Rabu, 28 Januari 2015

BUTTERFINGER



Kadang-kadang jadi makanan, kadang-kadang jadi band muzik, kadang-kadang jadi kereta.....

PANGKOR KE PANGKOQ



Satu perkara yang hamba amat bersyukur dengan pekerjaan hamba adalah kadang-kadang hamba berpeluang melawat sesuatu tempat apabila melakukan tugasan luar. Bertugas memberikan ceramah yang biasanya diadakan di luar negeri hamba bertugas (Selangor) membolehkan hamba melihat-lihat tempat orang. Hamba tidak suka stress ketika bertugas, justeru hamba tukar mindset hamba kepada mode bercuti. Bercuti sambil bertugas bukan bertugas sambil bercuti. 


Tidak lama dulu hamba dijemput berceramah di sebuah hotel yang terletak di Marina Island, Teluk Muroh, Lumut. Hamba pun tak pernah tahu tentang hotel ini, lagipun dah lama tak menjejakkan kaki di Lumut ini. Kawasan pulau ini merupakan tambakan tanah yang menjadi pulau buatan manusia. Di sini juga terletaknya sebuah jeti baru untuk ke Pulau Pangkor. Menariknya perjalanan ke Pulau Pangkor melalui jeti ini adalah lebih dekat dan mengambil masa hanya 10 minit sahaja berbanding setengah jam jika menggunakan jeti lama. Semasa hendak membeli tiket feri hamba ditanya sekiranya ada mempunyai kad keahlian. Rupanya untuk menaiki feri di situ kita perlu mempunyai kad keahlian memandangkan jeti berkenaan dianggap sebagai hak milik persendirian. Jadi terpaksalah menambah lagi RM10 di samping harga tiket perjalanan.


Memang benarlah kata sahabat, perjalanannya cukup singkat justeru menjimatkan masa. Di kawasan jeti macam biasalah, penuh dengan manusia yang menawarkan perkhidmatan penginapan ataupun penyewan kereta. Hamba cuma bercadang nak pusing satu pulau dalam masa dua jam sahaja memandangkan di samping memberikan ceramah, hamba juga terpaksa mewakili boss hamba untuk merasmikan penutup kursus, jadi hamba perlu pulang awal untuk membuat sedikit persediaan.





Hamba dapat menyewa sebuah kereta daripada seorang pemuda India. Saja hamba ambil gambar beliau, manalah tahu kalau ada sebarang masalah selepas itu. Kereta Wira yang hamba sewa dari zahir luarannya nampak elok sahaja, tetapi enjinnya semput, pendingin udaranya hanya mengeluarkan angin tanpa sebarang rasa sejuk, pintunya juga bermasalah. Rasa tersiksa juga membawanya terutamanya apabila kereta ini mendaki beberapa kawasan yang berbukit.

Kalau brader ni offer kereta dia kepada anda, maklumkan anda tak mau kereta semput
Wira dia tu...


Pulau ini bukanlah besar sangat dan boleh dikelilingi dalam tempoh yang singkat sahaja. Bagi hamba Pangkor lebih sesuai untuk mereka yang betul-betul ingin bercuti, jauh dari kesibukan kota sambil menikmati pemandangan serta keindahan pantai. Kalau rasa nak membeli belah tu, bagi hamba tiada apa yang istimewanya. Cenderamatanya juga biasa-biasa sahaja dan harganya tidaklah murah benar.





Hamba sempat singgah di satu perkampungan nelayan yang terletak di sebarang jalan berhampiran Kota Belanda. Lautnya nampak indah, tapi kawasan perkampungan nelayan itu nampak kotor, dengan sampah sarap seperti botol-botol plastik di kawasan pantainya. walaupun sekadar satu kawasan kampung, hamba rasa tempat ini ada tarikannya tersendiri terutama kepada orang luar negara yang kawasan nelayannya tentu berbeza dengan negara kita. Agaknya penghuni di sini mata mereka tak berserabut melihat segala kekotoran yang ada. Jadi untuk mengambil gambar di kawasan ini hamba terpaksa tumpukan betul-betul agar perkara yang menyemakkan mata itu seboleh-bolehnya tidak masuk dalam takupan lensa kamera.


Siapa yang biasa berkunjung ke sini tentu pernah melalui satu kawasan tempat pelupusan sampah yang betul-betul terletak di tepi jalan. Hamba rasa inilah satu-satunya kawasan yang kedudukannya tidak berapa kena di sini. Kedudukannya ditepi jalan amat mencacatkan pemandangan ditambah dengan bau sampah yang menusuk hidung. Ya, mungkin  pulau ini tidak ada lagi kawasan yang bersesuaian, tetapi maaflah ia b enar-benar mencacatkan pemandangan. Apa pula tanggapan pelancong luar, setelah seronok menikmati keindahan di tempat lain, terjumpa pula satu kawasan yang kurang menyenangkan. Bukan maksud hamba agar tempat ini tiada kawasan pelupusan sampah. Tetapi cara pelupusannya mungkin boleh ditukar sekiranya ingin mengekalkan tempat yang sama. Satu sahaja yang hamba nampak, Pangkor perlukan incinerator!!



Isnin, 26 Januari 2015

ATLAS RASULULLAH S.A.W. - Sami bin Abdullah Al-Maghluts



Apabila membaca sirah Rasulullah s.a.w., kita biasa bertemu dengan pelbagai nama tempat dan kawasan. Sama ada tempat tersebut pernah di lawati Baginda, peperangan ataupun ekspedisi ketenteraan dengan atau tanpa Baginda ataupun tempat-tempat bersejarah yang ada kaitan dengan baginda seperti tempat wafatnya ayahanda dan bonda Baginda. Bagi kita yang bukannya penghuni tanah Arab, membaca nama-nama tempat berkenaan ia hanya tinggal bacaan, kita tidak dapat membayangkan di manakah lokasi kawasan berkenaan, juga adakah nama yang ada pada zaman Rasulullah s.a.w. itu masih lagi digunakan sehingga ke hari ini.

Hamba merasakan buku ini amat istimewa sekali. Ia membawakan secara ringkas tentang diri Rasulullah s.a.w. bermula tentang keadaan semenanjung Tanah Arab itu sendiri sehinggalah kewafatan baginda. Sambil penceritaan itu berlaku ia diselang selikan dengan peta yang menunjukkan berlakunya peristiwa itu serta pelbagai gambar menarik dan jarang dilihat yang kebanyakannya diambil oleh penulis buku ini sendiri. Melalui peta-peta yang disediakan maka dapatlah hamba gambaran dengan jelas akan kedudukan sesuatu tempat itu serta laluan-laluan yang diambil dalam sesuatu peristiwa.

Kita biasa mendengar tentang kisah peperangan Badar misalnya. Setakat pengetahuan kita peperangan itu berlaku di luar kawasan kota Madinah. Hamba dulu merasakan kawasan badar itu tidaklah jauh mana dengan Madinah. Namun melalui peta yang ditampilkan hamba agak terkejut apabila mendapati bahawa jarak antara Badar dan Madinah adalah lebih kurang 155km!! Ia adalah satu jarak yang jauh. Alangkan menaiki kenderaan atau berkereta pada hari ini sudah terasa jauhnya inikan pula pada zaman Baginda yang tenteranya banyak yang berjalan kaki dengan sedikit yang menunggang haiwan. Begitu juga apabila menceritakan tentang peperangan ataupun ekspedisi ketenteraan, penulis sedaya upaya cuba melukiskan tentang laluan yang diambil sama ada oleh pihak Islam ataupun musuhnya. Antaranya adalah peristiwa Perang Uhud yang memperlihatkan kedudukan bukit yang menjadi benteng bagi pasukan pemanah serta laluan yang diambil kemudiannya oleh musyrikin setelah melihat para pemanah turun dari bukit bagi merebut harta rampasan yang mengakibatkan kucar kacir pada pertahana Islam sehingga Rasulullah s.a.w. sendiri cedera dalam peperangan tersebut.

Apa yang menarik pada hamba juga adalah koleksi gambar-gambar yang dipaparkan. Rupanya negara Arab Saudi mempunyai banyak tinggalan sejarah seperti Madain Saleh, kota sebuah kaum yang telah dimusnahkan Allah iaitu kaum Tsamud, Benteng Khaibar serta beberapa lagi benteng Yahudi yang diperangi pada zaman Rasulullah. Berdasarkan gambar ternyata begitu banyak tempat bersejarah di Saudi yang masih lagi berada dalam keadaan baik. Cuma ia tidak diselenggara sebagaimana tempat bersejarah lain di dunia. Seolah-olah tempat tersebut tidak perlu lansung untuk dilawati.

Buku ini adalah wajar dijadikan satu koleksi di rumah. Membacanya membuatkan hamba berasa banyak lagi sejarah hidup Baginda s.a.w. yang tidak hamba ketahui. Hamba berazam untuk membaca Raheeq al-Makhtum oleh Mubarakfuri ataupun Sirah Ibnu Ishaq sendiri bagi pemahaman yang lebih mendalam selepas ini.


Sabtu, 17 Januari 2015

RAJA RIMBA - Adi Alhadi



Sekilas melihat tajuknya boleh hamba bayangkan bahawa novel ini ada unsur-unsur Tarzan, lebih-lebih lagi gambarnya sendiri memaparkan seorang lelaki bersama beberapa ekor haiwan liar. Namun hamba percaya sewaktu Adi Alhadi mengarang novel ini, tidak dapat tidak watak Tarzan karya Edgar Rice Burroughs yang telahpun muncul semenjak tahun 1912 lagi pasti berlegar di ruang mindanya. Bukan Adi sahaja bahkan beberapa tulisan/kartun/filem orang putih sendiri yang bercerita tentang lelaki rimba, walaupun menggunakan nama yang lain tetap hampir serupa dengan watak Tarzan. Ini dapat dilihat pada watak Mowgli dan George Of The Jungle. Selain itu tajuk Raja Rimba juga turut digunakan dalam komik aksi kung fu karya Ma Wing Shing.

Watak Senawi yang menjadi Tarzan Bukit Maulut ini sesungguhnya tidaklah seperti Tarzan a.k.a. Earl of Greystoke/John Clayton yang dibesarkan oleh beruk semenjak kecil. Beliau cuma seorang anak lelaki 10 tahun yang lari ke hutan dan terus tinggal di sana sehingga dewasa. Tarzan Adi Alhadi sempat memasuki alam persekolahan dan kenal dengan kehidupan bertamadun sebelum lari ke hutan disebabkan tidak senang dengan kelakuan ibu tirinya.

Buku ini walaupun memfokuskan tentang Senawi, tetapi dalam kebanyakan bab penceritaannya tentang beliau adalah secara tidak lansung. Penceritaan Senawi lebih banyak berlegar pada perbicaraan watak kanak-kanak dalam novel ini yang seumpama penyiasat kecil. (Watak utama kanak-kanak tersebut adalah sama dengan watak dalam novel Skuad 707 daripada penulis yang sama yang pernah hamba ulas sebelum ini.) Ini secara tidak lansung menyebabkan hamba rasa 'terpedaya' dengan tajuk dan grafik kulit novel ini. Hamba sangkakan novel ini asalnya satu kisah tersendiri tentang lelaki rimba ini.

Berita mengenai pembangunan yang akan dijalankan di Bukit Maulut menggusarkan kanak-kanak ini apabila memikirkan akan kehidupan Senawi yang mungkin akan terjejas. Beberapa kejadian sabotaj ke atas kontraktor yang akan melaksanakan projek berkenaan menyebabkan ramai yang menyangka bahawa ia perbuatan Senawi. Ini menyebabkan kuimpulan kanak-kanak ini bertekad mahu menemui Senawi bagi melihat keadaannya. Pada peringkat ini barulah terasa sedikit akan kehangatan novel ini apabila dalam pencarian mereka itu mereka bertemu pula dengan sekumpulan penjahat yang turut mahu mencari Senawi bagi membunuhnya.

Hamba rasakan Adi Alhadi bukanlah seorang yang pakar tentang hutan sepertimana Baharuddin Kahar dalam novel senjakala. Walaupun penceritaan banyak berlaku di dalam hutan tetapi tidak banyak penerangan tentang jenis-jenis kayu, pokok, unggas, akar atau ringkasnya flora dan fauna di dalam hutan. Unsur inilah yang sewajarnya diperbanyakkan. Selain daripada menjadi pengetahuan kepada pembaca ia akan menjadikan watak Senawi yang dikatakan telah berbelas tahun tinggal di hutan menjadi lebih mantap lagi.

  

Isnin, 12 Januari 2015

JEJAK-JEJAK KEJAYAAN ASNAF - Hamizul Abdul Hamid



Maaf. buku ini tidak ada dijual di pasaran. Ia hanya diberikan secara percuma buat mereka yang menunaikan zakat di kaunter Lembaga Zakat Selangor. Hamba tidak pasti sama ada mereka yang membayar secara potongan gaji atau di atas talian turut diberikan buku ini memandangkan untuk kaedah sedemikian hamba membayar di Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan juga seandainya membayar di kaunter ada hadiah yang diberikan kepada pembayar dan hamba pernah menerima sebuah buku agama. Namun hamba lihat kadang-kadang ia semacam tidak adil kepada yang membayar secara potongan gaji ataupun atas talian kerana mereka tidak menerima cenderamata yang sama. Kalau adapun hanyalah kalendar meja pada setiap awal tahun. Bukanlah tulisan hamba ini bermakna kita sebagai pembayar zakat mengharapkan hadiah, tetapi sekurang-kurangnya mereka yang membuat pemotongan gaji serta membayar di atas talian akan turut merasa dihargai. Tambahan pula mereka yang membayar secara potongan gaji sudah tentu akan membayar secara berterusan berbanding dengan yang membayar di kaunter.

Buku ini mengandungi kisah-kisah kejayaan para asnaf yang pernah menikmati berkatnya zakat di negeri Selangor di mana mereka ini hasil daripada pemberian zakat berusaha pula untuk memajukan diri mereka dalam lapangan yang mereka pilih dan seterusnya bertekad untuk keluar daripada kelompok penerima zakat kepada kelompok pembayar zakat. Terdapat banyak kisah yang boleh diteladani. Ada mereka yang pernah hidup mewah namun Allah takdirkan kesusahan menimpa mereka sehingga menjadi penerima zakat pula. Ada yang sewaktu miskin dihina sedemikian rupa, lari ditinggalkan kawan-kawan serta merempat merata-rata. Namun yang pasti, mereka yang dipilih untuk dimuatkan kisahnya di dalam buku ini amatlah cekal dan kuat sekali keazaman mereka. Ada yang telah berjaya dan keluar daripada kelompok penerima zakat, bahkan kejayaan mereka itu begitu besar sekali dan hebat pencapaiannya.

Inilah yang ingin dilihat oleh masyarakat terutamanya para pembayar zakat. Mereka tidak mahu tahu berapa kutipan yang dapat dikumpul dalam setahun. Masyarakat lebih eager untuk mengetahui ke mana ia disalurkan serta apakah pencapaian yang dapai dihasilkan melalui dana zakat itu.

Lembaga Zakat Selangor cukup dikenali sebagai agensi yang cukup berjaya dari segi kutipan dan agihannya. Ia juga sama dengan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan dianggap dua buah negeri 'paling kaya' dari segi pungutan. Masalah yang masyarakat lihat adalah dana zakat biasanya dibelanjakan hanya dalam lingkungan sempadan sesuatu negeri itu sahaja. Berkemungkinan ia bertitik tolak kepada kuasa agama yang dimiliki oleh pemerintah negeri masing-masing dan bukannya kerajaan persekutuan. Cuma baru-baru ini hamba turut mengucapkan syukur apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ada menyalurkan bantuan zakat kepada negeri-negeri yang dilanda banjir. Hamba rasa bantuan sebegini wajar disalurkan kepada negeri-negeri yang dananya agak kurang lebih-lebih lagi yang membayar zakat di sesebuah negeri tidak semestinya anak negeri itu sendiri. Banyak juga perantau yang membayar di negeri tempat mereka bekerja dan pastinya berharap agar bantuan itu dapat juga dihulurkan kepada rakyat negeri mereka yang ditimpa bencana.

Apapun, tiada alasan untuk tidak menunaikan zakat yang terbukti amat berkesan sekiranya dilaksanakan secara teratur. Harapan hamba satu hari nanti dana zakat ini penyampaiannya akan melangkaui sempadan negeri lantas memberikan kesejahteraan kepada seluruh umat Islam di negara ini. Amiiin.


PEMBALASAN DENDAM DAN PENYALAHGUNAAN KUASA - Shaari Isa



Tajuk buku ini agak panjang. Tajuknya juga tidak begitu nampak sasteranya. Tetapi tajuk yang tidak berapa 'catchy' ini jugalah yang menarik perhatian hamba atas nilai sejarah yang terkandung di dalamnya. Saiznya agak besar dan tebal mukasuratnya umpama buku telefon. Sekali imbas kelihatan seperti buku teks universiti, ditambah pula dengan hiasan kulit hadapannya dengan peta topo Kota Kinabalu umpama sebuah buku geografi, hinggakan staff hamba sendiri menyangkakan hamba sedang membuat ulangkaji apabila dilihat membaca buku ini di pejabat. Tajuk buku ini sebenarnya mengambil bulat-bulat terjemahan asalnya daripada bahasa Inggeris iaitu Vendetta And Abuse Of Power dan buku ini diterjemahkan oleh Prof. Salleh Buang.

Di hadapan kulit buku ini tercatat kata-kata perjuangan menuntut keadilan di negeri di bawah bayu, dendam politik dan serangan peribadi ke atas Syed Kechik di Sabah (1975-2013). Terus terang sebelum membaca buku ini pengetahuan hamba ke atas tokoh yang bernama Syed Kechik ini amatlah terhad. Yang hamba tahu hanyalah bahawa beliau merupakan seorang tokoh perniagaan yang berjaya dan pernah terlibat dalam industri perfileman. Namun dengan membaca buku ini dapat hamba lihat betapa beliau salah seorang tokoh yang sumbangannya amat besar di dalam usaha ke arah perpaduan nasional. Sayangnya kerana dendam politik segala sumbangan beliau seolah terpadam daripada catatan sejarah tanah air, dilupakan bahkan dianggap satu ancaman ke atas sebuah negeri.

Buku ini adalah manifestasi kasih sayang seorang adik yang bernama Syed Salem ke atas abangnya Syed Kechik. Kerana kasih sayang dan pembelaan ke atas saudara yang teraniaya, Syed Salem terus berjuang walaupun perjuangan itu telah berusia lebih daripada 30 tahun. Tahun 1975 adalah tahun kelahiran hamba, justeru memandangkan usaha Syed Salem masih lagi berterusan dapatlah hamba bayangkan betapa gigihnya beliau serta masih tidak berputus asa apatah lagi mengenal erti jemu. 

Tokoh yang bernama Syed Kechik ini adalah umpama wira tak didendang, ataupun kalau didendangkan, didendangkan kadangkala dengan ritma yang palsu sehingga memburukkan personaliti beliau. Syed Kechik telah dihantar oleh YTM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan yang pertama ke Sabah pada tahun-tahun awal pembentukan Malaysia (atau selepas keluarnya Singapura dari Malaysia) untuk membantu negeri itu juga Sarawak dari segi politik, pentadbiran serta yang lebih penting lagi untuk tujuan perpaduan nasional, agar perjalanan jentera pertadbiran di kedua-dua negeri berkenaan selaras dengan kerajaan pusat. Menjadi orang kepercayaan Tun Datu Mustapha, segala pandangan Syed Kechik diambilkira, dipertimbangkan demi untuk memajukan negeri.

Namun menjadi adat dunia, sentiasa ada sahaja orang yang menaruh perasaan hasad dan dengki dengan kejayaan yang diperolehi oleh Syed Kechik. Pengaruh beliau yang besar ini dilihat oleh sesetengah ahli politik negeri sebagai membahayakan mereka walaupun Syed Kechik sendiri tidak ada minat untuk menyertai scene politik tempatan, bahkan beliau lebih berminat untuk menamatkan khidmatnya bagi menumpukan perhatian terhadap perniagaan serta kerja guamannya. Kerana khidmat baktinya, beliau telah dianugerahkan sejumlah kawasan balak. Selain itu beliau turut membeli sejumlah kawasan besar tanah yang dilihatnya mempunyai prospek besar dalam industri pelancongan. Perancangan telah dibuat dengan teliti sehingga memakan masa bertahun-tahun. Projek besar yang dikenali dengan nama Projek Zara ini nanti akan menjadi satu kawasan yang hebat sekaligus menaikkan nama Sabah terutamanya dalam kalendar pelancongan. Melihat kepada perancangan Projek Zara seperti yang dikepilkan di dalam buku ini hamba hamba lihat wawasan Syed Kechik adalah 30 tahun ke hadapan. Sekiranya projek berkenaan menjadi kenyataan ketika itu hamba pasti sektor pelancongan tanah air akan lebih banyak berkiblat ke Sabah berbanding dengan tanah semenanjung.

Namun panas mentari kadang-kadang tidak sampai ke petang. Tumbangnya kerajaan Tun Mustapaha umpama membuka laluan untuk kerajaan baru menjatuhkan Syed Kechik. Apatah lagi dalam manifesto mereka ketika pilihanraya adalah untuk mengusir keluar Syed Kechik dari Sabah! Melalui helah yang licik, semua tanah beliau dirampas tanpa sebarang pampasan dengan alasan atas kepentingan awam. Walaupun rampasan itu dilihat seolah kerajaan negeri ingin segera menggunakan tanah-tanah berkenaan, tetapi ia terbiar tidak diusahakan lebih 20 tahun. Walaupun undang-undang menetapkan bahawa tanah yang diambil itu perlu dibayar pampasannya, namun itu semua tidak terjadi. Dan itulah yang diperjuangkan oleh Syed Salem semenjak dulu sehingga kini, apatah lagi Syed Kechik sendiri telahpun kembali ke rahmatulLah pada tahun 2009.

Buku ini turut menyentuh mengenai perbicaraan yang dilalui oleh kedua-dua pihak (kerajaan negeri dan Syarikat Zara) yang mana salah satunya memberikan cerita yang mengejutkan apabila dijalankan oleh hakim yang mempunyai kepentingan sehingga memberikan keputusan yang berat sebelah. Walaupun 3 orang Perdama Menteri pernah menasihati kerajaan negeri untuk segera menyelesaikan kes ini secara baik, namun ia seolah mencurah air ke daun keladi. Ia memberi gambaran kepada hamba bahawa ada orang yang tidak menghormati nakhodanya walaupun berada dalam satu kapal yang sama. Bukan sahaja pimpinan tertinggi tidak didengari cakapnya bahkan keputusan mahkamah juga dipandang sepi. Maka dimanakah lagi rakyat ingin mengadu. Alangkan orang hebat seperti Syed Kechik dan Syed Salem ini ditekan dengan sebegitu hebat, rakyat marhaen seperti kita ini apakah pula nasibnya jikalau perkara yang sama menimpa.

Sehingga buku ini diterbitkan, kesnya masih belum lagi selesai. Hamba anggap penulisan buku ini adalah satu tindakan yang berani oleh penulis memandangkan pihak yang terlibat adalah sebuah kerajaan negeri serta institusi mahkamah itu sendiri. Buku ini wajar dibaca oleh para pentadbir, ahli politik, pencinta sejarah, pengkaji undang-undang bahkan oleh keseluruhan rakyat Malaysia sendiri. Dalam hal ini pihak-pihak yang berkenaan hendaklah kembali kepada agama. Fikir-fikirkanlah mengenai hak seseorang hamba yang dihalang atau dinafikan pemilikannya. Apatah lagi orang berkenaan telahpun meninggal dunia tanpa sempat merasai perkara yang sepatut menjadi hak beliau. Perjalanan kita masih jauh wahai anak Adam. Selesaikanlah di sini untuk mengelakkan di tanya di sana nanti.


Rabu, 7 Januari 2015

REVOLUSI KENYIR - Arifin Ngah



Ketenangan yang dinikmati oleh masyarakat monyet serta penghuni hutan Seberang Kenyir yang lain mulai tergugat dengan kedatangan orang bandar. Bersama dengan gergasi dan gajah besi mereka, segala pokok ditebang dan tanah diratakan untuk satu projek pembangunan. Masyarakat monyet yang diketuai Bukung yang merasakan bahawa Seberang Kenyir merupakan warisan masyarakat mereka terpanggil untuk melakukan sesuatu.

Novel ini adalah satu novel perjuangan, perjuangan bagi mengelakkan tanah bumi mencari makan dan kehidupan daripada diceroboh oleh orang luar. Masyarakat monyet amat marah dengan perlakuan orang dari bandar ini. Mereka tidak marah jikalau manusia sekadar datang untuk berkongsi nikmat keindahan alam. Tetapi apabila mereka mula melakukan kerosakan, sesuatu perlu dilakukan.

Sebagai pemimpin masyarakat monyet, Bukung tahu bahawa mereka perlu bersatu padu. Orang dari bandar patut diberikan pengajaran agar menghentikan segala usaha mereka dan terus meninggalkan kawasan itu. Bukung fikir masyarakat hutan harus melakukan satu revolusi. Bermula dengan merosakkan peralatan orang bandar hinggalah kepada tindakan menyerang para pekerja berkenaan apabila mereka masih meneruskan pekerjaan serta mula mendatangkan rasa bahaya kepada masyarakat hutan apabila mereka mula memburu binatang dengan menggunakan senapang.

Namun akal manusia tidakkan terlawan oleh intuisi binatang. Mereka tewas apabila manusia mengumpan mereka dengan buah-buahan. Lantas mereka ditangkap dan dibawa ke zoo. Hanya Bukung dan isterinya Cetok sahaja yang terlepas kerana tidak sempat masuk ke perangkap. Akhirnya pasangan suami isteri ini membawa diri ke gunung dan melihat 'kemusnahan' Seberang Kenyir dari jauh.


Ahad, 4 Januari 2015

CINTA TERAKHIR - Ujang



Sesiapa yang baru nak mengenali Ujang tentunya hanya menganggap beliau tidak lebih daripada seorang pelukis kartun yang mempunyai bakat yang besar. Ujang sebenarnya mempunyai bakat penulisan yang bagi hamba agak baik dan jika diasah dengan baik tidak mustahil boleh menempatkan dirinya sebaris dengan novelis hebat tanahair. Sayangnya itu tidak berlaku, Ujang hanya muncul dengan tiga buah novel sahaja iaitu Fiona, Jibam dan novel ini - Cinta Terakhir. Hamba tidak tahu seandainya ada novel selain itu, di dalam pengethuan hamba inilah sahaja. Antara ketiganya hamba anggap Jibam merupakan yang paling hebat.

Cinta Terakhir ini hamba baca sebaik sahaja menamatkan bacaan Skuad 707. Ok lah, baru 3 hari di tahun baru, 3 novel dapat dihabiskan. Lagipun kandungan novel ini tidak sebegitu tebal dan boleh dihabiskan dalam masa yang singkat sahaja.

Walaupun hamba kurang gemar membaca kisah cintan cintun, hamba jadikan novel ini sebahagian daripada koleksi hamba memandangkan ia adalah air tangan seorang kartunis tersohor negara yang senegeri dengan hamba. Sedikit sebanyak semangat 'Budak Minang' yang ada dalam diri beliau itu ada juga di dalam diri hamba. Kerana itu dalam novel ini Ujang ada menggunakan tempat-tempat di sekitar Negeri Sembilan terutamanya Kuala Pilah yang menjadi tempat asal beliau.

Hamba tidak mahu menyentuh tentang ringkasan novel ini, biarlah para pembaca mencari dan membaca sendiri novel ini. Novel ini rasanya tidak banyak di pasaran dan tiada cetakan baru. Paling akhir kalau tidak silap hamba adalah apa yang hamba baca ini iaitu cetakan ketujuh tahun 2011. Novel ini hamba beli dalam RM5 sahaja (harga asal (RM9.90) dan ada orang yang menjual novel ini (terpakai) di laman sosial dengan harga RM25!!

Yang penting ingin hamba nyatakan bahawa tulisan Ujang melalui novel ini sebenarnya tidaklah mengecewakan. Tulisan beliau dengan pemilihan perkataan yang baik tentunya kita tidak menyangka bahawa ia ditulis oleh seorang kartunis. Yang mengecewakan hamba satu sahaja kerana ia terlalu ringkas dan pengakhirannya terlalu drastik. Pengakhirannya adalah seperti novel dan filem era 80an yang gemar menamatkan cerita dengan kemalangan atau kematian.




SKUAD 707 - Adi Alhadi



Satu lagi novel kanak-kanak yang hamba baca selepas Mimpi Adif adalah buku ini yang berkisar menegenai penyiasatan kanak-kanak. Zaman hamba bersekolah rendah dahulu, novel-novel siri penyiasatan kanak-kanak seperti Hardy Boys, Nancy Drew, Famous Five amat popular di kalangan pelajar serta diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hari ini buku-buku sedemikian seolah tidak lagi menjadi pilihan anak-anak bahkan penulis hari ini pun barangkali tidak suka menulis hal berkaitan penyiasatan kanak-kanak.

Nama penulis Adi Alhadi bukanlah satu nama yang asing terutamanya bagi yang menjadi pembaca setia majalah Gila-Gila. Kerana itu walaupun novel ini adalah lebih ditujukan kepada kanak-kanak dan remaja, hamba tidak ragu-ragu untuk membacanya.

Secara ringkasnya ia berkenaan sekumpulan remaja berlainan bangsa yang bersahabat baik ditawarkan untuk menjadi penyiasat bagi membantu pihak polis oleh seorang lelaki yang mengaku menganggotai skuad khas. Para remaja ini diminta untuk menyiasat seorang lelaki yang dikatakan terlibat dalam sindiket pengeluaran wang palsu. Namun akhirnya rahsia terbongkar apabila mereka sebenarnya ditipu oleh penjenayah yang mahu mempergunakan mereka bagi mendapatkan satu cip yang mengandungi formula mengenalpasti ketulenan wang.

Adi Alhadi menyampaikan ceritanya menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah diikuti oleh kanak-kanak. Sebagai seorang dewasa hamba tidak dapat menafikan bahawa sepanjang membaca novel ini hamba dengan mudah dapat membaca jalan cerita yang akan berlaku seterusnya bahkan hamba sedari awal lagi telah dapat menduga bahawa para remaja ini telah diklepet oleh penjenayah. Namun hamba tidak boleh mengkritik sebegitu memandangkan novel ini bukannya ditulis untuk orang di usia seperti hamba.

Novel sebegini perlu ada ramai lagi yang menulisnya. Ia membina semangat keberanian dalam diri remaja serta mengajar mereka untuk berfikir bagi menyelesaikan sesuatu misteri (dibaca permasalahan). 


RUMAH 2 ALAM



Hamba pernah berazam untuk tidak mahu membeli lagi buku-buku keluaran khas Mastika seperti buku Rumah 2 Alam ini, namun hamba seringkali gagal menahan keinginan untuk memilikinya. Hamba sebenarnya suka dengan gaya penulisan wartawan-wartawan Mastika ini yang hamba anggap mempunyai gaya penulisan yang tersendiri, ringkas, padat dan mempunyai aura untuk menarik pembaca untuk membaca sesuatu artikel sehingga habis. Kadang-kadang jika di teliti perkara yang diceritakan dalam artikel-artikel tertentu itu biasa sahaja isinya, namun gaya penulisan yang hebat itulah yang menjadikan sesuatu cerita itu kadangkala nampak menarik. Kelebihan menulis ini tidak ada pada semua orang. Hantarlah sekumpulan 10 orang untuk membuat liputan sesuatu cerita. Pastinya kesepuluh mereka ini akan tampil dengan gaya penceritaan atau pelaporan yang berbeza, ada yang menulis dengan baik dan ada yang menulis dengan membosankan, bahkan mungkin ada juga yang sampai ke sudah tidak tahu bagaimana untuk menulisnya.

Satu yang 'melegakan' untuk membaca buku ini adalah kerana ia merupakan kisah-kisah yang baru, bukannya diambil daripada mana-mana isu Mastika. Justeru kisah-kisahnya adalah segar dan bukan ulangan. Bukannya apa, hamba sendiri kadangkala merasa 'rugi' untuk membaca kisah yang telahpun hamba pernah baca dalam mana-mana keluaran majalah Kumpulan Utusan ini. Agak menarik juga apabila beberapa cerita yang boleh hamba anggap menarik dan agak berbeza daripada cerita yang pernah hamba baca sebelum ini.

Terdapat 27 buah cerita, dan tajuk buku ini menggunakan tajuk yang diambil daripada kisah yang pertama. Kisah Rumah 2 Alam ini antara yang hamba anggap menarik. Seorang isteri dan anak beliau yang pergi ke rumah suaminya yang bertugas di suatu daerah seakan tidak dipedulikan oleh suaminya sehinggakan beliau terasa hati. Bukan itu sahaja masyarakat di sekelilingpun dianggap sombong kerana seakan tidak memperdulikan beliau. Rupanya beliau seakan berada di alam lain walaupun tinggal di dalam rumah yang sama kerana kelibatnya tidak kelihatan di mata manusia. Pengakhiran cerita ini anda bacalah sendiri di dalam buku berkenaan.

Ada juga cerita yang tragis mengenai seorang gadis yang mewarisi saka keturunan tanpa kerelaannya akhirnya mati dalam keadaan yang menyedihkan, lelaki yang menerima balasan kerana sering menyiksa burung but-but untuk dibuat minyak urut, lelaki yang bertugas meronda mengikut giliran rukun tetangga bersama orang yang telahpun mati setahun dulu dan banyak lagi.

Ada orang suka dengan kisah sebegini dan ada yang anggap ia mengarut. Hamba ambil jalan tengah, hamba suka membaca gaya penulisan penulis seperti yang disebutkan di awal tadi dan hamba memang suka membaca kisah pengalaman manusia. Benar atau tidak hamba tidak mahu ambil tahu. Yang baik hamba ambil buat teladan dan yang buruk hamba jadikan sempadan.



Jumaat, 2 Januari 2015

MIMPI ADIF - Asnidar Shafie



Hmmm....secara spontan sebuah buku kanak-kanak yang hamba belikan untuk anak hamba menjadi bacaan di awal tahun 2015. Tentunya hamba perlu tune semula pemikiran hamba apabila membaca karya sebegini setelah sekian lama membaca karya dewasa dan ilmiah. Tidak ada salahnya membaca bahan bacaan untuk kanak-kanak seperti ini, yang pasti karya sebegini tentunya menggunakan bahasa yang mudah, tiada perkataan slanga ataupun istilah mengarut anak muda hari ini.

Novel ini berpusat pada watak Adif, seorang remaja yang diculik dan seterusnya melalui beberapa kisah dan pengalaman sepanjang penculikan tersebut. Walau bagaimanapun pengalaman semasa diculik itu sebenarnya hanyalah mimpi beliau semasa dalam koma akaibat daripada satu kemalangan. Terus terang hamba cukup menyampah apabila sesuatu kisah yang bermula dengan agak baik diakhiri dengan konklusi bahawa watak tersebut sebenarnya sedang bermimpi. Seolah itu satu jalan penyelesaian yang cukup mudah untuk menamatkan sesuatu kisah.

Watak Adif walaupun digambarkan sebagai seorang remaja di tingkatan tiga, tetapi kisah-kisah sewaktu beliau berada bersama keluarganya, sama ada pada permulaan novel (sebelum penculikan) ataupun di akhir novel, hamba merasakan seolah watak Adif seperti pelajar sekolah rendah sahaja. Hanya apabila membaca kisah sewaktu penculikan beliau barulah hamba dapat merasakan bahawa watak itu benar-benar berada pada usia remaja. Entahlah, itu yang hamba rasa. Mungkin cara penulisan yang membuatkan hamba merasa sedemikian.

Penulis pada mulanya menggunakan sudut pandang orang ketiga dalam penceritaannya, lalu tiba-tiba bertukar kepada penceritaan dari sudut pandang orang pertama setelah Adif diculik. Pertukaran itu serba sedikit membunuh mood pembacaan hamba. Walaupun penceritaan sudut pandangan orang pertama digunakan bagi watak Adif, sudut pandangan orang ketiga masih digunakan untuk penceritaan selain itu. Mungkin bagi pembaca lain perkara sedemikian tidak ada cacat celanya, tapi bagi hamba ia sesuatu yang tidak konsisten dalam penyampaian.

Hamba percaya seandainya kisah sewaktu Adif berada dalam penculikan ditulis oleh penulis yang mahir dalam penceritaan berbentuk thriller pastinya ia akan jadi lebih umphhh lagi. Hamba rasa kisah sewaktu penculikan itu boleh dipertingkatkan lagi sehingga pembaca boleh sama merasai kesusahan, penderitaan, kesakitan, kesedihan, ketakutan yang dialami oleh watak utama selain unsur debar dan thrill itu sendiri. Pengalaman penculikan itu hamba rasa penyampaiannya agak mendatar sahaja. Tiada unsur thrill yang menambahkan rasa debar sehingga teruja untuk segera menghabiskan bacaan, bahkan kadang-kadang hamba rasa bosan dengan Adif yang asyik pengsan atau tidak sedarkan diri sahaja.

Walaupun sasaran novel ini mungkin bukan untuk orang dewasa seperti hamba, tetapi tidak ada salahnya ia ditulis umpama untuk bacaan orang dewasa. Umpama siri filem Spy Kids, walaupun sasaran utamanya adalah kanak-kanak, jalan ceritanya umpama buat tontonan orang dewasa juga. Demikian itu barulah kanak-kanak dapat berfikir dengan lebih jauh lagi.


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...