Rabu, 25 Januari 2023

KITAB TAMADUN ROM - Hafizul Adnen


 

Tebal sungguh buku ini. Berminggu juga hamba ambil masa nak menyudahkannya. Hafizul Adnen menghidangkan kepada pembaca perkara yang jarang ditulis oleh penulis negara kita. Tidak keterlaluan hamba katakan ini kali pertama hamba membaca tulisan penulis tempatan tentang Rom yang begitu menyeluruh dan agak terperinci.

Penulis menghidangkan kepada kita pembinaan Rom dari zaman awalnya, zaman kegemilangannya sehinggalah zaman kemerosotannya seterusnya pemusatan kuasa Rom yang beralih ke Byzantium ataupun Costantinople.

Penulis menyajikan kita tentang Rom dari zaman pengasasannya dan seterusnya disusun mengikut para pemerintahnya. Bermula dengan gaya monarki sebelum beralih kepada republik dan kemudiannya kembali kepada sistem maharaja. Sistem pentadbiran Rom agak unik kerana dalam satu masa mereka boleh mempunyai dua orang pemerintah bersama.

Membaca naskhah ini kita boleh melihat cara Rom menyusun pentadbiran negara mereka seperti senat dan ketenteraan. Hubungan antara mereka ini sentiasa tegang. Kadangkala senat boleh melantik pemimpin Rom, kadangkala tentera pula yang lebih berkuasa. 

Namun membaca sejarah Rom mengikut susunan pemerintah ini amat 'memenatkan' apabila yang banyak terhidang adalah kegilaan untuk meluaskan kekuasaan, pembunuhan kejam di sana sini, pengkhianatan, saling tidak mempercayai dan sebagainya. Kerana kuasa ada abang yang membunuh adik di hadapan ibu mereka sendiri. Ada ayah yang membunuh anaknya. Perbuatan membunuh kerana mahukan kuasa di kalangan kaum keluarga dilihat seperti satu kebiasaan. Apabila naik pemerintah tertentu, mereka membunuh pula pengikut raja yang terdahulu.

Hamba tidak dapat mengikuti pembacaan dengan lancar apabila dihidangkan dengan terlalu banyak nama. Nama -nama Rom ini pula hampir sama sahaja dan panjang-panjang pula. Jadi hamba tidak dapat mengingati dengan baik kesemua nama kecuali beberapa nama yang biasa didengari dan kisah mereka juga agak panjang berbanding yang lain seperti Romulus, Julius Ceaser, Marc Anthony dan Constantine.

Andaikata kita masih hidup di zaman empayar Rom ini, nescaya kehidupan akan berada dalam keadaan tidak tenteram. Nyawa boleh melayang pada bila-bila masa sahaja. Sahabat boleh menjadi lawan dan begitulah sebaliknya. Hubungan persaudaraan juga menjadi nipis akibat tamakkan kuasa. Kerana itu apabila pertelingkahan politik berlaku di dalam negara, ia adalah satu hal yang tidak boleh dipandang ringan. Sejarah buruk Rom boleh berulang di mana sahaja. Dan orang sebegini akan sentiasa sahaja ada!


Bacalah KENITRA, tak ada gaduh-gaduh punya....!


Rabu, 11 Januari 2023

ODYSSEY BRAVING THE STORM, SUNGAI BULOH HOSPITAL COVID-19 JOURNEY


 

Jabatan hamba telah menerima naskhah buku ini daripada Hospital Sungai Buloh (HSB) pada pertengahan Disember 2022 yang lalu. Ia adalah kisah perjalanan dan perjuangan warga HSB melawan Covid-19. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama buku berbentuk coffee table book ini dihasilkan oleh HSB. Sebelum ini mereka pernah menghasilkan buku dalam format yang sama bertajuk Emersion: Transcending The Tide pada tahun 2021. Buku berkenaan juga menceritakan tentang pengalaman mereka berhadapan dengan Covid-19 bermula daripada jangkitan awal di Malaysia, kemasukan pesakit yang pertama sehinggalah apabila kes telah mula mereda. Namun mereka berharap bahawa buku ini tidak akan ada lanjutannya - bermaksud mereka tidak mahu lagi penyakit ini terus melanda!

Tidak mereka mahupun kita menyangka bahawa kes akan lebih memuncak pada tahun 2021. Justeru buku ini membawakan beberapa tulisan warga HSB yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai perubatan, mewakili unit mereka bertugas menceritakan sedikit sebanyak pengalaman masing-masing. Perkara yang paling mahla tentunya adalah gambar-gambar yang dipaparkan memandangkan apa yang berlaku di dalam wad tidak diketahui oleh kita semua.

Gambar-gambar merangkumi persediaan HSB dari segi perancangan dan peralatan, gambaran di wad, kaunseling keluarga pesakit, urusan di bilik mayat, pemberian vaksin, rehabilitasi pesakit dan sehinggalah kepada gambar-gambar yang memberikan kecerian di akhir buku yang memberikan gambaran bahawa keadaan semakin pulih.

Pictures speaks louder than words kata orang kampung hamba. Kita boleh merasai betapa bersungguhnya warga KKM bekerja, kepenatan yang mereka rasa dan masa yang mereka hilang. Gambaran penuh di wad amat meruntun hati apatah lagi apabila melihat kanak-kanak tanpa ibu bapa di sisi. Ketidakselesaan memakai PPE dalam waktu yang panjang hanya mereka sahaja yang tahu azabnya. Gambar-gambar pengurusan jenazah juga menunjukkan rasa hormat mereka kepada jenazah. Jenazah diperlakukan sebaiknya, dimandi, dikafan dan disolatkan. Jenazah ditempatkan di ruang jenazah yang sempurna dan tiada yang diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya seperti yang kita lihat berlaku di negara luar. Tidak ketinggalan gambar penghargaan daripada orang ramai dan bekas pesakit yang mengirimkan kad ucapan serta kek bagi menghargai perawat mereka.

Hamba mengenali Pengarah HSB ketika peperangan ini berlaku, yang telah hamba kenali semenjak 2014 lagi. Dr Kuldip Kaur telah memainkan peranan yang besar dan penting menerajui HSB dan warganya melawan Covid-19. Mepunyai pasukan yang kuat dan berkaliber, beliau telah berjaya membawa pasukannya berjuang bermati-matian. Sepatah kata beliau di akhir buku ini menarik minat hamba. Kata beliau, 'Every champion was once a contender who refused to give up!'

Kudos Dr Kuldip and bravo zulu!


Nota - Buku ini akan diletakkan di Perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh bagi tujuan rujukan.





Ahad, 8 Januari 2023

ARSENE LUPIN VS HERLOCK SHOLMES - Maurice Leblanc


 

Ya, jangan betulkan mata anda - memang sengaja ditulis Herlock Sholmes dan bukannya Sherlock Holmes! Walaupun begitu penulis memang memaksudkan Sherlock Holmes, watak detektif Inggeris rekaan Sir Arthur Conan Doyle. Watak Sherlock Holmes pernah muncul buat pertama kalinya dalam The Extraordinary Adventures Of Arsene Lupin, Gentleman Burglar dalam bab Sherlock Holmes Tiba Terlalu Lewat. Sir Arthur tidak bersetuju watak Sherlock Holmes digunakan oleh Leblanc tanpa izin dan bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang. Kerana itu dalam novel ini Leblanc menggunakan nama Herlock Sholmes yang bunyinya hampir mirip dengan yang asal. Begitu juga dengan nama watak pembantu Sherlock - Dr. Watson yang ditukar kepada Wilson. Watak Shelock Holmes telah berusia lebih 100 tahun dan kini ia telah menjadi domain awam. Justeru tiada masalah sekiranya anda hendak menggunakan nama Sherlock Holmes di dalam karya anda. Mungkin saya boleh buat karangan - Sherlock Holmes Dan Misteri Kampung Petaseh, Jelebu!

Herlock Sholmes (HS) terkenal kerana kebijakannya menjalankan penyiasatan. Arsene Lupin (AL) juga terkenal kerana kelicikannya sebagai seorang pencuri. Justeru pertembungan keduanya akan menjadikan sesuatu yang hebat. Keduanya mahu mempertahankan reputasi masing-masing. Dalam hal ini Maurice Leblanc terpaksa menggunakan kemahirannya untuk memastikan kedua-dua watak ini mendapat 'keadilan' masing-masing mengikut kehebatan prestasi mereka. 

Dalam buku ini mereka bertembung sebanyak dua kali. kali pertama adalah dalam kes pencurian sebutir permata biru dan kali kedua dalam kes kecurian pelita yahudi. Berbeza dengan buku pertama, dalam karya ini Leblanc lebih banyak tertumpu kepada watak HS dan penceritaan juga banyak dilihat daripada sudut HS sendiri. Bagi yang pernah membaca tulisan Sir Arthur tentunya dapat melihat perbezaan cara berfikir watak detektif Inggeris ini apabila ia ditulis oleh Leblanc. Di tangan Leblanc hamba melihat HS tidaklah begitu hebat. Sama ada Leblanc tidak mampu menulis watak ini seiring dengan kehebatan penulis asalnya ataupun beliau memang sengaja tidak mahu begitu memperlihatkan kehebatan HS atas faktor perbezaan negara, walLahu aalam.

Justeru corak penulisan Leblanc di dalam buku ini tidak menampakkan AL sebagai watak utama tetapi lebih kepada watak kedua. Lebih banyak HS ditonjolkan sama ada dari segi cara beliau menyiasat ataupun berfikir. Dalam hal buku ini juga watak Wilson juga dilihat tidak sehebat Dr Watson, lebih banyak menyampuk seolah menunjuk pandai, penonjolan watak yang kurang, tidak kelihatan penting untuk membantu HS dan boleh pula cedera sehingga patah tangannya!

Dalam kisah yang pertama HS telah berjaya memberkas AL. Tetapi kerana beliau meninggalkan AL kemudiannya kepada Ganimard, membolehkan AL melepaskan diri. Bahkan selepas itu AL sempat menggucapkan selamat jalan kepada HS yang akan kembali ke England lantas membuatkan HS seperti mengalami kekalahan di tangan Lupin.

Dalam kes yang kedua walaupun HS menganggap AL sebagai dalang kecurian pelita yahudi, namun kali ini Leblanc seolah menampilkan AL sebagai seorang detektif yang membantu menyelesaikan kehilangan tersebut. Kehadiran HS dilihat tambah merumitkan keadaan memandangkan kes berkenaan mudah sahaja untuk diselesaikan mengikut cara AL.


Cubalah pula anda baca KENITRA - Pelajar Budiman!!


Isnin, 2 Januari 2023

GILA-GILA TAHUN 2021

Sebelum ini hamba telah mengulas mengenai majalah Gila-Gila tahun 2019 dan majalah Gila-Gila tahun 2020. Hamba membaca berturut-turut kesemua majalah tersebut dalam satu tempoh masa dan bukannya mengikut bulan ia diterbitkan. Sama juga dengan majalah Gila-Gila tahun 2021 ini yang hamba beli sekaligus set terbitan tahun 2021. Maka pada hari terakhir di bulan Disember 2022 inilah baru hamba berkesempatan membeleknya.

Bagi tahun 2021 hanya ada 8 keluaran GG sahaja. Ada keluaran yang berkongsi bulan keluaran. GG tidak dapat dikeluarkan setiap bulan. Ini boleh difahami akibat terjadinya PKP. Namun yang hebat sehingga entry ini ditulis, majalah kesayangan rakyat Malaysia ini masih lagi bertahan!


#835

Menampilkan cover Jai dan Atuk. Jai mewakili golongan yang tidak menerima vaksin. Mahukan perakuan halal pada vaksin lalu ditempelak Atuk yang menyatakan golongan perokok tidak pula melihat roko mereka mempunyai perakuan halal atau tudak tetapi tridak ragu untuk menyedutnya.

Ruangan Mansasau memberitahu keadaan yang berlaku apabila kerajaan melonggarkan PKP dan membenarkan rentas sempadan. Manusia mula keluar menikmati kebebasan sehingga melalaikan SOP.

Ada beberapa kartun oleh kartunis baharu KT Zeck yang hamba lihat mampu menarik pembaca. 

Suko dengan Siri Seram Sejuknya membawa pembaca berfikir bagaimana keadaan hantu sekiranya mereka juga turut dikenakan PKP! GG kali ini juga memberikan hadiah stiker istimewa bertemakan Covid-19.



#836

Gila-Gila #836 menggabungkan keluaran Februari dan Mac. Masih menjadikan tema covid sebagai hiasan muka depan. Menggambarkan pendaki gunung yang terkejut melihat sekumpulan pelajar yang berada di sana - satu sindiran terhadap mutu inyernet negara kita apabila pelajar terpaksa mendaki puncak tinggi untuk mendapatkan luputan.

Mansasau pula semakin risau melihat perkembangan politik tanah air.

Prof. Dr. Muliyadi Mahamood pula menyorot liku-liku seni kartun sepanjang tahun 2020. Bagaimana kartunis menukar cara persembahan mereka disebabkan covid-19. Turut dipaparkan mengenai pemergian seorang kartunis wanita, Nora Abdullah, yang popular di tahun 50an.


#837

Jarang Mansasau berkisah tentang diri sendiri di dalam ruang pojoknya. Tetapi kali ini beliau berkisah tentang dirinya yang sakit sehingga dimasukkan ke hospital. Namun dengan rasa gigih dan tanggungjawab, beliau tetap melaksanakan amanahnya buat Gila-Gila.

Ini adalah GG edisi ulangtahun ke 43. Power tak majalah ini. Tiada lagi majalah sezamannya yang masih hidup. Namun GG masih kental berjuang walaupun kadangkala semput. Terdapat dua ruangan istimewa ucapan daripada pengumpul tegar majalah GG.

GG turut menyiarkan ucapan takziah mereka ke atas pemergian seorang kartunis tanah air, Roslan Kassimyang lebih dikenali dengan nama Petai pada 4 Februari 2021. Petai pernah berkarya di majalah Humor, salah sebuah terbitan Creative Enterprise menggunakan nama Cepoi.


#838

Ini merupakan keluaran Hari Raya. Rindu benar nak menatap GG edisi raya yang bersaiz bumper seperti zaman kegemilangannya. Mungkin GG boleh membuat strategi seperti majalah Bekazon yang muncul dalam edisi istimewa. 

Seperti kelazimannya ada ucapan raya para kartunis. Cuma ruang yang diberikan hanya satu muka surat sahaja dan cuma ada 10 orang kartunis yang membuat coretan. Itupun saiz tulisan mereka amat kecil tak sesuai dengan hamba yang memakai kaca mata ini.

Karya-karya yang bertemakan hari raya masih bercampur di antara kartun baharu dan kartun lama yang dikitar semula. Namun masih belum dapat dirasakan kemeriahannya. 


#839

Ini barangkali agak rare. Keluaran 839 menggabungkan bulan Jun, Julai, Ogos dan September!  Semuanya gara-gara PKP. Kalau majalah lain tentu terus tutup kedai. GG tidak begitu. Mereka terus hidup!

Kartunis KT Zeck ssudah mula membuat kartun panjang bertajuk PEMBARIS. Ideanya macam pernah baca di internet tetapi persembahannya mengikut gaya yang tersendiri.

Karya kartunis Mony bertajuk Pelumba Malang juga menarik. Ada unsur siri 'Kisah Benar' yang dahulunya dilukis oleh Ambo.

Kartunis otai, Ramzahurin masih menyumbang karya 80's Somethingnya. Hamba suka karya yang menggunakan bahasa Inggeris ini kerana lawaknya memang sempoi habis!


#840

Cover kali ini tidak menggunakan tema covid. Ia adalah satu sindiran kepada golongan yang kononnya suka kepada alam semulajadi tetapi tidak segan silu mencemarkannya. Cover ini memaparkan dua ekor monyet yang membersihkan sebuah kawasan perkemahan air terjun dengan manusia yang ada tidak membuat apa-apa.

KT Zeck muncul pula dengan watak original beliau - Dolah Pick Up. Lukisan Zeck ni kalau lihat betul-betul ada gaya kartunis Aedes dan Aie.

Keluaran ini juga menyiarkan kembali karya IBC (Intelligent Blues Club) oleh Ujang. IBC ini adalah salah satu karya Ujang yang hamba minati dulu. Ia adalah kisah sekumpulan pelajar sekolah menengah pelbagai kaum yang mempunyai pelbagai ragam. IBC amat unggul jika dibandingkan dengan karya lain sepertinya seperti 'Budak Hostel' & 'Skoolastik' oleh Ubi danm 'Student Life' oleh Sireh.


#841

Ada dua karya Usop 5050 berjudul Budak U dalam keluaran ini. Karya ini hanya disiarkan satu muka surat sahaja sedangkan hamba rasa ia lebih dari itu, Jadi hamba rasaa ceritanya agak tergantung.

IBC masih lagi tersiar di keluaran ini. Walaupun ia adalah sebuah kartun ulangan, harus kita akui bahawa aura kartun Ujang masih lagi hebat. Persembahannya walaupun dari era lalu masih belum dapat disaingi oleh persembahan kertunis baharu lain di dalam keluaran ini.







#842

Cover Gila-Gila membawakan isu harga siakap yang mahal di sebuah restoran di Langkawi yang pernah heboh ketika dulu. Ia juga merupakan satu lagi cover yang lari daripada tema covid. Maknanya tahun ini dalam 8 keluaran, kesemuanya bertemakan covid kecuali dua.

GG membawakan berita pembukaan Studio GG di Putrajaya yang menyediakan beberapa perkhidmatan seperti kelas melukis komik dan kartun secara manual dan digital, tempahan lukisan dan karikatur serta jualan produk GG. 

GG turut memuatkan coretan daripada FB Tengku Zafrul yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan tentang pengalaman beliau dengan GG.

Yup, majalah GG masih hidup and still kicking. Hamba lihat kandungan baharu dengan yang lama agak seimbang bagi keluaran tahun 2021 ini. Tajuk-tajuk seperti Dolah Pick Up, Mael C70, Siri Seram Sejuk, Bilal Pok Me', Pelayaran dan lain-lain lagi memberikan nafas baharu kepada GG. Namun ada juga siri yang tiba-tiba hilang tanpa ada penamatnya seperti kisah Hijrah Ke Isketam Bola klarya Pheno. Ruang penulisan harus dimantapkan. Siri tulisan yang tersiar adalah karya lama cuma diberikan ilustrasi yang baharu. Pojok 'Sis nak Story' sama ada harus diperbaiki atau dihentikan. Selain tulisannya yang tidak seiring dengan kesantaian dan bisa Mansasau dan Minahleter, hamba cukup tak berkenan tulisan campur campur bahasa omputih ni bak separuh ular separuh belut kata bekas seorang menteri.

Moga GG terus menyengat!








PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...