Rabu, 27 Februari 2013

SUPER PAGES PHOTOGRAPHY CONTEST - KALENDAR 2013


Akhirnya hamba menerima kiriman kalendar 2013 daripada penganjur Super Pages Photography Contest 2012. Kalendar meja tersebut memaparkan kesemua 12 gambar yang memenangi pertandingan tersebut. Walau bagaimanapun gambar yang memenangi hadiah pertama hingga ketiga tidak pula mengisi slot untuk Januari hingga Februari. Sebaliknya kesemua gambar disusun secara rawak tanpa mengira kedudukan pemenang.

Gambar yang hamba ambil diletakkan pada slot bulan Julai. Nampak ok cuma nama bapa hamba sahaja yang salah dieja. Hadiah penginapan di sebuah hotel di Langkawi juga telah hamba gunakan pada bulan Januari yang lalu. Walaupun hanya penginapan yang ditaja tanpa lain-lain perbelanjaan, sekurang-kurangnya dapat juga hamba sekeluarga bercuti bersama.

Harapnya tahun ini banyak lagi penganjuran pertandingan menjepret gambar ini.



12 ANGRY MEN


Hamba sedang berkursus di INTAN, dihantar oleh jabatan bagi mengikuti Kursus Kemahiran Berfikir. Mungkin kerana hamba tak berapa reti nak berfikir maka dihantarlah hamba untuk belajar cara berfikir yang baik. Secara kebetulan kursus ini dikendalikan serta diajar oleh sahabat lama hamba, saudara Nazim. Maka bergurulah hamba dengan sahabat lama hamba itu yang hamba lihat berisi dadanya tentang ilmu berfikir ini.
 
Maka petang tadi diadakan satu sesi kajian kes melalui tontonan video. Ia merupakan sebuah filem Inggeris lama keluaran tahun 1957 bertajuk 12 Angry Men. Mulanya hamba merasakan akan menonton sebuah filem yang membosankan tambah lagi ia masih lagi dalam bentuk hitam putih. Namun tanpa hamba sedar hamba mengikutinya dengan penuh minat sehingga ke akhir tayangan.

Ia mengisahkan tentang 12 orang juri yang diminta membuat keputusan secara sebulat suara terhadap kes seorang budak lelaki yang dituduh menikam bapanya hingga mati. Pada awalnya 11 orang juri menyokong bahawa budak berkenaan bersalah. Hanya seorang sahaja yang tidak menyokong. Daripada sinilah cerita ini mula berkembang dengan perbincangan, perbalahan, bertegang urat sehingga di akhir cerita kesemua juri bersepakat menyatakan bahawa budak tersebut tidak bersalah.
 
Kisah perbincangan 12 orang juri itulah yang amat menarik sekali untuk dikaji dalam kursus ini. Dapat hamba simpulkan bahawa sifat sabar beserta dengan fakta dan pemikiran yang terbuka akhirnya akan mendatangkan satu hasil yang amat bermakna. Amat menarik untuk mengikuti bagaimana daripada seorang sahaja yang berpendapat bahawa budak tersebut tidak bersalah, seorang demi seorang akhirnya bersetuju dengan kesemua fakta yang dibincangkan.

Sebahagian besar dari filem sepanjang 96 minit ini dihabiskan di dalam bilik perbincangan juri. Hanya 3 minit sahaja yang memaparkan babak di luar bilik tersebut. Secara lojiknya tentu filem ini boleh menjadi amat membosankan kerana lokasi yang tidak bertukar. Namun pengarah amat bijak di dalam permainan gerakan kameranya, sesuatu yang amat kreatif jika dikira era filem tersebut dihasilkan.

Hamba mengesyorkan filem ini untuk ditonton oleh mereka yang berminat tentang seni perbincangan serta melahirkan idea. Ia bukanlah filem yang biasa. Kerana itu pada tahun 1997 ia telah dipilih untuk dipelihara di The United States National Film Registry oleh the Library of Congress kerana bersifat budaya, sejarah serta nilai estetika yang signifikan.






Sabtu, 23 Februari 2013

ALWAYS LEAVE OFFICE ON TIME


Satu ketika hamba mendapat satu rangkaian kata-kata daripada rakan di fesbuk. Rangkaian kata-kata dalam bahasa penjajah itu amat menarik minat hamba. Lalu hamba petik semula kata-kata tersebut dan hamba susun dalam bentuk seperti gambar di atas.

Tentunya kata-kata tersebut mengandungi pro dan kontra pada kita semua. Ada yang bersetuju, ada yang tidak dan mungkin ada yang mengambil jalan tengah. Bagi diri hamba pula, hamba suka pada kata-kata pada rangkaian ke tiga yang berbunyi ‘If you fail in life your boss or client will not be the person to offer a helping hand but your family and friends will do.’

Ia mengingatkan satu peristiwa yang terjadi pada hamba dalam tahun 2011 yang lalu. Ketika itu hamba bertugas di sebuah jabatan yang berkaitan agama. Ketika peristiwa ini ketua jabatan hamba adalah seorang ustaz sedangkan tiga ketua pengarah sebelum itu adalah dari skim PTD. Masuk sahaja 1 Syawal pada tahun tersebut hamba mula merasa tidak sedap badan. Suhu badan hamba naik dan demam hampir setiap hari. Kadang-kadang hamba merasai kedinginan yang amat sangat. Teramat dingin sehingga gigi hamba berlaga menahan kesejukan. Pernah satu ketika ketika hamba kesejukan, dengan memakai jeket yang dizip hingga ke atas, hamba duduk mencangkung di bawah panas matahari di hadapan bulatan blok E2 bagi mengurangkan kesejukan. Pernah juga ketika pulang dari pejabat, dengan berjeket seperti tadi, hamba pulang ke rumah dengan kereta yang ditutup semua tingkapnya dan lansung tidak menghidupkan pendingin hawa. Namun kesejukannya masih terasa walaupun perjalanan pulang mengambil masa lebih sejam. Hamba bukan sahaja demam, bahkan tubuh terasa amat lemah sekali, satu keadaan yang hamba tidak pernah rasa sebelum itu.

Daripada pemeriksaan di klinik swasta, beralih ke klinik kerajaan hinggalah hingga terpaksa dimasukkan ke hospital setelah kesemua klinik tadi tidak menemui punca penyakit walaupun ujian darah telah dijalankan. Pada malam pertama di hospital, sebaik sahaja hamba mengangkat tangat untuk takbiratul ihram memulakan solat Isyak, kedinginan mula terasa kembali. Hamba solat dengan gigi yang berketap sama sendiri.
Seusai solat dan kembali ke katil hamba mengadukan hal tersebut kepada jururawat yang bertugas. Namun hamba Cuma diberikan beberapa helai gebar untuk dibuat selimut. Hamba sebenarnya mengharapkan dia memeriksa hamba dan memberikan ubat. Akhirnya dalam kedinginan itu hamba terlelap. Lebih kurang satu jam selepas itu hamba terjaga semula dan sekali lagi mengadu kepada seorang jururawat yang lain. Beliau amat terkejut apabila mendapati suhu hamba amat tinggi melebihi 40 darjah. Akhirnya hamba diberika paracetamol untuk mengurangkan demam.

Tengah malam hamba terbagun dan mendapati bantal hamba lencun dengan peluh. Tidur hamba terganggu memandangkan hamba hanya diberikan katil tambahan yang diletakkan betul-betul di tepi jalan berhadapan kawasan meja jururawat dan doktor menjalankan kerja mereka. Sebenarnya ketika masuk hamba diberikan wad kelas 3 walaupun hamba layak kelas pertama. Sudahlah begitu, wad tersebut amat sesak dan tiada katil kosong sewaktu hamba mendaftar masuk. Lantaran itu hamba hanya diberikan katil tambahan dan diletakkan di tempat tadi.

Akhirnya hamba dipindahkan ke wad kelas pertama apabila doktor berpandangan hamba perlukan pengasingan memandangkan beliau tidak dapat mengesan penyakit hamba. Dan begitulah hamba akhirnya berada selama 20 hari di wad. Derita juga apabila demam setiap hari. Darah diambil kadang-kadang melebihi 2 kali sehari. Hampir setiap hari tatkala jam lima pagi hamba akan dikejutkan untuk diambil darah dan seterusnya diberikan drip.

Sepanjang tempoh tersebut keluarga hambalah yang begitu mengambil berat akan diri hamba. Isteri hamba datang hampir setiap hari menguruskan hamba walaupun dalam masa yang sama beliau sibuk dengan kerja termasuk menguruskan anak-anak di rumah. Emak, ayah dan adik-adik hamba datang sejauh Seremban dan Jasin ke Klang untuk melihat hamba. Sering hamba merasa sebak kerana setiap kali emak datang beliau akan mencium dahi dan memeluk hamba. Begitu juga dengan kawan-kawan pejabat, ramai yang datang melawat hamba.

20 hari bukannya satu tempoh yang singkat. Tetapi hamba amat hairan kerana pengurusan tertinggi jabatan lansung tidak pernah ambil tahu akan diri hamba. Nombor satu dan dua seolah tidak melihat kewujudan hamba. Bukan mereka tidak kenal hamba. Ketika itu hamba memegang jawatan pengarah bahagian yang bermesyuarat bersama nombor satu dan dua hampir saban minggu. Usahkan datang melawat, telefon atau sms pun tidak juga. Padahal mereka telah dibekalkan dengan kenderaan jabatan serta telefon untuk memudahkan perhubungan. Tapi …entah hamba tidak tahu. Kalau sibuk di hari bekerja, Sabtu dan Ahad masih ada. Kalau dilayangkan panggilan telefon pun bukannya mengambil masa yang lama dan tidak lansung akan jatuh miskin kerana bilnya dibiaya oleh kerajaan. Pelik juga hamba dengan nombor satu yang dikenali dengan lulusan agama itu. Bukannya beliau tidak tahu melawat orang sakit itu satu hak muslim kepada muslim yang lain. Kalau ada perkara melibatkan menteri sanggup pula pergi berkejar dan mengadap walaupun telah lewat malam.
Kisah ini masih panjang dan amat menyakitkan untuk dikenang. Kata-kata yang di atas tadi ada kebenarannya. Hanya keluarga dan rakan terdekat akan ambil tahu apabila kita dalam kesusahan. Manakala pengurusan atasan dan pelanggan berkemungkinan tidak lansung akan menghulurkan tangan.

Kawan-kawan lama hamba di jabatan tersebut masih ingat dengan sandiwara ketua jabatan yang nampak alim tersebut. Orang seperti inilah membuatkan masyarakat memandang serong kepada orang lulusan agama. Teringat saya kepada kata-kata seorang TKSUK JPM semasa hamba mula-mula masuk perkhidmatan dahulu ‘Ustaz ini saya respek hanya pada ilmunya sahaja, tapi tidak pada cara kerjanya!!’ Saya sendiri pedih mendengar apatah lagi menerimanya, tapi itulah hakikatnya.




 

Nota – Sehingga hamba keluar dari hospital doktor masih tidak dapat mengesan penyakit hamba. Akhirnya hamba berikhtiar menggunakan perubatan Islam dan Alhamdulillah hamba telah pulih. Apa pun penyakit hamba Allah jualah yang mengetahuinya.




Selasa, 12 Februari 2013

AKU BERCERITA - Ramlee Awang Murshid


Setiap tahun saya menunggu-nunggu kehadiran buah tangan terbaru penulis ini. Kali ini beliau muncul dengan karya bertajuk Aku Bercerita. Berlainan daripada buah tangan beliau sebelum ini, kulit depan karya baru ini menampilkan diri penulis sendiri. Jarang rasanya mana-mana novel menampilkan wajah atau gambar penulisnya di muka hadapan. Kebiasaannya hanya buku-buku berbentuk motivasi atau keagamaan sahaja yang sebegitu.

Membaca sinopsis yang terpapar di kulit belakang, hamba menjangkakan karya kali ini menjanjikan sesuatu yang hebat dan mendebarkan. Namun setelah menelusurinya dari muka-ke muka sehingga selesai pembacaan, hamba merasakan seumpama membaca sebuah antologi novel sahaja. Ekspektasi hamba tidak kesampaian. Ternyata unsur suspen pada sinopsis novel ini hanya setakat pada sinopsisnya sahaja.

Sinopsisnya mencatatkan "SEORANG pengarang novel cuba menulis naskhah terbaharu. Malangnya, gejala writer's block melanda. Suatu masa... dalam keadaan separa sedar ketika terlena, dia terlihat seseorang menggunakan komputer ribanya. Namun kelibat orang itu samar-samar. Sebuah cerita yang siap ditaip terpamer pada skrin. Sebuah kisah yang mengujakan, tetapi bukan dia penulisnya. Teorinya – mungkin dia ada berkarya tanpa disedari, tetapi minda logiknya ragu-ragu.

Satu demi satu cerita baharu ditemui lagi dalam komputer ribanya. Dia semakin galak mencuri idea-idea tersebut. Gaya dan teknik penceritaan memang menyerupai cara dia berkarya. Dia semakin seronok mengakui semua cerita itu adalah miliknya. Kemudian... semakin banyak kejadian pelik yang mengitari kehidupannya. Dia diburu sesuatu yang meremangkan bulu roma. Ada bahana muncul bertubi-tubi. Siapa suspek yang bertanggungjawab menghuru-harakan kehidupannya?"

Hamba menjangkakan keseluruhan isi novel akan berkisar mengenai penulis tersebut serta misteri yang melandanya. Rupanya penulis hanya menyampaikan kesemua lima cerita yang ditulis oleh kelibat 'seseorang' yang menggunakan komputer ribanya. Kerana itu hamba seperti membaca sebuah antologi novel kerana penumpuannya adalah pada lima cerita tadi manakala watak pengarang novel tadi lebih kepada tempelan yang mengaitkan kesemua lima cerita tadi. Kadang-kadang terasa juga umpama P.Ramlee dalam filem Ragam P.Ramlee yang menampilkan tiga cerita berbeza dalam satu filem dengan diselang-selikan watak P.Ramlee bercerita tentang kisah yang akan disampaikan.

Walau bagaimanapun lima cerita yang ditampilkan dalam 'antologi' ini boleh dianggap menarik serta berlainan tema di antara satu sama yang lain. Sekaligus menunjukkan kreativiti penulis untuk melahirkan cerita yang boleh menarik hati pembaca. Hamba yakin sekiranya kesemua cerita tersebut dijadikan novel yang berasingan dengan dipanjangkan lagi plot dan episodnya ia pasti tambah menarik. Ini kerana hamba sendiri berasa tidak puas membaca satu dua cerita yang rasanya cepat benar penamatnya. Empat dari lima cerita tersebut masih mempunyai unsur thriller. Namun pada cerita terakhir yang bertajuk 'Cut' hamba terasa agak bosan sedikit. Ini kerana ia tiada lansung unsur thriller dan lebih kepada konflik keluarga. Hamba rasa Encik Ramlee perlu kekal dengan unsur thriller dan tidak perlu mencuba kepada yang lain. Bukannya hamba kata beliau tidak mampu melahirkan karya yang tidak berunsurkan thriller, tapi karya sedemikian sudah banyak di pasaran. Biarlah orang lain sahaja yang menghasilkannya.

Setelah lebih 20 karya Ramlee awang Murshid yang hamba baca, hamba merasakan lebih cenderung kepada karya beliau yang menggunakan latar masa sekarang serta berunsurkan kepolisian/penyiasatan. Hamba lihat beliau lebih kuat di situ berbanding menulis sesuatu yang mitos, khayalan ataupun mistik. Katanya karya yang akan datang beliau akan menampilkan kesemua watak hero yang pernah ditampilkan lewat novelnya dalam satu cerita. Hamba tidak tahu bagaimana, namun hamba berharap ia tidak terlalu mengarut untuk dibaca.

 

WHEN MY GUITAR GENTLY WEEPS pt. 2 – DEMI SESUAP NASI


Suara seorang lelaki menyanyi diiringi petikan gitar tong sayup-sayup kedengaran tatkala kaki melangkah menghampiri runtuhan gereja St. Paul. Gereja yang dibina dalam tahun 1521 oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho ini asalnya dinamakan "Our Lady of The Hill". Ia kemudiannya dinamakan gereja St. Paul setelah pihak Belanda menukarnya kepada tempat persemadian bangsawan. Kebiasaannya apabila mencari fakta tempat ini di internet, cerita seperti inilah yang biasanya akan ditemui pembaca. Sedangkan yang sepatutnya banyak diceritakan adalah ia merupakan tapak asal istana Melaka sebelum dimusnahkan oleh Portugis. Lukisan-lukisan yang banyak terpamer di beberapa muzium terutamanya di bangunan Stadhuys menggambarkan istana Melaka asalnya terletak di puncak bukit ini.

Tidak ramai pelawat yang berada di dalam bangunan tersebut ketika hamba berkunjung. Selain daripada lelaki yang asyik mengalunkan suaranya itu, ada beberapa orang lagi yang membuka meja menawarkan jualan cenderamata kepada para pengunjung. Namun hamba lebih tertarik untuk merakamkan aksi lelaki yang sedang mengalunkan lagu-lagu Inggeris itu. Keadaan bangunan yang berdinding batu tanpa bumbung menghasilkan talun membuatkan suara lelaki berkenaan jelas kedengaran di dalam bangunan.

Melalui raut wajahnya hamba tahu yang beliau seorang yang telah berusia. Biasanya dalam usia sebegini, seseorang itu telah mempunyai pekerjaan yang selesa dan kukuh. Mungkin nyanyian ini satu hobi atau mungkin juga inilah satu-satunya mata pencarian beliau. Terlihat kesungguhan beliau menghiburkan para pengunjung. Beliau leka menyanyi dari satu lagu ke satu lagu dengan melihat sebuah buku tebal di hadapannya yang mengandungi lirik-lirik lagu.

“Terima kasih bro”, ucap beliau dengan tulus selepas hamba meletakkan sedikit wang di dalam kotak yang disediakan
.
“Minta izin ambil gambar ye”, ucap hamba agar hamba tidak perlu bersikap seperti paparazzi mengambil gambar secara sorok-sorok. Lebih baik hamba meminta izin agar hamba dapat mengambil gambarnya dengan lebih dekat lagi.

Bukannya mudah untuk mencari rezeki. Bukannya mudah untuk mencari sesuap nasi. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu bekerja sendiri. Dalam kata lain orang yang bekerja sendiri ini ada kerja adalah gaji. Suara brader penyanyi inipun bukanlah semerdu suara penyanyi yang popular. Apabila mencapai ke not yang tinggi maka pecah dan sumbanglah suaranya. Tapi inilah punca mata pencariannya. Beliau perlu terus menghiburkan pengunjung yang datang walaupun belum tentu mereka menghulurkan wang.


Bukan beliau sahaja yang berusaha keras setiap hari untuk mencari rezeki. Disekeliling kawasan bersejarah ini terdapat ramai lagi yang seperti beliau. Ada yang menjual cenderamata, melukis panorama, mengayuh beca dan bermacam lagi. Tidak mudah melakukan semua ini jikalau tiada keazaman yang tinggi.

Orang yang bekerja makan gaji biasanya agak senang sedikit berbanding golongan seperti ini. Malangnya ada juga segelintir yang makan gaji tidak menjalankan kerja mereka atas alasan sama ada mereka bekerja dengan gigih atau tidak, gaji bulanan tetap jalan. Kadang-kadang golongan ini terlupa bahawa keculasan mereka lebih banyak menyusahkan pihak lain. Rakan sekerja terpaksa membuat kerja lebih disebabkan rakan mereka lembab membuat kerja, produktiviti tempat kerja terjejas dan yang paling penting gaji yang diterima tentunya tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Golongan ini cuma sedikit sahaja di kalangan kita, tetapi walaupun sedikit kehancuran yang boleh mereka bawa cukup besar.

Hamba meninggalkan lelaki ini terus mengalunkan suaranya.







Sabtu, 9 Februari 2013

PESAN KSN BUAT KETUA JABATAN



Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam  sesi dialog pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam di Labuan  seperti yang dilaporkan dalam Berita Harian Online pada 9 Februari 2013 berkata:-

“Konsep Masyarakat Penyayang perlu wujud... sikap prihatin ketua jabatan (dengan pekerja bawahan) akan menimbulkan keseronokan bekerja yang akhirnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam,”

Hamba tidak tahu berapa ramai ketua jabatan yang membaca laporan ini dan daripada jumlah yang membacanya pula berapa kerat yang akan mengambil iktibar seterusnya mengamalkan pesan yang amat baik ini.

Dunia semakin berubah dan ke hadapan. Namun ada segelintir ketua jabatan yang masih berfikiran sama ketika hari mereka mula mula bekerja. Lantaran budaya yang mereka diperkenalkan ketika itu dibawa terus sehingga ke hari mereka memegang tampuk kuasa. Para penjawat awam adalah berkhidmat untuk kerajaan dan bukannya kuli ketua jabatan. Orang bawahan perlu sentiasa dikasihi, diberi tunjuk ajar dan dipimpin. Manakala yang bermasalah perlu dikenalpasti punca masalahnya, dididik serta diberi tunjuk ajar seterusnya diberikan pemulihan. Apabila tak makan saman juga maka barulah tindakan punitif diambil sebagai jalan terakhir.

Berapa keratkah ketua jabatan pada hari ini yang meyedari bahawa orang dibawahnya ramai yang tidak merasai keseronokan bekerja, sedangkan ia merupakan salah satu daripada tonggak 12 yang sering diajarkan kepada kita. Hamba sendiri stress, dan ramai sahabat yang stress. Kita kadangkala bukannya stress dengan kerja tetapi stress dengan perangai ketua jabatan. Stress di pejabat kadang-kadang berjangkit pula ke rumah hinggakan kebahagian rumah tangga dan keharmoniannya turut tergugat. Janganlah ingat hamba seronok mahupun terpana dengan sikap segelintir yang ketua yang gemar ‘memangkukkan’ pegawainya walaupun di khalayak ramai, menyuruh mereka terjun tingkap, memperlekehkan kerja mereka apatah lagi memaki hamun dengan secukup rasa. Orang-orang bawahan bukannya budak tadika yang baru nak mengenal ABC, mereka telah berusia bahkan ada yang lebih tua daripada ketua jabatan itu sendiri. Sebelum nak memaki hamun atau sebarang perlakuan yang merendahkan mereka, cubalah lihat wajah mereka, adakah mereka itu anak-anak atau adik beradik ketua jabatan? Kalau bukan tak usahlah berperilaku bagai komunis apatahlagi yahudi. Anak beranak anda bolehlah nak maki sebegitu, tapi kami tak ada hubungkait lansung dengan anda.

KSN menyebut perkara di atas kerana beliau sendiri tahu betapa ada lagi segelintir ketua jabatan yang tidak mengasihi orang bawahan mereka. Mereka diperah sehabisnya. Apabila mereka memerlukan sesuatu maklumat, mereka akan mengarahkan pegawai bawahan mereka untuk mencari dengan segera. Apabila maklumat telah diperolehi, usahkan terima kasih yang diterima, bahkan kutukan mungkin menjadi cenderamata. Ada sahaja yang tidak kena. Fakta kurang tepatlah, data tidak sempurnalah dan pelbagai lagi. Heii come on lah, kalau nak sempurna pergilah cari sendiri. Hal ini biasa terjadi apabila ketua hanya memberi arahan ringkas tanpa menerangkan dengan jelas apa kehendak sebenar mereka. Kita bukannya Nujum Pak Belalang yang bisa mengetahui isi perut ketua jabatan.  Begitu juga apabila pegawai diminta untuk mendraf sesuatu dokumen. Selepas didraf ketua jabatan akan bertindak seperti editor akhbar yang professional dengan membuat garisan dan penambahan di sana sini. Kadang-kadang pegawai macam menjadi terlalu bodoh yang amat. Kita pun tahu ketua jabatan sebenarnya bukanlah bijak sangat mendraf surat. Bahkan kadang-kadang tidak tahupun apa isi atau bagaimana ayat yang baik untuk memulakannya. Jadi melalui idea yang telah ditumpahkan oleh pegawai tadi barulah mereka mendapat bayangan bagaimana untuk melakukannya.

Hamba mohon maaf andainya tulisan hamba ini kurang digemari oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi orang seperti hamba tiada ruang untuk berbicara dengan bebas. Maka di ruang maya ini sahajalah tertumpahnya tinta menyurat apa yang tersirat. Bukan semua ketua jabatan yang berperangan idiot begedek ini. Bahkan hamba pernah bernaung dengan beberapa ketua jabatan yang hebat dan masih dalam kenangan hamba hingga ke hari ini. Mujurlah dalam penempatan kali pertama hamba mendapat boss yang mendidik (walaupun garang). Andaikata dalam permulan perkhidmatan telah mendapat boss yang idiot begedek itu, nescaya mandom berpanjanganlah perkhidmatan hamba.

Andai ditanya apa yang perlu dibuat dengan ketua jabatan yang tiada sifat mengasihi ini, maaflah terus terang bagi hamba anda tidak layak memerintah. Mungkin mereka akan berkata, kami dulu lagi teruk kena hamun tak ada pun komplen. Tolonglah, anda dulu berada di zaman Roomai Noor. Sekarang dah zaman Gangnam Style. Apa yang berlaku di zaman anda tidak semestinya masuk akal di zaman ini. Rasulullah yang menjadi penghulu sekalian umat pun tidaklah memaki hamun para sahabat Baginda dalam menyampaikan ajarannya. Jadi tuan hamba semua yang lebih kecil dari Baginda dan mengaku pula menjadi pengikutnya tak usahlah lebih sudu dari kuah. Kalaupun jabatan tuan hamba maju bukanlah disebabkan kepimpinan tuan hamba, bahkan kerana mereka takut dan tak larat dimaki seharian. Jabatan tuan hamba mungkin berjaya namun tiada keberkatan di dalamnya.

Sekali lagi hamba mohon maaf. Kasih sayang inilah ‘compensation’ yang hamba maksudkan dalam entry yang terdahulu. Nampaknya KSN telah dapat menangkapnya. Terima kasih KSN!!

Khamis, 7 Februari 2013

ADAM - Ramlee Awang Murshid

Pertama kali hamba membaca buku ini adalah pada tahun 2002 di Perpustakaan JPM, iaitu lebih 10 tahun yang lalu, juga tahun terbit novel berkenaan. Dan selepas 10 tahun, pada tahun lalu, hamba membelinya pula untuk koleksi sendiri. Biasanya jarang orang yang pernah membaca sesuatu novel dengan percuma akan membelinya pula untuk diri sendiri. Namun novel ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri untuk menjadi koleksi peribadi hamba. Novel yang hamba beli itu merupakan cetakan yang ke sebelas, tahun 2012. Ini bermakna setelah sedekad ia masih lagi laku di pasaran dan menjadi buruan.

Kali pertama hamba membacanya dahulu, telah timbul rasa kagum pada penulisan cerita ini. Selain daripada gaya penulisan penulisnya yang lain dari yang lain, sebelum novel tersebut hamba belum pernah lagi membaca kisah thriller watak anak Malaysia yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi Amerika Syarikat. Hamba percaya di dalam peringkat penyediaan novel ini, selain daripada kajian yang mendalam, tentunya banyak tolak dan tarik yang difikirkan sebelum penulis memasukkan sesuatu perkara di dalam ceritanya.

Novel ini berkisar tentang ASP Hilman seorang anggota PDRM yang juga merupakan seorang sharp shooter. Beliau digambarkan dalam peringkat bercuti sebelum bersara secara pilihan. Mempunyai seorang anak perempuan bernama Jeslina, namun bertahun dihalang menemuinya oleh keluarga mertuanya. Kesempatan berkunjung ke New York untuk bersama anak perempuannya akhirnya memulakan kisah survivalnya di bumi Uncle Sam selepas kereta beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Dituduh memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan berlakunya kematian membuatkan watak Hilman merasakan ada sesuatu perkara yang tersembunyi dan penuh misteri. Maka dia bertekad untuk mencari siapa gerangan pencetus masalah tersebut sekaligus membebaskan dirinya.

Kisah ini diadun dengan menarik sekali dengan suasana ketika itu sedang hangat dengan kempen pihanraya Presiden Amerika. Watak-watak lain seperti keluarga mertua Hilman, ibu bapanya, Mia Sara, Gabriel, Daljit Singh, Ruben juga dua agen CIA Billy dan Lomax berjaya diolah dengan menarik dan dipesembahkan pada tempat yang bersesuaian. Cuma komplot Naib Presiden Amerika untuk menyingkirkan presidennya sendiri rasanya terlalu ringkas diceritakan tanpa banyak peristiwa tindakan tersembunyi yang dilakukan beliau yang boleh membawa rasa suspen kepada pembaca. Penerangan yang meleret-leret tentang sesuatu info juga harus dielakkan untuk membuatkan pembaca bosan atau dianggap tidak berpengetahuan.

Hamba sentiasa menunggu sekiranya ada penerbit filem yang berani membawa kisah ini ke layar perak. Kalau setakat filem gangster yang dah berlambak tu, hamba rasa sampai takat itu sahajalah kemampuan seniman kita.

Isnin, 4 Februari 2013

THE KERJA IS KILLING ME SOFTLY



Hari telah petang benar tadi. Ketika itu hamba dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat. Sekonyong-konyong terdengar nada dering tefon berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Hmm mesej daripada immediate boss hamba rupanya. Sambil sebelah tangan mengawal pemanduan, sebelah tangan lagi menggagau mencari telefon seraya membukanya. Mesej yang masuk pada jam 18.47 itu berbunyi :-

"A'kum, tlg atur mesy bersama bhg *************  ************* dan bhg **************** esok jam 10.30 pagi mengenai cadangan penghargaan kepada kakitangan ***. Tq"

Adusss..... kenapa setelah hamba merangkak di atas jalan raya ini baru diberi arahan untuk organize meeting pula, pagi esok pula tu. Maka sekali lagi tangan hamba menggagau, kali ini mencari kabel hand free pula untuk menghubungi boss hamba itu bagi mendapatkan maklumat lanjut. Satu masalah pula bila kabel tersebut berbelit dan bersimpul keadaannya.

Maka pada ketika ini yang sepatutnya hamba luangkan masa bersama anak isteri ataupun dengan buku-buku bacaan hamba, terpaksa pula ambil sedikit masa untuk membuat sedikit kerja pejabat. Alhamdulillah telahpun hamba siapkan kerja nan sedikit itu.

Bukanlah sebenarnya hamba hendak berkira. Tapi bagi pekerja yang keluar rumah seawal 6.30 pagi dan hanya sampai dirumah seawal 19.30 malam, masa hamba bersama anak-anak menjadi cukup sedikit. Anak-anak pula pukul 22.00 malam sudah masuk tidur sebagai persediaan untuk ke sekolah esoknya. Jadi berapa jam sangatlah yang hamba dapat luangkan bersama mereka. Kadang-kadang terkilan juga apabila pagi hamba dah keluar pada masa mereka masih lagi belum bangun dan pulang lewat dan mendapati kesemua anak-anak telahpun masuk tidur. Hamba pun penat juga berulang ke pejabat setiap hari. Jarak Meru ke Putrajaya bukannya dekat.

Sebenarnya teknologi yang kita gunakan hari ini walaupun nampak memudahkan pekerjaan, ia juga merupakan makhluk yang akan menyusahkan kita. Dengan segala peralatan itu kita boleh dihubungi di mana sahaja tak kira sama ada ketika tengah tidur ataupun melabur di jamban. Adanya internet menyebabkan kita terpaksa kerap memeriksa e-mel dan melakukan kerja-kerja pejabat menggunakan komputer. Kadangkala rasa tertekan juga dengan kerja yang menimbun setiap hari. Pihak pengurusan bukannya tidak tahu dengan para pekerja yang sentiasa stress. Setidak-tidaknya compensatelah dengan sesuatu yang boleh membuatkan pekerja lebih bersemangat lagi untuk melakukan tugasan.

Ramai sahabat yang telah berfikir untuk bersara awal, dan hamba masih memikirkannya....

HADIAH BUAT DIRI SENDIRI




Sewaktu hamba melintasi sebuah gerai menjual beg dalam kunjungan hamba ke Serikin, Sarawak baru-baru ini, mata hamba menangkap sebuah beg yang tergantung di hadapan gerai berkenaan. Ia kelihatan seperti beg sandang National Geographic. Walau bagaimanapun hamba tidak berhenti untuk melihatnya. Hamba bercadang untuk melihatnya nanti apabila berpatah balik untuk pulang.

Sambil itu di gerai-gerai lain yang menjual beg hamba cuba melihat sekiranya ada beg seperti yang hamba lihat tadi. Sempat hamba membeli beberapa barangan untuk keluarga di rumah. Memandangkan beg pakaian hamba telah penuh maka hamba perlu membeli satu beg baru untuk mengisi barangan yang dibeli. Akhirnya hamba sampai ke gerai yang hamba temui pada awal tadi.

Rupanya beg yang hamba lihat tadi bukanlah sebuah beg sandang biasa. Ia adalah beg kamera berjenama Aosimanni aka ASMN (nama pun tak glemer lansung) yang dijual dengan harga RM220. Memandangkan hamba berhajat untuk membeli beg sandang biasa saja, maka hamba pergi untuk melihat pilihan yang lain. Akhirnya hamba dapat sebuah beg dengan harga RM55 daripada harga asal RM70. Ketika itu hati hamba bagai diusik untuk memiliki beg kamera tadi. Ini kerana beg tersebut nampak besar berbanding beg yang sedang hamba gunakan ketika ini. Akhirnya setelah tawar menawar, maka si penjual dengan berat hatinya menjual kepada hamba dengan harga RM150. Ini kerana hamba mengatakan hamba telahpun membeli sebuah beg sandang maka sepatutnya hamba boleh mendapat diskaun yang baik untuk beg kamera tersebut. Apabila dibuat congakan semula mengikut harga asal, seolah-olah hamba membeli beg kamera yang berharga RM220 dan mendapat sebuah beg sandang bernilai RM55 percuma dengan bonus RM15 lagi!!

Setelah pulang ke semenanjung, beg itu hamba biarkan tidak berusik lebih seminggu. Selepas tempoh itu barulah hamba teragak untuk membeleknya. Bila hamba buat carian di internet ternyata memang ada beg National Geographic yang serupa dengan beg yang hamba beli itu. Ia serupa dengan model NG 5162. Yang berbeza hanyalah warnanya serta tiada nama National Geographic yang tercatat. Manakala yang lain-lain seperti rupabentuk, poket, poncho pelindung hujan, tempat letak lap top adalah sama seperti yang asal. Hamba juga bertemu dengan satu video dari Youtube yang memaparkan review mengenai sebuah beg yang menyerupai model NG 5162.

Walaupun ia bukan beg NG 5162, namun hamba berpuas hati dengan kualiti jahitan beg tersebut. Model berkenaan kalau di web Shashinki pun harganya dalam RM438. Tak apalah, tak ada nama NatGeo ditepek pada beg berkenaan pun tak apa. Sekurang-kurangnya senapang hamba kini ada rumah baru.





PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...