Jumaat, 29 Disember 2017

USAH KAU TUNGGU KERETAPI LALU DI SINI.....



Dalam dua tahun ini hamba ada beberapa kali berkunjung ke Ulu Kinta atas tugasan rasmi. Setiap kali itu hamba akan melalui stesen keretapi ini yang telah tidak lagi digunakan. Masih mengekalkan rupabentuk bangunan asalnya, ia kini telahpun bertukar kepada sebuah kedai makan. Walaupun telah beberapa kali ke sini, tapi hanya baru-baru inilah hamba sempat singgah. Kata kawan-kawan mee karinya sedap.

Hamba tak tahu entah bila tutupnya stesen ini. Tetapi sehingga 2010 masih ada lagi keretapi yang melaluinya. Dahulunya ia pernah menjadi pengangkutan untuk membawa pesakit-pesakit mental yang hospitalnya terletak berhampiran stesen ini. Walaupun telah bertukar kepada kedai makan, masih dapat lagi dilihat beberapa ciri klasik stesen ini seperti kaunter tiket dan tanda batu Tanjung Rambutan. Memandangkan tiada lagi keretapi yang lalu, dan kalau ada juga yang menunggunya maka bolehlah dibawa ke hospital di sebelah itu.

Dan kalau kau tanya hamba sedap ke mee kari tadi................











I NEED A HELICOPTER, MY PATIENT IS DYING! - Dr. Afiq Rahim



Tentunya kita masih lagi mengingati dengan jelas akan kejadian bah besar yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur khususnya Kelantan pada penghujung tahun 2014 yang lalu. Kemajuan teknologi maklumat telah membolehkan kita mengetahui perkembangan bah yang berlaku dengan pantas. Gambar-gambar dan kisah penderitaan yang berlegar di alam maya telah dilihat oleh berjuta-juta umat manusia. Jelas, bah di tahun berkenaan boleh dianggap sebagai satu bencana besar yang telah melanda negeri Kelantan. Apabila gambar-gambar rumah yang hanyut, paras banjir yang melepasi tingkat tiga bangunan sekolah, hospiatl yang dinaiki air, tempat yang terputus lansung hubungan daratnya dilihat oleh para netizen, ia memberikan mesej betapa para mangsa amat memerlukan bantuan segera. justeru pada ketika itu amat banyak sekali pertubuhan serta orang perseorangan yang pergi melaksanakan misi bantuan banjir di sana. Bahkan ada kenderaan para sukarelawan sendiri yang dimasuki air sewaktu melaksanakan misi bantuan, namun ini tidak sekali-kali melemahkan semangat mereka.

Catatan-catatan dalam buku ini mungkin telah pernah dibaca oleh sebahagian kita sama ada melalui Facebook atau laman blog sewaktu kejadian tersebut berlaku. Dan ia disusun kembali dalam sebuah buku yang berwarna kesemua lamannya dengan gambar-gambar kejadian.

Penulis merupakan seorang pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Badang, Kelantan telah mencatatkan pengalaman beliau mengikut rentetan masa bermula dari 17 Disember 2014 sehinggalah 16 Januari 2015. Walau bagaimanapun bukanlah pengalaman setiap hari di antara tarikh tersebut yang dicatatkan. Bah yang berlaku telah menyebabkan kawasan Badang menjadi ground zero iaitu terputus terus perhubungan jalan darat. Ketika kejadian banjir selamam beberapa hari itulah penulis telah diberikan ujian berat oleh Allah apabila terpaksa menerima beberapa pesakit yang kritikal dengan keadaan klinik beliau yang tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi dan pesakit pula tidak dapat dibawa ke hospital.

Antaranya ialah kemalangan motosikal yang melibatkan dua orang, kanak-kanak yang mengalami sawan, kanak-kanak yang mengalami denggi berdarah, beberapa ibu yang bersalin dengan beberapa antara mereka mempunyai komplikasi yang rumit, pesakit yang terkena stroke, pesaikit yang sudah beberapa hari tidak mendapat rawatan dialisis dan banyak lagi. paling mengerikan juga adalah apabila seorang ibu yang bersalin mengalami koyakan serviks dan terpaksa dijahit tanpa menggunakan bius serta peralatan yang lengkap. Walaupun pesakit meraung kesakitan apabila jahitan dilakukan, ia terpaksa juga diteruskan untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Bahkan episod berkenaan tidak berakhir di situ apabila pesakit berkenaan masih lagi perlu diberikan perhatian rapi apabila ada pendarahan dalaman.

Apabila kawasan darat tidak dapat dihubungi dengan kenderaan, maka bantuan helikopter adalah diperlukan untuk membantu pesakit. Malangnya seluruh negeri Kelantan boleh dikatakan lumpuh ketika itu dan bantuan penerbangan ini juga diperlukan di tempat lain yang turut mengalami masalah yang kritikal. Tajuk buku ini yang juga merupakan dialog penulis adalah luahan kemarahan beliau apabila helikopter yang dijanjikan terpaksa dibatalkan penerbanyannya bagi memberi laluan kepada seorang VVIP untuk meninjau kawasan banjir (tidaklah diketahui siapa VVIP berkenaan). Namun beliau serta ramai lagi di sekelingnya tidak putus asa bagi mencari bantuan.

Penulis bertuga menjaga kliniknya selama beberapa hari secara berterusan dengan rehat yang amat minima. Itupun beliau masih terus berada di kliniknya. Apabila banjir mula surut dan klinik beliau mula menerima petugas baru, barulah beliau berkesempatan pulang bagi menemui anak dan isteri. Itupun beliau tidak tunggu lama apabila selepas sehari beliau keluar pula bersama NGO bagi membantu mangsa banjir.

Pada tahun berkenaan hamba bertugas di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, dan hamba masih ingat lagi apabila Kmenterian mengarahkan kakitangannya yang pulang bercuti di negeri Kelantan dan tersangkut di sana akibat banjir, agar melaporkan diri di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat bagi memberikan bantuan. Klini penulis nampaknya turut menerima bantuan daripada individu-individu ini.

Pengalaman penulis ini sebenarnya hanya secebis sahaja suka duka mereka yang berada dalam dunia kesihatan. Mereka adalah wira yang tak didendang. Walaupun banjir melanda dan keluarga serta rumah mereka juga turut terkena bencana, namun mereka masih mampu memberikan khidmat yang terbaik walaupun dalam masa yang sama tidak terlepas daripada cacian dan nista.

Bersamalah kita berdoa untuk Malaysia yang lebih baik!!


Selasa, 12 Disember 2017

TAKHTA KERAJAAN NEGERI SEMBILAN – Abdul Samad Idris



Buku yang baru selesai hamba baca ini bukanlah naskhah cetakan asalnya. Ia adalah naskhah salinan atau fotokopi. Hamba memperolehinya daripada seorang kenalan fesbuk. Terima kasih kerana sudi menjualkannya kepada hamba.Tiada tercatat tahun cetakan pada buku ini. Namun hamba percaya ia ditulis serta dicetak sekitar tahun 60an atau sekitar pemerintahan Almarhun Tuanku Munawir.

Sebagai anak jati Negeri Sembilan, pengetahuan mengenai asal usul keturunan adalah sesuatu yang amat berharga. Lebih-lebih lagi Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang unik. Satu-satunya negeri yang mengamalkan adat perpatih serta mempunyai talian yang kukuh dengan Alam Minangkabau. Perlantikan pemerintahnya juga tidak seperti negeri yang mengamalkan adat Temenggung di mana kebiasaannya Raja Muda yang akan mengambil alih takhta. Di Negeri Sembilan, YamTuan dipilih melalui kerapatan dan kebulatan Undang. Tiada siapa yang mengetahui sehinggalah perkara tersebut diumumkan oleh Dato’ Kelana, Undang Luak Sungai Ujong. Ini bermakna anak raja yang mangkat tidak semestinya akan menaiki takhta kerajaan.

Melalui bicara penulisnya, dapat hamba rasakan untuk menulis buku ini, walaupun nipis, amatlah sukar ketika itu. Ini memandangkan kurangnya bahan rujukan. Penulis tidak mencatatkan bibliografinya, tetapi dapat difahamkan melalui penulisan beliau bahawa beliau merujuk kepada kata orang-orang tua/lama, catatan istana serta buku sejarah Melayu oleh Cikgu Buyong Adil serta buku oleh R.O. Winstedt. Buku ini mengandungi begitu banyak kesalahan ejaan. Boleh difahami kerana ketika itu teknologi komputer masih belum ada dan sekiranya terdapat kesalahan satu perkataan, penulis mungkin terpaksa menyalin keseluruhan mukasurat yang telah ditulisnya. Kerana itu di akhir buku terdapat sehelai lampiran yang mencatatkan perkataan yang salah serta perkataan yang sebetulnya.

Secara ringkasnya buku ini selain mencatatkan tentang adat istiadat Raja di Negeri Sembilan turut mencatatkan asal usul nama Negeri Sembilan, asal nama Seri Menanti, sejarah kedatangan orang Minangkabau, kisah kemangkatan Tuanku Muhammad, kisah ringkas Tuanku Abdul Rahman yang juga Yang Di-Pertuan Agong yang pertama. Dalam beberapa hal penulis menyalin secara bulat-bulat (verbatim) daripada catatan asal seperti adat atau peristiwa yang berlaku ketika kemangkatan raja serta pertabalan raja yang baru. Ia seolah-olah sebuah buku aturcara majlis yang menyebut tentang giliran atau aturan mereka yang terlibat (para Datuk Datuk dan orang besar Istana) ketika mengadap YamTuan.


Terdapat juga beberapa gambar lama yang hamba rasa hampir kesemuanya belum pernah hamba lihat lagi sebelum ini. Juga terdapat beberapa pengetahuan baru buat hamba seperti barang yang tidak boleh rakyat memilikinya dan perlu diserahkan kepada raja, cara pemakaian serta binaan rumah yang tidak boleh pada orang kebanyakan, di mana pada hari ini ia tidak lagi diamalkan selaras dengan perkembangan zaman. Bayangkan dahulu contohnya orang kebanyakan tidak boleh membina rumah melebihi setingkat atau besar seperti mahligai. Sekiranya diamalkan tentunya hari ini kita tidak boleh membina rumah dua tingkat, tinggal di apartment serta orang kaya hanya boleh tinggal di rumah yang sederhana sahaja.


Selasa, 5 Disember 2017

ROH RUMAH SEWA - Naim Tamdjis



Kisah dalam novel ini cuba dikaitkan dengan sejarah yang pernah berlaku di Pasir Salak iaitu tentang pembunuhan Birch. Walau bagaimanapun nama-nama watak sebenar telahpun ditukar seperti Datuk Maharajalela menjadi Datuk Mahar, Siputum menjadi Sekuntum (apa daa sekuntum....) dan Sultan Abdullah menjadi Sultan Amirul Rashid. Dalam usaha untuk menghapuskan Birch, pelbagai usaha telah digunakan termasuk menggunakan ilmu hitam.

Mereka yang terlibat di dalam penentangan British tersebut menjadi buruan penjajah sehingga melarikan diri ke sebuah tempat yang dinamakan Kampung Pulau Manis. Menggunakan ilmu hitam kampung tersebut menggunakan pendamping bagi mengaburkan mata penjajah daripada terjumpa kampung tersebut. Sehinggalah apabila seorang bernama Sheikh Maulana datang ke kampung tersebut dan berjaya menyampaikan dakwah kepada penduduk kampung tersebut di atas terpesongnya amalan bersahabat dengan makhluk halus. Para pendamping yang ada telah dipasung oleh Sheikh Maulana.

Sehinggalah apabila seorang guru muda bernama Rafael menyewa rumah tersebut telah menyebabkan makhluk halus yang terpasung akhirnya terbebas dengan sendirinya. Ini dikatakan kerana Rafael adalah waris daripada Sultan Amirul Rashid. Bermula dari sinilah sedikit demi sedikit penulis membina cerita mengenai misteri yang ada di rumah tersebut. Dua pendamping yang ada dinamakan sebagai Buragas dan juga Panglima Endai. Walaupun makhluk halus ini mahu bertuankan Rafael, namun beliau digambarkan sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan agama yang baik dan menolak permintaan tersebut. Beliau berusaha untuk memutuskan hubungan dengan makhluk tersebut. Panglima Endai menyatakan bahawa pertalian mereka hanya boleh terputus sekiranya Rafael menjalankan upacara putus khadam. Sekali lagi Rafael menolak kerana sekiranya beliau menjalankan upacara itu seolah beliau mengakui bahawa Endai adalah khadamnya dan khuatir terjerumus dalam perkara syirik.

Selain daripada watak Rafael, terdapat beberapa watak lagi yang dominan seperti mail Keding dan Osman yang menjadi sahabat rapat Rafael di perkampungan tersebut. Selain itu beberapa watak lain seperti penghulu, Pak Mat penjual mi dan isterinya serta beberapa rakan yang mengajar di sekolah. Selain daripada kisah tentang misteri rumah tersebut, diselitkan juga sedikit kisah jiwang antara Rafael engan seorang gadis orang asli bernama Cempaka yang akhirnya memeluk Islam dan menjadi tunangan Rafael. Namun pertunanagna mereka hanya berlansung selama sehari sebelum Cempaka mengalami kecederaan parah dalam kemalangan, koma dan akhirnya meninggal dunia. (kenapa cerita Melayu gemar sangan menggunakan unsur kemalangan dalam cerita. Sebelum Cempaka meninggal juga penulis memasukkan kisah kemalangan kapalterbang yang melibatkan abang rafael yang bertugas sebagai juruterbang. Kisah kemalangan mereka berdua ataupun kisah keseluruhan mereka berdua - Cempaka dan abang Rafael- sesungguhnya tidak menjejaskan cerita lansung)

Kisah misteri rumah sewa itu sebenarnya telahpun selesai selepas Buragas dan Endai ditewaskan oleh Ustaz Zahir. Namun selepas itu muncul pula watak pontianak yang menganggu kampung kerana membalas dendam di atas tewasnya Buragas dan Endai yang bertanggungjawab membebaskan pontianak tersebut daripada pasungan di Hutan Belum. dan selepas pontianak tersebut tewas juga novel ini masih belum tamat. ia dilanjutkan pula dengan kisah jiwa-jiwa Rafael tadi - bertunang dengan Cempaka, Cempaka meninggal, Rafael kuciwa sekejap, keluarga rekemenkan pula dengan Shamsidar, mereka kahwin dan barulah tamat!!

Dalam novel ini antara perkataan yang sering digunakan oleh penulis adalah pasung. Pada mukasurat 288 penulis mencatat; '.....dia melihat Demah dipasung di tengah tiang dengan menggunakan tali'. Hamba berasa seperti tidak tepat pula penggunaan perkataan pasung dengan tali. Serasanya lebih tepat 'diikat dengan tali'. Perkataan pasung apabila hamba merujuk kepada kamus online DBP menyatakan;

[pa.sung] | ڤاسوڠ

Definisi : alat daripada kayu yg diberi berlubang dan dipasangkan pada kaki atau pada leher orang yang dihukum atau pada orang gila supaya tidak lari dll: rumah ~ penjara. memasung memasang pasung pada; mengenakan pasung pada: Beberapa kali mereka mencuba ~ orang gila itu tetapi tidak berjaya. memasungkan memasukkan ke dlm rumah pasung; memenjarakan.

Justeru dari segi alat, ia lebih kepada sesuatu struktur berlubang yang boleh dimasukkan tangan atau kaki dan apabila digandingkan dengan bangunan ia akan menjadi penjara.


Rasanya penulis juga suka kepada nama Soot. Dalam novel ini Soot menjadi seorang pawang orang asli. Manakala dalam novel beliau Kakak Kemboja pula nama Soot adalah milik seorang ustaz yang bersifat material, mengubat orang hanya kerana mahu mendapatkan keuntungan.


Secara keseluruhannya kisah dalam novel ini tidaklah terlalu seram sehingga anda akan takut ke bilik air pada waktu malam. Tapi tetap menarik untuk dibaca kerana penceritaan yang baik dan lancar.

GEMPAK #410 Edisi Selamat Tinggal Majalah Fizikal



Pada isu majalah ini ke 407, pihak editorial mereka telah membuat satu pengumuman yang mengejutkan ramai pihak. Majalah ini akan dihentikan penerbitannya secara fizikal bermula tahun 2018. Isu #410, Disember 2017 bakal menjadi terbitan fizikal mereka yang terakhir. Selepas dari itu para pembaca Gempak hanya akan dapat menikmatinya secara digital. Tidaklah hamba pasti bagaimana pelaksanaannya nanti, yang pasti tentu ada bayaran yang dikenakan. Pejam celik pejam celik akhirnya kita tiba ke bulan Disember dan isu terakhir fizikal ini telahpun terbit. Hamba rasa isu terakhir ini boleh menjadi barangan berharga kepada para pengumpul komik.

Hamba percaya pihak pengurusan Gempak telahpun membuat kajian yang mendalam sebelum mengambil keputusan untuk perubahan medium ini. Tapi hamba secara peribadi tidak pasti apakah tindakan yang diambil ini adalah tepat. Bagi diri hamba sendiri, hamba lebih sukakan bahan bacaan yang dapat dipegang. Hamba pernah mengkhatamkan sebuah e-book, tetapi hamba tidak mendapat kenikmatan dengan membaca melalui skrin komputer. Lebih-lebih lagi majalah seperti Gempak lebih banyak memaparkan lukisan dan hamba lebih seronok membacanya di atas kertas berbanding di layar kaca.

Justeru, boleh hamba katakan sebuah lagi majalah kartun bakal berkubur (walaupun pembaca masih boleh menikmatinya di atas talian). Kini majalah humor berbahasa Melayu yang masih bertahan hanyalah Gila-Gila (belum pernah bungkus walaupun edarannya kini semakin mengecil dan hanya terbit sekali dalam sebulan), Bekazon dan Sempoi yang baru terbit isu yang pertama.



Isnin, 4 Disember 2017

MAJALAH SEMPOI #1



Beberapa bulan lalu hamba melawat sebuah pameran komik dan hobi di USJ. Melewati sebuah meja pameran, hamba disapa beberapa orang pemuda yang mempromosikan sebuah majalah humor yang baru. Walau bagaimanapun ketika itu majalah tersebut masih lagi belum wujud dalam bentuk fizikal dan dimaklumkan bahawa mereka sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan pihak KDN bagi meneribitkan majalah tersebut.

Kata mereka majalah yang bakal dinamakan Sempoi ini umpama membawa kembali nostalgia komik dan majalah humor era 80an dengan semua kartun dilukis dengan gaya Malaysia tanpa sebarang pengaruh manga atau manhwa. Mereka menawarkan tempahan awal dan akan diposkan kepada pembeli sebaik sahaja majalah tersebut siap dicetak.

Harga yang ditawarkan adalah RM12, satu harga yang tinggi bagi hamba. Hamba teringat akan majalah Boboi yang diterbitkan oleh Afdlin Shauki beberapa tahun yang lalu yang akhirnya turut menemui jalan penamat walaupun persembahan majalahnya agak mantap dengan dibarisi beberapa kartunis yang telah sedia mempunyai nama. Faktor harga mungkin menjadi penyebab. Jadi apabila Sempoi mengenakan harga RM12, hamba mengharapkan agar persembahannya lebih mantap daripada majalah humor sedia ada ataupun yang pernah terbit. Dalam hal ini hamba meletakkan majalah G3 dan Bekazon sebagai benchmark. Sebagai tanda sokongan hamba bersetuju untuk membuat tempahan majalah tersebut.

Hamba akhirnya menerima kiriman majalah tersebut dan telahpun selesai membacanya. Memang benar, mereka memang membawa pembaca ke era 80an. Tapi bukan ini gaya 80an yang hamba harapkan. Bagi hamba perkara '80an' yang hamba harapkan adalah kegemilangan pada zaman itu. Tetapi sempoi  tampil dengan kartun ala 80an, gaya persembahan/rekaletak grafik 80an bahkan idea lawaknya juga adalah dari zaman tersebut. Sewajarnya mereka mengkaji majalah-majalah yang pernah terbit dan menghasilkan produk yang lebih baik daripada majalah-majalah tersebut. 

Team Sempoi perlu memikirkan bahawa mereka bukan sahaja perlu menarik peminat generasi lama tetapi juga peminat generasi yang baru. Generasi baru yang hidup-hidup sahaja ke dunia telah dihidangkan dengan dunia teknologi pastinya mahukan persembahan majalah yang mantap daripada segi grafiknya. Pemikiran mereka yang terdedah dengan dunia internet, buku-buku indie pastinya mahukan idea kartun yang lebih segar.

Kebanyakan kartun yang ditampilkan adalah karya loose satu muka. Hanya ada beberapa sahaja kartun yang panjang. Kartun panjang adalah penting untuk sesebuah majalah. Hamba menjadi peminat Gila-Gila era 80an kerana adanya kartun panjang Ujang yang biasanya diletakkan Gila-Gila pada permulaan majalah mereka. Ini umpama killer cartoon pada persembahan sesebuah majalah. Selain itu majalah perlu ada beberapa cerpen jenaka yang bermutu. Ruangan Wassap Mai juga kelihatan umpama dikitar semula daripada ruangan Profesor Serba Tau di GG. Tidak keterlaluan hamba katakan edisi pertama ini 'diselamatkan' oleh penampilan Keladi dan Gayour.

Setakat ini tidak dimaklumkan sama ada majalah Sempoi akan menjadi majalah berkala atau sebaliknya. Ini memandangkan edisi nombor satu ini sendiripun tidak meletakkan ia keluaran untuk bulan tertentu. Tiadanya penerbitan yang tetap mungkin akan menyebabkan majalah ini kehilangan peminatnya nanti.

Sebagai pembaca majalah humor semenjak penghujung 70an lagi, hamba berharap agar majalah ini akan dapat bertahan lama. Dengan syarat barisan redaksinya perlu melakukan post mortem, mengkaji persembahan majalah lain, mengkaji pandangan khalayak dan mengetahui apa kehendak mereka. Lainlah jikalau penerbitannya hanya untuk mengisi kepuasan diri sendiri sahaja.....

Sempoi, tolong bangkit untuk kekal sempoi........


KEMBARA DARUS SENAWI 1963 - Darus Senawi & Izzat Ibrahim

  Hamba tidak dapat menahan diri daripada mencapai buku ini dan melihat isi kandungannya. Lagipun ini kali pertama hamba memasuki kedai buku...