Isnin, 27 Ogos 2018

ORANG KUAT - Alif Firdaus Azis



Orang Kuat adalah salah satu komik yang memaparkan seorang lagi adiwira tempatan. Gelaran Orang Kuat barangkali adalah terjemahan longgar untuk Superman. Dilihat kepada kostum adiwira ini, kelihatannya ada iras pakaian Ultraman tetapi lebih gendut di bahagian perut. Orang Kuat menggunakan lambang 'dilarang merokok' di dadanya.

Komik ini booleh dikatakan sebagai siri pengenalan terhadap adiwira ini. Seperti mana-mana komik atau filem superhero, siri pertama biasanya menampilkan asal usul adiwira tersebut terutamanya punca mereka memperolehi super power. Mungkin kerana ini watak tempatan maka Orang Kuat mendapat sumber kekuatannya daripada sepohon pokok hutan yang tidak diketahui namanya. Yup, sekiranya anda peminat Superman, riwayat hidup mereka lebih kurang sama sahaja dengan sedikit pengubahsuaian. Sekiranya Superman sewaktu kecil sudah boleh mengangkat sebiji trak, Orang kuat pula pada hari lahir sahaja sudah boleh mengangkat seekor lembu.

Dari segi lukisan, persembahannya nampak terlalu amatur. Hamba tidak tahu sekiranya skill pelukis memang sebegitu atau beliau sengaja melukis sedemikian bagi tujuan komik ini. Ini kerana kalau ditinjau dari sudut pandangan sesuatu petak, ia agak baik dan pelbagai walaupun susunan kotaknya agak konvensional. Walaupun begitu karya ini boleh dikatakan lucu dan menghiburkan. Mungkin kerana itu karya ini mendapat sambutan memandangkan naskhah yang hamba baca merupakan cetakan keempat.

Hamba tidak tahu sekiranya karya ini mempunyai sambungannya lagi. Hamba percaya dengan kekuatan humor pelukis, karya ini boleh pergi jauh lagi.


Ahad, 26 Ogos 2018

PULANG - Lily Haslina Nasir



Pertamanya hamba mengucapkan terima kasih kepada penulis naskhah Pulang yang sudi memberikan hamba novel ini. Agak teruja mendapat novel ini dari penulisnya sendiri yang turut disertakan dengan sedikit nota.

Untuk makluman, hamba belum lagi menonton filem ini yang mana ketika ini tayangannya juga telah beransur hilang daripada pawagam. Jadi hamba tidak dapat memberikan sebarang perbandingan antara novel dan filemnya. Sekiranya hamba menonton filem berkenaan, maka ulasan ini adalah lebih baik memandangkan novel ini merupakan adaptasi filem, bermakna ia ditulis berdasarkan skrip asal filem dan bukannya fillem berkenaan diadaptasi daripada sebarang novel.

Pulang sarat dengan unsur kasih sayang dan penderitaan. Ia berlegar antara tiga watak utamanya iaitu Othman, Thom dan Ahmad. Penceritaaan mengikut bab- bab dalam novel ini adalah mengikut pandangan daripada watak-watak tadi. Ini menyebabkan pembaca dapat menyelami rasa dan perasaan watak-watak tersebut dengan lebih mendalam. Segala rasa kecewa, marah, kasih, sayang, derita dapat dirasai secara lansung lewat penceritaan watak-watak tadi. Manakala watak-watak lain seperti Che Puteh, Salmah, Karim, Taib dan Lum muncul melalui penceritaan watak-watak tadi.

Walaupun kisah dalam pulang berjalan antara akhir 1930an sehinggalah 2010, tumpuan utama penceritaan adalah antara tempoh-tempoh pelayaran Othman sehinggalah kematiannya pada 1966. Kisah ini boleh sahaja berakhir pada 1966. Namun disebabkan Omar tidak berjaya menyampaikan berita itu kepada ibunya Thom menyebabkan kisah penantian ini berlarutan sehingga berpuluh tahun lamanya.

Novel Pulang bermula dengan kisah-kisah yang memperkenalkan watak-watak utamanya. Ia menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu di sebuah perkampungan nelayan pada akhir 30an. Kisah percintaan antara Othman dan Thom adalah satu pernyataan betapa bersopan dan terjaganya hubungan antara lelaki dan wanita pada ketika itu. Tika ini segala yang berlaku adalah indah-indah belaka memandangkan tanah air ketika itu masih lagi berada dalam keadaan aman dan tenteram.

Kisah penderitaan pasangan ini boleh dikatakan bermula sewaktu Jepun mula menduduki Malaya. Othman dan Thom telahpun berkahwin dan Thom sedang mengandungkan anak mereka. Othman telah dibawa oleh Jepun bersama-sama pemuda kampung yang lain. Kelalaian seketika Jepun telah membolehkan Othman bersama sahabat barunya Lum melarikan diri. Di sinilah pembaca mula dihidangkan dengan penderitaan watak-watak utamanya. Othman derita sebagai pelarian manakala Thom terpaksa mengharungi hidup sendirian dan melahirkan anak mereka tanpa Othman di sisi. Kisah zaman Jepun ini juga merupakan satu permulaan hubungan erat antara Othman dan Lum yang walaupun berlainan bangsa dan agama tetapi mengaku saudara dan saling mengambil berat antara satu sama lain.

Sejak awal lagi pembaca telah dihidangkan dengan kisah kasih sayang antara kedua pasangan ini. Kesusahan hidup menyebabkan Othman berusaha gigih untuk mencari rezeki di laut walaupun dalam keadaan laut yang ribut bergelora. Ketidak pulangan Othman dari laut membuatkan Thom bertekad mencarinya bersama rakan Othman walaupun dia tahu akan bahayanya. 

Ketika Othman menyatakan hasrat untuk pergi belayar, Thom telah mula merasakan kerisauan akan ketidakpulangan Othman. Ini memandangkan Othman sudah dua kali 'hilang' daripada beliau iaitu sewaktu zaman Jepun dan sewaktu dibadai gelora laut dahulu. Namun Thom tahu bahawa Othman mempunyai keazaman yang kuat yang membuatkan beliau belayar juga.

Kisah pelayaran Othman bukan suatu yang muluk-muluk ceritanya. Othman hidup dalam derita. Manakala di kampung, Thom dan Omar yang ditinggalkan juga berada dalam keadaan derita. Tiada surat yang Othman kirimkan melainkan sekeping poskad di setiap tempat beliau berlabuh dengan catatan yang sama pada setiap poskad. Lamanya Othman meninggalkan Serkam, menyebabkan Thom menyusul beliau di Hong Kong berdasarkan poskad terakhir Othman. Bukanlah suatu yang mudah bagi Thom untuk mengadakan wang yang banyak bagi memulakan pencarian tersebut.

Pencarian Thom sebenarnya bagi hamba bolehlah dianggap sebagai misi bunuh diri. Ia juga membayangkan bahawa Thom tidak pun berfikir panjang dan hanya mengikut kata hati. Mencari Othman di Hong Kong berdasarkan poskad terakhir yang dikirimkan sejujurnya tidak akan mendatangkan apa-apa hasil kerana Othman tentunya telah belayar ke tempat lain. Sementelahan pelayaran Thom ke Hong Kong juga akan memakan masa berhari hari lamanya. Pergi ke Hong Kong tanpa sebarang pengetahuan adalah suatu yang sia-sia. Tiada perancangan rapi yang di atur, tiada maklumat yang dicari terlebih dahulu dan tiadanya pelan tindakan kecemasan. Akhirnya Thom nyaris dijual ke rumah pelacuran. Di sini muncul semula watak Lum sebagai penyelamat yang menyelamatkan Thom daripada perkara tersebut.

Sepanjang pembacaan, persoalan yang kerap timbul adalah kenapa Othman tidak pulang ke kampung halamannya. Tidakkah beliau rindu akan anak isteri yang ditinggalkan? Apakah sebab yang menghalang beliau daripada pulang. Kisah Pulang tidak tergesa-gesa menjawab pertanyaan tersebut. Ia mahu pembaca terus berteka teki sehinggalah menemui jawapannya dalam bab-bab akhir.

Antara perkara menarik lewat novel ini adalah keindahan pantun-pantun yang ditulis pada setiap permulaan bab baharu. Pantun-pantun berkenaan dikarang dengan baik dan umpama pembayang akan penceritaan yang akan dibaca oleh kita. Satu lagi perkara menarik adalah timbulnya nama John Lennon dalam cerita ini yang dikatakan menjadikan kelab kelasi Melayu di Liverpool sebagai medan awal beliau mengasah bakat. Pembatalan beliau mengadakan persembahan semasa hari perasmian kelab tersebut dikatakan sebagai bermulanya penubuhan The Beatles.

Lily Haslina Nasir berjaya menulis novel ini dengan baik yang hamba anggap adalah berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai penulis. Andai diberikan tugas ini kepada budak-budak baru nak up mungkin tidak sebaik ini hasilnya.


AKU, KAU, MALAYSIA - Artis-Artis Komik M



Secara kebetulan komik ini hamba baca dalam bulan kemerdekaan, dan hamba pun tidak tahu bahawa komik ini memaparkan kisah-kisah bertemakan kemerdekaan. Teringat hamba akan majalah-majalah kartun tempatan dahulu aku menampilkan isu-isu khas seperti hari raya dan kemerdekaan. Tika itu kartun-kartun mereka akan tampil sarat dengan tema-tema ini. Sekarang ini, walaupun mereka meletakkan tema-tema tertentu untuk sesuatu isu, kadang-kadang kartun yang tampil dengan tema berkenaan tidak seberapa banyaknya. Sekiranya tema tertentu yang dipilih maka sewajarnya kartun bertema tersebut yang menjadi majoriti berbanding kartun bertema biasa.

Terdapat 9 komik daripada sembilan komikus berbeza yang ditampilkan. Justeru kompilasi ini menghidangkan kepelbagaian gaya dan cerita kepada kita. Semuanya sarat dengan tema kemerdekaan. Ada yang dapat dibaca dengan santai tanpa memberatkan kepala dan ada juga yang mengajak kita untuk berfikir. Selepas selesai paparan setiap tajuk ia akan disusuli dengan temuramah bersama komikus tentang idea pembikinan komik mereka beserta pandangan terhadap pengertian merdeka.

Antara kesemuanya hamba tertarik dengan kartun pertama yang muncul iaitu Bendera Aku & Kau, karya Froggypapa. Ia ringkas dan mudah kerana tampil tanpa sebarang dialog. Memaparkan kasih dan cinta rakyat Malaysia terhadap bendera Jalur Gemilang.

Selain daripada komik di atas, tajuk-tajuk lain yang ada ialah:-

- Khalifah Merdeka - Azhar Abdullah;
- Untuk Inikah Perjuangan Kita Dahulu? - Bop;
- Perang Kampung Edisi Merdeka - X Lid;
- Roh Negaraku - Shahrul Akram;
- Meon Edisi Merdeka - Jas;
- Dunia Didi Edisi Merdeka - Ard One;
- Bunga Kebangsaan Bunga Kebanggan; dan
- TWINX Rewrite Prologue - PAC

Khamis, 23 Ogos 2018

BUDAK TAKRAW #2 - Anshari



Komik ini hamba beli secara bundle sebenarnya. Ia dijual secara berikat dengan beberapa komik lain menyebabkan hamba tidak mempunyai/membaca siri #1 dan #3 nya. Dalam siri pertamanya, berdasarkan ringkasan yang ada di permulaan komik dapatlah difahami bahawa ia merupakan permulaan pembentukan sebuah pasukan. Manakala dalam bahagian kedua ini, sebuah pasukan telahpun dapat dibentuk dan gigih mengadakan perlawana persahabatan demi memantapkan pasukan. Walau bagaimanapun mereka tidak mempunya jurulatih tetap sehinggalah pihak sekolah mengadakan seorang jurulatih yang merupakan seorang pengusaha bengkel motosikal yang dikatakan pernah bermain takraw sehingga ke peringkat kebangsan.

Komik ini mempunyai pengaruh manga yang kuat yang mempengaruhi gaya lukisan serta gaya penceritaannya. Walaupun begitu ketika babak perlawanan takraw pengaruh manga itu agak kurang. Ini kerana sekiranya kita melihat komik Jepun, dalam perlawanan sukan sebegini pastinya akan ada gaya-gaya 'mengarut' diiringi dengan gaya luar biasa dan elemen yang mencemaskan. Hamba tidak tahu, mungkin ia ada dalam siri #3 yang tidak/belum hamba baca.

Sejujurnya hamba tidak mengenali nama pelukis ini namun hamba percaya gaya lukisannya yang kemas ini boleh ditingkatkan lagi dengan syarat mempunyai kisah yang padu untuk dipersembahkan kepada khalayak.

Apa khabar Budak Takraw di tahun 2018 ini? Masih 'bernafas' lagikah?


KARTINI - Tembakau




Dua hari yang lalu hamba mengulang kembali membaca Kartini. Kali ini melalui versi Komik M oleh PTS. Sebelum itu marilah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah kepada kartunisnya Allahyarham Azhar Ahmad aka Tembakan yang telahpun kembali ke rahmatulLah beberapa bulan yang lalu kerana komplikasi jantung.

Karya Kartini bolehlah dianggap antara karya legenda dalam dunia kartun tempatan. Membaca catatan Tembakau di permulaan komik ini, dapat kita fahami bahawa proses penghasilan dan penyiaran Kartini bukanlah sesuatu yang mudah dan mengambil masa yang agak lama. Ia pernah direject apabila Tembakau mengemukakannya kepada kartunis Aman sekitar 1990. Kata Aman karya tersebut terlalu jujur. Dan Tembakau telah melukis kembali karya ini beberapa kali sehinggalah tersiar di dalam majalah Lanun. Kartini pernah dikompilasikan oleh Multi Triple Vision, yang menerbitkan Lanun. Ia bersaiz besar dan selesa dibaca. Versi Komik M adalah kecil, bersaiz kompak, mungkin sesuai untuk anak muda tetapi tidak selesa buat mata hamba kerana hamba lebih suka menghayati lukisan dalam saiz yang besar.

Kisah-kisah tentang pelajar sekolah menengah khususnya yang tinggal di asrama sering menjadi pilihan para kartunis. Keadaan ini boleh difahami kerana kebanyakan kartunis terus berkerjaya selepas menamatkan zaman persekolahan menengah dan tentunya kenangan zaman persekolahan mereka masih segar di ingatan. Selain Kartini termasuklah IBC oleh Ujang dan Budak Hostel oleh Ubi. Kartunis lain yang pernah melukis suasana yang sama termasuklah Sarah, Jon Suraya, Sireh (Student Life) dan sebagainya. Tambahan pula apabila ia dihias sedikit dengan elemen cinta, unsur ini amat mudah menarik perhatian pembaca remaja.

Kartni berkisar mengenai kisah Yon dan Kartini berlokasikan sebuah sekolah menengah agama. Kisah biasa mengenai seorang jejaka yang meminanti seorang gadis dan berusaha untuk memilikinya. Kisah ini memakan bertahun tempoh masanya sehinggalah kedua mereka telah meninggalkan alam persekolahan. Namun dapat difahami kesudahan kisah ini bukanlah happily ever after.

Walaupun Kartini menjadi tajuk kisahnya, kartun ini lebih berpusat kepada watak Yon sendiri. Segala konflik kejiwaan adalah tertumpu kepada beliau. Kartini tidak ubah seperti watak tempelan sahaja. Tetapi kalau dinamakan kartun ini sebagai Ariyon ataupun Yon tentu kurang kicknya. Pembaca akan lebih dapat menjiwai watak Yon itu sendiri berbanding Kartini. Manakala Kartini pula mungkin masih banyak persoalan yang belum terungkai yang dibawa bersama pelukisnya hingga ke akhir hayat.

Hamba percaya kisah remaja di asrama ini akan menjentik kenangan zaman persekolahan kita. Hamba sendiri yang bersekolah asrama menengah agama dapat menjiwai karya ini dengan baik memandangkan suasana sekolah agama tidak banyak bezanya. Pelajar wanita yang bertudung labuh, pelajar lelaki yang aktiviti bermula Maghribnya di suarau, kadangkala memakai serban, sebiji dua perkataan bahasa Arab di bibir, dihukum warden - semua itu ternyata mengembalikan nostalgia pembaca. Kerana suasana inilah apabila tiba-tiba watak Kartini sudah tidak lagi bertudung apabila berada diperingkat menara gading bukan sahaja menimbulkan tandatanya kepada Yon bahkan kepada hamba juga.

Jika anda seorang peminat lukisan, lukisan Tembakau mungkin baik sebagai satu rujukan dalam berkarya. Lukisannya simple, kadangkala sedikit serabut dengan lorekannya, memek wajah wataknya dapat dilukis dengan baik dan akan terasa kelucuannya begitu juga dengan latar belakang ataupun pemandangan sekitar terutamanya yang melibatkan aerial view yang memberikan nafas kepada karya beliau.

Tahun ini sebenarnya menyaksikan pemergian beberapa orang kartunis atau mereka yang terlibat secara lansung dalam arena kartun tanah air. Hamba berharap agar kartunis yang masih tinggal dapat menjaga kesihatan diri masing-masing. Berhentilah menghisap rokok walaupun beralasan merokok itu memberikan ilham ketika berkarya. Kesihatan anda lebih penting kerana kesihatan anda memberikan cahaya kepada ahli keluarga anda.

Karya Kartini pastinya akn terus diingati.


Sabtu, 18 Ogos 2018

PERHITUNGAN - Aiman Jazee



Terus terang, saya membaca novel ini dengan penuh minat dan lansung tidak pernah mengantuk menyusuri tiap muka suratnya. Sekiranya anda peminat novel aksi, maka hamba cadangkan anda untuk membaca novel ini. Ia penuh dengan unsur saspen, dendam, pertarungan dan tembak menembak. Andainya ia difilemkan pastinya tidak sesuai untuk kamank-kanak memandangkan ia penuh dengan darah yang menyembur, tulang temulang yang patah, kepala yang hancur, tubuh yang patah riuk dan lain-lain. Walaupun begitu ia sarat dengan unsur kemanusiaan, setiakawan, persahabatan selain ndaripada perasaan dendam yang membara terhadap lawan. Walau apapun novel ini menekankan akan peribahaya najis dadah. Ia membawa kepada kemusnahan daripada sekecil-kecil unsur di dalam keluarga, komuniti dan masyarakat am.

Keseluruhan noivel ini tertumpu kepada watak utamanya Hirzan, seorang pemuda yang digambarkan berasal dari kampung dan bergelandang ke ibu kota mencari kehidupan. Perbuatannya menyelamatkan seseorang dari sebuah kumpulan kongsi gelap menyebabkan beliau ditawar bekerja sebagai penghantar barang dengan kumpulan tersebut. Walau bagaimanapun Hirzan tidak menyedari bahawa beliau bekerja dengan sebuah kumpulan haram serta tidak tahu bahawa selama itu beliau membawa bekalan dadah kepada pelanggan.

Terbongkarnya rahsia tentang barang yang dibawanya menyevbabkan beliau ingin keluar daripada kumpulan tersebut. Seperti mana-mana filem kongsi gelap dan gangster, keluar daripada sesebuah kumpulan itu hanya boleh melalui jalan maut. Hirzan sekali lagi diperdaya dengan menjadi keldai dadah membawa bekalan ke Amerika sehingga membawa kepada penangkapan beliau dan dipenjarakan.

Penulis menjadikan penjara Coyote Creek Pinetary sebagai tempat Hirzan mendapankan pengalaman serta ilmu baru bagi menghadapi babak-babak yang selanjutnya. Namun semua itu bukanlah diperolehi dengan jalan yang mudah bahkan penuh penderitaan dan darah. Menjadikan Islamofobia sebagai intipati, Hirzan menjadi mangsa kebencian hanya kerana beragama Islam. Beliau dibelasah, dicacah dengan tatoo yang bertuliskan kebencian terhadap Islam semasa dalam pengsan serta dipinggirkan oleh banduan lain. Walau bagaimanapun penulis juga menggambarkan perilaku Hirzan yang tidak menyerupai penjenayah telah berjaya menawan hati teman seselnya, Ah Long, yang pada mulanya amat dingin sehingga beliau yang pernah menjadi ketua kongsi gelap di Hong Kong mencurahkan segala ilmu beliau termasuklah seni bela diri Wing Chun dan cara menguruskan perniagaan.

Babak-babak yang lebih hebat digambarkan selepas beliau terlepas dari penjara apabila berlaku satu insiden sewaktu memindahkan para banduan ke penjara di Alaska. Di situlah pengembaraan yang lebih hebat bermula dan kali ini bersama ilmu yang telah dibekalkan di dalam penjara. Bermula dengan pelarian berhari-hari di dalam salji, mengharungi sejuk, kelaparan dan serangan serigala, diikuti dengan episod bergelut dengan samseng di British Columbia. Kemudian destinasi beralih pula ke Hong Kong dan China kerana menunaikan wasiat Ah Long dan kemudiannya beralih ke Malaysia bagi melunaskan segala dendam.

Kesemua kisah ini sebenarnya memakan masa selama beberapa tahun. Namun ia disampaikan dengan baik oleh penulis. Kita akan dapat membaca dengan baik dan tenang dan penulis pula tidak kelihatan tergesa-gesa untuk menamatkan cerita. Kadang-kadang penulis membuatkan pembaca tidak terjangka apa yang akan berlaku seterusnya.

Anda belum membacanya lagi? Hamba rasa anda harus mendapatkannya segera!!



PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...