Pintu dia ada tujuh ke?", tanya anak hamba yang beusia tujuh tahun sambil tangannya mengarah pada sebuah novel yang baru hamba susun di atas rak. Ketika itu hamba masih sibuk menyusun buku-buku di rumah ke atas rak yang baru dibeli. Buku ini yang hamba tidak ingat bila dibeli, masih lagi belum dibaca.

"Entahlah ayah pun tak tahu...", jawab hamba berterus terang. Hamba lebih teruja melihat anak hamba yang dah boleh membaca itu. walaupun dah masuk darjah satu, dia masih belum dapat membaca dengan lancar. Tapi semenjak beberapa minggu sebelum itu dia sudah boleh membaca secara terus tanpa mengeja. Jadi setiap kali mendengar dia menyebut perkataan-perkataan dari buku yang dibacanya hamba akan menjadi teruja. Dan selalu hamba pesan kepadanya, kalau beliau dah pandai membaca nanti, seluruh koleksi buku yang hamba ada di rumah ini akan boleh beliau tatapi dan pelajari.

Kebetulan hamba telahpun selesai membaca Sang Purba, maka buku inipun hamba capai dan mula membacanya.

Wauuuu. Ini sahaja yang boleh hamba kata setelah selesai membaca keseluruhan novel ini. Ini antara buku terbaik yang pernah hamba baca dalam genre seram. Walaupun memperdagangkan tema seram, ia sebenarnya turut bercampur dengan thriller, penyiasatan dan psikologi. Ditulis dengan cukup baik, teratur, teliti - menjawab segala persoalan yang bermain di minda pembaca. Plotnya cukup cantik dengan suspen di mana-mana. Ia tidak terganggu walaupun banyak imbas kembali terutama melalui mimpi Faris tentang Argono. Klimaksnya mendebarkan serta tidak disangka-sangka.

Membaca permulaan novel ini mengenai kejadian yang berlaku di kampung Alor, kita tentunya akan menjangka bahawa perkembangan cerita nanti akan berdasarkan kisah Geoffrey yang mempunyai perjanjian untuk menyerahkan anaknya kepada Pawang Busu sebagai satu 'bayaran' atas khidmat beliau membuat minyak pengasih bagi memikat Zaitun, anak orang kaya Deraman. Namun semakin beranjak ke bab lain, bukan itu yang berlaku dan bukan itu yang pembaca sangka.

Bab berikutnya beralih ke zaman hari ini apabila berlakunya tragedi dalam keluarga Faris. Faris di dakwa membunuh anak-anaknya manakala isterinya membunuh diri di dalam mahkamah. Penyiasatan ke atas Faris di sebuah hospital akan membawa pembaca ke arah kebingungan lagi apabila timbul pula watak Zainuddin yang dilihat begitu misteri. Identiti Faris yang berubah menjadi Argono membuatkan pembaca semakin keliru dan semakin kuat berlakunya persoalan - siapa pula Argono ini? Bahkan seekor kucing yang diambil dari sebuah pusat adopsi turut menimbulkan tanda tanya - siapa pula Getih?

Persoalan tentang siapa Argono terjawab sedikit demi sedikit melalui mimpi yang dialami oleh Faris. Mimpi ini terlalu panjang dan memakan beberapa bab. Dalam mimpi ini juga Faris merasakan beliau adalah watak Argono tersebut. Tidak dinafikan pembaca akan merasa ragu kerana semasa Faris di dalam tahanan hospital, watak argono ini muncul dalam tubuhnya dengan berkelakuan seperti satu semangat yang jahat. Namun perjalanan kisah Argono memperlihatkan dia sebagai seorang baik, rajin dah mudah bergaul dengan orang kampung. Namun konflik mulai timbul sedikit demi sedikit bermula dengan beliau mengambil alih pekerjaan mengutip sewa yang sebelum ini dijalankan oleh Kadir sehinggalah beliau berjaya menikahi Kesuma yang digilai oleh Deli. Itupun hamba yakin pembaca mungkin memikirkan bahawa Argono nanti memusuhi keturunan Kadir, tetapi ternyata tidak.

Penulis ternyata cekap bermain dengan plot penceritaan. Kejutan berlaku di sana sini. Konflik ditulis denagn begitu baik menjadikan penceritaan 7 Pintu amat kuat. Cuma tajuk 7 pintu ini, kisah berkaitan 7 pintu ini bagi hamba sedikit sahaja. Pintu ketujuh memang suatu yang misteri tetapi ia bukanlah pokok penceritaan.

Perjalanan menuju klimaks juga masih disulami dengan adegan yang penuh mendebarkan serta persoalan-persoalan baru yang muncul. Bahkan selepas klimaks juga nampaknya penulis seolah tidak mahu segera menamatkan cerita apabila tiba-tiba pula Detektif Nizam membuat onar.

Kampung Alor yang bermisteri sejak dahulu, kekal dijadikan misteri oleh penulisnya. jauh dari masyarakat luar, tiada tercatat atau terlukis di dalam peta. Apa terjadi kepada Argono? Kenapa mayat beliau tidak dikebumikan. 

Adakah penulis mahu menyambung kisah ini? Silakan, hamba tidak sabar menunggunya!!


Selasa, 14 April 2020

SANG PURBA - Naim Tamdjis




Sang Purba umpama sambungan kepada Koc13 yang masih menampilkan watak Raiqal dan Aiman Aklaken. Kali ini mereka tampil dengan beberapa watak lagi seperti Dato' Saufie, Haziq, Mie, Salim Bach dan isterinya Shikin, watak-watak bunian, watak-watak crook serta beberapa watak sampingan. Novel kali ini menggunakan beberama latar watak serta latar tempat yang boleh ditemui di dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Secara ringkasnya satu kuasa jahat yang telah ditidurkan pada zaman lalu kini bangkit untuk memusnahkan dunia. Maka watak-watak di atas yang agak ramai tadilah akan bersama mengekang kebangkitan mereka. 

Terlalu banyak watak baik pada novel kali ini menjadikan watak Raiqal dan Aiman agak kurang dominan. Mungkin juga penulis mahu menonjolkan perana watak baru seperti Dato' Saufie dan Haziq. Lebih-lebih lagi 'pasukan' ini dibentuk oleh Dato' Saufie dengan meletakkan Haziq sebagai waris keturunan Laksamana Antah Berantah sebagai pemimpin gerakan ini. Namun peranan Haziq sebagai pemimpin juga tidak ditonjolkan secara dominan.

Bukan sahaja menampilkan watak-watak purba tetapi novel ini turut diserikan dengan watak lain seperti naga tasik Chini - Sang Gumum, garuda/geroda, askar terakota, Sang Kelembai dan pelbagai lagi. Jalan ceritanya mudah diikuti. Bermula dengan kisah Dato' Saufie berusaha mengumpulkan pasukannya, serentak dengan kebangkitan kuasa jahat, latihan intensif mereka diikuti dengan babak pertempuran sebagai klimaksnya. Ya kadang-kadang membaca babak pertempuran itu seperti mengingatkan kita kepada cerita Avengers, End Game.

Membaca kisah ini anda tidak boleh berfikir secara logik. Jika dipaksa anda akan lemas. Maka layankan sahaja pembacaan kisahnya buat mengisi masa di musim PKP!

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...