Isnin, 18 April 2022

MAKHLUK ASING X INSIDEN ROSWELL - Adrian Low


Percaya tak kalau hamba katakan bahawa komik ini hamba pinjam daripada perpustakaan pejabat! Dan komik ini pula perpustakaan pejabat dapatkannya daripada Perpustakaan Negara melalui peminjaman berkelompok. Ini satu perkembangan baik buat perpustakaan. Komik juga merupakan satu bahan bacaan yang baik. Ia tidak berat, menghiburkan dan memberikan maklumat. Komik hari ini juga kebanyakannya datang dalam bentuk buku berjilid berbanding dalam bentuk majalah yang lebih mudah rosak atau tertanggal kulitnya.

Ada dua kisah yang di paparkan iaitu Makhluk Asing dan Insiden Roswell. Kisah yang pertama adalah berkenaan peristiwa penculikan manusia oleh makhluk asing untuk tujuan kajian serta pembiakan genetik mereka yang dikacukkan dengan manusia. Manusia yang mengalaminya kadang-kadang merasakan ia tidak lebih sebagai sebuah mimpi ngeri yang kerap berlaku kepada diri mereka.

Insiden Roswell pula adalah satu insiden yang popular ceritanya di kalangan pengkaji dan peminat UFO. Jadi kisah di dalam komik ini pula adalah daripada kacamata pelukisnya sendiri. Kedua-dua kisah ini tetap akan meninggalkan persoalan kepada pembaca, sama kaburnya dengan fenomena makhluk dari angkasa lepas ini sendiri.

Selain daripada dua komik ini, beberapa faktar serta trivia turut dimuatkan untuk pengetahuan pembaca. 

Sabtu, 2 April 2022

KENITRA - Mizhar Mazlan


Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, di dalam autobiografi beliau yang berjudul Perjalanan Mencari Hikmah menulis, 'Sangat banyak peristiwa penting yang tidak dapat dirakamkan kerana bukan tradisi kita untuk masuk bakul angkat sendiri, tetapi masa sudah jauh berubah, nilai-nilai juga sudah berubah. Perubahan itu telah berlaku dengan cepat. Generasi sekarang tidak tahu bagaimana permukaan Kuala Lumpur pada tahun-tahun sebelum merdeka, malah ada yang tidak tahu bagaimana kita mencapai kemerdekaan, maka banyaklah peristiwa penting yang hilang dan akhirnya kita hanya dapat membacanya daripada tulisan orang lain. Minda kita kembali dijajah, walaupun tubuh kita sudah merdeka.'

Pandangan Abdullah Hussain telah menjentik hati penulis buku ini untuk menulis kisah beliau sewaktu menuntut ilmu di Maghribi. Kita biasa mendengar kisah penuntut kita yang berada di Jordan, Mesir ataupun Arab Saudi. Tetapi amat jarang mengetahui kisah mereka di Maghribi. Apatah lagi kisah yang berlaku hampir 30 tahun yang lalu. Justeru Kenitra menghidangkan kisah yang begitu berbeza.

Kebiasaannya sebuah autobiografi akan memaparkan wajah penulisnya. Tetapi buku Kenitra lari daripada kebiasaan. Kulit mukanya umpama paparan sebuah komik. Ia memaparkan seorang pendekar Melayu berhadapan dengan empat orang pahlawan Maghribi di hadapan sebuah kota. Menurut penulis, empat orang pahlawan Maghribi adalah melambangkan empat tahun tahun yang dilalui penuh cabaran. Manakala kedudukan pendekar Melayu yang berdiri di hadapan kota melambangkan kota itu telah beliau kuasai dan harus mempertahankannya. Lukisan oleh pelukis kartun terkemuka tanah air, Gayour ini sekaligus membangkitkan minat saya untuk mengetahui isi kandungannya.

Latar peristiwa buku ini bermula sehari selepas penulis menamatkan persekolahan menengahnya. Tidak sempat menikmati waktu untuk bersukaria selepas selesai SPM, penulis terus bekerja di sebuah kafeteria yang berada di dalam sebuah kilang milik syarikat luar negara. Penulis bekerja di sini selama beberapa bulan sehinggalah hampir tempoh untuk berangkat ke luar negara.

Mendapat keputusan yang baik di dalam SPM, penulis telah ditawarkan pengajian untuk melanjutkan pengajian ke Maghribi. Walaupun ‘tidak ada hati’ untuk belajar di luar negara, tetapi demi mendapatkan redha kedua orang tua, penulis memberanikan diri untuk merantau ke tempat yang begitu asing.

Tidak mudah jalan yang dilalui penulis untuk ke luar negara. Tindakan seorang saudara dekat yang sepatutnya menjadi penjamin kepada penulis dengan menarik diri di saat akhir amat mengecewakan beliau. Segala borang yang telah beliau isikan dengan maklumat penjamin yang hanya tinggal untuk ditandatangani sahaja terpaksa ditukar baharu. Peristiwa ini adalah satu turning point buat penulis untuk nekad ke luar negara bagi membuktikan kepada saudara beliau tersebut bahawa beliau mampu untuk pulang dengan kejayaan.

Penulis perlu menghadiri satu kursus intensif di dalam bahasa Arab sebelum ke luar negara. Beliau dihimpunkan bersama-sama dengan para pelajar yang bukan sahaja akan ke Maghribi tetapi termasuk juga dengan pelajar yang akan ke Jordan dan Mesir. Agak menerujakan apabila penulis memaklumkan bahawa bekas Menteri Pendidikan kita YB Maszlee Malik sepatutnya bersama beliau ke Maghribi, tetapi kerana masalah birokrasi negara penerima, menyebabkan YB Maszlee akhirnya ke Jordan.

Pelbagai peristiwa yang penulis catatkan sepanjang empat tahun hidup di Maghribi. Hidup di negara yang agak mundur berbanding Malaysia ketika itu menyebabkan segala-galanya agak mencabar. Tinggal di negara yang mengalami cuaca empat musim, penulis mengibaratkan rumahnya umpama sebuah peti ais kerana tidak mempunyai sistem pemanas udara.

Antara peristiwa menarik yang penulis paparkan adalah kekerapan pelajar Arab mengadakan tunjuk perasaan di universiti sehingga mengganggu pelajaran yang sedang berjalan. Tunjuk perasaan ini juga berlaku semasa hari peperiksaan beliau pada tahun pertama sehingga hampir digagalkan di dalam peperiksaan oleh pihak universiti.

Selain itu dipaparkan tentang suasana Ramadhan dan perayaan di sana, budaya masyarakat Maghribi, makanan, bahasa Darijah, pengajian Al-Quran riwayat Warsy, peristiwa cubaan membunuh Raja Hassan II dan lain-lain lagi. Sebagai bonus, penulis turut memasukkan bab kembara beliau ke Sepanyol (Andalusia) dan Kota London.

Gaya penulisan Mizhar Mazlan yang santai membuatkan pembaca tidak akan merasa jemu. Penceritaan ini akan di selang selikan dengan beberapa fakta menarik tentang sesuatu tempat, personaliti atau peristiwa yang berlaku di sebalik sesuatu cerita.

Pengalaman dan pengetahuan penulis mengenai Maghribi menjadi begitu berguna apabila sewaktu Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) yang berlansung di Putrajaya pada tahun 2003,  beliau telah dipilih untuk menjadi liaison officer kepada Raja Muhammad VI, pemerintah Maghribi yang baru beberapa tahun mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Raja Hassan II.

Buku Kenitra boleh didapati dengan menghubungi Adana Publishing melalui Whatsapp di talian 017 3952676 atau di Shopee - https://shopee.com.my/Kenitra-by-Mizhar-Mazlan-i.358438122.20602175780?sp_atk=90df2f97-300e-470c-8922-495a59c732d6&xptdk=90df2f97-300e-470c-8922-495a59c732d6

Nota : Ulasan ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia pada Jumaat, 1 April 2022.

 


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...