Jumaat, 31 Disember 2021
SATU HARI DI SEKINCHAN
Ahad, 12 Disember 2021
DAUN PAKU UNGU : KEMBARA MARISAH - Oli Baharom
"Insya Allah saya akan baca. Tapi saya minta sedikit waktu memandangkan ada beberapa buku lagi yang 'beratur' menunggu untuk dibaca". Suria tersenyum dan memberikan kebebasan untuk hamba memilih masa bagi memulakan pembacaan naskhah ini.
Membaca bab yang pertama sahaja sudah memberikan bayangan kepada hamba bahawa penulis novel ini bukanlah calang-calang orangnya. Susunan ayat dan gaya bahasa yang digunakan membuatkan hamba merasakan seolah-olah sedang membaca karya-karya sastera penulis 80an yang terkenal dengan gaya penulisan yang menggunakan susunan ayat dan gaya bahasa yang menarik.
Bap pertama ini juga berjaya memperkenalkan watak utamanya yang bernama Marisah dengan lengkap sekali. Dapat difahami bawa watak ini adalah seorang yang pendiam, tidak banyak bersosial tetapi mempunyai sifat mengambil berat yang tinggi. Sifatnya yang pendiam ini banyak dipengaruhi oleh pengamalam beliau yang membesar tanpa keluarga di sisi.
Novel ini adalah kisah kembara ke dimensi yang berlainan. Tidak ada sebarang mesin yang terlibat. Alat perantaranya adalah sehelai daun paku yang berwarna ungu. Daun paku yang dibawa semasa tidur ini adalah kunci untuk membawa pemegangnya mengembara ke dimensi lain atau lebih tepatnya Tanah Mawlah.
Dimensi lain ini adalah umpama kehidupan pada zaman lampau, manusia yang tinggal di kota tanpa sebarang peralatan moden. Orang-orangnya bertutur dalam bahasa Melayu, berpakaian seperti orang Melayu, ada yang beragama Islam dan ada yang tidak.
Orang seperti Marisah digelar musafir mimpi, satu fenomena yang tidak asing di Tanah Mawlah. Mereka yang tiba akan terdampar di Padang Takdir sebelum boleh meneruskan perjalanan ke Kota Dua Marhalah. Musafir mimpi hanya boleh berada di dunia ini selama tiga hari sahaja dan akan kembali ke dunia asal selepas tamat tempoh tersebut. Dan apabila kembali, jarak masa yang mereka tinggalkan sewaktu mula tidur dahulu hanyalah satu minit sahaja! Walau bagaimanapun, apa yang berlaku kepada mereka sewaktu di dimensi lain ini seperti kecederaan akan tetap dibawa ke dunia asal.
Agak malang kerana Marisah tiba sewaktu Kota Dua Marhalah di ambang peperangan dengan Tentera Selatan. Tentera Selatan pula telah mendapat kekuatan yang berganda hasil gabungan dengan tentera Kota Marwan yang diperolehi melalui cara yang amat keji. Jadi sepanjang tiga hari itu Marisah berada dalam keadaan seperti seorang pelarian bersama dengan Amar, pemuda yang ditemuinya di Padang Takdir sewaktu beliau sedang dikejar oleh tentera selatan.
Dari sini kisah mula berkembang dengan penceritaan watak-watak lain seperti konflik yang berlaku terhadap raja Rustam, pemerintah Kota Marwan, Keadaan Kota Dua Marhalah dan penghuninya, watak Burkan sebagai ketua tentera selatan yang ada hubung kait dengan Amar, kembar Amar yang bernama Azizi serta ibu mereka berdua yang bernama Bainun - juga seorang musafir mimpi.
Selain daripada konflik yang dihadapi oleh Marisah di Tanah Mawlah, beliau juga berhadapan dengan satu lagi permasalahan yang melibatkan jiran beliau, Ain yang selalu menjadi mangsa dera suaminya. Sifat prihatin Marisah ini membuatkan beliau cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Ain.
Tempoh Marisah di Tanah Mawlah tamat apabila hampir sahaja sebilah pedang menamatkan nyawanya. Kepulangan beliau membuatkannya selalu berfikir akan nasib Amar yang telahpun cedera dipanah sebelum beliau kembali ke dunia nyata. Ini membuatkan Marisah bertekad mahu mencari lagi daun paku ungu bagi membolehkannya kembali lagi. Ketika inilah penulis memunculkan watak Azizi, kembar Amar yang berada di dunia nyata yang akan menyebabkan punggung pembaca panas menanti apa yang akan berlaku seterusnya.
Novel ini menjadi panjang kerana hamba lihat penulisnya begitu teliti di dalam penulisan dan mahu setiap persoalan di kepala pembaca akan terjawab. Ini dapat hamba rasakan apabila beberapa persoalan yang timbul di kepala akan ada jawapan di mukasurat yang mendatang.
Cuma satu persoalan timbul tidak berjawab apabila Marisa berjaya membawa Ain menjadi seorang musafir mimpi. Ain yang hampir maut didera suaminya telah dibawa ke Tanah Mawlah bagi menyelamatkan nyawanya. Marisah mahu Ain kekal di situ dan bagi membolehkan Ain kekal, beliau harus berkahwin dengan orang di sana. Persoalan hamba ialah ketika itu Ain masih lagi menjadi isteri Farid dan hamba tidak berjumpa sekiranya Farid ada melafazkan talak. Jika ada sekalipun, Ain masih lagi terikat dengan tempoh edah. Begitu juga sekiranya pernikahan Ain dileraikan secara fasakh, namun tidak disebutkan di novel ini. Hamba timbulkan perkara ini kerana dikatakan penghuni Kota Dua Marhalah amat kuat mengamalkan sunah dan ajaran agama. Jadi adakah sah pernikahan Ain ini?
Novel ini adalah sebuah karya bermutu yang amat esuai untuk bacan umum. Untuk mendapatkannya pembaca boleh menghubungi alamat e-mel daunpakuungu@gmail.com.
Rabu, 8 Disember 2021
PESTA BUKU SELANGOR 2021
Tiada yang lebih mengujakan bagi seorang peminat buku apabila melihat pesta buku kembali diadakan. Setelah hampir dua tahun kobid menyerang, barulah kali ini pameran sedemikian dapat diadakan. Tahniah kepada negeri Selangor kerana memulakannya.
Hamba datang dua bas kecil bersama dengan kakitangan pejabat. Terpaksa mengadakan dua buah bas berbanding sebuah bagi memenuhi tuntutan SOP semasa. Seperti biasa apabila ke pesta buku, hamba sudah bersiap sedia dengan beg sandang. Lebih mudah untuk memasukkan buku-buku yang telah dibeli ke dalam beg berbanding menjinjing beg plastik yang banyak di kiri dan kanan tangan. Ya, ulat buku pergi ke pesta buku tidak akan membeli setakat sebuah dua sahaja tetapi akan membeli selagi mereka larat membawanya.
Seperti kebiasaannya setiap ruang di SACC ini akan digunakan dengan sepenuhnya untuk mengisi gerai-gerai pameran. Beberapa syarikat besar seperti biasa akan turut serta. Tetapi hamba agak kecewa kerana gerai mereka agak kecil berbanding biasa dan tidak membawa tajuk yang banyak. Gerai-gerai buku yang lain pula memberikan pilihan yang banyak bersama harga yang istimewa. Walaupun dikatakan orang sudah mula hilang minat kepada buku dan beralih kepada medium digital, tetapi hakikatnya peminat buku masih ramai. Satu perkara yang hamba seronok ialah apabila ada beberapa penerbit yang berani menterjemahkan beberapa buah buku berbahasa asing ke dalam bahasa Melayu. Budaya penterjemahan ini tidak harus diserahkan kepada ITBM sahaja dan perlu diperluaskan. Beberapa karya lama hasil tulisan penjajah Inggeris juga ada yang diterbitkan kembali serta ada yang diterjemahkan. Buku-buku ini jikalau dalam bentuk cetakan asalnya telah mencapai harga yang tinggi. Penerbitannya semula memberikan peluang kepada generasi hari ini untuk menilai pemikiran dan pandangan penjajah terhadap tanah air kita sewaktu penjajahan dahulu. Secara tidak lansung, sejarah tanah air (walaupun dari sudut pandangan mereka) akan dapat diketahui, dikaji dan dipelajari.
Sebagai pembeli, hamba tentunya mahukan harga dan tawaran yang terbaik. Ada tajuk-tajuk yang hamba bandingkan harganya di pameran dengan harga yang dijual laman web. Ada buku yang hamba lihat lebih menarik harganya di laman web. Lantas hamba beli di atas talian sahaja. Tetapi rata-rata pempamer memberikan diskaun yang menarik dan ada yang memberikan hadiah kepada pembeli. Seperti biasa Pesta Buku Selangor mengadakan cabutan bertuah untuk pengunjung. Jadi, sila simpan resit anda!
Ayuh kita memberikan sokongan kepada para pempamer kali ini. Tidak rugi membeli buku dan tidak rugi rajin membaca. Sokongan anda kali ini bukan sahaja bagi melestarikan budaya minat membaca di kalangan masyarakat tetapi turut sama membantu golongan penulis dan penerbit buku yang sama tejejas pendapatan mereka disebabkan kobid ini.
Selamat memburu buku!
gambar-gambar, kredit kepada Budin dan Kesukeb ILKKM Sungai Buloh
CORAT CORET UTM - Lat, Mie, Amir Astar
Buku ini saya perolehi semalam di Pesta Buku Selangor yang akan berlansung sehingga 12 Disember ini. Ada 3 naskhah sahaja semalam di gerai UUM, dua kulit keras dan satu kulit nipis. Satu naskhah kulit keras saya dah rembat. Di laman internet buku ini telah ada orang yang menjualnya dengan harga yang mahal walaupun buku mereka itu dikira terpakai sedangkan naskhah baharu masih lagi terjual.
Apabila sebuah pusat pengajian tinggi dan berprestij menerbitkan buku kartun seperti ini, ia memberikan mesej bahawa medium kartun boleh dijadikan sebagai wadah penyampaian mesej dan maklumat yang berkesan. Kartun yang baik akan dapat menyampaikan terus maksudnya dalam masa beberapa saat dilihat.
Ketiga-tiga pelukisnya - Lat, Mie dan Amir Astar mempunyai kaitan secara lansung dengan UTM. Lat pernah menjadi Karyawan Tamu UTM. Manakala Mie dan Amir Astar adalah alumni UTM. Ketiga-tiga mereka melukis tentang UTM dari sudut pandangan masing-masing dengan gaya yang tersendiri.
Melalui Mie kita dapat melihat suasana kampus UTM sewaktu masih berada di Jalan Gurney. Amir Astar pula memperlihatkan suasana kampus setelah berada di Skudai. Manakala Lat pula tampil dengan suasana semasa UTM.
Sebagai kartunis senior, jelas idea dan gaya penyampaian Lat mengatasi kedua kartunis tadi. Maka tidak hairan dua universiti telah menganugerahkan gelaran Doktor Kehormat ke atas kartunis veteran ini.
Walau apapun, usaha UTM ini telah mengangkat kedudukan seni kartun di Malaysia serta memberikan penghargaan secara tidak lansung kepada alumni mereka. Usahlah lihat kartun dari sudut hiburan sahaja tetapi belajarlah menghayati seni lakaran serta seni menyampaikan mesej melalui lakaran yang kadangkala sinis!
PENGABDI TELAGA UNGKAR - Maria Kajiwa
Buku ini adalah yang pertama hamba baca setelah menamatkan kursus selama sebulan di INTAN. Selama berkursus hamba mnemang tak berkesempata...
-
Blues Untuk Aku, sebuah kisah yang penamatnya menjadi misteri buat pembacanya. Hanya penulis dan pelukisnya sahaja yang tahu akan kesudaha...
-
Pertama kali membacanya adalah semasa zaman sekolah hampir 30 tahun yang lalu. Hamba membacanya sekali lagi kerana tahu bahawa novel ini s...
-
Novel ini dikatakan pernah menjadi novel terlaris pada zamannya. Dikatakan juga novel ini kini boleh dijual dengan harga yang lebih ting...