Isnin, 4 Mei 2020

SURAT-SURAT PEREMPUAN JOHOR - Faisal Tehrani



Andainya mahu membaca sebuah karya sastera dari kalangan generasi penulis muda, maka naskhah ini adalah antara yang terbaik. Pernah terbit lama dahulu daripada beberapa penerbit yang berbeza, naskhah yang hamba baca adalah cetakan 2016 oleh Dubook Press.

Seperti tajuk bukunya, maka penceritaan dalam buku ini (kecuali pada bab permulaan) adalah melalui helai-helai surat daripada dua orang wanita iaitu Ungku Nur (Ucu) dari era moden serta Ungku Hamidah, seorang wanita Melayu yang berada pada penghujung era kejatuhan kerajaan Uthmaniah. Kedua mereka ternyata mempunyai talian kerabat.

Ungku Nur, mungkin seorang wanita yang berduka, mempunyai krisis dalam rumah tangga serta krisis dengan bapanya. Membawa diri ke Turki bersama alasan mahu melaksanakan misi penting yang berkaitan dengan negeri asalnya - Johor. Pemergiannya ke Turki turut dibekalkan dengan surat-surat Ungku Hamidah yang melalui pembacaannya kemudian menyebabkan beliau berusaha untuk membongkar rahsia sebenar siapa Ungku Hamidah serta hubungannya dengan seorang lelaki Turki bernama Recep, juga tentang peranannya yang turut mengikuti rombongan Sultan Johor ke Turki.

Surat-surat Ungku Nur adalah dalam bahasa moden. Ditujukan kepada beberapa orang yang berbeza seperti kakak, bapa, abang ipar termasuk bekas suaminya. Sarat dengan semangat keIslaman. Beliau mahu mengkaji akan sejarah hubungan erat antara Turki dan Johor yang pernah terjalin lama dahulu, bagaimana keazaman Johor untuk melaksanakan undang-undang Islam serta tentangan yang diterima daripada pihak luar serta tempatan. Kajian tersebut turut membawa bersama tentang pencarian tentang peribadi Ungku Hamidah yang dilihat mempunyai kaitan dengan hubungan Turki-Johor. Selain itu surat-surat beliau juga menyentuh tentang hubungan peribadi serta penyelesaian krisis dengan pihak yang terlibat.

Berbeza denagn surat-surat Ungku Hamidah yang ditulis mengikut lenggok klasik masa lalu. Di sini memperlihatkan kebijakan penulis novel ini menyusun kata-kata. Adalah tidak mudah bagi seorang penulis moden mengungkap kata sedemikian rupa andainya dia bukan dari jenis yang banyak membuat kajian ke atas tulisan-tulisan lama. Lenggok klasik beliau cukup terserlah di dalam mukaddimah surat yang banyak mengandungi kata-kata pujuan penulis surat kepada penerima menggunakan banyak kalimah Arab yang indah. Begitu juga dengan penggunaan pantun pada tempatnya, berbeza nada mengikut keadaan serta siapa penerimanya.

Walau apapun, novel ini tidak hadir secara biasa-biasa. Ia ditulis dengan menggunakan banyak bahan rujukan terutamanya manuskrip-manuskrip lama. Ia umpama sebuah tesis tentang sejarah Melayu yang disampaikan dalam bentuk penceritaan melalui penulisan surat oleh dua watak berbeza. Ia mungkin membosankan bagi yang tidak biasa membaca karya sastera yang benar-benar sastera. Tetapi ini antara karya yang hamba boleh simpan bagi membolehkan hamba mencari perkara lain pula melalui nota-nota kakinya.


STAR WARS DAY


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...