Sebelum ini ramai yang tanya hamba, KENITRA tidak dijual di Shopee kah? Maka sekarang pihak penerbit hamba dengan sukacitanya telah meletakkan buku ini untuk jualan di platform Shopee. Jangan teragak-agak untuk mendapatkannya di sini - https://shopee.com.my/Kenitra-by-Mizhar-Mazlan-i.358438122.20602175780?sp_atk=c22dd4cc-2669-4275-98cb-6acda5d76fe6&xptdk=c22dd4cc-2669-4275-98cb-6acda5d76fe6
Rabu, 18 Mei 2022
KAPAL TERAKHIR DI DUNIA : EPISOD III - Teme Abdullah
Selasa, 17 Mei 2022
KAPAL TERAKHIR DI DUNIA : EPISOD II - Teme Abdullah
Isnin, 16 Mei 2022
KAPAL TERAKHIR DI DUNIA : EPISOD I - Teme Abdullah
WIRA KERA - KEMBARA KE UTARA - Hafiz Ismail
Isnin, 9 Mei 2022
IAKAH SALMAH - Ahmad Rashid Talu
Karya seperti buku ini mungkin antara sebilangan kecil karya lama yang masih lagi diterbitkan serta sampai kepada pembaca hari ini. Seharusnya sekalung penghargaan diberikan kepada pihak penerbit yang menerbitkan semula karya-karya seperti ini.
Iakah Salmah tulisan Ahmad Rashid Talu ditulis sekitar tahun 20-30an, sebelum zaman perang dunia lagi. Agak sukar juga untuk saya membayangkan keadaan pada zaman itu. Justeru di setiap penceritaan, saya hanya boleh membayangkan keadaan masyarakatnya sama dengan era 50 atau 60an seperti yang boleh dilihat pada filem-filem lama. Tapi saya yakin bahawa cara pemakaian serta keadaan pada era 20an tentunya jauh berbeza dengan era 50 dan 60an.
Jalan cerita buku ini sebenarnya mudah sahaja. Perbuatan Bakar yang membantu Salmah yang kemalangan di hadapan rumah beliau telah disalah ertikan oleh Malikun, bakal bapa mertua Bakar. Bakar telah diusir keluar dari rumah dan membawa diri ke Singapura. Apabila keadaan sebenar telah diterangkan oleh Salmah, maka menyesallah Malikun dan bermulalah kisah pencarian Bakar untuk memujuknya pulang.
Ahmad Rashid Talu juga membawa pembaca ke masa lalu, sebelum kisah Bakar membantu Salmah, dengan menceritakan kisah bagaimana bapa Salmah, Hussain, berkahwin dengan ibunya dan kemudian meninggalkannya berbelas tahun tanpa khabar berita. Namun bukanlah tujuan penulis untuk menunjukkan penderitaan Salmah atau ibunya sepanjang ketiadaan Hussain. Salmah sepanjang itu tumbuh baik dan menjadi seorang anak yang cerdik.
Salmah di dalam penceritaan ini hanyalah seorang anak gadis kira-kira 15 tahun, telah lulus junior cambridge. Walaupun begitu beliau adalah seorang gadis yang bijak, petah bercakap dan dapat memberikan idea-idea yang bernas. Salmah juga dapat bercakap tentang hal agama dengan baik. Jika diteliti akan pandangan beliau tentang kemajuan orang Melayu, kelihatan pemikiran beliau terlalu matang berbanding dengan usianya. Dapat kita rumuskan bahawa Salmah sebenarnya membawa pemikiran Kaum Muda (sila rujuk sejarah tentang Kaum Muda dan Kaum Tua) yang mahukan kemajuan pada pemikiran dan hidup orang Melayu. Kaum Tua pula boleh diwakili oleh watak Malikun yang dilihat agak konservatif.
Kisah Iakah Salmah seolah-olah diceritakan oleh pena, dakwat dan kertas. Ahmad Rashid kadangkala menulis cukup pendek untuk sesuatu bab, dan adakalanya amat panjang. Bahasa yang digunakan tentulah sesuai dengan era berkenaan yang kadangkala hamba sendiri terpaksa membacanya dua kali bagi memahamkan perkara yang hendak disampaikan. Tapi dapat hamba katakan bahawa karya ini boleh dikatakan genius jika difikirkan tentang zaman ianya ditulis yang tentunya segala sumber maklumat serta perhubungan tidak seperti hari ini. Pembaca akan dibawa merayau oleh Ahmad Rashid di Selangor, Pulau Pinang, Singapura dan Kelantan.
Kisah ini bukan sahaja berakhir dengan happy ending dengan kembalinya Bakar. Tetapi Bakar dapat berkahwin dengan Nahariah dan Salmah juga berkahwin dengan Zainin, adik Bakar. Seperti yang disebutkan di awal tadi, Salmah hanyalah seorang gadis berusia 15 tahun. Justeru diperlihatkan bahawa di zaman ini perkahwinan dalam usia muda bukanlah satu isu besar. Kesemua watak ini kemudiannya mengeluarkan catatan mereka yang kemudiannya disatukan sehingga menjadi kisah Iakah Salmah ini.
Mungkin generasi hari ini tidak dapat mengikuti dengan baik rentak penulisan era 20an, tetapi buku ini amat bernilai untuk dibaca dan hayati isi kandungannya.
SCOOPERS - Hyrohiku
Ketika membelinya secara atas talian, hamba tidak mengetahui bahawa komik ini adalah merupakan bahagian yang kedua. Ini kerana kulit mukanya tidak menyampaikan maklumat berkenaan. Hanya apabila telah mula mebacanya baharulah ada kenyataan bahawa ini adalah merupakan bahagian yang kedua. Jadi tiadalah hamba tahu akan kisah permulaan komik ini. Agak tidak seronok membaca dari tengah tanpa tahu kisah permulaannya.
Walaupun hamba tidak begitu dapat mengikuti perjalanan komik yang dipenuhi dengan makhluk atau binatang-binatang aneh ini, namun hamba memuji akan hasil lukisan Hyrohiku yang begitu cantik dan kemas. Gaya serta tona yang beliau gunakan, begitu juga dengan perincian lukisan mungkin menyebabkan orang menyangka bahawa pelukisnya adalah orang Jepun sendiri. Mungkin kalau beliau berada di Jepun, beliau sudah menjadi antara mangaka yang berpengaruh. Jadi, walaupun hamba tidak enjoy dengan cerita (disebabkan tak tahu cerita permulaannya) hamba enjoy dengan lukisan Hyrohiku.
Kalau tak mahu baca pun, komik beliau sekurang-kirangnya boleh buat rujukan untuk belajar melukis!
AKU, KAU & ROBOT NUSANTARA
Ada 10 buah komik hasil tangan 10 orang komikus yang bercerita tentang robot + elemen nusantara. Dalam hal ini hamba lihat hampir kesemua komikus seolah mengistilahkan nusantara itu sebagai 'kehidupan alam Melayu masa lampau atau purba'! Sedangkan nusantara itu maksudnya alam atau kepulauan Melayu, tidak kira masa lampau atau masa hari ini. Jadi dengan mengecilkan takrif nusantara itu kepada kehidupan zaman purba tidaklah begitu tepat. Hampir lansung tiada komikus yang melukis tentang keadaan nusantara pada hari ini, alam Melayu yang luar daripada Malaysia seperti Selatan Thai, Indonesia, Temasik ataupun Filipina, kecuali Prem Adimusha melalui 'Ro.Bongkok' yang menjadikan Shah Alam sebagai latar tempat dan Ben Wong melalui 'Silat Boy : Robot Pendekar'. Cuma untuk karya Silat Boy ini seperti yang pernah hamba ulaskan sebelum ini, latar masanya tidak begitu jelas. Walaupun nampak seperti berada pada masa hari ini, ia juga lebih kelihatan seperti masa lalu.
Walau apapun, kesemua komikus mempunyai tafsiran masing-masing melalui tajuk yang telahpun ditentukan oleh penerbit. Kebanyakan robot, dek kerana bertemakan nusantara, turut diberikan tanjak dan bersenjatakan keris. Tetapi ada satu dua lukisan robot bertanjak ini yang hamba lihat begitu mantap dan nampak berwibawa. Lebih-lebih lagi hiasan kulit mukanya oleh Just Jimi19. Sayangnya Just Jimi19 hanya membuat ilustrasi kulit dan tiada sumbangan komiknya di dalam antologi ini.
Jadi inilah komik yang menjadi hidangan mata hamba sepanjang minggu hari raya. Enak dilihat, sedap di hadam walaupun tak boleh dimakan! Salam Syawal!
PERJUDIAN - S. Othman Kelantan
Karya-karya para Sasterawan Negara banyak yang berkisar mengenai kehidupan rakyat dan kesusahan mereka. Kehidupan mereka digambarkan dengan begitu berkesan sehingga para pembaca dapat merasai akan keperitan yang dilalui oleh watak-watak di dalam penceritaan. Selain itu ia juga memberikan gambaran akan keadaan yang dilalui oleh masyarakat pada masa lalu yang mungkin tidak berapa sama dengan keadaan hidup pada hari ini. Karya-karya Datuk A. Samad Said misalnya banyak yang menggambarkan keperitan hidup semasa dan selepas pendudukan Jepun. Ia bukan sekadar penceritaan bahkan merupakan pengalaman yang pernah beliau sendiri lalui secara lansung. Penceritaan ini membolehkan masyarakat yang hari ini hidup dalam aman dan damai mengetahui bahawa pada satu ketika dahulu, rakyat negera ini pernah mengalami satu pengalaman yang amat memeritkan.
Beberapa karya S. Othman Kelantan menggunakan latar tempat negeri kelahiran beliau sendiri sebagai lokasi penceritaan. Dalam karya ini beliau menggambarkan tentang perjuangan seorang rakyat biasa yang diwakili oleh Pak Mat dan keluarganya untuk hidup dengan meneroka hutan. Hutan-hutan diteroka, dibersihkan dan dimajukan dengan aktiviti perladangan. Hutan ini diteroka secara haram tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa. Pak Mat hanya mengikuti langkah sahabatnya Daud dan merasakan perbuatannya meneroka hutan itu tidak akan mendatangkan masalah apa-apa kepadanya.
Perjuangan Pak Mat tidaklah mudah. Anak dan isteri beliau mati ketika Pak Mat masih lagi gigih berusaha mengerjakan tanahnya. Keduanya mati akibat dipatuk ular catraya. Pak Mat akhirnya tinggal berdua dengan anak gadisnya, Siti Sarah.
Masalah mula timbul apabila kerajaan mengeluarkan notis perpindahan kepada kesemua peneroka tanah berkenaan. Pak Mat menjadi gusar. Wakil rakyat yang pada mulanya dilihat boleh menjadi tempat bergantung para peneroka ini akhirnya membiarkan saja mereka terkapai-kapai. Pak Mat sendiri telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap apabila melakukan demonstrasi di hadapan Dewan Undangan Negeri.
Pak Mat hanyalah orang biasa yang lemah, tidak mempunyai kuasa dan tidak dipedulikan sesiapa. Novel ini memberikan pengajaran sinis secara tidak lansung. Orang yang mempunyai kuasa amat mengharapka sokongan rakyat apabila tiba musim pilihanraya. Namun apabila rakyat memerlukan mereka pula, wakil rakyat ini hanya pandai bermain muka dan membelitkan kata-kata sebelum akhirnya meninggalkan orang yang pernah memberikan undi kepadanya.
Orang-orang yang lemah seperti Pak Mat masih ada pada hari ini. Situasinya mungkin berbeza tetapi penderitaannya tetap sama.
KISAH LATIFAH - Maria Kajiwa
Apabila membaca di bahagian sinopsis di kulit novel, Maria menggunakan latar tempat 'kem tahanan Perang Dunia Kedua di atas sebuah buk...

-
Novel ini dikatakan pernah menjadi novel terlaris pada zamannya. Dikatakan juga novel ini kini boleh dijual dengan harga yang lebih ting...
-
Pertama kali membacanya adalah semasa zaman sekolah hampir 30 tahun yang lalu. Hamba membacanya sekali lagi kerana tahu bahawa novel ini s...
-
Blues Untuk Aku, sebuah kisah yang penamatnya menjadi misteri buat pembacanya. Hanya penulis dan pelukisnya sahaja yang tahu akan kesudaha...