Selasa, 29 September 2020

DI BAWAH SINAR MATAHARI - Shaharom Husain


Walaupun naskhah ini ditulis dalam bentuk novel, membacanya terasa seolah sebuah kajian ilmiah. Hampir tidak terasa bahawa naskhah ini adalah sebuah novel lantaran padatnya maklumat yang disampaikan lewat dialog watak-wataknya. Di Bawah Sinar Matahari adalah pengalaman penulis sendiri yang pernah melalui kehidupan di zaman Jepun dibantu oleh bahan-bahan zaman berkenaan yang menjadi koleksi peribadi beliau. Naskhah ini adalah naskhah yang berharga kerana kisahnya datang daripada mereka yang pernah melalui zaman berkenaan. 

3 tahun 8 bulan merupakan satu tempoh yang tidaklah begitu panjang berbanding dengan tempoh pendudukan oleh lain-lain kuasa penjajah. namun tempoh tersebut merupakan masa yang paling diingati oleh penduduk Tanah Melayu dan membawa kepada suatu perubahan besar kepada penduduknya. Kedatangan Jepun pada awalnya diharapkan membawa perubahan kepada penduduk Tanah Melayu, apatah lagi dengan slogan Asia untuk Asia, ia membayangkan bahawa Tanah Melayu akan bebas dan dapat memerintah sendiri. Di samping itu rakyat juga mengharapkan selepas itu mereka akan dapat membeli barang-barang dengah harga yang lebih murah.

Namun rupanya Jepun datang dengan segala bentuk kekerasan dan penyiksaan. Hukuman pancung, tembak, makian, penampar, minum air sabun dan kemudiannya dipijak perut, dicabut kuku, menjadi buruh paksa dan pelbagai lagi bentuk kezaliman. Rakyat amat takut dengan kempetai. Rakyat bukan sahaj takut dengan Jepun bahkan dalam masa yang sama MPAJA juga turut sewenang-wenangnya membunuh orang ramai. Jadi rakyat memang benar-benar hidup dalam ketakutan.

Dalam buku ini selain daripada keganasan Jepun, penulis cuba membawa sisi lain mereka yang dipaparkan melalui perbualan watak-wataknya. Terdapat juga pegawai Jepun yang cuba berlaku adil dan melindungi orang ramai terutamanya orang cina yang selalu menjadi mangsa kezaliman Jepun. Dalam hal ini nama Mamoru Shinozaki antara yang selalu disebut-sebut. Penulis bahkan menulis satu bab khusus buat beliau. Mamoru Shinozaki yang pernah bertugas sebagai perisik sebelum perang merupakan pegawai Jepun yang bertindak membawa keluar 100 ribu orang cina Singapura membuka penempatan baru di Endau yang dinamakan Syonan Baru. Di sana mereka boleh bercucuk tanam membuat makan sendiri. Mamoru kemudiannya telah menulis pengalaman beliau semasa perang di dalam bukunya yang bertajuk Syonan-My Story, The Japanese Occupation Of Singapore.

Bekalan makanan adalah amat sukar semasa perang. Justeru Jepun menggalakkan rakyat tanah Melayu bercucuk tanam. Beberapa kawasan baru telah dibuka. Selain Syonan Baru, kawasan lain adalah seperti di Bahau, Negeri Sembilan dan beberapa pulau di sebelah Indonesia seperti Bentan. Mendapatkan beras adalah sesuatu yang sukar, kalau adapun beras yang bercampur dengan kapur. Makanan dicatu, gula tebu tiada dan minuman biasanya menggunakan gula Melaka untuk rasa manis. Begitu juga dengan pakaian. Rakyat hanya menggunakan pakaian sedia ada sejak zaman British. Melihat orang memakai pakaian bertampal-tampal adalah perkara biasa. Ada juga yang menggunakan guni untuk dijadikan pakaian. Mayat yang ditanam hanya menggunakan tikar mengkuang atau daun pisang. Segala-galanya nampak sukar.

Sistem pendidikan Tanah Melayu telah diJepunkan. Anak-anak berdiri mengadap matahari pagi sambil menyanyikan Kimigayo. Didoktrin agar menumpahkan taat setia kepada Tenno Heika. Acara-acara sambutan di sekolah turut berkait dengan Jepun. Mereka bahkan pernah mementaskan lakonan kejayaan Jepun menakluki Tanah Melayu. Anak-anak yang cemerlang dijanjikan untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun. Disiplin keras diterapkan dalam setiap aspek.

Penulis di dalam tulisannya memasukkan unsur dakwah terutama daripada segi tauhid. Semasa Jepun, mereka mahukan rakyat di tanah Melayu menjadi hampir seperti mereka. Tunduk kepada matahari, tempat-tempat suci mereka yang mana ini satu larangan dalam Islam. Justeru melalui beberapa watak orang tua, mereka mengingatkan agar tetap menjaga keimanan dan sama sekali tidak terpesong dari landasan agama. Hal ini ada penulis catatkan di dalam banyak bab bagi menunjukkan pentingnya menjaga iman.

Andainya Little Boy dan Fatman tidak gugur di Hiroshima dan Nagasaki, tidak mustahil Jepun masih mentadbir negara ini. Mungkin blog yang sedang hamba karang ini tidak menggunakan bahasa Melayu sebaliknya bahasa mereka. Kita mungkin telah menjadi Jepun di Asia Tenggara, bercakap bahasa mereka dan berbudaya seperti mereka. Namun kedatangan mereka telah membawa perubahan kepada sikap patriotisme penduduk Tanah Melayu. Selepas mereka pulang orang kita mulai semakin kuat perasaannya untuk berkerajaan sendiri. Kita tahu apa yang berlaku selepas itu, penentangan terhadap British semakin hebat terutama apabila mereka menganjurgan gagasan Malayan Union. Hanya lebih kurang 12 tahun sahaja selepas Jepun pergi, kita mendapat kemerdekaan sendiri!


Khamis, 24 September 2020

KAMPUNG MONGKOS - 6 HARI SEBELUM LOCKDOWN!



Hamba agak teruja apabila Program Kesihatan Persekitaran Institut kali ini memilih Kampung Mongkos di Serian sebagai lokasi amali dan CSR mereka. Lagipun ini kali pertama hamba berkunjung ke destinasi ini. Ketika kunjungan ini dunia telahpun mula gusar dengan wabak Covid-19 (ketika itu masih lagi dipanggil corona virus). Bahkan ketika program ini masih berlansung hamba sering 'diganggu' panggilan telefon dari ibupejabat bagi mengatur gerak kerja menghadapi penyakit ini. Hamba bersyukur kerana program ini dapat berjalan dengan lancar kerana hanya selepas enam hari program ini berakhir, perintah kawalan pergerakan (PKP) telah bermula di negara kita. Kalau tidak sangkut lama hamba di Sarawak!



Kampung Mongkos sememangnya sebuah kampung yang menjalankan industri inap desa dan agak terkenal di kawasan ini. Terletak tidak jauh dengan sempadan Indonesia ia dihuni oleh pelbagai etnik dengan majoritinya adalah etnik Bidayuh. Mengikut ketua kampungnya, encik Wilson, semenjak tahun 1879 lagi kampung ini telah mula berpenghuni. Kini terdapat 191 keluarga dengan 1200 orang penduduk. 90% penduduknya bekerja sebagai petani.

Penduduknya tinggal di rumah jenis kampung biasa dan terdapat sebuah rumah panjang yang dibina sekitar 1950 di situ. Di sebelah rumah panjang itu terdapat sebuah bangunan besar dua tingkat tempat kami menginap dan makan. Hamba mendapat sebuah bilik yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku berbahasa Inggeris. Petang berkenaan hamba sempat meninjau sekitar kampung. Rumah penduduknya agak rapat. Terdapat beberapa orang tua yang duduk-dudk di depan rumah berbual-bual kosong. Beberapa rumah menggantung tikar yang siap bergulung di kawasan hadapan. Ya, tikar kulit kayu yang kau orang beli mahal-mahal tu dan hampar di ruang tamu, orang kampung buat hamparan jemur lada hitam saja. Hamba berpeluang juga melawat kawasan kebun lada hitam mereka.







Di sini terdapat satu kawasan bongkah batu yang digelar Bukit Batu Kapal. Dongeng menyatakan ia berasal daripada sebuah kapal yang disumpah. Bukit berkenaan hanya menyerupai muncung kapal dan bukanlah merupakan bentuk sebuah kapal betul. Di bawahnya terdapat laluan berbentuk gua kecil yang boleh tembus ke bahagian lain. Hamba mulanya ingatkan akan melalui jalan pulang sama seperti jalan datang. Tetapi penduduk yang membawa hamba dan rakan-rakan membawa kami mengikut jalan lain yang memaksa kami melalui kawasan belukar dan semak yang tinggi yang jelas bukan kawasan laluan biasa.



Anak-anak pelatih Program Kesihatan persekitaran ini melakukan beberapa aktiviti bersama penduduk di sini seperti pemeriksaan air minum, ceramah, pameran dan promosi kesihatan dan banyak lagi. Bagi pameran dan promosi kesihatan, kami turut disertai oleh pelatih dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Kuching (Kesihatan Awam). paling menarik apabila dua kumpulan pelatih ini memperlihatkan pencak masing-masing yang mempunyai sedikit perbezaan. Penduduk kampung juga turut meraikan kami dengan membuat sedikit persembahan kebudayaan.











Bagi aktiviti pemeriksaan bekalan air, kami perlu hiking lebih kurang 40 minit merentasi kawasan kebun dan hutan. Penduduk mendapat bekalan air mereka melalui sungai Mongkos yang turut melalui kampung mereka. Di kawasan hulu sungai, kerajaan telah menyediakan peralatan menapis air bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air yang bersih. Ia dipantau oleh jabatan Kesihatan Negeri. Jadi pada hari berkenaan para pelatih dengan dipantau oleh para pegawai jabatan telah melakukan pemeriksaan sampel air.
Walaupun kampung Mongkos jauh dari bandar dan terletak di kawasan yang dikelilingi hutan, cuaca ketika itu agak panas dan berbahang. Hamba tidak perlu lansung dengan selimut pada waktu malam. Mujur juga begitu, kalau tidak air mandi pagi mesti sejuk macam air batu!








Jumaat, 18 September 2020

THE KING SULAYMAN: MISTERI HAIKAL DAN KERAJAAN NABI SULAIMAN - Abu Muhammad Arafah Adha

Kredit imej FB Hijjaz Records Publishing


Tajuk buku ini nampak hebat. Ia menggambarkan sesuatu yang besar. Kerana tajuk inilah hamba tertarik untuk membelinya. Ia seolah menggambarkan satu kajian lengkap lagi berautoriti tentang Nabi Allah Sulaiman serta perkara-perkara yang berkaitan baginda seperti haikal, tabut, Puteri Balqis dan sebagainya.

Melihat tajuk-tajuk kecilnya juga akan membuatkan pembaca teruja. Hamba mula percaya bahawa hamba akan mendapat maklumat yang banyak serta terperinci. Namun menelusirinya sehingga selesai hamba terasa sedikit kecewa. Segala bab dan tajuk kecil tidaklah dibincangkan atau dikaji secara terperinci. Ia umpama satu ringkasan umpama kata-kata - 'cukuplah kau tahu banyak tu, tak payah nak detail sangat!' Ya hamba pada mulanya berharap buku ini sepertimana tulisan penulis seperti Muhammad Alexander aka Alexander Sasongko penulis Alexander Adalah Zulqarnain, yakjuj & Makjuj Bencana Di Sebalik Gunung, Luqmanul hakim Adalah Socrates Berkulit Hitam (sekadar menyebut beberapa tajuk).

Seandainya tajuk sebegini dipilih, seharusnya penulis telah bersedia dengan rujukan yang besar-besar sama ada melalui kitab-kitab turath, ulama' besar mutaakkhirin juga sumber-sumber Yahudi dan Nasrani itu sendiri seperti kitab-kitab mereka yang kemudiannya akan dilakukan perbandingan dan proses tabayun. Tapi kadang-kadang cerita yang dihidangkan pun kadangkala tergantung. Seperti bab Kisah Harut dan Marut. Awal bab ini dinyatakan akan tuduhan Yahudi bahawa ilmu sihir itu diturunkan melalui lisan malaikat Jibril dan Mikalil. Lau bagi membahaskan tuduhan ini kemudiannya dibawakan satu hadith marfu' berkenaan Harut dan Marut. habis sahaja haidth berkenaan maka kisah bab inipun tamat. Hadith berkenaan tidak pula bercerita tentang kisah ilmu sihir bahkan ia juga memerlukan penjelasan yang lebih panjang lebar sebab kisah Harut dan Marut, kaitannya dengan ilmu sihir tidak dapat dijelaskan melalui hadith itu sahaja. Kisah Harut dan Marut apa yang pembaca boleh dapati dalam tulisan bab yang hanya 3 mukasurat dengan font besar dan langkauan (spacing) yang luas ini!

Ada juga bab khusus yang cuba mengaitkan Nabi Sulaiman dengan orang Melayu. Bab ini juga kabur. Apabila bab ini menggunakan perkataan 'dikatakan', 'sesetengah pihak membuat andaian', ia adalah sesuatu yang belum pasti, kabur, tiada sumber sahih, cuma provokasi. Andainya mahu dinaikkan martabat Melayu, hamba sokong, tapi biarlah ada nasnya, dalilnya yang kuat - bukannya andaian. Bahkan cerita 'kaitan' itu sendiri tidaklah banyak mana lebih lebih lagi ia banyak bersifat andaian. Kisah kaitan ini sewajarnya dibincangkan dengan serius sekiranya ia benar. Tidak perlu perbincangan perkara lain yang tidak begitu ketara kaitannya seperti takrif kalimah Melayu yang memakan hampir separuh bab pendek ini.

Tulisan ini tidak bermaksud menyalahkan penulis apatah lagi merendahkan kredibiliti beliau. Hamba faham kadangkala penerbit sendiri mahukan tajuk yang bombastik, fantastik, mr. Loba Loba untuk memacu jualan. Tetapi sebagai pembaca yang dahagakan ilmu, kita ada ekspektasi terhadap sesuatu buku apatah lagi apabila melihat tajuk serta bab-bab yang ada di dalamnya. Bab-bab di dalam buku ini telah cantik cuma ia tidaklah ditulis secara terperinci. Apabila dilihat senarai rujukan di belakang, banyak rujukan adalah buku-buku penulis tempatan yang terbit hanya beberapa tahun sebelum buku ini dikeluarkan. Begitu juga dengan beberapa penulis luar yang rata-ratanya terbit seawal tahun 2000 dan ke atas. Penulisan seperti ini memerlukan pengorekan dari sumber Yahudi dan Nasrani itu sendiri dan bukannya dari sumber yang penulis lain dapatkan daripada penulis lain yang mereka juga dapatkan daripada penulis lain. Buku ini selain tajuknya, diselamatkan oleh kertasnya yang tebal dan bermutu tinggi selain reka letak dan grafik yang menarik yang hamba percaya banyak didapati di internet juga.

Buku ini boleh saja dinamakan Kisah Ringkas Nabi Sulaiman!

Sabtu, 12 September 2020

KEMBARA PENIAGA JALANAN - Ikram Al-Banjari

Kulit depannya direka hampir menyerupai poster wayang Kembara Seniman Jalanan (KSJ) lakonan M.Nasir pada tahun 1986. Bezanya memfokuskantentang perjuangan membasmi cetak rompak dalam dunia seni manakala buku ini adalah rakaman pengalaman seorang usahawan yang mempunyai pengalaman yang begitu banyak sebagai seorang peniaga jalanan.

Terlebih dahulu suka hamba nyatakan bahawa penulis buku ini menjadi seorang peniaga jalanan bukanlah kerana beliau tidak mempunyai kelulusan atau seorang yang gagal dalam pelajaran. Tidak, bahkan beliau mempunyai kelulusan ijazah dari sebuah universiti tempatan. Beliau menjadi peniaga jalanan kerana minat. Dan kita jangan pula sangka bahawa peniaga jalanan ini pendapatannya besher beshe sahaja. Kadangkala pendapatan mereka berniaga tiga tiga hari, terutamanya di tapak-tapak ekspo, melebihi gaji kita yang makan gaji ini beberapa bulan. Jadi kita yang makan gaji tak usah nak eksen dengan penampilan kemas, baju kemeja kasut kilat kereta menjalar. Walaupun mereka kadangkala kelihatan selekeh, memandu kereta kecil, pendapatan mereka mewahnya berganda!

Penulis memang minat berniaga. Bahkan beliau telah mulakan semenjak bersekolah rendah lagi dengan menjual buah jambu potong. Minat beliau ini diteruskannya lagi ke peringkat selepas itu hinggalah ke peringkat universiti. Satu yang hamba nampak, beliau amat merendah diri. Beliau tidak segan untuk meminta kerja dengan peniaga jalanan tertentu semata-mata untuk mengorek ilmu mereka. Beliau akan mendengar dengan sabar penerangan mereka dan tidak sekali-kali menunjukkan beliau tahu. Biar nampak bodoh agar kita dapat menadah ilmu dengan lebih banyak. Sifat beliau yang rajin ketika bekerja membuatkan tuan punya perniagaan tidak lokek memberikan ilmu dan rahsia perniagaan mereka.

Kita akan terkejut bila membaca buku ini apabila mendapati bahawa beliau mencuba pelbagai macam perniagaan. Hidup kena rajin dan berani mencuba. Ini yang beliau cuba sampaikan kepada pembaca. Cuba baca kisah beliau yang ke Tawau dan Filipina secara bersendirian bagi mencari peluang perniagaan mengeksport ikan tuna ke Jepun. Tanpa sebarang contact person yang dikenali, beliau berani gamble sahaja. Tawakal beliau tinggi dan semua itu tidak sia-sia. Kerja perlu serius dan bukannya main-main. Hari ini perniagaan beliau ada bermacam. Turun naik kapal terbang sudah menjadi perkara biasa. Tapi naik kapal terbang bukan naik kosong saja-saja. Otaknya ligat memikirkan peluang perniagaan.

Sebagai peniaga jalanan mereka tidak akan lepas daripada tindakan penguatkuasa. Sila anda baca dan lihat bagaimana beliau berinteraksi dengan penguatkuasa. Tidak perlu kepada rasuah atau maki hamun. Kalau salah bayar sahaja dan beliau anggap seolah membayar sewa tapak niaga. Saman pun tak tinggi dan lebih baik daripada barangan diangkut lori. Walaupun berhari disaman, beliau tetap cool dan kesabaran ini berbaloi apabila anda membaca hujung cerita. Perlu diingat bahawa penguatkuasa juga manusia, kasar kita berinteraksi maka kasar jugalah mereka.

Seorang penceramah yang berjaya pernah berkata,  a good businessman is a person who can sell an ice box to the Eskimos! dan hamba nampak beliau adalah salah seorang darinya.

Anda yang berminat dalam dunia perniagaan harus membaca buku ini untuk mencari semangat dan belajar daripada pengalaman penulis. Punyalah hebat beliau berniaga sehinggakan seluar yang beliau pakaipun ada orang nak beli. Sebagai peniaga beliau pentingkan pelanggan. Apa susah, londehkan saja dan jual.





RETRO BOLA SEPAK - Jemaah Retro Bola Sepak

Kecuali majalah berkenaan bola sepak, buku berkenaan sukan ini rasanya jarang-jarang ditulis oleh penulis kita. Namun tulisan di buku ini bukanlah satu tulisan khas untuk sebuah buku asalnya. Ia adalah antara posting yang pernah tersiar di laman Facebook Retro Bola Sepak, sebuah laman sosial yang membicarakan segala-gala tentangb bola sepak.

Buku ini mempunyai banyak sub topik yang dipecahkan kepada dua iaitu bola sepak malaysia dan bola sepak antarabangsa. Bagi segmen tempatan, ia banyak membicarakan tentang sejarah bola sepak tanah air, beberapa perlawanan penting yang melibatkan Harimau Malaya serta pasukan negeri serta tokoh-tokoh bola sepak tempatan. Tapi hamba tengok kalau bicara tentang pasukan negeri, lebih banyak cerita pasuka Selangor yang keluar. pasukan lain bicaranya shedikit shedikit (mungkin ada di sebut di laman mereka), pasukan macam Negeri Sembilan haram tak diungkit macam orang Negeri Sembilan tak reti main bola. Yalah walaupun Selangor antara pasukan besar, kalau asyik pasal pasukan berkenaan pun muak juga. Lagipun cerita Selangor kita dah biasa baca dan dengar. Pasukan lain yang jarang dengar inilah berkemungkinan mempunyai sejarah yang tidak kurang menariknya.

Dalam segmen sejarah bola sepak antarabangsa pula pelbagai kisah diceritakan dan bagi hamba ia amat menarik sekali. Sejarah asal bola sepak, bagaimana peraturannya bermula, kelab-kelab tertua, perlawanan-perlawanan yang dianggap klasik, jenama-jenama old school but dan pakaian bola sepak, bagaimana rekabentuk tertentu menjadi jersi pasukan dan sebagainya. Cerita-cerita dalam segmen antarabangsa ini bentuknya boleh juga dijadikan penulisan untuk arena tempatan. Kita nak tahu juga bagaimana kelab bola sepak di tanah air bermula, kenapa jersi pasukan ini bentuknya begini, apa jenis but yang orang dulu-dulu gunakan, apa perlawanan bola sepak pertama tempatan dan sebagainya - tak adalah asyik cerita Selangor je kan! Kalau cerita tak ada air pun Selangor jugak!

Dari segi gaya penulisan, hamba boleh puji sidang Jemaah Retro Bola Sepak. Penulisan mereka baik dan susunannya teratur. Mereka tahu bagaimana nak memikat perhatian pembaca. membaca artikel mereka tidak membosankan tanpa menggunakan istilah-istilah yang berat. Yang lebih penting mereka menggunakan bahasa Melayu yang standard tanpa perlu mengggunakan slanga atau bahasa mencarut. 

Hamba harap mereka boleh menulis sejarah bola sepak tanah air dengan lebih banyak dan terperinci lagi. Wajar juga ditampilkan lebih banyak gambar memandangkan buku ini amat miskin dengan gambar.

Isnin, 7 September 2020

CETAK ROMPAK KEPALA BAPAK - Nasir Jani



CETAK ROMPAK KEPALA BAPAK!!! - kasar benar bunyinya. Sebagaimana kasar bunyi tajuknya, begitulah juga nada penyampaian buku ini,. Ia adalah luahan ikhlas sekeping hati, tanpa ada sebarang sensor. Ia adalah kemarahan yang telah disimpan selama puluhan tahun. Ia bukan luahan yang bersifat apologetik bahkan kandungannya begitu berterus terang.

Walaupun buku ini ditulis oleh Nasir Jani, ia juga adalah pemikiran bersama rakan baiknya - Ito Blues Gang. Kedua figura ini begitu dikenali bukan sahaja dengan bidang masing-masing - nasir jani dalam dunia perfileman manakala Ito dalam dunia muzik - tetapi juga dalam perjuangan mereka terhadap cetak rompak. Isu cetak rompak biasa ditemui di dalam akhbar, siaran televisyen ataupun radio. Belum ada lagi yang menulis buku khas mengenainya. Nasir Jani mengakui bahawa penulisan buku ini bukanlah dibuat berdasarkan mana-mana kajian ilmiah atau akademik, ia adalah tulisan atau lebih tepatnya luahan hati beliau dan Ito berdasarkan pengalaman beliau sendiri dan apa yang beliau lihat sepanjang hidup beliau. Kerana itu dari mula hingga akhir buku ini apa yang pembaca akan hadam adalah segala-gala yang berkaitan cetak rompak yang dipersembahkan mengikut gaya 'suka hati penulislah' tanpa terikat dengan gaya sebuah kajian akademik. Ia dipersembahkan melalui tulisan penulis serta dialog antara beliau dan Ito. Justeru jangan terperanjat apabila bertemu kata-kata kesat dan makian yang ada. Ia benar-benar luahan kegeraman.

Cetak rompak bukanlah perkara baru. Ia telah ada semenjak manusia pandai membeli album penyanyi kegemaran mereka. Nasir Jani dan Ito cenderung bahawa lanun cetak rompak barangkali pemilik syarikat rakaman juga, cuma mereka tidak mempunyai bukti. Boleh jadi juga pemilik syarikat yang mencetak album-album berkenaan memandangkan mereka yang menyimpan master tapenya. Yang ajaibnya album cetak rompak kadang-kadang berada di pasaran mendahului yang asli. Boleh jadi juga ahli politik dan pemimpin tertentu terlibat. Dalam hal ini beberapa nama ahli politik turut disebut. Nasir Jani dan Ito turut meluahkan kekeceaan mereka kepada para penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas dengan baik. Namun ada juga penguatkuasa yang mendapat pujian mereka kerana begitu komited melawan cetak rompak sehingga beliau mati dibunuh.

Buku ini hanya berkisah tentang cetak rompak. Jikalau anda tidak berminat dengan isu ini ia mungkin mendatangkan kebosanan. Tetapi wajar juga anda menyelami rasa hati penulis. Ia bukan sekadar luahan hati, penulis mahu anda faham apa yang akan terjadi sekiranya anda terus membeli barangan cetak rompak, apa nasib harta intelek, siapa yang akan lebih mendapat keuntungan dan siapakah yang paling teraniaya.

Selamat membaca!!





Ahad, 6 September 2020

JUARA - S. Othman Kelantan



Selatan Siam adalah kawasan negeri-negeri Melayu yang terpisah dari alamnya disebabkan kelicikan politik penjajah. Kerana penjajahan itu orang Melayu hilang kuasanya, kesultanannya lenyap, bahasanya cuba dihapuskan dengan tiadanya pendidikan secara rasmi. Anasir Siam sedikit demi sedikit mula menguasai penduduk di kawasan berkenaan. Orang Melayu di sana dengan Melayu di sini adalah bersaudara, lebih-lebih lagi yang berada di kawasan sempadan. Budaya kita adalah sama.

Juara adalah kisah orang Melayu di selatan Siam sekitar awal tahun 60an atau beberapa tahun selepas merdeka. Fokusnya adalah kepada watak mamat, seorang pemimpin politik dari Kelantan yang berhijrah ke Bangnara setelah dua kali gagal dalam pilihanraya. Beliau merasakan bahawa rakyat telah menolaknya. Di Siam, abang Lazim telah memberikan bantuan yang banyak kepada Mamat. Kerana itu apabila Lazim mati dibunuh selepas kejayaan lembunya Calet mengalahkan Langsat milik Pak Isa, Mamat amat menyimpan dendam.

Juara atau jogho adalah istilah kepada petarung lembu di gelanggang. Pertarungan lembu adalah budaya Melayu lama. Setelah perjudian di Kelantan diharamkan, kegiatan tersebut hanya tertumpu di selatan Siam. bahkan orang Kelantan yang menjadi tahi judi akan menyeberang sempadan untuk menyaksikannya. Mamat adalah juara lembu. Beliau digambarkan sebagai seorang yang pelatih lembu yang baik serta mempunyai banyak tipu muslihat dalam pertarungan. Kejayaan mamat di bong banyak dibantu oleh pengetahuannya ini. Perlawanan di bong mempunyai peraturannya yang tersendiri dengan diadili oleh seorang kamkan. Ia adalah medan perjudian ala kampung. Para petarung bertaruh atas suatu jumlah dan para penonton turut sama mempertaruhkan wang mereka.
Perjudian adalah haram kerana ia membawa lebih banyak keburukan sama ada kepada diri sendiri atau kepada keluarga dan masyarakat. Kegiatan laga lembu yang merupakan perjudian ini menjelaskannya. Para juara lembu mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Sekali imbas ia kelihatan seperti sebuah kumpulan kongsi gelap yang tidak tersusun. Setiap puak berusaha untuk menang kerana ganjaran yang ditawarkan adalah besar. Yang kalah berkemungkinan akan hilang segala hartanya. Kekalahan boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan itu boleh berlarutan kepada pergaduhan, pergocohan sehingga kepada pembunuhan. Kerana itu Lazim dibunuh. Pak Isa dan gu nya merasakan kekalahan lembu mereka - Langsat adalah secara tidak adil, kerana tipu daya Mamat di dalam bong.
Di sebelah sana, apabila seseorang membuat angkara, maka ia akan melarikan diri buat beberapa ketika bagi meredakan suasana. Ketakutan mereka adalah kepada serdadu Siam. Jika mereka ditahan, mereka mungkin disiksa di dalam tahanan. dan itulah yang amat menakutkan mereka kerana siksaan itu tidak dapat dibayangkan. Namun walaupun kes itu telah sejuk di pihak serdadu Siam, mereka masih lagi perlu berdepan dengan keluarga yang dibunuh yang biasanya dendam mereka tidak akan surut. Justeru di dalam Juara, serdadu Siam digambarkan kejam, menyiksa dahulu sebelum bertanya. sekiranya dalam tempoh beberapa hari itu tiada keluarga mangsa yang datang menuntut, maka yang telah ditangkap (dan sekaligus disiksa) boleh dilepaskan begitu sahaja.
Orang-orang Mamat kemudiannya berjaya membunuh Dolah Munduk, salah seorang pengikut Pak Isa yang dipercayai terlibat dalam membunuh Lazim dan Calet. Mereka juga lari menyembunyikan diri. Agak malang bagi Mamat kerana beliau ditangkap serdadu Siam walaupun tidak terlibat secara lansung. Mamat turut disiksa walaupun penulis tidak memperincikannya. Selama 15 hari Mamat menanggung siksa sebelum dibebaskan.
Hari ini tidak ramai orang tahu tentang laga lembu, bahkan ilmu tentang lembu - jenisnya, mana baka laga yang baik, cara melatih dan sebagainya. S. Othman Kelantan ternyata mempunyai pengetahuan dalam hal ini. Kalau tidak novel ini tidak akan nampak hidup. Cara
beliau mengendalikan Calet dan Aral serta melatihnya digambarkan dengan baik sekali. Beliau tahu apa kriteria yang baik pada seekor lembu laga, apa latihan yang diperlukan, makanan yang baik serta cara pelepasan lembu di bong yang boleh menentukan kemenangan seseekor lembu.
Naskhah Juara telah difilemkan oleh sutradara U Wei Asaari dengan tajuk Jogho. Dalam Jogho terdapat beberapa perubahan dari segi dialog dan perjalanan cerita bagi disesuaikan dengan sebuiah filem. Kita wajar membaca naskhah asalnya dahulu sebelum menonton Jogho



Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.



PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...