Selasa, 22 Februari 2022

FATAH KARTUNIS AKAR TERENGGANU - Sabri Said


 

Bila berbicara tentang kartunis Fatah, peminat kartun tempatan tidak dapat lari daripada mengaitkan beliau dengan watak kartun A. Mamud. Watak A. Mamud, seorang pemuda dari daerah Dungun yang mempunyai penampilan pemuda zaman pop yeh yeh dengan jambul yang panjang, pakaian ala slim fit dengan seluar yang senteng yang dipadankan dengan kasut but hitam berkilat ala Beatles adalah merupakan salah satu watak paling sinonim dan menonjol di dalam majalah Gila-Gila.

A.Mamud yang mempunyai seorang kekasih bernama Jenab atau Jey ini  mempersembahkan bermacam cerita dengan menjadikan Dungun sebagai latar tempatnya. Walaupun kadang-kadang A.Mamud membawakan pelbagai isu atau kejadian semasa, ia dipersembahkan dalam latar masa tahun 60an. Di samping dua watak utama tadi, siri lagak A.Mamud turut diserikan dengan lain-lain watak seperti Maulud, Karim Kunyik dan Mak Jarah.

Fatah Kartunis Akar Terengganu adalah sebuah kisah ringkas tentang Fatah. Hamba mengetahui akan keadaan kartunis ini yang mengidap penyakit saraf sehingga menyebabkan beliau sukar bergerak serta menamatkan terus kebolehannya untuk melukis, tetapi melalui buku ini barulah hamba tahu bahawa beliau telah mula sakit semenjak zaman mudanya lagi. Bahkan sewaktu beliau bersama dengan Gila-Gila sendiri, beliau bertarung dengan penyakit itu bagi menyiapkan karya-karyanya. Walaupun pihak Gila-Gila pernah membiayai pembedahan bagi memulihkan penyakit tersebut, Fatah ternyata tidak sembuh.

Walaupun bapanya merupakan seorang ustaz, tiga orang anak Ustaz Ngah Mohamad daripada sejumlah tujuh orang terlibat dalam bidang yang berkaitan seni. Selain Fatah mereka ialah Manan Ngah, seorang komposer dan Allahyarham Jalil Ngah, seorang pereka pentas yang khidmatnya sering digunakan di dalam konsert konsert besar.

Bakat Fatah di dalam dunia seni adalah semulajadi. Selain daripada melukis, beliau juga boleh memainkan beberapa alat muzik yang dipelajarinya secara kendiri. Walaupun belajar secara kendiri, Fatah dapat memainkan alatan muzik khususnya biola seperti seorang professional. Bahkan ada yang menyamakan gaya permainan beliau seperti Idris Sardi.

Laluan hidup Fatah sebelum bergelar kartunis di Gila-Gila tidaklah mudah. Meninggalkan kampung halamannya menuju Kuala Lumpur secara hiking, Fatah pada mulanya bekerja di sebuah restoran. Tinggal menyewa bersama pelukis seperti Azman Yusuf dan Suhaime Salleh telah membuka ruang untuk beliau melahirkan karyanya. Suhaime Salleh bahkan terkesima melihat komik pertama Fatah yang boleh disifatkan seperti lahir daripada pelukis yang telah berpengalaman. Komik awal Fatah turut dipaparkan lewat buku ini. Harus hamba akui bahawa pandangan Suhaime itu ada benarnya apabila melihat stroke lukisan serta gaya panel dan rekaletak beliau.

Fatah bukan asalnya seorang kartunis. Melalui Gila-Gila beliau perlu beralih daripada seorang pelukis komik dan ilustrasi kepada seorang pelukis kartun. Sedikit demi sedikit beliau mampu melakukannya sehinggalah beliau berjaya mendapatkan gayanya yang tersendiri. Siri Lagak A.Mamud tambah mengutuhkan kedudukan Fatah di arena kartun tanah air.

Sebagai anak Terengganu, beliau banyak mempromosikan negerinya secara tidak lansung. Tidak hanya mempromosikan Dungun melalui A.Mamud, beliau juga mempromosikan budaya masyarakat Terengganu seperti aktiviti orang kampung, main peteri, rodat, wayang kulit dan sebagainya. Beliau juga banyak memaparkan perihal masyarakat setempat di tahun 60an. Secara tidak lansung lukisan beliau juga adalah satu bentuk rakaman sejarah dan budaya tempatan melalui wadah kartun.

Tidak ramai yang tahu, selain melukis komik dan kartun, Fatah juga ahli dalam seni catan. Lukisan beliau walaupun tidak banyak dihasilkan lantaran penyakitnya itu amatlah bermutu dan pernah dibeli oleh Sultan, para pemimpin dan juga selebriti. Fatah juga pernah menghasilkan lukisan untuk Search bagi album Fenomena.

Setelah sekian lama melukis dalam kepayahan, Fatah tidak lagi mampu berkarya. Tahun 2004 beliau menggantung berus buat selamanya dan terpaksa kembali ke kampung halamannya di Terengganu. Beliau dijaga dengan penuh kasih sayang oleh ibunya. Kematian ibu Fatah pada tahun 2017 benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap beliau yang menyebabkan hidupnya berasa kosong.

Penerbitan buku ini sesungguhnya adalah satu bentuk tribute kepada seorang kartunis yang pernah mewarnai dunia kartun tanah air. Agak malang kerana tiada anugerah yang pernah diberikan kepada kartunis ini walaupun kartunnya banyak mengangkat nama negeri kelahirannya Terengganu. Sementara nafasnya masih berhembus maka pihak-pihak yang berkenaan masih berkesempatan untuk menghargai beliau. Janganlah apabila telah tiada nanti, barulah nak diberikan anugerah-anugerah yang besar. Ketika itu ia telah tidak berguna lagi!


Nota - Ulasan ini telah tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia, Jumaat 18 Februari 2022.


Selasa, 15 Februari 2022

KENITRA - Sebuah Impian Yang Terlaksana

Foto kredit Jazmanie Shafawi

 

Sejak 10 tahun blog ini hidup, hamba lebih banyak menulis tentang buku orang lain. Walaupun tulisan berkenaan hanyalah satu bentuk latihan peribadi bagi hamba, ia secara tak lansung menjadi satu promosi buat buku berkenaan dan penulisnya.

Hasrat untuk menulis dan mempunyai buku sendiri itu ada namun hamba belum mendapat 'caranya'. Sehinggalah apabila negara kita berPKP buat kali keduanya tahun lalu, hamba gunakan masa berkenaan untuk menulis. 

Inilah buku hamba - KENITRA, sebuah rakaman kembara ilmu di bumi Maghribi. Sebagai penulis yang menerbitkan buku secara indie, tentulah hamba juga berperasaan sama seperti penulis lain yang mahukan bukunya dibaca oleh khalayak ramai. Tetapi hamba sedar, orang yang tiada nama seperti hamba tentunya perlu berjuang hebat bagi mempromosikan buku sendiri.

Maka di ruang yang terhad ini hamba persembahkan KENITRA untuk anda semua. KENITRA berharga RM45 (tidak termasuk pos) dan boleh didapati dengan menekan link berikut :- https://wa.me/60173952676


Terima kasih atas sokongan anda!!

Selasa, 8 Februari 2022

MY DRAWING PLANET - Tan Thiam


 
Nama pelukis Tan Thiam mungkin kurang dikenali di persada kartun negara. Secara tidak sengaja hamba terjumpa akan posting beliau di FB yang menyiarkan karya-karya yang amat menarik perhatian. Daripada asalnya satu, satu kartunnya ditunjukkan di FB, beliau akhirnya menghasilkan sebuah komik sendiri. Tan Thiam ini sebenarnya orang lama, tetapi bagai 'menyembunyikan' dirinya dari persada komik. Tapi orang kampung hamba pun ada kata better late than never, kemunculan komik ini diharapkan dapat memeriahkan kembali arena komik tanah air. Komik ini tidak ada dijual di mana-mana kedai. Jadi anda perlu cari di FB Tan Thiam untuk mendapatkannya.

Komik ini dicetak dengan menggunakan kertas berkualiti dan berwarna di setiap mukasurat. Ia menggabungkan komik dan koleksi ilustrasi oleh Tan Thiam. Lukisan Tan Thiam mempunyai pengarung Hong Kong atau manhwa yang kuat. Ia adalah lukisan pertarungan gaya komik cina sekitar era 90an. Komik beliau ada yang bernada serius dan ada yang membawa pendekatan jenaka. Namun secara perbandingan, hamba melihat kekuatan idea Tan adalah lebih kepada kartun dan jenaka. Melalui komik Asingkan Diri, Tan mempersembahkan jenaka bumi akan diserang oleh makhluk asing yang akhirnya kecundang dengan Civid-19. Komik ini lebih menampakkan ciri kartun berbanding komik sebelumnya iaitu Pembasmian Mutlak yang lebih serius.

Koleksi ilustrasi yang ditampilkan hamba lihat telah banyak dipaparkan sebelum ini di laman FB. Tetapi menyimpan salinan keras di dalam majalah ini adalah lebih baik dan mudah untuk dijadikan rujukan apabila melukis sesuatu yang sepertinya.

Komik Tan Thiam ini hamba percaya dihasilkan dalam jumlah yang terhad. Tidak rugi memiliki komik ini terutama untuk dijadikan sebagai rujukan lukisan gaya manhwa

Isnin, 7 Februari 2022

NOSTALGIA DAN DIN DON - Don


 

Kartun adalah satu wadah penyampaian maksud ataupun kisah dengan menggunakan lakaran-lakaran yang biasanya kelihatan lucu.

Majalah Gila-Gila yang mula terbit pada tanggal 1April 1978 telah melahirkan begitu ramai kartunis tempatan sehingga terdapat di kalangan mereka yang mempunyai kualiti setaraf kartunis antarabangsa.

Nama Saadon Ishak ataupun Don sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Nama ini masyhur dengan kartunnya seperti Dan Din Don, Pendekar Mato Tige, Apak dan lain-lain lagi. Maskot Gila-Gila yang amat dominan iaitu Professor Serba Tau juga adalah air tangan kartunis ini.

Nostalgia Dan Din Don adalah kompilasi karya beliau yang pernah tersiar di dalam majalah Gila-Gila. Tidak hanya menampilkan karya yang terpilih, setiap kartun asal ini diperkuatkan dengan teks penceritaan dan anekdot yang panjang. Teks penceritaan ini adalah satu unsur baharu yang tidak pernah disiarkan sebelum ini.

Dan Din Don adalah kisah tiga orang budak kampung yang ditampilkan dalam keadaan 'boleng' atau tidak berpakaian. Watak Don adalah merujuk kepada kartunisnya sendiri. Manakala watak Dan dan Din adalah rakan kepada beliau.

Latar tempatnya adalah sekitar Kampung Luat di Lenggong, Perak sekitar tahun 60an. Justeru Don menampilkan persekitaran sebuah kampung Melayu dengan keindahan rumah tradisional Melayu dan halamannya yang indah, persekitaran kampung dengan pemandangan sungai, kebun, bendang dan gunung ganang. Penceritaan begini adalah mirip kepada sebuah autobiografi di dalam penulisan,

Kisah-kisah yang ditampilkan adalah satu catatan sejarah secara tidak lansung. Ia adalah gambaran kehidupan masyarakat di tahun 60an dengan kanak-kanak bebas bereksperimen dengan kehidupan mereka. Ia adalah satu latihan secara tidak lansung di dalam membina hidup berdikari. Kisah-kisah yang ditampilkan juga memperlihatkan kecerdikan anak-anak masa itu yang ditampilkan dengan gaya yang lucu.

Naskhah ini telah diberikan prakatanya oleh Prof. Dr. Muliyadi Mahamood, seorang kartunis yang amat berjaya di dalam bidang akademik. Beliau telah menulis secara ringkas dan ilmiah perihal kartunis Don dan karyanya yang melibatkan perihal diri, masyarakat dan budaya.

Selain paparan koleksi kartun Dan Din Don, buku ini juga menampilkan beberapa penceritaan dan gambar ekslusif yang tidak pernah didedahkan sebelum ini. Agak menarik apabila Don menceritakan secara ringkas akan pengelibatannya dengan jemaah Al-Arqam sehingga pernah di interogasi di Bukit Aman!

Naskhah Dan Din Don ini tidak hanya muncul sebagai satu bentuk hiburan santai tetapi juga adalah satu catatan sejarah yang dirakam dalam bentuk lukisan.


Nota - Ulasan ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Februari 2022 (Jumaat) di bawah ruangan Resensi Gaya.

AJA'IBUL HIND - Buzurg Al-Rahmurmuzi


 

Buku ini adalah terjemahan daripada kitab 'Aja'ib al-Hind Barrihi wa Bahrihi yang bermaksud Kisah-Kisah Ajaib Di Daratan Dan Lautan Hindi oleh Buzurg al-Rahmurmuzi. Usaha penterjemahannya telah dilakukan oleh Arsyad Mokhtar.

Hind atau Hindi di dalam naskhah ini bukanlah merujuk kepada benua India semata-mata. Menurut penterjemah, kalimah Hind ini adalah satu nama umum yang merujuk kepada negara-negara dan pulau-pulau di sekitar Lautan Hindi. Justeru di dalam proses penterjemahan ini, penulis mendapati beberapa buah negara yang disebutkan di dalam kitab ini kebarangkaliannya merujuk kepada beberapa buah negara atau negeri yang terdapat di nusantara ataupun alam Melayu seperti Kedah, Champa, Sumatera dan sebagainya. Didorong oleh maklumat seperti inilah yang menyebabkan penulis berusaha menterjemahkan kitab ini buat tatapan kita semua.

Kisah-kisah yang tercatat di dalam buku ini adalah kumpulan kisah-kisah yang diceritakan kebanyakannya oleh para nakhoda serta pengembara yang pernah menjelajah ke beberapa negeri di sekitar Lautan Hindi kepada pengarangnya. Justeru kisah-kisah ini kebanyakannya tidaklah mempunyai kaitan antara satu sama lain. Ia tidak disusun mengikut tempat, lokasi atau peristiwa tertentu bahkan kelihatan bertaburan tanpa ada satu bentuk susunan yang tetap. Ada kisah yang pendek dan ada juga yang sedikit panjang. Namun hampir kesemua kisah yang dipaparkan adalah ajaib. Walau bagaimanapun dengan beberapa pengetahuan yang boleh diperolehi pada hari ini, sebahagian perkara tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik seperti ikan besar yang boleh mengeluarkan air di atas badannya yang kita ketahui hari ini sebagai ikan paus. Namun banyak juga kisah yang pelik dan ajaib seperti keturunan manusia dan haiwan laut yang membolehkan mereka hidup di dua alam, burung-burung besar yang penterjemah meyakini ianya adalah garuda dan lain-lain lagi.

Antara kisah-kisah ajaib yang boleh pembaca temui adalah seperti kisah manusia yang mempunyai sayap untuk terbang, ular yang menelan gajah, gunung besi berani di China yang boleh menarik kapal-kapal, berhala yang boleh berpindah tempat setiap seribu tahun dan lain-lain lagi.

Apa yang paling 'mahal' pada naskhah ini sebenarnya adalah ulasan penterjemah melalui nota kaki pada kebanyakan muka surat. Nota kaki ini akan menjelaskan beberapa maksud perkataan yang samar, nama-nama negeri yang tidak jelas, nama-nama negeri yang kelihatan seperti berada di alam Melayu, istilah-istilah timbangan dan jarak serta pandangan peribadi penulis mengenai sesuatu perkara berdasarkan kajian dan pengetahuan beliau. Bagi memastikan mutu terjemahan yang baik, penterjemah turut melakukan semakan silang dengan dua buah naskhah lain. Sekiranya terdapat perbezaan, penulis akan mencatatkan di dalam nota kakinya.

Walaupun kebanyakan kisahnya mirip dengan kisah dongeng, tetapi penterjemah meyakini akan kebenarannya dan tidak menganggap ia sebagai satu dongengan. Semua ini hanya akan terjawab apabila anda sendiri menikmati pembacaannya!



Nota - Ulasan ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Februari 2022 (Jumaat) di bawah ruangan Resensi Gaya.



PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...