Sabtu, 28 Oktober 2017

DEMI DARA - Abdul Rahim Awang



Tidak sangka rupanya Abdul Rahim Awang masih lagi mempunyai karya terbaru. Para pembaca seharusnya tidak ragu untuk memilih novel sekiranya nama ini tercatat di atasnya. Ini kerana nama Abdul Rahim Awang itu sendiri umpama sebuah jenama yang mempunyai mutu yang tersendiri.

Secara ringkasnya Demi Dara adalah sebuah kisah pembalasan dendam oleh seorang gadis bernama Mazlin aka Dara terhadap empat orang lelaki yang memperkosanya sewaktu beliau berada di dalam tingkatan lima. Para penjenayah tersebut mati seorang demi seorang beberapa tahun selepas kejadian hitam tersebut yang mencetuskan kegemparan di kampung mereka. Walau bagaimanapun abang Dara yang bernama Mazlan telah ditangkap kerana disyaki membunuh. Mazlan akhirnya dijatuhkan hukuman mati dan ketika itulah Dara merasakan beliau perlu berjuang untuk membebaskan abangnya. 

Tidak ada siapa yang tahu apa yang terjadi kepada Dara apabila beliau ditemui abangnya pada suatu senja keluar dari semak dalam keadaan lemah. Dara begitu merahsiakan perkara tersebut. Apabila penulis memaparkan kejadian pembunuhan kesemua empat mangsa, para pembaca sememangnya boleh mengagak siapakah pembunuhnya berdasarkan sejarah lampau serta usaha Dara sebelum itu yang mempelajari ilmu silat serta kemahiran mekanik. Cerita seumpama boleh tamat begitu sahaja. Tetapi penulis nampaknya seperti mahu menekankan kisah utamanya bukan sahjaa apabila kesemua mangsa itu terbunuh tetapi adalah kisah perjuangan Dara bagi membenaskan abangnya. Di sini elemen imbas semula (flashback) banyak digunakan apabila pihak peguam merakam keterangan Dara. Imbas semula ini seolah memaksa pembaca untuk membaca beberapa bab awal memandangkan penceritaan Dara adalah amat terperinci seumpama penulis novel menyalin semula bab bab awal tetapi dalam bentuk penceritaan oleh Dara dan dengan dialog perbualan yang verbatim, seumpama Dara ini mempunyai memori robot atau perawi hadith.

Walaupun bersifat thriller, tetapi tidaklah mencapai tahap suspen seperti novel novel karangan Ramlee Awang Murshid. Kejadian pembunuhan empat mangsa agak ringkas, straight to the point, dan pembaca tidak perlu bersusah payah untuk membuat tekaan. Penekanan juga tidak diberi kepada perbicaraan mahkamah. Tidak ada babak pertikaman lidah yang hebat di mahkamah melainkan disentuh secara lalu sahaja.

Walaupun akhirnya Mazlan dibebaskan dan Dara juga tidak didakwa, novel ini tidak berakhir dengan happy ending. Apa yang berlaku kepada Dara selepas itu umpama satu Deja-vu, tetapi tidak diketahui kenapa tragedi itu berlaku lagi kepada beliau, siapa pelakunya dan apakah motifnya. 


Selasa, 24 Oktober 2017

ANARKIS : BANGKIT - Khairul Nizam Khairani



Biasanya filem bercorak aksi akan dimulakan dengan adegan yang mendebarkan serta menaikkan adrenalin. Maka novel ini berjalan seumpama filem-filem aksi tersebut. Bahkan debarannya berpanjangan sejak permulaan kisah hinggalah ke akhirnya. Sekiranya anda peminat novel-novel aksi dan amat menyampah dengan novel cinta yang meloyakan, maka Anarkis : Bangkit amatlah sesuai dengan jiwa anda.

Anarkis : Bangkit sebenarnya merupakan sambungan daripada novel Anarkis. Justeru bagi pembaca yang tidak pernah membaca naskhah pertamanya mungkin akan terasa sedikit keliru serta mungkin tertanya-tanya dengan beberapa nama yang tiba-tiba muncul tanpa pembaca mengetahui latar belakangnya. Lebih-lebih lagi penulis tidak banyak memuatkan babak imbas semula bagi membolehkan pembaca baru untuk mengetahui hujung pangkal kisah. Justeru hamba mencadangkan agar dikhatamkan Anarkis terlebih dahulu sebelum membaca Anarkis : Bangkit. Walau bagaimanapun Anarkis : Bangkit masih boleh diikuti dengan baik walaupun tanpa membaca naskhah permulaannya.

Pada bahagian kedua ini Sarjan Awai anak Gamung seumpama berjuang untuk dirinya sendiri.Diburu oleh beberapa pihak dari dalam dan luar negara, Awai dilihat sebagai seorang penjenayah berbahaya di kacamata pihak berkuasa negara. Namun beliau amat percaya dengan jalan yang diambilnya, memutuskan untuk tidak menyerah diperingkat awal sambil bertekad untuk membersihkan namanya sendiri daripada tuduhan melakukan beberapa pembunuhan.

Amat jarang sesebuah novel Melayu mengangkat watak seorang Iban sebagai hero cerita. Namun Anarkis : bangkit umpama sebuah novel yang melibatkan pelbagai kamum yang ada di Malaysia. Ia mengungkapkan keberanian anak tempatan dan dalam masa yang sama menunjukkan pihak luar negara (perisik ataupun tentera) tidaklah begitu hebat mana. Penulisnya bagi hamba mempunyai pengetahuan yang memadai tentang dunia ketenteraan dan perisikan untuk menghasilkan novel hebat ini. Sarjan Awai dari awal lagi digambarkan sebagai seorang yang keras hati, berprinsip, berani, mampu berfikir dengan waras di saat genting, berperikemanusiaan walaupun tindakannya kadang-kadang agak brutal serta bertanggungjawab. Kebahagiaan hidup yang dirasanya direnggut daripadanya apabila isteri dan anaknya tidak lagi bersamanya. Justeru beliau tidak mahu menerima rawatan daripada Dr Jason yang merupakan suami baru kepada isterinya yang seumpama akan mencabut maruah dirinya. Kata-kata Arman Ghanni kepada Dr Jason berikut amat menarik sekali; "Doktor, Sarjan Awai merasakan yang doktor dah mengambil semua benda berharga dalam hidupnya. Isterinya, anaknya, keluarganya, kebahagiaan yang dirindu dan didambakannya sewaktu dia masih di Croatia. Dia dah kehilangan segala-galanya di tangan doktor. Apa yang tinggal hanyalah maruah dirinya. Tapi kalau doktor menjadi orang yang menyelamatkan nyawanya, maka maruahnya juga telah diambil oleh doktor....."

Walaupun kelihatan umpama Awai berjuang seorang diri, tetapi dalam masa yang sama sebenarnya terdapat juga beberapa individu yang membantunya dari belakang. Mereka ini sama ada terhutang nyawa denagn Sarjan Awai ataupun merasakan itu tanggungjawab mereka untuk membantu kerana merasakan Awai tidak bersalah serta menjadi mangsa keadaan.

Novel ini seakan ada sambungannya lagi apabila Awai memutuskan untuk menyertai French Foreign Legion. Pasti akan terhidang lebih banyak aksi lagi!!


Khamis, 19 Oktober 2017

TOMBIRUO : PENUNGGU RIMBA the movie



Menonton filem ini seharusnya tidak boleh dibandingkan dengan naskhah asalnya yang berbentuk novel. Dalam novel penceritaannya lebih rencam, plotnya lebih kompleks, terlalu banyak persoalan dan penuh dengan elemen kejutan. Kesimpulannya jika inginkan kepuasan yang maksima, novel adalah jawapannya. Namun untuk memnuhi kesemua penceritaan di dalam sebuah filem adalah sesuatu yang mustahil. Kecuali jikalau Tombiruo ini dijadikan drama bersiri untuk memastikan penceritaan yang lengkap sepertimana di dalam novel.

Justeru melalui layar perak terlalu banyak perkara di dalam novel yang tidak dapat ditampilkan. Pembaca tegar tentunya tidak dapat tidak akan terasa kehilangan ini serta membuat perbandingan. Walau bagaimanapun usaha mengangkat naskhah ini ke layar perak boleh dianggap agak berjaya.

Menggunakan Seth Larney sebagai pengarah utama secara tidak lansung telah memberi kredit terhadap filem ini apatah lagi pengarah berkenaan sememangnya mashur dengan pengelibatannya dalam beberapa buah filem besar Hollywood seperti X-Men dan Star Wars atau filem-filem yang banyak menggunakan kesan khas. Kerana itu penggunaan CGI dalam Tombiruo hamba anggap cemerlang, kena pada tempatnya dan tidak melampau. 

Pujian juga harus diberikan kepada sinematografi yang cemerlang. Kehijauan dan keindahan hutan di Sabah telah berjaya dirakam dengan baik sekaligus mempromosikan pelancongan ke negeri itu sendiri. Hamba percaya sudah tentu ada yang tertarik dengan beberapa lokasi cantik yang terdapat di dalam filem ini.

Tidak banyak dialog di dalam Tombiruo. Ia dipenuhi dengan babak aksi pada kebanyakan tempat. Pergerakan kamera dan ceritanya berjalan seiring pantas. Inilah kurangnya filem. Di dalam novel kita dapat membaca isi hati watak Ejim/Tombiruo tetapi di dalam filem agak sukar apatah lagi watak berkenaan dilindungkan oleh topeng kayunya. Justeru sebarang mimik wajah yang memaparkan emosi tidak dapat dilihat. Emosi Ejim mungkin dibantu oleh CGI pada beberapa tempat seperti bumi yang bergegar apabila menangisi kematian bapanya, akar yang boleh melilit apabila beliau marah dan sebagainya. 

Dalam novel mungkin kita hanya melihat kegagahan Ejim tetapi di dalam filem Ejim bagaikan mutan X-Men yang mempunyai kuasa ajaib seperti boleh mengarahkan akar pokok untuk melilit musuh, mendatangkan gempa bumi dan angin kencang serta menumbuk tanah hingga menjadikan lubang yang dalam. Ejim juga amat power kerana dalam filem ini sekurang-kurangnya tiga kali beliau telah terkena tembakan di bahagian tubuh yang berbeza namun keadaannya seperti tiada apa-apa dan masih gagah berlawan.

Ada juga beberapa kejanggalan yang boleh hamba perhatikan. Antaranya babak Ejim semasa bayi yang dihanyutkan ke dalam sungai menggunakan kolek. Melalui beberapa jeram yang deras dapat dilihat kolek berkenaan dilmpahi air sungai, tenggelam, terbalik, namun bayi berkenaan masih selamat. Bapa Ejim (Faizal Hussein) telah ditembak dibahagian belakang sebelah kiri bahu. Namun kesan tembakan di sebelah depan kesannya adalah bawah sedikit berbanding di sebelah belakang yang agak ke atas. Ran atau pondok atas pokok Ejim sewaktu dalam babak terbakar, jika dilihat kepada maraknya api seharusnya telah menghanguskan keseluruhan pondok tersebut. Tetapi di akhir wayang kebanyakannya dindingnya masih lagi elok, bahkan lantainya juga masih utuh.

Jikalau di dalam novelnya, RAM akan memberikan hint tentang novel selanjutnya, begitu juga di dalam filem ini. Nampaknya bukan sambungan kepada Tombiruo dan hint berkenaan sekiranya benar pasti ditunggu ramai peminat RAM.

Jangan ditanya berapa bintang yang mahu hamba berikan untuk naskhah ini. Sekiranya anda mahu menikmatinya anda boleh ke panggung wayang atau kalau tidak tunggu sahaja tanyangannya pada mana-mana perayaan di kaca televisyen kelak!!


Khamis, 12 Oktober 2017

KURMA DAGING ANITA - Cikli

Cikli merupakan salah seorang kartunis yang hamba minat hasil lukisannya. Lukisannya kemas, tidak berserabut. Lakarannya adalah bersifat tempatan tanpa dicemari unsur manga atau manhua. Beliau antara kartunis yang ngetop pada zamannya. Hamba percaya peminat majalah Gila-Gila sekitar 90an amat mengenali karya beliau lewat karakter Manjalong yang begitu comel dan bijak. Manjalong walaupun masih kanak-kanak tadika boleh masuk dengan bapa saudaranya Cikli yang nampak rock.

Kurma Daging Anita adalah merupakan kompilasi satu siri kartun yang pernah tersiar di majalah Gila-Gila. Walaupun menggunakan tajuk Kurma Daging Anita, watak Anita sebenarnya bukanlah tumpuan utama dalam siri kartun ini. Sebaliknya tumpuan utama adalah terhadap watak Nordin, sahabat lama Cikli yang telah enam tahun menghilangkan diri. Anita merupakan jiran baru Cikli yang baru sahaja berpindah ke rumah sebelah rumah yang beliau diami. Anita mempunyai seorang adik bernama Ayep yang tidak kurang cerdiknya berbanding Manjalong. 

Mempunyai jiran yang 'cun' membuatkan Cikli berusaha untuk mengayat Anita. Kepulangan keluarga kakaknya ke kampung bagi menziarahi Pak Long mereka yang sakit memberi sedikit lorong untuk Cikli berbaik dengan Anita. Ini apabila Anita memasakkan mereka kurma daging setelah mengetahui hanya Cikli dan Manjalong sahaja yang berada di rumah. Anita sebenarnya dalam peringkat memahirkan diri memasak juadah tersebut turut meminta pandangan Cikli apabila telah merasainya nanti.

Ketika inilah watak Nordin tiba-tiba muncul pada suatu malam di depan rumah Cikli. Nordin
telah enam tahun menghilangkan diri dari kawasan perumahan tersebut. Kepulangan semula Nordin akhirnya mengungkapkan semula sebab dan ke mana beliau menghilang selama ini. Kepulangan beliau juga amat tidak menyenangkan Sani yang sedaya upaya cuba untuk menghalaunya semula daripada kawasan tersebut. Ternyata Sani juga mempunyai kisah silam dengan Nordin.

Cikli berasa curiga apabila suatu hari beliau melihat Anita memberikan sepucuk surat kepada Nordin. Ini menaikkan rasa cemburu Cikli yang meminati Anita. Nordin kemudiannya meninggalkan rumah Cikli begitu sahaja tanpa sebarang pamit. Kejadian kecurian di rumah Cikli selepas itu membuatkan Cikli bersyakwasangka terhadap Nordin. Sani sendiri begitu mengapi-apikan lagi tuduhan tersebut. Namun para pencuri berkenaan akhirnya memulangkan sendiri barang-barang curian tersebut setelah teruk dibelasah sendiri oleh Nordin. Di kala ini nama Nordin dapat dibersihkan kembali.

Tiga bulan kemudian Nordin menghubungi semula Cikli dan meminta beliau datang ke gerai yang baru dibukanya. Ternyata surat yang dilihat Cikli dahulu sebenarnya adalah resepi kurma daging yang diberikan Anita kepada Nordin. Nordin kini mengusahakan gerai kurma hasil resepi Anita!!


Rabu, 11 Oktober 2017

BUKAN PUTERI LINDUNGAN BULAN - Liana Afiera Malik

Novel ini dikatakan pernah menjadi novel terlaris pada zamannya. Dikatakan juga novel ini kini boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding harga asalnya memandangkan ia tidak lagi dicetak, apatah lagi penulisnya sendiri telahpun meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Namun ketika novel ini hangat di pasaran hamba tidak berpeluang membacanya sehinggalah bertemu naskhah ini di perpustakaan jabatan 3 minggu yang lalu. Lantas hamba baca untuk cuba mencari dimana 'kesedapan' novel ini.

Mungkin juga novel gaya sebegini bukannya menjadi kegemaran hamba membuatkan hamba merasakan Bukan Puteri Lindungan Bulan hanya biasa-biasa sahaja. Membacanya juga umpama menonton drama-drama Melayu jam 7 petang di televisyen. Sarat dengan kisah kehidupan orang Melayu korporat yang punya gelar Datuk, Tengku dan Tan Sri. Mungkin ketika itu kisah bercorak sebegini agak diminati tetapi rupanya sampai hari ini tv masih ghairah dengan kisah sebegini yang nyata kebanyakannya jauh dari realiti orang Melayu itu sendiri.

Novel ini lebih tertumpu kepada satu watak iaitu Larasati Aisya yang juga dipanggil Puteri di kalangan keluarga dan teman rapatnya. Digambarkan sebagai anak muda yang masih menuntut dalam bidang undang-undang, terpaksa berhenti seketika daripada pelajaran kerana menguruskan perniagaan arwah bapanya. Ibu beliau telah berkahwin lain, dengan teman rapat bapanya dahulu membuatkan Lara berjauh hati dan renggang dengan ibunya. Mempunyai teman lelaki bernama Zafir yang digambarkan pada permulaan sebagai seorang yang penyayang serta sangat memahami diri Lara. Perkahwinan abang Lara , Lukman Alif aka Luke dengan Sabrina mencetuskan konflik antara Lara dan kakak iparnya itu. Digambarkan sebagai seorang yang materialistik serta curang, Lara amat tidak sebulu dengan beliau apatah lagi selepas Sabrina sama-sama bekerja di syarikat Lara bahkan bertindak membawa bersama suku sakatnya masuk bekerja. Kisah Sabrina mula 'perlahan' setelah Lukman terlibat dalam kemalangan helikopter di Sarawak dan hilang. Sabrina ditangkap khalwat dengan Zakuan dan dituduh menggelapkan wang syarikat sebanyak 6 juta. Beliau yang pada mulanya mengemukakan pelbagai tuntutan apabila mengemukakan permohonan fasakh terpaksa akur dengan tawaran yang diberikan Lara/Syed Hishamuddin kerana tidak mahu rakaman mereka tertangkap diketahui umum.

Peristiwa Lara diperkosa sehingga dua kali oleh Zakuan mungkin merupakan permulaan kepada sebuah konflik yang penuh hura hara dalam hidup Lara. Peristiwa itu membawa kepada pernikahan Lara dan Zafir. Berita Lara mengandung membuatkan Zafir keliru dan tidak mengakui anak itu adalah benih beliau. Datang pula kekasih lama Zafir, Tengku Farah yang nula masuk daun yang akhirnya membawa kepada pernikahan mereka berdua dengan direstui Lara.

Tengku Farah pula bersifat seperti sesumpah, sekejap berwatak baik, sekejap amat iri dengan Lara. Pada ketika beliau berada pada watak hitam inilah banyak masalah timbul pada lara. Zafir dikawal sehingga susah untuk balik bertemu Lara. Pelbagai alasan yang digunakan untuk mengikat Zafir. Zafir pula jenis lembik tengkuk yang hujung-hujungnya kalah juga dengan tindakan Farah. Cuma pada hujung-hujung cerita barulah ada ketikanya Zafir berkeras dengan Farah sehingga naik tangan kepada beliau. Itupun beliau akan lembik tengkuk juga selepas itu.

Kemuncak cerita adalah setelah Zafir terpaksa berpisah dengan Lara atas desakan Farah. Ia membawa pula kepada penculikan anak-anak Lara oleh Zafir sendiri. Dan seperti adat cerita Melayu yang suka penyelesaian dengan cara kematian, Farah meninggal kerana kanser, Zafir meninggal kerana kemalangan, dan oh ya sebelum itupun Sabrina turut meninggal kerana kemalangan. Lara pula tidak sedarkan diri sampai pengakhiran kisah setelah mendengar berita perginya Zafir.

Apa yang hamba tulis di atas tidak mungkin dapat mengungkapkan kesemua kisah dalam novel ini yang tebalnya melebihi 1200 mukasurat. Tetapi secara keseluruhannya novel ini pada hamba hanya biasa-biasa sahaja. Tidak banyak babak suspen yang ditampilkan. Kesudahan sesuatu perkara boleh diagak oleh pembaca seperti mana lazimnya juga drama Melayu. Penulis kerap kali mengulang-ulang tulisannya dalam gaya yang berbeza tetapi membawa maksud yang sama, kerana itu novel ini boleh menjadi tebal.

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...