Jumaat, 21 Oktober 2022
PENERBANGAN TERAKHIR MH 370 & MH 17 - Dato' Sri Azharuddin Abdul Rahman
Selasa, 18 Oktober 2022
PULANG - Abdul Rahim Awang
Hamba kurang gemar membaca kisah berkaitan hidup tidak bermoral, pergaulan bebas, wanita-wanita jalang/GRO dan yang seangkatan dengannya. Semasa membeli buku ini, hamba memang tidak merujuk lansung kepada ulasan sesiapa. Hamba membeli novel ini kerana 'jenama' Abdul Rahim Awang (ARA).
Hasil tangan ARA sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Tulisan beliau memang mantap dalam semua novel-novelnya. Dan walaupun pengkisahan dalam naskhah ini ada yang kurang hamba gemari, tulisan ARA masih lagi hebat seperti biasa. Novel ini terbitan tahun 2007 dan baru hamba beli beberapa bulan yang lalu. Masih lagi cantik di dalam balutan plastik, bukannya sebuah buku terpakai.
Novel ini seolah dibahagikan kepada empat buah fragmen. Dalam fragmen yang pertama kita akan tertumpu kepada watak Norazlin, seorang wanita muda berusia 23 tahun yang mempunyai impian menjadi Cleopatra zaman moden. Walaupun mempunyai kerjaya, beliau menjalani kehidupan malam dengan menjadi teman kepada lelaki. Tidak mengistilahkan dirinya sebagai pelacur kerana menganggap pelacur adalah mereka yang menetapkan bayaran. Walaupun beliau tidak menetapkan sebarang bayaran, tetapi beliau menerima wang yang diberikan oleh 'pelanggannya'.
Konflik terjadi apabila beliau merasakan mahu berubah dan mahu meninggalkan dunia gelapnya. Ia bukanlah suatu yang sukar memandangkan para lelaki yang 'membelanya' telah membelanjakan ratusan ribu ringgit. Kebanyakan mereka sukar melepaskan Norazlin dengan begitu sahaja kerana memikirkan pelaburan yang telah dibuat. Norazlin menghadapi situasi yang sukar. Ancaman berbaur ugutan mula diterima.
Namun dalam beliau mempunyai niat untuk berubah itupun Norazlin masih kekal dengan aktiviti maksiatnya. Paling kurang beliau berzina dengan dua orang lelaki beberapa kali. Salah seorangnya bernama Farouk yang kisahnya akan menjadi tumpuan utama dalam tiga fragmen selanjutnya. Maafkan hamba kerana menggunakan istilah berzina walaupun ARA lansung tidak menggunakan istilah ini di dalam Pulang. Tetapi itulah hakikatnya yang berlaku. Terlalu banyak perzinaan di dalam novel ini sehingga membuatkan hamba mual dan tidak selesa. Novel ini nyata untuk bacaan dewasa sahaja dan hamba malu nak mengesyorkannya kepada sesiapa apatah lagi kepada anak-anak hamba.
Walaupun berniat baik, Norazlin pada hamba tidak melakukan sebarang usaha untuk berubah. Secara mendadak fragmen awal ini ditamatkan dengan kematian Norazlin! Siapa yang membunuh beliau?
Fragmen kedua menumpukan kepada usaha pihak polis untuk mengesan pembunuh Norazlin serta menyelesaikan misteri pembunuhan beliau. Beberapa suspek telah ditahan termasuk Farouk. Namun kesemua mereka dibebaskan kecuali Farouk yang kemudiannya dituduh di mahkamah. Farouk mempunyai alibi yang kuat menyebabkan para pembaca terus berteka teki tentang apa yang terjadi serta siapa yang sebenarnya menjadi pembunuh.
Fragmen ketiga tertumpu kepada diri Farouk sendiri, tentang apa yang beliau rasa dan fikir. ARA mengulangi semula beberapa babak penceritaan seperti yang ada di fragmen satu dan dua, namun kali ini daripada sudut pandangan Farouk sendiri. Farouk ini juga seorang kaki maksiat. Waktu orang lelaki pergi ke masjid pada hari Jumaat pun beliau sempat buat maksiat. Tetapi dalam masa yang sama amat sayang kepada isteri dan anaknya. Nampak macam lelaki yang bertanggungjawab kan. Tetapi yang keji tetaplah keji. Dalam fragmen ini pembaca akan dapat melihat sendiri koflik yang melibatkan Farouk dengan Norazlin, konflik dengan isterinya Suhaila dan konflik dengan dirinya sendiri.
Penahanannya di lokap telah membuatkan beliau mengenali semula tikar sembahyang!
Penceritaan dalam fragmen yang melibatkan Farouk lansung tidak memberikan jawapan tentang siapakah pembunuh Norazlin. Fragmen terakhir bertumpu kepada Suhaila, isteri Farouk. Hamba pada mulanya tertanya-tanya juga kenapa Suhaila kini menjadi antara watak utama. Adakah Suhaila terlibat dalam kes pembunuhan kerana cemburu? Namun seperti dalam fragmen yang melibatkan Farouk, Fragmen yang melibatkan Suhaila juga adalah tentang beberapa peristiwa yang telah berlaku dalam penceritaan sebelum ini tetapi berada daripada sudut pandangan Suhaila sendiri. Pembaca akan dapat menyelami rintihan hati Suhaila sebagai seorang isteri yang baik dan sayang kepada suaminya. Tetapi Suhaila pun jenis tak solat juga!
Membaca fragmen yang melibatkan Suhaila juga kita tidak akan menemui atau mengetahui siapa sebenarnya pembunuh Norazlin. Teka teki yang turut melibatkan beberapa nama lelaki berpangkat yang berhidung belang yang pernah bersama Norazlin lansung tidak mengena. Bahkan nama-nama mereka seakan hilang sebaik memasuki fragmen kedua.
ARA tidak memberikan jawapan kepada siapa pembunuh Norazlin. Hanya ada satu perenggan pendek yang menunjukkan babak seorang lelaki berkulit hitam yang sedang makan di sebuah restoran yang terletak di utara. Tetapi itupun masih kabur.
Yup, ARA mungkin bukan mahu menjadikan isu pembunuhan ini sebagai matlamat penceritaannya. Apa yang mahu beliau sampikan atau tekankan mungkin berada di sebalik peneritaan watak Farouk dan Suhaila.
Sebenarnya setelah letih melihat banyak adegan sumbang di dalam fragmen pertama, semangat untuk mebaca mulai melinjak apabila memasuki fragmen yang kedua kerana hamba merasakan kisa selanjutnya mempunyai elemen thriller yang sememangnya hamba gemari. Tetapi itu hanya berlaku di dalam fragmen yang kedua itu sahaja. Fragmen selepas itu ia mula kembali menjadi kisah masyarakat.
Apapun seperti yang dijangka, Farouk didapati tidak bersalah. Namun Suhaila seolah bakal menghadapi hari-hari yang meresahkan!
![]() |
Kenitra sama sekali tidak menghidangkan kisah tak bermoral. Kenitra adalah pembakar semangat anak-anak yang sedang belajar. Tak percaya? Sila baca sendiri! |
Sabtu, 15 Oktober 2022
DARI KOTA CAHAYA - Abdullah Hussain
Ahad, 2 Oktober 2022
AIN - Naim Tamdjis
Ain di dalam buku ini bukanlah nama orang. Ain merujuk kepada penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata manusia dan ia bukanlah sihir. Penjelasan mengenai penyakit ain ada disebutkan oleh penulis di akhir cerita.
Walaupun penjelasan penulis mengenai penyakit ini adalah benar, tetapi situasi yang menimpa watak Jardin di dalam pengkisahan hamba lihat lebih kepada rasukan dan gangguan dan bukanlah ain. Walaupun Jardin, seorang youtuber yang selalu membuat content dengan gaya yang sombong dan bongkak, apa yang menimpa beliau hamba tidak lihat dia mendapat penyakit ain. Jardin telah diganggu oleh makhluk halus - noktah!
Baik, jika kita lupakan tentang penyakit ain ini, cerita mengenai Jardin yang dirasuk ini agak menarik juga walaupun elemen seramnya tidaklah sehingga kita takut untuk ke bilik air pada malam hari. Penulis bijak menggunakan kegilaan segelintir anak muda hari ini yang ghairah untuk menjadi youtuber, tik toker atau instafamous dengan menghasilkan kandungan yang kadangkala melampau semata-mata untuk menarik perhatian, tontonan dan tanda suka pengunjung.
Jenis Jardin ini pula suka menghasilkan kandungan yang mempromosikan barangan, makanan atau tempat yang mewah sambil menggunakan bahasa dan gaya yang penuh kesombongan dan memperkecilkan orang lain. Berkenaan nama Jardin ini hamba tak tahu jika ia merupakan nama orang Melayu. Bila hamba membaca nama Jardin, otak hamba terus menterjemahkan perkataan berkenaan daripada bahasa Peranchis yang membawa maksud taman. Adik beliau pula bernama Radin. Radin ini biasanya nama mereka yang datang daripada golongan bangsawan Jawa dan ia terletak di pangkal nama. Jikalau anaknya radin, pasti nama bapanya begitu juga. Tetapi ia tidak sedemikian pada watak-watak ini.
Jardin mendapat gangguan semasa melakukan kerja penciptaan kandungan di Langkawi. Sampai ke akhir cerita kita tidak tahu makhluk apakah yang mengganggu dan kenapa itu berlaku. kalau ia dikatakan ain, tidaklah diketahui daripada manusia mana ia berpunca. Tetapi gangguan berkenaan benar-benar menyusahkan diri Jardin dan kerjayanya.
Selain menempelak golongan yang dahagakan nama ini, penulis juga menempelak golongan yang mempergunakan agama untuk mencari pendapatan yang melampau. Penulis memfokuskan kepada golongan perawat yang bergelar ustaz yang sudahlah mengenakan harga yang mahal, golongan yang dirawat juga hanya bertaraf VVIP.
Cuma bila ada adegan melawan makhluk jahat ini yang menunjukkan ada cahaya merah yang menembak keluar daripada tongkat perawat (dah serupa laser pula), hamba rasa peranan perawat yang benar ini dah macam kartun pula. Tidaklah pernah hamba melihat situasi cahaya keluar memancar-mancar daripada tongkat atau apa sahaja alat sepanjang hamba melihat para perawat merawat pesakit mereka.
Tapi, ya lah, namanya pun fiksyen kan.
Hamba merujuk kepada muka surat 122. Perhatikan ayat ini. 'Jardin hampir terjatuh di pertengahan jalan ke bilik air. Di bahunya dia terasa seperti batu jemala dibebankan di atas bahunya'. Batu jemala itu bermaksud kepala. Sepanjang hidup hamba membaca, belum pernah bertemu para sasterawan menggunakan kalimah batu jemala untuk memberi perbandingan dengan bebanan. Letak batu sahaja cukuplah!
Juga pada muka surat 247 ayat ' Hairi lekas pulang dengan membonceng motor tanpa menunggu kawannya balik bersama'. Perhatikan kepada penggunaan perkataan membonceng. Watak Hairi hanya menunggang bersendirian. Sedangkan membonceng bermaksud piggyback atau seseorang itu menumpang basikal atau motosikal atau duduk di bahagian belakang pemandu yaani di tempat duduk penumpang. Justeru ayat yang sepatutnya adalah Hairi lekas pulang dengan menunggang motor. Penggunaan perkataan bonceng oleh penulis pernah hamba tegur dalam ulasan terhadap novel beliau sebelum ini dan didapati masih lagi berulang.
Selain Ain, buku ini turut menampilkan sebuah lagi cerita bertajuk Skizofrenia. Cerita ini agak menarik juga tetapi cerita sebegini sudah biasa diketemui di dalam novel dan jujga filem. Tapi tak kisahlah kan, alangkan cerita zombie pun dibuat orang berkali-kali.
Kisah skizofrenia versi Naim turut menggunakan misteri kotak dibuk yang dikaitkan dengan mitos yahudi. Kotak dibuk yang dibeli melalui laman gelap di internet mengingatkan hamba kepada novel UNBOX oleh Ariff Adly yang turut menggunakan premis yang sama. Cuma Ariff fokus kepada gangguan yang timbul akibat membuka kotak berkenaan dan tidak mengaitkannya dengan sebarang penyakit lain.
Bermula seorang lelaki yang membeli kotak berkenaan telah mendapat gangguan sehingga membunuh beberapa orang. Beliau kemudiannya dirawat oleh seorang doktor yang turut mendapat gangguan. Twist yang dibuat oleh Naim agak menarik apabila kita diperlihatkan beberapa kejadian pembunuhan yang dikatakan pernah berlaku, sama ada ia hanya sekadar ilusi doktor berkenaan ataupun ia dilakukan oleh beliau sendiri dan bukannya oleh entiti lain. Cuma yang hamba tergarit senyuman apabila melihat setiap kejadian pasti ada rakaman videonya sama ada menerusi cctv ataupun telefon mudah alih.
Sekiranya dibandingkan kisah Ain dan Skizofrenia, Skizofrenia ternyata mempunyai elemen seram melebihi Ain. Ia juga lebih ganas dan brutal kerana banyak melibatkan pembunuhan yang mengerikan. Elemen pembunuhan yang mengerikan ini seingat hamba tidak ada dalam buku-buku seram masa lalu seperti dalam tulisan Tamar Jalis atau Tok Awang Ngah.
Apapun, tahniah Naim!
![]() |
Kenitra tidaklah seram, tetapi tetap ada elemen yang mendebarkan! |
LELUHUR - Arman Jazee
Penulis ini adalah satu jenama yang hamba tidak ragu-ragu untuk membeli buku tulisannya. Hamba mengenali penulis ini lewat novel-novelnya ...

-
Novel ini dikatakan pernah menjadi novel terlaris pada zamannya. Dikatakan juga novel ini kini boleh dijual dengan harga yang lebih ting...
-
Pertama kali membacanya adalah semasa zaman sekolah hampir 30 tahun yang lalu. Hamba membacanya sekali lagi kerana tahu bahawa novel ini s...
-
Baru-baru ini hamba menemani isteri ke bengkel kereta mengambil kenderaan beliau yang telah siap dibaiki. Pandangan hamba tertarik ke ...