Isnin, 28 Jun 2021

GEGER SOKMO - A. Aziz Deraman


 

Geger Sokmo adalah himpunan terpilih tulisan A. Aziz Deraman di dalam akhbar Sinar di bawah tajuk yang sama. Geger adalah dialek Kelantan yang boleh membawa makna bising, gempar, hingar-bingar, huru-hara dan lain-lain. Pemilihan geger sokmo sebagai tajuk ruangan pojok beliau berkemungkinan kerana akhbar Sinar di awal penerbitannya diedarkan di kawasan Pantai Timur sahaja sebelum secara beransur-ansur meliputi seluruh negara. Penulis adalah merupakan bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang lebih dikenali dalam perkara yang melibatkan bahasa dan budaya. Kerana kebolehannya itulah beliau pernah menjadi orang nombor satu Dewan Bahasa & Pustaka selama beberapa tahun.

Terdapat 49 artikel terpilih di dalam buku ini yang meliputi pelbagai perkara. Namun perkara yang melibatkan bahasa, budaya, dan masyarakat Malaysia lebih banyak dibicarakan emamandangkan ia adalah forte penulis. Ia meliputi hal-hal yang berkaitan PPSMI, penggunaan bahasa Melayu, adab sopan masyarakat, GAPENA, pengisian kemerdekaan dan sebagainya. Aziz turut menulis beberapa artikel yang melibatkan masyarakat Kelantan, agama, pentadbiran kerajaan, bumiputera dan lain-lain lagi, Terdapat juga beberapa artikel yang ditulis berdasarkan majlis atau seminar yang beliau hadiri, yang biasanya melibatkan bahasa dan budaya. Walaupun penulisan Azizi ini kebanyakannya berdasarkan keadaan semasa sekitar awal penerbitan akhbar Sinar Harian bermula 2006, namun pandangan beliau itu sebenarnya masih relevan sehingga ke hari ini. Ini memandangkan kebanyakan isu yang beliau bincangkan masih lagi terjadi hingga kini dan masih belum nampak kesudahannya seperti isu bahasa dan keadaan masyarakat bumiputera.


Sabtu, 19 Jun 2021

PSIKOPAT NIRWAJAH - Osman Deen


 

Sekiranya anda seorang peminat novel-novel berunsur saiko dan thriller, sila berikan perhatian kepada novel dan penulisnya!

Paparan kulit muka novel ini sebenarnya tidak menarik lansung. Hanya satu lukisan ringkas tanpa menggunakan banyak warna. Tapi awas, isinya mungkin mengejutkan anda. Sepertimana tajuknya, novel ini memang benar-benar saiko! Biasanya dalam novel saiko yang hamba baca, hanya satu watak sebegini yang ditampilkan. Tetapi Osman Deen melalui novel ini telah menampilkan dua watak saiko - dan mereka bukanlah lelaki!

Beberapa siri pembunuhan telah dilakukan oleh seorang yang menggelarkan dirinya sebagai Langsuir. Mangsa pembunuhan telah disiat kulit wajah mereka dan akan ditinggalkan di satu tempat yang mudah ditemui. Mayat mangsa yang ditinggalkan akan ditaburi dengan bunga melati. Langsuir menganggap perbuatannya itu sebagai satu kerja seni. Kulit wajah mangsa akan dibingkaikan dan menjadi hiasan bilik tidurnya. Tetapi Osman Deen terlalu cepat membuka identiti Langsuir kepada pembaca. Dan hamba percaya pembaca akan terperanjat apabila mengetahui akan identiti sebenar Langsuir memandangkan beliau digambarkan sebagai seorang yang lembut dan mempunyai karier yang baik. 

Tetapi pendedahan awal ini sama sekali tidak menurunkan mood pembacaan kerana kita akan lebih thrill melihat tingkahlaku langsuir yang berada begitu hampir dengan pemburunya. Dalam masa yang sama muncul pula seorang lagi pembunuh yang menggelarkan dirinya sebagai Bayan. Bayan tidak kurang juga saikonya. Mangsa Bayan akan hilang beberapa anggota atau organ tubuh. Malah Bayan kelihatan lebih mistik berbanding Langsuir. Langsuir merasakan dirinya tercabar kerana kisah Bayan seakan menenggelamkan kisah pembunuhan yang dilakukan oleh beliau. Identiti Bayan kekal terpelihara sehinggalah terbongkar di akhir cerita - dan ia sekali lagi akan mengejutkan pembaca. Amat menarik apabila Langsuir akhirnya bertemu Bayan dan berlaku pertarungan di antara mereka. Langsuir tentunya amat terperanjat apabila mengetahui identiti Bayan - seorang yang begitu hampir dengan beliau.

Kejadian-kejadian pembunuhan ini berkait dengan kisah silam enam orang kanak-kanak yang mempunyai latar belakang serta kisah hidup yang berbeza. Langsuir merupakan salah seorang daripada mereka. Paparan silam hidup Langsuir membolehkan kita mengerti mengapa beliau boleh menjadi begitu kejam.

Awalnya pembaca sendiri sukar untuk mengerti akan kaitan enam orang sahabat ini dengan segala kejadian yang berlaku. Osman menyusun plot ceritanya dengan baik seklai. Kisah latar masa sekarang dengan latar masa lalu/imbas kembali disusun tanpa mencacatkan penceritaan. Ia sedikit demi sedikit menyingkap apa yang berlaku sejurus memberikan pemahaman kepada pembaca. Banyak unsur kejutan di dalam novel ini. Segala kaitan dibuat dengan baik dan menimbulkan unsur lojik.

Walaupun novel ini ada kesudahannya, hamba merasakan kisah Bayan masih belum berakhir. Tinggal seorang lagi mangsa yang belum dibunuh kerana berada di luar negara. Bahkan keadaan Bayan juga dilihat misteri kerana beberapa 'keajaiban' yang dipaparkan. Contohnya semua polis yang berjaya dipengsankan oleh Bayan telah hilang appndiks mereka! Bayan berkebolehan berlari dengan laju tanpa lelah, melompat dari satu bangunan ke bangunan yang lain, menghilangkan diri di sebalik selimut bayang dan mencipta ilusi masa lalu. Tidak diketahui sama ada apa yang dilakukan oleh Bayan bersifat sihir atau teknologi. Seorang lelaki yang menyelamatkan Bayan semasa kecil juga kekal misteri.

Osman Deen, sila akhiri misteri ini!

Khamis, 17 Jun 2021

100 KARTUNIS DAN PELUKIS KOMIK MALAYSIA - Rossem & Rudi Mahmod


 

Buku ini menyenaraikan seramai 100 orang kartunis dan pelukis komik Malaysia bermula seawal era 1930an hinggalah kini. Kita tahu bahawa jumlah mereka adalah lebih daripada angka ini. Tetapi sepertimana yang dicoretkan penyusunnya, keterbatasan ruang menyebabkan ia hanya dihadkan kepada 100 orang sahaja. Buku ini dimulakan dengan gambar-gambar sekitar majlis perasmian Balai Kartun Rossem, seorang bekas polis dan kartunis tersohor yang juga merupakan salah seorang penyelenggara buku ini. Prof. dr Muliyadi Mahamood telah memberikan ulasan beliau mengenai kewujudan balai ini. Melihat daripada gambar dan keterangan yang ada di dalam buku ini, hamba menyanjung tinggi atas usaha Pak Rossem yang mewujudkan galeri ini dengan menggunakan dana dan tapak sendiri. Hamba percaya tentunya koleksi Pak Rossem amat banyak dan berharga sekali memandangkan buat masa ini tiada lagi tempat seperti Balai Kartun Rossem yang menyimpan sejarah dan khazanah kartun tanah air kecuali Rumah Kartun Dan Komik Malaysia yang terletakj di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Satu kertas kerja oleh saudara Rudi Mahmood yang bertajuk Kartun & Komik : Cerminan Budaya Bangsa Yang Harus Dipertahankan yang mengandungi sedikit sebanyak sejarah kartun dan kartunis tanah air adalah amat baik sekali. Kertas kerja ini bagi hamba boleh dikembangkan lagi hingga menjadi sebuah buku yang komprehensif. Tidak banyak kajian yang pernah dilakukan mengenai kartun tanahair. Yang selalu kelihatan pada mata hamba hanyalah tulisan-tulisan Prof. Dr. Muliyadi sama ada di Gila-Gila atau dalam buku=buku beliau. Hamba percaya ada lagi tulisan seperti yang hamba maksudkan tetapi ia tidak didedahkan kepada umum.

Corak penyediaan senarai 100 orang kartunis ini amatlah ringkas sekali. ia memaparkan nama, sedikit peribadi kartunis dan sekeping dua karya mereka. Ada juga personaliti yang hanya disebutkan keterangan ringkas mereka tetapi tidak diiringi dengan gambar serta karya mereka. Hamba tidak puas membaca buku ini. Keterangan para kartunis terlalu ringkas. Contoh karya kartunis juga amat kecil dan memerlukan kanta pembesar untuk dapat dibaca tulisannya. Justeru hamba berharap agar buku ini boleh manejadi asas untuk penyediaan sebuah biografi kartunis yang lebih komprehensif lagi. Beberapa buku dengan tajuk yang khusus juga boleh ditulis contohnya kartunis dan karya mereka sebelum merdeka, sumbangan kartunis Kelantan dalam industri kartun tanaha air (kerana dalam senarai 100 orang ini ramai benar kartunis Kelantan nampaknya) dan lain-lain lagi. satu kelebihan buku ini ia tampil dalam warna serta susunan dan rekaletak yang kemas. namun sedikit sebanyak kesalahan typo serta ayat yang tergantung boleh dikesan di beberapa tempat.

Hamba harap dua orang kartunis yang telah mempunyai PhD seperti Leen Mafia dan Jon Suraya dapat menyahut cabaran untuk melahirkan buku sebegini!


Isnin, 14 Jun 2021

LOCKDOWN (edisi kulit keras) - Naim Tamdjis


 

LOCKDOWN sebelum ini pernah terbit dalam versi e-book. Kali ini ia tampil dalam bentuk edisi terhad kulit keras yang memuatkan tiga buah cerita iaitu Tok Moh, Wangi dan Lockdown. Tok Moh merupakan sebuah kisah baharu manakala Wangi dan Lockdown telah pernah terbit dalam bentuk e-book.

Tok Moh - Secara ringkasnya Tok Moh adalah kisah seorang datuk yang cuba mengambil kesempatan daripada kesusahan yang sedang dialami oleh cucunya untuk mewariskan segala ilmu perbomohan beliau yang lebih kepada ilmu-ilmu khurafat. Cucu beliau, Zarul amat mudah dipancing dengan kemewahan wang ringgit. Melihat kepada banyaknya wang ringgit yang boleh disediakan oleh datuknya membuatkan Zarul bersetuju untuk mewarisi ilmu-ilmu berkenaan. Tambahan pula datuk beliau ini telah 'menjerat' Zarul bahawa hutang Zarul dengan ah long hanya akn diselesaikan oleh datuknya hanya sekiranya beliau bersedia untuk menerima segala ilmu tersebut. Walaupun tidak berminat dengan unsur perbomohan, tetapi kerana ada unsur wang ringgit maka akhirnya Zarul akur.

Pembaca akan dibawa oleh penulis untuk mengikuti serba sedikit proses pemindahan ilmu ini seperti penghafalan mantera, ritual yang perlu dilakukan di beberapa tempat seperti kubur dan lubuk air, ritual untuk mendapatkan ilmu ghaib dan kebal dan sebagainya. Kesungguhan datuk Zarul untuk segera mewariskan ilmu beliau boleh diteka kerana perkara sebegini terjadi apabila si pengamalnya merasakan bahawa ajalnya hampir tiba. Zarul yang masih belum selesai menjalani semua ritual telah mula seronok membelanjakan duitnya yang banyak dengan membeli kenderaan mahal, tinggal dan makan di hotel dan restoran mewah. Adakah Zarul akan berjaya menghabiskan semua ritual tersebut dan berjaya mendapatkan apa yang beliau idamkan? Anda perlu membacanya sendiri.

Satu perkara yang hamba perhatikan dalam beberapa tulisan Naim adalah mengenai penggunaan perkataan bonceng. Hamba rasa penulis telah terkhilaf dalam penggunaan perkataan ini. Bonceng bermaksud orang yang turut serta makan atau menumpang. Sekiranya melibatkan penggunaan motosikal, ia bermaksud penumpang. Namun dalam tulisan Naim, ia bermaksud penunggang motor. Penunggang motor kekal menggunakan ayat penunggang. Orang yang berada di belakangnyalah merupakan pembonceng.


Wangi - Wangi adalah kisah seorang pemuda bernama Alias yang 'bercinta' dengan hantu yang tinggal di sebelah rumahnya. Walaupun rumah yang terletak di sebelah rumah sewa Alias itu semak tidak berjaga, sentiasa dalam keadaan gelap gelita, Alias masih 'bersangka baik' bahawa ada seorang gadis yang tinggal di sana. Paling best Alias boleh bawa hantu ini peri makan dan menonton wayang di AEON, cerita hantu pula tu. Tapi itulah yang menariknya, apabila hantu menonton cerita hantu ia tidak jadi sesuatu yang menakutkan buat hantu tetapi sesuatu yang menggelikan hati hantu itu sendiri. Dan tatkala orang lain seriau ketakutan, hantu ini pula akan mengilai, sekaligus memberi 'tambahan'  sound effect pawagam. Hantu ini boleh dikira ganas apabila dilihat berdendam dan segera memberikan pembalasan kepada sesiapa yang tidak beliau berkenan.

Alias tanpa sedar telah memberikan janji beliau untuk menjaga hantu bernama Wangi ini sampai bila-bila. Wangi perlu menghisap darah Alias selama tujuh malam berturut-turut untuk kelestariannya. Hanya sempat selama tiga malam sahaja darah Alias dihisap apabila boss beliau menyedari sesuatu berlaku terhadap anak buahnya. Hamba agak berpuas hati dengan perjalanan cerita ini tetapi hamba rasakan proses memusnahkan Wangi ini seperti mendadak sahaja habisnya. Hamba percaya jika digoreng sedikit lagi ia akan jadi lebih menarik.


Lockdown - Naskhah Lockdown telah pernah hamba ulas sebelum ini dan pembaca boleh melihatnya di sini.


Sabtu, 12 Jun 2021

MENCARI KEBENARAN - Rossem


 

Komik Mencari Kebenaran adalah berdasarkan kepada sebuah buku yang bertajuk 'Dialog Masalah Ketuhanan Jesus' oleh K.D. Bahaudin Mudhari. Ia adalah rangkaian dialog yang berlansung selama sembilan malam antara penulis dan seorang pemuda bernama Antonius yang bermula pada malam Selasa, 9 Mac 1970. Menerusi komik ini Rossem menyampaikan kembali dialog berkenaan dalam keadaan yang lebih santai buat pembaca menerusi ilustrasi. Sekiranya dalam buku asal apa yang dilihat hanyalah tulisan semata-mata, maka mellaui lukisan komik ini mata dapat direhatkan sedikit dan suasana tidak kelihatan tegang. Apabila melibatkan dialog, kita tahu bahawa ia hanya melibatkan perbualan dua orang atau lebih. Jadi cabaran kepada pelukis adalah untuk tidak menampakkan komik ini membosankan memandangkan ia hanya dialog melibatkan dua orang sahaja. Justeru Rossem telah memperlihatkan kehebatannya sebagai seorang kartunis dengan memaparkan watak-watak dalam dialog ini dalam beberapa sudut pandangan yang berbeza, memek wajah yang berbeza serta pemandangan yang pelbagai.

Dialog antara kedua insan ini berlansung dalam suasana harmoni dan penuh ilmiah. Agak menarik apabila ustaz Bahaudin hanya menjawab soalan dan kemusykilan Antonius melaui ayat-ayat di dalam Bible sahaja kecuali diminta atau ditanya oleh Antonius tentang ayat Al-Quran. Ustaz Bahaudin tidak ubah seperti Ahmad deedat dan Zakir Naik yang hafal setiap surah dan ayat di dalam Bible. Beliau hanya menyebut nama surat dan bilangan ayat dan meminta Antonius sendiri memeriksa serta membaca ayat berkenaan melalui Bible yang dibawa sendiri oleh Antonius. Kedua-duanya berbincang dengan baik tanpa ada sebarang unsur yang boleh melibatkan pertelingkahan.

Antara yang dibincangkan adalah tentang ketuhanan Jesus, Nabi Isa sebagai penebus dosa, dosa merupakan satu warisan, kejadian manusia mengikut Al-Quran, percanggahan ayat dalam Bible, triniti dan lain-lain lagi. Memandangkan setiap perbincangan disebut tentang nama surah dan ayat dalam Bible, ia memberikan peluang kepada sesiapa sahaja untuk menyemak kembali akan ayat-ayat berkenaan seterusnya membolehkan pembaca untuk meniliti serta tabayun yang mana benar dan yang mana tidak.

Bagi dialog penuh yang asal, kita boleh sahaja mencarinya melalui internet.

THE LION KING - Rossem


 

Tajuknya walaupun meminjam tajuk animasi Disney, namun ia tidaklah memaparkan kisah yang sama. The Lion King versi Rossem adalah sebuah kisah politik yang disampaikan melalui watak-watak haiwan. Walaupun dituliskan di mukasurat akhir bahawa cerita ini rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan sesiapa baik yang hidup ataupun meninggal, tetapi sesiapa sahaja yang membacanya pasti tahu ia adalah kisah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir (kini Tun) yang seterusnya membawa kepada kisah politik yang amat panjang sehinggalah ke hari ini. 

Rossem boleh menggunakan watak binatang apa sahaja namun kisahnya memang amat direct mengenai dua figura utama ini. Daripada pemecatan membawa kepada tuduhan, tangkapan, penahanan, perbicaraan, bantahan, perhimpunan reformasi, pembinaan putrajaya, isu tol, padang golf dan lain-lain lagi, Rossem tidak boleh berselindung ini adalah kisah rekaan semata-mata. Yang direkanya hanyalah lukisan dan ceritanya hanyalah sedikit twist daripada peristiwa sebenar.

Jadi penyampaian kisah ini adalah dari sudut pelukis sendiri sebagai seorang penyokong reformasi. Ia bukanlah satu pandangan umum daripada seorang yang berkecuali. Justeru penceritaan dalam komik ini adalah secara berat sebelah.

Politik itu sentiasa berubah. Kedua musuh politik ini telah bergabung seketika beberapa tahun dahulu membentuk kerajaan. Yang hebatnya kerajaan ini masih diketuai individu yang memecat Anwar. Sekarang situasi politik berubah lagi dan ia akan terus berubah mengikut kecenderungan serta untung rugi bacaan ahli politik (dalam hal ini rakyatlah yang menjadi mangsa percaturan mereka). Hamba percaya sekiranya Rossem melukisThe Lion King pada hari ini, persembahannya sudah pasti berbeza!



KELANTAN DALAM LAKARAN BUKAN SEKADAR JUDUL - Rossem


 

Buku ini memaparkan ilustrasi beberapa tempat menarik di negeri Kelantan oleh kartunis Rossem. Dimulakan dengan sedikit penenrangan mengenai negeri Kelantan, penceritaan disampaikan melalui dwibahasa, Melayu dan Inggeris. Secara tidak lansung buku ini boleh memikat perhatian pembaca yang tidak memahami bahasa Melayu dan boleh dipasarkan lebih jauh lagi.

Kebiasaannya buku yang memaparkan ilustrasi sebegini dibuat dalam edisi coffee table book. Tetapi buku Rossem ini bentuknya kecil sahaja dan hanya setebal 64 mukasurat. Justeru tidak begitu banyak lukisan yang dipaparkan. Menurut pelukis, beliau berhasrat untuk menerbitkan ilustrasi sebegini dalam beberapa siri buku. Semua ilustrasi yang dipaparkan adalah dilukis secara manual dan bukannya menggunakan medium digital. Kebanyakan lokasi yang dipaparkan terdapat di Kota Bharu serta kawasan yang berhampiran dengannya. Antaranya ialah pemandangan bandar Kota Bharu dari arah Tambatan Di-Raja, Kota Darulnaim, Jalan Ismail Kota Bharu, Rumah Singgora, Stesen Keretapi Wakaf Bharu, Tangga Bradley, Jeram Mengaji dan beberapa tempat lagi.

Usaha Rossem ini adalah salah satu cara untuk mempromosikan seni lukis pelukis tanah air sekaligus mempromosikan tempat-tempat menarik yang ada di tanah air. Membaca buku sebegini anda harus memberikan sedikit masa untuk melihat dan meneliti kecantikan lukisan yang dipaparkan.


Selasa, 8 Jun 2021

AWEK CHUCK TAYLOR - Nami Cob Nobbler


Novel ini terlalu banyak carutan dan makian. Ia umpama makanan dan kebiasaan watak-watak dalam novel ini. Sekaligus membuatkan diri hamba tertanya, inikah bentuk orang muda, bakal pemimpin atau masyarakat yang kita mahukan. Naskhah yang hamba baca adalah cetakan yang ke sebelas. Ini menunjukkan ia mendapat sambutan ramai. Sambutan ramai biasanya juga dipengaruhi oleh mereka yang pernah membacanya sebelum disyorkan kepada orang lain pula. Jadi adakah khalayak sudah boleh menerima budaya kerap mencarut ini? Memang benar, dalam kehidupan seharianpun perkara ini ada berlaku. Tetapi apabila ia dibukukan, ia akan menjadi kekal. Ia akan menjadi tatapan ramai. Yang bijak akan menjadikannya tidak lebih daripada sebuah karya tulisan manusia. Yang tidak bijak pula akan mula mengikuti, tak kira sama ada carutan atau gaya kehidupan bebas lampas watak-watak novel ini. Golongan yang tidak bijak inilah yang menjadi kerisauan kita.

Jadi bagaimana hamba boleh terjebak membacanya? Buku ini hamba lihat di perpustakaan, dalam timbunan menara buku bulan lalu. Sebelum ini pun hamba biasa melihat buku ini sewaktu melawat kedai atau pameran buku, cuma tidak pernah mengambilnya. Jadi keberadaan buku berkenaan di perpustakaan menyebabkan hamba mengambilnya setelah menyudahkan karya berat Zaharah Nawawi bertajuk Anugerah. Jenis hamba pula apabila telah membaca sesuatu buku, tidak kira sama ada ia menarik atau tidak, hamba akan baca juga sehingga ke penghujungnya.

Novel ini adalah kisah remaja bernama Hafiz yang macam nampak desperate hendak berpasangan. Dalam pada mengorat seorang, dia boleh berpasangan dengan seorang yang lain. Dalam pada sudah mempunyai teman, dia boleh juga keluar dengan orang lain. Latar masa novel ini adalah pada pertengahan tahun 2000 atau lebih 15 tahun yang lalu di mana MySpace menjadi media sosial yang popular pada masa itu.

Hafiz mendapat teman bernama Mira yang nampak ganas, suka membaca, boleh menampar teman lelakinya, macam tak beragama dan suka mencarut. Abang Mira, Aiman juga nampak ganas, suka merempit, peminat MU, selalu gagal nak mengorat wanita dan juga suka mencarut. Adik mereka Nana, nampak lebih lembut dan bersopan, cantik, kurang berbicara kerana gagap dan mempunyai severe asthma. Ayah mereka, peminat tegar Liverpool, mempunyai gurauan yang tidak kurang saikonya. Cuma emak mereka yang tidak berapa nak ditonjolkan.

Hafiz dah suka Mira sang kakak, sang adik juga ada hati dengan Hafiz, dan Aiman sang abang yang macam tak kisah dengan apa yang berlaku. Konflik besar mula timbul apabila keluarga ini berpindah ke Kanada. Mira berharap Hafiz dapat mengikuti jejak mereka nanti ke Kanada setelah beliau berjaya dalam pelajarannya. Nmaun Hafiz pula mahu Mira kembali ke Malaysia sekiranya beliau tidak mampu ke sana. Namun Mira tekad memberitahu bahawa beliau tidak akan kembali lagi ke Malaysia. Di sinilah penulis menimbulkan pertanyaan kepada pembaca apabila Mira dilihat cuba menyembunyikan sebab sebenar kenapa beliau tidak akan kembali lagi. Terfikir juga hamba keluarga ini terlibat dengan jenayahkah, abah Mira ni perisik asing ke dan sebagainya, tetapi dugaan hamba itu tidak benar belaka. Ingatkan kalau ada unsur sebegitu ia akan menimbulkan konflik yang lebih besar. Tetapi ini bukan novel thriller. Ia adalah kisah cinta penuh mencarut semata-mata.

Kerana itulah Hafiz meninggalkan Mira, cuba beralih ke wanita lain dan mula berhubungan dengan Nana. Hafiz ni hamba pun tak tahu lelaki jenis apa. Walaupun nampak macam ada wibawa, tetapi mudah benar lembik dan tertipu dengan wanita. Watak Bella yang hari-hari minta kredit telefon dan minta duit untuk beli pakaian mahal itupun si Hafiz boleh layan dalam satu masa yang lama. Sudahlah tak pernah bertemu muka, sifat Bella yang jelas-jelas menipu itupun dibuat macam tak ada apa oleh Hafiz walaupun telah dinasihati beberapa orang. 

Ya banyak kisah cinta jarak jauh dan cinta atas talian yang dipaparkan dalam novel ini. setelah sekian banyak peristiwa berlaku, novel ini ditamatkan dengan kematian Nana. Hamba rasa macam tipikal drama Melayu pula, kalau tak kemalangan mesti kematian. 

Setakat beberapa novel indie yang hamba pernah baca, inilah novel yang paling banyak carutan dan makian. Baca novel indie tentang kisah gangster tu memanglah ada carutan, tetapi tidaklah sebanyak dalam novel ini. Kisah cinta pula tu!

AHLI ALKIMIA - Paulo Coelho


 

Hamba mungkin tidak akan membaca naskhah ini jika tidak membaca sebuah ulasan di FB mengenainya. Sekiranya dilihat pada tajuk, ia lansung tidak menarik perhatian hamba. Namun ulasan yang hamba baca itu membawa kepada pembelian novel ini yang dikatakan laris di peringkat antarabangsa. Dr Maszlee Malik tidak mungkin memberikan kata pengantar novel ini jika ia sekadar novel biasa-biasa sahaja. 

Novel ini adalah berkenaan pengembaraan Santiago dari Andalusia yang berkelana sehingga ke Piramid di Mesir kerana mahu mencari harta karun. Harta berkenaan pula adalah mimpi yang dilihatnya sebanyak dua kali. Pertemuan dengan sorang wanita peramal Gipsi dan seorang lelaki tua yang mengaku sebagai Raja Salem telah menguatkan keazaman Santiago untuk mengembara.

Jika diteliti, novel ini bukan sekadar hiburan buat pembaca. Pengarang cuba menyampaikan sesuatu melalui kisah pengembaraan Santiago. Pengalaman yang diperolehi oleh Santiago dalam perjalannya itu amatlah berharga dan tidak dapat dibeli di mana-mana. Santiago menyeberangi selat Gibraltar dan mendarat di Tangier dan mendapat nasib yang malang pada hari pertama ketibaannya. Wangnya dengan mudah sahaja ditipu. Seorang lelaki yang memegang wang Santiago kononnya untuk membeli unta bagi perjalanan beliau telah menghilangkan diri tatkala Santiago leka melihat kecantikan sebilah pedang. Kejadian ini mengajar kita agar tidak mudah dilekakan oleh sesuatu keindahan yang bukan milik kita sehingga apa yang kita ada hilang begitu sahaja. Ia juga mengajar kita agar tidak mudah sewenangnya percaya dengan orang yang baru dikenali.

Kisah santiago dengan seorang penjual kristal selepas itu mempunyai banyak pengajaran yang tersirat. Santiago boleh sahaja pulang ke Andalusia apabila ditawarkan biaya untuk pulang semula ke kampung halamannya. Jaraknya bukanlah terlalu jauh, cuma dua jam perjalanan menaiki kapal. Dia boleh menjadi pengembala semula, satu pekerjaan yang menjadi kepakaran beliau. Tetapi ia hanya akan menyebabkan impiannya melihat dunia terkubur. Santiago bekerja dengan peniaga kristal yang perniagaanya tidak berapa maju itu. Kisah dengan penjual kristal ini tiba-tiba mengingatkan hamba kepada kisah kejatuhan Nokia. Nokia lingkup kerana keengganannya untuk berubah. Dalam hal ini Santiago telah memberikan keuntungan kepada sang peniaga pada hari pertama lagi hanya dengan mengelap kristal yang ada di ruang kaca hadapan kedai. Beliau kemudiannya mengusulkan agar dibuat satu rak khas di luar kedai yang pada awalnya diragui oleh sang peniaga. Ternyata idea berkeaan memberikan keuntungan yang lebih baik. Idea terakhir beliau adalah untuki peniaga berkenaan membuka sebuah kedai minuman teh yang dihidangkan dengan gelas kristal. Ternyata idea berkenaan telah mendatangkan keuntungan buat peniaga berkenaan. Pelanggan yang penat mendaki bukit akan mencari kedai minuman dan gelas yang digunakan adalah promosi tidak lansung terhadap barangan kristal. Hanya dalam masa sebelas bukan tinggal di situ, Santiago telah membawa idea perubahan terhadap pemikiran sang peniaga.

Selepas ini pembaca akan mengikuti pengembaraan panjang Santiago ke Mesir yang di dalamnya Santiago akan bertemu ramai orang seperti lelaki Inggeris yang meminati kimia, ketua kafilah, pemimpin dan orang-orang di sebuah wahah (oasis) yang juga menemukan beliau dengan seorang gadis bernama Fatima dan seorang ahli kimia. Santiago juga menghadapi detik cemas berhadapan dengan kumpulan kabilah yang sedang berperang serta sekumpulan manusia yang mencuri emasnya sewaktu telah tiba di kawasan piramid. Kisah-kisah yang berlaku dalam episod-episod ini bukan sekadar kisah tetapi ada sesuatu yang cuba dibawa oleh pengarangnya. Santiago tidak menemui sebarang harta di situ tetapi pencuri yang mencuri emas Santiagolah yang memberikan bayangan di mana harta itu sebenarnya berada. Keadaan awal santiago dan pencuri itu hampir sama sahaja. Bezanya Santiago mengikuti petanda-petanda daripada mimpinya sedangkan pencuri itu membiarkan sahaja mimpinya. Anda mungkin tidak menduga di mana akhirnya harta itu berada.

Paulo Coelho adalah orang Brazil. Tetapi beliau menulis kisah yang latarnya berada di bumi Andalus, Maghribi dan Mesir. Beliau juga hamba lihat mempunyai pengetahuan yang baik tentang Islam apabila berkisah mengenai rukun Islam melalui dialog peniaga kristal. Novel ini adalah bacaan yang baik untuk minda serta mereka yang mahu berfikir.

Kalau tak mahu berfikir anda tak perlu baca apa-apa!


Sabtu, 5 Jun 2021

KOLEKSI TOK TEH VOL 1 - Leen Mafia


 

Tok Teh adalah antara karya Leen Mafia yang mendapat tempat di hati peminat kartun satu masa dahulu. Kartunnya comel-comel sepertimana tuannya juga. Leen atau Noorhazalen Saad antara kartunis yang mempunyai tahap pendidikan yang agak baik ketika itu. Para kartunis tentunya bangga kerana dalam kalangan mereka telah ada yang mempunyai pendidikan tertinggi sehingga ke peringkat PhD. Selain Leen, kartunis lain (yang hamba tahu) telah mempunyai PhD adalah Prof Dr Mulitadi Mahmood (ini paling awal) serta kartunis Jon Suraya. Harap mereka ini adapat menggunakan ilmu mereka untuk menaikkan kembali industri kartun tanahair.

Tok Teh adalah siri yang pernah tersiar dalam majalah Ujang. Kompilasi ini menjadi kompilasi yang awal yang sepatutnya akan diikuti oleh sambungannya. Namun sayangnya kompilasi ini tiada sambungannya. Kisahnya hanya berakhir pada volume ini pada siri yang ke-12. Sedangkan siri ke 12 meninggalkan persoalan yang amat mendebarkan apabila watak Leen yang masih kecil dihampiri oleh seorang kutu jalanan yang mempunyai niat yang tidak baik.

Siri Tok Teh adalah kisah kasing sayang seorang anak perempuan terhadap datuk dan neneknya. Lantaran mempunyai keluarga yang besar, beliau merasakan dirinya bagai tidak dipedulikan. Segala yang dibuat ada sahaja salahnya. Episodnya memulakan debaran apabila seorang anak kecil melarikan diri dari rumahnya di Sungai Koyan bagi mencari rumah neneknya di Bagai serai, Perak. Semenjak beliau keluar rumah dari tengah amalam, Leen Mafia telah berjaya menimbulkan perasaan suspen pembaca apabila watak berkenaan sentiasa sahaja ada cabaran yang perlu dihadapi. Cabaran ini boleh dianggap besar memandangkan watak utamanya hanya sekitar lima ke enam tahun usianya. Beliau lepas dari rumah, membawa ke Raub sehinggalah ke Kuala Lumpur. Hamba sudah tidak ingat lagi akan kesudahan ceritanya yang lengkap. Kompilasi ini pula tidak lengkap dan sambungannya tidak diterbitkan.

Apapun komik yang berharga RM3.50 ini telah mampu dijual semula hari ini hingga mencecah RM70!


GELIHATI bil 306 1 jun 1997


 

Hamba membeli naskhah ini daripada seorang penjual buku-buku terpakai. Harga asal majalah ini ialah RM3.20 dan harga jualan kepada hamba adalah RM15. Walaupun kulit depan dan belakangnya terkoyak, halaman dalamnya ada yang telah digunting, tetapi hari ini nilainya melebihi nilai asal lantaran Gelihati sudah lama terkubur dalam pasaran.

Tahun 1997 di mana majalah ini terbit juga adalah merupakan masa di mana majalah Ujang mula menguasai pasaran. Hamba meneliti kartun dan tulisan yang ada dalam majalah ini dengan agak teliti bagi melihat persembahan sebuah majalah yang menjadi pesaing kepada Ujang, sebuah majalah kartun yang baru sahaja memasuki gelanggang ketika itu. Melihat persembahan Gelihati lewak keluaran ini hamba dapat mengesan kenapa majalah Ujang mendapat tempat di hati peminat majalah humor. Persembahan kartun di dalam Gelihati ini lawaknya tidak berapa menarik sepertimana dalam Ujang. Walaupun mereka membariskan kartunis yang mempunyai nama yang besar seperti Yo dan Namron, kedua kartunis ini jika tidak disokong oleh persembahan mantap kartunis lain pastinya tidak mampu untuk melawan keghairahan membaca Ujang. Ujang ketika itu tampil dengan persembahan yang serba baharu. Para kartunis dijenamakan semula dengan nama yang unik. Penggunaan watak ikonik Din Beramboi dengan lawak gila-gilanya menarik minat ramai. Dalam hal ini majalah humor selain Ujang tidak ubah seperti kisah Nokia yang tumbang kerana tidak mahu berubah.

Agak sayang sebenarnya apabila Gelihati hilang daripada pasaran kerana ia antara majalah humor yang telah terbit semenjak penghujung 90an. Walaupun Karangkraf kemudiannya tampil dengan G3 yang bagi hamba agak mantap persembahannya, ia akhirnya tetap menerima nasib yang sama seperti abangnya.

Kini usahkan Gelihati, Ujang juga telah lenyap. Yang tinggal hanyalah Gila-Gila yang bernafas seperti orang yang nazak. Gila-gila masih boleh diselamatkan. Siapa lagi kalau bukan kita.


Khamis, 3 Jun 2021

LAWAK KAMPUS JILID 40 - Keith


Lawak Kampus kembali lagi dengan jilid yang ke 40. Walaupun majalah Gempak telahpun lama terhenti penerbitannya, Keith masih lagi gagah dengan siri ini. Jika dahulu kemunculannya adalah dalam bentuk kompilasi karya yang pernah tersiar di Gempak, kini karyanya berdiri sendiri dan bersifat baharu.

Lawak Kampus edisi yang ke 40 ini hadir bersama cenderamata istimewa iaitu sehelai t'shirt bergambar watak Vannes. Namun berhati-hati dengan kenyataan free sizenya. Pengalaman mendapat t'shirt gempak berukuran free size sebelum ini mengajar hamba bahawa jangan terlalu mengharap ia adalah saiz yang kita pakai. Kenyataan free size sebenarnya adalah karut. Mana boleh pakaian diberikan ukuran saiz bebas atau istilah lain one size fits all! Manusia ini berbeza bentuk tubuhnya. Dan seperti yang hamba jangka t'shirt berukuran free size ini adalah sama dengan ukuran saiz M. Jadi jika tubuh anda lebih besar daripada saiz ini anggaplah pembelian itu hanya untuk cenderamata atau untuk diberikan kepada orang lain yang sepadan saiz ukurannya. Kecuali jika anda meminati pakaian yang ketat untuk disesuaikan dengan perut anda yang besar, maka t'shirt ini memang sesuai untuk anda. Oh ya t'shirt ini bukanlah percuma ya walaupun ia nampak seperti satu hadiah iringan. komik hanya RM10 sahaja, manakala anda perlu membayar RM38. Maka t'shirt ini dijual dengan harga RM28. Apapun ia satu cara atau strategi orang berniaga.

Lawak-lawak yang dipersembahkan oleh Keith masih sama dan masih bertenaga seperti sebelum ini. Ceritanya masih ditampilkan melalui empat kotak panel yang kesemuanya diwarnakan. beberapa kartun yang membawakan tema covid-19 turut ditampilkan. Kalau mahu kartun yang panjang anda perlu mendapatkan Lawak Kampus keluaran khas yang dijual di Popular Bookstore. Seperti biasa di akhir komik. Keith akan bercerita mengenai hobi figura mainan koleksi beliau.

Di saat majalah kartun semakin kurang di pasaran ini, Lawak Kampus mungkin satu pilihan yang baik. Namun tidak dinafikan kadangkala hamba bosan sahaja kerana ia hanya pengisian oleh seorang kartunis berbanding majalah yang menampilkan pelbagai kartunis dengan pelbagai stroke lukisan dan cerita.



Rabu, 2 Jun 2021

ANUGERAH - Zaharah Nawawi


 

Lelah hamba hendak menghabiskan novel ini. Ia setebal 1351 mukasurat, seolah-olah membaca enam ke tujuh buah novel. Ia begitu banyak memakan masa saya sehinggakan hamba terfikir bilakah saya hamba dapat membaca buku-buku hamba yang lain yang melambak-lambak di rumah dan di pejabat itu. Rasanya lebih tiga minggu juga hamba ambil masa nak mengkhatamkannya. Masa yang lebih pendek mungkin boleh dicapai sekiranya hamba tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. Tetapi dengan kerja di pejabat, kerja di rumah, masa untuk bersenam dan melakukan kerja-kerja lain menyebabkan masa untuk menudahkannya menjadi panjang. Lagi pula novel ini bagi hamba agak mendatar perjalannya, tiada sebarang unsur suspen yang boleh menyebabkan kita mahu segera menyudahkan bacaan.

Novel ini menjadi begitu panjang kerana latar masanya juga yang panjang. Ia bermula dari 11 Oktober 1945, sewaktu perjuangan membantah Malayan Union sehinggalah ke tarikh 31 Ogos 1957, hari kemerdekaan tanahair. Secara tepatnya novel ini adalah mengenai perjuangan UMNO yang asalnya lahir kerana membantah Malayan Union sehinggalah kepada perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Segala penceritaan mengenai kisah-kisah politik tanahair ini disampaikan melalui watak-watak dalam keluarga Hisham dan Ramlah yang berjiran dengan keluarga Zain dan Maryam.

Penceritaan pula lebih menonjolkan watak kaum wanita melalui Ramlah dan Maryam yang bergiat aktif dalam politik melalui Kaum Ibu UMNO. Segala peristiwa-peristiwa bersejarah ini lebih banyak dipaparkan melalui perbualan dan dialog watak-watak dalam cerita ini yang berlaku di rumah, perhimpunan politik atau di premis parti. Mungkin kerana itu novel ini hamba katakan agak mendatar kerana pengkisahan sejarah lebih banyak berlaku melalui dialog atau kita katakan pengkisahan melalui orang ketiga.

Oleh yang demikian segala konflik dan permasalahan dalam novel ini lebih tertumpu kepada keluarga Ramlah dan Hisham berbanding dengan peristiwa bersejarah itu sendiri. konflik dan permasalahan dalam perjuangan orang Melayu, terutamamya dalam UMNO banyak disampaikan melalui perbualan watak-watak dalam novel ini. Justeru, kerana politik keluarga ini pernah tidak baik seketika dengan keluarga Zain dan Maryam. Kerana politik anak-anak mereka agak terabai sehingga anak sulung mereka - Razali terkorban kerana lemas di laut. Peristiwa ini juga membuatkan ayah Ramlah agak marah dan menyalahkan aktiviti politik Ramlah. Kerana politik Hisham menyangka Ramlah mempunyai hubungan dengan Aziz, salah seorang ahli UMNO yang berjiran dengan Dato' Onn memandangkan mereka sering menjalankan kerja parti di luar. Kerana politik juga Hisham merasakan dirinya terabai sehingga menjalinkan perhubungan dengan wanita lain. Konflik ini menjadikan hubungan suami isteri ini agak tegang namun dihadapi dengan baik oleh Ramlah yang lebih banyak bersabar. Melalui kisah konflik rumahtangga ini juga penulis menggambarkan keadaan berlakunya unsur fitnah, mengadu domba di kalangan ahli UMNO apabila kisah Ramlah seolah-olah dijaja dan ketahui ramai. Bahkan mereka mengira Ramlah telahpun mendapat madu.

Memandangkan kisah UMNO ini lebih daripada pandangan pejuang daripada kaum ibu UMNO, maka hamba boleh katakan kisah kaum ibu atau wanita lebih menonjol dengan pengkisahan sayap berkenaan yang menampilkan beberapa tokoh mereka seperti Ibu Zain, Khadijah Sidek dan Fatimah Hashim. Melalui novel ini juga kita dapat mengetahui akan sebab-sebab Khadijah Sidek dipecat daripada UMNO walaupun beliau merupakan seorang pemimpin yang baik. Hanya kerana beliau sedikit radikal dan memperjuangkan nasib kaum wanita denagn keras maka beliau tidak begitu digemari oleh pucuk pimpinan. Hamba dapat merumuskan UMNO ini sejak daripada penubuhannya lagi telah mempunyai masalah dalaman yang tidak dapat ditangani dengan baik. Membaca novel ini dapat kita ketahui bahawa tidak mudah untuk Dato' Onn menangani perangai ahli UMNO sewaktu di awal penubuhannya. Sehinggalah kemudiannya Dato' Onn  keluar UMNO apabila cadangan beliau untuk bekerjasama dengan orang bukan Melayu ditolak. Anehnya pemimpin setelah Dato' Onn telah menjalinkan kerjasama dengan bukan Melayu dan dapat diterima oleh ahli UMNO.

Hamba pernah terdengar dan terbaca di mana-mana bahawa kemerdekaan ini hanya diperjuangkan oleh orang Melayu dan tidak kaum lain. Dari sudut sejarah yang dipaparkan dalam novel ini hamba boleh bersetuju dengan pandangan tersebut. Semenjak orang Melayu bangkit menentang penjajah yang mahu mengadakan Malayan Union, hanya orang Melayu sahaja yang berjuang menentangnya. Sedangkan kaum lain menyokong gagasan berkenaan. Kaum lain hanya bersama-sama dengan perjuangan parti Melayu dalam ebebrapa tahun menjelang merdeka sahaja apabila British mahu melihat kaum-kaum yang ada di negara ini bersatu sebelum boleh diberikan kemerdekaan. Maknanya perjuangan kaum bukan Melayu bukanlah mutlak dan hanya bermula dipertengahan jalan yang sudah terlebih dahulu dimulakan oleh orang Melayu.

Novel ini cuba menyampaikan laluan sejarah perjuangan orang Melayu untuk merdeka dengan agak terperinci sehingga pembaca mampu mengikuti kronologinya dengan baik. Ia memberikan pengajaran betapa banyaknya rakyat yang ikhlas dalam perjuangan walaupun bakti mereka itu tidak dihargai. Orang Melayu era berkenaan memberikan tenaga dan harta mereka untuk perjuangan mencapai kemerdekaan. Pastinya mereka ingin melihat sebuah negara Malaya yang merdeka diterajui sendiri oleh anak bangsanya yang jujur dan berpekerti mulia.


Nota : Novel ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh.

KEMBARA DARUS SENAWI 1963 - Darus Senawi & Izzat Ibrahim

  Hamba tidak dapat menahan diri daripada mencapai buku ini dan melihat isi kandungannya. Lagipun ini kali pertama hamba memasuki kedai buku...