Selasa, 30 Jun 2020

NAMA BETA SULTAN ALAUDDIN - Faisal Tehrani



Apabila membaca buku ini, hamba menyedari bahawa hampir tidak ada penulis tempatan yang menulis tentang kisah sejarah tanah air, apatah lagi dengan menggunakan bahasa yang biasa ditemui dalam hikayat-hikayat lama. Sama ada penulisan begini tidak lagi diminati, penulis tidak mempunyai kemahiran ataupun karya sebegini tidak penting lansung dalam dunia penulisan tempatan. Ya, banyak benar beza dunia penulisan dahulu dengan sekarang. kalau dahulu bahasa yang digunakan adalah bermutu tinggi, bahkan karya yang dianggap picisan sekalipun biasanya masih menggunakan bahasa Melayu yang betul, Tapi hari ini kerana mahu dikatakan urban, maka gaya bahasa yang digunakan agak sedikit longgar, boleh masuk slanga, mencarut, bahasa pasar dan sebagainya. Mungkin ada yang berpandangan perkara sebegini tidak mengapa dan tidaklah mendatangkan masalah yang terlalu besar. Tetapi hamba dapat sedikit kesannya dalam kerja pejabat sehari-hari. Contohnya apabila diminta membuat draf surat. Generasi dahulu yang sudah biasa menulis surat dengan menggunakan bahasa Melayu yang standard biasanya tidak akan bermasalah untuk mengarang. Namun bagi generasi terkemudian yang banyak menaip di komputer menggunakan bahasa ringkas dan 'urban', maka karangan mereka membuatkan ianya dipenuhi dengan calitan-calitan merah.

Kisah Sultan Alauddin memang tidak banyak ditemui dalam mana-mana penulisan. Justeru hamba percaya bahawa penulis sendiri menggunakan imaginasi atau datang dalam versi sendiri dengan disesuaikan dengan fakta sedia ada ketika mengarang buku ini. Karya ini dipersembahkan melalui penceritaan seorang datuk yang pandai bercerita kepada cucu-cucunya. Si datuk bercerita dengan baik bahkan menggunakan bahasa klasik zaman silam. Sekali sekala para cucu akan menyampuk dan bertanyakan soalan.

Kita ketepikan soal cerita ini sahih atau tidak dari segi sejarah. Buku ini sebenarnya banyak menyampaikan mesej yang boleh kita jadikan panduan. Antaranya peri pentingnya bersatu padu dan elakkan daripada dengki mendengki apatah lagi di kalangan adik beradik. Dalam hal ini Raja Ahmad digambarkan sebagai seorang yang tidak senang dengan adindanya Raja Hussain (Sultan Alauddin) sehingga tergamak mahu membunuh baginda di Pulau Besar. Persoalan tentang kesetiaan juga menjadi antara inti perbincangan di dalam buku ini. Terdapat para pembesar di istana yang diragui akan kesetiaan mereka serta menjadi gunting dalam lipatan atau bara di dalam sekam. Kerana menjaga kepentingan peribadi juga seorang isteri sanggup berkomplot membunuh seorang suami. Kisah Sultan Alauddin versi faisal menggambarkan bahawa baginda mangkat kerana diracun oleh beberapa orang dalam istana sendiri.

Selain elemen bahasa, buku ijni turut menampilkan kehebatan penulis di dalam perkara lain seperti pengetahuan mengenai sebuah kereta lembu. Ini dapat dilihat dalam kisah Sultan Alauddin membina kereta lembu bersama dua sahabatnya. Dalam pembinaan ini pembaca akan dapat melihat beberapa istilah-istilah berkaitan serta jenis-jenis kayu yang sesuai untuk membina bahagian tertentu kereta lembu.

Antara kesemua kisah, hanya kisah Sultan Alauddin membunuh pencuri sahaja yang pernah hamba baca ketika kecil dahulu manakala kebanyakan kisah yang lain rasanya inilah kali pertama hamba dengar atau baca. Pemerintahan baginda sesungguhnya tidak lama dan baginda mangkat dalam usia yang sangat muda. Pengganti baginda Sultan Mahmud, walaupun merupakan zuriat baginda sendiri, digambarkan bahawa baginda bukanlah pilihan utama. Kerana percaturan golongan mamak di istana pewaris yang sepatutnya telah diketepikan lalu jadilah Melaka dipimpin oleh seorang raja yang lemah yang akhirnya menyebabkan Melaka jatuh ke kuasa asing sehingga menyebabkan berakhirnya Kesultanan Melayu Melaka. 

Kisah politik istana Melaka adalah satu sejarah yang sepatutnya mengajar kita hari ini tentang apa perkara yang sepatutnya dilakukan dan apa yang perlu dielakkan. Sejarah bukanlah satu bacaan santai untuk hiburan masa lapang. Segala kisah yang telah lalu kita pelajari untuk membentuk atau mencorakkan masa depan. Kegagalan memahami sejarah akan membuatkan kita mengulangi semula mana-mana sejarah yang gagal.


Rabu, 24 Jun 2020

BLUES ORANG JELEBU - The Libyaman



Seperti kelazimannya, buku-buku yang hamba baca telah dibeli sejak sekian lamanya. Yang inipun dah dua tahun dalam simpanan. Sudahlah dua tahun terperap, karyanya juga terbit tahun 2013, nampak macam hamba ini pembaca buku-buku lama sahaja. Tetapi buku bukan surat khabar. Surat khabar yang dibeli hari ini, pada hari esok orang dah tak minat nak baca walaupun hakikatnya akhbar juga memberikan banyak ilmu selain berita dan hiburan. Berlainan dengan buku, walaupun dibaca bertahun selepas penerbitannya, biasanya ia tidak basi. Lainlah kalau yang dipaparkan merupakan keputusan nombor ekor yang lepas.

Kalau ditanya kenapa buku ini hamba beli, hamba rasa tidak ada jawapan yang kukuh. Mungkin sebab hamba juga orang Jelebu. Mungkin sebab tarikan prakatanya oleh Tukar Tiub aka Hishamuddin Rais yang juga membesar di Jelebu. Atau juga buku ini dah dijual murah ketika itu? Walau apapun, mempunyai seorang Jelebu yang menulis buku (catatan dalam buku ini berasal dari blog) mungkin kelihatan hebat. Ini kerana tak ramai orang Jelebu yang dikenali kerana penulisan. Yang biasanya orang tahu ialah Tan Sri Dato; seri Utama Rais Yatim. Selain itu orang cuma tahun Jelebu merupakan kawasan yang terkering di Malaysia - kerana mempunyai taburan hujan tahunan yang rendah. Tapi percayalah, Jelebu merupakan kawasan yang tenang untuk tinggal. Tak banyak kenderaan kecuali di musim perayaan dan mempunyai banyak dusun durian kampung yang lazat. Kalau kau percaya dengan kecantikan gadis Jelebu seperti yang disenandungkan Dato' Hattan dan Waris, kau boleh cekidaut sendiri!

Membaca naskhah ini, ia mengingatkan hamba kepada Dari Tanjung Malim Ke KLCC oleh Fdaus Ahmad. Kedua penulis melukiskan kisah kehidupan mereka dengan menggunakan bahasa yang santai dengan suntikan humor. Namun tulisan Fdaus ternyata lebih ganas lagi namun lebih fokus dengan kisah hidupnya yang berakit dengan perjalanan ulang aliknya bekerja dari Tanjung Malim ke KLCC. Blues Orang Jelebu menyentuh kehidupan The Libyaman yang mengaitkan dengan tiga latar tempat iaitu Jelebu, Jordan dan Libya. Namun antara bab ke bab seakan tiada kesinambungan dan bagaikan ada lompong di tengah-tengah. Maksud hamba bagaikan ada maklumat yang tidak disampaikan dan tiba-tiba sahaja pembaca telah dibawa melompat ke satu cerita yang baharu. Contohnya sedang kita melayani kisah penulis dengan daerah Jelebunya, tiba-tiba kita dah sampai ke Jordan dan tiba-tiba pula ke Libya. Tidak dinyatakan perjalanan yang lengkap contohnya bagaimana punca ke Jordan/Libya, apa tujuan ke sana dan sebagainya. Mungkin kisah-kisah ini ada diungkapkan di dalam blog penulis dan mungkin juga tidak. Sekiranya ada tetapi tidak dimasukkan dengan sengaja, ia membuatkan para pembaca tergantung persoalannya - yang pastinya tidak akan berjawab sampai bila-bila kecuali jika kita sendiri rajin nak berutus surat (e-mel) dengan sang penulis.

Walaupun demikian, hamba dapat memahami dengan baik apa yang disampaikan oleh penulis sama ada di Jelebu ataupun kelananya di bumi Arab. Mungkin juga kerana hamba sendiri anak jati Jelebu, pernah hidup di dunia Arab dan jarak umur kami yang tidak jauh - walaupun hamba lebih tua. 

Pengalaman penulis dengan warga dunia Arab rasanya lebih kurang sama sahaja dengan hamba. Orang kita yang pernah hidup bersama mereka, rasanya lebih banyak mengutuk perangai mereka berbanding memuji. Setiap warga dunia Arab mempunyai kisah kemalasan dan ke'idiot'an mereka yang tersendiri dan hamba tidak menyangka sikap orang Libya yang penulis coretkan ternyata lebih hancur berbanding Arab yang hamba kenali. Kalau nak melihat pengotornya Arab, mungkin anda boleh menonton satu filem Mesir yang bertajuk El-Ott. Perghhh kawasan setinggan kita pun tak macam tu sampahnya. Kalau serupapun mungkin lebih kurang sama macam satu penempatan haram di Bukit Malut di Langkawi sana.

Penulis ada mengkisahkan tentang satu jenaka yang dinisbahkan kepada Presiden Mubarak dan Presiden Ronald Reagan tentang Arab Mesir yang suka kencing di tempat awam secara terbuka. Hamba juga pernah mendengar kisah yang serupa lebih 20 tahun yang lalu. Cuma ia dinisbahkan kepada Arab Maghribi. Mungkin kisah yang seperti itu masyhur di negara Arab dan berubah versinya mengikut kawasan.

Hamba ada meninjau blog Blues Orang Jelebu. Nampaknya seperti blog tersebut telah lama tidak aktif dengan entry terakhirnya bertarikh 8 Oktober 2016. Tidaklah hamba tahu sekiranya penulis masih lagi berkelana di Libya atau mana-mana negara Arab ataupun telah bekerja semua di tanah air.

Hamba harap beliau menulis semula!


Ahad, 21 Jun 2020

REPUBLIK SUNGAI GOLOK - Isma Ae Mohamad



Rasanya dua tahun lepas hamba memperolehi buku ini. Hamba dapat di Pesta Buku Selangor. Ketika itu hamba singgah di reruai Dubook dan melihat buku ini ada di atas meja petugasnya. Takut nak usik, mungkin petugas akan menyusunnya di rak nanti. Tak apa, mungkin ia ada di rak pameran. Namun di rak pameran tidak ada lansung buku ini dan buku ini juga kemudiannya tidak lagi berada di atas meja petugas. Tak ada rezeki nampaknya. Memandnagkan ketika itu hamba memborong agak banayk buku di reruai berkenaan, petugas dengan bermurah hanti telah menghadiahkan sebuah buku. Dan inilah bukunya! Alhamdulillah dari hasrat asal nak membelinya, kemudian dapat secara percuma pula.

Ini kali pertama hamba membaca karya penulis ini. Kali pertama juga hamba mengenali nama beliau. Tetapi karya ini bukan calang-calang. Gaya penulisannya amat baik sekali. Entah kenapa membaca buku ini hamba teringat dengan novel Salina harapan Sasterawan Negara A. Samad Said. SN A. Samad Said berjaya menjadikan Salina sebuah karya agung kerana penceritaan di dalam Salina nampak hidup. Ia adalah hasil pengalaman penulis yang pernah merasai kepayahan hidup di zaman Jepun. Begitu juga dengan karya penulis ini. Pengalaman hidup di wilayah sempadan bahkan sebagai PATI lagi telah menjadikan karya ini hidup dan dapat dihayati pembaca dengan baik. Kerana ini adalah kisah beliau, ini adalah kehidupan beliau!

Republik Sungai Golok adalah kisah kehidupan di sekitar Sungai Golok sama ada di sebelah Malaysia ataupun di sebelah Thailand. Sungai Golok adalah sempadan antarabangsa yang memisahkan kedua buah negara ini. Ia adalah hasil kelicikan penjajah  orang putih dan politik pemimpin negara gajah putih sehingga menyebabkan beberapa buah negara Melayu lenyap dari peta dunia. Ia juga memisahkan kaum keluarga orang Melayu yang diam di kawasan berkenaan. Bayangkan keluarga yang hanya tinggal di seberang sungai sahaja tetapi telah berada di dalam sebuah negara yang asing serta memiliki kewarnegaraan yang berbeza.

Isma Ae melakarkan kehidupan di sekitar Sungai Golok melalui beberapa watak utama yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak. Isu-isu yang melatari kawasan ini seperti perjuangan kemerdekaan Pattani, penyeludupan, dua kewarganegaraan, pencerobohan sempadan, PATI dan lain-lain digarap dengan baik melalui watak-watak ini. Ia adalah kisah survival orang Melayu di kawasan berkenaan. Ia adalah kisah kesusahan hidup, peritnya mencari rezeki dan peritnya hidup apabila negeri sendiri jadi milik orang. Walaupun sama sebangsa, seagama dan mempunyai hubungan keluarga, pemisahan sempadan telah menjadikan kehidupan amat berbeza. 

Beberapa watak penting yang mempunyai kisah tersendiri dilakarkan melalui watak Ramlee, Keluarga Ahmad,Faisal, Irfan , Radzi, Rashid dan beberapa watak lagi. Setiap watak mempunyai kisah hidup tersendiri. Ramlee, warganegara Thai yang tinggal dengan keluarganya di Malaysia secara haram. Tidak bersekolah, bersemangat mempelajari bahasa Thai di wat Siam dan menjadi seorang penyeludup. Ahmad, selalu tertanya-tanya kenapa dia menjadi warga Thai tidak seperti dua kakaknya yang mempunyai surat beranak 'sana' dan bersekolah di Malaysia. Ayahnya seorang penyeludup dan selalu membawa Ahmad bersama. Kakak Ahmad yang bernama Fatimah digambarkan sangat berani. Sanggup cuba memintas bot menteri bersama abangnya semata-mata mahu menyerahkan sepucuk surat membantah cadangan pembinaan tembok di tebing sungai Golok. Fatimah juga pernah menumbuk muka Faisal, anak ketua balai. Faisal, anak seorang ketua balai, kelihatan patriotik serta benci dengan kegiatan penyeludupan. Dia kelihatan seperti seorang kaki repot. Irfan pula anak seorang yang berpengaruh di Selatan tetapi selama ini tinggal di Bangkok bersama ibunya. Hnaya apabila ibu tirinya meninggal barulah beliau dan ibunya dibawa tinggal di kawasan selatan. Tidak tahu berbahasa Melayu dan pernah mewakili Thailand dalam bolasepak. Radzi dan Rashid, anak Tok Neban yang tinggal di buah negara yang berbeza. Ketidakserasian mereka membuatkan Tok Neban mencetuskan perlawanan bolasepak antara dua negara.

Latar masa kisah ini hamba jangkakan pada penghujung 2004 atau awal 2005. Ini memandangkan penulis ada menyebut dua kejadian yang pernah berlaku sebelum itu iaitu tragedi pembunuhan di Tak Bai serta tsunami di Acheh. Pergolakan di selatan dengan adanya kumpulan pemisah menjadikan kawasan selatan tidak aman. Orang ramai tidak selesa dengan tentera yang selalu berkeliaran dan akan resah apabila tentera melakukan penyerbuan. Bunyi tembakan seakan tidak asing di sana. Kegiatan penyeludupan bagaikan sesuatu yang tidak apa bagi penduduk kedua tebing. Asalkan mereka tidak menyeludup barang haram seperti senjata, arak dan dadah, maka setakat menyeludup lebu dan beras itu tidak mengapa. Tidak mudah untuk melakukan penyeludupan kerana rondaan pihak berkuasa yang kerap dan tidak mudah juga pihak berkuasa mahu melakukan tangkapan kerana banyaknya pangkalan haram dibina. Kegiatan penyeludupan adalah sumber ekonomi. Kerana itu ura-ura pembinaan tembok di sempadan meresahkan mereka. 

Penulis turut memasukkan kisah politik secara tidak lansung. Bagaimana parti cuba membeli undi penduduk terutama orang Melayu Thailand yang mempunyai kad pengenalan Malaysia dengan memberikan sumbangan apabila hampir musim pilihanraya. Bagaimana dalam ucapan politik di sebelah Siam yang sentiasa menjanjikan pembangunan di kawasan selatan. Bagaimana setiap kali pemimpin besar dari Kuala Lumpur datang melawat maka semua pengkalan haram tidak dapat beroperasi. Dan setiap kali kawasan di sempadan mendapat ketua balai yang baru, keazaman mereka adalah untuk membanteras kewujudan pangkalan-pangkalan haran ini.

Isu agama turut dilakarkan denganmenunjukkan bahawa orang Melayu di selatan Thai amat taat beragama. Mereka selalu ke surau, masjid dan balaisah. Acara perayaan Aidil Adha disambut meriah dengan diadakan keramaian yang diisi dengan persembahan nasyid serta pertandingan seperti membaca, dikir dan sebagainya. Ayah Ahmad ketika menyeludup juga tidak pernah memberi rasuah kepada polis kerana itu haram. Penyeludup yang taat agama juga tidak menyeludup arak, dadah dan senjata api.

Antara yang menarik tulisan Isma Ae ialah kisah perlawanan bolasepak yang membabitkan anak-anak yang tinggal di dua kawasan tebing sempadan ini. Di sebelah Malaysia pasukannya bernama Border United manakala di sebelah Siam dinamakan Atas Tebing Star. Perlawanan bolasepak ini seolah satu titik yang membawa kesemua watak kanak-kanak ini pada satu tempat. Ia umpama jalinan-jalinan yang asalnya berlainan akhirnya bersatu di satu titik. Penyediaan pasukan, latihan, semangat untuk menang berjaya ditonjolkan penulis dengan baik seolah perlawanan bolasepak ini adalah sesuatu yang amat besar dan utama. ia adalah perlawanan anta dua buah negara!

Republik Sungai Golok tidak diakhiri dengan  - and they lived happily ever after - Ahmad terkorban sewaktu menjalani aktiviti penyeludupan, Irfan membawa diri setelah ayahnya meninggal di Makkah dan Ramlee sekeluarga ditahan penguatkuasa - antara faktor yang membawa kesusahan kepada pasukan Atas Tebing  Star!

Terlalu banyak untuk dicatatkan tentang buku ini. Ia amat menarik dan hamba terbayang sekiranya kisah ini difilemkan. Kisah kehidupan dari sempadan adalah lain daripada novel-novel yang pernah anda baca sebelum ini. Anda patut mendapatkannya!

THE UNSUNG HERO - Melur Jelita



"Penulis buku ni dah meninggal dunia", kata Puan Ayu sewaktu menghadiahkan hamba novel ini. "Dia ada tulis pasal VAT69", katanya lagi yang turut meminjamkan saya ketika itu dua buah buku berkaitan VAT69. Sememangnya ketika itu saya berminat untuk menambah maklumat tentang VAT69, satu unit yang tidak berapa diberikan publisiti semenjak penubuhannya hinggalah ke hari ini.

Novel ini agak tebal - melebihi 1000 mukasurat dan hamba agak kelelahan membacanya. Lebih dua minggu juga membacanya secara berdikit-dikit sehingga hamba merasa kerugian dari segi masa. namun dakwan yang mengatakan novel ini adalah mengenai VAT69 membuatkan hamba meneruskan juga pembacaan. 

Benarkah ini novel mengenai kisah VAT69? Hamba lebih suka mengatakan tidak sepenuhnya. Memang ada garapan tentang pasukan ini yang diaparkan melalui dua kisah iaitu satu operasi di sempadan negara dan satu lagi operasi membabitkan lanun. Namun novel ini sebenarnya lebih tertumpu kepada konflik jiwa yang berlegar sekita dua insan iaitu Irvan dan Maryam.

Novel ini menjadi begitu panjang kerana begitu terperincinya pengkisahan tentang Maryam dan Irvan serta keluarga keduanya. Jalan cerita berjalan secara statik dengan unsur suspen datang sekali sekala. Begitu terperincinya sehingga pembaca boleh merasakan watak Maryam telah kita kenali luar dalam. Maryam seorang anak yang dijaga dengan sebaiknya oloeh bapa dan makciknya. Kehidupannya agak terkongkong tanpa sebarang teman rapat. Namun dia dididik dengan pelbagai ilmu yang seharusnya ada pada seorang wanita dengan baiknya oleh makciknya. Hamba boleh setuju mengatakan bahawa watak Maryam adalah ibarat seorang wanita yang sempurna, banyak ilmu pengetahuan serta pandai menjaga kehormatan diri. Namun sifat beliau yang agak tegas pastinya merimaskan banyak lelaki.

Watak Irvan bukan orang lain. Beliau adalah sepupu Maryam. Irvan syok pada Maryam namun tdak begitu berterus terang walaupun banyak memberikan hint kepada Maryam. Hinggalah apabila rakan dalam pasukannya sendiri syok dengan Maryam dan telah memulakan langkah berani menghantar rombongan peminangan, barulah Irvan nampak gelabah puyuh walaupun masih menunjukkan ketenangannya. Ringkasnya, ini adalah novel cinta, novel jiwa-jiwa, pergolakan jiwa antara dua manusia.

Ya, novel seperti ini pastinya digemari oleh kaum hawa. Namun bagi hamba yang telah dikhabarkan bawa ini kisah tentang VAT69 pastinya agak kecewa kerana kisah VAT69 tidak lebih daripada kisah sampingan sahaja. Andai tiada lansung btentang kisah VAT69 inipun, ia lansung tidak akan mencacatkan perjalanan novel. Tajuk The Unsung Hero mungkin merujuk kepada pasukan ini, tapi ia boleh sahaja merujuk kepada Irvan yang menggunakan codename Hero di dalam pasukannya. Mungkin kisah yang lebih hebat ada di dalam sambungan novel ini, The One? Tapi mengenangkan novel penulis ini yang tebal-tebal, hamba perlu fikir panjang jikalau nak membacanya.


Nota:

- Novel ini dihadiahkan oleh Puan Rahayu Yasir dan suaminya En. Halim Ishak.
- Kredit gambar dari FB Melur Jelita

Isnin, 1 Jun 2020

LOCKDOWN - Naim Tamdjis



Buku ini dihasilkan pada awal musim PKP dan hanya dijual dalam bentuk e-book. Walaupun hamba membelinya pada awal keluaran, namun hanya semalam sahaja dapat hamba membaca dan mengkhatamkannya. Pada awalnya hamba bercadang nak membaca di komputer desk top kerana membaca di telefon agak kurang selesa. Namun kerana tiada apa yang nak dilakukan petang semalam sementara mengunggu waktu berbuka hari akhir puasa enam, maka hamba buka juga e-book ini dan mula membaca. Walaupun bertajuk LOCKDOWN dengan gambar lembaga seram memakai PPE, tiada satu kisahpun yang berkaitan dengan tempoh PKP apalagi penyakit covid yang sedang melanda. Barangkali tajuk sedemikian dipilih bukan sahaja bagi menarik minat pembaca tetapi sebagai simbolik bencana yang sedang melanda serta galakan untuk membaca dalam tempoh berkurung di rumah.

Lockdown bukanlah sebuah novel panjang. Ia mengandungi 6 buah cerita berasingan yang ditulis mengikut kacamata seorang penulis yang sedang mencari bahan cerita untuk penulisan. Enam kisah berkenaan adalah berkaitan Rumah Sewa, Penggali, Bomoh, Sekuriti, Pemandu dan Muzium. Kesemua kisah diceritakan dengan secara ringkas umpama orang yang sedang bercerita kepada rakannya. Justeru bagi yang mahir dengan speed reading, mungkin hanya akan mengambil masa kurang setengah jam sahaja membaca buku ini. Lagipun penggunaan bahasanya adalah mudah tanpa sebarang jargon yang memusykilkan pembaca.

Untuk memiliki e-book ini, sila ke laman FB Naim Tamdjis.


KEMBARA DARUS SENAWI 1963 - Darus Senawi & Izzat Ibrahim

  Hamba tidak dapat menahan diri daripada mencapai buku ini dan melihat isi kandungannya. Lagipun ini kali pertama hamba memasuki kedai buku...