Selasa, 31 Disember 2013

BABAI PUTRAJAYA



Seorang sahabat yang menelefon ke pejabat pagi tadi memaklumkan kesukarannya mencari nama hamba di dalam direktori yang terdapat dalam laman web jabatan. Bahkan menurut beliau nama hamba telah tiada lagi dan digantikan dengan nama seorang pegawai lain. Sebetulnya ini hari akhir hamba di kementerian sebelum berpindah ke sebuah jabatan di Shah Alam. Tak sangka cepat pula nama di dalam direktori ditukar.

Alhamdulillah, setelah lebih 13 tahun berulang jauh ke tempat kerja hamba akhirnya berpeluang bertugas di tempat yang agak dekat sedikit dengan kediaman. Walaupun 23km masih boleh dianggap jauh, namun bagi hamba ia adalah jauh lebih baik daripada jarak sekarang ini. Bukan itu sahaja sekarang ini hamba terpaksa membayar sebanyak RM12 bagi penggunaan tol. Itu belum termasuk minyak lagi. Jadi sempena pesta kenaikan kadar tol dan bermulanya hamba membuat potongan ansuran pinjaman perumahan, perpindahan ini memberikan kelegaan dan membolehkan hamba menyusun semula kewangan hamba.

Hamba ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih buat pimpinan tertinggi bahagian dan kementerian yang membenarkan hamba bertukar. Hamba pada mulanya tidak menyangka e-mel ringkas yang dihantar kepada Setiausaha Bahagian bagi memohon pertukaran mendapat respon yang positif. Terima kasih buat beliau, immediate boss hamba, rakan-rakan sejawat, anak-anak buah di Unit Skim, Saraan & Hubungan Pekerja, rakan-rakan Bahagian, rakan-rakan Kementerian, rakan-rakan di Kementerian dan Jabatan lain serta pimpinan Kesatuan/Persatuan yang kerap berurusan dengan hamba.

Tidak lupa buat teman sejogging, teman makan nasi Arab, teman yang sering mendengar luahan perasaan, teman yang belanja makan dan lain-lain yang sewaktu dengannya sewaktu hamba bertugas di Putrajaya ini. Hamba ambil juga kesempatan menyusun 10 jari bagi memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan. Tentunya ada kesilapan hamba yang menyinggung perasaan tanpa disedari sewaktu menjalankan tugasan atau dalam pergaulan. Kalau hamba ada berhutang dan terlupa, bolehlah dituntut daripada hamba.

Terima kasih, mohon maaf. Moga 2014 yang bermula esok memberikan satu sinar yang gemilang. Amin, kepada-Mu hamba berserah Ya Rabb!!


Isnin, 30 Disember 2013

PENANG STREET ART



Siapa sangka lukisan mural ala graffiti boleh menjadi satu produk pelancongan di Pulau Pinang. Tetapi itulah yang berlaku. Gambar-gambar yang ada menjadi 'buruan' pelancong terutamanya dari luar. Mereka sanggup menyewa basikal menyusuri lorong-lorong di Georgetown bagi mencari gambar-gambar ini dan seterusnya mengabadikan kenangan mereka bersama lukisan tersebut. Bahkan hamba sendiri terpaksa 'menunggu giliran' untuk mengambil gambar apabila terdapat ramai pelancong di sesuatu gambar.



Kebanyakan gambar ini dilukis oleh Ernest Zacharevic seorang pemuda dari Lithuania. Projek yang dikenali sebagai Mirrors George Town ini , merupakan sebahagian daripada George Town Festival 2012. Nampaknya dah lama lukisan ini menghiasi kebanyakan dinding di Pulau Pinang. Patutlah banyak lukisan yang telah pudar atau hilang berkemungkinan akibat cuaca, keadaan plaster dinding yang sedia uzur atau kualiti cat yang rendah.

Lukisan ini semakin hilang apabila sebahagian plasternya mula tanggal dan
akibat jenis cat yang rendah mutunya. Gamba asal adalah seperti di bawah.

Gambar asal. bandingkan dengan gambar sekarang seperti di atas.
Ihsan 
http://www.penang-traveltips.com

Proses bermula dengan Zacharevic mengelilingi kawasan persekitaran bagi mengenalpasti dinding yang sesuai. Selepas beliau memilih didnding yang sesuai, majlis Perbandaran Pulau Pinang menghubungi para pemilik bagi mendapatkan kebenaran dengan perjanjian bertulis daripada pemilik premis. Selepas itu bermulalah kerja Zacharevic. Kerja-kerja yang dilakukan oleh beliau itu mendapat perhatian daripada orang ramai yang melalui kawasan beliau bekerja. Ia mulai menjadi kawasan tumpuan ramai. Populariti yang terhasil daripada itu menyebabkan lebih ramai lagi pemilik bangunan menawarkan dinding bangunan mereka untuk dilukis. Projek ini dibiayai oleh George Town Festival manakala catnya ditaja oleh sebuah syarikat cat iaitu Murobond.



Selain buah tangan Zacharevic, ada juga lukisan yang dihasilkan oleh pelukis lain yang tidak kurang hebatnya berbanding Zacharevic. Tidak ketinggalan juga terdapat ukiran besi yang memaparkan karikatur dengan kisah tersendiri mengenai sejarah di sesuatu kawasan. Cuma ukiran ini nampak begitu kecinaan sekali bak kata saudara Timothy Tye dalam blognya di di http://www.penang-traveltips.com/steel-rod-sculptures.htm




Hamba hanya dapat berjumpa beberapa sahaja lukisan dan ukiran ini. Sukar sekiranya mencari dengan kereta kerana kekurangan kawasan parkir. Kalau ada peluang hamba nak datang lagi berjalan kaki.







Mamat kuning ni pun ada orang lukis jugak.

Lukisan yang inipun dah tinggal kepala gajah sahaja.
Lukisan asal adalah seperti di bawah.

Bandingkan gambar sekarang seperti di atas dengan yang ini. Ihsan http://connie-stillbelieve.blogspot.com/2013/08/georgetown-penang-street-art-mural.html

Kartun yang sama turut dilukis di Johor bahru





Rabu, 25 Disember 2013

BIARAWATI QASEH PUTERI - Moh Dat Molok



Sewaktu kerja-kerja membersihkan tapak Dataran Pahlawan di Melaka, para pekerja telah menjumpai satu ruang rahsia yang tersimpan pelbagai artifak purba. Salah satu barang yang ditemui adalah sebuah manuskrip yang dikatakan ditulis oleh seorang bernama Qaseh Puteri. Seterusnya kisah yang dipaparkan lewat novel ini adalah sepertimana yang dicatatkan dalam manuskrip tersebut.

Hamba percaya bahawa nama Qaseh Puteri itu adalah merupakan sebuah nama moden. Penggunaan huruf Q dan bukannya K adalah gaya orang hari ini. Walaupun huruf Q yang digunakan namun bagi orang Melayu huruf tersebut adalah berat di lisan. Maka orang Melayu tetap akan melafazkan huruf K dan bukan sebaliknya. Pada zaman Melaka orang Melayu menulis menggunakan huruf Arab ataupun Jawi. Dan tentunya jika seseorang bernama Kasih, beliau akan menulis namanya menggunakan huruf   dan bukannya . Ini kerana dalam Bahasa Arab, perubahan huruf boleh membawa kepada perubahan makna. Oleh yang demikian sekiranya ia manuskrip Jawi, ia akan bertulis ﻜﺎﺴﻪ dan bukannya ﻗﺎﺴﻪ. Saya yakin orang Melaka yang mahir menulis Jawi tidak akan menggunakan huruf bagi pemilik nama Kasih. Adalah ganjil juga sekiranya mereka menuturkan dengan huruf yang tebal tersebut. Justeru kurator yang menemui manuskrip tersebut tidak seharusnya mengalihkan nama tersebut ke tulisan rumi dengan nama Qaseh (Dalam hal ini penulis novel itu sendirilah).

Manuskrip Qaseh mengandungi tiga cerita iaitu kisah beliau sendiri, kisah perjuangan Tun Mahmud dan kisah serangan Jawa ke atas Melaka. Hamba dapati kisah Tun Mahmud ataupun Bujang lebih mendominan novel ini berbanding Qaseh itu sendiri. Sedangkan menurut Qaseh kisah Tun Mahmud ini hanya beliau perolehi daripada penceritaan lisan Hang Nadim dan Andak, dua orang pemuda yang sama ditawan bersama Qaseh oleh orang Portugis. Sewajarnya kisah Qaseh itu sendiri yang mendominasi novel ini berdasarkan tajuk novel ini. Hamba berpandangan kisah penemuan manuskrip purba itu tidak perlu lansung bahkan boleh diteruskan dengan kisah Qaseh itu sendiri. Mungkin penulis berpandangan sukar untuk membawa dua cerita berbeza jika tidak menggunakan landasan penemuan manuskrip purba. Sebenanrnya ia boleh sahaja dilakukan sepertimana novel Air Mata Raja yang memaparkan dua kisah iaitu berkaitan Tun Sri Lanang dan yang kedua kisah waris kesultanan Melaka yang berusaha untuk mendapatkan kembali negerinya. Kedua kisah ini walaupun berbeza namun dipersembahkan dengan cemerlangnya di dalam satu buku. Kisah serangan Jawa juga hamba lihat sebagai pelengkap novel ataupun sebagai 'penyendal' sahaja. Penulis boleh memasukkan kisah tersebut seiring dengan penceritaan Tun Mahmud walaupun mungkin pada waktu yang berbeza.

Memandangkan kisah Tun Mahmud dan serangan Jawa adalah daripada dengar cakap, amatlah mustahil sekiranya Qaseh dapat juga mengetahui tentang pemikiran dalaman seseorang. Bahkan di dalam kisah beliau sendiri beliau mencatatkan tentang konflik dalaman Tuan Besar Keramat Antonio Arantez, pembacaannya, pandangannya yang penuh bernafsu kepada Qaseh, dialog hatinya dan segala yang biasanya hanya diketahui oleh tuan punya badan itu sendiri sahaja. Kerana itulah hamba dari mula merasakan bahawa kisah ini boleh sahaja terus bermula tanpa diikat dengan penemuan manuskrip. Ini kerana sekiranya ia berdasarkan manuskrip, penceritaan hanya boleh dilihat dari sudut pandangan orang pertama sahaja. Persahabatan Hang Nadim dan Andak dengan Tun Mahmud yang seketika tidak memungkinkan mereka mengetahui begitu detail sekali kisah Tun Mahmud. Hamba menjangkakan tatkala mereka mendengar kisah Tun Mahmud itu, beliau telahpun kembali ke Acheh dari berjuang. Namun dalam kisah Tun Mahmud sendiri ia tergantung setakat selepas beliau dan angkatan lanun selamat tiba di Bentan.

Seperti yang hamba sebutkan juga tadi kisah Qaseh tidak begitu mendominasi novel ini walaupun tajuk diberikan atas nama beliau. Sewajarnya penulis mengembangkan lagi penceritaan diri Qaseh dengan memasukkan lebih banyak elemen soal siasat, paksaan yang dikenakan, penderitaan yang dilalui, pandangan Qaseh terhadap penjajahan Portugis, pandangan beliau terhadap pemaksaan beragama, penyiksaan dan penindasan ke atas orang Melayu, kehidupan di biara dan banyak lagi. Hamba yakin sekiranya pembaca menumpukan ke atas kisah Qaseh, kita mungkin tidak akan berpuas hati dengan perjalanan kisahnya yang ringkas. Bahkan kisah Tun Mahmud juga seakan tergantung begitu sahaja tanpa kesudahan yang nyata.

Novel ini sekiranya digarap dengan lebih teliti pastinya akan menjadi lebih baik. Apabila penulis memasukkan elemen perbincangan mengenai agama, ia sebenarnya telah boleh menarik minat pembaca. Pembaca akan mengharapkan ia dipersembahkan lagi di bab- bab mendatang. namun itu sahajalah satu-satunya dialog perbincangan yang ada. Hamba juga merasakan adalah tidak perlu penulis memasukkan begitu banyak ayat-ayat bible berkaitan zina sewaktu Antonio Alvarez sedang menelaah perkara tersebut sehingga hamba menjadi bosan membacanya.

Novel ini adalah baik namun memerlukan lebih banyak kajian serta penambahbaikan. Bahasa yang digunakan adalah mudah dan difahami. Percubaan penulis dalam penulisan membabitkan perbincangan atau dialog antara agama adalah dialu-alukan. Penulis telahpun mempunyai satu asas dan kita menunggu buah tangan beliau yang lebih mantap lagi.


Selasa, 24 Disember 2013

RUMAH P.RAMLEE


Mungkin sukar untuk hamba mencari kawasan ini sekiranya tidak menggunakan GPS. Ini kerana kawasan yang menempatkan rumah P.Ramlee ini bukanlah merupakan satu kawasan jalan utama. Letaknya juga agak tersorok dan dikelilingi bangunan-bangunan lama dan usang.
Bangunan yang dinamakan sebagai rumah P.Ramlee ini adalah merupakan rumah tempat beliau dilahirkan. Ia dibina sendiri oleh bapa beliau dengan bantuan bapa saudaranya sendiri. Asalnya rumah ini terletak di Lorong Yahudi (Tidak mustahil satu ketika dahulu ada kelompok masyarakat Yahudi di Pulau Pinang. Adalah tidak munasabah sesuatu lorong diberikan nama sedemikian rupa hanya sekadar saja-saja) yang terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan kuarters kerajaan. Rumah ini kemudiannya dibina semula di tempat ia berdiri sekarang. Walau bagaimanapun rumah ini hanyalah tempat lahir seniman agung tersebut dan bukanlah kediamannya. Cuma beliau kerap mengunjungi rumah ini apabila berada di Pulau Pinang.

Keberadaan rumah ini di kawasannya menunjukkan bahawa tempat ini satu ketika dahulu adalah merupakan sebuah perkampungan Melayu. Namun hari ini ia tidak kelihatan seperti sebuah kawasan kampung lagi. Apakah orang-orang Melayu dahulu menjual tanah mereka sehingga terus hilang sebuah kawasan kampung dengan rumah tradisionalnya? Hamba tidak tahu. Tetapi itulah dia hakikatnya. Sekiranya orang kampung sekarangpun berbuat demikian, maka mereka akan hilang sebuah kampung tradisi dan untuk mengembalikan kedudukannya kembali adalah amat mustahil sekali.



Pihak Arkib Negara amat berjasa apabila memulihara semula rumah ini. Hamba lebih memandang rumah ini sebagai nilai tradisi bangsa hamba sendiri berbanding hanya sebagai tempat kelahiran seorang seniman agung. Andainya rumah ini cuma tempat kelahiran orang biasa sahaja nescaya bangunan ini akan terbiar uzur sendiri ataupun telah lama menyembah bumi.


Barangkali tempat ini antara kawasan yang pelancong boleh mengunjunginya secara percuma. Kalau kawasan lawatan yang lain, kebarangkalian untuk anda mengeruk dompet adalah tinggi. Kawasan dalaman rumah ini menyajikan beberapa gambar serta tulisan berkaitan P. Ramlee. Terdapat satu lagi pameran mengenai beliau yang diadakan di bangunan bersebelahan rumah ini. Tempat sebegini adalah sesuai buat peminat sejarah seperti hamba. Ia adalah sesuatu yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Moga lebih banyak lagi kawasan bersejarah yang dapat terus dipulihara dan dijaga dengan sewajarnya (agar tidak menjadi seperti sebuah candi di Lembah Bujang baru-baru ini yang dengan mudah sahaja dijahanamkan oleh jengkaut).



BUKIT BENDERA

Tercatat pada satu papan tanda yang ditulis dalam bahasa omputeh yang bermaksud 'Sekiranya anda tidak melawat Bukit Bendera bererti anda belum melawat Pulau Pinang'. Wallahu aalam sama ada kita bersetuju atau tidak dengan kenyataan ini. Mungkin benar dan mungkin juga pihak berkenaan mahu lebih banyak wang masuk ke kantung mereka melalui pembelian tiket atau barangan cenderamata di tempat ini. Namun yang pastinya Bukit Bendera memang menjadi salah satu kawasan tarikan para pelancong yang mengunjungi Pulau Pinang. Menjadi tempat berehat para penjajah satu ketika dahulu, Bukit Bendera kini bebas dilawati oleh sesiapa sahaja. Menyajikan pemandangan yang indah dari puncaknya ia juga merupakan satu kawasan yang baik untuk kita berehat. Cuma dengan kedatangan pelancong yang begitu ramai tidaklah dapat hamba pastikan sekiranya nikmat kerihatan itu akan dapat dirasai ataupun tidak.
 Rumah-rumah lama masih lagi elok terpelihara dan masih digunakan oleh penghuninya sehingga kini. Ketika hamba meronda kawasan berkenaan menaiki buggy yang disewa, pemandunya seorang yang berbangsa Filipina menerangkan tentang siapa yang menghuni banglo berkenaan. Walau siapapun penghuninya hamba yakin mereka terdiri daripada golongan yang berwang kerana kalau setakat gaji macam hamba usah mimpilah hendak menduduki kawasan seperti itu. Kalau hamba dapat kawasan itu pula mungkin ada badan yang akan menyiasat kewangan hamba pula.
Sebuah bangunan meletakkan kenderaan sedang rancak didirikan di sebelah kiri kawasan menuju ke Stesen keretapi Bukit Bendera. Tiada kawasan lansung untuk meletakkan kenderaan.
Walaupun merupakan satu kawasan tarikan pelancong, apa yang membuat batu jemala hamba berasa taajub adalah tiada kawasan letak kereta yang disediakan. Pelancong dan pengunjung terpaksa meletakkan kereta mereka di tepi jalan berhadapan bangunan kondominium yang megah terpacak di kaki bukit. Keadaan ini pastinya menyukarkan tuan punya kenderaan memandangkan kawasan yang sesuai adalah terhad. Para penghuni kondo juga pastinya tidak senang dengan kehadiran kereta yang melimpah ruah ini. Beberapa individu juga dilihat mengambil kesempatan meminta bayaran meletakkan kereta walaupun kawasan itu bukan bapa dia yang punya. Satu kawasan di sebelah kiri kawasan stesen Keretapi Bukit Bendera pula sedang rancak didirikan sebuah tempat meletak kenderaan bertingkat menjadikan kawasan pelancongan tersebut kelihatan tersepit. 



Musim cuti sekolah ini memang mengembik-ngembik orang hendak menuju ke puncak. sesudah beratur panjang membeli tiket, perlu pula beratur panjang sebelum menaiki keretapi serta menunggu seketika. Keretapi sekarang berbeza dengan yang hamba naiki lebih 10 tahun yang lalu. Ia kelihatan baru, moden dan lebih pantas. Cuma tempat duduknya sahaja yang masih diperbuat daripada kayu dan orang disumbatkan sampai penuh umpama menaiki bas mini wilayah di tahun 80an dahulu. Kepantasan keretapi membuatkan waktu tiba ke puncak begitu cepat sekali. Tetapi akan membuatkan pencinta alam sekitar dan peminat fotografi tidak puas kerana tidak dapat berlama-lama menikmati alam sekitar.



Harga tiket boleh tahan juga. kalau naik seorang terasalah juga murahnya tetapi apabila membawa satu batalion maka menggaru kepalalah juga. Melancong pada hari ini memang memerlukan duit yang banyak. Mujurlah setiap bulan hamba ada membuat simpanan khas untuk tujuan pelancongan. Sekurang-kurangnya ringanlah sedikit penderitaan poket hamba.

Ticket Prices
Harga Ticket
Standard
Biasa
My Card
Adult ( Dewasa )RM30.00RM8.00
Senior Citizen ( Warga Emas )RM30.00RM4.00
Child ( Aged 4 -12 years )
Kanak-kanak ( Berusia 4 - 12 tahun )
RM15.00RM4.00
School/College/University Student
Pelajar Sekolah/Kolej/Universiti
RM15.00RM4.00
Family Package
Pakej Keluarga

2 Adult + 1 Child2 Dewasa + 1 Kanak-kanak
RM65.00RM17.00
2 Adult + 2 Child
2 Dewasa + 2 Kanak-kanak
RM70.00RM18.00
2 Adult + 3 Child
2 Dewasa + 3 Kanak-kanak
RM75.00RM19.00
One Way (Sehala) - Adult/DewasaRM17.00RM5.00
One Way (Sehala) - Child/Kanak-kanakRM10.00RM2.00
Disabled Person
Orang Kurang Upaya
Complimentary
Percuma







Nampak topi Iron Man kat atas tu.......Hamba dah rembat he he.....




Isnin, 23 Disember 2013

MENCABUL DIRI SENDIRI



Isu kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) sering dibangkitkan di paparan akhbar tempatan. Kebiasaannya kemudahan untuk mereka diceroboh oleh orang yang sihat tubuh badannya. Perkara yang sering ditimbulkan adalah kemudahan parking untuk golongan ini yang digunakan oleh mereka yang tidak sepatutnya. Tetapi bagaimana pula dengan halnya di dalam gambar ini. Gambar ini baharu semalam sahaja hamba ambil. Pemilik premis stesen minyak ini ada menyediakan kawasan khas tempat meletak kereta untuk OKU. Namun kemudahan itu dicabuli oleh mereka sendiri dengan meletakkan meja serta kotak khas bagi mengisi borang peraduan. Basikal tersebut juga berkemungkinan kepunyaan pekerja mereka yang terdiri daripada warga asing. Premis ini begitu 'menghormati' kawasan yang bertanda X disebelahnya kerana ia merupakan kawasan larangan bagi meletak sebarang objek atau kenderaan. Lalu kemudahan OKU ini pula digunakan bagi pelanggan meletakkan borang peraduan.
 
Walaupun golongan OKU berkemungkinan amat jarang singgah di stesen ini tidak bermakna kemudahan mereka perlu diganggu. Ini kerana apabila sesekali mereka mahu menggunakannya, pasti kesukaran yang akan mereka hadapi. Orang mungkin tidak kisah sekiranya tempat ini lansung tidak ditandakan sebagai kawasan khas buat OKU, ...... tapi ada orang kisah ke? 
 
 


Sabtu, 21 Disember 2013

KUDETA KLIMAKS - Khairul Nizam Khairani


Akhirnya pencarian hamba terhadap buku ini berakhir sudah minggu lalu. Bertahun hamba cuba mencarinya di pasaran namun tidak ketemu. Melalui blog penulisnya pula hamba mendapat maklumat bahawa buku ini telah dilupuskan oleh penerbitnya kerana tidak berapa laku di pasaran. Hamba ketemui buku ini di jualan Big Bad Wolf Sale minggu lalu. Tidak sangka di sebalik jutaan timbunan buku Inggeris pameran itu, ada ruang kecil untuk buku-buku berbahasa Melayu, dan disitulah hamba terjumpa buku ini. Ia juga dijual dengan cukup murah iaitu RM5 sahaja berbanding harga asalnya RM17.

Buku ini tidak berapa laku di pasaran bukanlah kerana kualitinya. Ia adalah kerana kebanyakan pembaca lebih suka memilih bahan bacaan yang berbentuk percintaan, bunga-bunga, jiwang karat, sendu meleleh, air mata berjurai dan yang seangkatan dengannya. Kadang-kadang harap baju sahaja metal tetapi sendu habis. Bahan bacaan berbentuk thriller dan aksi masih lagi belum begitu ramai peminatnya walaupun terdapat penulis genre ini yang begitu baik sekali hasil penulisannya.

Kudeta Klimaks merupakan sambungan kepada Kedeta Intro. Mungkin strategi penerbit sendiri yang mahukan ia dihasilkan dalam buku yang berasingan sedangkan pada pandangan hamba ia boleh sahaja dihasilkan dalam satu buku. Bila buat berasingan maka itulah jadinya, terpaksa mencari bertahun lamanya kerana tidak puas hati dengan pembacaan yang masih tergantung. 

Buku ini menyambung kembali kisah Arman Ghanni yang pergi ke Filipina bagi mencari jawapan ke atas misteri penembakan pesawat Singapura yang dikatakan menggunakan senjata yang dihasilkan oleh syarikatnya. Ketika itu tentera kerajaan Filipina sedang merancang untuk menggempur kubu pejuang pemisah di Buking Sanglip. Arman pula diminta untuk membantu membuat perundingan dengan tentera kerajaan agar jalan damai dapat diusahakan. Usaha Arman gagal dan tentera tetap dengan pendirian mereka. Namun Arman berjaya memperolehi maklumat serangan tersebut dan berusaha untuk menghentikannya. Rakan beliau - Munir dihantar bagi memaklumkan kepada pejuang pemisah manakala beliau cuba untuk mendapatkan bantuan pasukan IMT Malaysia.

Peristiwa pertempuran merupakan inti utama buku ini yang telah berjaya digarap dengan baik sekali oleh penulis. Hamba dapat merasakan detik debar ini yang disusun dengan teratur sekali. Penulis tidak kelihatan seperti mahu menamatkan dengan segera penulisan mengenai pertempuran ini bahkan melukiskannya dengan terperinci. Segala keadaan yang berlaku di antara tentera kerajaan dengan pejuang pemisah dikisahkan sama rata membuatkan pembaca berpuas hati dengan konflik dalaman kedua-dua pihak. Segala penderitaan, kekecewaan, semangat kental terpapar sewaktu peperangan ini. Hamba percaya bukanlah sesuatu yang mudah untuk mempersembahkan adegan peperangan dalam bentuk penulisan. Penulisan yang mantap membolehkan pembaca memvisualkan di dalam otaknya tentang keadaan yang berlaku dan itulah yang berjaya dilakukan oleh penulis.

Walaupun dalam Kudeta Intro, watak Arman Ghanni nampak begitu menonjol sebagai watak utama ataupun hero, namun dalam buku ini seolah semua watak mendapat pembahagian cerita yang sama rata. Watak Awai anak Gamung juga kurang menonjol kehebatannya berbanding dengan buku pertama. Namun begitu pembahagian yang adil sebegini membuatkan pembaca berpuas hati dalam mengenali beberapa watak besar seperti Komander Senyum, Munir, Jamil, LT. Rios dan lain-lain lagi. Ini kerana pembaca dapat mengetahui pengakhiran atau kisah lanjut watak-watak itu tanpa mati atau tergantung begitu sahaja.

Cuma kisah antara Arman dan Adrienne yang hamba rasakan bagai belum ada penamatnya lagi. Walaupun dipaparkan watak Faizul yang mencurahkan perasaannya kepada Adrienne dan di masa yang sama dapat didengari oleh Arman, belum ada kepastian sama ada Adrienne menerima lelaki tersebut memandangkan tiada jawapan yang diberikan. Penulis juga tidak mencatatkan apa-apa usaha Arman selepas itu. Hamba menjangkakan penulis sebenarnya ingin menghasilkan lagi sambungan ceita ini, tetapi bila? Walaupun ada kisah sebegini, ia bukanlah sebuah babak percintaan apatah lagi jiwang karat berbunga lara. Ia hanya mainan perasaan antara watak-watak sahaja dan pemberat novel ini masih lagi kepada aksi militari.

Sekiranya anda menjumpai buku ini bersama buku pertamanya, hamba nasihatkan tidak usah untuk berfikir buat kali kedua. Rembat sahaja kerana ia menjanjikan satu kepuasan yang tidak terkata!!


Selasa, 10 Disember 2013

HALUSINASI - Jessy Mojuru



Agak kelelahan hamba nak menyudahkan novel setebal 747 mukasurat ini. Lebih 4 minggu terpaksa hamba ambil untuk membacanya. Begitu derita nak menamatkan pembacaannya. Mungkin resepi novel ini belum begitu kuat untuk membuatkan hamba melekap lama membacanya.

Hamba umpama mengambil risiko membeli buku penulis yang belum pernah hamba baca lagi karyanya sebelum ini. Melihat tajuk berserta sinopsisnya, hamba tertarik kerana ia bukanlah sebuah novel cinta. Harapannya novel ini mempunyai resepi yang seiring dengan penulisan Ramlee Awang Murshid.

Secara ringkasnya ia mengisahkan seorang penulis novel bernama Maya yang sedang dalam usaha menyiapkan sebuah penulisan yang berunsurkan mistik. Namun penulisannya itu secara kebetulan benar-benar terjadi. Beliau didatangi suara-suara halus, watak-watak misteri serta beberapa kisah kematian yang turut membabitkan mereka yang dikenalinya.

Sememangnya apa yang cuba disampaikan oleh penulis seolah suatu kisah yang amat menarik sekali. Tetapi umpama Maya juga, hamba begitu keliru mengikuti perjalanan novel ini. Di awal pembacaan hamba umpama membaca sebuah novel di dalam sebuah novel sehingga hamba sendiri tidak mengetahui yang mana satu penulisan Maya atau realitinya. 

Menuju ke penghujung novel, beberapa watak yang terlibat menerima undangan misteri ke sebuah banglo lama di dalam hutan. Di sinipun hamba keliru apabila ada watak yang dijemput itu digambarkan sememangnya telahpun mati. Jadi seolah mereka yang mati ini tidak sedar bahawa mereka telah tiada lagi di muka bumi dan sedang menghadapi kisah misteri lagi. Rasa nak ketawa pun ada juga apabila mereka yang telah mati ini hendak dibunuh lagi. Di sinilah hamba rasa ketiadaan ilmu tentang akidah serta kehidupan setelah mati penulis. Hamba tidak tahu apa pegangan agama sebenar penulis walaupun wataknya digambarkan beragama Islam kerana ada babak bersolat serta sebutan kalimah Allah dalam beberapa dialognya. Tetapi sesungguhnya mati itu telah memutuskan kelazatan kehidupan dunia dan episod selepas mati tidak mungkin sama seperti apa yang penulis tuliskan.

Mungkin ada pengaruh Harry Potter dalam beberapa adegan di banglo itu apabila tangganya boleh bergerak dan watak-watak boleh memasuki potret yang disifatkan umpama pintu yang boleh membawa ke tempat lain.

Secara tiba-tiba novel ini tiba ke penghujungnya. Maya sebenarnya koma kerana kemalangan dan apa yang berlaku sebelum itu hanyalah halusinasinya sahaja. Huh! bagaimanakah dia berhalusinasi sebagai seorang penulis novel yang juga berhalusinasi dengan pelbagai perkara dalam menulis novelnya. Walaupun penulis mempunyai kebolehan dalam penggunaaan ayat dan gaya bahasa yang baik, novel ini perlu dibaiki lagi perjalanan ceritanya. Tidak perlu terlalu tebal andainya penamatnya itu begitu mendadak dan mengecewakan pembaca.





Jumaat, 6 Disember 2013

BELASUNGKAWA - AL FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM YAAKOB BIN YUSOF



Baru sahaja memasuki ruang pejabat selepas pulang menunaikan solat Jumaat sebentar tadi hamba mendapat satu pesanan ringkas memaklumkan tentang pemergian suami kepada Setiausaha Bahagian hamba,Puan Rogayah A.Bakar iaitu Encik Yaakob bin Yusof yang telahpun kembali ke rahmatulLah. Sebelum Jumaat tadi hamba dan beberapa sahabat sempat menziarahi beliau yang ketika itu sedang nazak. Berkemungkinan jenazah akan dikebumikan pada petang ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar almarhum diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al Fatihah.

RUMAH BERTANDUK KOBAU




Teringat hamba satu soalan yang sering ditanya dalam peperiksaan sejarah sekolah rendah dahulu. Soalan itu memaparkan gambar beberapa gambar rumah tradisional Melayu diikuti dengan ayat - Di antara berikut yang mana satukah rumah yang boleh ditemui di Negeri Sembilan? Tidak susah untuk meneka kerana rumah Negeri Sembilan mudah dikenali melalui bumbungnya yang menyerupai tanduk kerbau.



Tetapi itu dahulu. Ketika ini jikalau berkunjung ke Negeri Sembilan, seni bina moden lebih merajai binaannya. Rumah tradisional sebegini hanya tinggal di kawsan kampung. Itupun yang berada di kawasan kampung adalah rumah-rumah lama. Orang kampung yang membina rumah baru juga lebih memilih bentuk binaan yang moden. Lebih merunsingkan apabila rumah tradisonal yang ada tidak lagi bertunggu. Ini kerana setelah kematian pemilik rumah, anak-anak mereka kebanyakannya tidak lagi tinggal di situ kerana kebanyakannya telahpun berhijrah dan bekerja di tempat lain. Maka tinggallah rumah sebegini menjadi terbiar, uzur dan akhirnya menyembah bumi.



Gambar yang hamba paparkan ini adalah salah satu contohnya. Terletak di Kampung Seri Jemapoh, Kuala Pilah, binaan ini tidak lagi bertunggu, kelihatan uzur dan sesuai dijadikan lokasi filem seram. Kawasan persekitarannya juga tidak berjaga. Sewaktu mengambil gambar-gambar ini kepala hamba terbayang akan kemeriahan rumah ini satu ketika dahulu dengan anak-anak berlari di halaman. Amatlah sayang sekiranya satu hari nanti rumah bertanduk kobau ini akan hanya dapat dilihat di dalam gambar atau model kayu di muzium sahaja.

MELAKA RIVER CRUISE




Siapa sangka Sungai Melaka yang kotor satu ketika dahulu kini bertambah baik keadaannya. Kerajaan Negeri Melaka berani mengambil tanggungjawab membelanjakan jutaan ringgit bagi membersihkan sungai serta meningkatkan kebersihan dan prasarana kawasan berhampirannya. Walaupun kualiti airnya masih berada dalam kategori 2, air sungai ini adalah lebih baik daripada sebelumnya. Setelah pembersihan dilakukan, sungai ini dipromosikan dengan penyediaan perkhidmatan bot persiaran yang memudiki sungai ini. Ternyata ia menjadi satu tarikan pelancong dan antara perkara yang mesti dilakukan apabila melawat bandar bersejarah ini.




Binaan sedia ada yang mengadap sungai ini adalah merupakan bahagian belakang bangunan. Biasanya apabila bahagian belakang bangunan yang mengadap sungai maka elemen kebersihan dan keceriaan tidak dititikberatkan. Kerana itulah sungai ini kotor dahulu kerana pemilik bangunan tidak perlu menghiraukan keadaan belakang premis mereka. Sampah dan najis boleh dibuang begitu sahaja. Langkah kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan belakang bangunan ini seolah bahagian hadapan haruslah dipuji. Kawsan belakang ini telah dibaikpulih dengan dicat baru atau dilukis dengan beberapa gambar yang melambangkan negara kita atau sesuatu peristiwa bersejarah. Kawasan siarkaki juga telah dibina. Beberapa restoran juga telah berani meletakkan meja mengadap kawasan sungai dan orang ramai telahpun selesa untuk bersantai di siarkaki tersebut.





Menyusuri sungai Melaka dalam jangka masa setengah jam memberikan pengalaman yang menarik. Lalu di bawah beberapa jambatan yang mempunyai ciri binaan yang unik serta melalui Kampung Morten, sebuah perkampungan tradisional Melayu dapat dirasakan seolah sedang menyusur sejarah. Perjalanan menaiki bot ini pastinya lebih menarik dilakukan pada waktu malam apabila kawasan sekitarnya turut diterangi cahaya lampu disamping udara yang lebih sejuk berbanding siang. Kawasan sungai ini turut dihuni oleh beberapa ekor biawak yang besar. Melihat biawak mungkin tidak ada maknanya kepada kita, tetapi kepada pelancong luar ia adalah sesuatu yang amat menerujakan. Hamba dapat lihat keterujaan mereka dalam satu perjalanan. Dan pastinya pihak bot juga mengambil kesempatan di atas kewujudan haiwan ini.




Mungkin semasa kerajaan Negeri Melaka berbelanja besar untuk kawasan ini dahulu mendapat kritikan ramai. Namun sekiranya perbelanjaan besar itu adalah untuk kebaikan serta pelaburan jangka panjang maka seharusnya ia diberikan sokongan dan galakan. Ia juga sebenarnya adalah satu galakan kepada kerajaan negeri lain untuk menceriakan semula sungai mereka. Ini juga bermakna usaha untuk membersihkan kawasan sungai boleh direalisasikan dan bukanlah sesuatu yang mustahil.





Sewaktu hamba mengunjungi Korea Selatan beberapa tahun yang lalu, hamba dapat perhatikan bahawa sungai mereka amat bersih dan menjadi sebahagian daripada produk pelancongan. Walaupun sungainya berada di kawasan bandar yang lebih besar daripada Kuala Lumpur, ia masih terjaga dengan elok. Orang ramai boleh bersantai ditepian sungai dan melakukan aktiviti riadah. Hamba juga berpeluang menaiki kapal persiaran menyusuri sungai Han yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem hebat Korea, The Host. Alangkah hebatnya jika sungai Klang dan sungai Gombak yang mengalir merentasi bandaraya Kuala Lumpur boleh menjadi indah sebegini. Hamba teringin sekali hendak menaiki bot bermula dari bandar Klang memudik hingga ke Kuala Lumpur. Datuk Bandar manakah yang berani menyahut cabaran ini? 









PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...