Khamis, 31 Disember 2020

IMAM - Abdullah Hussain

 


Kali pertama hamba membaca Imam adalah lebih 20 tahun yang lalu. Mungkin sekitar 1997 atau 1998. Dah terlupapun akan kisah dan jalan ceritanya. Keberadaan novel ini di perpustakaan jabatan membolehkan hamba revisit semula novel ini.

Imam memenangi tempat pertama dalam Hadiah Novel Nasional 1992/94 anjuran Utusan Melayu dan Public Bank. Agak malang apabila Utusan Melayu telah menamatkan operasinya pada 9 Oktober 2019 setelah beroperasi selama 80 tahun. Ini sekaligus menamatkan juga anugerah berprestij untuk penggita sastera tanah air. Kemunculan semula Utusan pada 20 Julai 2020 dengan wajah yang baru menampilkan mukasurat yang lebih nipis dengan bahan berita yang tidak semenarik dahulu. Sisipan-sisipan istimewa seperti dahulu telah tiada lagi dan disepadukan dengan berita dan laporan akhbar yang lain. Ia lebih banyak dipenuhi dengan artikel berbentuk rencana. Tidaklah diketahui adakah Utusan akan mengadakan lagi anugerah berkenaan seperti dahulu. Berkemungkinan juga sebaga novel Imam yang ada di tangan kita kini adalah naskhah-naskhah yang terakhir andainya Utusan Melayu tidak lagi mencetak buku-buku koleksi sasteranya yang berharga.

Imam memfokuskan kepada watak Haji Mihad yang kembali semula ke kampung halamannya selepas 20 tahu menghilang. Kepulangan beliau yang sebelum ini disangkakan telah mati sewaktu konfrontasi telah menggemparkan penduduk. Kesemua mereka mengharapkan Haji Mihad akan terus kekal di kampung kerana mereka begitu dahagakan pembaharuan.

Haji Mihad ternyata membuat banyak perubahan setelah mengambil alih jawatan imam di masjid. Namun perubahan yang dilakukannya itu menyebabkan penduduk terpecah kepada dua. Ada yang suka dan ada yang tidak, walaupun apa yang dilakukannya itu semuanya baik. Ternyata pembaharuan itu sebenarnya boleh menggugat kedudukan beberapa individu yang sebelum ini mempunyai kuasa tertentu.Kerana itu ada yang membuat pengaduan ke pihak majlis agar mengambil tindakan ke atas haji Mihad.

Hampir 2/3 pengisian buku ini adalah berkenaan tindakan yang sedang diambil oleh pihak majlis. Yang pertama adalah laporan yang disediakan oleh seorang pegawai majlis yang menemubual beberapa individu untuk mendapatkan pandangan mereka tentang Haji Mihad. Ketika membaca 'laporan' ini lebih 20 tahun lalu, hamba masih belum bertugas dengan kerajaan. Jadi hamba tidak berapa menghiraukan akan format serta bentuk laporan yang dipaparkan. namun kini apabila membacanya semula memang terasa akan jauh benar larinya daripada format laporan. laporan yang disediakan oleh pegawai berkenaan - seperti juga pandangan pengerusi majlis yang memeriksanya - adalah seperti novel. Temubual yang dijalankan ditulis semula secara verbatim bahkan turut ditampilkan perlakuan semasa semasa temubual itu dijalankan seperti orang yang ditemubual itu berfikir seketika, mendiamkan diri dan sebagainya. bahkan apabila ada isteri mereka menghidangkan minuman pun turut ditulis - termasuk dialog berbasa basi bersama mereka. Namun ini bukanlah kerana Abdullah Hussain tidak mengetahui akan format pelaporan. Andainya format pelaporan yang digunakan pastinya novel ini akan menjadi bosan. Sebenarnya melalui pelaporan yang dibuat oleh pegawai majlis inilah para pembaca akan mengetahui dengan teliti mengenai watak dan perwatakan orang dalam novel ini terutamanya watak haji Mihad sendiri. 

Yang kedua adalah sesi temuramah antara satu jawatankuasa yang terdiri daripada tiga individu untuk menyiasat tentang diri Haji Mihad. Temuramah yang berlansung beberapa sesi ini sebenarnya secara tidak lansung adalah merupakan satu segmen ilmu untuk pembaca. ia membincangkan beberapa permasalahan yang melibatkan umat Islam seperti hal bid'ah, pertikaian mazhab, wahabi dan sebagainya. Abdullah Hussain bukanlah seorang ustaz. Namun pengetahuan beliau dalam subjek yang dibincangkan kelihatan amat mendalam sekali. Perlu diketahui apabila membincangkan sesuatu berkenaan agama terutamanya tentang masalah perselisihan pandnagan, hukum dan sebagainya, seseorang itu memerlukan pengetahuan yang mendalam. Apa yang dihidangkan oleh Sasterawan Negara ini amatlah menakjubkan.

Kesudahan Imam Mihad amatlah menyedihkan apabila dia dibunuh musuhnya. Tatkala itu kampung berkenaan sedang berkonflik mahu memberikan tapak masjid berkenaan untuk tujuan poerlombongan emas atau tidak. Ironinya penyampaian keputusan untuk memecat Haji Mihad sebagai imam oleh pihak majlis sampai pada hari kematiannya. Begitu juga dengan Masjid Haji Salleh yang tiba-tiba roboh sehingga memakan beberapa nyawa sebelum jenazah Haji Mihad tiba untuk disolati. Namu hikmah yang dipaparkan selepas itu amatlah besar. Kematian Haji Mihad tidak sia-sia dan segala yang berkaitan dengan peninggalan wakaf dan wasiat Haji salleh disemak semula agar berjalan mengikut tuntutan agama.

Imam adalah satu naskhah yang relevan sampai bila-bila dan hanya boleh dilupuskan apabila umat Islam sudah berhenti bertelingkah!


Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.


Selasa, 29 Disember 2020

BILA ATOK KEPCI DAH PAKAI SONGKOK


 

Di bahagian paparan menu di atas kaunter Kepci terpapar menu Nasi Atuk Kepci. Sebelum ini Kepci memang dah ada hidangan nasi. Jadi apa istimewanya nasi atuk ini?


Bila dibuka kotaknya, jelas nampak macam hidangan nasi lemak sahaja. Nasi lemak sebegini jika di warung kita boleh dapat dalam RM3 ke RM4. Di sini, faham-faham sahajalah harga kayangan. Tak ada beza manapun dengan hidangan nasi Kepci sebelum ini, hanya ditambah dengan sambal, timun, kacang dan telur. Mungkin Kepci nak lawan dengan nasi lemak Mekdi. 



Hidangan nasi Kepci pun dah downgrade, bungkus pakai kertas sahaja macam nasi di warung Kak Leha - tapi pastinya harga lebih mahal daripada warung Kak Leha. Hamba ingat lagi masa Kepci belum ada hidangan nasi, hamba akan bawa nasi sendiri dari rumah, siap bubuh kicap lagi. Tak kena rasanya meratah ayam buta saja. Agaknya bila mereka kerap tengok hamba bawa nasi, maka Kepci pun bawa hidangan ini. Ha ha biarlah hamba perasan. Dan bila Kepci dah ada hidangan nasi, hamba tak bawalah lagi nasi sendiri, tapi hamba pernah bawa lempeng!

Tapi untuk jenamakan semula hidangan nasi ini, sanggup mereka pakaikan Kolonel Sanders dengan songkok dan kain pelekat, di samping baju kot dan tali leher reramanya, sebiji macam atok-atok kita yang lebai di kampung. Pegang pula nasi bungkus macam nasi lemak warung. 

Oh ya seminggu sebelum makan nasi atuk ni pun hamba ada beli nasi lemak Mekdi. Nampaknya Mekdi pun dan downgrade cara hidangan nasi lemak  - ada ka patut letak dalam bekas aiskrim aje!


So mana satu yang sedap? 

IPOH PLATF9ORM 3/4 CAFE - HARRY POTTER DAN KOPI PENYAPU TERBANG



"Nak pergi mana esok?" tanya hamba kepada anak-anak pada satu malam.

"Ipoh!" jawab anak yang ketiga.

"Ipoh, ada apa kat Ipoh?"

"Ada kafe Harry Potter!" jawabnya sambil tersenyum.

Hamba pernah membaca tentang kafe itu sebelum ini (bahkan hamba pernah lalu di depannya tanpa hamba sedari). Hmm, mengapa tidak. Lagipun kami sekeluarga dah lama tak berjalan. 

Kafe ini terletak di Concubine Lane dan dinamakan Ipoh Plat9orm 3/4 Cafe. Tetapi tiada tanda nama berkenaan yang menghiasi bahagian luarannya. Hanya ada sekeping papan tanda bertulisan cina yang hamba tidak tahu apa maknanya yang hamba jangkan merupakan papan tanda kedai sebelum ini. 




Pemilik premis bertindak bijak menjadikan kafe berkenaan mengikut tema filem Harry Potter (walaupun tidaklah nampak Harry Potter sangat). Bangunan kedai berkenaan rasanya dibiarkan seperti asal tanpa perlu dicat atau ditampal plaster pada dinding. Dinding yang telah tertanggal plasternya sehingga menampakkan bata-bata merah dibiarkan begitu sahaja bagi menimbulkan suasana antik dan vintage.

Terdiri daripada dua buah lot bangunan, di bahagian pintu masuk merupakan kaunter tempat membeli segala jenis kopi. "Semua orang kena beli air", kata seorang petugas.

"Tapi anak saya ni tak minum kopi", sambil hamba mengisyaratkan kepada anak yang bongsu.

"Ohh, yang kecil tak payah beli". Bijak cara mereka meniaga. Mereka tahu yang datang ke sini rata-ratanya adalah untuk mengambil gambar. Jadi sebelum pelanggan dibenarkan explore kawasan kafe itu maka mereka wajib membeli air terlebih dahulu. Harga air pula tiada yang di bawah RM10 dan bekasnya bukanlah besar sangat. Namun manisnya memang tak sesuai untuk mereka yang mempunyai diabetes! Kebetulan kita masih di musim covid, di pintu masuk berdiri seorang petugas yang memeriksa suhu serta mengehadkan kemasukan pelanggan. Jadi tidak perlu risau dengan tempat duduk. Kedudukan tempat duduk juga ada mengalami sedikit perubahan bagi disesuaikan dengan SOP, tidak sama seperti gambar-gambar yang pernah hamba lihat di internet sebelum ini.




Tempat duduk untuk minum terletak sedikit di bahagian bawah dengan yang lain-lainnya di sebelah atas. Di sekeliling dinding bergantung beberapa gambar dan ruangan diterangi dengan cahaya yang malap. Bahagian tingkap hadapan yang terbuka membolehkan kita melihat kesibukan manusia di lorong berkenaan yang dilatari dengan pemandangan bangunan lama. Kafe ini memang santai dan sesuai untuk berehat sambil berbual-bual. Tarikan utamanya tentulah satu ruang terbuka yang memang dikhaskan untuk mengambil gambar. 

Di lorong yang sama, selang beberapa buah bangunan sahaja dengan kafe ini, terdapat sebuah kedai yang menjual beberapa barangan dari filem Harry Potter seperti topi, mafla, jam berbentu snitch ball dan kayu sakti. Barangan berkenaan boleh digunakan untuk prop semasa mengambil gambar. Tapi suka hamba nak beri tips - baik beli secara online kerana lebih murah berbanding dengan yang dijual di sana. 



Jumaat, 25 Disember 2020

SUKUN JANGAN TAK MANDI


 

Sukun merupakan antara kartunis yang dikenali mellaui majalah Ujang. Majalah Ujang (sewaktu di bawah teraju Ujang sendiri) telah banyak mengenalpasti kartunis yang berbakat, rebranding semula nama mereka dan seterusnya membimbing untuk menjadi pengkarya yang hebat. Kemunculan beberapa kartunis yang menggunakan nama berdasarkan sayur dah buah-buahan telah memeriahkan dunia kartun tanah air. Sedangkan antara mereka itu bukanlah orang dan telah bergiat beberapa lama sebelum menyertai majalah Ujang. namun di bawah Ujanglah nama mereka benar-benar dikenali. Dalam hal Sukun, tentunya siri Workshoplah yang menaikkan nama beliau.

Kartun Sukun adalah benar-benar gaya tempatan, tanpa pengaruh manga atau manhwa. ia adalah gaya yang hambar gemari kerana itulah gaya asli kartun kita. Watak-watak kartun Sukun kelihatan comel umpama lakaran chibi. Tamatnya penerbitan majalah Ujang dan APO? menyebabkan ramai kartunis yang kehilangan platform untuk berkarya. Walaupun kita mempunyai media atas talian, orang seperti hamba lebih suka untuk memegang dan menatap karya tersebut. Begitu juga Sukun. Walaupun pernah muncul dalam majalah Jenama X, majalah berkenaan ibarat keluaran one-off sahaja dan bukannya berkala. Justeru untuk melihat karya Sukun selepas penutupan Ujang adalah agak sukar.

Sukun mungkin menyedari akan kerinduan peminat beliau. Kerana itu atas inisiatif beliau bersama beberapa orang rakan rapat, maka lahirlah majalah khas ini. Tiada cerita Dicky dan Cupin di sini.Sukun hadir dengan kartun baru terutamanya tentang kehidupannya sebagai petugas di sebuah gimnasium bersama dengan para pelanggannya yang mempunyai pelbagai ragam. Kerana itu orang kata kartunis ini seorang pemerhati yang baik. Hanya dengan melihat aktiviti seharian manusia di sekeliling, boleh mendatangkan idea untuk berkartun. Walaupun perkara itu nampak biasa, di tangan mereka boleh bertukar menjadi luar biasa.

Tidak hanya dengan lakaran beliau, Sukun turut menjemput beberapa rakan lama beliau untuk menyumbangkan kartun termasuklah juga rakan sekolah beliau dahulu yang mempunyai bakat berkartun. Wow, ini jarang berlaku. Agak biasa kartunis mempelawa rakan-rakan kartunis yang sudah dikenali, tetapi menjemput rakan sekolah menandakan satu pernghargaan buat seorang rakan. Jelas, kebanyakan karya Sukun di dalam keluaran khas ini juga adalah untuk mengucapkan penghargaan kepadamereka yang banyak membantu menaikkan nama beliau daripada kalangan sahabat - sama ada kartunis atau tidak, keluarga dan peminat. 

Oh ya, naskhah yang hamba perolehi ini adalah cetakan yang kedua. Ini menandakan cetakan yang pertama telah laku licin (Alhamdulillah pembelian kita semua adalah sebagai tanda sokongan kepada kartunis tempatan). Lebih istimewa lagi cetakan kedua ini hadir dengan 16 mukasurat tambahan. Antaranya adalah catatan berkenaan wabak covid-19 dan nasihat kepada semua untuk menjaga diri. Ha ha mana untung, beli kali pertama atau yang kedua ini?


Isnin, 21 Disember 2020

HONK! IF YOU'RE MALAYSIAN - Lydia Teh


 

Seperti biasa, bila hamba mengambil sebuah buku berbahasa Inggeris untuk dibaca adalah kerana untuk mempelajari bahasa ini. Dah umur macam ni pun masih tak pandai bahasa omputeh. Tapi tidaklah hamba berasa malu. Yang hamba malu kalau hamba sebagai seorang Melayu atau rakyat Malaysia tapi tak reti berbahasa Melayu. Tapi kalau kau lahir di sini, besar di sini dan tak pernah keluar negara, dan kau tak reti bahasa negara kau sendiri berbanding bahasa asing, kau patut malu nak menjadi rakyat negara ini.

Walaupun tulisan beliau berdasarkan buku ini adalah mengenai ragam orang Malaysia, namun dalam kebanyakannya hamba melihat beliau lebih banyak berkisah tentang diri dan keluarga beliau sendiri bersama rakyat Malaysia. Gaya penulisan Lydia memang menarik dan amat santai sekali. Beliau berkisah tentang pelbagai perkara - kehidupan seharian, makanan, gelagat di jalan raya, teknologi dan hidup berkeluarga. Dalam beliau bercerita atau mengkritik itu, beliau turut mengutarakan pandangannya sendiri. Namun bagi hamba semua pandangan itu adalah pandangan peribadi beliau, belum tentu betul dan sesuai untuk orang lain. 

Walau apapun, sekadar nak baca mengisi masa lapang - bolehlaaaah.


Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.

SAKURA MENGORAK KELOPAK - Arena Wati


 

Karya ini sudah banyak disentuh dan dibicarakan ramai. Ia telah dibincangkan oleh pelbagai kelompok masyarakat terutamanya oleh penggiat sastera, intelek dan pelajar. Justeru apa yang akan hamba tulis hanyalah satu pandangan biasa daripada seorang yang minat kepada membaca karya-karya tempatan yang tentunya tidak bisa menandingi mana-mana ulasan akademik yang pernah dilakukan di atas karya besar ini.

Sekiranya tidak ada nama Arena Wati tertulis pada novel ini, pastinya kita akan menyangka bahawa ia ditulis oleh seorang penulis Jepun yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu! Setakat pengalaman saya membaca karya tempatan yang cuba diisi dengan budaya asing, belum ada satu pun yang dapat menandingi Arena Wati. Perlu diingati bahawa sewaktu karya ini dilahirkan, kemudahan internet belum ada dan proses pencarian maklumat tidak semudah hari ini. namun Arena Wati bukan sekadar menulis, bahkan begitu menyelami akan budaya masyarakat Jepun. Begitu juga apabila beliau berkisah mengenai latar tempat, lokasi bangunan serta jalannya, bas atau pengangkutan apa yang sesuai diambil, ia amat menakjubkan. Beliau ternyata seorang pemerhati yang begitu peka dengan sekelilingnya.

Sesebuah novel atau mana-mana buku biasanya akan memperlihatkan pemikiran serta kebijaksanaan penulisnya. Kita tahu bahawa Arena Wati tidak berpendidikan tinggi, pernah besekolah zaman Belanda dan kemudiannya menjadi seorang pelayar. Namun karya ini begitu tinggi nilai inteleleknya. Ia kelihatan seperti ditulis oleh seorang yang berpendidikan tinggi. Hamba amat sedar apabila membaca karya Arena Wati bahawa hamba akan menghadapi sedikit 'masalah' untuk menghayati pemikiran beliau yang tinggi ini. Kerana itu hamba mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menyelesaikan bacaan. Hamba begitu berhati-hati membaca dan kadangkala mengulang baca beberapa perenggan yang tidak dapat hamba hadami dengan baik. Arena wati melalui watak-wataknya berbicara dan berfikir sebagai seorang Jepun. Beliau melahirkan pemikiran pemikiran yang kita boleh fahami ia bukan pemikiran atau budaya orang Melayu (ketika itu). Membaca Sakura Mengorak Kelopak seolah-olah mengikuti satu perbincangan ilmiah di mana hampir segala-galanya adalah perbualan yang penuh berisi dan bukan omong-omong kosong. Tidak kiralah pembicaraan itu datang daripada watak-watak putih mahupun yang boleh kita sifatkan crook atau antagonis dalam novel ini. Segalanya penuh berisi disulami dengan keunikan budaya dan adat resam masyarakat Jepun.

Sekurang-kurangnya ada tiga perkara besar dalam novel ini. Pertamanya adalah hasrat keluarga Sasaki melalui Sasaki Kyori yang mahu melakukan beberapa siri persidangan antarabangsa bagi mengutip pandangan khalayak intelek bagi memajukan masyarakat. Kedua adalah tindakan mengejutkan Michiko sebagai seorang wanita Jepun yang sepatutnya setia dengan suaminya telah bertindak berani menolak mayat suaminya yang mati membunuh diri bersama seorang wanita yang mengandung. Ketiga adalah permusuhan/pertelingkahan/persaingan antara dua buah keluarga besar iaitu sasaki dan Hideo.

Jika diteliti, dialog-dialog berhubung usaha Sasaki Kyori untuk mengadakan persidangan tersebut adalah bersifat akademik, serius dan bersungguh-sungguh. Amatlah hebat pemikiran Arena Wati yang boleh berfikir seperti seorang Jepun bahkan menjiwainya. Cara watak-watak ini berbicara tentang masyarakat Jepun dan hala tuju mereka menampakkan kerisauan mereka serta kesungguhan untuk memperbaikinya. Tiada dialog yang berbentuk main-main atau bernada lelucon. Arena Wati benar-benar kelihatan seperti pakar atau profesor pakar di universiti.

Apabila Michiko menolak untuk menguruskan mayat suaminya (sekaligus tidak memberikan sebarang pernghormatan), tindakan beliau itu mendapat menggemparkan seluruh Jepun dan mendapat reaksi negatif daripada majoriti. Ia adalah suatu yang berlainan daripada adat kebiasaan. Wanita Jepun perlu taat dengan suaminya serta patuh kepada mereka. Dalam masa yang sama suami mereka boleh berpoya-poya dengan wanita lain di luar rumah. Dalam hal ini sang isteri tidak perlu risau akan kedudukan mereka kerana masih menjadi isteri yang rasmi. Ya, dalam agama kita tindakan ini adalah amat tidak bermoral. Namun inilah budaya Jepun di sebalik kelembutan dan sopan santun yang mereka paparkan kepada kita. Jelas sebenarnya hidup wanita akan tertekan dan terpaksa menahan hati. Berita Michiko ini heboh di seluruh media massa. Masyarakat memandang serong serta membuang pandang. Dalm masa yang sama, watak Atan menghadapi tekanan kerana menyangka isterinya mati dalam satu kebakaran di hotel. Arena Wati cuba menyelesaikan masalah Michiko melalui pertemuannya dengan Atan.

Pertentangan antara Sasaki Kyori dan Hideo Migoro amatlah menakjubkan. Tiga buah bandar besar - Tokyo, Osaka dan Kobe terbakar dan mengalami kebakaran besar. Pertelingkahan kedua kumpulan keluarga ini bukanlah satu perkara yang baru. Dalam novel ini kumpulan Hideo memulakan angkara dengan memusnahkan aset-aset Sasaki. Namun saksikan tindak balas kumpulan Sasaki yang bertindak dengan cara yang amat cool sekali. Mereka memusnahkan aset-aset Hideo dan mengorbankan beberapa ahli keluarga dan pengarah-pengarah mereka tanpa mengeluarkan belanja daripada poket sendiri bahkan menggunakan wang Hideo! Cara garapan Arena Wati adalah seperti dalam filem-filem besar! Dalam beliau menulis tentang kedua-dua keluarga ini, kita boleh melihat beberapa adat, budaya dan gaya hidup Jepun yang saya percaya jika seseorang penulis itu tidak bergaul dengan rapat atau banyak mengkaji beliau tidak akan tahu tentang perkara itu. Dapat kita lihat perana seorang ketua keluarga yang besar, peranan anak-anaknya, peranan seorang surirumah utama yang biasanya adalah isteri ketua keluarga dan boleh berpindah peranan tersebut kepada isteri anak pertama atau menantu perempuan, bagaimana cara mereka melayan keluarga dan tetamu, kegilaan tentang puisi-puisi klasik dan sebagainya. Pendek kata karya Arena wati ini bukan sekadar sebuah cerita tetapi adalah satu kajian tentang budaya dan adat orang Jepun.

Membaca karya Arena Wati kita akan dapat melihat betapa genius dan inteleknya pemikiran beliau. Justeru tidak ada keraguan orang-orang seperti beliau dan rakan-rakannya diangkat sebagai Sasterawan Negara. Mereka yang hendak menghasilkan karya hebat, maka belajrlah dengan membaca tulisan-tulisan Arena Wati.


Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.

Ahad, 6 Disember 2020

AKU, KAU & KOMIK 2


 

Jika anda telah membaca Aku, Kau & Komik 1, anda akan dapati jalan penceritaan atau idea antara antara kedua buku ini tidak jauh bezanya walaupun ada menampilkan pelukis yang berbeza. Masih ramai yang menggunakan premis alam persekolahan serta bagaimana komik boleh mengubah mereka menjadi lebih positif. Hamba berpandangan perkara yang berkaitan dengan komik ini banyak lagi yang boleh dikembangkan. Antaranya seperti kisah berbentuk 'dokukartun' bagaimana komik boleh berkembang dari hanya lukisan biasa, berubah menjadi animasi, filem, cosplay, barang dagangan dan sebagainya. Mungkin kisah sebegini terhasil kerana pelukis banyak mengaitkan komik dengan diri mereka. Mereka tidak memperluaskan perspektif komik itu sendiri. Memandangkan ini adalah kartun adalah tidak salah jika mereka 'merapu' melebihi batas realiti. Tidak semestinya latar tempat terhad di negara kita bahkan boleh meluas ke tempat lain seperti Afrika. Hamba percaya kisah yang lebih bersifat universal akan membolehkan komik Malaysia diterima di luar negara. Dari segi lukisan, karya kartunis tempatan sebenarnya sama sahaja dengan pelukis luar negara. Tetapi kisah dan jalan ceritalah yang membezakannya. Selain itu karya-karya tempatan ini perlu diterjemahkan dan seterusnya dieksport ke luar negara. Kerana itu karya Lat boleh laku di luar negara. Selain mempunyai ciri yang tersendiri, Lat mempunyai karya dalam bahasa Inggeris. Karyanya juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun dan Arab. Penterjemahan ini mempercepatkan lagi penerimaan orang luar terhadap karya kita.

9 karya yang terdapat di dalam antologi ini adalah seperti berikut:-

1.    MISI EMPAT KOMIKUS - Afiq & Nazry

    Empat orang sahabat berusaha menerbitkan komik mereka sendiri untuk dijual. Percubaan pertama walaupun berjaya menjual kesemua komik, mereka sebenarnya rugi dari segi kos. Walau bagaimanapun itu memberikan mereka pengajaran untuk membaiki lagi usaha pemasaran.

2.    MOK LUKIS KOMIK - Alif Firdaus Aziz

    Kisah perlunya seorang kartunis itu mempunyai minat mambaca yang tinggi bagi menghasilkan idea yang baik di dalam karyanya.

3.    MAK CIK - Aman Wan

    Kisah hobi mmebaca komik yang mengeratkan semula hubungan antara seorang ibu dan anak gadisnya.

4.    WIRAWATI - Adiemus

    Seorang gadis peminat komik sehingga terbawa-bawa ke alam realiti, menyebabkan beliau dihukum gurunya.

5.    KELAB SENI - Jas

    Menyambung kisah Meon daripada antologi no. 1. Kali ini Meon menggunakan kemahirannya melukis komik bagi mencari pendapatan bagi Kelab Kreatif.

6.    SHOOTZ KOMIK - Reja

    Muiez menimbulkan pertanyaan kepada rakan-rakannya kerana bersikap pelik sehinggalah beliau menunjukkan kejayannya menerbitkan sebuah komik.

7.    KITA DAN KOMIK - Shahrul Akram

    Dalam kisah ini pelukis mempromosikan Komik-M dengan cara beliau yang tersendiri.

8.    CINTA DALAM KOMIK - Alif

    Sepertimana tajuknya, kisah ini memang jiwang karat. Kemahiran melukis komik boleh digunakan untuk mengorat awek - khususnya bagi seorang yang pemalu!

9.    DOKUMEN RAHSIA - Poyo

    Kisah usaha penuh getir dalam menghantar komik kepada pelanggan!

Jumaat, 27 November 2020

AKU, KAU & KOMIK #1




Hamba suka dengan frasa yang terletak di bawah tajuk komik ini - 'Apabila aku & kau membaca komik, orang lain juga patut membacanya'. Komik sering dikaitkan dengan bahan bacaan kanak-kanak. Kadangkala ia dianggap sebagai bahan bacaan yang tidak mendatangkan faedah. Pandangan ini telah ada sejak zaman hamba bersekolah pada awal 80an dan sebelum itu lagi. Namun generasi yang membesar dengan komik pada era 80an itulah yang kemudiannya pernah membuktikan bahawa komik bukan sekadar bahan bacaan santai, ia juga adalah penarik kepada minat membaca selain melahirkan barisan pelukis komik serta kartunis tempatan yang ada di antaranya berjaya mencipta nama di luar negara. Pelukis komik dan kartunis ketika itu boleh dianggap juga sebagai selebriti dan mempunyai pendapatan yang baik. Dari komik ia berkembang kepada perkara lain seperti rancangan kartun, filem dan permainan video yang seterusnya berkembang kepada bahan niaga atau merchandise berkaitan sesuatu cerita atau watak berkenaan.

Perkara-perkara yang hamba nyatakan di atas cuba dipaparkan oleh barisan pelukis komik ini dengan memaparkan kebaikan atau perkara positif yang ada di dalam sesebuah komik. Terdapat 9 buah kisah daripada 9 orang pelukis yang mana kebanyakan atau majoroti mereka melukis dan menulis kisah yang berkaitan dengan alam persekolahan. Kisah-kisah yang terkandung di dalam komik ini adalah seperti berikut:-

DAKWAT BIRU - Ard One
Menekankan akan kepentingan untuk menuntut ilmu hingga ke peringkat yang paling tinggi walaupun hanya bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis komik. Pelukis komik juga harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang tinggi untuk membantu menghasilkan karya yang bermutu.

TANGERINE - Tan Teck Hwa
Kisah gabungan dua tenaga - seorang melukis manakala seorang lagi sebagai pencerita - hingga berjaya merealisasikan impian untuk menerbitkan komik mereka sendiri.

ADIWIRA - PAC
Dua orang adik beradik yang kematian ibu bapa mereka dalam satu serangan bom bertekad untuk menjadi adiwira yang mempertahankan negara melalui penyertaan mereka di dalam angkatan bersenjata.

BATON KOMIK - Froggypapa
Bagaimana komik boleh mengubah seseorang untuk menjadi lebih berjaya.

TEATER - Jas
Meon yang ditugaskan oleh gurunya untuk mengendalikan sebuah persembahan teater berjaya melaksanakannya hasil idea daripada sebuah komik yang ditemuinya di jalanan.

ESEI - Gemuruh
Sebuah kisah tanpa dialog mengenai perpaduan di negara kita. Antara karya yang memaparkan lukisan yang menarik pada hamba.

KOMIK ITU - Bop
Bagaimana sebuah komik telah berjaya mengubah seorang kanak-kanak untuk menjadi lebih berani. Semangat kisahnya menyamai kisah Baton Komik di atas.

MAYA - Hafiz
Kisah sorang pelukis komik yang cuba untuk mendapatkan kembali kasih sayang anaknya.

PENCAK RIMAU - Adiemus
Sebuah komik menjadi pendorong kepada seorang budak lelaki untuk menyelamatkan rakannya daripada menjadi mangsa buli.


Rabu, 25 November 2020

DAN MALAM APABILA IA BERLALU - Sasterawan Negara Abdullah Hussain


 

Melihat tajuk novel ini hamba seperti merasakan ia diambil daripada terjemahan ayat Al-Quran. Telahan hamba itu benar apabila membuka helaian awal, terpapar terjemahan ayat daripada surah Al-Fajr ayat 1-5. Bab awal novel ini telah mula mendatangkan rasa tanda tanya serta misteri kepada pembaca apabila penulis memulakan cerita dengan watak Zaman yang tiba-tiba tersedar daripada tidur dan mendapati dirinya berada dalam sebuah gua yang berada dalam sebuah hutan tebal. Tandatanya Zaman terhadap bagaimana keberadaannya di dalam hutan itu akan membuatkan kita sendiri tak sabar-sabar untuk mengetahui kisah yang selanjutnya. Zaman berusaha untuk mencari jalan keluar dari hutan tersebut di samping usaha untuk mengisi temboloknya yang lapar. Watak Zaman digambarkan sebagai seorang yang taat kepada Allah kerana walaupun berada dalam keadaan kepayahan di tengah hutan, namun tanggungjawab beliau terhadap Allah tetap dilakukan dengan penuh rasa redha.

Dtemui pengsan di tepi hutan, Zaman diselamatkan oleh sebuah keluarga sikh. Keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka - dua lelaki dan seorang perempuan tinggal di sebuah rumah dengan ketua keluarganya menternak lembu dan menjual susunya di bandar. Amat menakjubkan apabila keluarga ini membaca akhbar Utusan Melayu! Utusan Melayu adalah akhbar berbahasa Melayu yang bertulis dalam tulisan Jawi. Mereka menguasai tulisan tersebut serta membaca akhbar Melayu kerana merasakan sebagai rakyat Malaysia mereka patut berasimilasi dengan budaya Melayu dan itu semua boleh didapati dengan membaca akhbar tersebut. Ketua keluarganya Encik Manjit nampak begitu patriot sekali. Beliau bahkan mempunyai senaskhah tafsir Al-Quran yang diletakkan di dalam bilit anaknya, Amrit. Zaman telah diberikan rawatan sebaiknya dan dilayan dengan penuh tanggungjawab. Keluarga berkenaan juga memberikan bantuan sebaiknya dan membenarkan Zaman untuk menunaikan solat di rumah mereka. Keberadaan Zaman di rumah berkenaan walaupun sekejap - hanya satu malam sahaja, telah melahirkan satu ikatan yang kuat sehinggakan keluarga mereka merasakan mereka bagaikan telah lama kenal dengan Zaman.

Zaman mengisahkan bahawa beliau sebelum itu datang dari Kampung Cahaya membuatkan Manjit keliru memandangkan beliau tidak tahu lokasi kampung berkenaan walaupun mengetahui setiap ceruk lembah Klang. Ia akan membuatkan pembaca turut berfikir barangkali Zaman sebelum itu berada di sebuah kampung bunian. Zaman dibantu oleh Manjit untuk mencari keluarganya namun tidak berjumpa. Zaman kemudian diturunkan di kawasan Masjid Golden Triangle kerana dikatakan keluarga Zaman pernah tinggal di kawasan berkenaan.

Secara kebetulan ketika itu akan diadakan majlis perdebatan antara kumpulan nihilisme - satu kumpulan yang tidak percayakan Tuhan dengan Imam masjid Golden Triangle. Dengan tidak disangka-sangka Zaman menjadi wira dalam majlis perdebatan berkenaan. Watak zaman nampak dominan serta kelihatan seperti protagonis atau hero sehingga ke peringkat ini sahaja. Selepas itu watak beliau hanya sekali sekala muncul. Membaca keseluruhan novel ini jelas bahawa novel ini hampir seperti tidak ada hero. Penulis mengungkapkan pelbagai isu yang hangat berlaku sekitar sebelum dan awal millennium. Antara isu yang dikenalpasti adalah kumpulan manusia yang tidak percayakan Tuhan, manusia yang mencari-cari kebenaran, black metal, korupsi, isu Tuhan mencarut, politik yang menggunakan agama, ahli agama yang berkelakuan sumbang, rusuhan disebabkan agama, fitnah-memfitnah, bersumpah dengan Al-Quran di dalam tempat ibadat, penerimaan orang bukan Islam terhadap keluarga mereka yang memeluk Islam dan banyak lagi.Cara penulisan sebegini mengingatkan hamba kepada novel Orang Kota Bharu. Jika Orang Kota Bharu mengungkapkan keadaan di Kota Bharu sekitar 50an hingga 70an, maka novel ini membayangkan suasana negara sekitar 1998-2005.

Semua isu-isu berkenaan diungkapkan melalui watak-watak atau peristiwa di dalam novel ini. Apabila membicarakan tentang isu mereka yang tidak percayakan Tuhan, penulis mengadakannya dalam bentuk perdebatan manakala bagi isu suara perempuan itu aurat atau kedudukan wanita dalam Islam, penulis mengadakannya dalam bentuk forum. Bagi kedua-dua perkara ini seseorang memerlukan pengetahuan yang mendalam untuk mengupas isu berkenaan. Penulis sememangnya menjadikan novel ini sebagai satu dakwahnya kepada masyarakat. Justeru penjelasan isu-isu berkaitan dibuat secara terperinci melalui penyampaian yang santai oleh watak-wataknya. Dalam hal ini penulis akan membuat notakaki menjelaskan dari mana point-point di ambil. Bahkan dalam banyak lagi di tempat-tempat lain penulis memuatkan nota-nota kaki. Contohnya apabila penulis menggambarkan satu perlakuan atau pengucapan watak-wataknya, beliau akan meletakkan nota kaki ayat atau hadith yang berkaitan. Boleh juga hamba katakan bahawa novel ini adalah kesinambungan novel Imam memandangkan corak penulisannya yang hampir sama di samping beberapa kaitan antara watak yang dipaparkan.


Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.

Isnin, 16 November 2020

JANJI - Noor Azlin


 

Seorang gadis bernama Tengku Shafika aka Chika yang tersedar daripada koma telah berubah personaliti kepada Azira Khidir, seorang pelakon yang baru meningkat naik atau suam-suam kuku. Azira Khidir, mengikut namanya adalah nama Melayu juga nama orang Islam. Dah emak Azira Khidir ni ustazah, ugamanya Islamlah kan. Nama ayah pun tak bunyi afrika. Tapi yang memusykilkan hamba kenapa penulis di sinopsis di belakang buku serta satu bahagian di dalam bukunya meletakkan mendiang untuk nama Azira. Kamus DBP sendiri (edisi internet, berdasarkan Kamus Pelajar Edisi Kedua) menakrifkan gelaran mendiang adalah untuk bukan Islam. Hamba tidak pasti sama ada ini disengajakan atau tidak. Penulis pun mengaji di UIA, takkan tak tau kut....

Namun novel ini bukanlah nak mengungkapkan peristiwa pelik, lucu atau luar biasa disebabkan perubahan personaliti ini walaupun ia ada dipaparkan. Persoalannya adalah siapa yang membunuh Chika dan kenapa. Daripada keluarga Chika, keluarga Azira, plot berkembang kepada orang yang berada di sekeliling mereka seperti rakan, doktor yang merawat, bekas suami, penyiasat bebas, awek jual kek dan polis. Penulis bijak memainkan plot serta watak-watak ini sehingga pembaca hanyut membuat tekaan siapa antara mereka yang menjadi pembunuhnya memandangkan hampir kesemua mereka ada kaitan atau 'boleh masuk' dalam tekaan.

Di samping memaksa otak pembaca untuk meneka, kita akan dipaparkan dengan realiti masyarakat hari ini seperti perhubungan sulit atau kekasih gelap, penggunaan bomoh atau ilmu hitam untuk mendapatkan sesuatu, matlamat menghalalkan cara seperti melakukan pembunuhan, manusia yang gelap mata bila mendapat duit, lelaki yang mudah tergoda dengan wanita dan banyak lagi.

Sepanjang watak Chika menjadi Azira, beliau digambarkan memainkan watak itu dengan cukup perfect, mengetahui segala apa sahaja yang Azira tahu, dapat menyediakan hidangan seperti rasa air tangan Azira sendiri dan sebagainya. Pelbagai cara yang digunakan oleh keluarga Chika serta keluarga Azira untuk mengembalikan ingatannya namun tak satupun yang berhasil. Cuma yang hamba musykil sepanjang percubaan ini, tidak pernahpun sesiapa menunjukkan gambar Azira kepada Chika - sekurang-kurangnya dia boleh melihat kelainan rupa pada cermin. Tapi hamba tahu jawapan penulis (agaknyalah) - novel kita kan, sukatilah kita nak tulis apa - ha ha betullah tu. Namun keadaan Chika yang dapat membawa watak Azira sekurang-kurangnya boleh meyakinkan pembaca bahawa reinkarnasi atau penjelmaan jiwa orang yang telah mati ke dalam orang yang sedia hidup benar-benar terjadi.

Sepertimana Chika hilang ingatan setelah kemalangan begitulah pula ia mendapat kembali ingatannya - melalui kemalangan juga, seperti kelaziman drama Melayu. Di bab akhir akan dilakarkan kepada pembaca sehingga kita dapat meneka siapa culprit di belakang semua ini dan kenapa itu semua terjadi. Kalau tanya hamba, hamba pun pening - kenapa perlu membunuh?


Khamis, 12 November 2020

SUICIDE SQUAD


 

Semasa membelinya di atas talian, hamba tidak sedar pun bahawa naskhah ini merupkan terjemahan ke dalam Bahasa Melayu. Kenapa hamba boleh tidak sedar bahawa label Grafixi telah memulakannya semenjak 2016 lagi! Adakah mereka masih menerbitkan lagi komik-komik DC ini ke dalam Bahasa Melayu? Hamba nampak kurangnya promosi mereka berbanding terbitan FIXI yang lain. Apapun hamba beli buku ini dengan harga yang cukup murah - 99 sen! Siapa yang tak nak beli berbanding harga asalnya RM30! Bila ia dijual dengan begitu murah - selain melambangkan ia mempunyai lambakan stok, adakah orang kita tidak berminat membaca versi terjemahan? Segala bentuk lukisan dan grafik adalah sama dengan versi asal, hanya ia di dalam bahasa Melayu sahaja.

Kita tahu bahawa versi bahasa Inggeris menggunakan bahasa yang agak santai, gaya jalanan yang diselangselikan dengan bahasa kasar dan mencarut. Penterjemahan ke dalam Bahasa Melayu dilihat untuk cuba mengikut gaya yang sama. Cubaaan penterjemahan ini berjaya pada sesetengah tempat dan sesetengah tempat yang lain membuatkan hamba tertanya tentang apa yang mahu disampaikan. Ketidakfahaman ini mungkin disebabkan ketidak tepatan terjemahan itu sendiri ataupun terjemahan yang dilakukan secara harfiah daripada bahasa asal yang memerlukan istilah yang tepat dalam bahasa Melayu. Walau apapun, hamba memuji usaha ini dan menyokong penuh aktiviti penterjemahan buku-buku bahasa asing ke dalam bahasa kebangsaan. Inilah yang dilakukan oleh bangsa lain seperti Jepun yang mendapat ilmu dari luar dengan sebanyaknya. Dan jangan lupa bahawa perkara yang sama telah dilakukan oleh orang barat semenjak ratusan tahun dahulu lagi melalui penterjemahan kitab-kitab Arab. Mereka menterjemah, mempelajari dan memajukan ilmu-ilmu tersebut terutamanya dalam bidang falsafah, perubatan dan astronomi. Akibatnya kita pula yang terhegeh-hegeh belajar dengan mereka hari ini.

Kompilasi ini mengandungi tujuh siri komik dalam tajuk yang sama. Suicide Squad adalah sekumpulan manusia yang mempunyai kebolehan tersendiri, direkrut dan dihantar untuk menyelesaikan misi-misi yang merbahaya. Ganjaran kejayaan mereka adalah pengurangan tempoh hukuman penjara. Bagi mengawal mereka, satu bom nano telah ditanam ditengkuk mereka yang boleh diledakkan pada bila-bila masa sekiranya mereka mengingkari arahan. Ringkasannya, misi-misi mereka kesemuanya adalah melibatkan pertumpahan darah. Kadangkala mereka tidak terllihat sebagai penyelamat dunia sebaliknya sebagai pemusnah.

Antara watak utama dalam kumpulan ini adalah Harley Quinn. Peminant DC kenal beliau sebagai teman wanita Joker - musuh Batman. Justeru kisah-kisah di dalam ini juga berlaku di Gotham City. Betapa malangnya hidup di Gotham kerana penjenayah-penjenayah mereka pelik-pelik belaka. Dalam melakukan satu misi, Harley mendapat tahu bahawa Joker telahpun dibunuh dengan kulitnya disiat-siat. Siasatan kulit mukanya disimpan di balai polis Gotham. Berjaya meloloskan diri, Harley mengkucar kacirkan keadaan hanya semata-mata untuk mendapatkan kembali cebisan wajah lelaki yang dikasihinya. Harley kini bukan sahaja menghadapi pihak berkuasa Gotham tetapi rakan-rakannya dalam Suicide Squad!

Menampilkan Adam Glass sebagai penulis, ianya dilukis, didakwatkan (inking), diwarnakan oleh orang yang berbeza di setiap siri. Perkara ini sesuatu yang biasa di dunia komik Amerika. Ia berbeza dengan kita di mana pelukis melakukan hampir kesemuanya. Kalau adapun pengelibatan pihak lain, kebiasaannya hanyalah untuk pewarnaan dan lukisan kulit hadapan. Dan yang patut kita belajar ialah walaupun disediakan oleh banyak tangan, mereka berjaya mengekalkan rentak cerita dan lukisan sehingga kita tidak merasakan bahawa ia dilukis oleh individu yang berbeza.

Sabtu, 7 November 2020

AKU, KAU & MALAYSIA - FRONTLINERS/BARISAN HADAPAN


Wabak ini masih belum habis. Walaupun beberapa bulan yang lalu sudah nampak penurunan yang besar sehingga pernah direkodkan hanya dua kes sahaja dalam sehari, namun kini jumlahnya amatlah membimbangkan. Jumlah kes yang telah mencapai empat angka dalam sehari amatlah dibimbangi dahulu dan kini ia telahpun terjadi. Semua ini gara-gara sikap segelintir politikus yang hanya memikirkan kuasa. Kerana mahukan kuasa, maka terjadilah pilihanraya dan akibat yang terjadi selepas pilihanraya berkenaan, itulah yang sedang melanda Malaysia kini. Rakyat marah dan kecewa. Apa yang tersebar kini kebanyakannya datang dari wilayah berkenaan. Tapi politikus tidak menunjukkan tanda keinsafan. Rakyat tambah kecewa!

Semua orang mahu berbakti mengikut cara masing-masing, mengikut kadar kemampuan dan ruang lingkup yang dibenarkan. Anggota kesihatan, keselamatan serta para penghantar barangan adalah golongan awal yang dipanggil barisan hadapan. Rakyat rata-rata kagum dengan mereka. Mereka telahpun menunjukkan kesungguhan walaupun mereka telahpun keletihan menghadapi wabak ini berbulan-bulan lamanya kini. Tapi hamba suka hendak mengajak anda semua untuk melihat juga tenaga-tenaga di belakang frontliners ini yang sebenarnya adalah juga wira tetapi tidak diberikan publisiti. Ada juga yang berjuang di barisan hadapan tetapi mereka juga tidak kelihatan di mata masyarakat. Contohnya dalam kalangan anggota kesihatan, yang biasa dibicarakan oleh masyarakat hanyalah doktor dan jururawat sahaja. Namun sebenarnya ramai warga kesihatan lain yang turut berjuang. Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran serta Pembantu Kesihatan Awam sebenarnya berada lebih depan lagi. Mereka yang biasanya berada di pintu masuk negara dan mereka juga yang paling awal berhadapan orang ramai. Begitu juga dengan rakan-rakan pengawal keselamatan, pemandu van dan bas KKM, pegawai khidmat pelanggan, kerani, atendan, pengajar dan anggota ILKKM, juru x-ray, kakitangan makmal, farmasi dan banyak lagi. Kerana itu ada antara golongan ini yang kecewa kerana apabila kerajaan mengumumkan bahawa petugas barisan hadapan menerima sedikit insentif, ada antara mereka yang dianggap tidak layak menerimanya.

Komik ini merupakan cara kartunis untuk menyumbang kepada masyarakat. Selain daripada menghargai para petugas, komik ini mengajak masyarakat untuk terus patuh kepada peraturan serta SOP yang telah ditetapkan. Antologi ini mengandungi karya 9 orang kartunis Komik-M seperti berikut;-

1. WIRA KAMI - Ben Wong
    Kisah ini bertumpu kepada keluaga seorang anggota polis. Betapa ahli keluarga merisaukan ketua keluaga mereka yang bertugas setiap hari di tengah wabak ini. Kerana risaukan jangkitan terhadap keluarganya, anggota polis ini sanggup berkhemah sahaja di luar rumahnya. Beberapa kesukaran ketika bertugas turut dipaparkan dan ada di antaranya yang hamba rasa pernah hamba lihat tular di media sosial seperti kisah seorang awam yang memarahi anggota polis kerana menyusahkan mereka serta kisah seorang pegawai polis yang menziarahi seorang wanita tua yang pernah menjadi jirannya semasa kecil dengan membawa beberapa juadah. Kisah-kisah tersebut telah di sesuaikan dengan watak dalam cerita ini.

2. TERLALU ISTIMEWA - Hafizuddin Ismail
    Kisah ini menggunakan latar masa pada zaman akan datang dengan penduduk setiap negeri di Malaysia hidup di dalam kawasan bertembok bagi menghindari serangan raksasa. Ia memaparkan ketabahan masyarakat untuk survival serta semangat untuk terus mempertahankan diri. Ia adalah dedikasi pelukis untuk seluruh barisan hadapan.

3. LAWAK ORANG MALAYSIA : KE SANA KE SINI - Nuds
    Setelah mengikuti dua karya yang agak serius, Nuds datang dengan lebih santai menampilkan karya kartun lerang dua petak dengan jenaka yang menunjukkan rakyat Malaysia dalam tempoh PKP ini. Tajuk kartun beliau akan mengingatkan kita dengan kandungan ucapan Perdana Menteri yang telah dijadikan lirik rap di dalam lagu.

4. JATUH - Furqa Ilahi
    Ia adalah kisah seorang penghantar makanan yang membelakangkan kepentingan pekerjaan beliau demi menyelamatkan seorang lelaki tua yang dijumpai terbaring di jalanan. Agak malang apabila lelaki berkenaan positif covid-19 yang akhirnya turut menjangkiti penghantar makanan berkenaan. Mempunyai keperibadian yang murni, sifat beliau ini menawan hati lelaki tua yang beliau selamatkan sehingga mahu menjodohkan beliau dengan anaknya yang juga seorang jururawat di barisan hadapan.

5. KHOO & CHENG : KITA JAGA KITA - Danial Haikal
    Kisah ini menyingkap suasana akibat wabak covid-19 daripada kacamata haiwan pula. Ia membawa mesej agar manusia tidak melupakan haiwan yang turut menghadapi masalah mencari makanan terutamanya kucing-kucing yang tidak bertuan memandangkan tempat yang biasa mereka mencari makan seperti restoran dan warung tutup ketika PKP.

6. BARISAN HADAPAN - Kimi
    Kisah ini membawakan mesej bahawa walaupun ramai orang awam yang tidak menghiraukan peraturan yang ditetapkan sehingga membawa padah kepada diri mereka sendiri, para barisan hadapan tetap bersabar dan mahu menolong walaupun hati mereka telahpun terluka.

7. LAWAK ORANG BUJANG : PENJARAKAN - Froggypapa
    Sama seperti Nuds, Froggypapa turut menampilkan karya lawak dan jenaka melalui watak dua orang pemuda, Iman dan Amin yang ditugaskan untuk menjaga pondok kawalan keselamatan di kawasan komuniti mereka. Pelbagai ragam yang membawa rasa lucu ditimbulkan kedua pemuda ini sewaktu menjalankan tugas mereka.

8. JANJI - Sulaiman Shaari
    JANJI menyeru agar orang ramai terutama yang hampir dengan mana-mana petugas barisan hadapan agar memahami keadaan serta kesibukan tugas mereka pada masa ini. Kegagalan untuk memahami apatah lagi bila timbulnya sifat cembru hanya akan memburukkan lagi keadaan.

9. TUGAS - Pak Ngah Alipz
    Kisah ini kembali memaparkan kepentingan tugas seorang penghantar makanan sewaktu PKP serta seorang pelukis yang menghargai sumbangan mereka.

Ini adalah sumbangan pelukis dan penghargaan mereka terhadap barisan hadapan. Hamba juga menyeru anda semua untuk membeli karya-karya kartunis tempatan ini memandnagkan mereka juga antara yang turut terjejas pendapatannya ketika ini. Apabila anda membeli karya seperti ini setidak-tidaknya anda memberi semangat untuk mereka terus berkarya di samping dapat mereka mencari nafkah melalui pekerjaan ini.





P. RAMLEE ERTI YANG SAKTI - Ahmad Sarji


 

Versi yang hamba baca ini adalah terbitan MPH pada 2011. Sebelum versi ini ia diterbitkan oleh Pelanduk Publications pada tahun 1999. Sewaktu versi Pelanduk berada di pasaran hamba cuma mampu lihat sahaja memandangkan gaji ketika itu yang kecil. Namun edisi ini yang dijual bersekali dengan buku P. Ramlee The Bright Star tidak hamba lepaskan peluang untuk memilikinya kerana hamba tahu selepas ini mungkin sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Sudah lama memilikinya baru tahun ini sahajalah hamba dapat meluangkan masa untuk membacanya.

Tan Sri Dato, Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid adalah seorang tokoh penulisan Melayu yang berjaya mencapai kedudukan tertinggi di dalam perkhidmatan awam apabila menjadi Ketua Setiausaha Negara yang ke-sembilan di antara 1 Februari 1990 hingga 16 September 1996. Seingat hamba di zaman beliaulah Pekeliling Kemajuan perkhidmatan Awam (PKPA) banyak ditulis bagi mengatur serta menambahbaik perkhidmatan awam. Tesis beliau sewaktu melakukan ijazah pertama bahkan dijadikan salah satu rujukan oleh Kasim Ahmad sewaktu beliau menyelenggara manuskrip Hikayat Hang Tuah.

Tajuk buku ini diambil daripada salah satu bait sajak Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said  bertajuk Lagu Bunga II, yang dipetik daripada antologi Balada Hilang Peta (1990). Sajak berkenaan adalah berkenaan P.Ramlee. Penulis menyusun bukunya ini seperti susunan sebuah ensiklopedia, mengikut abjad A, B, C dan seterusnya. Mellaui susunan huruf-huruf berkenaan, penulis cuba menampilkan perkara-perkara yang berkaitan dengan P. Ramlee termasuklah individu-individu penting yang ada kaitan dengan seniman Negara tersebut. 

Apabila menulis tentang sesebuah filem, penulis akan menyenaraikan barisan pelakon serta krew yang terlibat. dalam hal ini penulis tidak mengubah tulisan asal (yaani tulisan bahasa Melayu gaya lama) filem-filem berkenaan. Kemudian beliau akan menulis ringkasan keseluruhan cerita di dalam filem berkenaan. Hamba tertarik dengan penulisan beliau tentang filem Ali Baba Bujang Lapok di mana di akhir cerita beliau menuliskan bahawa ketiga-tiga Bujang lapok berkenaan hanya bermimpi. Sekiranya kita mengikuti filem berkenaan kita tahu bahawa ia berakhir selepas ketua penyamun (P.Ramlee) mati dibunuh. Mungkinkah ada versi lain yang tidak ditayangkan. Ini memandangkan filem ini asalnya pernah diharamkan penayangannya kerana gara-gara gaya pengucapan yang menyinggung komuniti Arab. Asalnya gaya percakapan di dalam filem ini adalah seperti gaya percakapan Arab di dalam filem Ahmad Albab. Kerana adanya bantahan maka ia telah di dubbing semula seperti yang kita lihat di kaca tv. Ketika mengulas mengenai filem 3 Abdul pula hamba rasa penulis terkhilaf apabila meletakkan Sadiq Sigaraga sebagai bapa kepada tiga orang Abdul berkenaan dan Ismet Ulam Raja pula sebaliknya. 

Filem P. Ramlee di eranya adalah sesuatu yang besar. Beliau bukan sahaja gah di nusantara bahkan lebih daripada itu. Ahmad Sarji membawa ungkapan oleh Gerree Read, seorang pengulas filem ketika mengulas tentang filem Hang Tuah, katanya; "Adegan pertikaman menggunakan keris jauh mengatasi sesuatu yang pernah dikeluarkan oleh Hollywood. Kelincahan dan kesegakan P. Ramlee, Malik Sutan Muda dan Ahmad Mahmud membuatkan sesetengah tokoh 'anak jantan' Hollywood kelihatan sepert kuda bajak yang sudah tua!" Seorang penulis Indonesia pula ketika mengulas mengenai filem Pendekar Bujang Lapok menyifatkan kemajuan filem Malaya telah jauh meninggalkan filem Indonesia sama ada daripada segi idea ataupun teknik penggambaran. Beliau bahkan menyifatkan shot di atas sampan itu sebagai suatu yang sukar (ketika zaman itu) memandangkan kestabilan kameranya.

Apa yang dipersembahkan oleh Ahmad Sarji adalah satu ringkasan terhadap kehidupan P. Ramlee. Beliau sebenarnya telah menyediakan satu jalan bagi penulis kemudian untuk meluaskan lagi 'ensiklopedia' P. Ramlee ini. Penulis lain boleh sahaja menggunakan buku ini sebagai asas untuk mengembangkan lagi fakta dan idea.  Sebagai pembaca, hamba kadang-kadang tidak berapa puas membaca tentang beberapa perkara yang ditampilkan memandangkan buku ini sememangnya disusun secara ringkas. Sekiranya perkara di dalam buku ini benar-benar dikembangkan, hamba percaya ia akan memakan beberapa jilid. 

P. Ramlee memang akan hidup lebih seribu tahun di dalam jiwa peminant-peminatnya. Filem dan lagunya terus ditonton dan dinyanyikan. Kisah hidupnya sering menjadi bahan bacaan dan kajian. Hamba lihat kini di YouTube telah ada beberapa individu yang mewarnakan beberapa filem beliau menjadikan ia lebih seronok untuk ditonton.

P.Ramlee hanya satu. Tidak ada galang gantinya!


Isnin, 26 Oktober 2020

LP.3 - Arman Jazee


 

Sekiranya anda pernah membaca ulasan hamba terhadap beberapa buah buku tulisan Arman Jazee sebelum ini, maka tanpa mmebaca ulasan ini sampai ke hujung pun tidak mengapa kerana anda sudah boleh berlari ke kedai buku atau ke hadapan komputer secara atas talian untuk mendapatkan buku ini. Meneruskan sambungan daripada dua buah buku sebelumnya - Legasi Pejuang dan Legasi Pejuang 2, LP.3 menjanjikan lebih banyak debaran. Tidak perlu pergi jauh, hamba boleh simpulkan dalam buku ini hanya ada dua perkara yang begitu menonjol - kembara dan pertarungan!

Tidak mudah untuk menulis tentang babak pertarungan di dalam sesebuah novel. Penulis lain sekiranya menulis tentang bab pertarungan mungkin hanya akan memakansatu atau dua helaian mukasyrat sahaja. Tetapi Arman boleh pergi sejauh satu bab bahkan lebih lagi. Dan apabila Arman menulis tentang pertarungan, otak pembaca akan sesak untuk membayangkan bagaimana pertarungan ini berlaku. Sikranya anda memang kaki filem atau peminat seni bela diri tentunya membayangkan adegan pertarungan tidak begitu sukar dan akan terasa menyeronokkan. bagi yang tidak biasa anda harus duduk tenang membacanya dan memaksa minda anda untuk bermain dengan bicara penulis. Amat rugi sekiranya anda tidak dapat hanyut dalam pertarungan Muaz aka Mushashi Kuromoto!

Muaz telah bersara. setelah menewaskan Menehem Gremend dan hilang sebelah tangan, dia nekad untuk hidup sebagai orang biasa. Namun semuanya berubah apabila isteri dan anaknya yang masih berada did alam kandungan dibunuh. Dia tahu bahawa dia tidak boleh berdiam diri. Ternyata kejadian ini menjadikan Muaz lebih buas dan ganas.

Walaupun kelihatan seperti perbuatan kumpulan Yakuza Yamaguchi-Gun, namun di belakang mereka ada tangan zionis yang memainkan tetali boneka. Anda boleh hanyut dengan adegan-adegan pertarungan yang umpama tidak putus-putus serta berlaku di pelbagai negara. Dari Jepun membawa ke Amerika, Jerman, Syria, Lebanon, Rusia dan Cyprus! Tampak terlalu ramai yang mahu menamatkan riwayat Nuaz dan kali ini Arman Jazee menampilkan pesaing yang ternyata lebih kuat daripada beliau.

Di sini muncul watak misteri seorang yang berjubah dan bertopeng. Arman cuba bermain teka-teki dengan pembaca. Namun hamba dapat menekanya dengan tepat. Watak Samira yang tiba-tiba muncul di Jerman serta mendakwa merupakan pembantu kepada ayah Muaz, Syed Fahim ternyata menimbulkan teka teki melalui tindakannya.

Arman bijak mewujudkan konflik antara Samira dan Muaz dan ini akan lebih terasa di akhir novel apabila timbul persoalan adakah mereka akan bertembung dan salinbg berbunuhan sesama sendiri walaupun sebelumnya sudah ada putik kasih di antara mereka.

LP.3 digambarkan sebagai novel terakhir siri ini namun peristiwa yang berlaku 20 tahun selepas kejadian pembunuhan menimbulkan persoalan kepada pembaca, adakah novel ini akan bersambung semula memandangkan timbulnya seseorang yang menggusarkan diri hero kita!



Isnin, 19 Oktober 2020

THE ARRIVAL - Naim Tamdjis


 

Kulit novel ini ringkas sahaja. Hanya lukisan berbentuk lakaran dengan menggunakan tiga warna - hitam, putih dan kuning. Tetapi penampilan sebegini umpama novel-novel Inggeris yang terdapat di pasaran. tambahan pula tajuknya yang menggunakan bahasa berkenaan. Walau bagaimanapun novel ini menggunakan bahasa Melayu dengan beberapa ketul perkataan Inggeris.

Kebiasaannya Naim Tamdjis tampil dengan karya seram, tetapi tidak kali ini. The Arrival adalah novel bercorak aksi kepolisian yang mempunyai unsur thriller. Persoalan mengenai Imam Mahdi telah membuatkan ada beberapa individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menyamar menjadi beliau. Namun karakter-karakter ini tidak tambil secara biasa-biasa sahaja. Mereka mempunyai karisma tersendiri sehingga mampu membina kumpulan atau jemaahnya yang tersendiri. Fenomena ini tidak terhad berlaku di Malaysia sahaja bahkan juga di sudut lain dunia ini. Kadang-kadang permulaan mereka muncul hanya dengan membawa karakter seorang lelaki soleh. Kemudiannya mula memasukkan sedikit demi sedikit ajaran mereka yang dilihat seperti Islamik kerana dicampur adukkan. sambil itu doktrin tentang Mahdi di bawa hinggalah akhirnya mereka sendiri kemudiannya mengisytiharkan diri sebagai Imam Mahdi apabila merasakan telah mempunyai kedudukan serta barisan pengikut yang kukuh. Namun seringkali apabila perkara seperti ini timbul, ia akan diakhiri dengan perkara yang kurang baik sehingga membawa kepada tragedi. Salah satu contoh adalah peristiwa serangan sebuah kumpulan ajaran sesat ke atas Balai Polis Batu Pahat pada Oktober 1980. Serangan berkenaan telah membawa kepada beberapa kecederaan serta kematian melibatkan polis, penyerang serta kakitangan awam.

Naim berjaya menyusun cerita dalam The Arrival dengan baik sehingga menimbulkan debaran kepada pembaca di setiap bab. Ia telah bermula sejak permulaan cerita lagi apabila seorang lelaki bernama Sheikh Mahadi mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi, penyelamat umat akhir zaman. Peristiwa tersebut telah menimbulkan kegemparan di seluruh negara menyebabkan pasukan keselamatan perlu memainkan peranan mereka untuk mententeramkan keadaan. 

Pada peringkat awal ini, Naim telah berjaya menghidupkan watak Sheikh Mahdi sebagai seorang lelaki soleh yang mempunyai beberapa karamah seperti boleh mengubati sakit yang kronik, boleh membaca isi hati manusia, meramal dan lain-lain lagi. sekurang-kurangnya tiga kali (mungkin empat) beliau dapat meloloskan diri raipada tahanan pihak berkuasa dan seterusnya mengelirukan mereka. 'Keajaiban' yang ditimbulkan ini mungkin juga akan mempengaruhi pembaca mempercayai beliau benar-benar Mahdi memandangkan beliau tiada cacat cela, akhlaknya mulia, ibadahnya terjaga ditambah dengan perkara-perkara ajaib yang terjadi.

Penahanan Sheikh Mahadi telah membuatkan beratus ribu pengikutnya membanjiri ibu negara. Suasana begini mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa politik tanah air seperti perhimpunan pada zaman reformasi begitu juga dengan beberapa siri BERSIH. Perhimpunan yang mulanya nampak aman beransur-ansur bertukar ganas apabila mula ada pertentangan melibatkan pengikut serta anggota keselamatan. Kemudiannya bertambah ganas apabila mula melibatkan pertempuran bersenjata, penculikan VVIP sehinggalah kepada peperangan yang berlaku di Marawi City. Pengaruh Sheikh Mahadi turut meresap masuk ke dalam beberapa agensi keselamatan seperti polis, tentera dan penjara. Kerana itulah setiap kali ditahan beliau dengan mudah sahaja dapat meloloskan diri. Bab-bab yang mengandungi unsur 'gunting dalam lipatan' atau 'api di dalam sekam' ini sebenarnya membawa mesej betapa bahayanya apabila perkhidmatan awam mempunyai karakter sebegini - pepat di luar, rencong di dalam. Perkhidmatan awam yang menjadi musuh dalam selimut bukan sahaja boleh membahayakan organisasi itu sendiri bahkan dapat menghancurkan negara. Dapat dilihat bagaimana dengan hanya seorang dua yang berpaling tadah boleh merosakkan perancangan ramai pihak bahkan sehingga mendatangkan bencana melibatkan kematian.

Keadaan Sheikh Mahadi yang sering dengan mudah sekali meloloskan diri daripada kawalan keselamatan akan membuatkan pembaca tertanya dengan jalan apa penulis akan menyudahkan cerita membuatkan Sheikh Mahadi dapat ditewaskan sekaligus membuktikan bahawa beliau adalah Mahdi yang palsu. Kemunculan Ustaz Zaher, satu watak yang tiba-tiba muncul di rumah ASP Rahem merupakan kunci kepada persoalan yang bersarang di minda pembaca. Secara sedikit demi sedikit peribadi Sheikh Mahdi dibongkarkan. Ustaz zaher mewakili watak putih manakala Sheikh Mahadi adalah watak hitam yang sebenarnya menggunakan sihir dalam mempengaruhi orang ramai. Kisah kepolisian ini memang menarik cuma apabila cuba diselesaikan dengan sedikit pengaruh fantasi, hamba mula merasakan akan 'ketidakselesaannya'. Walaupun pertarungan Ustaz Zaher dan Sheikh Mahadi adalah pertarungan antara hak dan batil, hamba rasa tidak perlu hingga ke peringkat mereka boleh bertarung sehingga terbang di udara dan mengeluarkan cahaya dari tangan dan tongkat masing-masing yang boleh memudaratkan pesaing mereka. dah macam cerita Star Wars pula ada unsur tembakan laser.

Sepanjang membaca karya Naim Tamdjis, hamba merasakan ini adalah hasil tulisan beliau yang paling menarik buat masa ini. Hamba lebih tertarik dengan cara beliau menulis novel aksi ini berbanding dengan novel-novel beliau sebelum ini yang berunsurkan seram. Rasa suspen, teruja dan ingin tahu yang telah ada sejak novel ini bermula berterusan sehingga ke akhirnya. Hamba percaya Naim berbakat menghasilkan novel sebegini lagi. Walaupun begitu hamba suka untuk melahirkan beberapa pandangan terhadap beberapa kesilapan kecil (yang hamba percaya terlepas pandang) agar akan datang beliau boleh menghasilkan karyang yang lebih baik lagi. Antaranya:-

#    Ayat di mukasurat 97 '.........Ini menyebabkan Tuanku Ghazali menjadi murka dan enggan mengadap Perdana Menteri setia minggu......' Seorang Agong tidak pergi mengadap Perdana Menteri. Saya percaya ayat yang betulnya adalah 'menerima mengadap oleh Perdana Menteri'.

#    Pistol jenama Glotch, sepatutnya Glock.

#   Perkataan healer ditemui di beberapa tempat. Sepatutnya hailer atau lebih tepatnya loud hailer. Pada mukasurat 241 digunakan istilah pelaung suara yang hamba rasa lebih baik.

#    Frasa 'Jabatan Kementerian Kewangan Malaysia' seperti di mukasurat 119 dilihat kurang tepat. Hanya Kementerian Kewangan Malaysia atau Perbendaharaan Malaysia sahaja. Lagipun sebuah kementerian adalah lebih besar berbanding jabatan.

#    Pada mukasurat 144 apabila Agong memecat KSU. Hamba rasa Agong memecat KSN (Ketua Setiausaha Negara). Ini kerana KSU atau Ketua Setiausaha adalah jawatan di kementerian dan ada berpuluh-puluh KSU sedangkan dalam hal ini hanya seorang yang menjadi penggantinya iaitu Tan Sri Ahmad Marican.

Kipidap saudara Naim. Hamba harap rentak saudara akan terus kekal begini.


Selasa, 13 Oktober 2020

JANGAN BACA KOMBO NI - Ismi Fa Ismail


 

Ini adalah kali pertama hamba membaca karya Ismi. Kali ini baca tiga karya sekaligus. Ini kerana Jangan Baca Kombo Ni adalah himpunan tiga karya beliau yang bertajuk Jangan Baca Novel Ni, Tanpa Tajuk dan Akhir. Jangan Baca Kombo Ni diterbitkan pada Mac 2020 yang hamba rasa bertujuan untuk pemasaran PBAKL 2020. Namun kerana covid yang melanda, trilogi ini dijual secara atas talian.


1. Jangan Baca Novel Ni.

Semasa novel ini mula berada di pasaran lama dahulu, ia memang ada unsur tarikan. Dengan kulit yang diberikan warna hitam dan tulisan tajuk yang berwarna merah, ia menimbulkan tanda tanya kenapa jual novel sebegini sekiranya pembaca dilarang untuk membacanya. Tapi hamba memang 'lurus'. Apabila dah dilarang untuk membacanya, maka tiadalah hamba membeli naskhah ini walaupun selepas itu telah diterbitkan siri yang kedua dan ketiga.

Namun apabila mula membaca tulisan Ismi, dari muka ke muka dan dari bab ke bab, hamba dapat rasakan bahawa penulis ini mempunyai keistimewaannnya yang tersendiri. Gaya penulisannya (dalam novel ini) mampu untuk menarik pembaca untuk terus kekal menatap helaian mukasuratnya. Sukar untuk meneka pada mulanya sama ada novel ini berunsurkan seram, thriller ataupun fantasi. Ia sememangnya satu misteri. Pembaca perlu mengkhatamkan setiap siri kerana setiap siri mempunyai kaitan dan ia tidak boleh berdiri sendiri.

Perjalanan Munir ke kampung menemukan beliau dengan seorang budak bernama Adib. Memandangkan tiada siapa yang bertanggungjawab ke atas anak berkenaan, Munir telah membawanya bersama ke kampung. Bersama budak berkenaan terdapat sebuah buku hitam seperti novel dan beliau dilihat asyik menatapnya. Novel di tangan budak inilah yang akan memulakan misteri dalam cerita ini. Walaupun namanya novel, hamba boleh katakan bahawa isinya adalah sebuah antologi cerpen. Ia mengandungi beberapa cerita pendek yang pelik seperti manusia yang berubah menjadi kucing, manusia yang boleh terapung, manusia yang boleh melihat masa depan dan lainl-lain. Kepelikan mula timbul apabila Munir selesai membaca setiap cerpen akan berlaku peristiwa yang mempunyai unsur kaitan dengan cerita berkenaan. Cerpen-cerpen kemudiannya mula menimbulkan lebih banyak misteri apabila watak-watak yang hadir merupakan mereka yang dikenali oleh Munir. Keterujaan pembaca akan memuncak apabila kisah terakhir dalam novel itu memasukkan bagaimana Munir menjumpai Adib! Bagaimana Munir boleh masuk ke dalam sebuah novel yang kelihatan usang kerana telah lama ditulis sedangkan beliau hanya bertemu Adib dalam tempoh beberapa hari yang lalu sahaja.

Penulis novel ini (Ismi) juga turut 'memasukkan' watak dirinya di dalam novel ini apabila dikisahkan dia mendapatkan novel asal dari Munir dan kemudian mengkomersilkannya. Buku yang asalnya berwarna hitam telah ditulis tajuknya oleh Adib - Jangan Baca Novel Ni - sebagai satu amaran agar orang tidak membacanya, dengan menggunakan darah beliau sendiri. Justeru apabila pembaca melihat semula bentuk novel di tangan dengan tulisan tajuk yang diwarnakan merah, ia seolah membawa unsur bahawa pembaca kini adalah sebahagian daripada manusia yang telah membaca novel larangan ini!

Di penghujung novel watak Zack telah diperkenalkan. Watak ini merupakan sahabat penulis Ismi yang bertugas sebagai toxicologist. Ismi telah meminta beliau mengkaji bahan kimia yang digunakan untuk menulis novel berkenaan yang kemudiannya dikesan sebagai satu dadah jenis baru yang amat kuat sehingga boleh mendatangkan halusinasi kepada pembacanya. Namun keadaan yang berlaku kepada Zack selepas itu mula mendatangkan tanda tanya kepada pembaca. adakah Zack sendiri telah mendapat akbibat kerana terhidu bahan dadah berkenaan atau adakah beliau turut mempunyai kaitan dengan misteri novel ini?


2. Tiada Tajuk

Bukan sahaja dinamakan sedemikian, bahkan siri kedua trilogi ini hanya menampilkan sebuah buku yang kosong, hanya dihiasi warna hitam. Tidak seperti namanya, siri kedua menampilkan misteri yang lebih menyesakkan minda pembaca. Ia berlaku selepas dua tahun peristiwa dalam novel pertama. Adib telah bersekolah dan memiliki minda yang tidak padan dengan usianya. Dia dilihat genius kerana boleh menyempurnakan soalan peperiksaan percubaan SPM. Namun penumpuan terbesar adalah kepada beberapa kes pembunuhan yang dilakukan seorang pembunuh bergelar Pembunuh Batik Biru. Untuk makluman batik berwarna biru merupakan kain yang digunakan oleh watak berwarna Anom dalam salah satu kisah dalam novel Adib dan menjadi kain kegemarannya yang sering digunakan sebagai kain basahan untuk mandi. Setiap kali melakukan pembunuhan, si pembunuh akan memperlakukan mangsanya dengan kejam seperti menyembelih, melapah dan memotong jasad mereka. Jasad itu kemudiannya akan ditutup dengan kain batik biru berkenaan. 

Pembaca akan bertambah teruja apabila pada setiap mangsa yang dibunuh akan dijumpai bersama mereka satu kisah pendek yang merupakan sambungan atau mempunyai kaitan dengan kisah-kisah pendek dalam novel hitam Adib. Dan kisah-kisah pendek berkenaan pula menambahkan lagi keresahan pembaca apabila ia berlaku pula dalam dunia realiti. Pembunuh Batik Biru hanya membunuh seramai lima orang sahaja dan menyerah diri kepada polis sebaik melakukan tugasannya yang terakhir.

Satu karangan oleh Adib pada hujung novel kedua ini seolah memberikan sedikit jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain di minda pembaca seperti tentang misteri perempuan bernama Anom serta siapakah Adib. 


3. Akhir

Akhir adalah siri terakhir trilogi ini. Memaparkan tiga garisan tegak yang merupakan satu garisan yang kelihatan seperti cakaran yang berlaku kepada beberapa individu di bahagian belakang bawah bahu sebelah kiri. Sampai ke sudah kenapa berlakunya cakaran seperti ini tidak dijelaskan. 

Sewajarnya buku akhir ini akan menjelaskan segala yang kelam di dalam buku pertama dan kedua. Walaupun itu berlaku, hamba percaya ia akan tetap menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada pembaca.

Walaupun segala misteri dalam buku pertama dan kedua akhirnya seperti boleh dikaitkan dengan satu konspirasi manusia dan bersifat saintifik, misteri dalam buku ketiga kembali kepada unsur ghaib. Ini berlaku dengan kemunculan serta penjelasan tentang watak yang digelar Pohon. Pembaca akan dikejutkan dengan perkara yang tidak dijangka-jangka seperti siapakah sebenarnya Suraya. Satu yang mengejutkan juga berlaku kepada watak Munir yang mana hamba percaya ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa watak ini memandangkan sejak mula dia kelihatan baik, berusaha menjadi baik dan cuba melakukan yang terbaik. Agak menyedihkan apabila wataknya ditamatkan dengan satu perkara yang dramatik dan seterusnya memberikan peluang kepada satu watak yang sepatutnya dihukum mati.

Siri yang ketiga ini nyata lebih memeningkan kepala!







PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...