Khamis, 30 Mei 2019

SAMURAI MELAYU - Hilal Asyraf


Antara perkara pertama yang akan ditemui oleh pembaca sebelum mulanya cerita di dalam novel ini adalah nasihat ikhlas penulis agar mereka membaca terlebih dahulu beberapa novel beliau sebelum ini mengikut turutan bagi pemahaman yang lebih baik. Rasa down juga mulanya. Ini kerana tiada satupun novel-novel yang dinyatakan pernah hamba baca. Hamba tidak mampu nak membeli keseluruhan tajuk-tajuk berkenaan di pesta buku yang lalu memandangkan sebuah sahaja sudah berharga RM30. Keseluruhan siri ini mempunyai 5 buah buku menjadikan ia RM150. Apapun hamba dapat mengikuti novel ini dengan baik walaupun tidak ada bayangan lansung tentang kisah-kisah sebelum ini.

Sebelum novel bermula juga penulis memaparkan ilustrasi senjata-senjata Jepun yang namanya akan kita temui lewat pembacaan. Ilustrasi ini amat baik kerana memberikan pemahaman kepada pembaca. Jadi sekiranya sesuatu senjata disebutkan dalam mana-mana tempat di dalam novel, kita boleh membayangkan rupabentuk dan bagaimana ia digunakan.

Samurai Melayu adalah kisah seorang lelaki yang pernah menyertai organisasi gelap bawah tanah di Jepun namun telahpun bertaubat. Ancaman terhadap keluarga beliau membuatkan dirinya kembali menggunakan senjata. Namun apa yang beliau hadapi sebenarnya bukan sekadar masalah peribadi bahkan telah menjadi isu keselamatan negara. Dalam usaha untuk menyelesaikan permasalahan inilah beliau berjuang dengan dibantu watak-watak daripada novel-novel Hilal Asyraf sebelum ini. Inilah yang penulis novel maksudkan atau mahukan kita membaca novel beliau yang terdahulu agar tidak tertanya-tanya tentang watak-watak yang muncul. Walau bagaimanapun ringkasan ringkas di dalam novel bagi hamba sudah cukup untuk memahami watak-watak yang lain.

Penulis mahu membawa pembaca menyelami watak ataupun keadaan seseorang yang mahu berubah namun terasa agak sukar sehingga tertanya-tanya apakah taubat seseorang hamba itu tidak diterima Allah. Selain itu penulis cuba memperlihatkan ancaman yang datang terhadap ugama yang datang dari luar serta kewajipan untuk mempertahankannya. Pengamalan Islam yang total berjaya melahirkan ummah yang kuat serta bersih serba serbi dalam pentadbiran negara seperti rasuah dan sebagainya. Memandangkan buku ini banyak memaparkan seni budaya Jepun, banyak maklumat baru yang boleh kita fahami khususnya tentang seni bela diri mereka.

Selain watak samurai Melayu yang kita boleh anggap sebagai hero, kita perlu ketahui beberapa watak-watak lain yang ditampilkan adalah hero juga di dalam novel sebelum ini. Jadi novel ini terlalu banyak watak utama yang kadangkala nampak sekali sekala menenggelamkan kepentingan atau keutamaan watak samurai Melayu itu sendiri.

Kulit novel ini agak menarik tetapi modelnya tidak membayangkan susuk tubuh seorang ahli beladiri. Nampak macam peminat K-Pop saja!!





GILA-GILA APRIL 2019



Gila-Gila keluaran April 2019 membuat sedikit kelainan pada penampilan kulit depannya apabila menampilkan gambar poster filem Tiada Tajuk arahan Mawi. Berkemungkinan juga ini merupkan satu-satunya kulit depan oleh bukan kartunis ataupun bukan pelukis majalah Gila-Gila sendiri. Poster filem ini dihasilkan oleh Kukubesi yang sememangnya biasa menghasilkan karya-karya terbaik bagi poster filem tempatan. Poster filem yang dihasilkan mengikut gaya majalah Gila-Gila ini akhirnya benar-benar menjadi penghias majalah tersebut.

Walau bagaimanapun tiada ruang yang menyebut tentang penghasilan poster berkenaan ataupun sebarang cerita tentang filem Tiada Tajuk. Sewajarnya sedikit kredit diberikan di dalam majalah. Majalah ini juga merupakan ulang tahun Gila-Gila ke 41. Malangnya tiada kartun khusus untuk ulang tahun ini. Isi yang lain-lain masih sama seperti Gila-Gila mutakhir ini - pengulangan kartun-kartun lama yang diselangselikan dengan kartun baru. 

Poster Tiada Tajuk beserta rendisi Kukubesi sekiranya ia majalah Gila-Gila



HARIMAU MALAYSIA DI SOMALIA - Syed Othman Syed Omar & Nik Amran Nik Abd. Rahman



Peristiwa di dalam buku ini tidak dapat tidak orang akan mengaitkannya dengan filem Black Hawk Down arahan Ridley Scott. Filem berkenaan pula dihasilkan berdasarkan novel oleh Mark Bowden yang juga menggunakan tajuk yang sama. Filem ini menggambarkan keperwiraan askar-askar Amerika menyelamatkan rakan-rakan mereka yang terperangkap setelah helikopter Black Hawk ditembak jatuh oleh militia.

Filem berkenaan secara realitinya telah melupakan jasa-jasa askar Malaysia yang turut sama membantu di dalam operasi berkenaan. Bahkan askar Malaysia memainkan peranan besar di dalam operasi berkenaan dan turut melindungi askar Amerika yang sama-sama dalam misi menyelamat tersebut.

Buku ini tidak ditulis di dalam bentuk novel. Ia amat straight forward dan hanya menyebut tentang operasi yang dijalankan oleh tentera Malaysia ataupun MALBATT. Terdapat dua kisah operasi besar yang dialami oleh tentera kita dikisahkan di dalam buku ini. Selain daripada kisah di atas terdapat satu lagi peristiwa yang tidak berapa diketahui ramai iaitu peristiwa semasa majlis pembukaan Mahkamah Agung Benadir. Dalam peristiwa ini berlaku sedikit pertempuran. Sepatutnya majlis berkenaan turut dijaga bersama oleh tentera negara lain tetapi sama ada mereka tidak berada di lokasi ataupun cabut lari terlebih dahulu. 

Keadaan yang hampir sama juga berlaku dalam peristiwa Black Hawk Dawn ini apabila terdapat tentera negara lain yang turut serta dalam operasi ini menampakkan sifat penakut mereka dengan memberikan beberapa alasan seperti ketiadaan alat infra red yang menyukarkan melihat dalam gelap dan sebagainya. Bahkan tentera haprak ini hanya bergerak separuh jalan sahaja. Justeru yang sebenar-benarnya bertempur dengan para militia bolehlah dikatakan hanya askar Malaysia dan Amerika sahaja.

Ternyata operasi berkenaan memakan masa berjam-jam lamanya dan pastinya kesemua askar kita berada dalam keadaan yang amat getir. Beberapa kecederaan serta satu kematian lansung tidak mematahkan semangat para pejuang bahkan menjadikan mereka lebih bersemangat lagi.

Khamis, 16 Mei 2019

GILA-GILA #1



Sekalung tahniah hamba ucapkan di atas pelancaran apps GG Komiks beberapa minggu yang lalu. Yang paling istimewa tentulah penyiaran terbitan awal majalah ini yang boleh sahaja dibaca secara percuma. Walaupun hamba lebih suka membaca edisi fizikal, tapi hamba percaya bahawa pihak Gila-Gila terpaksa mengambilkira akan pesaingan pesat dalam era teknologi ini. Semoga kelahiran apps ini akan memberikan sinar baru buat majalah Gila-Gila yang masih lagi bertahan hingga ke hari ini semenjak keluaran sulungnya pada tanggal 1 April 1978.

Kebetulan hamba memang tidak pernah membaca edisi sulung Gila-Gila. Jadi hamba rasa seronok apabila dapat menatapnya secara digital. Cuma sebab mata orang sebegini sudah kabur maka agak tidak selesa untuk menatap di skrin yang kecil. Memandangkan ia tidak boleh di muat turun, maka hamba buat cetakan skrin untuk membolehkan hamba melihatnya menggunakan komputer desktop dan boleh juga untuk hamba cetak buat simpanan sendiri. Cuma kerja membuat cetakan skrin itu lecehlah sedikit dan memakan masa. Tetapi kerana nak membaca dengan selesa perlulah juga untuk menggigihkan diri.

Melihat kepada edisi pertama ini dapat kita katakan bahawa ketika ini Badol merupakan artis ataupun pelawak yang popular ketika itu. Kartun Zainal Buang Hussein (ZBH) bertajuk Nasib Si Bedul yang berasaskan filem Si Badul lebih menjelaskannya. Seperti yang kita ketahui ZBH memang pakar melukis karikatur dan menambahkan kelucuan dengan gerak badan watak-wataknya. Gila-Gila #1 dipasarkan dengan harga RM1 tetapi harganya kini telah mencecah ribuan ringgit mengikut harga collector. Kerana itu sekali lagi hamba mengucapkan terima kasih atas lahirnya apss ini kerana ia memberikan peluang untuk lebih ramai menatapnya ataupun yang tidak mapu membeli dengan harga keras berkenaan.

Diterajui oleh empat orang pemuda, selain ZBH adalah Jaafar Taib, Mizhar dan Azman (kini Dato'), kesemua mereka melukis untuk edisi awal ini. Selain itu terdapat juga kartun sumbanganpelukis-pelukis lain seperti Zamriabu, Rejabhad, Junhairi (Long), Alim, Nan, Mohd Ali Rabani dan lain-lain lagi. Hamba percaya lukisan, rekaletak, bingkai kartun dan kotak dialog banyak dilakukan secara manual. Kotak dialog contohnya akan dibuat pada helaian lain dan kemudiannya ditampal di atas helaian lukisan. Begitu juga dengan pewarnaan. Justeru kita akan merasai lukisan yang lebih asli dan bakat yang sebenar para kartunis.

Terdapat juga beberapa tulisan lucu hasil sumbangan orang ramai terutamanya dan anda perlu tahu bahawa Abdullah Hussein (kemudiannya menjadi Sasterawan Negara) ada menyumbang tulisan dalam edisi yang pertama ini.

Kelahiran Gila-Gila sebenarnya menjadi benchmark majalah-majalah kartun yang lahir selepasnya. Kebanyakan mereka cuba meniru cara Gila-Gila yang menyebabkan mereka ini kemudiannya tidak dapat bertahan lama. Ia juga membuka jalan untuk kelahiran lebih ramai kartunis sehingga menjadikan kerjaya sebagai pelukis kartun tidak lagi dipandang rendah.

Bermula daripada edisi pertama ini, secara perlahan-lahan Gila-Gila mula meningkatkan kualitinya. Kartunisnya mula dikenali dan pejabat mereka sering menjadi tumpuan para pelawat terutamanya daripada sekolah-sekolah. Beberapa siri kartunnya telah menjadi legenda seperti aku Budak Minang, Ayop Anak Tulakang, Periwira Mat Gila, Tiga Dara Pingitan dan banyak lagi.

Kita mengharapkan agar Gila-Gila terus bertahan walaupun cabarannya semakin kuat.


DR. WHO - Lat



Dr. Who - capturing the life and times of a leader in cartoons persembahan baru kartunis Lat tetapi adalah edisi cetak semula tahun 2018 oleh syarikat MPH. Mungkin ia sebagai satu penghargaan kepada Tun M yang memegang tampuk kerajaan buat kali ke dua. Mungkin lukisan yang baru adalah mukasurat awal dedikasi Lat buat Tun M dan isterinya yang dibuat dalam bentuk warna.

Ia memaparkan karya Lat tentang Tun M semenjak tahun 70an lagi yang membolehkan kita melihat evolusi lukisan Lat terhadap wajah Tun yang pada awalnya boleh kita lihat biasa sahaja dan semakin meningkat menjadi lebih lucu dan bersahaja. Ya benar karikatur Tun oleh Lat dapat kita kenali melalui hidungnya. Bahkan Tun sendiri menyedari akan hal tersebut :-D


Peristiwa yang dilukis mengambil masa puluhan tahun sebelum beliau menjadi PM hinggalah kepada lukisan terakhir iaitu tempoh peralihan kuasa kepada Tun Abdullah. Justeru kepada yang melalui zaman-zaman ini dengan mudah sahaja dapat memahami apa yang cuba disampaikan melalui kartun-kartun berkenaan tetapi mungkin sukar kepada pembaca muda hari ini. Oleh itu sekiranya dicetak lagi untuk masa yang akan datang, wajar dicatitkan sedikit ringkasan tentang peristiwa di sebalik kartun berkenaan. Sepanjang perjalanan buku ini juga dapat kita lihat wajah-wajah tokoh yang pernah menjadi timbalan beliau bermula daripada Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Dato' Seri Anawar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Justeru memandangkan karya ini khusus tentang Tun, maka isu politiklah yang mendominasi hampir keseluruhan kartun.



Selasa, 14 Mei 2019

RUMAH IMPIAN CHI 01 - Konami Kanata



Kalau tengah ada masa dan tiada bacaan yang boleh dicapai, komik kanak-kanak pun jadi. Komik kanak-kanak pun tidak ada salah untuk orang dewasa membacanya sebab komik kanak-kanak biasanya memaparkan banyak pengajaran dan tidak menggunakan dialog yang melampau.

Perkataan Chi asalnya adalah satu istilah untuk seorang kanak-kanak bernama Youhei yang merujuk kepada perbuatan membuang air. Ia sama dengan kita apabila berinteraksi dengan kanak-kanak tempatan seperti menggunakan istilah mamam merujuk kepada makan ataupun bubum  yang merujuk kepada tidur. Kucing ini apabila cuba diajar untuk membuang air di tempat yang khusus dengan menggunakan arahan Chi lama-kelamaan menyangka itu adalah panggilan buatnya. maka jadilah nama kucing ini Chi.

Chi sebenarnya seekor kucing yang tersesat dan tidak tahu arah pulang ke rumahnya apabila leka melihat sesuatu ketika berjalan bersama keluarganya. Ditemui oleh sebuah keluarga Encik Yamada tiga beranak. Maka bermulalah episod baru kehidupan Chi. Keluarga berkenaan pula pada mulanya cuba mencarikan orang lain untuk membela Chi memandangkan apartment mereka melarang sebarang haiwan peliharaan.

Namun akhirnya tiada siapa yang dapat membela Chi dan keluarga Yamada semakin sayang pula kepada Chi. Maka komik ini diisi dengan telatah-telatah Chi bersama keluarga Yamada.

Gaya lukisan Konami Kanata adalah ringkas namun kemas. Tidak terlalu banyak dialog yang akan menyukarkan kanak-kanak. Konami tentunya seorang pencinta kucing kerana dapat melukiskan gaya dan tabiat kucing dengan baik sekali.


Isnin, 13 Mei 2019

KASYAF AIN - Ramlee Awang Murshid



Novel ini merupakan naskhah yang diterbitkan sendiri oleh penulis melalui RAM Typewriter. Edarannya juga dilakukan oleh pihak RAM sendiri. Kerana itu novel ini agak payah untuk ditemui (setakat ini hamba belum pernah menemuinya di mana-mana kedai buku). Pembelian boleh dilakukan melalui kelab RAM atau mana-mana pameran yang mereka adakan. Tidaklah hamba ketahui sekiranya pengedaran secara begini bagi menjadikan ia sebuah buku yang ekslusif atau sememangnya strategi pemasaran mereka. Sudah terbiasa dengan novel RAM yang diterbitkan oleh Karangkraf, justeru penampilan muka depan novel ini dilihat biasa-biasa sahaja tidak seperti kelaziman kulit muka buku RAM oleh Karangkraf yang sentiasa nampak menarik. Mujur jugalah isi dalamannya tidak sebegitu.

Bertemu nama Liau Gantua pada awal pembacaan, hati hamba terdetik bukankah nama ini pernah hamba temui dahulu? Lantas muka-muka surat yang seterusnya memberikan jawapan itu. Kisah dalam Kasyaf Ain adalah sama seperti kisah Tetamu Siang yang terkandung dalam Antologi Mistik Jembalang yang pernah hamba ulas pada 2015 dahulu. Bezanya dalam antologi berkenaan kisah yang dicatatkan ringkas sahaja lebih kurang 200 mukasurat dan lebih panjang dalam Kasyaf Ain. Dalam ulasan Tetamu Siang hamba ada menulis; '.....Novel ini akan lebih menarik sekiranya ruang masa antara kedua kurun tersebut diisi dengan usaha keturunan Adi untuk menghapuskan pontianak sehingga mengambil masa yang begitu lama. Alaf 21 sepatutnya menjadikan bahagian Ramlee ini sebagai sebuah novel lain yang boleh berdiri dengan sendirinya tanpa perlu bergandingan dengan penulis lain.' Walaupun RAM tidak menggunakan sela masa berkenaan untuk berkisah tentang usaha beberapa keturunan Tok Adi menghapuskan pontianak aka Cindai namun RAM berkiasah tentang usaha dua orang keturunan Tok Adi untuk menghapuskannya pada latar masa kini. Dan walaupun Alaf 21 tidak mengambil inisiatif untuk menjadikan Tetamu Siang sebagai sebuah novel berasingan, RAM telah melakukannya secara sendiri melalui Kasyaf Ain.

Kasyaf Ain mengambil dua latar masa iaitu hari ini dan pada pertengahan abad ke-19. Pada abad lalu ia menjurus kepada permasalahan syirik yang berlaku kepada sebuah kampung serta usaha untuk menghapuskan jembalang. Penghapusan etnik jembalang itu menyaksikan seekor daripadanya yang bernama Cindai telah terlepas.

Lepasnya Cindai itulah yang membawa kepada kisah ke latar masa kini apabila Cindai yang dianggap berada dalam sarungan Hanum Saskia telahpun dapat ditumpaskan oleh Syamel. Kisah bagaimana pembunuhan itu berlaku, asal usulnya dan lain-lain lagi diceritakan secara imbas lalu kepada seorang pegawai polis bernama Rosman yang sebenarnya mempunyai kaitan susur galur dengan Syamel.

Seperti yang hamba catat di atas, kisah dalam Kasyaf ain sama sahaja dengan ulasan pada Tetamu Siang dan anda boleh melihatnya di laman berkenaan. Hanya ia lebih panjang dengan penambahan plot dan konflik. 

Diakhir bab RAM membayangkan bahawa Cindai yang sebenarnya bukanlah berada pada tubuh Hanum Saskia bahkan pada tubuh Anita yang merupakan rakan sejawat Rosman. Adakah ini satu lagi hint bahawa ia akan mempunyai sambungan lagi?


Jumaat, 10 Mei 2019

PANGLIMA SALLEH SELEMPANG MERAH - Zaharah Nawawi



Kita harus mengucapkan terima kasih kepada pihak dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) kerana mencetak kembali buku ini. Kali pertama ia dicetak adalah pada 1998 sehinggalah kali terakhir pada 1995 melalui cetakan ketiga. Jika tidak generasi terkemudian bukan sahaja tidak dapat menghayati sejarah getir orang Melayu ini bahkan buku cetakan yang lama akan dijual dengan harga yang kadangkala tidak masuk akal. 

Apa yang boleh hamba katakan adalah, semua anak bangsa kita wajar membaca buku ini. Melaluinya kita akan tahu betapa perit dan getirnya kehidupan sekitar pendudukan Jepun di mana kerisauan bukan sahaja terhadap tentera Jepun tetapi juga terhadap pengganas komunis yang juga sedang meluaskan pengaruh. Anak bangsa juga harus tahu akan keberanian nenek moyang mereka mempertahankan tanah air tanpa rasa takut walaupun hanya mempunyai senjata yang terhad. Semangat yang ada pada mereka telah mencetuskan keberanian yang luar biasa sehingga bisa menakutkan para musuh. Ia ini bukan kisah rekaan sebagai hiburan amsa lapang. Anak bangsa kita harus membaca buku ini agar sedar bahawa dapatnya kita berehat di rumah atau pergi bercuti ke mana-mana tanpa rasa risau adalah kerana jasa nenek moyang kita dahulu yang terlebih dahulu menggadai nyawa. Bahkan buku ini juga akan mengajar kita tentang musuh bangsa serta musuh dalam perjuangan itu sendiri.

Latar waktu buku ini adalah sekitar zaman pendudukan Jepun. Kita sering mendengar betapa kejamnya Jepun ketika memerintah. Kita mengetahui betapa sengsaranya rakyat Tanah Melayu ketika itu, tetapi kita kurang tahu sewaktu itu juga rakyat turut tertekan dengan adanya komunis. Mebaca buku ini hamba agak sedikit terkejut kerana walaupun latar waktunya adalah di zaman Jepun, tetapi kekejaman yang sebenar dan lebih besarnya datang daripada pengganas komunis. Tidak dapat hamba bayangkan akan kehidupan pada waktu itu. Tidak cukup dengan Jepun, komunis juga bermaharajalela.

Mangsanya pada waktu itu tentulah orang Melayu. Meeka dihendaki memberikan sumbangan kepada komunis di hutan. Orang Melayu juga dibunuh sesuaka hati. Sering terjadi orang yang pergi ke bandar untuk membeli barang tidak kembali lagi. Batang-batang kayu ada tersedia di kedai-kedai di bandar untuk memukul orang Melayu. Mereka akan diikat kemudiannya di dalam guni sebelum direbus hidup-hidup di dalam kawah. Ada yang dipanggil untuk bertanam ubi yang sebenarnya diarah menggali lubang sebelum mereka kemudiannya ditanam hidup-hidup. 

Orang Melayu adalah bangsa yang penyabar. Hingga hari ini kita masih orang yang penyabar. Walaupun diseksa sebegitu teruk namun mereka masih lagi sabar. Namun perlu diingat kesabaran bangsa ini ada batasnya. Apabila ia melampaui hadnya maka barulah ia akan meledak dan selepas itu berlakulah amukan yang tidak dapat ditahan lagi. Inilah yang berlaku kepada orang Melayu ketika itu. Ketika keadaan menjadi semakin buruk, muncullah Panglima Salleh menawarkan diri bagi memimpin orang Melayu untuk bangkit berjuang menentang komunis.

Sebelum hamba pergi lebih jauh, suka hamba ingatkan bahawa penulisan buku ini dilakukan oleh penulis denagn terlebih dahulu mengumpul maklumat daripada mereka yang pernah terlibat seperti para pejuang, keluarga Panglima Salleh sendiri termasuk juga keluarga Dato' Onn. Justeru ia bolehlah dikatakan sebagai sumber daripada orang pertama. Sumber lansung daripada panglima Salleh tidak ada memandangkan beliau telah meninggal dunia pada 21 April 1959.

Ketika memulakan perjuangan, tidak ramai yang mahu turut serta, tidak sampai 40 orang pun. Sama ada mereka takut ataupun belum begitu meyakini akan kepimpinan Panglima Salleh. Namun kejayaan demi kejayaan yang diperolehi membuatkan sokongan yang diberikan semakin bertambah. Semakin ramai yang menyertai perjuangan. Apatah lagi apabila mereka berjaya menumpaskan beratus-ratus komunis dalam sesuatu pertempuran dengan kadang-kadang tiada seorangpun para pejuang yang menemui kecelakaan.

Orang menyangka Panglima Salleh kebal. Tetapi di dalam buku ini dinyatakan beliau sendiri menganggap dirinya orang biasa sahaja bahkan ada peristiwa yang membuatkan bahunya tercedera. Begitu juga dengan kisah parang terbang yang sering dikaitkan dengan beliau, tiada satupun episod di dalam buku ini yang menceritakan hal berkenaan. Selempang merah juga hanya diberikan kepada orang tertentu dan ia hanya kain biasa yang ada dibacakan doa. Air Yasin yang diberikan minum tidak lebih hanya untuk membangkitkan semangat sahaja.

Walaupun zaman berkenaan alat perhubungan adalah terhad dan tidak canggih lansung, musuh dalam selimut dapat bergerak dengan cukup pantas membocorkan rahsia para pejuang. Lebih malang bukanlah orang lain yang membocorkannya tetapi mereka yang menjadi gunting dalam lipatan, pepat di luar rencong di dalam.

Satu rancangan besar untuk merancah komunis di Batu Pahat telah merisaukan para pemimpin komunis. Mereka yang berselindung di sebalik kelab-kelab cina telah meminta bantuan Dato' Onn untuk memujuk Panglima Salleh menghentikan serangan. Dato' Onn berjaya memujuk beliau dan Bandar Batu Pahat aman daripada serangan. Peristiwa itu kemudiannya membawa kepada perjanjian perdamaian antara komunis dan penduduk temapatan. Untuk makluman ketika itu Jepun telahpun menyerah dan British telahpun kembali. Tetapi komunis tetap komunis. Mereka masih lagi membunuh orang Melayu hingga membuatkan para pejuang bangkit kembali. Perkara ini mengajar kita bahawa orang Melayu ini memang suka kepada perdamaian sedangkan musuh hanya mahu membuat helah sahaja. Ia mengajar kita juga agar tidak mudah percaya kepada sesuatu pihak yang hanya menjadi musang berbulu ayam.

Perjuangan Panglima Salleh diiktiraf oleh pihak istana. Gelaran panglima itu juga turut diiktiraf oleh baginda Sultan. Panglima Salleh telah dilantik sebagai penghulu Mukim Empat pada 26 Disember 1945. Beliau turut dianugerahkan Pingat Ibrahim Sultan (PIS) pada 17 September 1955.

Buat pengkhianat bangsa, hati-hati mengacah orang Melayu. Kesabaran mereka nampaknya makin terhakis.


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...