Melihat satu posting di Facebook mengenai Train To
Dabong, saya terus menyarankan kepada Presiden Kelab Sukan & Kebajikan
jabatan – KESUKEB, untuk membuat tinjauan dan mengatur satu lawatan ke sana.
Satu recce team sejumlah 5 orang telah mula mengatur
langkah, membuat tinjauan dan mengatur perancangan. Mereka pulang dengan
gembira dan begitu teruja menceritakan pengalaman mereka ke sana.
Lantas saya mengarahkan agar terus ditetapkan tarikh
pemergian dan iklan segera disiarkan untuk makluman ahli kelab. Tidak
disangka-sangka, iklan yang disiarkan mendapat perhatian. Ramai yang berminat
untuk turut serta. Saya menetapkan bahawa lawatan ini tidak boleh melebihi 20
orang. Ini untuk memudahkan urusan dan memudahkan urusetia untuk mengatur para
peserta.
Pada awalnya, tarikh yang dirancang adalah pada 28
Januari 2022. Malangnya tiket keretapi pada Tarikh berkenaan telahpun penuh
memandangkan ramai yang ingin pulang ke kampung kerana cuti tahun baru cina.
Akhirnya urusetia telah menganjakkan Tarikh pemergian seminggu lebih awal iaitu
pada malam 21 Januari.
Pemergian hamba bersama ahli kelab kali ini sebenarnya
tidaklah begitu menggembirakan. Hati terasa tidak tenteram mengenangkan bonda
yang baru sahaja dimasukkan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan.
Sambil bermusafir, hati sentiasa teringatkan beliau dan mulut sering berdoa
agar bonda baik-baik sahaja.
Perjalanan kami akan bermula dari Stesen Keretapi
Sungai Buloh. Kedudukannya yang dekat dengan pejabat agak memudahkan kami. Saya
boleh bersiap untuk solat terlebih dahulu di pejabat sebelum bertolak. Kami
semua berkumpul di pejabat sebelum bertolak ke stesen dengan bas.
Ini kali pertama saya menaiki keretapi ETS. Ia sebuah
rangkaian keretapi yang selesa, mengingatkan keretapi yang pernah saya naiki di
Maghribi dan Sepanyol. Hampir separuh daripada gerabak berkenaan ditempati oleh
ahli KESUKEB menjadikan suasana agak riuh dengan perbualan dan gurau senda
masing-masing.
Tidak menunggu lama, saya mengajak beberapa rakan
untuk menikmati makan malam di kafe keretapi. Hati teringin untuk mencuba
lasagna tetapi terpaksa digantikan dengan nasi goreng nenas apabila ia
kehabisan bekalan. Makanan yang ada adalah dalam bentuk sejuk beku yang akan
dipanaskan menggunakan ketuhar setelah dipesan pelanggan. Walaupun boleh
membawa makanan ke tempat duduk, saya memilih untuk makan di meja kecil
berhadapan kaunter jualan.
Perjalanan dalam keretapi ini mempunyai banyak masa
yang amat rugi jika hanya dihabiskan dengan berbual dan bermain telefon.
Justeru saya telah bersedia dengan membawa sebuah komik yang tebal. Saya tidak
membawa buku seperti biasa kerana memikirkan adalah lebih mudah untuk saya
membaca komik. Sekiranya pembacaan saya terganggu disebabkan ada yang ingin
berbual atau terpaksa menundakan bacaan, sekurang-kurangnya ia tidak terlalu
mengganggu pembacaan. Berbanding jika membaca sebuah buku atau novel, apabila
sampai ke bahagian yang penting atau yang suspen dalam novel, masa itulah ada
yang mahu berbual ataupun keretapi telah tiba ke destinasi.
Saya percaya bahawa program ini mendapat sambutan
hangat para ahli bukan sahaja kerana destinasi yang akan ditujui adalah amat
menarik, bahkan rata-rata mereka merasa teruja untuk menaiki sleeper train! Ini juga merupakan
pengalaman pertama saya menaiki keretapi yang mempunyai tempat tidur. Sebelum
ini Di Maghribi dan Sepanyol, saya hanya bermusafir pada waktu malam dengan
duduk di kerusi penumpang biasa sahaja. Justeru mempunyai ‘katil sendiri’ di
atas keretapi, tentunya sesuatu yang menerujakan.
Untuk meneruskan perjalanan ke Pantai Timur, kita
perlu bertukar keretapi di stesen Gemas. Keretapi menuju ke Pantai Timur
sebenarnya tidaklah semewah keretapi ETS. Ia adalah keretapi lama. Gerabak
tempat tidurnya dihiasi dengan langsir berwarna coklat cerah. Berpandukan
pengalaman recce team sebelum ini,
kami telah menempah tempat tidur bahagian bawah. Ini memandangkan katil
bahagian bawah lebih memberikan keselesaan kepada penumpang.berbanding di
sebelah atas.
Pegawai saya encik Hafizullah menyemburkan cecair pembasmi
kuman ke atas tilam sebelum saya mula berehat. Tempat tidurnya sederhana,
sebuah katil yang dilengkapi dengan bantal, selimut dan lampu peribadi. Langsir
yang disediakan sudah memadai untuk melindungi privasi penumpang. Di luar
keadaan begitu gelap, tidak memungkinkan penumpang untuk menikmati sebarang
pemandangan. Apa yang boleh dilakukan hanyalah merehatkan diri dan bersedia
untuk tidur.
BismilLah, dalam goyangan gerabak keretapi diri mula
belayar ke alam mimpi.
Keretapi berhenti di sebuah stesen yang saya tidak
ingat Namanya apabila waktu Subuh tiba. Tandas di dalam keretapi ini begitu
kecil dan tidak berapa selesa berbanding dengan tandas di keretapi ETS. Tetapi
itu tidak menghalang saya untuk membersihkan diri dan mengambil wudhuk.
Walaupun tandas ini tidak sesuai untuk mandi, ada juga penumpang yang berbuat
demikian hingga menyebabkan air melipah ke luar bilik air. Saya kira pekerja
pembersihan sudah sedia maklum akan kelakuan penumpang kerana kelibat mereka
dengan mop sentiasa kelihatan di antara gerabak.
Tidak seperti keretapi ETS, tiada ruang untuk solat di
keretapi ini. Para penumpang solat di tempat masing-masing secara duduk.
Berpandukan aplikasi kiblat di telefon bimbit, saya menentukan arah sebelum
mula melaksanakan fardhu Subuh.
Secara sedikit demi sedikit pemandangan di luar
keretapi mula kelihatan. Di luar hanyalah hutan dan sekali sekala kelihatan
penempatan penduduk kampung apabila keretapi melintasi kawasan yang mempunyai
penduduk atau berhenti di stesen tertentu. Cahaya matahari kelihatan indah
menerangi kehijauan hutan.
Pagi itu saya bersarapan di kafe keretapi. Sebelum itu
saya telahpun siap bertukar pakaian dengan mengenakan t’shirt khas rombongan
yang berwarna biru, mempunyai gambar kepala keretapi yang tercatat ‘train to Dabong’. Walaupun sekadar roti
bakar yang dipadankan dengan teh o kosong, sarapan di atas keretapi sambil
melihat pemandangan di luar begitu menyelerakan.
Sewaktu recce
team mmebuat tinjauan dahulu, keretapi apabila tiba di stesen Gua Musang
akan berhenti agak lama sehingga membolehkan penumpang turun menikmati
keindahan di sekitar stesen sambil mengambil gambar. Tetapi kali itu ia tidak
berhenti lama dan tidak memungkinkan penumpang untuk turun. Keberadaan keretapi
di stesen Gua Musang menandakan bahawa destinasi yang ditujui sudah tidak jauh
lagi.
“Dabong, Dabong!!” teriak pemeriksa tiket keretapi
dari gerabak ke gerabak sewaktu keretapi semakin menghampiri stesen berkenaan.
Saya dan kawan-kawan telahpun bersedia menyiapkan beg masing-masing dan berasa
tidak sabar untuk turun.
Akhirnya kami tiba juga di stesen Dabong. Stesennya
kecil sahaja sesuai dengan keberadaannya di sebuah kawasan pedalaman. Mungkin
orang dahulu juga tidak menjangka bahawa satu hari nanti stesen ini akan
menjadi tumpuan pelancong yang mahu menikmati keindahan alam sekitar di kawasan
itu khususnya para hikers.
Ramai juga yang turun di stesen berkenaan. Nampaknya
bukan hanya kami yang melancong ke daerah ini. Belum lagi menuju ke destinasi
lawatan, kawan-kawan begitu gembira mengambil gambar di sekitar stesen termasuk
dengan keretapi yang membawa kami. Baru pagi itu saya dapat melihat nama
lokomotif yang membawa kami – Badang!
Kenderaan yang kami sewa dengan pemandunya telahpun
sedia menanti, dua buah MPV dan sebuah van buruk. Ramai yang awal-awal telah
memilih untuk menaiki MPV. Maka saya dan peserta lelaki yang lain pun naiklah
van putih buruk ini yang dikemudi oleh lelaki yang bernama Wan. Sebelum menaiki
van, sarapan yang telah ditempah awal telahpun siap di bahagi-bahagikan.
Kenderaan dari stesen berkenaan melalui jalan yang
agak sempit, di apit oleh pelbagai bentuk bangunan menuju ke destinasi pertama
kami – Gua Ikan. Di Dabong ini sebenarnya terdapat banyak lagi gua. Namun gua
ikan adalah antara gua yang agak mudah untuk dilawati serta tidak dikenakan
bayaran. Gua lain mungkin terletak agak ke dalam hutan dan memerlukan sedikit
masa ataupun memerlukan khidmat pengiring.
Kawasan di sekitar Gua Ikan amat terjaga. Ia lengkap
dengan kemudahan meletak kereta serta tandas. Tong sampah turut disediakan.
Dari tempat meletak kereta kita akan berjakan sedikit menuju ke Kawasan gua.
Semakin menghampiri destinasi, mata akan dijamu dengan
pemandangan sebuah bukit batu yang tinggi. Di bawahnya ada gua yang begitu luas
bukaannya dengan aliran air sungai yang jernih mengalir dari dalam gua ke luar.
Di luar gua, ada sebuah batu besar umpama pulau kecil yang terletak di dalam
sungai. Di situlah saya duduk sambil menikmati sarapan pagi. Rupanya pek-pek
sarapan yang berada di dalam plastic itu mempunyai hidangan yang berbeza. Saya
mendapat nasi kerabu berlaukkan ayam bakar yang masih panas lagi. Makanan yang
sedap dan dinikmati persekitaran yang menakjubkan begitu membuka selera.
Saya menyusuri air sungai yang cetek dari pulau
berkenaan dan masuk ke dalam Kawasan gua. Orang sudah mula ramai dan semuanya
sibuk merakam keindahan gua itu. Tanah di dalam gua terasa lembap dan ada
bahagian tanahnya yang licin. Sebahagian besar Kawasan hadapan gua diterangi
oleh cahaya matahari yang dapat masuk. Gua ini kelihatan memanjang ke belakang
dan boleh dilihat mulut gua di Kawasan yang satu lagi. Tetapi persekitaran
sebelum sampai ke mulut gua yang kedua kelihatan gelap dan Wan tidak
membenarkan kami pergi.
Keadaan persekitaran gua amatlah menakjubkan dengan
stalagtit dan stalagmit serta formasi batu-batu yang kadangkala membentuk
seperti sesuatu objek. Menurut Wan, pada zaman Jepun, penduduk kampung pernah
menjadikan Gua Ikan sebagai tempat berlindung.
Selesai menikmati keindahan Gua Ikan, kami menuju ke
Madrasah Tarbiah Al-Aulad Sungai Kenerong, iaitu sebuah institusi pondok yang
ada di sini. Kedatangan ke sini adalah kerana recce team telah membuat sedikit kutipan untuk disumbangkan ke
pondok ini. Sebaik sampai ke kawasan ini, mata akan dijamu dengan pemandangan
deretan beberapa buah pondok daripada papan yang berdiri di tepi jalan. Tidak
jauh di hadapan berdiri sebuah bangunan masjid yang kelihatan masih dalam
pembinaan. Membelok ke kiri, kenderaan membawa kami ke satu Kawasan tepi sungai
yang mempunyai pemandangan yang menakjubkan.
Sungai Kenerong amat indah sekali. Sungainya lebar dan
berbatu, arusnya deras dan airnya jernih. Terdapat sebuah surau yang kelihatan
unik dibina di tepi sungai ini. Sungguh, hamba sehingga kini masih lagi
terpesona dengan keindahan alam di tepi Sungai Kenerong ini.
Menurut seorang ustaz yang kami temui, pelajar di sini
pada waktu lapang akan membantu membina masjid yang kami lihat sebelum itu. Mereka
banyak menggunakan batu-batu sungai di situ. Kelihatan juga beberapa bangunan
yang belum siap dibina yang dikatakan akan dijadikan chalet buat para
pengunjung. Bangunan itu juga dibina secara berdikit oleh pelajar pondok.
Mengendalikan ATV di Jelawang adalah pengalaman
pertama hamba. Memandangkan jumlah kami yang ramai dan ATV yang sedikit, maka
kami agak banyak membuang masa di sini kerana terpaksa menunggu giliran.
Aspek keselamatan amat dititikberatkan oleh pengusaha
ATV. Setiap kumpulan akan disertai oleh kakitangan mereka bagi menunjuk jalan
serta mengawasi aktiviti peserta agar tidak terdedah kepada bahaya. Jalan yang
dilalui agak mencabar termasuk melalui jalan yang berlumpur serta merentasi
sungai.
Walaupun terletak di kawasan luar bandar, kelibat
warung yang menjual makanan kelihatan agak banyak. Antara menu yang terkenal di
daerah ini adalah mee udang banjir. Udangnya pula besar-besar dan memuaskan hati
pelanggan.
Hari telahpun beranjak petang dan kami menuju ke
destinasi terakhir kami iaitu Taman Negeri Gunung Stong. Ada sebuah kawasan tinjau
yang hampir siap dibina sebelum sampai ke destinasi. Ia menghidangkan
pemandangan indah Gunung Stong yang memperlihatkan juraian air terjun Jelawang.
Air terjun ini merupakan air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara.
Ada sedikit bayaran yang dikenakan buat pengunjung ke kawasan
ini. Walaupun boleh sahaja mandi di kawasan bawah, saya dan rakan-rakan
memutuskan untuk memanjat naik sedikit sehingga tiba di kawasan yang
membolehkan kami melihat air terjun dengan jelas. Terdapat beberapa chalet yang
dibina mengikut senibina Melayu. Tetapi kesemuanya nampak seperti lama tidak
berpenghuni, tidak terurus dan kelihatan menyeramkan.
Air sungainya terasa amat dingin sekali dan saya tidak
mampu untuk berlama-lama berendam di dalamnya. Saya kemudiannya turun untuk
membersihkan diri di bilik mandi awam yang disediakan dan seterusnya
melaksanakan solat secara jamak di surau.
Keretapi kami adalah pada jam 11 malam nanti. Masa agak
panjang sebelum menuju ke angka tersebut. Mujurlah salah seorang peserta
mempunyai nenek yang tinggal di daerah ini. Adat bertamu ke rumah orang Melayu,
tuan rumah menjamu kami dengan masakan gulai patin tempoyak yang kesedapannya
tidak terkata.
Masuk sahaja ke dalam keretapi pada malam itu, saya
tidak melakukan apa-apa lagi. Memasuki sahaja tempat tidur, saya letakkan
barang sebaiknya, berlunjur, doa dan tidur…..tak mahu fikirkan apa, otak dan
badan dah penat. Cuma mahu tidur.
……..tapi diganggu juga dengan pemeriksa tiket……..
tempat menarik di Dabong
itinerari lawatan ke Dabong