Jumaat, 29 Januari 2016

THE MALAYAN EMERGENCY REVISITED 1948-1960, A Pictorial History - Lt. Col (R) Mohd Azzam Mohd Hanif Ghows



Semasa buku ini mula berada di pasaran sekitar tahun 2006, hamba teringin sangat hendak memilikinya. Namun harganya ketika itu bagi hamba agak mahal (sekitar RM120) dan gaji hamba pada ketika itu pula agak kecil. Namun hamba berharap agar buku ini masih lagi berada di kedai-kedai buku apabila suatu hari nanti hamba telah bersedia untuk membelinya. Malangnya seperti kebanyakan buku-buku bermutu yang diterbitkan di Malaysia, walaupun buku ini mempunyai nilai yang tinggi untuk bacaan ia akhirnya tidak lagi hamba temui di rak-rak buku kedai. Terasa agak kecewa hamba. Hamba terus berdoa dan berharap agar diberi peluang untuk sekurang-kurangnya membaca buku ini.

Pata tahun lepas seorang rakan pejabat bertanya di mana beliau boleh meletakkan buku-buku lama di rumahnya. Hamba jelaskan bahawa di pejabat tidak ada ruang mahupun perpustakaan untuk tujuan tersebut. Namun hamba jelaskan bahawa hamba sendiri berminat dengan buku dan mungkin ia boleh hamba lihat untuk bacaan sendiri. Beliau bersetuju dan kemudiannya hadir dengan buku ini. Alhamdulillah, rasa macam tak percaya apabila melihat buku yang diterbitkan kira-kira 9 tahun dahulu kini berada di hadapan mata. Lebih istimewa lagi buku yang beliau bawakan ini adalah naskhah daripada penulis buku itu sendiri yang dihadiahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan ketika itu, YBhg. Dato' Haji Ahmad Latffi bin Hashim (merendah diri betul sahabat hamba ini sehinggakan hamba tak tahu bahawa bapa beliau adalah seorang VIP). Terus hamba menyatakan hasrat untuk membeli buku ini daripada beliau. Namun beliau tidak memberikan sebarang jawapan sehingga ke hari ini dan meminta hamba membaca dan menjaganya dengan baik.

Buku ini merupakan satu khazanah berharga kepada negara yang menceritakan keadaan zaman darurat yang berlaku antara tahun 1948 sehingga 1960 dan berterusan sehinggalah kepada zaman merdeka. Buku ini bermula dengan ledakan Perang Dunia Kedua dengan secara khususnya memfokuskan kepada pendudukan Jepun di Tanah Melayu, kerjasama komunis dengan British bagi menentang Jepun dan selanjutnya. Belang komunis mula menyerlah apabila Jepun menyerah dan Tanah Melayu berada dalam tempoh peralihan sebelum British kembali ke Tanah Melayu. Ketika itu Bintang Tiga bermaharajalela membunuh sesiapa sahaja yang dianggap sebagai pengkhianat mereka sewaktu pendudukan Jepun sebelum itu. 

Buku ini amat menarik kerana penerangan yang diberikan adalah ringkas tetapi padat. Yang paling mahal adalah gambar-gambar yang ditampilkan kerana pictures speaks louder than words. Banyak gambar-gambar yang ada di dalam buku ini tidak pernah hamba lihat di mana-mana buku sejarah atau di internet. Selain daripada keganasan komunis, ia juga menceritakan tentang usaha-usaha serta perancangan kerajaan ketika itu untuk menjaga keselamatan rakyat serta mengekang kegiatan komunis itu sendiri. Usaha ini bolehlah dikatakan mencapai kemuncaknya di zaman Sir Gerald Templer sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu bermula pada tahun 1952. Pelbagai usaha telah dilaksanakan beliau terutamanya untuk menambat hati rakyat agar tidak terpengaruh dengan komunis. Walaupun tempoh beliau hanya sehingga 1954 sahaja (kira-kira dua tahun), usaha beliau meninggalkan banyak kesan kepada rakyat serta menyaksikan pengaruh komunis kian merosot. Banyak kawasan telah mula dibersihkan di diisyhtiharkan sebagai putih. Kesukaran mendapatkan sokongan, bekalan makanan dan ubatan, pengikut yang terbunuh atau menyerah diri, menyebabkan komunis kian tersepit sehingga memindahkan kegiatan mereka ke sempadan Thailand.

Membaca segala fakta serta gambar yang terhidang membuatkan hamba kabur apabila terdapat satu dua manusia yang dikatakan pemimpin dalam masyarakat menganggap komunis itu sebagai pejuang tanahair. Komunis yang bukan sahaja membunuh rakyat bahkan sanggup membunuh orang mereka sendiri - dan contoh paling baik adalah apabila mereka membunuh Setiausaha mereka yang pertama iaitu Lai Teck. Ramai pada ketika itu, isteri yang kehilangan suami, anak-anak menjadi yatim piatu, orang kampung yang tidak bersalah dibunuh hanya kerana tidak mahu memberi bantuan kepada komunis. Dalam pada itu juga banyak wira-wira negara yang lahir terutama sekali para wira yang tidak didendang - berjuang namun dilupakan massa. Keberanian orang Melayu dalam mempertahankan tanah air ketika itu walau terpakasa mengorbankan diri sewajarnya dihargai oleh generasi yang ada pada hari ini. Justeru setelah orang terdahulu berkorban kerana mahu memberikan kedamaian kepada kita, tidakkah kita pula mahu berkorban untuk mempertahankannya?

Khamis, 28 Januari 2016

GREAT BRITISH CIRCUS




Satu hari pada minggu lalu sewaktu melalui jalan utama di setia Alam dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, mata hamba sekilas ternampak pada satu poster. Yang dapat ditangkap pada pandangan mata hanyalah perkataan circus sahaja. Mata hamba cuba mencari-cari lagi poter yang serupa sekiranya ada namun jelas cuma itu sahajalah poster yang ada. Pelik juga biasanya kalau ada apa-apa acara di kawasan berkenaan, posternya akan dipasang di sepanjang jalan. Jadi atas rasa curious tersebut hamba membuat carian internet dan mendapati ada persembahan sarkas yang telahpun bermula pada 1 Januari yang lalu sehingga 31 Januari ini. 

Binaan khemah sarkasnya tidaklah terlalu besar menjadikan kawasan dalamannya juga kecil, begitu juga dengan akwasan ring persembahan. Hamba bawa satu keluarga pergi menonton. Bukannya hamba teruja dengan sarkas itu sendiri tetapi hamba nak perangat kamera yang dah lama sejuk. Lagipula ini satu peluang untuk berlatih mengambil gamba menggunakan natural light dengan keadaan objek yang bergerak. Sukurlah sarkas ini tidak melarang pepngunjung daripada mengambil gambar. Cuma kedudukan tempat duduk hamba tidaklah begitu strategik kerana terletak di bahagian sisi. Nak buat macam mana, hamba hanya mampu beli tiket untuk kelas marhaen, itupun dah cukup mahal bila dikalikan dengan tujuh kepala.

Hamba pertama kali melihat persembahan sarkas secara live adalah semasa masih kanak-kanak di Seremban. Ketika itu ia dipersembahkan oleh kumpulan sarkas dari India. Khemah persembahan mereka besar, menampilkan aksi manusia dan haiwan. Ketika itu hamba rasakan ia cukup hebat sekali. Kumpulan sarkas British ini hanya menampilkan persembahan aksi manusia aka akrobatik sahaja dan lansung tidak menggunakan sebarang haiwan. Ini mungkin ada kena mengena dengan larangan kerajaan Britain sendiri semenjak 2013 yang tidak membenarkan penggunaan haiwan di dalam persembahan sarkas. Jadi itu satu kekurangan yang hamba rasakan umpama 'serupa tak tengok sarkas'....

Dari segi persembahan, ia lebih kurang sama sahaja dengan apa yang pernah kita tonton di televisyen. Aksi-aksi akrobatik yang memaparkan kemahiran membuat imbangan dan aksi-aksi yang merbahaya. Cuma yang hamba perasan mereka ini umpama multi tasking. Beberapa acara akan dilakukan oleh orang yang sama. Pemain sarkas ini juga pada waktu sebelum persembahan juga sewaktu sarkas berhenti rehat akan bertukar karakter menjadi penjual makanan ringan atau belon kepada pengunjung sarkas. Ia bukanlah seperti seorang VIP yaani apabila anda menjadi star persembahan maka anda akan menerima layanan yang ekslusif dan hanya akan menumpukan kepada kerja persembahan sahaja. Maka apabila mereka ini turut dilihat membuat kerja jualan, membantu staff lain menyediakan prop persembahan, dapat hamba rasakan betapa getirnya hidup mereka mencari rezeki. 



Pemandangan dari tempat duduk marhaen. Kat depan tu kira seat VIP.












Spiderman pun letih jugak wooo








Dia pengacara, dia juga menyanyi, dia juga menari, dia juga berlawak dengan badut....


Selasa, 19 Januari 2016

MARIA - Emine Syenlikogiu



Novel ini boleh hamba golongkan dalam kumpulan novel-novel dakwah. Walaupun ada unsur cinta cuba diselitkan namun ia tidak begitu terasa, justeru tiada adegan berkasih-kasihan yang diselitkan di dalam penceritaan apatah lagi perasaan rindu dendam serta asyik mahsyuk. Novel tulisan Emine Syenlikogiu ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Mohd Rofizi Dollah.

Jalan ceritanya mudah. Seorang gadis Katholik bernama Maria yang hidup dengan bapa dan abang yamg menganut ateis serta seorang ibu yang menjadi pengikut gereja yang taat. Perkenalan dengan seorang pemuda Mesir yang sedang menuntut di Jerman mengubah kehidupannya. Walaupun cuba untuk menundukkan Abdul Wahab termasuk dengan membawa beliau berdebat dengan paderi, tetapi Abdul Wahab kelihatan begitu ampuh, bahkan paderi yang berdebat dengan beliau akhirnya kembali kepada Islam. Begitu juga ketika Maria dihantar bapanya ke Turki untuk berusaha menyelewengkan umat Islam, kembara itu menyaksikan beliau beralih kepada Islam yang diungkap oeh beliau dengan kata-kata 'saya kembali dari Istanbul sebagai sahabat  sedangkan saya diutuskan ke sini sebagai musuh yang sepatutnya menghancurkan Istanbul...'

Latar peristiwa adalah di sekitar tahun 30an di mana ketika itu menyaksikan Ataturk baru mengambil alih kuasa, rakyat Turki mula beralih kepada kebaratan, pemudinya tidak lagi malu untuk mendedahkan aurat termasuk menyertai pertandingan ratu cantik, arak dijual secara berleluasa, sesetengah orang mengaku Islam dimulutnya tetapi berkelakuan sebaliknya dan lain-lain lagi perubahan yang telah diciptakan barat untuk memusnahkan umat Islam di Turki. Watak bapa Maria yang digambarkan sebagai seorang penting dalam gerakan ateis serta usaha mereka mengingatkan hamba kepada gerakan freemason dan illuminati. Betapa mereka ini bergerak bukan sahaja mahu menghapuskan agama Islam, bahkan semua agama yang ada di dunia ini. Satu usaha mereka ketika itu untuk menghilangkan perasaan malu di kalangan umat Islam adalah dengan memperbanyakkan iklan-iklan yang memaparkan wanita seksi di dalam akhbar supaya masyarakat akan terbiasa dengan pemandangan tersebut. Apabila masyarakat sudah terbiasa maka hal berkenaan tidak akan menjadi apa-apa lagi sehingga masyarakat kemudiannya juga tidak lagi malu untuk berpakaian mendedahkan aurat kerana ia adalah suatu kebiasaan. Hal ini mengingatkan hamba kepada adegan bercium di dalam siaran televisyen kita. Ia adalah perbuatan yang telah dibiasakan di dalam siaran televisyen sehingga apabila ia timbul di kaca tv sekarang, maka orang akan melihatnya sebagai biasa sahaja. Mungkin kerana ada unsur seperti ini juga maka segelintir orang bodoh dalam masyarakat kita berani mengambil gambar mereka bercium (bahkan terdapat yang lebih daripada itu lagi) dan memaparkannya pula di internet. Lihatlah saudara sekelian, sekiranya hal ini berterusan dan menjadi kebiasaan dalam masyarakat, satu hari nanti anak cucu anda tidak akan ke mana kecuali menjadi jahanam perangainya. Dan ketika inilah akan ada manusia di sebelah sana yang akan ketawa kegembiraan.



Jumaat, 15 Januari 2016

TOK GURU; SEBUAH BIOGRAFI AWAL - Habibul Izzah Ahmad




Tokoh yang disebutkan di dalam buku ini sesungguhnya tidak perlu diperkenalkan lagi kepada khalayak. Beliau amat dikenali, masyhur tidak kira sebagai seorang alim ataupun sebagai seorang ahli politik. Sebagai salah seorang yang mengagumi beliau, hamba mengharapkan buku ini akan memberikan maklumat yang lebih banyak tentang beliau melebihi buku-buku mengenai Nik Aziz yang pernah diterbitkan sebelum ini. Lebih-lebih lagi apabila buku ini diterbitkan oleh Institut Pemikiran Tok Guru dan ia dilabel sebagai biografi rasmi Tok Guru dibahagian hadapan kulitnya. Apabila ia dilabel sedemikian sudah semestinya pada pemikiran hamba ia akan menghidangkan segala-galanya tentang Nik Aziz, terutamanya perkara baharu yang tidak pernah diketahui oleh khalayak sebelum ini. Tambahan pula buku ini hamba anggap mempunyai nilai tersendiri apabila turut disemak dan disahkan oleh Tuan Guru sendiri.

Namun jika dibaca secara keseluruhannya buku ini sebenarnya apa yang disebut tentang Tuan Guru tidaklah sebanyak mana penerangannya. Buku ini jadi tebal apabila penulis memberi penerangan lanjut atau ulasan terhadap personaliti atau tempat yang dikaitkan dengan Tok Guru di dalam buku ini. Misalnya apabila sampai kepada perkara berkenaan guru-guru Nik Aziz, penulis akan berbicara tentang personaliti insan berkenaan, apabila di kisah Tok Guru belajar di India akan dimasukkan kisah perjuangan orang di sana menentang penjajah dan sebagainya. Hamba menjadi sedikit kecewa. Memanglah tidak salah untuk penulis menghuraikan tentang perkara-perkara tersebut, tapi perlu diingat bahawa inti perbincangan adalah mengenai diri Tuan Guru sendiri. Hamba rasa tidak puas membaca mengenai diri Tuan Guru mengaji di luar negara. Tahu-tahu sudah berada di India - Cerita tentang Tok Guru lebih kurang dan lebih banyak kepada yang disekelilingnya, tahu-tahu sudah kisah di Mesir. Cerita di Mesir lebih kurang, tahu-tahu sudah pulang dan berkhidmat kepada masyarakat. Cerita yang dikatakan biografi awal ini boleh dikatakan berakhir dengan pencalonan beliau sebagai wakil rakyat PAS pada Pilihanraya Kecil Kelantan Hilir tahun 1967 ketika beliau berusia 36 tahun.

Begitu juga pada penutup buku ini, ia adalah lebih kepada ulasan penulis sendiri serta pemikirannya terhadap tuan guru. bahkan penulis juga turut menulis dengan panjang lebar akan faktor keciciran beliau dalam dakwah yang hamba rasakan tidak perlu disebutkan lansung di dalam buku ini kerana pembaca ingin mengenali Tuan Guru dan bukannya penulis buku. Mengenai pemilihan gambar pula, majoriti gambar yang tersiar adalah gambar yang boleh dikatakan terkini. Sewajarnya gambar yang lebih banyak dipamerkan adalah gambar-gambar semasa beliau remaja, semasa melanjutkan pelajaran dan sebagainya - kena dengan tajuk buku ini sendiri. Penulis bagi hamba boleh menulis dengan lebih terperinci lagi mengenai Tuan Guru memandangkan beliau mempunyai akses kepada Tuan Guru semasa menghasilkan buku ini. Sebagai pembaca, secara peribadi hamba kecewa dengan kandungan buku ini. Pernah hamba membaca sebuah buku mengenai tuan guru juga berbelas tahun yang lalu (yang hamba sudah lupa tajuknya) yang hamba rasa lebih menarik dan kena dengan tajuknya. Dan hamba masih ingat salah satu gambar dalam buku itu yang memaparkan Tuan Guru semasa berada di Mesir bersama-sama dengan temannya dengan beliau memegang sebuah radio. Juga mengenai teguran bapa beliau kepada pakaian Tok Guru ketika pulang dari Mesir yang nampak moden.

Habibul Izzah boleh menulis dengan baik, tetapi hamba suka mengesyorkan agar beliau rajin membaca buku biografi yang ditulis oleh orang lain agar dapat melihat gaya penulisan mereka. Buku ini sewajarnya dinamakan Kepimpinan Awal Tuan Guru dan bukannya sebuah biografi.

Selasa, 5 Januari 2016

SANTET - Saat Omar


Melihat kepada tajuknya pada mulanya hamba merasakan ini merupakan sebuah novel horror seperti seperti novel seram yang lain, ada orang kena rasuk, setan muncul, muka hodoh, darah mengalir, busuk, mayat hidup, tok dukun dengan baju hitam lusuh dan sebagainya. Tetapi Santet amat berbeza. Santet lari daripada unsur kebanyakan novel horror. 

Ceritanya mudah - tentang seorang dukun bernama Hitam (yang ini memang nama tradisional) yang telahpun bersara tetapi didatangi seorang wanita yang mahu menggunakan perkhidmatannya. Episod selepas itu yang menariknya apabila penulis cuba melakarkan dilema yang dihadapi oleh Hitam, bagaimana beliau sebolehnya mengelak untuk mengamalkan lagi perkara yang telah ditinggalkannya.

Dalam melayari usaha berkenaan penulis memperkenalkan kita dengan watak-watak tambahan yang mempunyai karekter yang menarik seperti dua orang pembantu Hitam yang dinamakan ACDC, kartel dadah Mexico, rakan seperguruan yang mempunyai lain-lain kepakaran, tok guru yang boleh bertukar menjadi harimau serta lintah yang dinamakan Timothy Dalton sempena nama salah seorang hero James Bond. 

Permintaan Mariam untuk Hitam menghantar lintah kepada bekas suaminya, Bahaman membuatkan Hitam terpaksa menggunakan akalnya bagi mengelakkan hal sedemikian berlaku. Percubaannya untuk memalsukan keadaan Bahaman terkena ilmu hitam dengan menggunakan khidmat jurusolek yang pada mulanya nampak berjaya akhirnya membawa kepada pelbagai lagi peristiwa yang hamba boleh katakan amat menarik untuk dibaca. walaupun Hitam seorang bomoh tradisional, penulis memberikan gambaran yang lebih segar. Hitam seorang yang membaca, ada koleksi buku di rumahnya, berpengetahuan dalam filem- khasnya filem-filem seram, turut bergaya dalam pemakaiannya dan hitam selalu berbicara dengan menggunakan istilah omputeh!! Pembantunya AC dan DC memang rock dan selamba, patuh dan taat tanpa soal tapi tak nampak bodoh. bayangkanlah dalam episod terakhir menghadapi kartel dadah Mexico Hitam dan sahabat seperguruannya, Boni membuat serangan menggunakan ilmu hitam dengan lagu Shoot To Thrill oleh AC/DC!

Biasanya pemilik hantu raya akan mewariskan belaannya kepada pewaris yang baru ataupun kisah yang biasa kita dengar pembela akan merebus kekacang, menanamnya di satu tempat dan meminta hantu raya itu menunggu kekacang berkenaan sehingga tumbuh. Itu kisah yang biasa kita dengar dan Saat Omar memberikan idea yang lebih segar iaitu dengan 'menghantar' hantu raya Hitam ke Maldives! Bagaimana itu berlaku - ia satu lagi garapan menarik oleh penulis ini.


Jumaat, 1 Januari 2016

ROUGH JUSTICE - Alex Ross



Kepada para peminat komik antarabangsa nama Alex Ross mungkin bukan sesuatu yang asing. Pelukis yang karyanya selalu menghiasi kulit depan penerbitan DC Comics ini cukup dikenali dengan penghasilan lukisan yang cantik dan teliti. Buku ini menghimpunkan beberapa karya Alex dalam bentuk lakaran, terutamanya lakaran pensel sebelum ia didakwatkan dan seterusnya diwarnakan. Alex juga turut membuat sedikit catatan di sebalik lakaran-lakaran tersebut.

Buku seperti ini jikalau diperolehi dengan harga asal mungkin terlalu mahal. Tetapi dengan adanya pameran seperti Big Bad Wolf, ia memberikan pengunjung harga buku antarabangsa dengan harga yang menarik dan jauh berbeza dengan harga asal. Buku ini antara koleksi berharga buat peminat komik serta satu rujukan yang baik untuk belajar melukis. Tidak perlu pening kepala membacanya kerana pembaca hanya perlu menghayati lukisan di dalamnya....







LAWAN - Khairul Nizam Khairani


Andai kata novel ini merupakan sebuah filem, pasti ianya dikategorikan sebagai 18SG. Penuh dengan aksi ganas - pembunuhan - tembak di kepala, batang tubuh manusia dicabut sewenangnya, pertarungan sehingga merobohkan bangunan dan sebagainya. 

Apabila melihat nama penulis ini hamba seperti biasa tidak perlu untuk membaca sinopsis bukunya. Ambil sahaja ia dari rak pameran dan terus dimasukkan ke dalam bakul belian. Tidak ramai penulis novel yang hamba 'yakini' penulisan mereka dan penulis ini adalah salah seorang yang hamba yakin tidak akan mengecewakan pembaca. Membaca karya-karya beliau yang telah lalu, hamba pasti novel yang ini akan memberikan kepuasan pembacaan yang sama.

Jalan ceritanya mudah - sebuah organisasi rahsia di bawah polis yang digelar Luk 7 mempunyai tanggungjawab untuk mengawasi/mengintip aktiviti sebuah organisasi lain yang digelar ADAM atau Adiwira Malaysia. Namun rupanya segelintir individu di belakang Luk 7 mempunyai agenda yang tersendiri, mereka mengintip ADAM bukan bagi tujuan kebaikan sebaliknya mahu memastikan agar kegiatan mereka tidak akan diganggu oleh mana-mana superhero ADAM. 

Membaca keseluruhan cerita, sebagai pembaca yang turut mengikuti perkembangan semasa tanahair, kita tidak dapat tidak akan mengaitkan beberapa penceritaan di dalam novel ini dengan beberapa peristiwa yang benar-benar berlaku. Ia seperti demonstrasi oleh GANTI yang mahu PM meletakkan jawatan, Key El Ninjaz yang melakukan huru hara di dalam bandar dan sebagainya. Penulis mengambil inspirasi daripada peristiwa berkenaan dan berjaya menggarapnya menjadi sebuah penulisan yang baik. Terdapat juga beberapa unsur penceritaan yang mungkin juga diinspirasikan daripada beberapa buah filem Hollywood seperti Kapten Utama dan Teja yang mendapat kuasa adiwira mereka selepas terkena ribut kosmik - sama seperti yang dialami oleh Fantastic 4, kuasa yang dimilki oleh Ghost dan Man Pukau mungkin diinspirasikan daripada filem X-Men ataupun Heroes, Adiwira ini mempunyai markas sendiri sama seperti Fantastic 4 yang tinggal di bangunan Baxter, sifat tamak pemimpin yang mahu membina 'tentera masa depan' melalui penggunaan sut khas yang biasa ditemui dalam kebanyakan filem dan lain-lain lagi. 

Seperti yang dimaklumi, penerbitan FIXI membenarkan penggunaan bahasa slanga dan celupar. Nampaknya perkara ini telah digunakan oleh penulis untuk memasukkan unsur-unsur berkenaan sehingga ke tahap mencarut. Dan ini adalah kali pertama hamba membaca karya penulis ini yang terlalu banyak penggunaan bahasa sedemikian. Kita mungkin mengakui bahawa dalam realiti seharian, bahasa carutan banyak digunakan. Tetapi menggunakannya secara meluas di dalam penulisan, ia akan kekal di dalamnya dan akan menjadi tatapan ramai yang kita sendiri tidak tahu berapa ramai jumlahnya. Walaupun mungkin segelintir orang menyatakan bahawa masyarakat kita hari ini sudah pandai menilai mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi itu bukan alasannya untuk menghalalkan perbuatan berkenaan. Kalau yang membaca itu memang tahu membezakan antara yang baik dan buruk mungkin tidak menjadi masalah, tetapi bagaimana pula kalau yang membaca itu memang jenis bukan mumaiyiz - dan hamba rasa golongan ini ramai juga. Hari ini penulis mungkin tidak merasa apa-apa, namun apabila telah tua nanti dan cucu beliau membaca carutan ini adakah kita selesa mendengar mereka berkata, 'ah..atuk aku dulupun kuat juga mencarut...'

Karya ini masih lagi antara yang terbaik yang dihasilkan oleh Khairul Nizam Khairani.....kecuali bahasa kasar dan mencarut itu....


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...