Jumaat, 31 Disember 2021
SATU HARI DI SEKINCHAN
Ahad, 12 Disember 2021
DAUN PAKU UNGU : KEMBARA MARISAH - Oli Baharom
"Insya Allah saya akan baca. Tapi saya minta sedikit waktu memandangkan ada beberapa buku lagi yang 'beratur' menunggu untuk dibaca". Suria tersenyum dan memberikan kebebasan untuk hamba memilih masa bagi memulakan pembacaan naskhah ini.
Membaca bab yang pertama sahaja sudah memberikan bayangan kepada hamba bahawa penulis novel ini bukanlah calang-calang orangnya. Susunan ayat dan gaya bahasa yang digunakan membuatkan hamba merasakan seolah-olah sedang membaca karya-karya sastera penulis 80an yang terkenal dengan gaya penulisan yang menggunakan susunan ayat dan gaya bahasa yang menarik.
Bap pertama ini juga berjaya memperkenalkan watak utamanya yang bernama Marisah dengan lengkap sekali. Dapat difahami bawa watak ini adalah seorang yang pendiam, tidak banyak bersosial tetapi mempunyai sifat mengambil berat yang tinggi. Sifatnya yang pendiam ini banyak dipengaruhi oleh pengamalam beliau yang membesar tanpa keluarga di sisi.
Novel ini adalah kisah kembara ke dimensi yang berlainan. Tidak ada sebarang mesin yang terlibat. Alat perantaranya adalah sehelai daun paku yang berwarna ungu. Daun paku yang dibawa semasa tidur ini adalah kunci untuk membawa pemegangnya mengembara ke dimensi lain atau lebih tepatnya Tanah Mawlah.
Dimensi lain ini adalah umpama kehidupan pada zaman lampau, manusia yang tinggal di kota tanpa sebarang peralatan moden. Orang-orangnya bertutur dalam bahasa Melayu, berpakaian seperti orang Melayu, ada yang beragama Islam dan ada yang tidak.
Orang seperti Marisah digelar musafir mimpi, satu fenomena yang tidak asing di Tanah Mawlah. Mereka yang tiba akan terdampar di Padang Takdir sebelum boleh meneruskan perjalanan ke Kota Dua Marhalah. Musafir mimpi hanya boleh berada di dunia ini selama tiga hari sahaja dan akan kembali ke dunia asal selepas tamat tempoh tersebut. Dan apabila kembali, jarak masa yang mereka tinggalkan sewaktu mula tidur dahulu hanyalah satu minit sahaja! Walau bagaimanapun, apa yang berlaku kepada mereka sewaktu di dimensi lain ini seperti kecederaan akan tetap dibawa ke dunia asal.
Agak malang kerana Marisah tiba sewaktu Kota Dua Marhalah di ambang peperangan dengan Tentera Selatan. Tentera Selatan pula telah mendapat kekuatan yang berganda hasil gabungan dengan tentera Kota Marwan yang diperolehi melalui cara yang amat keji. Jadi sepanjang tiga hari itu Marisah berada dalam keadaan seperti seorang pelarian bersama dengan Amar, pemuda yang ditemuinya di Padang Takdir sewaktu beliau sedang dikejar oleh tentera selatan.
Dari sini kisah mula berkembang dengan penceritaan watak-watak lain seperti konflik yang berlaku terhadap raja Rustam, pemerintah Kota Marwan, Keadaan Kota Dua Marhalah dan penghuninya, watak Burkan sebagai ketua tentera selatan yang ada hubung kait dengan Amar, kembar Amar yang bernama Azizi serta ibu mereka berdua yang bernama Bainun - juga seorang musafir mimpi.
Selain daripada konflik yang dihadapi oleh Marisah di Tanah Mawlah, beliau juga berhadapan dengan satu lagi permasalahan yang melibatkan jiran beliau, Ain yang selalu menjadi mangsa dera suaminya. Sifat prihatin Marisah ini membuatkan beliau cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Ain.
Tempoh Marisah di Tanah Mawlah tamat apabila hampir sahaja sebilah pedang menamatkan nyawanya. Kepulangan beliau membuatkannya selalu berfikir akan nasib Amar yang telahpun cedera dipanah sebelum beliau kembali ke dunia nyata. Ini membuatkan Marisah bertekad mahu mencari lagi daun paku ungu bagi membolehkannya kembali lagi. Ketika inilah penulis memunculkan watak Azizi, kembar Amar yang berada di dunia nyata yang akan menyebabkan punggung pembaca panas menanti apa yang akan berlaku seterusnya.
Novel ini menjadi panjang kerana hamba lihat penulisnya begitu teliti di dalam penulisan dan mahu setiap persoalan di kepala pembaca akan terjawab. Ini dapat hamba rasakan apabila beberapa persoalan yang timbul di kepala akan ada jawapan di mukasurat yang mendatang.
Cuma satu persoalan timbul tidak berjawab apabila Marisa berjaya membawa Ain menjadi seorang musafir mimpi. Ain yang hampir maut didera suaminya telah dibawa ke Tanah Mawlah bagi menyelamatkan nyawanya. Marisah mahu Ain kekal di situ dan bagi membolehkan Ain kekal, beliau harus berkahwin dengan orang di sana. Persoalan hamba ialah ketika itu Ain masih lagi menjadi isteri Farid dan hamba tidak berjumpa sekiranya Farid ada melafazkan talak. Jika ada sekalipun, Ain masih lagi terikat dengan tempoh edah. Begitu juga sekiranya pernikahan Ain dileraikan secara fasakh, namun tidak disebutkan di novel ini. Hamba timbulkan perkara ini kerana dikatakan penghuni Kota Dua Marhalah amat kuat mengamalkan sunah dan ajaran agama. Jadi adakah sah pernikahan Ain ini?
Novel ini adalah sebuah karya bermutu yang amat esuai untuk bacan umum. Untuk mendapatkannya pembaca boleh menghubungi alamat e-mel daunpakuungu@gmail.com.
Rabu, 8 Disember 2021
PESTA BUKU SELANGOR 2021
Tiada yang lebih mengujakan bagi seorang peminat buku apabila melihat pesta buku kembali diadakan. Setelah hampir dua tahun kobid menyerang, barulah kali ini pameran sedemikian dapat diadakan. Tahniah kepada negeri Selangor kerana memulakannya.
Hamba datang dua bas kecil bersama dengan kakitangan pejabat. Terpaksa mengadakan dua buah bas berbanding sebuah bagi memenuhi tuntutan SOP semasa. Seperti biasa apabila ke pesta buku, hamba sudah bersiap sedia dengan beg sandang. Lebih mudah untuk memasukkan buku-buku yang telah dibeli ke dalam beg berbanding menjinjing beg plastik yang banyak di kiri dan kanan tangan. Ya, ulat buku pergi ke pesta buku tidak akan membeli setakat sebuah dua sahaja tetapi akan membeli selagi mereka larat membawanya.
Seperti kebiasaannya setiap ruang di SACC ini akan digunakan dengan sepenuhnya untuk mengisi gerai-gerai pameran. Beberapa syarikat besar seperti biasa akan turut serta. Tetapi hamba agak kecewa kerana gerai mereka agak kecil berbanding biasa dan tidak membawa tajuk yang banyak. Gerai-gerai buku yang lain pula memberikan pilihan yang banyak bersama harga yang istimewa. Walaupun dikatakan orang sudah mula hilang minat kepada buku dan beralih kepada medium digital, tetapi hakikatnya peminat buku masih ramai. Satu perkara yang hamba seronok ialah apabila ada beberapa penerbit yang berani menterjemahkan beberapa buah buku berbahasa asing ke dalam bahasa Melayu. Budaya penterjemahan ini tidak harus diserahkan kepada ITBM sahaja dan perlu diperluaskan. Beberapa karya lama hasil tulisan penjajah Inggeris juga ada yang diterbitkan kembali serta ada yang diterjemahkan. Buku-buku ini jikalau dalam bentuk cetakan asalnya telah mencapai harga yang tinggi. Penerbitannya semula memberikan peluang kepada generasi hari ini untuk menilai pemikiran dan pandangan penjajah terhadap tanah air kita sewaktu penjajahan dahulu. Secara tidak lansung, sejarah tanah air (walaupun dari sudut pandangan mereka) akan dapat diketahui, dikaji dan dipelajari.
Sebagai pembeli, hamba tentunya mahukan harga dan tawaran yang terbaik. Ada tajuk-tajuk yang hamba bandingkan harganya di pameran dengan harga yang dijual laman web. Ada buku yang hamba lihat lebih menarik harganya di laman web. Lantas hamba beli di atas talian sahaja. Tetapi rata-rata pempamer memberikan diskaun yang menarik dan ada yang memberikan hadiah kepada pembeli. Seperti biasa Pesta Buku Selangor mengadakan cabutan bertuah untuk pengunjung. Jadi, sila simpan resit anda!
Ayuh kita memberikan sokongan kepada para pempamer kali ini. Tidak rugi membeli buku dan tidak rugi rajin membaca. Sokongan anda kali ini bukan sahaja bagi melestarikan budaya minat membaca di kalangan masyarakat tetapi turut sama membantu golongan penulis dan penerbit buku yang sama tejejas pendapatan mereka disebabkan kobid ini.
Selamat memburu buku!
gambar-gambar, kredit kepada Budin dan Kesukeb ILKKM Sungai Buloh
CORAT CORET UTM - Lat, Mie, Amir Astar
Buku ini saya perolehi semalam di Pesta Buku Selangor yang akan berlansung sehingga 12 Disember ini. Ada 3 naskhah sahaja semalam di gerai UUM, dua kulit keras dan satu kulit nipis. Satu naskhah kulit keras saya dah rembat. Di laman internet buku ini telah ada orang yang menjualnya dengan harga yang mahal walaupun buku mereka itu dikira terpakai sedangkan naskhah baharu masih lagi terjual.
Apabila sebuah pusat pengajian tinggi dan berprestij menerbitkan buku kartun seperti ini, ia memberikan mesej bahawa medium kartun boleh dijadikan sebagai wadah penyampaian mesej dan maklumat yang berkesan. Kartun yang baik akan dapat menyampaikan terus maksudnya dalam masa beberapa saat dilihat.
Ketiga-tiga pelukisnya - Lat, Mie dan Amir Astar mempunyai kaitan secara lansung dengan UTM. Lat pernah menjadi Karyawan Tamu UTM. Manakala Mie dan Amir Astar adalah alumni UTM. Ketiga-tiga mereka melukis tentang UTM dari sudut pandangan masing-masing dengan gaya yang tersendiri.
Melalui Mie kita dapat melihat suasana kampus UTM sewaktu masih berada di Jalan Gurney. Amir Astar pula memperlihatkan suasana kampus setelah berada di Skudai. Manakala Lat pula tampil dengan suasana semasa UTM.
Sebagai kartunis senior, jelas idea dan gaya penyampaian Lat mengatasi kedua kartunis tadi. Maka tidak hairan dua universiti telah menganugerahkan gelaran Doktor Kehormat ke atas kartunis veteran ini.
Walau apapun, usaha UTM ini telah mengangkat kedudukan seni kartun di Malaysia serta memberikan penghargaan secara tidak lansung kepada alumni mereka. Usahlah lihat kartun dari sudut hiburan sahaja tetapi belajarlah menghayati seni lakaran serta seni menyampaikan mesej melalui lakaran yang kadangkala sinis!
Sabtu, 27 November 2021
UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA SANTET
Fuhhh lain macam edisi kali ini, macam kitab khas sihir pula. Ujang & Apo? bumper new-stalgia kali ini hadir dengan kulit depan yang lain daripada yang lain. Kulit depan mereka adalah sekeping kad lenticular yang memaparkan imej 3D Dukun Petai yang dikelilingi oleh pelbagai jembalang. Watak Dukun Petai berkenaan juga adalah satu tribute buat kartunis Petai yang telah meninggalkan kita semua beberapa bulan yang lalu.
Bila membicarakan jenaka tentang hantu, ilmu hitam dan sebagainya yang bersesuaian dengan tema, pada awalnya hamba menjangkakan persembahan para kartunis, daripada segi ideanya, lebih kurang sama sahaja dengan karya-karya hantu yang pernah hamba baca sebelum ini. Namun agak memeranjatkan apabila idea mereka untuk edisi ini nampak segar dan mantap. Boleh rujuk karya seperti Aliow dengan Food Trail, Rambai dengan Malam Itu....Malam Puaka!!, Lambok dengan Pasar Setan dan lain-lain. Karya Aliow yang paling best bagi hamba daripada segi idea dan jalan ceritanya, sama seperti siri Twilight Zone.
Seperti terbitan yang lalu, karya-karya baharu masih dipersembahkan dengan beberapa karya lama yang dipetik daripada Ujang isu 50 dan 51 serta Apo? isu 50 dan 51. Hamba rasa edisi bumper ini sudah boleh berdiri dengan sendiri tanpa perlukan pengisian karya-karya lama. Tapi mungkin juga penerbit masih mahu pembaca mengingati karya-karya lama ini atau juga sekiranya ia dipenuhi dengan kartun-kartun baharu maka penerbit akan terbeban untuk membayar honorarium kartunis.
Hamba mengharapkan majalah ini dapat muncul setiap bulan secara berkala seperti dahulu dan tidak lagi muncul sekali sekala.
Legasi kartun tanah air harus terus hidup!
Selasa, 9 November 2021
HAIWAN AJAIB DAN TEMPAT DITEMUI - J.K. Rowling
Buku ini merupakan terjemahan bahasa Melayu kepada Fantastic Beasts And Where To Find Them. Ia adalah merupakan skrip asal kepada sebuah filem yang menggunakan tajuk yang sama. Ketika membaca buku ini hamba belum lagi menonton filem berkenaan walaupun ia telah begitu lama diterbitkan.
Penceritaan buku ini berlatar masa 50 tahun sebelum Harry Potter dan berlatar tempat di bandaraya New York. Seorang lelaki bernama Newt yang ingin memulangkan seekor haiwan bernama Frank, seekor burung Thunderbird di hutan Arizona telah menghadapi masalah apabila beberapa haiwan ajaib beliau yang disimpan di dalam sebuah beg telah terlepas sehingga menimbulkan keributan di New York. Beg berkenaan adalah sebuah beg ajaib yang boleh dimasuki manusia. Walaupun ia kelihatan kecil seperti saiz beg biasa tetapi di dalamnya mempunyai keluasan yang tidak terjangkau oleh pandangan.
Akibatnya Newt terpaksa berhadapan dengan MACUSA - Kongres Kuasa Ajaib Amerika Sharikat. Petualang selanjutnya akan menyaksikan Newt bersama-sama watak Tina, Jacob dan Queenie menghadapi pelbagai cabaran. Dalam naskhah ini watak crooknya adalah Graves aka Grindelwald.
Membaca naskhah berbentuk skrip tidaklah terlalu menarik berbanding membaca kisah dalam sebuah novel. Membaca skrip memerlukan daya imaginasi yang tinggi bagi membayangkan apa yang berlaku. Hanya setelah menonton filemnya barulah hamba dapat memahami dengan baik apa yang disampaikan oleh Rowling lewat skrip ini.
Sama ada naskhah ini ataupun siri Harry Potter yang lain, JK Rowling telah berjaya mengelirukan kita dengan memberikan imej putih atau bersih buat pengamal sihir. Sedangkan pada zaman dahulu para ahli sihir akan dihukum bunuh oleh gereja. Dalam naskhah-naskhah beliau ahli sihir digambarkan sebagai banyak yang baik dan mereka menentang kejahatan juga. Tidak salah untuk membaca kisah sebegini, tetapi perlu diingat apa yang terlarang itu tetap terlarang dan pelakunya sama sekali bukanlah orang yang baik!
MISTERI TAMING SARI - Ibnu Ibrahim at-Tawari
Hamba capai buku ini di rak kedai dan membelinya. Hajatnya ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang keris ini. Hamba tidak peduli dengan apa misteri yang ada pada keris ini. Hamba cuma ingin tahu sejarahnya dengan lebih lanjut. Pada sinopsis di bahagaian belakang buku ini terpapar tulisan penulis - 'Setelah banyak jejak sejarah yang tentunya bersimpang siur yang ku telusuri, akhirnya aku telah berjaya juga merungkai Misteri Keris Taming Sari ini....' Kata-kata ini membayangkan penulis akan memaparkan kepada pembaca segala-galanya tentang keris ini. Melihatkan saiznya yang tebal, tentunya ada banyak maklumat yang ingin penulis kongsikan.
70 mukasurat yang pertama, belum ada lagi pengkisahan tentang keris ini. Ia lebih kepada celoteh penulis tentang kepentingan mempelajari sejarah serta rasa kesal dengan sesetengah individu hari ini yang tidak mengambil berat atau mengambil kisah tentang sejarah. 70 mukasurat bukanlah helaian yang sedikit.....
Selepas itu baharulah penulis berkisah tentang keris ini. Tetapi secara peribadi, apa yang penulis paparkan tentang cerita keris ini telah hamba ketahui melalui beberapa sumber yang lain. Sumber utamanya sudah tentulah Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.Penulis juga cenderung mengulang-ulang semula kisah yang sama iaitu seperti dari mana asal keris ini, kepunyaan pahlawan Majapahit bernama Taming Sari, bagaimana Hang Tuah mendapatkannya, kisah keris berpindah milik kepada Hang Jebat sewaktu Tuah dihukum bunuh, kisah keris ini yang pernah dicuri Sang Kertaksa, pertarungan Tuah Jebat, kisah Hang Tuah memulangkan keris ini kepada Sultan/mencampakkannya ke dalam Sungai Duyong kerana gagal meminang Puteri Gunung Ledang, bagaimana Taming Sari menjadi alat kebesaran diraja Perak dan lain-lain. Ia diulang berkali-kali. Misteri tentang keris berkenaan boleh terbang misalnya tidak dihuraikan secara saintifik sama ada benar ataupun tidak. Begitu juga pemakai keris ini dikatakan kebal tidak juga dibuktikan. Ini menjadikan ia terus kekal misteri sekaligus menafikan kata-kata penulis bahawa misterinya telah terungkai.
Selepas itu tiada lagi kisah keris ini. Ia hanya dilanjutkan dengan bab yang dikatakan 'ada kaitan dengan keris ini' seperti pertikaian sama ada Hang Tuah itu benar-benar wujud, pertikaian namanya Hang Tuah atau Hang Tuha dan lain-lain. Kisah ini juga diulang-ulang oleh penulis beberapa kali.
Kemudian diceritakan secara ringkas tentang negeri Melaka dan juga Majapahit 'memandangkan ia ada kaitan dengan keris ini'!. Dari segi persembahannya sebagai sebuah buku sejarah, buku ini memang bermanfaat. Tetapi menamakannya dengan tajuk ini ternyata agak menyeleweng kerana penceritaan tentang Taming Sari tidaklah terlalu banyak. Naskhah ini lebih sesuai diberikan nama sejarah ringkas Melaka dan Majapahit. Tapi ya lah, jikalau tajuk yang demikian diletakkan tiada pula yang akan membelinya. Maka apabila diletakkan perkataan misteri baharulah nampak tarikannya buat pembeli kan!
Isnin, 25 Oktober 2021
KEMBARA DARUS SENAWI 1963 - Darus Senawi & Izzat Ibrahim
Hamba tidak dapat menahan diri daripada mencapai buku ini dan melihat isi kandungannya. Lagipun ini kali pertama hamba memasuki kedai buku selepas berbulan-bulan kita berada dalam PKP. Memasuki kedai buku dan membelek-belek buku yang dipamerkan di atas rak jualan adalah satu nikmat yang hanya penggemar buku sahaja yang tahu.
Hamba tidak kenal siapa di sebalik nama Darus Senawi. Nama yang kelihatan klasik ini begitu memanggil-manggil, apatah lagi kisah kembaranya berlaku pada tahun 60an, satu zaman yang hamba masih belum lagi dilahirkan. Tentunya mempunyai kisah dan pemandangan yang amat berbeza dengan suasana hari ini. Apatah lagi sebuah kembara yang berlaku di zaman manusia tidak semudahnya mendapatkan pelbagai maklumat kembara seperti di hari ini.
Ini adalah sebuah kembara luar biasa seorang pemuda bernama Darus Senawi dalam usaha untuk menuntut ilmu di Universiti Al- Azhar, Mesir. Kisah pengembaraan ini lebih banyak tertumpu di awal kembara, dan sesudah beliau menamatkan pengajian. Di samping itu sedikit kisah sewaktu belajar di Perlis dan di Universiti Al-Azhar sendiri turut dipaparkan.
Ustaz Darus Senawi amat meminati bahasa Arab. Apabila beliau menulis sewaktu di peringkat persekolahan lagi beliau telah membaca beberapa buah buku bahasa Arab, ia memberikan gambaran kepada hamba bahawa mutu pendidikan bahasa Arab pada zaman itu amat tinggi sekali. Sebab hamba yang bersekolah menengah agama di tahun 90an lansung tidak pernah membaca buku di dalam bahasa berkenaan apatah lagi mengkhatamkannya - kecuali buku teks persekolahan!
Penulis memulakan perjalanan menuntut ilmunya menggunakan kapal laut menuju ke India sebelum menyambung perjalanan menggunakan cara lain. Jangan bayangkan beliau menaiki kapal mewah atau yang mempunyai kabin penginapan yang bagus. Sebaliknya itu cuma kapal kargo yang penumpangnya duduk bersepah di merata-rata. Ustaz Darus memilih tempat di bawah tangga! Ini bukan pengembaraan yang mewah. Beliau bahkan tidak membawa wang belanja yang banyak. Makanan yang dibawa hanyalah setin biskut untuk tempoh tiga hari bersama sebalang kecil jem durian. Namun sedikit gendala menjadikan perjalanan melebihi tiga hari menyebabkan beliau keputusan makanan. Bacalah bagaimana ustaz mengatasi masalah perut ini.
Ustaz Darus tidak dapat meneruskan perjalanan dan tersadai di India selama empat bulan. Hidup amatlah sukar dan tersadai dalam waktu yang lama memberikan cabaran besar kepada beliau hingga hampir terjejas akidahnya. Hinggalah pada suatu hari beliau terjumpa seorang sahabatnya yang dalam perjalanan ke Mesir juga.Baharulah terbuka sedikit jalan untuk beliau meneruskan kembara.
Ustaz Darus menceritakan serba sedikit kehidupannya sebagai pelajar di Mesir yang banyak boleh kita ambil iktibar sebagai penuntut ilmu. Sebagai penuntut yang hanya mendapat sedikit biaya daripada wakaf Al-Azhar, kita boleh pelajari bahawa duit bukanlah penghalang untuk menuntut ilmu. Hidup perlu sentiasa berfikir bagi mengatasi masalah. Lebih-lebih lagi apabila berada jauh dari tanah air. Laluan sukar yang beliau tempuhi hamba lihat memberikan banyak kelebihan kepadanya di dalam mempelajari bahasa Arab.
Selepas tujuh tahun di Mesir, beliau akhirnya menamatkan pengajian. Namun bukanlah tanah air yang menjadi niat tujuan, bahakan beliau mahu melanjutkan pengajian ke Kanada pula. Sementara menunggu untuk mendapatkan tempat belajar, beliau berkelana ke Belanda bagi mencari pengalaman dengan bekerja di restoran dan kilang roti. Apabila tidak mendapat tempat di Kanada baharulah Ustaz Darus memutuskan untuk pulang ke tanah air. Ustaz darus memilih jalan darat dari Belanda hingga ke Pakistan sebelum menyambung dengan kapal terbang. Pemilihan kapal terbang itupun dibuat disebabkan adanya pergolakan di Burma ketika itu.
Satu lagi sebab hamba membeli buku ini adalah kerana hamba sendiri telah menyiapkan sebuah buku kembara hamba sendiri ketika menuntut ilmu. Ketika ini buku berkenaan telahpun berada dalam peringkat akhir penyemakan oleh pihak penerbit dan menunggu masa untuk dicetak. Harapannya buku hamba juga akan menjadi pilhan pembaca.
Khamis, 21 Oktober 2021
MANUSKRIP MELAYU YANG HILANG - Naim Tamdjis
Bangsa yang maju adalah bangsa yang mempunyai tulisan dan tradisi pembudayaan ilmu yang tersendiri. Ilmu-ilmunya dicatat dan disusun dalam sebuah buku. Melaluinya, ilmu terus berkembang merentasi masa dan zaman.
Walaupun menggunakan tajuk manuskrip Melayu yang hilang, penulis tidaklah membicarakan tentang manuskrip yang benar-benar hilang. Manuskrip yang dibicarakan penulis itu ada sahaja. Cuma sebahagian besarnya masih berada dalam keadaan teks dan fizikal yang asal. Namun tajuk buku ini sebenarnya mahu mengajak kita untuk merenung betapa disebalik manuskrip yang dibincangkan, terdapat puluhan ribu lagi khazanah ilmu bangsa kita yang 'hilang dari simpanan' anak bangsa, berada di tangan bangsa asing yang terus menerus mengkajinya sehingga kelihatan kebijaksanaan itu datang daripada bangsa mereka. Padahal kita tahu betapa rakusnya mereka membawa pulang kitab-kitab daripada negara yang pernah mereka jajahi. Mereka memang bangsa yang cerdik. Mereka tidak hanya mencuri hasil bumi negara yang mereka jajah, tetapi mereka juga mencuri pelbagai ilmu pengetahuan yang berada di dalam kitab-kitab. Mereka tahu akan kepentingan ilmu terhadap sesuatu bangsa. Ilmulah yang menaikkkan taraf sesuatu bangsa. Apabila mereka mencuri segala ilmu pengetahuan, anak peribumi terkapat-kapai terpaksa merangkak mencari semula ilmu pengetahuan dari garis mula, sedangkan mereka mencedok sehabis-habisnya, mengkaji dan akhirnya mengajarkan semula kepada kita.
Buku ini bolehlah dikatakan sebagai mukaddimah atau ilmu pengenalan dan asas kepada kitab-kitab orang Melayu. Apabila disebutkan kitab-kitab Melayu ini, ia adalah merujuk kepada seluruh pelusuk nusantara yang orang Melayu merantau di antara kepulauannya dan tidak terhad kepada Semenanjung Tanah Melayu sahaja.
Penulis ketika membincangkan tentang perihal manuskrip alam Melayu ini telah membahagikannya kepada beberapa bab seperti sastera, agama, ilmu pelayaran, sains dan teknologi, undang-undang dan sebagainya. Pada tiab-tiap perkara ini akan diberikan beberapa contoh manuskrip atau kitab beserta keterangan isi kandungannya secara ringkas. Kitab-kitab pada zaman dahulu tersebar melalui aktiviti penyalinan. Ini memandangkan ketika itu teknologi percetakan masih belum lagi wujud. Aktiviti penyalinan ini menunjukkan kerajinan orang kita, memandangkan bukanlah satu kerja yang mudah untuk menyalin sesebuah kitab, terutamanya jikalau kitab itu tebal. Apatah lagi segala alat seperti kertas dan peralatan menulis perlu dihasilkan sendiri menggunakan bahan-bahan semulajadi. Ada di antara kitab-kitab ini yang dihiasi dengan pelbagai corak pada helaian mukasuratnya, satu kerja yang sebenarnya menuntut waktu yang banyak.
Kita tahu bahawa terdapat ribuan manuskrip kita berada di luar negara. Namun yang ada di dalam negara inipun masih banyak berada dalam keadaan asal. Teks-teks ini perlu dikaji, disalin semula dan diubah gaya bahasanya mengikut gaya bahasa pertuturan pada hari ini bagi memudahkan pemahaman seterusnya meluaskan lagi sesuatu ilmu berkenaan. Di negara-negara Arab, kajian terhadap teks manuskrip ini ada yang dijadikan pengajian di peringkat master dan PhD. Sekiranya pusat pengajian di negara kita memberikan pengiktirafan sebegini kepada para pengkaji manuskrip, hamba percaya ia akan menjadi pendorong yang besar untuk ilmuwan kita untuk membuat kajian yang mendalam. Justeru kita akan dapat mengambil dan memahami kembali ilmu-ilmu bangsa kita. Jika ini terjadi, biarpun manuskrip itu hilang, ilmunya akan tertanam di dalam diri kita.
Sabtu, 9 Oktober 2021
DAMAI - Jaafar Taib
Jaafar Taib bukanlah satu nama asing bagi peminat kartun dan seni lukisan di negara kita. Terkenal dengan tenaga penting di sebalik Gila-Gila, Jaafar Taib di antara pelukis yang memiliki tangan emas di dalam penghasilan karya-karya terbaik.
Dari segi penceritaan, buku ini mungkin sesuai untuk pembacaan kanak-kanak. Tetapi dari segi persembahan visual dan grafiknya, ia tentunya lebih kepada golongan dewasa khasnya peminat seni lukisan. Damai mengandungi 213 ilustrasi berwarna yang menggunakan media campuran. Watak-wataknya dilukis seperti kartun, tetapi pemandangan hutannya dilukis dengan teliti seperti keadaan hutan yang sebenar.
Damai adalah kisah seekor anak gajah yang telah kematian ibu dan bapanya. Kawasan Hutan Simpan Lesong secara tiba-tiba dilanda satu wabak yang menyebabkan banyak haiwan mati secara tiba-tiba. Ini termasuklah pemimpin sekalian binatang ini, seekor gajah bernama Wirasaka. Sebelum mati, Wirasaka sempat meninggalkan amanah agar semua haiwan berpindah dengan segera ke Taman Negara untuk mengelakkan lebih banyak kematian.
Maka berpindahlah segala haiwan yang ada. Memandangkan isteri Wirasaka yang bernama Inoi sedang mengandung, maka dia tinggal di Hutan Simpan Lesong dan hanya akan menyusul selepas melahirkan anaknya nanti. Inoi ditemani oleh seekor monyet bernama Pak Mai yang mempunyai pengetahuan di dalam perawatan penyakit menggunakan herba rimba.
Setelah melahirkan Damai, tidak lama kemudian Inoi juga menemui ajal, sama seperti keadaan Wirasaka. Maka berkelanalah Damai dengan ditemani Pak Mai menuju ke Taman Negara bagi bersatu dengan keluarganya yang lebih dahulu ke sana.
Di dalam perjalanan ini Damai dan Pak Mai menempuhi pelbagai pengalaman dan cabaran sebelum akhirnya sampai ke tempat yang ditujui. Aral yang melintang ini juga telah menyebabkan kematian Pak Mai yang begitu gigih menjaga keselamatan Damai.
Melalui naskhah ini, di samping himpunan lukisannya yang menarik, Jaafar Taib cuba menyampaikan mesej-mesej mengenai kepentingan menjaga khazanah hutan negara. Binatang-binatang ini mati adalah disebabkan oleh perbuatan manusia yang membuang bahan kimia dan merbahaya ke dalam sungai. Terdapat juga manusia dan pemburu haram yang menjerat binatang secara haram untuk dijual beberapa bahagian berharga tubuh mereka. Kegiatan menjerat secara haram ini juga telah menyebabkan berlakunya kecacatan kepada haiwan seperti kudung kaki akibat terkena jerat dawai kabel. Damai juga melahirkan penghargaan kepada para petugas PERHILITAN yang berusaha menjaga kebajikan dan keselamatan para haiwan di rimba.
Khamis, 7 Oktober 2021
DIA AKAN JADI MUFTI - MEMOIR HARUSSANI ZAKARIA
Sabtu, 2 Oktober 2021
DARAH DI TANDUO - Dhuha Steffa
Peristiwa pencerobohan kedaulatan negara oleh sekumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara pada tahun 2013 masih lagi segar di dalam ingatan. Tidak ada siapa yang menduga negara yang begini aman akan didatangi oleh tetamu tidak diundang yang melakukan keganasan bersenjata. Peristiwa yang berlansung dari 11 Februari 2013 sehingga 24 Mac tahun yang sama ini telah menyebabkan kerajaan melancarkan Ops Daulat demi mempertahankan kedaulatan tanah air.
Seramai 235 orang militan yang terlibat dalam pencerobohan ini. Sebilangannya mendakwa telah diperdaya oleh militan yang sebenar yang mengatakan mereka mendapat tawaran pekerjaan di sana. Kumpulan ini dihantar oleh Jamalul Kiram II yang mendakwa sebagai pewaris kerajaan Sulu. Sebenarnya Jamalul Kiram III bukanlah satu-satunya manusia yang mengaku sebagai Sultan Sulu. Terdapat beberapa individu lagi seperti Datuk Mohd Akjan Bin Datu Ali Muhammad, Fuad Kiram dan Muedzul Lail Tan Kiram.
Isu tuntutan ke atas Sabah oleh Filipina atau Kerajaan Sulu ini adalah isu besar yang menjadi duri dalam daging dalam perhubungan kedua-dua negara. Kesultanan Sulu sendiri sebenarnya sudah tidak wujud semenjak 1915 apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915 apabila baginda menyerahkan semua kuasa politik baginda kepada penjajah Amerika Syarikat. Justeru, apa sahaja tuntutan yang berlaku pada hari ini adalah tidak sah dan batal.
Pencerobohan dan keganasan pengganas Sulu ini bukan sahaja mengorbankan nyawa di pihak mereka, bahkan daripada anggota keselamatan kita sendiri. Pengorbanan mereka ini menyedarkan rakyat Malaysia betapa tingginya harga yang perlu dibayar untuk sebuah negara yang aman dan merdeka. Insiden berdarah ini pada akhirnya telah mencetuskan pewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada 7 Mac 2013 dan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) pada 25 Mac 2013.
Darah Di Tanduo adalah kisah pencerobohan kumpulan Jamalul Kiram III dari kaca mata pandangan penduduk kampung terutamanya keluarga Haji Rahman, Ketua Kampung Tanduo. Ketika pencerobohan berlaku anak Haji Rahman Azali yang bertugas sebagai seorang guru sedang membawa pasukan bola sepak sekolahnya untuk bertanding. Manakala seorang lagi anaknya yang bernama Razak bertugas sebagai wartawan. Keberadaan kedua-dua mereka di luar daerah ketika kejadian pencerobohan berlaku menyebabkan timbulnya perasaan bimbang akan keselamatan keluarga.
Orang-orang dari Filipina dari suku Tausug ini telahpun hidup dan berasimilasi dengan masyarakat tempatan sejak sekian lama. Kehadiran mereka tidak mendatangkan rasa syak kepada penduduk tempatan. Tetapi segelintir mereka adalah umpama api di dalam sekam. Ternyata mereka mempunyai agenda yang tersendiri. Perlakuan ini mengingatkan kita kepada orang-orang Jepun yang berada di Tanah Melayu sebelum pendudukan mereka pada tahun 1941. Orang-orang Jepun ketika itu berada di Tanah Melayu dan menjalankan pelbagai pekerjaan untuk melindungi identiti mereka yang sebenar sebagai perisik tentera. Dalam tempoh itu mereka melakukan 'kerja rumah' bagi mengumpulkan maklumat untuk disalurkan kepada atasan mereka. hal yang sama nampaknya terjadi di Tanduo. Watak Pak Tiram mewakili perilaku talam dua muka, pepat di luar, rencong di dalam ini. Beliau yang nampak mesra serta kerap bergaul dengan orang kampung sebelum itu, bertukar ganas dan merendah-rendahkan orang tempatan. Pak Tiram akhirnya berjaya dibunuh penduduk kampung.
Selain daripada keluarga Haji Rahman, penulis turut melakarkan kesusahan yang dihadapi oleh penduduk kampung yang lain dalam usaha mereka untuk melarikan diri daripada kawasan pertempuran. Digambarkan juga beberapa penduduk tempatan yang tidak mahu meninggalkan kawasan kampung dan mahu bersama-sama berjuang untuk mempertahankan tanah tumpah darah mereka.
Nota - Ulasan ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 Oktober 2021 (Jumaat) di bawah ruangan Resensi Gaya.
Isnin, 20 September 2021
CATATAN CAMELIA IRDINA - Norhayati Harun
Ahad, 19 September 2021
"JANGAN MENGELAT" INTEGRITI DALAM JENAKA
Ruangan kartun Hello Boss pernah menghiasi akhbar Utusan Malaysia suatu masa dahulu. Kartun Hello Boss menampilkan dua watak utamanya iaitu Rosli sang pekerja bersama bossnya. Kadangkala ada beberapa watak lain yang akan tampil seperti Liza sang setiausaha dan makcik cleaner. Tetapi kini kita tidak lagi dapat mengikuti kartun Hello Boss yang penuh jenaka sinis ini lantaran pelukisnya, kartunis Dee telahpun kembali ke rahmatulLah pada 19 Februari 2019.
Naskhah ini yang terbit pada tahun 2011 adalah hasil kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Tintarona Publications dan Utusan Melayu. Barangkali pemilihan Hello Boss adalah kerana kartunis Dee sering membawakan pelbagai isu semasa di dalam persembahan beliau. Memandangkan naskhah ini adalah kerjasama dengan IIM maka kartun yang ditampilkan adalah berkaitan dengan integriti.
Majalah setebal 145 mukasurat ini telah dibahagikan kepada beberapa bab iaitu;-
i. Politik;
ii. Rasuah, Penyelewengan dan salah Guna Kuasa;
iii. Perkhidmatan Awam;
iv. Jenayah;
v. Integriti Di Jalan Raya;
vi. Pendidikan;
vii. Gejala Sosial;
viii. Kesihatan & Kebersihan; dan
ix. Alam Sekitar.
Walaupun akhbar Utusan dahulunya dimiliki oleh parti UMNO, Dee melalui Hello Boss tidak segan-segan untuk mengkritik parti berkenaan di dalam kartunnya seperti yang terkandung di dalam antologi ini.
Memandangkan syarikat Utusan Melayu telah ditutup sebelum ini, naskhah ini mungkin sukar untuk ditemui di kedai-kedai buku dan hanya boleh didapati pada pemilik individu sahaja.
SEMPOI EDISI MUHIBBAH
Majalah Sempoi terbit buat pertama kalinya pada tahun 2017. Reviewnya boleh anda lihat di sini. dalam isu yang pertama tersebut, banyak pemerhatian yang telah hamba utarakan bagi menambah baik pengisian majalah tersebut. Sempoi bukanlah majalah terbitan berkala. Tetapi selepas isu pertama, ada beberapa isu lagi yang terbit selepas itu. Namun isu-isu yang berkenaan tidak hamba beli. Kekecewaan membaca isu yang pertama membuatkan hamba tidak membeli isu yang terkemudian.
Sempoi sebenarnya tidak diterbitkan oleh sebuah syarikat atau organisasi yang tetap. Ia adalah hasil usaha sekumpulan pencinta seni kartun tanah air. Kerana itu majalah ini seperti tiada satu konsep yang khusus seperti majalah-majalah kartun lain yang pernah terbit. Tetapi usaha mereka ini patut dipuji. Mereka tidak mahu arena kartun tanah air terkubur begitu sahaja. Justeru penghasilan Sempoi adalah cara mereka sendiri nagi memeriahkan arena kartun negara.
Kali ini Sempoi muncul dengan satu cara yang belum pernah lagi ditemui dalam mana-mana majalah kartun yang pernah ada di Malaysia. Sempoi edisi muhibbah menghimpunkan 100 kartunis dalam satu majalah. Ini menjadikan majalah tersebut cukup tebal, lebih tebal daripada mana-mana isu bumper yang pernah ada. Menampilkan muka hadapan oleh kartunis Bendi, hamba merasakan mungkin majalah ini telah melakukan banyak pembaharuan.
100 orang kartunis yang menyumbangkan karya mereka tidaklah semuanya hamba kenali. Ada kartunis ternama bertaraf lagenda dan otai dan ada juga nama baru yang kali pertama di dengari. Kartunis baharu ini pula ada yang lukisan dan idea mereka cukup bertenaga dan ada yang hamba lihat cukup sebagai biasa-biasa sahaja. Hamba percaya pengurusan Sempoi mahu memberikan peluang berkarya bagi para kartunis baharu ini. Agak menarik apabila ada kertunis bukan Melayu yang karyanya tersiar di edisi ini. Berbeza dengan Sempoi isu pertama, edisi kali ini telah ada beberapa ruangan berwarna, walaupun ruangan hitam putih lebih banyak mendominasi. Susunan grafik dan rekaletak juga adalah lebih baik daripada dahulu namun masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.
Hamba tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan frasa muhibbah untuk edisi ini. Adakah ia merujuk kepada himpunan kartunis yang ramai, percampuran kartunis pelbagai bangsa ataupun hala tuju dan persembahan komik ini yang mengangkat tema berkenaan. Dari segi persembahan hamba nampak ia adalah pelbagai tema dan ragam. Biasanya kalau majalah keluaran khas hari raya akan banyak menampilkan kartun bertemakan raya. Tetapi hamba tidak nampak itu berlaku di dalam sdisi ini. Hamba percaya jika tema muhibbah ini di terjemahkan dalam sebahagian besar kartun, majalah ini akan nampak lebih tersusun dan terancang.
Walau apapun, penghasilan Sempoi wajar dipuji. Bagi majalah yang dihasilkan oleh sekumpulan peminat kartun, tanpa organisasi khusus, kejayaan mengumpulkan begitu ramai kartunis dalam satu majalah sehinggalah sampai ke peringkat mencetaknya, ia bukanlah satu kerja yang mudah. Oleh itu sekalung ucapan tahniah daripada hamba buat tenaga di belakang Sempoi. Kita berharap kualiti Sempoi akan lebih baik di masa hadapan sehingga dapat diterbitkan secara berkala pula.
Sabtu, 28 Ogos 2021
PEI PAN 2.0 - Ramlee Awang Murshid
Pei Pan 2.0 adalah merupakan extended version kepada novel Pei Pan yang pernah terbit lebih kurang 20 tahun yang lalu. Ia umpama filem Zack Snyder's Justice League yang merupakan extended version bagi filem Justice League. Sebelum membaca novel ini hamba menjangkakan RAM akan membuat pengubahsuaian dalam penceritaan asal novel Pei Pan. Namun hamba dapati RAM hanya membuat penambahan pada bahagian awal dan akhir cerita sahaja. Penambahan itu pula hamba lihat seolah-olah memberi isyarat bahawa sebuah novel baharu akan muncul lantaran persoalan di dalam 'tambahan' ini tidak terjawab sepenuhnya.
Dalam penambahan ini, fokus utama adalah kepada watak Mira, anak gadis tunggal Pak Seman, bekas tukang kebun Dato' Karim. Mira berada di New Zealand dan tidak pernah pulang ke Malaysia lagi setelah melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat 20 tahun yang lalu. Mira kini telahpun berusia 50an. Mira mendapat satu panggilan telefon daripada sebuah firma peguam di Kuala Lumpur memintanya untuk pulang ke tanah air. Sebelum pulang, Mira mendapat panggilan telefon yang mengugutnya agar jangan pulang. Namun Mira pulang juga. Dato' Karim menawarkan Mira jawatan Pengurus Besar di syarikat beliau lantaran anak-anak beliau tidak dapat memberikan komitmen kepada syarikat tersebut.
Dalam pada itu, Tony telah keluar dari penjara. Tony, adik kepada Julie, dihukum penjara kerana membunuh Hasrun. Satu watak peguam yang tiada dalam versi asal Pei Pan dikatakan telah membela kes Tony sehingga beliau tidak dikenakan hukuman gantung. Beliau memberikan perkhidmatan secara percuma dan seperti ada muslihat yang mahu dilaksanakan setelah Tony bebas.
Persoalan yang tidak terjawab inilah yang hamba jangkakan akan dilakar dalam novel yang mendatang. Sekiranya tidak, buat apa RAM susah-susah membuat penambahan novel Pei Pan sekiranya hanya mahu memeningkan pembacanya.
Kita tunggu!
PEI PAN - Ramlee Awang Murshid
Novel ini memenangi tempat kedua Hadiah Sako 2. Hamba membelinya satu set beserta dengan 5 lagi buah novel yang terbit bersama dengannya sekitar 2002. Ketika itu gaji masih kecil dan harga satu set yang mengandungi enam buah buku memang terasa membebankan. Tetapi kerana minat dengan buku hamba pejamkan juga mata untuk membelinya. Ketika ini hamba baru kali pertama mengenali nama Ramlee Awang Murshid. Nama beliau ketika itu pun belum segah sekarang.
Novel ini antara yang dicari oleh pengumpul buku dan boleh dijual dengan harga yang mahal berbanding dengan harga asalnya. Tambahan pula syarikat yang menerbitkannya, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. telahpun pupus dari muka bumi ini. Justeru pastinya tidak akan ada lagi cetakan baru daripada syarikat ini melainkan ia dicetak oleh syarikat yang baharu.
Latar masa kisah Pei pan adalah sekitar lebih kurang 20 tahun yang lalu, ketika Malaysia giat mempromosikan penggunaan teknologi maklumat dan negara baru beberapa tahun mempunyai motosikal nasionalnya sendiri. Walaupun Pei Pan tidak semantap novel-novel RAM yang lahir selepas itu, namun pada ketika zaman itu di mana novel-novel berbentuk sebegini adalah agak asing dalam dunia penulisan bahasa Melayu, ia adalah yang terbaik dalam kelasnya. RAM sudah mula menampakkan taringnya membawa pembaca berteka teki tentang masalah atau pelaku sebenar jenayah di dalam penulisan. Dalam hal ini pembaca akan berteka teki tentang watak 'abang besar' yang bagi diri hamba sendiri agak mudah untuk menekanya.
Pei Pan sebagaimana namanya adalah kisah pengkhianatan. Ia bukan sahaja pengkhianatan dalam dunia perniagaan tetapi juga adalah pengkhianatan kepada sebuah persahabatan. Dato' Karim, seorang usahawan terperangkap dalam kes pembunuhan yang melibatkan isterinya Mimi dan pembantu serta orang kepercayaannya Johnny. Dato' Karim masuk penjara, syarikatnya tumbang dan beralih tangan. Satu bukti penting tentang watak-watak di sebalik jenayah yang terancang telah terakam di dalam sebuah pita video. Keberadaan pita tersebut dicari bagi dimusnahkan. Dalam pada itu beberapa watak mati satu demi satu, tambah menghangatkan lagi penceritaan.
Apabila ditimpa musibah, kita akan dapat mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Watak Pak Seman dan anaknya Mira masih setia menunggui rumah kecil di sebelah banglo Dato Karim, menjaga dan merawat lamannya dengan baik. Keluarga Dato' Karim yang tinggal, ibu dan bapa mertuanya serta tiga anaknya sentiasa melawat beliau di penjara dan menyokong beliau. Hanya anak Dato' Karim yang sulung mula menjauhi bapanya kerana berasa malu kerana berbapakan seorang banduan. Di dalam penjara Dato' Karim mula membina perhubungan yang baik dengan rakan sesel dan seorang wadar bernama Sarjan Hassan. Rakan sesel beliau, Mail sanggup menumbuk Derus yang sering mengugut Dato' Karim. Pada mulanya hamba menjangkakan watak-watak rakan beliau di penjara ini akan berguna serta akan membantu beliau kemudian nanti, namun itu semua tidak berlaku.
Setelah bebas, Dato' Karim berusaha untuk memperbaiki keadaan. Beliau cuba membaiki hubungan dengan keluarga terutamanya dengan anak sulung beliau, Mustapha. Selain itu Dato' Karim berusaha untuk membangunkan semula perniagannya. Dalam pada itu bukti utama perancangan jenayah 15 tahun sebelum itu muncul semula. Namun Dato' Karim dilihat tidak mahu berdendam. Culprit utama si 'abang besar' masih tidak berpuas hati dan mahu menghapuskan Dato' Karim. Walaupun di akhir cerita si penjahat akhirnya menerima balasannnya, namun berlkau tragedi terhadap keluarga Dato' Karim yang menjadikan kisah ini berakhir dengan kepiluan.
Sekiranya anda tidak berpeluang untuk membaca novel ini, jangan bimbang. Anda boleh sahaja mencari Pei Pan 2.0, novel baharu yang akan menceritakan semula kisah novel ini.
Rabu, 25 Ogos 2021
APA CERITA PULAK NI? - Mie
LELUHUR - Arman Jazee
Penulis ini adalah satu jenama yang hamba tidak ragu-ragu untuk membeli buku tulisannya. Hamba mengenali penulis ini lewat novel-novelnya ...

-
Novel ini dikatakan pernah menjadi novel terlaris pada zamannya. Dikatakan juga novel ini kini boleh dijual dengan harga yang lebih ting...
-
Pertama kali membacanya adalah semasa zaman sekolah hampir 30 tahun yang lalu. Hamba membacanya sekali lagi kerana tahu bahawa novel ini s...
-
Baru-baru ini hamba menemani isteri ke bengkel kereta mengambil kenderaan beliau yang telah siap dibaiki. Pandangan hamba tertarik ke ...