Khamis, 25 April 2019

BAHAYA SPIRIT OF THE COIN - Azanil Fitri



Baca buku untuk level kanak-kanak atau remaja pun elok juga kadangkala. Sekurang-kurangnya tak ada perkataan kasar ataupun bahasa pasar. Lagipun bila hamba ada masa lapang dan buku paling hampir dicapai adalah buku ini, maka teruslah dibaca dan disudahkan. 

Ada lima kisah di dalam buku ini. Lebih kurang macam antologi cerpen jugalah yang memuatkan kisah-kisah seram. Kesemuanya mengandungi kisah yang berbeza tetapi mempunyai satu persamaan - kesemuanya berkait dengan beberapa permainan mistik yang membolehkan pemainnya bertemu roh tertentu. Kisah Spirit Of Coin sepertimana tajuk buku hanyalah salah satu daripada 5 kisah tersebut. Justeru walaupun kisahnya berbeza, jalan ceritanya boleh dijangka dan boleh di agak kesudahannya. Apatahlagi kesemua idea ceritanya datang daripada penulis yang sama.

Kesemua 5 kisah ini sebenarnya hanya mahu menyampaikan satu perkara iaitu permainan berkaitan roh ini adalah suatu yang syirik serta boleh menjejaskan akidah. Terdapat sedikit penjelasan yang diberikan daripada sudut agama.

Isnin, 22 April 2019

SEARCH: PHENOMENA OF ROCK N ROLL - DuBook Press



Buku ini dicetak dengan kertas yang berkualiti dan banyak dihiasi gambar-gambar ekslusif kumpulan ini. Ia menceritakan perjalanan Search sebagai sebuah kumpulan dari awal hinggalah sekarang. Walaupun kelihatan tebal, sebenarnya tulisan di dalam buku ini tidaklah banyak. Ini bermakna tidak banyak kisah tentang Search yang tercatat sebenarnya. Ia umpama sebuah ringkasan daripada sebuah kisah yang amat panjang. Kerana itu banyak kisah-kisah menarik yang tertinggal seperti dua anggotanya yang pernah dihadapkan ke mahkamah kerana dadah serta kontroversi Amy sewaktu melakonkan satu babak dalam filem Isabella bersama Nia Zulkarnaen. Gaya penulisan pula lebih banyak menggunakan cakap ajuk ataupun verbatim terus daripada anggota Search sendiri.

Sebagai sebuah band yang menghampiri usia 40 tahun tentunya banyak kisah mereka yang tidak diketahui ramai. Apatah lagi para rockers bukanlah seperti artis lain yang suka mencari publisiti dengan kisah-kisah peribadi. Sebenarnya hamba tidak berapa puas membaca apa yang terkandung di dalam buku ini kerana pengkisahannya terlalu ringkas. Hanya gambar-gambar yang dipaparkan sahaja dapat menyejukkan sedikit hati yang kecewa ini. Maklumlah buku ini mahal harganya, bila cerita tak banyak rasa macam tak berbaloi memilikinya.

Search perlu mencari seorang penulis biografi untuk mencatat semula kisah mereka. Ia harus dibuat dengan teliti agar perjalanan hidup kumpulan ini dapat dihayati dengan baik semenjak awal penubuhan, tahun-tahun gemilang hinggalah ke hari ini.


KELOLO - Aloy



Mungkin ini satu-satunya karya Aloy yang terbit dalam sebuah buku khas. Kesemua kartun di dalam buku ini adalah karya baru dan bukannya himpunan karya-karya lama kecuali kartun bertajuk Awang DJ pada kulit belakang yang pernah tersiar di sebuah akhbar tempatan.

Uniknya buku ini ia menumpukan kepada tempat asal Aloy iaitu Batu Kurau aka Tekugho. Bahkan bahasa yang digunakan di dalam karya ini adalah dialek Melayu Pattani yang hamba yakin tidak semua kita memahaminya. Walaupun begitu Aloy ada menyediakan glosari perkataan-perkataan ini untuk rujukan pembaca. 

Kebanyakan kartun di dalam buku ini adalah lukisan loose semuka dan cuma ada satu atau dua sahaja yang melebihi semuka. Semua kartun adalah dalam hitam putih kecuali pada mukasurat kulitnya. Kartun Aloy mempunyai identiti yang tersendiri. Garis pennya kasar dengan watak yang mempunyai mata serta gigi yang besar termasuk watak perempuan. Biasanya lukisan beliau tidak kelihatan terperinci dan latar belakang yang terhad. Mood lukisan dibangkitkan melalui penggunaan shading. Beberapa karikatur terutamanya pemain bolasepak antarabangsa turut diselitkan dalam beberapa kartun beliau.

Buku ini dijual dengan harga RM30 yang hamba rasa agak mahal.


44 CINTA - Komik M & Tembakau



44 Cinta adalah merupakan himpunan koleksi komik yang pernah dilukis oleh kartunis Tembakau di bawah jenama Komik-M. Ia bolehlah dikatakan sebagai sebuah koleksi tribute buat almarhum yang telahpun meninggalkan kita pada Syawal tahun yang lalu. Di samping koleksi komik beliau, terdapat juga beberapa buat karya tribute hasil karya beberapa kartunis seperti Bophairy, Ahmad Nor Fitri, Mohd Ekram Hashim, Alifstyle, Azhar Abdullah dan lain-lain lagi. Selain itu beberapa catatan daripada rakan almarhum turut dimuatkan. Terdapat dua catatan istimewa yang turut dicoretkan oleh isteri almarhum, Siti Nuraznie, juga anak sulung beliau Izzah Azhar. Coretan isteri almarhum turut dimasukkan satu lukisan yang pernah dilukis khas untuk isterinya manakala pada coretan Izzah, beliau memasukkan beberapa lukisan hasil beliau sendiri. Jelas bakat Tembakau turun kepada anak sulungnya ini.

Karya-karya Tembakau penuh dengan falsafah. Pemikiran beliau disampaikan secara berkias dan menuntut pembaca untuk berfikir dengan lebih luas. Contohnya pada karya Hikayat Robot beliau cuba menyentuh tentang orang kita sebenarnya pernah memikirkan tentang robot pada masa dahulu. Beliau menggunakan Hikayat Indera Putera sebagai dalilnya. Di dalam hikayat tersebut terdapat pelbagai haiwan ajaib yang gagah perkasa untuk bertempur. Namun haiwan-haiwan ini bukanlah bergerak dengan kuasa sihir ataupun sakti seperti kelaziman sesebuah hikayat. Kesemua haiwan berkenaan mempunyai 'tali sawat' yang boleh kita terjemahkan sebagai satu alat mekanikal. Bukankah robot bergerak secara mekanikal.

Banyak karya almarhum yang 'bersepah' di merata majalah. Ia perlu dikumpul dan dijilidkan sebagai rujukan buat generasi akan datang terutamanya buat pencinta komik tempatan.

Rabu, 17 April 2019

KOLEKSI KARTUN DEWAN PELAJAR IMUDA - Imuda



Seingat hamba, betulkan kalau hamba salah, belum pernah lagi Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) menerbitkan sebarang komik ataupun kompilasi kartun. Biasanya DBP banyak meneribitkan bahan bercorak ilmiah terutamanya yang melibatkan bahan sastera. Kartun kalaupun ada hanyalah penyelit di dalam majalah-majalah terbitan mereka.

Jadi bolehlah hamba katakan bahawa Imuda telah diberikan satu penghormatan oleh DBP melalui penerbitan karya ini. Buku koleksi kartun ini melibatkan kisah "DI dan PI" serta "Abol Batu" di mana keduanya pernah tersiar di dalam majalah Dewan Pelajar.

Semua kartun-kartun yag ditampilkan adalah bersifat ringan dan amat sesuai untuk hiburan semua peringkat terutamanya kanak-kanak. Bahkan kadangkala apabila membacanya umpama membaca karya Imuda di dalam Gila-Gila.

HASAN - Dr Yazeed Hair Johari



"Nah, saya bagi tuan baca buku ni", kata seorang pegawai hamba yang ketika itu datang atas satu urusan. Hamba membelek-belek buku tersebut. Sebuah buku seram hasil penulisan seorang pegawai perubatan.

" Awak nak saya buat ulasan ke?"

"Nak bagi tuan baca. Tapi boleh juga kalau nak buat ulasan".

Hamba ambil buku tersebut sambil dalam masa yang sama memikirkan ratusan buku lagi yang telah hamba beli dan masih belum terusik. Kebetulan keesokan dan lusanya hamba ada tugasan luar pejabat jadi hamba berpeluang membacanya di dalam perjalanan dan dapat menghabiskan bacaan pada hari yang kedua.

Apa yang dapat hamba katakan adalah buku seram ini adalah berlainan daripada buku seram daripada beberapa penulis yang pernah hamba baca sebelum ini. Mungkin kelainan ini berpunca daripada kisah itu sendiri yang didakwa merupakan pengalaman sebenar yang berlaku terhadap penulis. Walaupun cara tulisan dan pengolahan penulis tidaklah sehebat penulis professional, namun tulisan beliau tidak bosan untuk dibaca bahkan ada debaran mennati di setiap bab yang disinggahi. Justeru buku ini hamba syorkan untuk bacaan peminat genre seram.

Seorang doktor telah dilatih dengan ilmu perubatan yang memerlukan kajian dan pembuktian secara saintifik. Perkara yang berkait dengan alam ghaib mungkin tidak begitu diminati/dihiraukan atau dipercayai oleh segelintir mereka. Namun pengalaman penulis menghadapi semua ini memberikan satu dimensi baru kepada beliau. 

Walaupun buku ini diberikan judul Hasan, nama yang merujuk kepada watak seorang pesakit di dalam buku ini, misteri yang berlaku adalah lebih daripada itu. Ia melebihi daripada Hasan itu sendiri, bahkan hingga ke saat akhir buku ini segala apa yang berlaku masih menjadi misteri dan penuh tanda tanya. Bahkan pengakhiran buku ini juga dibuat sejurus selepas penulis ditimpa kemalangan jalan raya yang akan menimbulkan lebih banyak tanda tanya kepada pembaca memandnagkan pencarian penulis terhadap semua jawapan masih belum lagi dinoktahkan.

Secara keseluruhannya kisah dalam buku ini berlegar kepada persoalan saka. Penulis yang berpindah ke sebuah daerah mengalami beberapa peristiwa ganjil di tempat baru beliau bertugas. Gangguan yang pada mulanya disangka datang daripada kemusnahan sebatang pokok di perkarangan hospital dan saka yang diwarisi Hasan menjadi bertambah misteri apabila didapati pada diri penulis juga ada sesuatu yang mendampingi. Boleh dikatakan kehidupan penulis amat meletihkan kerana sering diganggu tanpa mengira masa dan tempat. Lebih menyeramkan apabila gangguan ini menjadi 'pendua' atau menyamar watak-watak yang dikenali penulis bahkan menyamar sebagai penulis sendiri! Usaha untuk melawan anasir tersebut melalui bantuan beberapa kenalan juga tidak kelihatan mudah dan memakan masa beberapa lama juga. 

Buku ditangan hamba ini baru dicetak pertama kali pada Mac 2019. Ini bermakna ia masih baru dan hamba membacanya selepas baru sebulan di pasaran. Mungkin ada sambungan lagi bagi penulis memberikan jawapan kepada persoalan yang telah ditimbulkan. Kalau ada bermakna misteri buku ini masih belum selesai!


Nota - Buku ini telah dihadiahkan oleh saudari Zalilyani Khadijah. Terima kasih daun keladi, kalau ada berilah lagiII :-D




PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...