Jumaat, 24 November 2017

KAKAK KEMBOJA - Naim Tamdjis



Novel ini menyajikan sebuah kisah yang mudah untuk dihadam oleh pembaca. Jalan ceritanya disusun dengan baik dan tidak membosankan. Walaupun bertemakan seram, tetapi tidaklah terlalu menakutkan pembacanya sehingga takut untuk ke bilik air bersendirian.

Novel ini mengangkat tentang teman ilusi kanak-kanak, yang pada hamba selalunya kedengaran pada kanak-kanak di barat. Teman ilusi mungkin adalah satu watak rekaan kanak-kanak secara bayangan yang bisa diajak bicara, bermain dan sebagainya. Dalam novel ini teman ilusi tersebut adalah makhluk halus yang mendampingi manusia sekaligus cuba untuk menyesatkan mereka.

Kisahnya mudah, seorang ibu tunggal bernama Siti dan anak lelakinya Johari dihalau oleh ibu mertua. Lantaran itu mereka terpaksa mencari sebuah kediaman yang baru. Kerana masa yang suntuk maka hanya sebuah kediaman rumah pangsa yang lama dan usang sahaja yang dapat dicari. Tambahan pula harga sewa yang dikenakan adalah murah. Kediaman baru mereka agak sunyi dan lebih banyak dihuni oleh warga asing. Begitu juga dengan tingkat kediaman keluarga ini yang sebenarnya tidak ada lansung manusia yang tinggal. Apa yang mereka jumpa selama ini ditingkat tersebut tidak lebih adalah penampakan makhluk halus itu sendiri dalam bentuk manusia.

Perkenalan Johari dengan seorang remaja perempuan bernama Kemboja menjadikan mereka rapat. Johari tidak sedar bahawa Kemboja bukanlah manusia sepertinya. Johari kadangkala dianggap gila apabila kelihatan berbual sendirian di mata kasar manusia sedangkan ketika itu beliau sedang berbicara dengan Kemboja. Dan demikianlah sehingga ke kesudahan kisah sehingga akhirnya Johari dibantu oleh guru dan ustaz di sekolah untuk memisahkan beliau dengan pendamping tersebut.

Disamping itu beberapa watak sampingan lain turut disakat oleh hantu. Ibu mertua dan bekas abang ipar Siti juga terkena gangguan selepas sahaja mereka meninggalkan rumah arwah suaminya. namun elemen seram atau gangguan terhadap keluarga mertuanya bagi hamba bukanlah fokus utama penulis. Fokus utamanya adalah sikap kejam seorang lelaki yang begitu tega menghalau iparnya, tamak dalam memiliki harta. Dia juga seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Kejadian gangguan hanyalah sebagai penyedap cerita untuk memperlihatkan sifat kesetiaan dan ketaatan seorang isteri yang menjadi inti penceritaan.

Begitu juga dengan keluarga Zanna, sahabat Siti yang membantu mencari rumah sewa yang baru serta turut membantu keluarga tersebut berpindah. Keluarga tersebut akhirnya turut diganggu makhluk yang dikatakan mengikut dari kawasan rumah pangsa Siti. Dalam hal ini penulis cuba menyelar golongan yang menjual agama dengan menampilkan watak Ustaz Soot yang mengenakan upah yang tinggi bagi menghalau gangguan syaitan. Akhirnya Ustaz Soot sendiri kecundang dan lari meninggalkan rumah.



Nota - Bantulah untuk menghidupkan blog ini dengan mengetik iklan-iklan yang terpapar. Terima kasih.

Selasa, 21 November 2017

ONCE UPON A TIME VOL. 1 - Nud's



Buku ini merupakan himpunan kartun-kartun loose Nud's yang pernah tersiar di majalah Gila-Gila. Kesemua halamannya berwarna - sephia, kekuning-kuningan membayangkan suasana vintage. Agak istimewa apabila kesemua dialognya ditulis dalam bahasa Inggeris walaupun kesemua kisahnya menjurus kepada suasana kampung zaman dahulu.

Semua kisah dalam ONCE UPON A TIME ibarat kisah lalu pelukis/penulisnya. Ia adalah kisah silam kanak-kanak di sebuah kampung bersama keluarga, kawan-kawan dan alam sekitarnya. Suasana seperti ini mungkin tidak lagi dijumpai pada hari ini. Kalau adapun cuma di beberapa tempat sahaja - dan mungkin agak ulu - seperti penggunaaan perigi untuk mandi ataupun membasuh pakaian di tepi sungai.

Apa yang Nud's pernah alami kebanyakannya pernah juga hamba alami sendiri sewaktu kanak-kanak dahulu. Walaupun zaman kanak-kanak Nud's berbeza daripada zaman hamba tetapi mengalami beberapa perkara tersebut membuatkan hamba dapat menghayatinya dengan baik. Kanak-kanak hari ini, terutamanya yang tinggal di bandar ataupun yang tidak pernah sekalipun menjejakkan kakinya di bandar tentunya hampir tidak pernah mengalami pengalaman sebegini, apatah lagi kampung pada hari ini juga sudah moden.

Zaman kanak-kanak Nud's adalah zaman rumah yang beratapkan rumbia, tiada kemudahan air dan elektrik. TV adalah barang mewah yang mungkin ada di rumah penghulu. Rumah yang ada TV mungkin meriah menerima kehadiran tetamu yang tidak diundang bagi menonton rancangan tertentu. Barang diingat TV pada masa lalu menghidangkan cerita yang terhad dan hanya bermula pada lewat petang dan tidak bersiaran panjang atau 24 jam seperti sekarang. Mandi sungai dan perigi adalah perkara biasa. Mengambil air di perigi menggunakan timba memerlukan skill yang istimewa. Bukan sekadar mencampakkan timba di air, kemahiran untuk menyentapnya bagi memastikan air masuk perlu ada bagi memastikan air dapat diangkut ke atas. Berjalan-jalan dengan ayah di waktu lapang merupakan satu perkara yang amat istimewa. Alam sekeliling adalah teman. Makanan dan ulaman berada di halaman sahaja, termasuk lauknya. Hendak makan ayam, maka berkejaranlah sekelilng halaman untuk menangkapnya. Apa yang ada di sekeliling boleh dijadikan mainan. Mainan biasanya dibuat sendiri. Tiada wang untuk dibeli. Senapang kayu, lastik, pedang kayu, kadangkala kemahiran ini datang dengan sendiri. Tiada alatan kadang-kadang binatang atau serangga yang ada juga boleh menjadi pengganti. Dalam hal ini Nud's menunjukkan adegan laga semut. Itu belum lagi permainan tarik upih yang thrillnya umpama menaiki senuah kereta lumba.

Sepertimana Nud's, kenangan seperti ini juga semakin jauh meninggalkan hamba. Alangkah indahnya kenangan lalu apabila kita dirapatkan dengan sahabat memalui alam, bukan seperti hari ini dipisahkan oleh gajet.


Khamis, 16 November 2017

AHMAD AL-KEBAB - Wan Azlan



Ini merupakan buku ke-3 Wan Azlan yang hamba baca selepas MADU 3 SUKU dan NUJUM PAK BELUKANG. Tidak seperti dua novel sebelum ini, Ahmad Al-Kebab tidak lari jauh daripada kisah asalnya - Ahmad Albab. Hanya pada permulaan dan pengakhiran novel sahaja mempunyai kisah yang berlainan daripada filem yang boleh dikatakan merujuk kepada susur galur atau asal usul kisah bapa Sediakawal atau datuk kepada Ahmad Al-Kebab. Selain itu kisah novel ini memang menyerupai filem. Hanya yang diubah sedikit adalah nama, cara biras sediakawal menipu dan sebagainya. Hamba kira novel ini kurang umpphh sedikit berbanding dua novel di atas.

Rabu, 8 November 2017

BAKAL TERBIT - LEGASI TOMBIRUO!!!



Dengan kehangatan filem dan novel Tombiruo yang masih lagi dapat dirasakan, facebook RAMFC telah membuat pengumuman tentang sebuah novel yang bakal terbit Disember ini. Membaca sinopsisnya memang nampak agak menarik. Tetapi adakah ia dapat menyaingi Tombiruo Semangat Hutan?

Sinopsis :

EJIM atau nama barunya Amaruddin telah lama meninggalkan dunia TOMBIRUO setelah mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya. Kini dia hidup bahagia bersama isteri tersayang Siti Nurhaliz dan anak tunggalnya Suriani. Bagaimana pun kebahagiaan yang dikecapi tercalar tatkala Semangat Hutan muncul semula dalam jelmaan bapanya, Pondulou. Bahkan menerusi mata fikirannya, Amaruddin sering melihat pembunuhan kejam. Amaruddin pun memutuskan untuk memburu pembunuh itu yang bermaharajalela di ibu kota Kuala Lumpur. 

Diana seorang peguam biasa dan Sarah seorang wartawan jenayah Sinar Harian telah bertemu dengan Amaruddin menerusi satu kejadian tragis. Mereka bersepakat bergabung tenaga untuk membanteras penjenayah yang tampil dengan imej TOMBIRUO namun diubahsuai mengikut cara moden. TOMBIRUO hutan batu ini rupa-rupanya bukan calang-calang pembunuh. Manusian bertopengkan wajah dewa itu sangat handal sehingga berupaya mengalahkan ketiga-tiga mereka ini. 

Siapa sebenarnya TOMBIRUO baru ini? Kenapa dia tega melakukan pembunuhan? Apa hubungannya dengan Amaruddin selaku mantan TOMBIRUO Hutan Keningau? Siapa sebenarnya pewaris legasi TOMBIRUO selanjutnya? Semua persoalan ini akan terjawab dalam karya mutakhir RAMLEE AWANG MURSHID dengan adegan-adegan saspens yang diadun kemas dengan nilai-nilai kekeluargaan, agama dan cinta.



# Nota - Novel ini telahpun berada di pasaran mulai  Disember 2017 semasa Mini Karnival Karangkraf di Angsana, Johor Bahru.

TOMBIRUO PENUNGGU RIMBA (Edisi Terhad) - Ramlee Awang Murshid



Novel ini dicetak semula buat sekian kalinya dengan menampilkan sampul baru yang berupa poster wayang filem dengan tajuk yang serupa. Isi kandungannya tetap serupa dengan yang lama tetapi diberikan penambahan beberapa gambar di sebalik tebir pembikinan filem Tombiruo. Walaupun hamba telah sedia memiliki novel ini tapi hamba membelinya juga bagi memberikan kepada penulisnya walaupun RAM sendiri atau RAMFC tidak pernahpun memberikan sokongan kepada blog ini yang sering memberikan ulasan kepada karya-karya karangan beliau (dan sekaligus menjadi promosi percuma yang boleh melariskan jualan karya beliau).

Tombiruo bagi hamba merupakan salah satu karya terbaik RAM, malah ia boleh hamba katakan lebih baik daripada beberapa novel RAM yang mutakhir. Novel ini lahir sekitar pertengahan tahun 90an. Justeru bagi yang baru pertama kali membacanya, khususnya generasi muda, tentu akan bertemu dengan satu dua perkara yang mungkin ganjil atau baru bagi mereka. antaranya ialah;

#     Akhbar Bacaria tempat Wan Suraya bertugas merupakan sebuah akhbar tabloid yang agak popular satu ketika dahulu. Sepertimana lazimnya sifat akhbar tabloid, ia banyak memuatkan kisah-kisah sensasi ataupun hanya kisah biasa tetapi disampaikan dengan gaya sensasi bagi menarik perhatian pembaca. Akhbar berkenaan tidak lagi wujud.

#     Wan Suraya membayar dengan duit syiling RM1 bagi membeli setin kola. Syiling emas 1 Ringgit tidak lagi sah diperlakukan sehingga 6 Disember 2005, ianya ditarik balik oleh Bank Negara Malaysia didalam masa 3 bulan bermula daripada 7 September sehingga 6 Disember 2005.

#    Teknologi wifi masih belum ada sekitar tahun berkenaan. Kerana itu Wan Suraya sewaktu mahu menghantar berita ke Kuala Lumpur menggunakan sambungan kabel ke wayar telefon.

#     Jangan bayangkan telefon bimbit ketika itu adalah seperti smartphone sekarang. Bentuknya mungkin sebesar botol air, atau kalau kecil sedikitpun masih dianggap besar dan tebal berbanding hari ini. Telefon bimbit di awal pengeluarannya juga tiada kemudahan sms. Apabila kemudahan tersebut wujud, pada peringkat awalnya mesej hanya boleh dihantar kepada sesama pengguna yang menggunakan perkhidmatan syarikat yang sama sebelum boleh dihantar kepada penyedia talian perkhidmatan yang lain beberapa tahun kemudiannya.
Untuk entry ini tidaklah hamba berhasrat untuk mengulas tentang novel ini. Hamba akan menumpukan kepada perbandingan dengan filem. Seperti yang pernah hamba tulis pada entry TOMBIRUO : PENUNGGU RIMBA the movieMenonton filem ini seharusnya tidak boleh dibandingkan dengan naskhah asalnya yang berbentuk novel. Dalam novel penceritaannya lebih rencam, plotnya lebih kompleks, terlalu banyak persoalan dan penuh dengan elemen kejutan. Perbandingan yang akan hamba nukilkan bukanlah satu kritikan sama ada pada novel ataupun filem. Ianya lebih kepada untuk menambahkan keseronokan bagi sesiapa yang belum pernah membaca atau menonton karya ini. Antara yang sempat hamba catatkan ialah;

NOVEL
FILEM
Rambut Ejim berwarna kekuning-kuningan
Rambut Ejim berwarna hitam
Pondolou mati kerana sakit tua
Pondolou Nampak gagah walaupun berusia dan mati dalam satu pertarungan.
Ejim mengenakan kelubung hitam.
Tiada sebarang kelubung.
Tiada kampung yang diserang
Sebuah kampung diserang
Salina dan Tuan Berham mati dalam satu kemalangan apabila kereta mereka ditimpa kayu balak. Pemandu mereka terselamat tetapi koma.
Salina dan Tuan Berham mati dalam satu kemalangan apabila kereta mereka terbabas ke dalam gaung. Kesemua mereka mati. Kematian Salina selepas kemalangan adalah kerana dicekik oleh Juslan.
Salina tidak memakai tudung.
Salina telah sedia bertudung.
Wan Suraya merupakan wartawan akhbar Bacaria.
Wan Suraya merupakan wartawan penyiaran TV Sinar.
Tauke wong merupakan seorang pembalak dan digambarkan mempunyai susuk yang besar.
Wong merupakan seorang ketua keselamatan dan mempunyai susuk yang tegap
Sepupu Tuan Berham yang juga merupakan crook utama bernama Omar.
Crooknya bernama Juslan
Wan Suraya hanya datang ke Sabah apabila ditugaskan untuk membuat liputan sukan.
Wan Suraya telah sedia ada di Sabah.
Nenek Monsiroi tinggal di kawasan kampung di perbukitan, turut bercucuk tanam.
Monsiroi tinggal di dalam hutan dan kelihatan seperti seorang tukang sihir.
Amiruddin mengetahui bahawa beliau bersaudara dengan Ejim melalui kisah nenek Monsiroi dan kedua mereka mempunyai tanda lahir berbentuk kutil di belakang cuping telinga.
Amiruddin merasakan beliau ada kaitan dengan Ejim dalam satu pertarungan apabila melihat Ejim mempunyai satu tanda di lengan yang sama dengan beliau.
Omar juga merupakan seorang pembunuh dan perogol.
Tidak dinyatakan.
Ejim tinggal di pondok di atas tanah.
Ejim tinggal di atas ran.
Wan Suraya pernah tinggal dengan keluarga Amiruddin.
Tidak dinyatakan, bahkan dalam satu jamuan di rumah tersebut Wan Suraya hadir tanpa undangan.
Kesedihan Amiruddin kerana kematian isterinya sering ditampilkan.
Tidak terlalu focus kepada persoalan tersebut.
Baizura dan Wan Suraya pernah diculik untuk tebusan.
Tiada.
Tidak diperincikan pertarungan dengan Omar.
Pertarungan dengan Juslan menjadi kemuncak filem.


Banyak lagi sebenarnya perbezaan di antara novel dengan filem, bahkan tidak keterlaluan hamba katakan bahawa perbezaannya begitu besar. Seolah filem hanya mengambil premis watak watak dalam novel sahaja untuk menghasilkan kisah baharu. Ia seumpama kisah Superman yang mempunyai banyak versi dan amat berbeza dengan versi asal. Versi kemudian hanya mengambil premis watak Superman sahaja untuk menghasilkan kisah yang baharu.

Dalam novel juga walaupun menggunakan tajuk Tombiruo, watak Ejim/Tombiruo tidaklah begitu menyerlah berbanding Amiruddin dan Wan Suraya. Watak Ejim lebih menyerlah dalam sambungan novel ini. Berbanding dengan filem, watak Ejim menjadi tumpuan utama dan kerap tampil berbanding dua watak utama tadi. Novel juga turut disulami dengan sedikit dakwah bilhal dengan menampilkan watak Amiruddin yang taat beragama, bertahajjud, mendidik anaknya mengaji serta watak Ejim apabila ingin mengetahui lebih lanjut tentang Allah. Perkara ini ditinggalkan lansung di dalam filem.

Rabu, 1 November 2017

DI SEBALIK RUNDINGAN DAMAI HAT YAI - Myzara



Perjuangan pengganas komunis di Tanah Melayu berakhir pada 2 Disember apabila satu perjanjian damai ditandatangani antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dan Parti Komunis Malaya. Ia tidak berakhir begitu sahaja tanpa adanya usaha-usaha di sebalik tabir yang membawa kepada perdamaian tersebut. Apatah lagi setelah kegagalan Perjanjian Baling, pihak komunis sedar bahawa kerajaan Malaysia sememangnya sama sekali tidak akan mengiktiraf perjuangan mereka serta membenarkan mereka bergerak sebagai sebuah pertubuhan yang sah.

Rata-rata para pejuang komunis di peringkat awal adalah merupakan para pejuang kemerdekaan berhaluan kiri yang percaya penentangan terhadap British perlu dilakukan dengan kekerasan atau bersenjata. Kemerdekaan secara begitu bagi mereka adalah lebih bermaruah berbanding kemerdekaan yang diperolehi secara rundingan. Bagi mereka kemerdekaan yang diperolehi secara mudah umpama negara masih lagi dijajah secara halus oleh British ataupun diperintah secara boneka. Acuan pemerintahan juga akan berpaksikan penjajah walaupun ditadbir oleh anak bangsa sendiri.

Buku ini adalah kisah Mocktar Mahmud Baginda yang mempunya bapa serta ahli keluarga yang lain berpewatakan pejuang kemerdekaan tetapi berhaluan kiri. Kakaknya Siti Nurkiah dan Zainab lari ke hutan dan akhirnya menjadi komunis. Tetapi Zainab akhirnya pulang ke tanah air sekitar 80an, menyerah bersama suaminya Musa Ahmad yang juga bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya. Mereka menyerah kerana tidak yakin lagi dengan perjuangan komunis dan merasakan bahawa orang Melayu hanya dipergunakan sebagai alat semata-mata.

Hasrat untuk bertemu semula dengan kakaknya Siti Nurkiah yang telah terpisah selama lebih 40 tahun akhirnya membawa kepada agenda yang lebih besar. Mocktar akhirnya menjadi umpama orang tengah ataupun lebih tepat lagi mastermind yang berjaya membawa komunis ke meja perundingan. Kisah-kisah kemajuan dan perkembangan tanahair yang dibawa Mocktar dalam beberapa siri lawatan telah mengetuk hati para komunis ini untuk kembali semua kepada masyarakat. Mocktar juga diberi layanan yang baik sepanjang berada di kem mereka bahkan diberikan penghormatan untuk memeriksa barisan kawalan keselamatan. Pihak komunis memberikan mandat kepada Mocktar untuk menjadi wakil mereka menyampaikan hasrat dan harapan kepada kerajaan. Mocktar terlibat dalam beberapa siri rundingan namun pada rundingan yang terakhir, entah di mana silapnya, beliau tidak dilibatkan dan hanya mengetahui tentang beritanya melalui akhbar sahaja. Hamba percaya tentu beliau sedikit kecewa. Hamba sendiri berpandangan adalah tidak wajar beliau diketepikan kerana usaha beliaulah maka anggota komunis bersedia ke meja rundingan dan akhirnya bersetuju untuk meletakkan senjata. Tidak dinafikan bahawa usaha ini sebenarnya melibatkan banyak pihak terutamanya anggota keselamatan serta barisan pemimpin, tetapi harus diingat usaha Mocktar inilah yang menjadi pencetus serta katalis kepada perdamaian.

Keadaan di kem-kem mereka sebenarnya amatlah daif. Uniform mereka lusuh serta senjata mereka adalah lama. Mereka tidak keluar dari hutan berpuluh-puluh tahun serta tidak tahu tentang pembangunan yang pesat di luar. Walaupun mungkin ada kemudahan radio serta akhbar yang di bawa masuk ke kem, hakikatnya mereka memang terasing dari dunia luar. Kerana itu apabila perwakilan awal yang mewakili komunis di bawa keluar dan berpeluang ke beberapa tempat di Hat Yai dan Pulau Pinang, mereka berasa amat takjub dengan kemajuan yang ada. Hinggakan tandas duduk yang ada di bilik hotel pada mulanya dianggap sebagai sinki, malah sempat membasuh muka di dalamnya!!

Namun di sebalik semua kisah ini, ia juga menunjukkan akan kasih sayang antara keluarga yang amat kuat sekali. Apatah lagi Mocktar sendiri dipelihara oleh Nurkiah semenjak bayi lagi. Jadi tidak hairanlah kasih sayang antara mereka amat kuat sekali. Permulaan buku ini sebenarnya dimulakan dengan kisah Mocktar semasa kecil. Kisah hidup beliau sebenarnya amat mengharukan. Hidup dalam zaman perang, dilayan oleh ibu tiri yang kuat menyiksa, merasakan disisihkan bapanya yang mengutamakan perjuangan apatah lagi apabila kegagalannya memasuki Special Malay Class 1 hanya kerana tidak berkemampuan membayar yuran. Untuk makluman kelas tersebut hanya diperuntukkan untuk pelajar yang bijak sahaja.

Buku ini disampaikan dalam bentuk novel. Hamba merasakan sepatutnya Dato' Mocktar sendiri yang menulis pengalamannya ini, apatah lagi dengan pengalamannya sebagai orang surat khabar serta setiausaha akhbar kepada beberapa orang politik, tentunya tulisan beliau akan lebih baik lagi. Penyampaian dalam bentuk novel ini kadangkala terpaksa mewujudkan dialog-dialog yang belum tentu tepat dengan keadaan asal kerana mahu menyedapkan jalan cerita.

Walau apapun, naskhah ini adalah naskhah wajib baca terutamanya buat pencinta sejarah tanah air.

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...