Isnin, 27 Februari 2023

RADHIO RADHIKAL SEKSA, DADA DAN ROCK & ROLL - Radhi OAG


 

Sejujurnya hamba sendiri tidak mengerti mengapa hamba membeli buku ini. Sedangkan hamba bukanlah peminat tegar Radhi ataupun OAG. Walaupun begitu hamba layan juga lagu-lagu mereka satu ketika dahulu tanpa mempedulikan kontroversi yang sentiasa melanda penyanyi dan kumplan ini.

Buku ini tidak tebal, ditulis dengan font yang agak besar dengan penjarakan perenggan yang luas. Teks penceritaannya pendek-pendek sahaja, banyak gambar serta penuh warna warni. Justeru buku ini selesa untuk mata membacanya dan dapat disudahkan dalam masa yang singkat sahaja lantaran kisahnya yang pendek. Jika anda mahu mengetahui segala-galanya atau banyak perkara tentang Radhi, anda mungkin kecewa kerana Radhi hanya bercerita secara ringkas sahaja.

Antara yang beliau paparkan adalah kisah ringkas masa kecil, muzik dan keadaan yang mempengaruhi beliau sehingga lahirnya OAG. Portion yang agak banyak adalah berkenaan pengelibatan beliau dalam penggunaan dadah serta proses dan pemulihan yang dijalani di rumah PENGASIH. 

Jadi kebanyakan perkara yang dipaparkan sebenarnya pernah hamba baca di lain-lain media, cuma ada sedikit sahaja perkara yang baharu. Namun yang pentingnya semua ini datang daripada tuan punya badan sendiri bukan daripada sumber yang tidak diketahui.


Penulis KENITRA bukanlah orang terkenal.
Tetapi apa yang cuba disampaikan InsyaAllah
berfaedah untuk semua.


Sabtu, 25 Februari 2023

PI MAI PI MAI TANG TU - Imuda


 

Hamba membeli secara terus komik ini daripada pelukisnya sendiri di atas talian. Jadi dapatlah autograf brader Imuda aka Budin di dalamnya. Ini adalah komik edisi ekslusif 40 tahun (1983-2023) siri komedi Pi Mai Pi Mai tang Tu. Sebelum ini komik dengan tajuk yang sama telah pernah muncul di pasaran. Hamba tidak tahu sama ada edisi yang sebelum ini adalah sama dengan yang sekarang kerana hamba tidak pernah menatapnya. Berkemungkinan juga isinya sama dengan yang lama tetapi diberi kulit yang baharu serta beberapa penambahan.

Komik yang dipaparkan sebenarnya juga adalah kompilasi kartun dengan tajuk yang sama yang pernah tersiar di akhbar pada akhir 90an sehinggalah awal millennium baharu. Kerana itu jangan hairan jika Imuda mengungkapkan bahawa sepinggan nasi berlauk yang berharga RM6 dikira mahal. Kerana di era itu nasi ayam boleh didapati dengan harga RM2.50! Tidak terhad kepada jenaka yang berkait dengan penduduk flat Seri Wangi, terdapat juga kartun yang berdasarkan watak di dalam siri 2+1. Ada juga satu kartun Imuda yang memperlihatkan watak Ravi menukar plat motornya daripada WGR kepada MGR dipersembahkan sebanyak dua kali tetapi dengan lukisan yang berbeza.

Komik ini turut menyelitkan kisah Hero Seri Wangi yang telah hamba ulas sebelum ini.



Jangan pernah rasa ragu untuk membaca KENITRA!


HERO SERI WANGI - Imuda


 

Hero Seri Wangi diadaptasi daripada salah satu siri di dalam Pi Mai Pi Mai Tangtu yang bertajuk Kaki Paw kalau tak silap hamba. Episod berkenaan menampilkan arwah Bob Lokman dan arwah Osman Kering sebagai samseng yang memeras peniaga di flat Seri Wangi. Tiada yang dapat mengatasi para samseng ini termasuklah Mat Deris dan Budin. Kerana bersemangat mahu mempertahankan maruah penduduk flat berkenaan maka Mat Deris dan Budin telah pergi merantau mempelajari ilmu persilatan.

Jika di dalam drama, hanya babak di kawasanwarung sahaja yang ditampilkan, maka di dalam komik, Imuda telah memperluaskan lagi jalan cerita dengan membawakan adegan kedua pemuda ini mempelajari ilmu persilatan dengan seorang guru.

Mereka akhirnya pulang dan berjaya membela serta membalas dendam terhadap kedua samseng tadi. Namun setelah semuanya selesai perkara lain pula berlaku dicetuskan oleh Mat Deris dan Budin.


Mari, mari segera dapatkan KENITRA!


UJANG & APO? BUMPER NEWSTALGIA FREESTYLE 2023


 Setelah dalam benerapa keluarannya majalah ini memberikan tema yang tertentu, dengan yang terakhir bertemakan misteri, majalah kali ini memberikan tema bebas. Tema bebas membolehkan apa sahaja tajuk kartun dimuatkan di dalamnya. Namun hamba lihat banyak juga kartun yang bertemakan misteri. Mungkin lebihan kartun yang tidak dapat dimuatkan dalam keluaran yang lalu maka dimuatkan di dalam keluaran terbaharu ini.

Kartunis Gayour membawakan komik bertajuk 'Generasi 80an'. Berdasarkan tajuknya boleh dijangka akan isinya. Ini bukanlah kali pertama Gayour mempersembahkan kartun sebegini. Justeru apa yang dibawa oleh Gayour hamba lihat umpama satu pengulangan sahaja, cuma ia dipersembahkan dengan lukisan yang baharu dan segar.

Sudah lama kartun 'Catman' oleh Rambai tidak muncul. Hero yang dulu selalu muncul di majalah APO? ini kembali dengan usaha untuk merakam naga di sebuah tasik dengan kameranya. Seperti biasa kisah Catman akan berakhir dengan 'kehampehan' yang amat menghiburkan.

Persembahan beberapa kartunis dari segi lukisan mereka hamba lihat semakin mantap seperti kartunis Sagu yang muncul dengan 'Dulu Lagi Best...' dan kartunis Uchot dengan kartun bertajuk 'Malas'.

Anaz Grimm membawakan komik bertajuk 'Jalan Mati'. Rasanya ini kali pertama hamba membaca karya kartunis ini. Ternyata persembahan bekiau tidak menghampakan. Lukisannya kemas dan teratur dan kesudahan kartunnya tidak dijangka.

Toon Attack muncul kembali! Ruangan khas buat mereka yang ingin menunjukkan bakat ini menampilkan empat buat kartun yang mempunyai persembahan seperti seorang kartunis pro. Tidak seperti Mekar Di GG ataupun Senyum Skot di majalah Gila-Gila, nampaknya pemilihan karya di Toon Attack hanya memberikan peluang buat mereka yang mempunyai persembahan kartun dan idea yang terbaik sahaja.

Kartunis Pheno yang dulu selalu muncul di Gila-Gila kini terpapar karyanya di majalah ini dengan 'Burp!' Adakah Pheno tidak lagi menghantar karya di GG?

Kartunis Asan cukup dikenali dengan karyanya yang kelakar. Tetapi di dalam majalah ini, sebuah karya lama beliau yang pernah tersiar di majalah APO? isu 134, 1 Ogos 2004 bertajuk 'Pahlawan Gergaji' kelihatan serius sekali. Pahlawan Gergaji adalah mengenai sindiket penyeludupan manusia di negara kita. Seorang lelaki muncul membalas dendam terhadap ahli sindiket ini dengan membunuh mereka menggunakan gergaji.

Dua keping kad kraf figura 3D menanti pembaca sebagai hadiah edisi kali ini!




Jomlah baca KENITRA!


Selasa, 21 Februari 2023

ADA APA DALAM ISLAM - Sabaruddin Hussein, Mohd Fakhruddin Tajuddin


 

Buku ini hamba perolehi selepas 3 hari keluar dari kilang dan lebih istimewa dihantar sendiri oleh penulisnya Ustaz Sabaruddin Hussein. Inilah kali pertama hamba mengenali dan bertemu empat mata dengan Ustaz Saba. Ustaz yang asalnya memaklumkan akan penjualan buku baharunya di kumpulan Whatsapp yang hamba sertai telah menarik minat hamba untuk menyokong dan memiliki buku ini. Memang tidak hamba sangka bahawa beliau akan membawa sendiri bukunya ke pejabat hamba. Kami berbual panjang mengenai industri buku, pengalaman beliau di Maghribi serta projeknya yang akan datang.

Buku Apa Ada Dalam Islam ditulis untuk memberikan kefahaman masyarakat kepada Islam. Ia tidak terhad kepada orang Islam sahaja bahkan kepada segenap lapisan masyarakat. Penulis mahu memperbetulkan kesilap fahaman sesetengah pihak terhadap Islam. Salah faham ini tidak terhad kepada orang bukan Islam sahaja tetapi juga kepada segelintir umat Islam sendiri yang ada kalanya bertindak lebih jauh lagi sehingga bertindak keluar dari agama.

Memulakan bukunya dengan penerangan tentang kesejagatanh Islam, penulis kemudiannya masuk dengan lebih mendalam terhadap beberapa perkara yang melibatkan tentang konsep ketuhanan, Nabi dan Rasul, perbandingan antara agama, kehidupan dan kematian diikuti tentang penjelasan mengenai alam akhirat.

JIka hal-hal di atas adalah lebih kepada perkara beragama, dalam bahagian selanjutnya penulis melanjutkan lagi tentang Islam dan kaitannya dengan lain-lain perkara yang melibatkan ketamadunan seperti pendidikan, ekonomi, undang-undang dan politik.

Penerangan yang diberikan adalah menggunakan bahasa yang mudah difahami serta diberikan beberapa contoh mudah untuk kefahaman yang lebih mendalam. Membaca buku ini akan memberikan kefahaman serta membetulkan prasangka yang sering dikaitkan dengan Islam sekaligus mengelakkan Islamofobia. Hamba menyeru semua pihak khususnya rakan-rakan bukan Islam untuk membaca buku ini.






Isnin, 13 Februari 2023

UJANG & APO? BUMPER NEW STALGIA MISTERI 2022


Biasanya hamba membeli majalah ini sebaik sahaja ia berada di pasaran. Tetapi untuk yang ini, hamba buat tak tahu sahaja apabila ia terbit. Hinggalah apabila telah keluar terbitan yang baharu, barulah hamba membelinya bersekali. Tetapi majalah kartun ini sebenarnya tiada tarikh luput. Ia tidak seperti akhbar yang akan basi selepas 24 jam. Cerita kartun dan komik ini boleh dinikmati pada bila-bila masa. Kerana itu di dalam majalah ini, walaupun dipaparkan juga beberapa kartun lama (ada yang dah berusia 23 tahun), hiburannya tidak terasa ketinggalan zaman, lawaknya masih relevan dan menghiburkan.

Kali ini mereka menampilkan tema misteri. Karya berbentuk misteri inipun sebenarnya telah banyak muncul dalam banyak keluaran majalah Ujang dan Apo?. Jadi dengan menjadikannya satu keluaran khas, rasanya tidak ada masalah untuk para kartunis dan penulis untuk mendapatkan idea dan bahan. 

Hamba puas hati dengan keluaran ini. Terasa banyak idea baharu dan yang tidak terjangka (walaupun mengarut). Contohnya karya Asteroid Puaka oleh Rambai mengisahkan tentang kejatuhan sebuah asteroid di sebuah planet asing. Usaha untuk mengalihkan asteroid ini bertukar sebaliknya apabila saintis mereka mengatakan ada bahagian tertentu asteriod ini yang lembut dan boleh di makan. Mereka menganggap bala asteroid ini sebagai blessing in disguise. Namun apa yang dianggap asteroid itu sebenarnya adalah sebatang berus jamban yang kotor yang dicampak daripada kapal angkasa manusia!

Lambok tampil dengan Gerbang Dunia Lain yang membawa mesej manusia ini dengan orang kaki fit pun boleh terpedaya. Misteri Tepung Bungkus Nek Salmah oleh Lepat umpama kisah misteri yang biasa hamba baca di mana-mana tetapi dipersembahkan dengan penuh jenaka oleh pelukisnya. Begitu juga dengan Hantu Game oleh Shah, kisahnya juga seperti pernah dibaca, namun lukisan Shah dan persembahannya amat memukau.

Hamba agak suka dengan karya Aliow bertajuk Kerana Sepucuk Sampul Merah menampilkan kisah misteri berkait dengan budaya Cina iaitu perkahwinan dengan orang yang telah mati. Kisah Aliow begitu menepati tajuk kompilasi ini. Karya Sorok-Sorok oleh Uchot hamba rasa biasa sahaja tetapi menarinya gaya lukisan Uchot kali ini agak berbeza dengan yang lalu. Karya beliau lebih kepada gaya komik. 

Selain itu banyak artikel-artikel yang menarik antaranya The Jusco Phantom, Ancient Mysteries, Extinct Mysteries dan banyak lagi. Beberapa kartun pilihan daripada Ujang dan Apo? keluaran 133 dan 209 turut dipaparkan. Keluaran kali ini memberikan cenderamata sebuah kalendar 2023.






Kartunis Gayour yang kerap melukis di majalah
Ujang juga adalah pelukis buku KENITRA.





THE HOLLOW NEEDLE - Maurice LeBlanc


 

Walaupun novel ini masih lagi bertada dalam siri Arsene Lupin, namun hamba melihat watak yang menonjol di dalam The Hollow Needle adalah Isidore Beautrelet, seorang pelajar pintar berusia 18 tahun. Perjalanan novel ini seolah berjalan daripada aktiviti Beautrelet dan Lupin kelihatan seperti antagonis. Dalam erti kata lain, Beautrelet adalah hero dan Lupin adalah crooknya! Hamba berpandangan watak Beautrelet ini mungkin diwujudkan kerana LeBlanc tidak dibenarkan menggunakan watak Sherlock Holmes. Walaupun watak ini telah ditukarkan namanya kepada Herlock Sholmes, LeBlanc mungkin ingin lari terus daripada watak berkenaan. Melihat kepada cara penyiasatan Beautrelet, anda tetap akan merasakan bahawa gaya beliau adalah mirip dengan watak Holmes.

Satu pencerobohan telah berlaku di kediaman Count de Gesvres di Ambrumesy dan seorang daripada penceroboh telah berjaya ditembak oleh Raymonde. Namun tiada mayat yang dijumpai. Dalam pihak berkenaan sibuk menyiasat kejadian tersebut, Beautrelet yang pada asalnya menyamar sebagai wartawan, secara tidak lansung telah terlibat di dalam penyiasatan. Pandangannya yang kelihatan genius dihargai oleh pihak polis dan beliau tanpa sedar dibenarkan untuk terus menyiasat.

Satu teori Beautrelet adalah lelaki yang tertembak itu adalah Lupin dan mayat beliau telah berjaya dilarikan oleh pengikutnya. Sebagai pembaca hamba secara automatik berpandangan tidak mungkin Lupin terbunuh kerana jika beliau terbunuh novel ini akan terus berhenti di situ sahaja.

Dalam perjalanan penyiasatan ini, beberapa orang telah diculik iaitu Raymonde serta musuh Lupin - Ganimard dan Herlock Sholmes. Seperti yang hamba sebut di awal tadi, perjalan penyiasatan ini dijalankan oleh Beautrelet. Banyak penceritaan adalah melibatkan beliau dan watak Lupin hanya muncul apabila ada pertembungan dengan Beautrelet. Daripada kisah pencerobohan dan anggapan kecurian di Ambrumesy ia berkembang kepada misteri pada secebis kerta yang mengandungi angka dan tanda-tanda pelik yang akhirnya membawa kepada rahsia dan harta berusia ribuan tahun melibatkan raja-raja Peranchis zaman dahulu. Terus terang untuk installasi Lupin kali ini hamba juga kadangkala menjadi keliru (kadangkala menjadi bosan juga). 

Lupin yang dalam novel-novelnya sebelum ini digambarkan sebagai pencuri budiman, kali ini hamba melihatnya sebagai pencuri yang samseng. Beliau menculik, menikam (hampir membunuh), membuat ugutan dan sebagainya. Kelihatan beliau kali ini agak berbeza. Bahkan dalam banyak hal hamba melihat Beautrelet itu sendiri lebih budiman dan jujur.

Namun disebabkan ini franchise Lupin, beliau pastinya tidak akan kalah atau ditangkap. Cuma dalam babak-babak akhir, watak Raymonde, yang ketika itu sudahpun menjadi isteri Lupin telah terbunuh. Lupin tetap bebas. Tidak pasti adakah watak Beautrelet akan muncul lagi selepas ini. Pertembungan mereka nanti pastinya lebih hebat.




Khamis, 2 Februari 2023

KITAB TAMADUN MONGOL - Amir Asyraf Alwi


 

Tidak banyak yang hamba ketahui tentang perkara berkaitan Mongol ini. Barangkali kalau adapun adalah tentang Genghis Khan yang hamba yakini ramai juga yang tahu mengenai beliau walaupun tidak mendalam. Satu lagi tokoh yang hamba kenali adalah Hulagu Khan yang namanya ada diajar ketika sekolah menengah dahulu - tokoh yang menghancurkan Baghdad sekaligus menamatkan kewujudan Khilafah Abbasiyah.

Buku ini begitu tebal dan hamba mengambiul masa yang agak lama untuk menyudahkannya, sama ketika menyudahkan Kitab Tamadun Rom oleh Hafizul Adnen. Walaubagaimanapun, berbeza dengan cara penulisan Hafizul yang menyingkap sejarah Rom melalui kesemua pemerintahnya, penulisan Amir adalah secara umum menyingkap sejarah Mongol semenjak awal kebangkitannya sehinggalah zaman kemerosotan yang melahirkan kekhananan yang kecil. Kerana itu di banyak tempat kita akan menjumpai beberapa fakta yang sering di ulang-ulang pada bab-bab yang berbeza. Contohnya kisah tentang Genghis Khan yang menjadi pengasas empayar ini bukan hanya ditemui pada permulaan buku bahkan di banyak tempat lagi, disesuaikan dengan kehendak penulisan itu sendiri.

Kaum Mongol ini asalnya hanyalah kaum nomad yang berpindah randah, hidup di dalam khemah dan menjadikan kawasan padang rumput sebagai lokasi bermukim mereka. Di bawah Genghis Khan, dalam masa yang begitu singkat mereka berjaya membina sebuah empayar yang luas, lebih hebat berbanding Rom yang mengambil masa ratusan tahun. 

Namun cara penjarahan Mongol terhadap sesebuah negara atau kawasan amatlah zalim sekali. Kadang-kadang tiada nyawa yang ditinggalkan. Kawasan yang ada walaupun telah bertamadun dengan binaan yang hebat, habis diranapkan mereka. Namun apabila telah memerintah, kita jadi hairan dengan sikap toleransi mereka. Mereka boleh beradaptasi dengan masyarakat kawasan yang mereka takluk, menerima amalan terbaik mereka, sanggup mempelajari perkara baharu dan bertoleransi terhadap amalan agama setempat. Kerana itu Kublai Khan beradaptasi dengan budaya China dan mengekalkan peraturan sedia ada.

Melalui buku ini hamba dapat mengetahui kisah penaklukan Hulagu dengan lebih terperinci lagi. Kota Baghdad habis dijarah tanpa belas kasihan. Jutaan buku di Baitul Hikmah dimusnahkan dengan dijadikan jambatan bagi kuda melintas. Air sungai jernih yang asalnya bertukar kemerahan kerana mayat-mayat yang dihumban ke sana akhirnya bertukar hitam dek dakwat buku-buku ini. Mereka lansung tidak menghargai ilmu pengetahuan tidak seperti sikap beberapa penakluk lain yang tidak memusnahkan sebaliknya membawa pulang buku-buku berkenaan. Bayangkan betapa banyak ilmu yang boleh sampai kepada kita hari ini andainya Baitul Hkmah tidak dimusnahkan.

Walaupun Mongol begitu keras dengan Islam, kemudiannya ada beberapa waris mereka yang memeluk agama ini dan seterusnya menjadikannya agama negara. Bahkan semasa Hulagu menyerang, telah ada waris mereka yang bernama Berke pemerintah Ulus Jochi yang telah memeluk Islam danmarah atas tindakan Hulagu ini terhadap saudara se-Islam. Lantas tercetus pula persengketaan antara mereka berdua. Ada hikmahnya perseteruan ini. Andai kata tiada tindakan daripada Berke, tidak mustahil sekiranya Hulagu meneruskan pacuan kudanya ke aras Makkah dan Madinah!

Empayar Mongol dianggap empayar kedua terbesar yang pernah wujud selepas empayar British. Mereka bahkan pernah datang ke Asia Tenggara sehingga ke Pulau Jawa untuk meluaskan kuasa. Kalaulah tidak kerana mereka telah lemah ketika itu dan mereka bukan pula mahir beraksi di lautan, pastinya sejarah yang kita ketahui hari ini telahpun berubah. Mongol hadir ke Asia Tenggara pada abad ke-13 sebelum zaman Melaka lagi.

Sejarah Mongol penuh dengan kekejaman, penaklukan, penjarahan, sengketa sesama klan dan sebagainya. Namun hari ini negara yang mereka ada kecil sahaja tidak seperti dahulu bahkan ia tidak lagi kedengaran gah. Biarlah mereka begitu kerana jika mereka bangkit lagi, yang akan kita lihat hanyalah kemusnahan dan kebinasaan!


Dapatkan KENITRA di Shopee. Tiada kisah
kekejaman seperti bangsa Mongol. Hanya
pembakar semangat anak bangsa!


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...