Khamis, 30 Januari 2020

WARISAN DARAH PERWIRA SANG SAKA BIRU

Buku ini mempunyai tiga jilid dan jilid yang hamba baca ini adalah jilid yang pertama. Pada mulanya hamba menyangkakan ia adalah kisah mengenai Polis Di-Raja Malaysia itu sendiri. Tetapi sebenarnya ia adalah rakaman lisan pengalaman anggota-anggota 69 Komando.

Buku ini walaupun hanya setebal 333 mukasurat (tidak termasuk beberapa mukasurat awal yang mengandungi kata-kata aluan, catatan ringkas projek pendokumentasian, dokumen-dokumen perjanjian dan sejarah ringkas 69 komando yang melebihi 41 mukasurat), namun disebabkan bidang buku ini yang lebar serta fontnya yang kecil rasanya ia boleh melebihi 1000 mukasurat. Berdikit-dikit hamba membacanya dalam tempoh lebih kurang 3 minggu.

Siri buku ini menghimpunkan rakaman sejarah anggota 69 Komando secara lisan - verbatim - patah demi patah. Justeru membacanya tidak selancar dan seseronok membaca buku yang telah disusun dengan sebaiknya bersama dengan ayat dan tatabahasa yang sempurna. Ini menyebabkan kadangkala kita tidak dapat menangkap dengan baik apa yang cuba disampaikan. Kadangkala penceritaan tidak disusun mengikut kronologinya. Gaya penceritaan seperti ini hanya dapat kita fahami apabila kita mendengarnya secara lisan dan bukannya melalui pembacaan. Dari segi rekod ia mungkin baik kerana kita dapat merakam segala yang diceritakan. Namun bagi tujuan penulisan, untuk bacaan masyarakat, ia perlu disaring semula. Namun mungkin ini adalah kehendak pihak yang menerbitkan buku ini, mahu masyarakat mendapat segalanya tanpa suntingan.

Jilid pertama ini mengandungi temubual dengan 12 orang bekas anggota 69 Komando di mana kesemua mereka menyertainya pada tahun-tahun pertama penubuhannya. Kisah yang mereka ceritakan hampir serupa sahaja memandangkan mereka mendapat latihan yang sama serta pengalaman operasi yang hampir serupa - keazaban melalui latihan oleh Special Air Service (SAS) sama ada dari pihak British ataupun New Zealand, ketabahan menjalankan operasi yang memakan masa yang lama, adakalanya berbulan tanpa mandi dan membuka but sepanjang tempoh operasi, kepahitan meninggalkan keluarga sehinggakan isteri bersalinpun sang suami tiada di sisi. Tambah memeritkan apabila anak -anak yang masih kecil menjauhkan diri lantaran tidak kenal dengan wajah bapanya yang lebih banyak masa di hutan. Begitu juga dengan banyaknya operasi yang mereka sertai sehingga ada yang meragut nyawa rakan sendiri. Namun antara semua itu semangat setiakawanlah yang amat dibanggakan mereka yang kekal bertahan walaupun setelah menamatkan perkhidmatan.

Dalam jilid pertama ini juga ada dua tokoh yang sering disebut-sebut oleh hampir kesemua 12 orang yang ditemuramah iaitu ASP Mohd Zabri bin Abd Hamid dan SM (B) Apot a/l Saad.ASP Zabri dianggap sebagai seorang pegawai yang hebat dan berkaliber. Merupakan generasi pertama 69 Komando, beliau meninggalkan kita setelah cedera parah terkena jerangkap samar. Kematiannya ditangisi oleh para anggota. Manakala Encik Apot pula dianggap sebagai seorang tracker atau penjejak yang hebat. Namun apabila dibaca temuramah dengan beliau, dapat dilihat betapa Encik Apot amat merendah diri seolah-olah beliau sebenarnya tiada lansung kelebihan itu.

Generasi awal yang menyertai 69 Komando ini adalah rata-ratanya anak kampung yang sememangnya sedia hidup susah. Justeru cabaran yang mereka hadapi sebelum menyertai pasukan dapat dilalui dengan jayanya walaupun terasa amat sukar pada sesetengah orang. Mereka juga tidak merasa bangga dengan sumbangan mereka. Apa yang mereka sumbangkan hanya untuk negara, lagipun di awal penubuhannya gaji dan imbuhan mereka dapat tidaklah seberapa. Boleh dikatakan anggota 69 pada zaman darurat kedua ini tiada seorangpun yang mendapat pingat SP juga PGB. Tiada juga anugerah tanah dan rumah. Kerana itu ada orang berkata - komunis yang menyerah diri diberikan tanah dan beberapa kemudahan lain setelah mereka menyerah diri. Orang yang bersusah payah dibelakang tabir tidak pula mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Generasi awal komando ini semuanya telah bersara dan ada yang telahpun meninggalkan kita. Masih belum terlambat untuk memberikan mereka apa yang sepatutnya mereka patut dapat....


Nota - Buku ini hamba pinjam daripada En. Halim bin Ishak, seorang veteran 69 Komando melalui isteri beliau, Puan Rahayu Yasir. Sekalung terima kasih daripada hamba.

Rabu, 22 Januari 2020

PARAMEDIC CHARITY TRAIL RUN 2.0 2020



Tuan hamba suka berlari? Ataupun dah lama benar tak berlari? Hamba nak ajak anda semua menyertai satu larian yang akan diadakan pada 4 April 2020 nanti di kawasan sekitar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh (ILKKMSB). Di mana pula letaknya ILKKMSB ini dan susahkah nak mencarinya? Tidak susah tuan-tuan. Amatlah mudah untuk ke lokasinya. Institut ini terletak betul-betul bersebelahan Hospital Sungai Buloh di Jalan Hospital. Dan nak ke lokasi ini dari arah lebuhraya PLUS amat mudah. Hanya keluar sahaja di Exit Hospital Sungai Buloh dan anda akan dapat melihat bangunan hospital yang tersergam megah kirakira 300 meter dari pondok tol. Dan disebelah kiri hospitallah letaknya acara larian ini.

Larian ini tidaklah jauh, hanya 5 km sahaja kerana hasratnya adalah bagi tujuan amal. Jarak yang dekat juga adalah untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan kerana kita tahu dalam kebiasaan acara larian, peserta bagi acara 10km dan ke atas selalunya tak ramai berbanding 5km. Para peserta akan banyak melalui laluan dalam dan berpeluang melihat keindahan kawasan ini yang terkenal dengan penanaman pokok-pokok bunga. Peserta juga akan melalu satu kawasan warisan iaitu Pusat Kusta Negara yang menjadi penempatan para pesakit kusta zaman dahulu. Tahukah anda disebabkan dahulunya tempat ini bagaikan terasing dari dunia luar, penghuni di sini mempunyai matawang sendiri bahkan turut memiliki panggung wayangnya. Seorang sasterawan terkenal bernama JM Aziz juga pernah menerima rawatan di sini.


Kenapa hamba mengajak tuan puan menyertai larian ini. Larian PCTR ini bukanlah kali pertama diadakan. Ia telah diadakan buat pertama kali pada tahun 2018. Walaupun hanya dianjurkan oleh sebuah kelab sukan yang kecil, namun penganjuran pada kali pertama telah berjaya menarik penyertaan beberapa syarikat besar seperti Milo, Gardenia, Vitagen dan lain-lain. Disebabkan kejayaan kali pertama tersebut, semua syarikat berkenaan kali ini tanpa ragu-ragu bersedia untuk meneruskan penajaan mereka.

Larian ini bersifat amal. Selain daripada mendanai aktiviti yang dijalankan oleh penganjur, kutipan pada PCTR turut disalurkan kepada mereka yang memerlukan khususnya kepada yang berada di sekitar kejiranan ILKKMSB selain daripada staf-staf Institut yang memerlukan bantuan. Salah satu daripada serahan sumbangan telah dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian dan anda boleh melihatnya di sini.


Walaupun larian ini bersifat amal, pihak penganjur tidak menjalankannya secara sambil lewa. Berdasarkan pengalaman penganjuran yang pertama di samping pengalaman menyertai berpuluh-puluh larian anjuran orang lain, pelbagai usaha dijalankan untuk memastikan acara ini berjalan dengan baik. Lihat sahaja kepada corak baju dan medal yang akan diterima oleh peserta nanti. Coraknya amat cantik sekali. Bahkan hamba berani mengatakan bahawa ia adalah lebih cantik dan berkualiti berbanding beberapa larian antarabangsa yang pernah hamba serta seperti Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM). Hamba pernah menyertai sebanyak dua edisi LAJSM namun baju mereka tidak dapat menandingi kecantikan baju PCTR 2.0. LAJSM juga walaupun dikhabarkan banyak menerima penajaan, anda boleh tanya kepada peserta apakah yang mereka terima selepas larian selain medal. Tiada goodie bag disediakan oleh mereka (larian tahun 2018 dan 2019). Sudahlah panjang beratur nak mengambil medal, beratur (dan berebut) juga nak mengambil air dan roti. Untuk makluman, godie bag yang diperolehi dalam penganjuran kali pertama dahulu lebih baik isinya daripada apa yang hamba dapat semasa LAJSM. Tak percaya, sila lihat entry hamba tentang LAJSM tahun 2018 di sini dan 2019 di sini bagi melihat design baju larian berkenaan.


Usah berlengah lagi untuk mendaftar. Pendaftaran akan ditutup pada 14 Februari 2020 bagi membolehkan urusetia menguruskan tempahan baju peserta mengikut saiz dan kuantiti yang diberikan. Sekiranya ada pertanyaan, sila hubungi contact person yang tertera pada poster di atas. 

Sokonglah kami. Kami menanti anda 4 April ini!!


Selasa, 14 Januari 2020

SEBUAH KOTAK KAYU DAN IMPIAN SEORANG ANAK

Sewaktu hamba bersekolah rendah, keluarga hamba pernah tinggal di satu kawasan kuarters kerajaan di Jalan Channer (sekarang Jalan Datuk Siamang Gagap). Secara kebetulan terdapat ramai rakan-rakan yang seusia atau hampir sebaya. Berkawan dengan mereka memang seronok kerana hampir setiap hari ada sahaja aktiviti. Bila tiba musim bola, kita bermain bola sepak di sebuah padang yang amat luas di depan kawasan kuarters berkenaan. Begitu juga bila tiba musim permainan yang lain seperti takraw, guli, senapang kayu, rounders, baling selipar dan lain-lain, kami akan bermain dengan gembira sekali.

Satu hari seorang daripada kawan-kawan menyatakan mereka mahu ke library pada satu hari Sabtu. Hamba tak tahu apa yang mereka maksudkan, maklumlah bahasa Inggeris pun tak berapa pandai. Lagipun perpustakaan di sekolah hamba masih menggunakan nama lama iaitu kutub khannah!

Perpustakaan Seremban terletak lebih kurang 2km dari kawasan kuarters berkenaan dan kami pergi dengan berjalan kaki bersama-sama. Ketika itu berjalan kaki bukanlah menjadi sesuatu yang melelahkan dan kami tidak pernah merasakan ia satu jarak yang jauh. Bahkan untuk solat Jumaat pun penduduk di kuarters berkenaan masih perlu ke Seremban di mana terletaknya masjid yang paling dekat.

Bangunan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan ketika itu terletak berhampiran persimpangan jalan, Jalan Dato' Abdul Malek dan Jalan Dato' Abdul Kadir. Bangunannya tidaklah terlalu besar. Keadaan dalamnya amat sempit dengan barisan rak-rak buku dengan meja-meja yang biasanya penuh digunakan oleh pengunjung. Sememangnya pengunjung telah sedia menanti di hadapan perpustakaan sebelum ianya dibuka lagi dan terus meluru mendapatkan tempat sebaik sahaja ianya dibuka. Ya, ketika itu perpustakaan masih lagi meriah dengan pengunjung, sama ada menggunakannya untuk mengulangkaji pelajaran, membaca buku sedia ada di situ - dan mungkin juga ada yang berdating! Juteru duduk di atas lantai akibat ketiadaan tempat duduk bukanlah sesuatu yang ganjil. Hari ini bangunan asal perpustakaan tersebut telahpun tiada lagi. ia kini menjadi tempat penjualan kereta.

Kunjungan itu dan seterusnya membuatkan hamba semakin jatuh cinta dengan buku. Walaupun dalam usia sekolah rendah, hamba gemar meminjam buku-buku yang tebal kerana tidak mahu selesai membaca dengan cepat. Walaupun demikian dalam masa dua atau tiga hari sahaja hamba boleh selesai membaca dua buah buku (dua buah buku dibenarkan untuk pinjaman ketika itu). Kadang-kadang walaupun tiada rakan yang mahu pergi, hamba boleh sahaja pergi sendiri berjalan kaki dengan adik hamba. Tidak timbul perasaan takut ketika itu untuk berjalan sendiri tanpa ditemani oleh orang dewasa. Lagipun ketika itu orang tidak menculik kanak-kanak. Hari ini penjahat semakin malas bekerja kerana itu mereka menculik kanak-kanak untuk mengemis dengan duit itu akhirnya masuk ke poket mereka. Penjahat yang menculik kanak-kanak sememangnya tidak gentleman, pemalas dan semestinya baghal!!

Kerana kerapnya ke perpustakaan, hamba mula mengimpikan untuk mempunyai sebuah perpustakaan sendiri di rumah. Perpustakaan di rumah itu pula hampir seperti perpustakaan yang sebenar - rak-rak yang dipenuhi buku, meja bacaan termasuk kaunter peminjaman buku! Hasrat itu hamba ada nyatakan kepada ayah hamba. Yalah kita ketika itu bila berada di usia kanak-kanak bukannya tahu akan kesusahan orang tua. Bukannya kita tahu untuk mengadakan semua itu bukannya murah dan memerlukan belanja yang amat besar. Ayah hambapun bukannya orang kaya, sekadar seorang kerani kerajaan.

Tapi ayah hamba cuba menunaikan hasrat seorang anak ini. Melalui sebuah kotak kayu yang beliau jumpai (hamba rasa itu kotak askar memandangkan ada tulisan yang berkaitan tentera), beliau baiki dan buatkan sebuah rak buku  yang kecil. Ya hamba amat seronok. Rak itu hamba letakkan majalah-majalah kartun yang ada di rumah. Sampai hari ini rak kecil berkenaan masih ada di rumah bapa hamba di Seremban. Ia bukan sahaja satu kenangan kecil bahkan hamba anggap ia satu tinggalan sejarah!

Apabila hamba membuat renovasi rumah sebulan dulu, para pekerja pembinaan telah meninggalkan satu kotak kayu di tempat pembakaran. Ia agak uzur, tidak kukuh dan ada bahagiannya yang telah sompek dan berlubang. Ia juga kotor dengan tanah. Kotak kayu itu hamba ambil, hamba cuci dan hamba cat. Hamba mahu mengenang semula apa yang ayah hamba pernah buat dahulu.

Hamba ingin buat semula perpustakaan mini di rumah seperti impian hamba dahulu. Mungkin masih juga tidak akan dapat menyerupai sebuah perpustakaan yang lengkap dengan kerusi mejanya (hamba beli tikar sahaja, nak membaca sambil bersila), tapi sekurang-kurangnya hamba ada tempat untuk 'bergelumang' dengan buku. Anak-anak hambapun boleh menggunakannya sebagai ruangan belajar mereka.

.......kalau ada yang nak sedekah kerusi meja, rak buku boleh saja............
 .

Kotaknya amat buruk dan usang. Ada kesan kotoran tanah dan cat.

Sebelum dibasuh.

Kotaknya setelah dibasuh
Kasi warna putih dulu.

Siap - kaler sparkling red.

Ahad, 5 Januari 2020

MURTAD - Hasrul Rizwan



Novel ini walaupun pernah beberapa kali hamba ketemu sama ada di kedai buku mahupun di mana-mana pameran, lansung tidak pernah menggoda hamba untuk membelinya. Lebih-lebih lagi hamba tidak pernah mendengar nama apatah lagi membaca karya penulis ini sebelumnya. Namun satu posting seorang sahabat di FB yang menyatakan bahawa buku ini amat menarik untuk dibaca telah merubah segalanya. Cuma agak lambat hamba membacanya walaupun telah dibeli lebih setahun yang lalu. Oh ya novel ini sebenarnya berbentuk trilogi. Mujur juga hamba terus membeli kesemuanya memandangkan hamba kini tidak lagi melihatnya di pasaran.

Pada kulit depannya tercatat 'untuk pembaca matang'. Gambarnya menyunjukkan dua pucuk pistol bersama berpuluh-puluh kad dengan satunya tercatat kalimah syahadah - membuatkan pembaca perlu menjaga kemuliaan kalimah ini agar tidak dipijak atau perkara yang tidak sepatutnya. Tajuknya nampak berat, seolah sebuah buku agama. Buku di tangan hamba adalah merupakan cetakan yang keenam (April 2018), menunjukkan buku ini sememangnya best seller sehingga membuatkannya dicetak berkali-kali. Aduhai, siapakah penulis ini yang bukunya menjadi minat ramai? 

Biasanya dengan membaca bab pertama, kita boleh menilai penulisan seseorang itu menarik ataupun tidak. Justeru hamba boleh bersetuju dengan posting sahabat hamba di FB tadi bahawa buku ini memang menarik. Bab awalannya telah membangkitkan perasaan ingin terus membaca sehingga ke penghujungnya.

Bab pertamanya menukilkan pembunuhan ke atas seorang lelaki yang murtad oleh dua orang pemuda adik beradik bernama Adam dan Akhil. Ya, bab awal ini sahaja sudah menimbulkan persoalan kepada pembaca - siapa mereka - kenapa membunuh - adakah ini novel dakwah dan sebagainya. Bahkan garapan dialognya sebelum menamatkan nyawa si mangsa memberikan gambaran kepada hamba bahawa sang penulis sememangnya boleh menulis!

Seterunya barulah pengkisahan tentang siapa kedua pemuda ini, bagaimana mereka boleh menjadi pembunuh sehinggalah kepada tugasan terakhir mereka yang menuntut begitu ramai nyawa. Semua plot disusun dengan baik dan tidak memeningkan pembaca begitu juga dengan jalinan watak dan perwatakannya.

Kedua pemuda yang berasal dari utara ini berkelana ke ibukota untuk menghadiri temuduga kerja yang berakhir dengan kemarahan si abang - Adam, apabila si penemuduga dianggap seperti memperlekehkan agama. Adegan perkelahian mereka melawan sekumpulan samseng taik minyak yang cuba memperlakukan sesuatu kepada seorang gadis telah dilihat oleh seorang lelaki yang kemudiannya bakal merubah kehidupan mereka.

Gambaran Adam dan Akhil melakukan pembunuhan mereka dilihat memang professional. Mereka mahir menggunakan senjata dan berlawan secara tangan kosong. Namun dalam hal ini penulis tidak menjelaskan bagaimana mereka berlatih, belajar cara merancang pembunuhan sehingga tidak dapat dikesan pihak berkuasa dan sebagainya. Seolah secara semula jadi - selepas bersetuju menerima tugas sebagai pembunuh - mereka terus menjadi pro. ini sahaja persoalan yang tidak terjawab - yang lain ok!!

Adam dan Akhil, walaupun merupakan seorang pembunuh, penulis telah memasukkan unsur 'dalam hati ada taman' juga. Namun ia tidaklah seperti drama meloyakan dalam novel-novel cinta. Keduanya tetap kelihatan sempoi, tidak kelihatan jiwang dan masih lagi mengetahui mana yang harus didahulukan. Namun semua ini akan mempunyai kaitan antara satu sama lain hingga ke hujung cerita. Adam dengan Maria - Maria anak Ghous samseng si pemurtad yang bakal menjadi tugasan akhir mereka. Ghous pula melalui anak buahnya memeras Pak Razak seorang peniaga kecil. Pak Razak ada anak gadis bernama Zulaikha yang selalu diintai Akhil ketika pulang bekerja yang akhirnya diselamatkan oleh beliau apabila diculik oleh samseng-samseng Ghous. Ghous pula berang dengan kekalahan anak buahnya di tangan lelaki yang tidak dikenali lantas mengarahkan agar lelaki misteri ini diburu. semuanya saling kait-mengait, disusun dengan cantik sekali hinggalah ke akhirnya.

Bab akhir - sebuah epilog - turut menyajikan sesuatu yang mendebarkan. Keduanya telah cuci tangan dan dikejutkan oleh kehadiran seorang pemuda yang telah mereka bunuh. Kejutan diberikan penulis apabila pemuda tersebut mendakwa datang dari masa depan. Memang kena baca segera juga sambungannya!!


Jumaat, 3 Januari 2020

69 KOMANDO



Siapa yang tidak kenal dengan 69 Komando, sebuah pasukan elit dalam polis Di-Raja Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 1969. Penubuhannya ketika itu dirasakan amat perlu oleh kerajaan berikutan ancaman pengganas komunis. Perlu diingat bahawa biasanya komando ini dikaitkan dengan pihak tentera. Justeru mengadakan sebuah pasukan elit dalam entiti kepolisian dianggap satu perkara yang baru di dalam dunia ketika itu. Bahkan Malaysia antara negara terawal yang mempunyai pasukan sebegini berbanding dengan beberapa negara maju. Dilatih pada peringkat awal oleh Rejimen British 22 Special Air Force (22 SAS), peringkat pertama telah berjaya melahirkan 36 anggota elit. 22 SAS mengiktiraf akan kebolehan orang kita sehingga membenarkan pasukan ini menggunakan beret berwarna sand brown yang sama seperti mereka.

Sebenarnya hamba berasa tidak puas membaca buku ini. Ini adalah kerana catatan di dalam buku ini dibuat secara ringkas sahaja dan hanya menyentuh secara permukaan. Mempunyai 17 bab, buku ini memaparkan sevara ringkas akan beberapa perkara seperti sejarah penubuhan, kelengkapan, cara pemilihan anggota, unit-unit di dalamnya dan lain-lain lagi. Ketebalannya banyak dibantu oleh banyaknya gambar serta tulisan terjemahan bahasa Inggeris yang disusun seiring dengan bahasa Melayu. Tulisan di dalah bahasa Inggeris hamba lihat telah ditulis dengan amat baik hinggakan hamba merasakan tulisan dalam bahasa Inggeris lebih baik isi dan gaya bahasanya berbanding dengan teks tulisan Melayu. Mungkin ada lagi buku lain berkenaan pasukan ini yang hamba tidak tahu yang ditulis dengan lebih terperinci akan perjuangan mereka.

Hamba tertarik dengan satu ulasan penulis yang menyatakan bahawa, "....tiada seorangpun anggota 69 Komando dianugerahkan pingat bagi memperingati pengorbanan, darah dan airmata sepanjang tempoh Darurat II". Ia adalah satu kenyataan yang agak mengejutkan hamba. Bayangkan anggota polis yang berjaya menumpaskan banduan yang menawan tebusan di Penjara Pudupun dianugerahkan Pingat Gagah Berani, inikan pula anggota yang perjuangan mereka lebih sukar di dalam belantara sehingga ada yang terkorban dan hilang anggota tubuh badannya. Memanglah pingat itu secara zahirnya tidakpun memberikan apa-apa kelebihan wang ringgit mahupun kemewahan, tapi itulah tanda pengiktirafan terhadap wira bangsa daripada pihak kerajaan yang mewakili rakyat Malaysia.

Hamba juga amat tertarik melihat gambar-gambar lama pasukan ini. Jikalau dilihat, pakaian tempur peringkat awal mereka dilihat amat simple. Kadangkala nampak buruk benar, lusuh dan ada yang koyak, menandakan lamanya mereka berada di dalam hutan. Boleh dikatakan sama seperti pakaian anggota gerila sahaja. Persenjataan mereka juga tidak secanggih hari ini. Justeru dapat kita bayangkan bahawa mereka sememangnya anggota yang tabah dan cekal serta tidak gentar menghadapi apa sahaja cabaran. Tiada ganjaran mewah yang ditawarkan. Hanya hati yang kental mahu menjaga keamanan negara. Perkara seperti inilah yang bayak dilupakan oleh generasi hari ini. Orang lama bersusah payah menjaga keamanan negara. Orang kini pula dilihat semacam suka melihat negara berada dalam keadaan huru hara. Adakah mereka suka hidup dalam perang. Tanyalah orang-orang tua yang pernah hidup di zaman itu. Hamba pasti jikalau diberikan peluang untuk kembali merasai semula suasana zaman perang, pastinya mereka akan berkata tidak. 

Penulis turut menyatakan bahawa Perjanjian Hatyai 1989 hanyalah melibatkan perletakan senjata serta penghentian segala aktiviti keganasan dan menyerahkan segala senjaata kepada pihak berkuasa. Ia tidak menyentuh tentang halangan terhadap penyebaran ideologi komunis. Kerana itu baru-baru ini kita lihat ada pihak-pihak tertentu (hamba lebih suka menggelar mereka pengkhianat bangsa, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam) yang cuba menghidupkan kembali ideologi ini dengan meraikan dalam majlis tertentu sambil berpakaian komunis. Ia kita mungkin aman daripada aktiviti persenjataan, tetapi percayalah bahawa serangan pemikiran ini adalah lebih lagi bahayanya.

Penulis juga melahirkan rasa tidak senangnya terhadap penerbitan beberapa buah buku berkaitan pengalaman beberapa orang tokoh komunis. Walaupun bersifat sejarah, ia ditulis dari sudut pandangan mereka. Sudah tentulah para komunis ini akan melihat mereka berada di sudut yang positif serta segala serangan yang dilakukan ke atas pihak keselamatan negara adalah wajar. Bagi hamba, sekiranya kita tidak suka dengan hal seperti ini, kita sendiri perlu melahirkan lebih banyak buku dan tulisan pengalaman para pejuang bangsa ini. Pengalaman mereka perlu direkodkan bahkan perlu dicanangkan selalu. Nama mereka perlu kita sebut, perlu diajar dalam mata pelajaran sejarah di sekolah dan diabadikan pada tempat-tempat yang istimewa. Jikalau orang seperti mereka tidak berkorban nyawa, tentunya kita hari ini masih lagi tidur dalam ketakutan dan tidak bebas berjalan ke sana sini.

Jangan lewat melakukannya kerana komunis telahpun memulakan kembali onarnya!!



Nota - Buku ini hamba pinjam daripada En. Halim bin Ishak, seorang veteran 69 Komando melalui isteri beliau, Puan Rahayu Yasir. Sekalung terima kasih daripada hamba.


Rabu, 1 Januari 2020

UJANG & APO BUMPER NEW-STALGIA

Gambar kredit Facebook Bekazon

Kalau tak silap hamba ini merupakan bumper ketiga keluaran Bekazon selepas bumper raya dan bumper nostalgia merdeka. Istimewa bumper kali ini pula adalah ianya lebih banyak memuatkan kartun-kartun baharu di samping koleksi-koleksi lama berbanding dia bumper terdahulu yang hanya memuatkan koleksi lama. karya pada mumper kali ini juga benar-benar mengikut tema iaitu nostalgia musim cuti persekolahan. Kalau diingat pada tema bumper merdeka dahulu, nama sahaja merdeka tetapi tiadapun kartun bertema sedemikian.

Hiasan kulit yang dihasilkan oleh Gayour sememangnya amat cantik. Dan cantiknya juga keluaran ini adalah munculnya kembali kartunis-kartunis yang lama menyepi khususnya kartunis cina seperti Aliow, Genesis, Adonis dan Ahblue. Mungkin kerana lamanya tidak muncul, kita dapat melihat gaya lukisan mereka agak berbeza dengan yang dahulu tapi masih mengekalkan mutu lukisan dan idea. Bumper ini turut menghadiahkan kita dengan kalendar khas tahun 2020. Setiap helaiannya pula dihiasi kartun-kartun baru hasil beberapa orang kartunis. Dicetak dengan cantik dan tak sampai hati nak mmebuangnya apabila habis tahun nanti.

Jikalau kehadiran dua bumper sebelum ini agak sukar untuk ditemui di kedai majalah, bumper kali ini hamba lihat mula berada di beberapa kedai buku dan lebih mudah ditemui. Harapnya kedai-kedai buku dan penjual akhbar turut memberikan sokongan mereka terhadap majalah kartun tanahair.

Tapi yang penting sendiri adalah kita sebagai pembaca. Tiadanya sokongan kita (atau lebih tepatnya malasnya kita untuk membaca) akan menyebabkan pupusnya sesebuah penerbitan. Apabila majalah seperti ini tutup, bayangkan apa akan terjadi kepada tenaga karyawan di sebaliknya. Bukan sahaja para pengkarya tetapi turut melibatkan tenaga sokongan di bahagian pengurusan, kewangan dan sumber manusia juga yang lain seperti tukang pembersih pejabat serta para pengedar. Percayalah tidak sama feelnya membaca di atas skrin telefon berbanding memegang sebuah buku atau majalah!!

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...