Khamis, 23 Julai 2020

RAID (2018)



Blog ini jarang mengulas tentang filem, bahkan filem bukanlah tujuan blog ini diadakan. Setakat ini hanya dua buah filem sahaja yang pernah hamba ulas. Itupun hanya filem tempatan di mana sebuah masih berkait dengan buku dan sebuah lagi berkaitan anmimasi. 

Bollywood, Kollywood atau apa sahaja filem yang datang dari India, kita maklum kebiasaannya ia sarat dengan adegan percintaan, gangster, nyanyian pergaduhan yang melampaui batas akal dan sebagainya. tetapi kebelakangan ini industri filem di sana banyak juga menghasilkan filem yang bermutu - tentang sejarah atau tokoh-tokoh tertentu. Filem-filem daripada jenis yang ini biasanya tidaklah sampai ke panggung di negara kita kerana ia agak kurang dari segi unsur komersilnya.

Filem Raid ini adalah berdasarkan sebuah kisah benar yang berlaku di tahun 80an di mana seorang pegawai kerajaan yang berpangkat Timbalan Pesuruhjaya Cukai Pendapatan bernama Amay Patnaik lakonan Ajay Devgan melakukan satu serbuan besar ke atas kediaman seorang ahli politik berpengaruh. Amay Patnaik merupakan seorang pegawai yang berdedikasi serta bekerja mengikut lunas undang-undang. Kerana itu juga dalam masa 7 tahun beliau telah ditukarkan sebanyak 49 kali! namun itu sama sekali tidak melemahkan semangat beliau. Di sisi beliau berdiri teguh seorang isteri bernama Malini yang amat faham dengan tugasan beliau serta memberikan sokongan penuh dan terus bersama Patnai walau apapun dugaan yang melanda.

Kita maklum melalui filem-filem hindi dan tamil, golongan politik di sana mempunyai pengaruh yang amat kuat. Mereka berkuasa dan boleh mengawal pegawai kerajaan, menukar dan memecat mereka sehingga ke tahap membahayakan nyawa mereka dan keluarga. Ini yang turut dihadapi oleh Amay Patnaik yang turut memberikan kebimbangan kepada pegawai dan kakitangan di bawahnya. Namun Patnaik telah berjanji untuk melindungi kakitangannya sebaik mungkin. Ahli politik berkenaan, Rameshwar Singh telah menggunakan segala-gala pengaruhnya untuk memberhentikan tindakan penyerbuan oleh Patnaik sehingga ke peringkat Perdana Menteri.

Hamba amat menyukai babak di mana Patnaik dihubungi oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri ada bertanya sekiranya Patnaik boleh menghentikan serbuan dan menggunakan cara lain menggunakan sudut perundangan yang dibenarkan. Sebagai pegawai kerajaan, Patnaik akur tetapi meminta PM mengeluarkan arahan berkenaan secara bertulis dan difakskan ke pejabat beliau. Ini kerana melalui telefon beliau tidak dapat memastikan arahan tersebut sama ada benar-benar datang daripada PM! Dan ternyata PM sendiri tidak berani menulis arahan berkenaan dan Patnaik meneruskan kerja-kerja beliau. Dalam hal ini hamba selalu mengingatkan anak-anak buah di pejabat agar memastikan kerja mereka mempunyai hitam dan putih sekiranya melibatkan arahan atau sesuatu yang berkaitan dengan peraturan. Mempunyai hitam dan putih boleh menyelamatkan kita di belakang hari sekiranya berlaku sesuatu. Apa yang Patnaik lakukan merupakan satu contoh yang amay baik kepada penjawat awam.

Sekiranya anda melihat hasil serbuan di dalam filem ini kita akan merasakan betapa kayanya ahli politik mereka yang melakukan rasuah atau mendapatkan wang melalui jalan yang tidak betul. Berkepuk-kepuk wang, ketulan emas, barang perhiasan dan lain-lain barang berharga yang diperolehi oleh Patnaik dan pegawainya. Ada yang disorokkan di dalam tiang, dinding, tangga batu, siling, guni makanan dan sebagainya. kakitangan Patnaik bahkan mencari di dalam longgokan najis haiwan. Kekayaan mereka amat melampau. Dan walaupun mempunyai segalanya, merekalah golongan terawal yang akan lari daripada membayar cukai.

Banyajk pengajaran baik daripada filem ini. Antaranya adalah perlunya pegawai kerajaan itu mempunyai keperibadian dan sifat integriti yang tinggi, seorang isteri merupakan sumberinspirasi terbaik buat suami, kakitangan yang baik, cekap dan amanah dapat membantu ketua untuk menjalankan tugas dengan baik. Dalam filem ini Patnaik turut mempunyai kakitangan yang bersifat talam dua muka. Namun Patnaik masih memberikan peluang serta mendidik mereka secara tak lansung sehingga kakitangan berkenaan sedar akan kesilapannya dan bersedia untuk membetulkannya.

Filem ini tiada adegan percintaan yang meloyakan, adegan gaduh sehingga terbang melayang dan sebagainya. Tetapi langkah-langkah yang diambil oleh patnaik serta keperibadian beliau di dalam menghadapi serta menyelesaikan masalah boleh dijadikan panduan yang baik untuk kita semasa menjalankan tugas.

Jangan melihat hanya sekadar filem yang memberikan hiburan. Lihatlah lebih daripada itu!


INI SEKOLAH KITA - Hidayu Hatta, Musa Nuwayri & Faris Isa

Buku ini memenangi Anugerah Buku Negara 2017 bagi kategori kemanusiaan. Tentu ada sesuatu yang istimewa yang menyebabkan ia memenangi anugerah tersebut.

Membaca buku ini sangat mengujakan. Hamba tidak menyangka bahawa ada NGO di Jordan bagi mendidik anak-anak pelarian Syria ditubuh dan diterajui oleh anak Malaysia, bahkan mereka ini masih lagi bergelar pelajar universiti. Membahagikan masa di antara pelajaran serta kerja amal, ia bukanlah satu kerja yang mudah. Bahkan walaupun ketika sibuk bergelut dengan peperiksaan, mereka tetap komited memberikan perkhidmatan kepada anak-anak pelarian ini.

Bukan mudah untuk mendidik kanak-kanak - apatah lagi anak-anak Arab. Sementelahan lagi peperangan serta kehidupan sebagai pelarian juga kehidupan jalanan telah membentuk anak-anak ini sedikit kasar. Hamba tabik dengan para sukarelawan Malaysia ini. Mereka nampak akan keburukan yang lebih besar sekiranya anak-anak ini terus dibiarkan liar di jalanan. Pendidikan adalah cara yang paling baik. Walaupun dari segi kemudahan ataupun silibus mungkin jauh daripada sistem persekolahan setempat, namun memberikan mereka sedikit pengetahuan - dapat mengeja, membaca dan mengira - juga membaca Al-Quran adalah sesuatu yang tidak ternilai. jangan terkejut walaupun mereka anak Arab, masih ada yang tidak tahu membaca Al-Quran.

Terlalu banyak dugaan yang para sukarelwan ini hadapi. Sebagai seorang yang pernah hidup bersama dengan orang Arab, hamba dapat menyelami perasaan mereka. Apatah lagi apabila dikhianati mereka yang saban hari kelihatan bermanis muka dengan kita. Kisah 'pengkhianatan' yang diungkapkan salah seorang penulis mungkin sukar dihadamkan mereka yang jarang berinteraksi dengan orang Arab. Kasihan hamba dengan para sukarelawan ini. Mereka hanya pelajar yang kurang penagalaman tetapi mempunyai keazaman yang tinggi melangit. Mereka tidak lansungmementingkan diri sendiri. Ya, orang seperti ini tidak ramai, dan biasanya yang mengubah dunia juga bilangannya tidak ramai seperti ini.

Hamba percaya para penulis ini sudahpun pulang ke tanah air bagi menabur bakti di negara sendiri pula. Moga semangat mereka terus menyala dan sama-sama memajukan pelajaran dan pemikiran rakyat Malaysia pula.

Khamis, 16 Julai 2020

ROCK KAPAK NOT DEAD - Ocha Vozvyshennyy


Sekiranya anda memang Mat Rock sejati era 80-90an, tentunya sudah dapat meneka tanpa penuh keraguan dari manakah kulit buku ini dinspirasikan. Ia mengambil hampir 100% reka hias kulit album kumpulan Wings yang bertajuk Hukum Karma. Tajuk buku 'Rock Kapak Not Dead' adalah tulisan yang biasa dilihat diconteng di dingding-dinding atau di pintu jamban serta di beg sekolah budak rock tahun 90an. Memandangkan buku ini hamba beli secara atas talian, maka hamba tidak dapat melihat, menyelak-nyelak sepertimana ketika membeli di kedai buku. Hamba jangkakan ia agak tebal dan ditulis mengikut bab tertentu berdasarkan perkembangan dunia rock tempatan atau dalam kata lainnya sebuah mini eksiklopedia rock tempatan.

Tetapi buku ini tipis sahaja dan ia ditulis dalam bentuk sebuah cerita sambil diselitkan dengan beberapa fakta mengenai senario dan lagu rock tempatan. Di antara penceritaan, penulis menyelitkan QR code yang akan membawa pembaca ke laman You Tube yang mengandungi lagu-lagu rock seperti lagu yang disebutkan dalam buku tersebut. Memandangkan ini adalah sebuah novel jadi fakta-fakta rock yang terkandung di dalam penceritaannya adalah bersifat rojak, tidak mengikut kronologi masa serta tidak membahaskan secara meluas tentang semua senario ataupun kumpulan muzik yang ada. Dan hamba percaya kebanyakan fakta atau lagu-lagu yang dipilih oleh penulis adalah mengikut kecenderungan penulis sendiri yang lebih kepada rock berat. Antara peristiwa besar dalam dunia rock tempatan adalah larangan berambut panjang sekiranya mahu muncul di kaca televisyen. Sekiranya penulis lebih rajin untuk menebalkan novelnya, banyak lagi peristiwa besar yang boleh disebutkan seperti pengharaman rock setelah berlakunya kekecohan di Tapak Pesta Sungai Nibung, bantahan konsert Scorpion, dua anggota Search yang pernah ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah dan lain-lain lagi. Jadi belum ada lagi penulis yang menulis tentang hal rock tempatan secara khas dan terperinci serta dijadikan sebuah buku.

Kisah dalam novel ini sebenarnya mudah sahaja. Bermula daripada seorang anak muda berusia 14 tahun bernama Lokman yang patah hati dengan seorang gadis. Ia diikuti dengan minatnya secara perlahan-lahan dalam muzik rock, usahanya belajar bermain muzik sehinggalah berjaya mempunyai band sendiri yang aktif bermain di dalam beberapa gig. Ayah Lokman memang tidak gemar dengan apa yang beliau lakukan. Lebih-lebih lagi minat Lokman yang berlebihan terhadap muzik rock menyebabkan beliau agak lalai dalam pelajaran. Lokman ini adalah pemuda zaman milleneum dan bukannya ramaja zaman rock kapak. Tetapi kerana muzik ini, beliau mula berpakaian seperti rockers zaman itu yang menyebabkan beliau kelihatan janggal di mata masyarakat. Lokman juga mula dikenali sebagai Man Bising kerana strumming gitarnya yang berkarat dan bising.

Lokman ini hamba lihat bukanlah budak yang bodoh sangat. Setelah gagal dalam kesemua matapelajaran dalam peperiksaan percubaan SPM, beliau melupakan muzik seketika dan memberikan tumpuan dalam matapelajaran. Hasilnya keputusan yang beliau perolehi adalah baik juga. Berjaya mendapat tawaran ke ASWARA serta Politeknik Sabak Bernam, beliau terpaksa meyambung pelajaran di politeknik setelah tidak direstui ayahnya untuk ke ASWARA. Lokman ini sejenis manusia yang tidak suka dengan sekolah. Beliau menganggap sekolah umpama kilang yang hanya akan melahirkan robot. Bagi hamba pemikiran Lokman ini silap. Hamba setuju bahawa pekerjaan apapun (asalkan halal dan tidak menyalahi agama dan undang-undang) yang dilakukan setelah tamat pelajaran adalah terpulang kepada individu. Apa yang kita perlu cari di sekolah atau mana-mana pusat pengajian adalah ilmunya. Kalau nak jadi rockers macam mana sekalipun, tanpa ilmu itu kita tetap nampak bodoh. Benar ilmu itu boleh didapati dimana-mana dan tidak semestinya di sekolah. Tetapi untuk menganggap tempat sedemikian tidak lebih daripada sebuah kilang adalah pemikiran yang silap. Lokman ada belajar akaun secara jarak jauh dan berjaya mendapatkan diplomanya. Namun beliau melakukannya hanya kerana tidak mahu masyarakat melihatnya tidak mempunyai segenggam sijil dan bukannya kerana ilmu. 

Lokman agak berjaya di dalam muziknya walaupun sekadar kumpulan kecil yang bermain di gig gig. Tidak berapa berjaya di dalam kerjaya kerana asyik berhenti kerana tidak serasi. Namun beliau agak lama bekerja di sebuah kedai gitar yang membolehkan beliau mempelajari ilmu menghasilkan gitar sehingga beliau kemudiannya boleh membuka kelas khas untuk mengajar membuat gitar.

Pengakhiran novel nipis ini hanya meninggalkan persoalan kepada pembaca kerana Lokman hilang secara tiba-tiba. Di hari yang sepatutnya beliau diberitahu khabar gembira bahawa kumpulan People On strike mendapat tawaran merakamkan album, beliau dikesan telah hilang dari penginapannya. Penulis tidak memberitahu akan sebab musababnya kecuali melalui dialog ayah Lokman yang mengatakan Lokman bimbang dengan populariti yang dinikmatinya. Khabar angin tentang keberadaan Lokman di Indonesia juga tidak begitu membantu.

Sesungguhnya hamba menyampah dengan kisah yang tergantung!


Selasa, 14 Julai 2020

HOMESTAY - Eb Reeza, Maria Kajiwa, Rhea



Homestay merupakan sebuah antologi daripada tiga orang penulis. Menggunakan homestay sebagai tema, konsep sebegini mirip projek seram Buku Prima iaitu menggunakan tema yang khusus dan menggabungkan beberapa penulis dalam sebuah buku. Tiga tajuk yang terdapat di dalam antologi ini adalah Honeymoon, Homestay Putih Nian dan Rahsia. Novel ini menggunakan bahasa Melayu yang baik tanpa dicacatkan dengan bahasa slanga ataupun apa-apa yang tidak molek. 

Secara keseluruhan kisah-kisah seram yang dipaparkan tidaklah begitu seram ketika dibaca tetapi sekiranya ia datang dalam bentuk filem hamba percaya akan terasa keseramannya melalui kesan khas serta solekannya. Kisah pertama ialah gangguan terhadap pasangan yang baru berkahwin dan bercuti di sebuah homestay. Mengabaikan nasihat petugas untuk tidak keluar dari bilik selepas jam 10 malam, mereka telah mengalami gangguan sehingga akhirnya membawa kematian kepada mereka berdua. Saya merasa agak lucu membaca asbab kejadian di penghujung kisah apabila dinyatakan mereka yang sepatutnya menginap di Kubu Homestay telah tersalah memasuki Kubur Homestay! Pasangan ini menuju ke lokasi berpandukan Google Maps. Nampaknya koman sangat aplikasi ini apabila membawa penggunanya ke lokasi yang salah.

Kisah kedua oleh Maria Kajiwa hamba rasa yang paling menarik - tentang sebuah rumah yang dibeli oleh seorang pemuda bernama Razak untuk dijadikan homestay. Gangguan saka yang ada di situ telah menyebabkan usaha renovasi rumah berkenaan agak tergendala. Dalam usaha membuang saka berkenaan, Razak yang sepatutnya membuang saka berkenaan telah membuat perjanjian baru dengan makhluk berkenaan menyebabkan masalah yang dihadapi tidak lagi selesai.

Kisah ketiga, sepasang suami isteri bersama anak mereka memilih sebuah homestay untuk memulihkan semula hubungan mereka. Tanpa disedari, si isteri mempunyai agenda tersendiri yang amat jelik sekali. Dan tanpa si isteri juga sedar, pemilik homestay juga mempunyai agenda yang lebih jelik lagi. Dan yang amat jelik lagi mereka berdua sebenarnya mempunyai satu pakatan yang jahat tanpa si isteri sendiri sedar bahawa dia juga terperangkap. Secara tidak sedar hamba merasa benci dengan sifat seorang isteri yang khianat kepada suaminya walau apapun alasan. 

Sekiranya anda menyukai kisah seram yang melampau, antologi ini bukanlah untuk anda.

Ahad, 12 Julai 2020

NEBULA - Tere Liye


Sebelum membaca Nebula, anda harus membaca Selena terlebih dahulu. Jika tidak anda mungkin akan tenggelam punca.

Dalam buku sebelum ini, kisah Selena bagaikan tergantung. Rupanya kisah beliau ini sedang disampaikan secara perhubungan rahsia kepada Raib, Seli dan Ali. Selena ketika ini sedang berada dalam tahanan seseorang yang tidak diketahui. Alat perhubungan Selena hanya dapat berhubungan dengan klan bumi setiap 12 jam. Ini menyebabkan ketiga remaja tadi terpaksa menanti beberapa hari untuk Selena menyudahkan ceritanya. Cerita Selena amat penting kerana teka teki mengenai siapa ibu bapa Raib yang membingungkan pembaca sejak buku siri Bumi yang pertama akan terjawab.

Buku Nebula menyambung kembali kisah Selena serta sahabat baiknya Mata dan Tazk di Akademi Bayangan Tingkat Tinggi (ABTT). Mereka yang telahpun menjadi senior belajar lebih banyak perkara serta berlatih bertempur' menggunakan simulasi yang lebih tinggi. Dalam masa yang sama Selena menjalankan kerja-kerja untuk Tamus secara rahsia. Dan serentak itu juga beliau secara sendirian cuba menyelesaikan misteri dari hasil maklumat yang beliau dapatkan untuk Tamus - mencari lokasi klan Nebula dan melakukan petualang bersama Tazk dan Mata.

Walaupun dosen beliau di kuliah seperti Bibi Gill dan Master Ox telah memberi amaran agar tidak sesekali cuba mencari klan berkenaan kerana takut bencana besar akan terjadi, tetapi sebagai remaja yang dilatih sebagai pengintai, tentunya beliau tetap akan melakukannya.

Kesempatan tiba apabila mereka melakukan tugas khidmat masyarakat di Distrik Sungai-Sungai Jauh, dimana mengikut dapatan kajian mereka portal menuju ke klan berkenaan ada di distrik berkenaan.

Yup, hamba ringkaskan cerita mereka dapat memasuki portal berkenaan setelah bertempat hebat dengan Ngeleputur (siapa Ngeleputur, anda perlu baca sendiri). Kedatangan mereka tidak berapa disenangi oleh Lumpu, ketua masyarakat klan Nebula. Ini memandangkan mereka telah hidup aman damai selama 40 ribu tahun tanpa gangguan orang kuar. Kedatangan tiga remaja ini dikhuatiri akan mendatangkan masalah.

Tentunya akan berlaku masalah. Selena yang sebelum ini mempunyai perasaan terhadap Tazk merasa kecewa apabila Tazk sebenarnya lebih menyukai Mata. Meneruskan rancangan sebelum ini, Selena secara diam-diam mencuri Cawan Keabadian dan seterusnya menimbulkan bala yang besar apabila membebaskan kembali raksasa yang telah dipateri di dalam dinding batu. Banyak kematian berlaku walaupun di pengakhiran mereka berjaya meloloskan diri. Dalam hal ini Mata cedera parah kerana mengorbankan diri menggunakan seluruh kuasanya untuk memerangkap kembali semua raksasa yang terlepas. Tazk pula telah hilang semua kuasa tempurnya apabila disedut oleh Lumpu yang amat marah kepada ketiga-tiga remaja berkenaan yang telah merosakkan keseimbangan klan Nebula. Lumpu yang tidak sempat keluar ternyata menyimpan dendam.

Selena, Tazk dan Mata terus lari sehingga ke klan Bumi dan berasimilasi dengan masyarakatnya. Tazk berkahwin dengan Mata dan daripada kedua mereka lahirlah Raib. Mata meninggal selepas melahirkan Raib dan Tazk menghilangkan diri. 

Berbalik ke masa kini, Selena sebenarnya berjaya ditawan' Lumpu. Lumpu akan menjadi masalah besar selepas ini.

Dan memang penulisnya terus menggusarkan pembaca apabila buku ini bersambung lagi!!


Sabtu, 11 Julai 2020

LARA WIRANG - Maria Kajiwa


Lara wirang pada pemahaman saya adalah rasa sakit hati kerana malu/diberi malu. Saya percaya ini maksudnya berdasarkan keseluruhan cerita di dalam novel ini. Lagipun penulis tidak menerangkan akan maksudnya di mana-mana tempat di dalam novel ini. Sama ada beliau percaya kita mampu bertutur dalam 16 bahasa asing ataupun tidak mahu kita malas dan mahu kita mencari sendiri sumber yang ada. Mungkin kalau diberi makna harga novel ini akan meningkat sedikit.

Kisahnya simple sahaja - Seorang guru silat merasa tersinggung apabila ditegur oleh seorang ustaz apabila didapati amalan silat beliau mengandungi perkara yang meragukan serta bercampur dengan perkara khurafat. Berikutan itu guru silat yang bernama Salim, menggunakan pelbagai cara menghapuskan Ustaz Muiz. Kisah di dunia nyata itu diselang selikan dengan kisah di alam lain atau lebih tepatnya dunia kegelapan yang berhubung kait dengan amalan Salim.

Walaupun ini cuma satu cereka, hamba secara peribadi akan mengelakkan untuk menulis tentang alam lain yang hamba tidak ketahui. Pengetahuan manusia mengenai alam ghaib amat terbatas. Tidak jelas watak seperti Derani, Zub-Yan, Kaedar, Ghafanzar (sekadar namanya disebut) ini makhluk jenis apa - manusia, jin ataupun syaitan. Penulis membiarkan oembaca tertanya-tanya. Dunia mereka ibarat ruang dunia hantu dalam Space Cop Gaban. Nama Derani adalah nama tempatan berasal daripada Abdul Rani. Ini nama yang baik tetapi diberikan keoada makhluk yang jahat. Nama Salim juga baik maknanya tetapi diberikan kepada seorang crook. Nama yang lain tidaklah hamba tahu akan maknanya.

Novel 8ni sedikit sahaja basa basinya. Kemudian terus diikuti dengan persengketaan Salim dan Ustaz Muiz. Hebat manapun silat Salim daripada perguruan suci giring akan dapat dipatahkan dengan selamba sahaja oleh Ustaz Muiz. Hamba menjangkakan persengketaan mereka akan berpanjangan sehingga ke akhir novel. Tetapi sebenarnya tidak. Salim mati dipertengahan cerita! Ini adalah klimaks sebenar berbanding dengan rentetan cerita selepas ini. Sebab kisah selepas kematian Salim tidaklah begitu mendebarkan hamba.

Selepas kematian Salim, geng dunia luar mula menyasarkan anak Ustaz Muiz yang baru dilahirkan bernama Muhayya. Muhayya berjaya diculik oleh Salwa, anak kepada Salim. Penculikan ini dilakukan Salwa kerana makhluk dunia luar menjanjikan ayahnya dapat pulang sekiranya Muhayya dapat diculik. Ya, Salim memang kembali. Kembali sebagai mayat yang dihanyutkan arus sungai. Pengajaran di sini adalah perjanjian dengan makhluk ghaib adalah satu bentuk penipuan yang merugikan manusia.

Bila Muhayya tiada pelbagai usaha dilakukan Ustaz Muiz untuk mencarinya. Ia akan membawa pembaca sehingga ke alam lain Soace Cop Gaban untuk pertempuran Usta Muiz dan Zub-Yan. Gaduh punya gaduh, Muhayya kena campak pula ke bawah jurang air terjun. Dan selepas itu akan pembaca ketemui lagi kembara Ustaz Muiz ke dunia lain semacam bunian walaupun tidak dijelaskan secara nyata 9leh penulis. Misi Ustaz Muiz selepas kematian Salim hanyalah untuk menyelamatkan serta menjaga Muhayya sahaja. Ini kerana Muhayya dibayangkan sebagai zuriat dari orang soleh yang boleh membahayakan dunia gelap. Pusing juga hamba. Adakah ini anak soleh yang terakhir? Tiadakah lagi insan mulia yang ditakuti makhluk sebegini.

Ya, ia hanya cereka, tapi biarlah sederhana mengikut batas ilmu manusia.

Janganlah kecam, hamba bukan beli percuma!


Jumaat, 10 Julai 2020

LAWAK KAMPUS KOMPILASI MANTAP 4 - Keith


Walaupun Lawak Kampus memang terbit dalam bentuk berjilid (tak silap sekarang telah menjangkau ke jilid yang ke 35), hamba lebih suka menunggu versi kompilasi mantap ini. Ia kelihatan tegap dan tebal umpama sebuah kitab dengan penambahan kartun atau lakaran istimewa serta berita-berita tambahan yang berkaitan Lawak Kampus ataupun pelukisnya. Bagi kompilasi ini ia merupakan gabungan jilid 16-20. 

Seperti kebiasaannya ia akan dimulakan dengan persembahan kartun baru yang belum pernah tersiar di mana-mana. Kali ini Keith mempersembahkan kartun bertajuk Fortune Cookies. Pada penghujung buku Keith menyelitkan buku-buku yang beliau beli/baca serta figura yang ada dalam simpanan beliau. Ia diikuti dengan beberapa berita atau artikel berkenaan Lawak Kampus sejak beberapa tahun lalu hingga yang terkini. Kompilasi ini turut datang dengan dua set pelekat karakter Lawak Kampus.

Yang paling menarik semua mukasuratnya adalah berwarna!

SELENA - Tere Liye

Ini bukan kisah seorang gadis latin sama ada dari Sepanyol mahupun Mexico. Bahkan Selena ini bukan makhluk asal bumi ataupun datang dari angkasa lepas. Bagi yang mengikuti novel-novel siri Bumi oleh Tere Liye, nama Selena bukanlah sesuatu yang asing. Selena adalah guru matematik kepada Raib, Seli dan Ali, tiga jagoan yang mewarisi teknik tempur mengikut klan masing-masing. Jika dalam siri-siri yang lalukita hanya mengenal sedikit sahaja tentang watak Selena, maka kali ini Tere Liye tampil dengan pengkisahan asal usul beliau.

Ternyata beliau asalnya bukanlah siapa-siapa. Seorang anak yang tinggal di Distrik Sabit Enam, daerah yang serba serbi mundur dan gersang. Telah kematian kedua ibu bapanya yang kemudian tinggal bersama pakciknya yang bernama Raf di Kota Tishri mengikut wasiat ibunya. Raf seorang kontraktor dan telah mengarahkan Selena untuk bekerja membuat terowong kereta bawah tanah pada hari beliau tiba di rumah Raf lagi. Memang melampau Raf ini sebab Selena baru sahaja berusia 15 tahun. 

Satu kelebihan Selena adalah daya pengelihatan beliau yang tajam serta boleh mengingati setiap perincian. Bakatnya itu kemudian telah memudahkan kerja-kerja binaan mereka. Watak Aq yang merupakan mandur kepada Selena mempunyai sifat yang prihatin. Aq memgajar Selena matematik, mengajar beliau, membenarkan Selena belajar apabila ada masa lapang sewaktu bekerja dan menggalakkan Selena mengambil peperiksaan. Menakjubkan Selena lulus dalam peperiksaan untuk belajar ke peringkat lebih tinggi sedangkan sebelum itu beliau tidak pernah bersekolah kerana kemiskinan.

Selena mencuba peluang untuk memasuki Akademi Bayangan Tingkat Tinggi (ABTT) dan telah melepasi dua tapisan ujian. Namun beliau gagal dalam ujian ketiga yang melibatkan teknik pertarungan. Ini amat mengecewakan beliau sedangkan dalam ujian sebelumnya beliau mendapat kedudukan kedua dan ketiga terbaik. Ketika inilah munculnya Tamus, satu watak yang berkomunikasi melalui cermin. Watak ini telah kita kenali dalam siri pertama Bumi lagi. Tamus boleh memulihkan tenaga bertarung Selena dan itu tentunya memerlukan balasan.

Selena diterima masuk ke ABTT dan kisah kemasukan beliau di hari pertama memang menggemparkan. Peristiwa berkenaan juga menjadikan beliau target oleh para seniornya. Berkenalan dengan dua watak baru iaitu Mata dan Tazk, ketiga mereka ini kemudiannya menjadi rakan baik serta memiliki kemahiran tempur yang melebihi orang lain.

Tamus telah memberikan satu tugas sukar buat Selena dan mengugut akan menghapuskan kuasa beliau sekiranya Selena gagal melaksanakannya. Selena tiada pilihan kerana jika kemahiran tempur yang beliau ada ketika ini dimusnahkan, maka tiada makna untuk terus berada di ABTT. Selena tidak mengetahui bahawa Tamus merupakan salah seorang crook dalam siri ini yang bakal menghuru harakan dunia paralel. Yup Selena berjaya melaksanakan misi sukar ini dengan penuh kepayahan. 

Kisah Selena berakhir di tahun pertama pengajiannya dan setelah beliau menyerahkan apa yang dikehendaki oleh Tamus. Ia diikuti dengan satu bab epilog masa kini di mana Selena berada dalam tahanan di satu tempat yang tidak diketahui. Selena sedang cuba berhubung dengan Raib, Seli dan Ali. Teka teki pembaca belum berakhir. Pembaca perlu mencari Nebula pula untuk kisah seterusnya.

Rabu, 8 Julai 2020

NEVER GROW UP - Jackie Chan with Zhu Mo


Satu perkara yang membuatkan Jackie Chan kesal adalah bahawa beliau tidak mempunyai pelajaran yang tinggi. Banyak tempat dalam buku ini yang menunjukkan kekesalannya. Lebih-lebih lagi apabila tiba kepada perkara yang melibatkan penggunaan bahasa Inggeris. Pengalaman beliau ketika pertama kali menaiki kapal terbang untuk ke Australia agak melucukan akibat kekurangan itu. 

Jackie pernah bersekolah selama setahun sahaja, lebih kurang setakat darjah satu di tempat kita. Namun beliau tidak minat dengan pelajaran. Beliau nakal, suka membuli orang lain, tidak serius dengan pelajaran dan kerap bergaduh. Ini membuatkan beliau kemudiannya dimasukkan ke Chinese Drama Academy. Pada hari pertama di sana beliau suka dengan keadaan di situ kerana para pelajarnya kelihatan berlatih kung fu dan beliau merasakan itu amat menarik. Sementelahan lagi beliau pernah dibajar seni Gung Har oleh bapanya. Ketika ditanya berapa lama dia sanggup berada di situ, beliau dengan yakin menjawab -selamanya!

Namun setelah menyedari akan realiti, Jackie ternyata menyesal. Ini kerana tempat tersebut sangat keras pengajarannya. Dari pagi hingga ke malam hanya diisi dengan latihan bela diri. Jackie menulis jadual hariannya seperti berikut;

Wake up at 5:00 a.m. for breakfast. 

Practice kung fu until noon. 

Lunch. 

Practice until dinner at 5:00 p.m. 

Dinner. 

Practice until bedtime at 11:00 p.m. 

Do it again the next day.

Malah Jackie menyifatkan keberadaan beliau selama 10 tahun di akademi berkenaan sebagai a decade of darkness! Mengharungi latihan yang keras, hasilnya anda bokeh lihat sendiri mutu kung fu beliau di setiap filem lakonannya. Di sanalah beliau berkawan dengan teman sepelathan yang kemudian hari ramai yang turt bersama beliau di dalam industri filem Hong Kong.

Selain kung fu tentunya memoir ini dipenuhi pengkisahan beliau dalam dunia lakonan. Jackie mengambil masa yang lama untuk jadi terkenal. Di awal pembabitannya, beliau hanya menjadi watak sampingan atau tempelan di dalam filem aksi yang hanya menjadi mangsa belasahan hero. Pelakon tambahan yang beraksi ketika itu, sudahlah hanya menjadi mangsa belasahan, wajah mereka pun tidak berapa kelihatan di dalam filem. Mereka hanya akan nampak dari belakang atau sekilas pandangan sahaja. Malah Jackie juga kerap berlakon sebagai orang mati dan beliau merupakan yang terbaik ketika melakonkan peranan berkenaan. 

Selepas kematian Bruce Lee, syarikat perfileman cuba untuk mengisi lompong tersebut dengan mencari hero baru seperti beliau. Malah jalan cerita juga hampir sama, lebih kepada hero yang mahu membalas dendam. Jackie ketika kali pertama menjadi hero juga berlakon mengikut formula berkenaan. Filem awal beliau tidak berapa menjadi sehinggalah apabila beliau berpeluang melakukannya mengikut cara sendiri barulah berlaku perubahan dalam senario filem Hong Kong. Anda boleh lihat sendiri filem awal beliau yang berjaya iaitu Snake In The Eagle's Shadow dan Drunken Master dan membandingkannya dengan filem genre aksi sebelumnya, pasti akan nampak perbezaan. Inilah kali pertama filem aksi diadunkan dengan komedi dan tidak terikat dengan struktur filem aksi sebelumnya. Inilah permulaan kejayaan Jackie. Dan apabila beliau bernaung di bawah syarikat Golden Harvest, beliau diberikan kebebasan untuk mengarah mengikut acuan sendiri dengan bajet dan masa yang tidak terhad. Kepercayaan syarikat berkenaan telah dibalas oleh Jackie dengan sebaiknya.

Jackie bersama pasukan stunt beliau sentiasa ingin memberikan yang terbaik buat para peminat. Kerana itu beliau melakukan sendiri setiap lagak ngeri yang kebanyakannya mendatangkan kecederaan. Malah di setiap akhir filem kita boleh melihat blooper aksi berkenaan. Antara kecederaan yang paling teruk adalah sewaktu filem Armour of God yang menyebabkan pendengaran beliau di sebelah telinga rosak selamanya. Bab ini antara yang menarik kerana Jackie bercerita tentang perkara di sebalik tabir tentang penggambaran babak aksi berkenaan. Bacalah tentang pengalaman aksi beliau jatuh dari jam dalam Project A serta terjun dari tingkat tinggi bangunan kompleks perniagaan melalui lampu-lampu dan kaca dalam Police Story.

Jackie boleh dilihat sebagai seorang yang amat mengutamakan sahabat terutamanya pasukan stunt serta kawan-kawan CDAnya. Beliau tidak kedekut berbelanja untuk kawan-kawannya. Beliau pernah membelikan jam mewah berharga berpuluh-puluh ribu seutas untuk setiap ahli pasukan stunt beliau. Beliau juga suka makan secara beramai-ramai dengan kawan-kawan sehinggakan anak beliau Jaycee menyifatkan beliau hanya ingat beberapa kali sahaja mereka pernah makan bertiga sebagai satu keluarga. Yang lainnya, pasti ada yang turut serta. Kisah kedermawanan Jackie bagi hamba agak hebat. Beliau tidak kedekut menderma. Mungkin kerana itu rezeki beliau kelihatan tidak putus. Kerap juga beliau berkisah tentang zaman miskin beliau dan keluarga.

Unruk menembusi pasaran Hollywood bukanlah satu yang mudah dan Jackie pernah gagal di peringkat awal. Jackie turut menyebut perbezaan budaya kerja antara team beliau dan Hollywood. Di Hollywood setiap pekerja telah ditentukan pekerjaan mereka dan mereka hanya akan melakukan pekerjaan yang telah ditentukan tersebut. Contohnya jikalau dia hanya bekerja mengangkat propmaka itu sahajalah yang akan dilakukan. Mereka sama sekali tidak akan melakukan perkara lain. Berbeza dengan team Hong Kong yang lebih bersifat all rounder tanpa mengira siapa. Siapa yang berada berhampiran lokasi untuk mengangkat barang maka dialah yang akan membantu. Bahkan Jackie menyifatkan tenaga kerja Hollywood agak perlahan. Jika pengarah meminta sesuatu perkara, sudahlah ia hanya akan diambil oleh pekerja yang berkenaan sahaja, mereka juga tidak mempunyai sifat kesegeraan ataupun sense of urgency. Berbeza di Hong Kong, pengarah bertempik sekali sahaja sudah cukup membuatkan pekerja kelam kabut.

Sebenarnya banyak kisah Jackie yang menarik yang perlu anda sendiri membacanya untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Walau apapun kisah beliau, pasti ada pandangan yang tidak menyamai dengan kita di sini sama ada dari segi ugama ataupun budaya. Yang penting mana yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.


......frust juga Jackie tak sebutpun beliau dapat Dato' dari Kerajaan Melaka serta pengalaman merakam Police Story Supercop di Malaysia!!


Khamis, 2 Julai 2020

KLIBF 2020 @ SHOPEE



Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlansung hanya sembilan hari sebelum bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 (KLIBF 2020) pastinya menghampakan jutaan peminat buku di Malaysia. Pesta buku yang menarik lebih dua juta pelawat setiap tahun itu terpaksa dibatalkan gara-gara wabak Covid-19. Pastinya para pempamer telahpun membuat persediaan rapi serta mengadakan stok yang banyak untuk tujuan tersebut. Namun untuk mengadakan juga pesta ini dalam masa terdekat nampaknya tidak ada jalan untuk ia menjadi kenyataan.

Justeru pihak berkenaan dengan kerjasama Shopee telah mengambil inisiatif untuk mengadakan juga KLIBF 2020 secara atas talian. Pesta ini telahpun bermula pada 25 Jun yang lalu dan akan berakhir pada 8 Julai. Hamba pasti tidak ramai yang tahu mengenai perkembangan ini terutama jika anda jarang membuka Shopee atau iklan KLIBF ini tidak lalu di laman sosial anda.

Sebagai peminat buku, hamba mencuri-curi masa untuk melihat buku-buku yang diiklankan serta ada membuat sedikit pembelian. Pembelian di atas talian tidaklah begitu menyeronokkan hamba sebenarnya. Hamba rindu akan bauan buku yang baru. Tidak berpeluang untuk melihat timbunan jutaan buku baharu serta ruai-ruai pameran yang mempunyai ciri dan keunikan masing-masing. Menelusuri laman Shopee kadangkala agak terganggu apabila talian tidak berapa baik. Apabila masa menunggu terlalu lama untuk melihat sesuatu laman muncul, hamba terus tutup sahaja telefon atau web berkenaan. Walaupun diwar-warkan ada tarikan diskaun, hamba lihat ia tidak seperti di pameran fizikal. Paling hebatpun cuma 20%. Lebih daripada itu tidak banyak. Bahkan buku yang hamba beli dengan harga sekitar RM5 pada pameran yang lalu dijual di Shopee dengan harga sebenar. Inilah antara kekurangannya berbanding pameran fizikal. Di pameran fizikal kita dengan mudah boleh menemui harga yang amat murah pada buku-buku yang lelah lama penerbitannya. Kadangkala ia diberikan percuma apabila kita membuat pembelian yang banyak. Ia tidak berlaku di atas talian. Selain itu hamba percaya para pembeli akan mengambil kira sekali harga bagi kos pengeposan. Tidak semua pempamer memberikan tawaran pengeposan percuma. Bagi yang memberikan kos pengeposan percuma, akan mensyaratkan pembelian pada kadar tertentu seperti melebihi RM19, RM50 atau RM100. Bahkan yang memberikan tawaran seperti itupun masih ada kekangannya. Kadangkala ia hanya dapat dinikmati sekiranya pelanggan membayar menggunakan Shopee Pay sahaja dan tidak pada cara yang lain.

Kerana itu kali ini hamba hanya dapat membeli beberapa buah buku sahaja. Sedangkan pada pameran yang lalu biasanya beg yang hamba bawa akan penuh dan ditambah lagi dengan beg-beg yang lain. Pendek kata bukan dua tangan sahaja yang penuh, bahkan di belakang pundak pun penuh beg dengan buku.

Jadi pembeli perlulah memilih dengan bijak. Hamba turut membuat perbandingan dengan laman web penerbit sendiri. Ada juga penerbit buku yang mengadakan tawaran istimewa di laman mereka dan tiada dalam Shopee. Banyak buku yang hamba ingin beli tetapi terpaksa hamba pendamkan dulu dan bercita-cita untuk membelinya pada masa yang akan datang. Mungkin pada hari-hari akhir KLIBF 2020 nanti akan ada tawaran lagi. Jadi boleh simpan dahulu dan lihat pada hari tersebut.

Walau apapun, marilah kembali tanamkan minat membaca. Tidak rugi melabur wang untuk buku.

Ini sahaja hasil tuaian di Shopee. Itu pun tiga buah dari ini hamba beli terus dengan penerbit.

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...