Sabtu, 22 Julai 2023

NIRNAMA : HIMPUNAN HIKAYAT TANAH SEMENANJUNG - Hilal Asyraf

 


Hamba bertukar ke jabatan baharu. Jabatan baharu ini pula menghadiahkan kesibukan yang luar biasa. Aktiviti membaca hamba bagaikan terencat seketika. Usahkan buku, akhbar di pejabat juga adakalanya tak sempat hamba selak. Justeru bulan ini, baru hari inilah hamba dapat menghabiskan bacaan buku ini. Bermula pada cuti Awal Muharram, sedikit demi sedikit hari ini selesai bacaannya. Hanya pada hari cuti, buat masa ini, hamba dapat memberikan tumpuan untuk membaca. Pada hari -hari bekerja, selepas solat Isya' sahaja hamba sudah mulai lesu diikuti lelap tanpa sedar di atas lantai ruang tamu.

Naskhah ini adalah merupakan prequel kepada novel Nirnama yang baru sahaja hamba ulas sebelum ini. Para pembaca adalah dinasihatkan untuk membaca Nirnama terlebih dahulu sebelum membaca naskhah ini bagi menjamin kefahaman terhadap jalan cerita. Walaupun naskhah ini adalah cerita yang berlaku sebelum Nirnama, membacanya terlebih dahulu berkemungkinan akan membuatkan anda 'hilang' dan tertanya-tanya, mengapa?

Dalam Nirnama terdapat begitu banjyak watak yang dipersembahkan oleh pengarang. Tidak semua watak diberikan perincian tentang asal usul mereka. Justeru naskhah ini bakal menjawab tanda tanya yang timbul bagi yang telah membaca Nirnama.

Walaupun berada dalam franchise Nirnama atau pengarang menggunakan istilah semesta, hamba melihat buku ini tidak terlalu tertumpu kepada watak Nirnama itu sendiri. Penumpuan adalah lebih kepada watak Jagat Suci, Sultan Mahmud dan Adiwaja. Ini kerana ketiga-tiga watak ini adalah umpama permulaan kepada berlakunya satu peristiwa besar yang berlarutan sehingga memungkinkan munculnya Nirnama. 

Watak Nirnama (dalam naskhah ini banyak menggunakan nama sebenarnya -Tuah) hanya muncul dalam beberapa bab tertentu serta di penghujung novel yang memberikan pengakhiran kepada sebuah permulaan.

Memandangkan terlalu banyak watak yang mahu diberikan perincian,, maka kadang-kadang penceritaan kelihatan seperti tergantung apabila bab penceritaan sesuatu watak terhenti bagi memberikan laluan penceritaan watak yang lain pula. Kerana itu seperti yang disebutkan di awal tadi, novel Nirnama harus dibaca terlebih dahulu sebelum membaca naskhah ini. Naskhah ini hanya boleh difahami dengan baik apabila anda telah membaca Nirnama.

Bukanlah satu perkara mudah untuk menghasilkan sebuah prequel. Lebih-lebih lagi bila ianya bukan berada di dalam perancangan asal penulis. Namun hamba menganggap penulis berjaya di dalam percubannya ini walaupun hamba merasakan banyak lagi penceritaan yang boleh ditambah atau diperluaskan. Walaupun begitu, dengan penceritaan sedia adapun novel ini telah menjadi begitu tebal.

Seperti naskhah awalnya, novel ini turut menampilkan banyak ilustrasi menarik ala manga Jepun. Begitu juga dengan pantun-pantun yang menjadi pembuka setiap bab - hamba anggap pantun oleh pengarang begitu bermutu sekali. Cuma ada satu pantun oleh watak Nadim yang berbunyi, 'Yang maun maging serta maserba......' , hamba rasa perkataan maun, maging dan maserba ini adalah perkataan moden yang biasa ditemui dalam buku sains. Ia nampak tidak kena dengan latar masa zaman silam kisah ini.

Khabarnya ada lagi projek baharu untuk semesta Nirnama ini. Akan muncul komik serta sambungan kepada Nirnama. Terus terang, novel ini telah mula memikat hati hamba dan kebarangkalian untuk menyambar apa yang muncul selepas ini begitu besar.

Harapanya berduitlah ketika itu....





NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...