Sabtu, 31 Disember 2022

THE EXTRAORDINARY ADVENTURES OF ARSENE LUPIN, GENTLEMAN BURGLAR - Maurice Leblanc


 

Apa yang extraordinarynya tentang arsene lupin? Kisahnya jika berlaku di zaman ini tidaklah luar biasa sangat. Tetapi latar masa penceritaannya sekitar tahun 1905 dibandingkan dengan aksinya yang melampaui zaman, itu yang membuatkan Arsene Lupin seorang yang extraordinary. Justeru kisah Lupin ini telah melebihi 100 tahun namun masih dibaca hingga ke hari ini. Namun hamba pertama kali mengetahui nama Lupin bukanlah mellaui tulisan Leblanc tetapi melalui ulasan filem-filem anime mengenai Lupin. Orang hari ini lebih mengenali Lupin melalui anime berbanding versi novel!

Digambarkan sebagai seorang pencuri yang budiman kerana hanya merompak harta orang kaya dan bangsawan, mengambil hanya yang perlu baginya dan kadangkala memulangkan semula harta curian apabila ada sebab tertentu. Orang barat kerap memutihkan watak yang sebenarnya hitam. Bukan Lupin sahaja pencuri yang dianggap budiman dan mulia, sebelum itu beratus tahun sebelumnya orang telah mengenali Robin Hood. Mencuri adalah perbuatan buruk dan hina. Tidak ada pencuri yang mulia. Namun melalui tulisan seperti ini mereka cuba memutihkan hal yang hitam, seolah mencuri boleh dilakukan dalam keadaan tertentu. Bahkan barat juga pernah menjadikan perbuatan sihir tidak kelihatan begitu buruk dan jahat melalui siri-siri Harry Potter. Benar dari segi sastera, karya sebegini boleh dianggap baik dan hebat. Namun dari segi moralnya, pembaca tidak matang dengan mudah boleh dipengaruhi. Dan percayalah bahawa pembaca tidak matang ini ramai - walaupun usia mereka bukan lagi di dalam lingkungan kanak-kanak.

Ini adalah himpunan sembilan kisah awal Lipin yang pernah terbit di majalah Je Sais Tout. Walaupun mempunyai sembilan kisah berasingan, tetapi ia berjaya membentuk sebuah cerita yang berkait. Lupin mempunyai teknik penyamaran yang baik, pemikiran yang hebat sehingga berjaya membuat perancangan yang mustahil. Lahir daripada keluarga yang miskin, bakat mencurinya telah dimulai semenjak zaman kanakkanak. Namun dalam buku ini juga penulis cuba menunjukkan bahawa kadangkala Lupin juga mempunyai saingan yang hebat sehingga hampir menggugat akan dirinya. Lupin juga sebagai seorang manusia mempunyai hati dan perasaan. Hanya kerana Cik Nelly, Lupin memulangkan kembali barang-barang yang dicurinya.

Walaupun beliau seorang pencuri, beliau mempunyai prinsip menepati janji dan itulah yang dipaparkan oleh Leblanc pada banyak tempat. Dalam melakukan kegiatan beliau, Lupin ternyata tidak bergerak secara berseorangan. Namun di dalam buku ini nama-nama pengikut beliau tidak ditonjolkan. Hanya Lupin yang menonjol sebagai perancang utama.

Hamba telah membeli empat buah buku Lupin yang dijual secara kombo di Pesta Buku Antarabangsa Selangor baru-baru ini. Satu dah lepas, tiga lagi entah bila!



KENITRA hanya mahu mencuri hati anda!


SENARAI 100 TOKOH YANG PALING BERPENGARUH DALAM SEJARAH - Michael H. Hart

 


Buku ini barangkali tidak perlu diperkenalkan dengan panjang lebar. Diterjemahkan daripada versi asal berbahasa Inggeris - The 100, A Ranking Of The Most Influential Persons In History, ramai orang Malaysia tahu tentang buku ini kerana ia meletakkan Nabi Muhammad sebagai tojoh pertama yang mendahulkui senarai. Tetapi ramai yang tahu tidak semestinya bermakna mereka semua pernah membacanya. Buku ini agak tebal dan hamba mengambil sedikit masa untuk menamatkannya. Apabila hamba bosan, hamba akan berhenti seketika dan membaca buku lain terlebih dahulu sebelum meneruskan pembacaan.

Seperti mana tajuknya, Michael H. Hart menyenaraikan tokoh yang pengaruhnya memberikan kesan yang besar kepada dunia. Pengaruh itu pula dilihat setakat mana besarnya sama ada dari segi bilangan pengikut, lama masa merentas zaman atau kesannya kepada pemikiran manusia atau perubahan kepada dunia. Atas sebab-sebab itu Nabi Muhammad mendahului senarai walaupun penulis bukanlah beragama Islam. Meletakkan Nabi Muhammad di ranking pertama juga bukan bermakna akidah penulisnya berubah daripada Kristian kepada Islam. Dalam membicarakan setiap tokoh, penulis akan menjelaskan kenapa beliau meletakkan mereka di kedudukan sebegitu serta mengapa tokoh lain tidak mendahului atau tidak dimasukkan ke dalam senarai.

Penulis juga mengemukakan 100 senarai lain hasil cadangan daripada orang lain dan memberikan penjelasan mengapa mereka tidak dimasukkan ke dalam senarai beliau. Turut disertakan adalah sedikit statistik mengenai 100 tokoh ini dari sudut lokaliti mereka, tempoh zaman mereka berada serta kumpulan bidang yuang diceburi oleh tokoh-tokoh ini.

Kesemua tokoh yang dinyatakan di sini mempunyai satu persamaan - mereka kesemuanya bijak! Ada beberapa yang dalam usia belasan tahun telah lulus peringkat ijazah dan master dan seterusnya mencapai PhD dalam usia awal 20an. Ada yang memegang jawatan pengarah institusi keilmuan yang besar pada usia pertengahan 20an. Walaupun ada yang tidak menamatkan persekolahan atau tidak mempunyai pendidikan formal, mereka tetap bijak, mampu mengendalikan penyelidikan mereka sendiri dan sebagainya.

Sekiranya cerdik pandai masa lalu tidak membuat penyelidikan dalam bidang kesihatan, kejuruteraan, ruang angkasa dan sebagainya pastinya apa yang kita ada hari ini masih lagi mundur. Tetapi penyelidikan yang dimulkakan mereka telah memberikan jasa dan pengaruh yang besar kepada dunia. Jika difikirkan apalah gunanya orang masa lalu berfikir dan mencipta formula matematik sedangkan kegunaannya pada masa itu tidaklah besar. Bahkan ramai sainstis yang dihukum mati kerana penemuan mereka dianggap membahayakan gereja. 

Tidak semua 100 nama yang tersenarai berkenaan hamba kenali nama mereka bahkan ada yang tidak hamba kenali lansung. Namun ini adalah susunan mengikut pandangan Michael. Anda boleh bersetuju dengan beliau ataupun tidak, namun anda sendiri mestilah mempunyai alasan yang kukuh!


Nota : Buku ini dipinjam daripada Perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.





Isnin, 26 Disember 2022

STUDENT LIFE - Sireh


 

Kisah-kisah orang muda terutamanya sewaktu zaman menjadi pelajar sering menjadi persembahan yang diminati oleh para peminat kartun tanah air. Kebanyakan kartunis pula apabila melukis sesebuah kisah, sering menjadikan kisah hidup mereka sendiri sebagai rujukan. Kisah Aku Budak Minang contohnya adalah sebuah persembahan kartun yang dikira sebagai legenda. Begitu juga dengan kisah Student Life oleh Sireh ini yang sedikit sebanyak diinspirasikan daripada pengalaman beliau di MRSM.

STudent Life adalah kisah yang menghiasi majalah APO? selama dua tahun (2000-2002). Memandangkan ia mengambil masa yang panjang, kita boleh melihat sedikit sebanyak perubahan pada gaya lukisan Sireh. Memandangkan gaya lukisan Aie dengan siri Bluesnya agak popular ketika itu, ia juga dilihat mempengaruhi gaya persembahan Sireh.

Kisah yang ditampilkan oleh Sireh sebenarnya ringkas tetapi amat dekat dengan anak muda. Ini kerana anak muda ataupun kebanyakan daripada orang kita (walaupun telah melepasi usia muda) mungkin pernah mengalami pengalaman yang hampir sama ataupun setidak-tidaknya melihat perkara yang hampir sama berlaku sewaktu zaman persekolahan mereka. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan elemen cinta.

Kejadian tergelincir di kaki lima perhentian bas sewaktu hujan lebat telah membawa watak utama kisah ini - Anuar aka Anoy kembali ke zaman persekolahannya apabila pertemuan beliau dengan Zeti juga berlaku akibnat kemalangan. Pembaca seterusnya akan dibawa melihat perkembangana hubungan mereka melalui satu tempoh masa yang agak lama iaitu dari tingkatan dua sehinggalah tamat tingkatan lima.

Selain daripada kisah hubungan Anuar dan Zeti, turut ditampilkan adalah isu buli yang sering terjadi di sekolah asrama. Dalam hal ini pelajar seniorlah yang selalu dikaitkan dengan isu samseng apabila mereka kerap membuli pelajar junior. Yang junior juga apabila menjadi senior kadang-kadang akan melakukan perkara yang sama. Kejadian samseng sekolah kadangkala berakhir dengan oergaduhan besar dan ganas sehingga mendatangkan kecederaan kjepada sesetengah pihak. Akan ada yang akan diambil tindakan dispilin sehingga paling serius terpaksa dibuang sekolah.

Remaja pada masa ini digambarkan amat mentah, mudah mengikut operasaan serta amat memerlukan bimbingan ibu bapa secara berterusan.  Kebebasan yang diperolehi apabila tinggal berjauhan di asrama kadangkala disalah guna. Agak malang apabila ada pelakunya datang daripada keluarga susah yang sememangnya diharapkan untuk mengubah nasib keluarga.






MAT SOM - Lat


Naskhah yang ada pada hamba ini adalah naskhah lupus perpustakaan daripada Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam yang diberikan kepada pustakawan jabatan sewaktu kami melawat premis tersebut baru-baru ini. Pustakawan pula menghadiahkan kepada hamba menyedari minat hamba kepada komik dan kartun. Hamba menerimanya dengan rasa gembira. Walaupun keadaan fizikalnya mengalami sedikit kerosakan, tetapi ia masih lagi boleh dibaca.

Hamba pernah mengulas mengenai Mat Som pada tahun 2016. Posting berkenaan boleh dilihat di sini. Bezanya, naskhah yang hamba ulkas tersebut adalah naskhah berbahasa Inggeris. Justeru bagi posting ini hamba akan mengulas dari sudut lain, berbeza daripada tulisan yang sebelum ini.

Mat Som adalah kisah seorang pemuda kampung yang tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai penulis sambilan. Beliau tinggal di pinggir bandar bersama sahabatnya So'ud dan berjiran dengan seorang gadis yang jelita yang dikenali sebagai Yam. Walaupun berjiran, mereka tidak bertegur sapa dan hanya menjeling jeling manja.

Sepucuk surat daripada ayahnya, Mat Top yang meminta beliau menghubungi Wan Faridah bagi berkenal-kenal sebelum dilamar menjadi isteri mendatangkan dilema kepada Mat Som. Wan Faridah adalah teman sekampung beliau yang sudah lama tidak ditemui. Dalam memori Mat Som, Wan Faridah hanya muncul dalam zaman kanak-kanak mereka, seorang anak kecil yang tembam dan berhingus tetapi rapat dengan Mat Som serta abangnya Mat Bo. 

Kisah Mat Som berlatarkan tahun 80an. Kuala Lumpur tetap sibuk seperti sekarang dengan bas masih lagi menjadi pengangkutan pilihan. Bas mini adalah raja dengan penumpang disumbat sepenuhnya seperti sardin di dalam tin. Lima ringgit masih dikira jumlah yang besar dan kadangkala berat untuk diberi pinjam. Telefon awam di tepi jalan adalah wasilah utama untuk bergayut dengan orang tercinta. Penjual ubat gah bersyarah menjaja dagangan di jalanan. KL pula apabila hujan lebat mudah terjadi banjir kilat. Namun begitu, walaupun berada pada era 80an, gaya trade mark Lat adalah gaya kartun era 60an. Ini boleh dilihat pada gaya pakaian Mat Som dengan seluarnya yang besar serta rambutnya yang berjambul. Begitu juga dengan gaya pemakaian watak-watak lain yang hampir serupa.

Gaya imbas kembali sering digunakan oleh Lat untuk mengimbau masa lalu Mat Som di kampung. Anak-anak bebas bermain dan berkejaran tanpa rasa takut. Bahkan Mat Som dan rakan-rakannya berperahu mencari biji teratai tanpa pengawasan orang dewasa.Nilai-nilai keluarga di kampung yang menghormati orang tua serta solat berjemaah ditonjolkan sebagai satu nilai murni. Selain itu ada juga amalan khurafat seperti meminta izin penunggu sebelum membuang air kecil di pinggir hutan.

Ayah Mat Som amat bangga dengan pencapaian anaknya. Walaupun Mat Som hanyalah penulis sambilan, tulisan Mat Som yang tersiar di akhbar akan digunting dan disimpan. Beliau juga bangga menceritakan tentang Mat Som kepada rakan-rakannya. Mat Top bekerja di sebuah kapal korek. Mat Som tidak pernah tahu tentang tugas ayahnya di kapal korek berkenaan sehinggalah pada suatu hari apabila beliau terpaksa bertemu ayahnya di kapal korek untuk memohon izin pulang semula ke bandar kerana mendapat tawaran bekerja tetap.

Naskhah ini juga 'mempromosikan' kelompok sasterawan dan penyair melalui tugasan M,at Som di majlis deklamasi sajak. Beliau menampilkan sajak-sajak A. Ghafar Ibrahim (Tak Tun), Saleh ben Joned (Aku), T. Alias Talib (Status Symbol) dan A. Latif Mohidin (Songsang). Beberapa lakaran wajah kelompok penyair ini juga dilukis oleh Lat. Paling istimewa adalah penampilan Pyanhabib yang menjadi teman sementara Mat Som. 

Babak akhir amat istimewa apabila Mat Som tampil di konsert rock (Ramli Sarip) dengan memakai baju Melayu lengkap bersamping bersama Yam, di tengah-tengah kelompok rockers yang berambut panjang dan berseluar ketat!


Nota - Buku ini dihadiahkan oleh Puan Zuraida Ashaari.








 

Jumaat, 16 Disember 2022

MAO ZEDONG, CHINA DALAM DUNIA ABAD KE-20 - Rebecca E. Karl


 

Buku ini selalu hamba lihat berada di rak pameran oleh IBDE. Berasa kurang berminat untuk membelinya sebab diri sendiri kurang berminat dengan tokoh komunis mahupun ideologinya. Secara kebetulan perpustakaan jabatan mendapat buku ini melalui pinjaman kelompok dari Perpustakaan Negara. Maka hamba pinjam ia dan cuba melihat apa keistimewaan buku ini sehingga IBDE menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.

Sepertimana kebanyakan tokoh-tokoh revolusi yang lain, kehidupan mereka semasa kecil adalah susah dan penuh dengan penderitaan. Mereka melihat ketidakadilan berlaku di mana-mana termasuklah di kalangan keluarga sendiri. Begitulah juga dengan Mao Zedong, yang berasaskan rasa ketidakpuasan hati terhadap sistem semasa, berazam untuk mengubahnya.

Walaupun berkiblatkan sosialis dan komunis yang bermula di Soviet Union, tetapi amalan di China sebenarnya agak berbeza dengan tanah kelahiran ideologi ini. Tetapi semangat mereka tetap sama. Hamba melihat kesungguhan Mao untuk mewujudkan ideologi baharu kerana merasakan kezaliman yang berlaku oleh pemerintah semasa, menyebabkan beliau mewujudkan kezaliman beliau sendiri demi untuk mencapai hasratnya. 

Berapa ratus ribu orang telah terbunuh, baik dari kalangan penentang mahupun dari pihak mereka sendiri. Lebih kurang Korea Utara juga - kalau ada pemimpin dalaman yang dirasakan khianat, maka aka ada cara khusus yang digunakan untuk melenyapkan mereka.

Bahkan Mao sendiri apabila telah berundur dari puncak kuasa dan merasa tidak puas hati dengan cara penggantinya, melakukan pelbagai cara untuk menjatuhkan mereka. Bukan sesuatu yang pelik apabila ketidak tentuan dan huru hara yang berlaku itu bukanlah datang daripada rakyat, tetapi dirancang dengan sebaiknya oleh pemimpin tertentu demi kuasa. Walaupun mereka sedar banyak nyawa yang melayang akibat sesuatu tindakan, tetapi itu sama sekali tidak menghalang mereka untuk berlaku zalim. Dalam hal ini walaupun telah berundur, Mao sebenarnya masih lagi memerintah!

Ideologi sosialis mahupun komunis bukanlah satu pilihan yang membawa kebaikan. Walaupun hasrat hatinya adalah untuk keadilan masyarakat khususnya golongan rendah, tetapi mereka kadangkala lebih teruk daripada kapitalis. Bukan bermakna pemimpin komunis ini bila di puncak kuasa akan duduk makan bersila juga seperti rakyat biasa, rakyat yang makan bersila akan tetap sedemikian, mereka akan mengecapi status kemewahan dengan bayang-bayang seolah masih terus memperjuangkan nasib bangsa.

Satu perkataan yang pernah digunakan oleh PM-10 dan kerap ditemui dalam buku ini - kesenjangan!


Nota - Buku ini dipinjam daripada Perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.





Sabtu, 10 Disember 2022

FOREVER MALAYSIA - Lat


 Naskhah ini diterbitkan oleh sebuah organisasi yang hari ini menjadi amat kontroversi sekali - 1MDB!!!!

Sesuai dengan tajuknya, kompilasi kartun Lat ini adalah berkenaan dengan perkara yang berkaitan dengan Malaysia, atau sesuatu yang boleh mempromosikan negara ini. Kartun beliau juga termasuklah yang diterbitkan pada awal-awal pengelibatan beliau sebagai kartnuis dahulu. Kerana itu sekiranya anda teliti, anda akan melihat gaya persembahan yang berbeza antara kartun lama Lat dengan yang terkini. 

Lat menampilkan kehidupan rakyat Malaysia yang berwarna warni dan berbilang bangsa, bukan sahaja daripada sudut kehidupan seharian tetapi termasuk juga perayaan dan istiadat perkahwinan. Semuanya ditampilkan secara bersahaja dan penuh kelucuan. Gambar cover yang menghiasi naskhah ini sahaja sudah cukup menunjukkan kekreatifan Lat dengan menampilkan isyarat tangan yang selalu digunakan orang kita. Lat turut membawa pembaca melawat ke beberapa tempat menarik di negara kita.

Antara kartun Lat yang menarik dalam kompilasi ini adalah seperti Capitan China Revisits Kuala Lumpur - bagaimana sekiranya Yap Ah Loy dan Sutan Puasa masih hidup dan melihat Kuala Lumpur pada hari ini!


Nota - Buku ini dipinjam dari Perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.




DIALOG KOTA RAYA - Juragan


 

Kartun Dialog Kota Raya di dalam Harian Metro adalah air tangan kartunis Juragan semenjak akhbar berkenaan mula terbit. Di awal kompilasi ini beliau telah melukiskan detik-detik awal beliau ditawarkan untuk melukis di akhbar berkenaan.

Naskhah ini memuatkan kartun beliau yang menyentuh pelbagai isu yang berlaku pada awal 90an. Bagi yang pernah melalui tahun-tahun berkenaan tentunya dapat menangkap dengan mudah isu yang dibawakan. Bagi generasi yang lahir selepas itu tentunya tidak dapat menangkap keseluruhan isu yang dibawa. Walau bagaimabnapun itu tentunya tidak menghalang pembaca daripada tersenyum melihat sindiran yang dilakarkan.

Antara isu yang mendapat sentuhan Juragan adalah seperti;- perkongsian kereta, Tengku Wong, pekerja asing,  kecuaian jururawat di hospital, Samerin pemenang More Jutaria, Tok Mat Menteri Penerangan, perebutan kerusi Ketua Pemuda UMNO, Piala Thomas dan lain-lain lagi.

Ternyata kartunis Juragan mempunyai sindiran nyang tajam lewat kartunnya!


Nota - Buku ini dipinjam dari Perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.




Khamis, 8 Disember 2022

CINTA HARI-HARI RUSUHAN - Faisal Tehrani


 

Secara kebetulan naskhah ini hamba baca di antara hari-hari selepas Pilihanraya Umum ke-15 sehinggalah selepas pembentukan kabinet baharu. Seakan boleh dihubungkaitkan segala peristiwa yang berlaku dalam fatrah ini dengan apa yang dihidangkan oleh Faisal Tehrani. Kerusuhan di dalam novel bagaikan kerusuhan yang melanda hati dan jiwa rakyat negara ini melihat telatah pimpinan parti politik pasca PRU-15.

Mahasiswa tahun 70an dikenali sebagai mahasiswa yang berani memperjuangkan hak rakyat. Mahasiswa bukan sahaja berani bahkan petah berbicara dan berpidato di hadapan khalayak bagi menyampaikan isi hati mereka berkaitan kebobrokan yang melanda. Suara mahasiswa yang lantang sedikit sebanyak menggugah hati pemerintah. Hamba percaya ramai antara kita pernah membaca (bahkan mengalami dan turut serta) mengenai demontrasi mahasiswa membela petani kebuluran di Baling. Demonstrasi ini bukan sahaja kepada penangkapan beberapa pimpinan pelajar tetapi ada yang lari hingga ke luar negara sekaligus menjadi pelarian politik.

Peristiwa di atas menjadi latar cerita dan peristiwa novel ini yang diungkapkan melalui watak utamanya - Basri bersama rakan-rakan beliau yang sehaluan. Akibat penangkapan besar-besaran tersebut, Basri terpaksa melarikan dirinya dari tanah air, melalui perjalanan panjang melalui beberapa buah negara sehingga berhenti di London. Watak Basri seharusnya mengingatkan hamba kepada Hishamuddin Rais, tokoh pelajar yang melarikan diri ke luar negara. Walaupun apabila membacanya hamba yakin ia tidaklah 100% kisah Hisham, namun hamba percaya novel ini mengambil inspirasi daripada kisah pelarian beliau.

Selepas 20 tahun, watak Basariah bertemu dengan Basri yang kemudiannya sedikit demi sedikit penulis membuka rahsia mereka sehinggalah ke akhir cerita apabila Basri mengetahui siapa sebenarnya Basariah. Basri melarikan diri kerana percaya beliau bukannya seorang penjenayah yang harus ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara. Beliau hanya memperjuangkan nasib rakyat. Beliau berkelana ke merata negara. Dalam masa yang sama beliau membawa hatinya yang lara mengenangkan apa yang berlaku terhadap perhubungannya dengan tunangnya yang bernama Tengku Valizah. 

Kembalinya Basri ke Kuala Lumpur (sebagai warga British) memperlihatkan perbezaan negara hari ini dengan masa lalu. Kampung halaman beliau juga sudah berubah kerana kemodenan (dibaca kerakusan politikus yang menggadai harta rakyat). Sahabat yang bersama beliau memperjuangkan nasib rakyat hanya seorang dua sahaja yang masih kekal bersemangat begitu. Yang lainnya sudah berubah sifat dan laku, berperangai sama seperti pemimpin yang pernah mereka kutuk semasa zaman belajar dahulu. 

Pertemuan semula dengan Tengku Valizah telah membongkar banyak perkara. Tidak guna lagi rasa sesal atas apa yang telah berlaku. Namun Basri umpa terus memendam jiwanya yang lara....



KENITRA adalah kisah perjuangan
mahasiswa Malaysia di Maghribi.
Tetap kaya dengan elemen perjuangan dan penderitaan!


Khamis, 1 Disember 2022

MISI BUDAK TAHFIZ - Afiq & Nazry I Ahmad Syahmi I Hanza I Imanimex


 Muhammad Iqbal Wajdi merupakan seorang murid yang cemerlang. Beliau kerap menerima penghargaan daripada sekolah di atas kecemerlangannya itu. Namun beliau kecewa kerana kedua ibu bapanya sering gagal untuk hadir ke majlis-majlis penting yang meraikan kejayaannya.

Perasaan kesal itu kekal walaupun ibu bapanya telah meninggal dunia akibat kemalangan. Hiiinggalah apabila dia terdengar satu ceramah mengenai takrifan anak soleh sewaktu lalu berhampiran sebuah surau, beliau sedar bahawa beliau tidak menghadiahkan apa-apa pahala kepada kedua ibu bapanya sejak mereka pergi.

Pertemuan Wajdi dengan sahabat lamanya Faris bakal mengubah hidupnya apabila Faris menyarankan Wajdi untuk mengikuti kem tahfiz sempena cuti sekolah. Menyertai kem tersebut Wajdi mempelajari pelbagai perkara termasuk membaca Al-Quran dengan betul dan banyalk perkara asas yang lain. Beberapa peristiwa yang berlaku di antara beliau dengan rakan-rakan barunya turut memberikan pengalaman serta pengajaran.

Hamba membeli komik ini kerana isteri hamba berhasrat untuk menghantar anak bongsu kami memasuki sekolah tahfiz. Namun kami berdua tidaklah mahu memaksa beliau dan lebih suka beliau memasukinya dengan hati yang rela. Justeru komik ini hamba percaya boleh memberikan sedikit gambaran buat beliau tentang suasana di sebuah sekolah tahfiz.

Siapa kata komik tidak memberikan sebarang faedah!

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...