Isnin, 25 Julai 2022

THE INSECT - Min Hye Zang


 

Ini adalah kisah perjuangan seorang ibu bernama hyun Ji untuk mencari pembunuh sebenar anaknya, Yerin. Sejak anak beliau hilang tiga tahun yang lalu, ibu ini tidak berputus asa untuk mencari anaknya. Beliau mencari di sana sini dengan membawa bersama poster anaknya.

Yerin akhirnya ditemui dalam keadaan telahpun meninggal dunia. Mayatnya kering dan terdapat kumbang berwarna hijau padanya. Pihak polis mendapat tekanan bagi menyelesaikan kes ini. Polis akhirnya menangkap seorang remaja yang dikaitkan dengan pembunuhan Yerin. Secara kebetulan beliau pernah mempunyai rekod jenayah, pernah ditemui bersama mayat adik dan ibu beliau yang sudah mereput dan seorang peminat serangga sehingga sanggup membela pelbagai jenis serangga di dalam rumah.

Tetapi apabila berlakunya kejadian pembunuhan yang hampir menyerupai kematian Yerin membuatkan Hyun Ji berasa ragu dengan kerja pihak polis dan berusaha untuk mencari sendiri pembunuh berkenaan.

Serangga yang digunakan sebagai tajuk serta keberadaannya di dalam cerita ini bukanlah menjadi penyebab kematian watak-watak di novel ini. Ia hanyalah penyendal, penyedap cerita serta asbab dan clue yang boleh membawa kepada penyelesaian kes pembunuhan ini. Begitupun, pembunuh sebenarnya bukanlah kaki serangga pun. Secara kebetulan serangga atau dalam konteks ini sejenis kumbang hijau boleh terkait dalam penemuan mayat.

Apa yang lebih penting, novel ini membawakan isu mengenai kehilangan kanak-kanak dari rumah, sama ada kerana memang sengaja melarikan diri dari rumah ataupun kerana diculik. Dalam novel ini kanak-kanak yang hilang adalah lebih kepada mereka yang keluar dari rumah atas sebab-sebab tertentu. Mereka yang mahu mencari perlindungan baharu akhirnya terperangkap denagn seseorang yang mereka boleh percayai tetapi kemudiannya menggunakan mereka untuk kepentingan sendiri.

Novel ini juga mengandungi beberapa adegan yang bersifat 18SX yang nyata tidak sesuai lansung untuk dibaca oleh anak remaja saya. saya rasa seperti mahu sahaja membakar buku ini lantaran adanya adegan sebegitu. usahkan orang yang berperwatakan seperti pervert, tetapi yang nampak baik macam Seo Jun, seorang pegawai polis juga tidur dan berkesedudukan dengan seorang wanita. ya, ini mungkin budaya mereka tetapi ia tetap menjijikan dan tidak perlu ada dalam penceritaan pun memandangkan tanpa penceritaan seperti ini pun cerita masih dapat berjalan dengan baik. 

Memandangkan hamba tidak biasa dengan nama perewatakan Korea dan sukar mengingatinya, kadangkala lost juga dalam pembacaan. Ada ketikanya tertanya-tanya juga tentang nama-nama watak yang muncul sedangkan nama itu sudah muncul sebelumnya dalam pembacaan. Jadi jikalau anda seperti hamba yang sukar mengingati nama asing, mahu tidak mahu, penumpuan yang lebih perlu diberikan agar anda tidak keliru dalam menghayati perjalanan novel ini.




DI SEBALIK NAMA - Nazir Razak


Buku ini merupakan terjemahan daripada buku What's In a Name. Hamba percaya kebanyakan pembaca lebih terdorong untuk mengetahui tentang kisah 1MDB memandangkan penulis mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas perdana menteri berkenaan.

Tetapi buku ini sebenarnya lebih daripada itu dan kisah 1MDB hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan hidup penulis yang secara tiba-tiba terheret sama dalam hal berkenaan. Tan Sri Nazir Razak adalah bekas CEO dan pengerusi kepada salah sebuah institusi kewangan yang terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara iaitu CIMB. Kita barangkali menyangka bahawa kedudukan tinggi yang beliau perolehi adalah kerana kedudukan beliau sebagai anak kepada Tun Razak, bekas perdana menteri Malaysia yang kedua atau juga adik kepada seorang bekas perdana menteri.

Walaupun dilahirkan di atas dulang emas, perjalanan karier beliau tidaklah seindah yang kita bayangkan. Beliau barangkali boleh mendapat keistiewaan sekiranya berkhidmat di sektor kerajaan, tetapi berkhidmat di sektor swasta tidak memungkinkan beliau mendapat sebarang keistimewaan berdasarkan kedudukan beliau. 

Buku ini adalah lebih kepada kisah beliau membina CIMB daripada sebuah bank yang kecil sehingga menjadi seperti sekarang. Sejak daripada mula bertugas, beliau bekerja keras bersama-sama rakan sepasukan untuk memajukan bank berkenaan. Bekerja melebihi masa, terpaksa bertugas pada hari cuti umum mahupun terpaksa mengorbankan percutian yang telah dirancangkan, beliau adalah sama seperti kakitangan yang lain.

Namun sedikit demi sedikit beliau membina karier beliau sehingga berjaya sampai ke puncak. Dalam penceritaan kisah beliau bersama CIMB kita bukan hanya dihidangkan dengan kisah usaha keras, cabaran, rintangan dan pahit maung membina jenama bank berkenaan tetapi juga turut merangkumi kepada pemikiran dan idea beliau dalam memajukan institusi perbankan serta Malaysia itu sendiri.

Beliau sentiasa berfikir tentang nilai-nilai yang telah ditanamkan oleh Tun Razak dan berusaha untuk mengekalkan nilai berkenaan. Kerana itu apabila beliau menyedari ada yang tidak kena dengan 1MDB, beliau mula membuka langkah. Mungkin kita akan terperanjat apabila melihat beliau antara individu yang membongkar penyelewengan dalam skandal terbesar negara di alaf ini. Beliau melakukannya bukannya kerana mahu menjatuhkan atau memalukan abangnya tetapi kerana mahu menjaga nama baik keluarga serta nilai-nilai yang telah ditanamkan ayahandanya. Cuma apa yang dikesalkan ialah beliau yang ketika itu menjawat jawatan Pengerusi CIMB, seolah dipaksa meninggalkan institusi yang beliau sendiri bina kerana terpalit sama dengan isu berkenaan. 

Buku ini agak tebal namun memberikan manfaat bagi mereka yang suka mengkaji akan gaya pemikiran orang-orang yang berjaya khususnya strategi dalam membina empayar perniagaan, perbankan dan pelaburan. Kisah bagaimana CIMB bekerja keras untuk muncul di antara bank terbesar negara amatlah mengujakan. 


Sokong saya sebagai penulis dengan membeli buku ini!



Khamis, 21 Julai 2022

AIE & BLUES


 

Kartunis Aie telah pergi meninggalkan kita pada tanggal 28 Jun 2021 akibat komplikasi buah pinggang. Pemergian beliau pastinya meninggalkan kesan yang amat mendalam, bukan sahaja di kalangan ahli keluarga dan sahabat beliau tetapi juga ribuan peminatnya. Peminat pastinya berduka kerana mereka tidak akan sama sekali dapat menikmati penamat kisah Blues Untuk Aku juga Aku Dan Sesuatu.

Koleksi Aie & Blues adalah himpunan koleksi kartun satu mukasurat beliau yang pernah termuat di dalam majalah Ujang. Hamba agak hampa kerana naskhah yang dihidangkan begitu nipis sekali. Sewajarnya ia dibuat lebih tebal melebihi 100 mukasurat.

Tiga buah judul kartun satu mukasurat beliau iaitu Dr. Samy M.D., Din Blues dan Toyon telah dipilih untuk koleksi ini. Setiap satu kartun memfokus kepada watak yang berbeza namun penuh kelucuan. Semua karya-karya ini adalah merupakan karya yang bersifat humor. Tiada kartun yang bersifat serius sepertimana Blues Untuk Aku (yang mempunyai koleksinya yang berasingan).

Turut dimuatkan juga adalah kartun-kartun daripada sahabat yang mengenali dan pernah rapat dengan beliau seperti Sireh, Bawang, Ubi dan lain-lain lagi.




Ahad, 17 Julai 2022

AYAH - Andrea Hirata


 

Pada peringkat awal pembacaan novel ini, saya tertanya-tanya kenapa tajuk ayah yang digunakan. Tidak kelihatan watak kukuh seorang ayah yang boleh digunakan dengan tajuk novel. Kecuali watak Amirza, ayah kepada Amiru yang amat suka mendengar radio. Tetapi hamba masih tidak merasakan bahawa watak Amirza merupakan ayah yang dimaksudkan oleh tajuk novel. Kisah yang dipersembahkan hanya berlegar kepada persekitaran kehidupan beberapa orang kanak-kanak di Pulau Belitung. (Satu perkara yang hamba gemari ialah Andrea Hirata dalam novel-novel beliau yang hamba baca setakat ini memfokuskan sekitar Pulau Bangka dan Pulau Belitung sebagai latar tempat yang utama penulisan beliau.)

Tetapi kisah ini sebenarnya mengambil masa yang amat panjang. Dari zaman kanak-kanak yang berada di sekolah rendah (sekolah dasar), memasuki sekolah menengah, remaja hinggalah ke masa dewasa. Akhirnya dapat dilihat bahawa fokus utamanya adalah kepada watak Sabari, seorang anak yang begitu cemerlang dalam pelajaran Bahasa Indonesia. Sabari juga gemar berpuisi sama seperti bapanya yang juga seorang guru Bahasa Indonesia.

Sabari jatuh hati kepada Marlena, gadis yang pada mulanya dikenali sewaktu beliau merampas kertas jawapan Sabari untuk meniru jawapannya. Pembaca akan dihidangkan dengan pelbagai usaha Sabari untuk menarik hati Marlena dari zaman sekolah menengah sehinggalah tamat dan Sabari sanggup bekerja di kilang milik bapa Marlena. Di samping itu kita akan rasa terhibur dengan keletah dua rakan rapat Sabari yang lucu tetapi amat setia dalam persahabatan. Sekali sekala ada bab yang menceritakan tentang watak Amiru yang pada mulanya menimbulkan rasa keliru kepada hamba kerana tidak dapat melihat kaitannya dengan Sabari. Ia hanya terjawab di akhir cerita nanti yang mungkin memeranjatkan pembaca.

Marlena yang cuba dipikat oleh Sabari sebenarnya lansung tidak meminati lelaki tersebut. Marlena seorang gadis yang bebas kehidupan dan gaya pergaulannya. Tetapi apapun yang Marlena lakukan sekali kali tidak mengubah cinta Sabari kepadanya. Sabari akhirnya berjaya menikahi Marlena. Namun sepanjang pernikahan itu cuma empat kali sahaja Marlena tinggal bersamanya. Walau bagaimanapun Allah telah mengurniakan seorang anak lelaki kepada mereka yang mereka gelar Zorro.

Marlena akhirnya meninggalkan Sabari dan memohon untuk berpisah melalui penguasa agama. Zorro dipelihara sendiri oleh Sabari. Episod Sabari memelihara Zorro dengan penuh kasih sayang inilah yang menjawab tentang siapa Ayah yang dimaksudkan oleh tajuk novel ini. Kasih sayang Sabari terhadap Zorro amat agung. Walaupun hidup susah, Sabari menjaga Zorro dengan nyawanya. Hinggalah satu hari Zorro telah dilarikan oleh Marlena. Hidup Sabari mula berubah.

Sabari nyata amat sukar untuk menerima hakikat bahawa Zorro kini tidak lagi bersamanya. Sabari menderita sehingga hidup tidak terurus sebagai gelandangan dan hampir menjadi gila. Tidak mahu membiarkan Sabari menjadi gila, dua sahabat karibnya Ukun dan Tamat berusaha mencari Marlena dan Zorro di serata pelosok Sumatera. Mereka bertekad mahu membawa Zorro pulang demi memastikan Sabari tidak menjadi gila.

Hamba tidak mahu menulis kesudahannya. Anda perlu membaca kisah ini. Andrea Hirata memang pakar membelai dan merusuhkan jiwa pembaca!





PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...