Sabtu, 27 November 2021

UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA SANTET


 

Fuhhh lain macam edisi kali ini, macam kitab khas sihir pula. Ujang & Apo? bumper new-stalgia kali ini hadir dengan kulit depan yang lain daripada yang lain. Kulit depan mereka adalah sekeping kad lenticular yang memaparkan imej 3D Dukun Petai yang dikelilingi oleh pelbagai jembalang. Watak Dukun Petai berkenaan juga adalah satu tribute buat kartunis Petai yang telah meninggalkan kita semua beberapa bulan yang lalu.

Bila membicarakan jenaka tentang hantu, ilmu hitam dan sebagainya yang bersesuaian dengan tema, pada awalnya hamba menjangkakan persembahan para kartunis, daripada segi ideanya, lebih kurang sama sahaja dengan karya-karya hantu yang pernah hamba baca sebelum ini. Namun agak memeranjatkan apabila idea mereka untuk edisi ini nampak segar dan mantap. Boleh rujuk karya seperti Aliow dengan Food Trail, Rambai dengan Malam Itu....Malam Puaka!!, Lambok dengan Pasar Setan dan lain-lain. Karya Aliow yang paling best bagi hamba daripada segi idea dan jalan ceritanya, sama seperti siri Twilight Zone.

Seperti terbitan yang lalu, karya-karya baharu masih dipersembahkan dengan beberapa karya lama yang dipetik daripada Ujang isu 50 dan 51 serta Apo? isu 50 dan 51. Hamba rasa edisi bumper ini sudah boleh berdiri dengan sendiri tanpa perlukan pengisian karya-karya lama. Tapi mungkin juga penerbit masih mahu pembaca mengingati karya-karya lama ini atau juga sekiranya ia dipenuhi dengan kartun-kartun baharu maka penerbit akan terbeban untuk membayar honorarium kartunis.

Hamba mengharapkan majalah ini dapat muncul setiap bulan secara berkala seperti dahulu dan tidak lagi muncul sekali sekala.

Legasi kartun tanah air harus terus hidup!


Selasa, 9 November 2021

HAIWAN AJAIB DAN TEMPAT DITEMUI - J.K. Rowling


Buku ini merupakan terjemahan bahasa Melayu kepada Fantastic Beasts And Where To Find Them. Ia adalah merupakan skrip asal kepada sebuah filem yang menggunakan tajuk yang sama. Ketika membaca buku ini hamba belum lagi menonton filem berkenaan walaupun ia telah begitu lama diterbitkan.

Penceritaan buku ini berlatar masa 50 tahun sebelum Harry Potter dan berlatar tempat di bandaraya New York. Seorang lelaki bernama Newt yang ingin memulangkan seekor haiwan bernama Frank, seekor burung Thunderbird di hutan Arizona telah menghadapi masalah apabila beberapa haiwan ajaib beliau yang disimpan di dalam sebuah beg telah terlepas sehingga menimbulkan keributan di New York. Beg berkenaan adalah sebuah beg ajaib yang boleh dimasuki manusia. Walaupun ia kelihatan kecil seperti saiz beg biasa tetapi di dalamnya mempunyai keluasan yang tidak terjangkau oleh pandangan.

Akibatnya Newt terpaksa berhadapan dengan MACUSA - Kongres Kuasa Ajaib Amerika Sharikat. Petualang selanjutnya akan menyaksikan Newt bersama-sama watak Tina, Jacob dan Queenie menghadapi pelbagai cabaran. Dalam naskhah ini watak crooknya adalah Graves aka Grindelwald.

Membaca naskhah berbentuk skrip tidaklah terlalu menarik berbanding membaca kisah dalam sebuah novel. Membaca skrip memerlukan daya imaginasi yang tinggi bagi membayangkan apa yang berlaku. Hanya setelah menonton filemnya barulah hamba dapat memahami dengan baik apa yang disampaikan oleh Rowling lewat skrip ini.

Sama ada naskhah ini ataupun siri Harry Potter yang lain, JK Rowling telah berjaya mengelirukan kita dengan memberikan imej putih atau bersih buat pengamal sihir. Sedangkan pada zaman dahulu para ahli sihir akan dihukum bunuh oleh gereja. Dalam naskhah-naskhah beliau ahli sihir digambarkan sebagai banyak yang baik dan mereka menentang kejahatan juga. Tidak salah untuk membaca kisah sebegini, tetapi perlu diingat apa yang terlarang itu tetap terlarang dan pelakunya sama sekali bukanlah orang yang baik!


MISTERI TAMING SARI - Ibnu Ibrahim at-Tawari


Hamba capai buku ini di rak kedai dan membelinya. Hajatnya ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang keris ini. Hamba tidak peduli dengan apa misteri yang ada pada keris ini. Hamba cuma ingin tahu sejarahnya dengan lebih lanjut. Pada sinopsis di bahagaian belakang buku ini terpapar tulisan penulis - 'Setelah banyak jejak sejarah yang tentunya bersimpang siur yang ku telusuri, akhirnya aku telah berjaya juga merungkai Misteri Keris Taming Sari ini....' Kata-kata ini membayangkan penulis akan memaparkan kepada pembaca segala-galanya tentang keris ini. Melihatkan saiznya yang tebal, tentunya ada banyak maklumat yang ingin penulis kongsikan.

70 mukasurat yang pertama, belum ada lagi pengkisahan tentang keris ini. Ia lebih kepada celoteh penulis tentang kepentingan mempelajari sejarah serta rasa kesal dengan sesetengah individu hari ini yang tidak mengambil berat atau mengambil kisah tentang sejarah. 70 mukasurat bukanlah helaian yang sedikit.....

Selepas itu baharulah penulis berkisah tentang keris ini. Tetapi secara peribadi, apa yang penulis paparkan tentang cerita keris ini telah hamba ketahui melalui beberapa sumber yang lain. Sumber utamanya sudah tentulah Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.Penulis juga cenderung mengulang-ulang semula kisah yang sama iaitu seperti dari mana asal keris ini, kepunyaan pahlawan Majapahit bernama Taming Sari, bagaimana Hang Tuah mendapatkannya, kisah keris berpindah milik kepada Hang Jebat sewaktu Tuah dihukum bunuh, kisah keris ini yang pernah dicuri Sang Kertaksa, pertarungan Tuah Jebat, kisah Hang Tuah memulangkan keris ini kepada Sultan/mencampakkannya ke dalam Sungai Duyong kerana gagal meminang Puteri Gunung Ledang, bagaimana Taming Sari menjadi alat kebesaran diraja Perak dan lain-lain. Ia diulang berkali-kali. Misteri tentang keris berkenaan boleh terbang misalnya tidak dihuraikan secara saintifik sama ada benar ataupun tidak. Begitu juga pemakai keris ini dikatakan kebal tidak juga dibuktikan. Ini menjadikan ia terus kekal misteri sekaligus menafikan kata-kata penulis bahawa misterinya telah terungkai.

Selepas itu tiada lagi kisah keris ini. Ia hanya dilanjutkan dengan bab yang dikatakan 'ada kaitan dengan keris ini' seperti pertikaian sama ada Hang Tuah itu benar-benar wujud, pertikaian namanya Hang Tuah atau Hang Tuha dan lain-lain. Kisah ini juga diulang-ulang oleh penulis beberapa kali.

Kemudian diceritakan secara ringkas tentang negeri Melaka dan juga Majapahit 'memandangkan ia ada kaitan dengan keris ini'!. Dari segi persembahannya sebagai sebuah buku sejarah, buku ini memang bermanfaat. Tetapi menamakannya dengan tajuk ini ternyata agak menyeleweng kerana penceritaan tentang Taming Sari tidaklah terlalu banyak. Naskhah ini lebih sesuai diberikan nama sejarah ringkas Melaka dan Majapahit. Tapi ya lah, jikalau tajuk yang demikian diletakkan tiada pula yang akan membelinya. Maka apabila diletakkan perkataan misteri baharulah nampak tarikannya buat pembeli kan!


UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA SANTET

  Fuhhh lain macam edisi kali ini, macam kitab khas sihir pula. Ujang & Apo? bumper new-stalgia kali ini hadir dengan kulit depan yang l...