Isnin, 8 Ogos 2022

BLUES UNTUK AKU - Aie


 

Blues Untuk Aku, sebuah kisah yang penamatnya menjadi misteri buat pembacanya. Hanya penulis dan pelukisnya sahaja yang tahu akan kesudahannya. Dan kesudahan cerita ini beliau bawa bersamanya ke alam yang abadi. Bahkan sebuah lagi karya Aie, Aku Dan Sesuatu juga tiada penamatnya. Kedua-dua kisah ini tergantung begitu sahaja. Dan andaikata ada pelukis yang menyambung ceritanya, belum tentu sama seperti yang berada di minda almarhum Aie apatah lagi gaya persembahan lukisannya.

Blues Untuk Aku (BUA) muncul ketika zaman grunge, dan ia mempengaruhi gaya penampilan watak utamanya Ishak/Sahak. Keistimewaan Blues Untuk Aku bukan sahaja pada jalan ceritanya tetapi juga pada lukisannya. Gaya lukisan Aie dalam BUA seringkali menjadi rujukan penggemar lukisan termasuk hamba sendiri dan pernah hamba cuba lukis semula beberapa lukisan yang tersiar di dalam buku ini. Pada peringkat awal cerita, lukisan watak Sahak lebih nampak kartun. Namun sedikit demi sedikit gaya lukisan watak berkenaan berubah menjadi lebih realistik. Gaya watak Sahak juga mirip dengan ilustrasi watak Sham dalam Aku Hidup Dalam Blues.

Sahak adalah seorang pelukis bebas. Kita akan banyak membaca monolog Sahak, segala bentuk falsafah hidup terutama yang diperolehi daripada almarhum ayahnya, konflik jiwa, persahabatan, kekeluargaan, kasih sayang dan macam-macam. Mempunyai teman serumah bernama Ariyon (semua kita tahu karakter ini dinspirasikan daripada kartunis Tembakau), mereka kelihatan serasi dan saling memahami. Mendapat peluang bekerja dengan seorang gadis bernama Jessica, perhubungan yang pada awalnya lebih kepada pekerja dan majikan secara beransur-ansur menjadi rapat sebagai sahabat. Ariyon sering mengusik Sahak dalam hal perhubungan mereka ini.

Jessica mempunyai masalahnya yang tersendiri. Aie bertindak bijak kerana menjadikan watak Jessica agak misteri di awal penceritaan dan sedikit demi sedikit dihuraikan lewat penceritaan. Jessica, seorang muallaf, pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Bekas suaminya masih mengganggu dengan meminta wang. Sekiranya itu diingkari, maka tubuh Jessica boleh menjadi punching bag.

Kisah ini 'tamat' apabila penceritaan berada di kemuncaknya sewaktu bekas suami Jessica kembali menyerang, watak Khadijah - pekerja Jessica - mungkin  menjadi gunting dalam lipatan dan Sahak yang dalam perjalanan untuk mendapatkan Jessica. Bayangkanlah di saat getir ini ceritanya berakhir begitu sahaja, tanpa sebarang hint akan apa yang akan berlaku seterusnya. Teka teki yang bermula semenjak bulan Ogos 2000 ini tidak akan berjawab buat selamanya, dibawa bersama pengkaryanya yang telah meninggalkan kita pada 28 Jun 2021.

Hidup ini memang penuh dengan misteri dan persoalan yang tidak terjawab!


Sokonglah saya sebagai penulis dengan membeli buku ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...