Rabu, 23 November 2022

BARA - Abdul Rahim Awang


 

Bara sebenarnya mempunyai dua buah cerita yang berasingan tetapi cuba disatukan melalui pengelibatan beberapa watak utamanya dalam usaha penulis untuk menyampaikan beberapa mesej seperti lelaki dan wanita perlu bekerjasama untuk mencapai sesuatu matlamat serta jenayah itu perlu dibanteras. Dah macam ayat warta berita pula hamba mengulas!

Kisah pertama adalah mengenai seorang isteri derhaka. Fuhhh jangan bayangkan kisah batu belah batu bertangkup! Watak Dr Zaharah atau Zi telah memilih Rosli, seorang kerani sebagai suaminya. Kehidupan mereka bahagian pada awalnya sehinggalah beliau tidak berdaya lagi menghadapi cemuhan rakan-rakan yang membandingkan kerjaya suaminya dengan kedudukan kerjaya beliau yang lebih tinggi. Zi berasa rendah diri dan malu. Sungguh tak patut, padahal dia yang mula mengorat Rosli dulu!

Tanpa sedar dia mula menjarakkan diri dari Rosli serta tidak lagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Namun Rosli ini jenis seorang yang cool, beliau tenang sahaja menghadapi masalah rumah tangganya. Kehadiran Dr Nordin, kekasih lama Zi semakin mengubah keadaan. Perempuan bila dah kena ayat pemanis hari-hari maka layulah tengkuknya. Zi dah berani tidur atau berzina dengan Nordin walaupun masih berstatus isteri Rosli.

Teguran Dr Hayati, sahabat baiknya juga tidak diendahkan. Malah beliau beliau mencabar Hayati untu mendapatkan suaminya itu yang disifatkannya sebagai useless itu. Hayati memang pantang dicabar. Beliau tahu Rosli bukan manusia tidak berguna seperti anggapan Zi. Ada sesuatu tentang Rosli yang tidak disedari oleh Zi. Pendek cerita, Hayati berjaya dalam usahanya sehingga membuatkan Zi sendiri kesal di atas perbuatannya.

Cerita ini nampak menarik apabila identiti Rosli terbuka sedikit demi sedikit. Beliau bukanlah seorang kerani cabuk seperti anggapan Zi. Beliau adalah 'seseorang' yang penting dan memandu sebuah Porsche! Cuma saya perkembangan watak Rosli dengan tugasan sebenarnya tidak berlaku walaupun hamba pada mulanya menjangkakan akan adanya adegan tugas sukar buat beliau. 

Buku masih lagi tebal nampaknya apabila kisah mereka berakhir untuk memberikan laluan kepada kisah kedua.....cessss!

Kisah kedua bermula dengan pembunuhan Presiden GEMAWAN - Gerakan Maruah Wanita, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak wanita terutamanya menyedarkan dan menyelamatkan golongan pelacur agar kembali ke pangkal jalan dan lari daripada pekerjaan mereka. Tindakan Zalifah, presiden berkenaan menyebabkan perniagaan kulit ini mengalami gangguan. Kerana itulah presidennya dibunuh.

Maka adik beradik Zalifah dan rakan baiknya telah emngatur strategi untuk membalas dendan ke atas semua dalam dalam kes pembunuhan Zalifah. Kisah kedua ini sesungguhnya tidak sesuai lansung untuk pembaca di bawah umur atau boleh hamba katakan tidak sesuai lansung untuk sesiapa membacanya kerana terlalu banyak penceritaan bernada 18SX. Strategi adik beradik Zalifah dan rakan-rakannya dalam usaha untuk membalas dendam terhadap musuh mereka banyak menggunakan batang tubuh mereka sendiri. Maka penulisnyapun menulislah tentang hal-hal yang bukan selayaknya dibaca oleh kita. Itu tak masuk lagi kisah watak lain dengan perempuan yang lain pula. 

Dengan kata lain kisah kedua ini terlalu lucah untuk dibaca walaupun dipersembahkan dengan penceritaan yang menarik dan sesuai dengan situasinya. Memang meletihkan apabila membacanya. Yang rosak itu pula semuanya orang kita, minum arak, zina, jual orang.....dan nama-nama watak pelaku tak senonoh inipun menggunakan pangkal nama keluarga yang baik-baik dalam masyarakat seperti Wan, Nik, Sharifah.....

Tak mahu hamba berkisah panjang. Hinggalah di akhir cerita dua watak utama kedua cerita - Hayati dan Jun, kemudiannya bergabung dalam GEMAWAN dan berusaha menjadikan pertubuhan ini lebih baik daripada sebelumnya. Kali ini bukan kaum wanita sahaja yang dibela, bahkan lelaki juga sama.

Rasa macam nak sorokkan sahaja buku ini..........


KENITRA sekali-kali tidak
membawakan kisah tidak bermoral!


Jumaat, 18 November 2022

SHERLOCK HOLMES, A STUDY IN SCARLET & THE SIGN OF FOUR - Sir Arthur Conan Doyle


Buku ini menghimpunkan dua buah karya awal Sir Arthur Conan Doyle dalam siri Sherlock Holmes (SH) iaitu A Study In Scarlet dan The Sign Of Four. Bagi peminat kisah Shelock Holmes sama ada melalui buku mahupun filem, pastinya terpesona dengan gaya penyiasatan yang dijalankan oleh SH yang bijak menghidu maklumat melalui clue yang ada di sekitar tempat kejadian. Segala clue yang mungkin tidak dihiraukan oleh orang lain ataupun tidak memberikan sebarang makna kepada mereka, SH boleh membuat kesimpulan yang hampir tepat serta menuju kepada penyelesaian.

Watak SH dinspirasikan daripada seorang guru Sir Arthur di universiti. Manakala watak Watson pula hamba percaya adalah diri beliau sendiri yang juga seorang doktor. Walaupun Sir Arthur adalah seorang doktor, beliau juga mahir dalam ilmu lain seperti botani. Ia sekaligus menjawab pertanyaan hamba bagaimana SH boleh menjadi begitu bijak. Sir Arthur menggunakan pengetahuannya di dalam bidang perubatan, botani dan kimia untuk menjadikan watak SH kelihatan begitu hebat.

A Study In Scarlet.

Seperti yang telah dimaklumkan, ini adalah buku pertama dalam siri SH. Ia memperkenalkan watak Dr Watson terlebih dahulu, seorang doktor yang menjadi veteran perang dunia dan pernah berkhidmat di Afghanistan. Pencariannya terhadap sebuah rumah yang murah sewanya membawa kepada perkenalan beliau dengan SH yang juga sedang mencari teman penyewa. Pada peringkat awal ini juga diperlihatkan kegilaan SH dalam melakukan eksperimen melibatkan bahan kimia.

SH hidup sebagai penyiasat bebas yang memberikan perkhidmatan kepada sesiapa yang berhajat kepada kepakarannya termasuklah para polis yang menghadapi masalah menyelesaikan kes yang mereka sedang siasat. Kadang-kadang SH dilihat seperti kesal kerana penat lelah beliau hanya menyebabkan orang lain yang mendapat pujian dan anugerah.

Satu pembunuhan misteri telah berlaku di sebuah rumah kosong dan kemudiannya diikuti dengan satu lagi pembunuhan. SH memperlihatkan kehebatannya 'membaca' masalah melalui clue sedia ada. Melalui satu clue yang dilihat agak kuat, sebentuk cincin perkahwinan, kes berkenaan dapat diselesaikan. 

Separuh bahagian buku ini kemudiannya mmebawa pembaca ke Amerika, berkisah tentang puak Mormon. Pada mulanya hamba menyangkakan ia adalah sebuah kes baharu. Rupanya Sir Arthur bercerita tentang panjang lebar tentang kisah lampau yang membawa kepada pembunuhan dua orang lelaki tadi. Penceritaan panjang lebar ini menjawab segala persoalan di minda pembaca dan memberikan logika kepada setiap perkara misteri yang timbul.


The Sign Of Four

Hamba agak terperanjat dalam permulaan kisah ini apabila melihat SH digambarkan sebagai seorang penagih dadah! SH berbuat demikian kerana merasakan minda beliau tidak diransang lantaran tiada kes untuk disiasat! Memang tak semenggah juga SH ini walaupun beliau menyedari akibat buruk penagihan dadah.

Seorang gadis bernama Mary Morstan hadir membawa misteri tentang kehilangan bapanya serta penerimaan sebutir mutiara setiap tahun selepas pemergian bapanya. Satu nota yang membawa hajat seseorang untuk bertemu Mary telah menyebabkan beliau melibatkan SH dan Dr Watson dalam hal ini.

Seperti biasa SH dengan jayanya menyiasat hal ini dan pasti ada kematian yang berlaku. Dalam babak akhir sebelum tertangkapnya penjenayah, ada adegan kejar mengejar bot laju berkuasa wap di Sungai Thames. Nampaknya pemikiran tentang adegan lasak ini telah lama ada dalam penulisan orang barat sejak sekian lama lagi. 

Seperti mana dalam buku pertama, buku kedua ini seolah mempunyai bahagian kedua yang membawakan kisah yang berasingan yang akan merungkai misteri kehilangan bapa Mary Morstan serta misteri tinggalan harta karun. Kali ini pembaca dibawa ke India, sebuah wilayah jajahan British. Dalam pengkisahan ini juga penulis ada memasukkan tentang kapal yang membawa jemaah haji Melayu dari Singapura menuju ke Mekah. Ini menunjukkan kepada pengetahuan menjdalam penulis tentang tanah jajahan British serta bangsa yang ada walaupun rasanya beliau sendiri tidak pernah ke Tanah Melayu mahupun Singapura.

Pujian boleh diberikan kepada mutu terjemahan buku ini yang amat baik sekali dan tidak terasa bagaikan ada yang tak kena apabila membacanya. Terpesona membaca kisah SH ini, hamba mungkin akan membeli boxset SH yang menghimpunkan semua kisah lengkap beliau.

Pasti muntah membacanya nanti!!



Khamis, 17 November 2022

LAWAK KAMPUS KOMPILASI MANTAP 5 - Keith


 

Walaupun meminati komik Lawak Kampus (LK), hanya beberapa kali sahaja hamba membeli komik berkenaan. Tetapi hamba tidak melepaskan peluang untuk membeli LK yang diterbitkan secara kompilasi. Ini kerana kompilasi LK biasanya datang dengan cetakan kulis keras, mengandungi koleksi lima buah komik yang menjadikannya kelihatan tebal seperti sebuah kamus. Dan keistimewaan cetakan kompilasi LK ini ialah biasanya akan ada komik terbaharu Keith yang tidak ada pada keluaran biasa LK. Dalam kompilasi ke - 5 ini Keith memaparkan komik baharu yang berkaitan dengan covid-19 yang digambarkan dalam watak seekor alien yang datang ke bumi untuk melancong!

Kompilasi Mantap ini baru mencapai jilid ke 5 yang memuatkan komik 21 hingga 25 sedangkan keluaran biasa telahpun mencapai edisi ke 43 (setakat ulasan ini ditulis). Malangnya edisi kompilasi seperti ini tidak terbit dengan kerap dan memakan masa bertahun dari keluaran yang sebelumnya. Jadi hamba terpaksa menahan keinginan untuk membeli edisi yang biasa hanya kerana mahu membeli edisi kompilasi sahaja.

Seperti biasa telatah semua watak-watak di dalam LK tetap menghiburkan pembaca. Walaupun komik jenis loose empat petak untuk sesebuah cerita ini boleh dihabiskan dalam masa yang singkat, hamba mengambil masa yang agak lama juga untuk menghabiskannya - dengan mengambilkira tugasan kerja harian, kerja rumah, ngantuk, tido dan sebagainya. Lamanya masa yang hamba ambil juga disebabkan hamba suka meneliti cara lukisan watak-watak LK dalam sesebuah cerita.

Memandangkan ia menghimpunkan edisi cetakan yang sudah lama, maka isu-isu yang dibawa dalam LK adalah isu yang berbangkit atau panas sekitar lebih kurang 8 ke 10 tahun yang lalu seperti kegilaan kepada i-phone, persaingan restoran McD dan KFC dan sebagainya. Semuanya dipersembahkan dengan cara yang ringkas tetapi menghiburkan.


Peminat LK perlu baca buku Kenitra juga,
Jamin puas hati!!


Isnin, 7 November 2022

NLP UNTUK GURU - Md. Taib Mat & Jasmi Bahrim


 

Hamba mengikuti kursus NLP (Neuro Linguistic Programming) pada tahun 2020 di bawah tunjuk ajar Prof Madya Hisham Dzakiria. Manfaat besar yang hamba perolehi daripada penyampaian beliau membuatkan hamba menjemput beliau ke jabatan hamba pada tahun lalu untuk menjalankan kursus yang sama kepada para kakitangan. Ilmu NLP mengajar kita betapa hebatnya otak, pemikiran dan minda yang Allah anugerahkan kepada kita. Penggunaannya yang betul akan menghasilkan natijah yang hebat. Hamba masih ingat dalam satu sesinya, Prof Hisham menunjukkan satu video mengenai seorang lelaki yang gagap selama berpuluh-puluh tahun kemudiannya sembuh menggunakan teknik NLP ini.

Justeru apabila bertemu buku ini di Pesta Buku Selangor 2021, hamba jadikannya sebagai salah satu koleksi. Buku ini memfokuskan ilmu NLP untuk digunakan oleh para guru di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka. Walaupun begitu, ia tidak semestinya boleh digunakan oleh guru sahaja. Ilmu ini boleh juga kita yang bukan guru ini gunakan dalam aktiviti kerja seharian, khususnya mereka yang banyak melakukan aktiviti pembentangan kertas atau berucap di khalayak ramai.

Sekiranya hamba tidak pernah menghadiri kursus NLP tentunya agak sukar untuk hamba menghadamkan isi kandungan buku ini terutamanya dalam bab bab tertentu seperti mengenali sensori atau modaliti dalam NLP yang diistilahkan sebagai VAKOG (V-Visual, A- Auditori, K- Kinestatik, O- Olfaktori dan G-Gustatori). Bab VAKOG ini memerlukan penjelasan secara berhadapan dengan guru dan sukar difahami jika hanya dengan membaca buku.

Banyak tools dan kaedah yang diberikan oleh penulis buat para guru untuk menjadikan teknik pengajaran mereka mantar seterusnya memberikan kefahaman kepada murid. Bukan sahaja dalam teknik PdP, buku ini juga memberikan ilmu untuk para guru mendekati dan seterusnya memahami anak murid mereka seterusnya melahirkan hubungan yang serasi.




Penulis Kenitra juga pernah menjadi
seorang guru!


Rabu, 2 November 2022

SEJARAH NANING "TANAH BERKERAMAT PENGHULU BERDAULAT" - Luqman Nulhakim Harzamar


 

Hamba sememangnya giat mengumpulkan buku yang berkaitan dengan adat perpatih atau sejarah Negeri Sembilan. Lebih-lebih lagi sekiranya buku berkenaan adalah terbitan lama. Itupun tidak semua buku dapat hamba beli, lebih-lebih lagi apabila harganya berada di luar kemampuan poket semasa. 

Jadi buku ini hamba beli berdasarkan alasan di atas juga. Ini kerana walaupun Naning kini berada di dalam wilayah negeri Melaka, ia merupakan sebuah kawasan yang penduduknya mengamalkan adat perpatih di luar Negeri Sembilan. Apabila disebut Adat Perpatih, ia bukan hanya sebuah ritual biasa di dalam majlis perkahwinan dan sebagainya, tetapi ia merupakan sebuah sistem yang teratur lengkap dengan para pembesar adatnya seperti Undang, Penghulu, Buapak, Dato' Tiang Balai serta unsur lain seperti persukuan, perut, istiadat kerjan dan sebagainya.

Melalui buku ini, penduduk Naning mendakwa bahawa wilayah mereka diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang, pendiri Adat Perpatih itu sendiri. Kelompok Minangkabau datang sewaktu zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah atas permintaan bagindayang meminta mereka untuk membantu mengislamkan masyarakat orang asli di hulu Melaka.

Mereka diberikan sebuah kawasan untuk dibuat negeri dan Datuk Perpatih dilantik sebagai sultan. Namun kerana menghormati Sultan Melaka dan tidak mahu ada dua nakhoda dalam satu bahtera, maka Datuk Perpatih hanya menggunakan gelaran Penghulu sahaja. Gelaran penghulu berasal daripada perkataan Pemegang Hulu, yang juga bermaksud yang memegang kekuasaan atau hulu parang yang bermaksud mereka yang mempunyai kekuasaan.

Agak banyak kisah berkenaan Datuk Perpatih di dalam buku ini yang memberikan banyak maklumat baharu kepada hamba. Hamba tidak pernah tahu bahawa Datuk Perpatih ini telah berhijrah ke Tanah Melayu. Ini kerana tidak ada jejak seperti kubur beliau di sini. Justeru mereka yang memegang kekuasaan penghulu Naning sejak zaman dahulu adalah merupakan waris daripada Datuk Perpatih sendiri.

Daripada kisah Datuk Perpatih buku ini berlanjutan kepada penerangan berkenaan sejarah Naning, adat perpatih yang diamalkan di Naning, kedudukan dan kuasa penghulu Naning, sejarah Naning merentas zaman - dari zaman Melaka membawa kepada Portugis, Belanda dan Inggeris. Ia berakhir dengan sejarah perjuangan Datuk Dol said yang masyhur itu.

Dalam kisah perang Naning ini ada satu maklumat baharu yang hamba dapati iaitu tentang pengkhianatan Syed Shaaban, menantu Undang Rembau, sehingga membawa kepada kekalahan Naning. Sebagai balasan Syed Shaaban telah dikurniakan kawasan Tampin untuk memerintah dan digelar Tunku Besar Tampin. Bagi hamba ini adalah satu perkara yang besar yang mesti diperjelaskan dengan betul dari segi kesahihannya. Ini kerana institusi Tunku Besar Tampin masih lagi wujud hingga ke hari ini. (Kisah ini juga menjawab persoalan hamba bagaimana seorang berketurunan Arab boleh menjadi pemerintah di Negeri Sembilan, sedangkan para Yam Tuan, Undang dan Datuk Adat yang lain adalah Melayu Minangkabau).

Datuk Perpatih adalah adik beradik tiri dengan Datuk Ketemenggungan yang mengasaskan Adat Temenggung. Mereka berselisih dalam beberapa perkara yang melibatkan adat. Hinggalah tiba satu peristiwa yang dinamakan peristiwa digigit anjing yang membawa persetiaan di antara mereka tentang kawasan pengamalan adat masing-masing. Adat Temenggung banyak di amalkan di kawasan pantai manakala Adat Perpatih di kawasan darat dan hulu. 

Cerita ini membawa sedikit tanda tanya kepada diri hamba. Ini kerana selepas peristiwa inilah adik beradik ini berpisah dan Datuk Perpatih datang ke Melaka seperti kisah di atas tadi. Jadi, Datuk Perpatih datang sewaktu era Sultan Muzaffar Shah dan negeri Melaka sememangnya mengamalkan Adat Temenggung. Mustahillah Adat Temenggung ini baru diamalkan di Melaka semasa zaman Sultan Muzaffar (masa kedua beradik adat ini berpisah). Kedua adat ini mungkin telah wujud ratusan tahun sebelum itu lagi. Adakah berkemungkinan bukan Datuk Perpatih yang membuka Naning, ataupun Datuk Naning ketika itu telah ratusan tahun umurnya?

Ada sehelai baju yang mejadi pakaian kebesaran Naning yang dipanggil suindusen wa is tobrakin. Baju ini dikatakan mempunyai kesaktian dan telah hilang dari simpanan. Penulis mendakwa baju ini pernah dimiliki oleh Nabi Syisy (ejaan penulis sendiri). Hanya keturunan baginda yang memiliki baju ini. Pertamanya cara tulisan suindusen wa is tobrakin itu sendiri kalau mereka yang belajar bahasa Arab tentu akan tersengih membaca cara penulisannya. Kedua jangan mudah mensabitkan sesuatu benda seperti pakaian ini dengan seseorang Nabi kalau tidak ada nas yang sorih untuk menguatkannya. Orang Melayu ini kalau ada perkara yang dikaitkan dengan Nabi cepat benar percaya tanpa perlu usul periksa. Banyak kisah yang mengaitkan sesuatu perkara besar dengan bangsawan Melayu hanya untuk menunjukkan mereka itu hebat, walaupun tiada pembuktian.

Bercakap tentang pembuktian ini, penulis buku ini sendiri tidak berapa suka dengan cara ini kerana mendakwa ia adalah teknik pengkajian oleh pihak barat. Kerana itu dalam buku ini banyak perkara yang diambil daripada penceritaan lisan, daripada generasi yang terpisah jauh beratus tahun dengan kisah penceritaaan asal. Hingga kadang-kadang penulis macam nampak meremehkan para pengkaji lain, walaupun nama mereka tidak disebut. Tetapi ia seolah menunjukkan kajian orang lain tidaklah hebat ataupun mungkin tidak mencapai tahap yang diinginkan hanya kerana berbeza cara pengkajian dengan penulis.

Ada di antara amalan adat ini yang hamba lihat boleh membawa kepada syirik. Walaupun penulis memngatakan kesemua Penghulu adalah orang alim, bagi hamba kalau benar alim, mereka tidak akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Antaranya pada muka surat 184, 'Di samping itu, dalam pemilihan datuk Naning terdapat konsep mendapat restu daripada alam ghaib atau makhluk halus. Ahli lembaga adat akan membuat kesepakatan untuk meminta Datuk Pawang Seri Naning menilik dan bertanyakan kepada makhluk alam ghaib merestui bakal penyandang Datk Naning kelak.' Makhluk ghaib ini mereka panggil Datu Serban Kuning dan Datuk Lebai Seklan!

Salah satu 'rukun' dalam Adat Berkerjan adalah bermunajat di Bukit Penyalang. Bermunajat itu baguslah, apabila ada dilakukan solat sunat dan zikir. Tetapi lepas itu bila ada pacak bendera pada setiap arah mata angin, bakar kemeyan dan sebagainya, ia dah mula dimasuki unsur khurafat. Bak kata penulis di muka surat 191, '......Selepas bacaan doa, wirid-wirid tertentu dibacakan dan ketika ini dipercayai makhluk-makhluk halus yang mendiami puncak Bukit Penyalang ini akan merestui Datuk Naning yang baru.'

Penulis mengkiaskan perbuatan seperti ini samalah dengan amalan berdoa di makam RasululLah di mana kita memohon kepada Allah dengan keberkatan Nabi. Janganlah kita samakan makhluk halus yang tak tentu siapa dengan Nabi. Jauh benar martabat mereka antara langit dengan bumi. Bahkan martabat manusia dengan jin itu amat jauh bezanya. Sudahlah begitu digunakan pula satu hadith untuk menghalalkan perbuatan ini. Penulis memetik satu hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, (Hanya segala amal dengan niat, dan bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan....)

Pertamanya, penulis menterjemahkan hadith inipun kurang tepat. Dan yang keduanya pelajarilah betul-betul akan pentafsiran hadith ini melalui ulama yang mursyid. Ketiganya hadith ini tidak berkait lansung dengan perbuatan khurafat. Jikalau diterima pandangan penulis ini maka kita khuatir satu hari nanti akan ada orang makan khinzir tetapi diniatkan ayam!

Baik kita tinggalkan bab adat ini. Dari segi cara penulisan, penulis kerap mengulang-ulang ceritanya pada tempat yang berbeza. Contohnya kisah kedatangan Datuk Perpatih yang boleh dijumpai di beberapa tempat yang berbeza. Banyaknya beliau mengulang cerita inilah yang menjadikan buku ini tebal (bila tebal, tinggilah kos mencetaknya dan tinggilah harga yang dijual kepada kami pembaca). 

Pembaca akan menjumpai perkataan pentakbiran di banyak tempat. Perkataan ini sepatutnya ditulis pentadbiran. Mulanya hamba ingat ia satu kesilapan, tetapi apabila menemuinya di banyak tempat dan tidak ada lansung perkataan pentadbiran, maka hamba rasa penulis sengaja menggunakannya. Perkataan Pentakbiran dan Pentadbiran, keduanya berasal daripada bahasa Arab dan keduanya membawa maksud yang berbeza. Penulis tidak menjelaskan kenapa beliau menggunakan perkataan sedemikian.

Kadangkala ada kesilapan penggunaan penjodoh bilangan yang begitu ketara dan hamba rasakan tidak sepatutnya berlaku seperti 'sebuah' baju (m.s. 180) dan 'sebuah' tiang (m.s. 189). Kesilapan kecil yang lain adalah penggunaan kata sendi 'di' sama ada perlu dijarakkan atau dirapatkan, juga perkataan sure name di muka 50 yang sepatutnya ditulis surname.

Apapun, secara keseluruhan buku ini memberikan banyak maklumat mengenai Naning dan adat yang diamalkan oleh mereka. Namun ia masih membuka banyak ruang perbincangan untuk para pengkaji.


Kenitra ditulis oleh penulisnya sendiri sekaligus mengelakkan
penyelewengan fajta di masa akan datang!



PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...