Rabu, 28 Julai 2021
LUMPU - Tere Liye
Isnin, 26 Julai 2021
PAHLAWAN RIMBA MALAYA DAN KORBAN KESUCIANNYA - Keris Mas
Novel ini dikeluarkan dalam Edisi Malaysia Membaca di mana harga jualannya agak murah berbanding biasa, demi menggalakkan masyarakat Malaysia membaca. Dalam Edisi Malaysia Membaca ini telah diterbitkan semula karya-karya terbaik para Sasterawan Negara. Seharusnya masyarakat mengambil peluang untuk menambah koleksi bacaan lantaran harga yang berbaloi ini tanpa sedikitpun mengurangkan mutu percetakan.
Novel ini memuatkan dua karya terawal Sasterawan Negara Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaludin Muhamad. Lantaran kedua karya ini nipis sahaja, ia disatukan dalam sebuah buku. Justeru kita beruntung kerana dapat membaca dua karya dalam satu buku. Hamba memilih untuk mendapatkan novel ini setelah membaca fragmennya di dalam buku Koleksi Terpilih Sasterwasan Negara Keris Mas. Fragmen Pahlawan Rimba Malaya telah menarik minat hamba ketika itu kerana terasa seperti membaca sebuah kisah penyiasatan.
Kedua-dua novel ini ditulis sekitar tahun 40an sekaligus menggunakan latar masa zaman berkenaan. Pahlawan Rimba Malaysia lebih khusus lagi menggunakan latar masa zaman pendudukan Jepun. Pada permulaan buku ini penerbit telah memuatkan satu petikan daripada '30 tahun Sekitar Sastera: Memoir Keris Mas', yang menceritakan sedikit sebanyak tentang pembikinan novel Pahlawan Rimba Malaya. Novel berkenaan asalnya ditulis sebanyak 150 halaman namun akhirnya tinggal 59 halaman sahaja. Pelbagai sebab yang menyebabkan novel berkenaan menjadi pendek seolah-olah satu sinopsis atau tinggal patinya sahaja. Antaranya ialah alasan penerbit bahawa mereka kekurangan kertas. Ketika itu negara baru sahaja terlepas daripada cengkaman Jepun dan sememangnya peralatan untuk mencetak, kertas serta dakwat mengalami kekangan ketika itu. Novel berkenaan asalnya mahu diterbitkan di Singapura tetapi tiada syarikat yang sanggup disebabkan kekangan yang disebukan tadi. Akhirnya ia dibawa pula ke Kota Bharu. Walaupun pada asalnya ia nampak seperti berjalan lancar tetapi penerbitan di sana juga mengalami masalah yang hampir serupa. Selain itu Keris Mas turut dinasihatkan oleh seorang sahabatnya yang rapat dengan pihak berkuasa agar memotong bahagian novel berkenaan yang mengandungi kisah tentang perjuangan yang memberansangkan semangat politik anti penjajahan. Selepas daripada nasihat kawan berkenaanlah tiba-tiba pihak pencetak mengatakan bahawa mereka kekurangan kertas. Agak malang kerana manuskrip asal novel berkenaan telah hilang daripada simpanan Keris Mas. Jika tidak pastinya penerbit hari ini boleh mengulang cetak versi penuh novel berkenaan.
Memang agak terasa akan betapa ringkasnya perjalanan cerita Pahlawan Rimba Malaya. Walaupun telah diringkaskan, Keris Mas sebenarnya masih berjaya untuk mengekalkan mutu penulisan yang baik. Ia adalah sebuah kisah masyarakat kita di zaman pendudukan Jepun di mana ada pejuang kita yang berjuang secara bawah tanah demi mengusir mereka dari Tanah Melayu. Dalam usaha membebaskan tanah air ini, Keris Mas turut memasukkan unsur kerjasama berbilang kaum dalam usaha menentang Jepun ini. Sesunggguhnya kehilangan manuskrip asal novel ini adalah sesuatu yang merugikan dunia sastera tanah air.
Korban Kesuciannya adalah kisah para pemuda dan pemudi bangsa yang cuba membawa perubahan dalam masyarakat demi memajukan pemikiran dan cara hidup mereka. Empat watak utamanya iaitu Aini, Aminah, Asri dan Busu merupakan pemuda dan pemudi yang mempunyai wawasan yang tersendiri. Namun kesemua mereka akhirnya 'gagal' disebabkan oleh keadaan masyarakat ketika itu yang belum terlalu boleh menerima pembaharuan. Ini diburukkan lagi unsur fitnah sehingga secara perlahan-lahan mendatangkan kesan besar kepada empat watak tersebut. Dan sekiranya diteliti dengan mendalam, walaupun kisahnya berlatarkan tahun 40an, kisah yang serupa sebenarnya masih lagi menjadi duri dalam daging masyarakat kita.
Kedua-dua kisah ini baik untuk dibaca bagi kita menyelami dan merasai cara pemikiran, suasana dan keadaan pada zaman tersebut, zaman di mana Tanah Melayu masih lagi belum merdeka!
Ahad, 25 Julai 2021
SILAT BOY #3 TIGA PENJURU - Ben Wong
Ketiga-tiga installasi (setakat ini) Silat Boy hamba habiskan dalam masa satu hari (dengan sedikit daripada bahagian 3 disambung esok sebab terlelap ketka membacnya). Cerita yang begitu menarik beserta dengan lukisan yang mantap menyebabkan diri merasa tidak sabar untuk mengetahui sambungannya. Tapi melihat kepada penerbitan komik ini, ia seolah-olah terbit setahun sekali. No 1 terbit pada 2018, No 2 pada 2019 dan yang ini pada tahun ini (2021). Tahun 2020 Ben Wong keluarkan Ultra Qalif X Silat Boy #1 : Liga Rahsia yang ceritanya berlainan daripada installasi ini. Aiiyyyo, siapa yang bersalah ni? Ben Wong yang lambat hantar lukisan ke atau produksi Komik -M yang merancang strategi pemasaran sebegini. Payahlah kalau begini. Nak tunggu 10 komik Silat Boy akan memakan masa 10 tahun! Hamba dah nak pencen wehhh!!
Sejak mengikuti kisahnya daripada komik yang pertama, hamba ingatkan kisah Silat Boy ini berlatar masa pada waktu hari ini. Jika dilihat kepada cara pemakaian watak Boy dan Aliaa, mereka nampak moden, dengan beg sandang di belakang dan cara pemakaian remaja hari ini. Panggilan Boy juga tidak digunakan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu. Bahkan dalam komik ketiga ini ada adegan guru besar menerima barangan pembelian berupa patung harimau yang dibawa oleh syarikat kurier. Tetapi apabila ada adegan tentang penghantaran pesakit dengan ambulan, hamba agak kaget apabila ambulannya adalah merupakan sebuah kereta lembu yang mempunyai logo bulan sabit berwarna merah. Ohh zaman apakah sebenarnya ini? Kalau zaman kereta lembu, murid sekolah tak ada beg sandang. Paling power pun mereka akan bawa beg rotan. Paling cikai masukkan buku dalam kain selempang saja!
Komik kali ini penuh dengan kisah biawak jadian yang muncul dalam buku kedua dulu. Dia dah mula buat kacau di sekolah Boy. Mula-mula makan haiwan sahaja tapi nampaknya dah mula nak makan manusia. Boy ingin melawan tetapi teringatkan janjinya bahawa identiti beliau perlu dirahsiakan. Dalam komik kali inilah pembaca akan mengetahui dari mana asal kostum harimau yang Boy gunakan sebagai alat penyamaran. Boy dah cilok daripada patung harimau milik guru besar yang baru sahaja dibelinya!
Dalam pertarungan dengan biawak jadian itu - entah apa namanya, Ben tak letak pun, tapi ada rupa makhluk Biawakapi dalam komik pertama - Boy telah berjaya menghalangnya daripada terus melakukan kerosakan dan menghalaunya dari sekolah. dalam perterungan itu tangan Boy telah digigit oleh makhluk itu dan menyebabkan ia bengkak. Kuasa dalaman harimau Boy tidak dapat mengubati tangannya dan ia semakin mudarat.
Biawak berkenaan terus membuat kacau sehingga berjaya dikuasai oleh Dr Ash, guru kepada Ghoner. Nampaknya kuasa kegelapan akan terus membuat kacau. Dalam usaha untuk mengubati tangannya yang kian membengkak, Boy ingin kembali ke perkampungan tempat dia tercampak sewaktu hilang dahulu. Perjalannya terhalang oleh Ghoner yang kemudiannya menyerang Boy. Tiba-tiba sahaja komik bersambung......cessss.
Ben, takkan kami nak tunggu sambungannya terbit setahun lagi!!!!
SILAT BOY #2 DUA ALIRAN - Ben Wong
Bahagian kedua Silat Boy akan memperincikan lagi bagaimana Boy mendapatkan kuasa persilatannya. Boy juga mula mendapat seorang sahabat, makhluk hijau yang mirip seekor toyol. Dalam satu kejadian, makhluk ini yang mengalami kecederaan telah meminta diberikan darah Boy untuk dia kembali pulih. Hamba tidak tahu apa tujuan Ben Wong memasukkan adegan sebegini memandangkan Komik-M cuba menjauhi unsur yang tidak mematuhi syariat. Adegan sebegini serupa dengan manusia yang mahu mengikat perjanjian atau bersahabat dengan makhluk halus. Dalam hal ini, makhluk hijau yang telah mendapat darah Boy berjanji akan bersahabat, membantu serta melindunginya.
Kehilangan Boy telah cuba dikesan oleh pasukan penyelamat tetapi gagal. Ia semakin membuatkan Aliyaa sedih dan merasa bersalah. Sedangkan dalam masa yang sama Boy sebenarnya berada di alam lain menyaksikan perterungan dua pendekar yang mewakili kuasa baik dan jahat. Boy telah hilang tanpa dapat dikesan selama seminggu. Satu ketika, Aliyaa telah masuk ke perangkap Ghoner dan konco-konconya. Ini menyebabkan beliau terperangkap dan tidak dapat melawan. Secara tiba-tiba Aliyaa telah diselamatkan oleh seorang pemuda yang memakai penutup muka. Aliyaa gagal untuk mengenali pemuda misteri berkenaan.
Boy sebenarnya telahpun kembali. Dalam episod kehilangan serta kembalinya Boy, Ben Wong tidak menampilkan lansung kerisauan serta kegalauan hati keluarga Boy yang hamba rasa perlu untuk dimasukkan demi menunjukkan kasih sayang keluarga serta pentingnya institusi kekeluargaan.
Dalam pada itu, seekor makhluk berupa seperti seekor biawak telah masuk ke dunia manusia dan menimbulkan kekecohan dalam masyarakat dengan memakan binatang peliharaan orang kampung. Ia terus mencari makan sehingga memasuki kawasan sekolah dan menimbulkan kegemparan. Sepertimana kelaziman drama-drama suspen, di sinilah Ben Wong berhenti dan kisahnya bersambung ke komik selanjutnya.....cessss!
SILAT BOY #1 PENCAK PERTAMA - Ben Wong
Silat Boy tampil buat kali pertama dalam antologi Aku, Kau & Superhero pada tahun 2016. Cerita yang sama diulang semula dalam antologi Gadis Robot & Koleksi Komik Terbaik Ben Wong. Komik solonya muncul pada tahun 2018. Naskhah yang ada pada hamba adalah cetakannya yang ke-lima tahun 2019. Ini menunjukkan komik ini mendapat sambutan yang hangat dan telah membina pengikutnya yang tersendiri.
Tetapi cerita yang ada dalam pengenalan Silat Boy dalam antologi di atas tidak sama dengan komik solo ini. Ben Wong melukis semula dengan penceritaan baru yang lebih segar. Ben Wong boleh sahaja 'copy n paste' kisah dalam antologi ke dalam komik solo ini tetapi beliau memilih untuk tidak berbuat demikian. Sekaligus menunjukkan bahawa pelukis adalah seorang yang rajin dan mahu menimbulkan unsur kejutan terhadap pembacanya.
Boy adalah watak utama. Tidak diketahui siapa nama sebenarnya. Hanya Boy! Boy bertubuh kecil, lemah dan sering menjadi mangsa buli Ghoner dan teman-temannya. Dalam satu kejadian, pocket game milik Boy telah dirampas Ghoner dan Boy turut dipukul. Boy bertekad mahu membalas dendam dan mengambil semula alat permainan tersebut. Percubaan beliau untuk membakar mercun dan melontarkannya ke arah Ghoner telah digagalkan oleh Alyaa Suria yang tiba-tiba sahaj muncul. Namun mercun telahpun dibakar dan Alyaa berjaya menjauhkannya dari Boy dan Ghoner. Letupan mercun berkenaan telah memeranjatkan para crook ini. Boy melarikan diri. Alyaa mengejar Boy kerana menganggap Boy telah melakukan kesalahan manakala Ghoner juga turut mengejar kerana mahu membalas perbuatan Boy. Pergaduhan yang terjadi kemudiannya menyedarkan Alyaa bahawa Boy bertindak hanya kerana menjadi mangsa buli. Alyaa kemudiannya berjaya menewaskan Ghoner.
Tewas kali pertama menyebabkan Ghoner dan konco-konconya sekali lagi menyerang Alyaa dan Boy. Di hujung pertarungan Alyaa dan Boy telah berjaya melarikan diri sehingga tiba di puncak sebuah bukit. Boy telah disepak sehingga terjatuh ke dalam jurang yang dalam. Boy tercampak ke dalam sebuah kolam yang membawanya ke sebuah dunia lain. Di sana beliau menyaksikan satu pertarungan antara dua orang pahlawan yang sangat hebat. Natijah daripada pertempuran dua orang pendekar tersebut telah mengubah terus kehidupan Boy. Beliau telah mendapat kuasanya!
Yup, ini hanyalah cerita rekaan. Babak pertempurannya amat hebat, tetapi tidak berapa menampakkan ciri-ciri persilatan. Ia lebih mirip pertarungan dalam komik kungfu yang setiap kali membuat serangan akan menyatakan jurus apa yang digunakannya - mana ada pahlawan Melayu bertarung begitu. Kalau nak lihat komik pertarungan seni silat Melayu yang sejati anda boleh melihat komik-komik hasil tangan Allahyarham Zoy. Silat Boy mempunyai tarikannya yang tersendiri walaupun tidak berapa kelihatan unsur silatnya. Jalan cerita dan lukisan Ben Wong amat kemas dan mudah diikuti. Persembahan dalam warna menambah baik lagi penceritaan.
Sabtu, 17 Julai 2021
LAWAK LULUS PERIKSA - Bophairy
BAYANGAN - Murni Aqila
Gambar kulit mukanya sudah membayangkan ia adalah sebuah novel seram. Satu imej lembaga berkelubung yang gelap, dalam ruang letak kereta bawah tanah yang kelam dan suram seolah menarik diri untuk meneroka dengan lebih lanjut isi kandungan novel ini. Namun menelusurinya dari satu muka ke satu muka, keseraman novel ini tidaklah mencapai ke tahap yang maksimum. Ia belum lagi boleh menandingi keseraman tulisan Tamar Jalis atau Tok Awang Ngah yang jika membacanya di tengah malam boleh menimbulkan rasa takut untuk ke bilik air!
Tetapi nanti dulu! Tidak berapa seram bukan
bermakna novel ini tidak menarik. Penulisnya, Murni Aqila bukanlah satu nama
baharu dalam dunia penulisan. Beliau telah menghasilkan banyak novel termasuk
satu yang mempunyai unsur seram bertajuk Jampi. Justeru, novel ini sebenarnya
boleh membuatkan anda terus duduk untuk menghabiskan bacaan sehingga tamat.
Secara ringkasnya novel ini mengutarakan watak
utamanya yang bernama Nizam, seorang pengidap bipolar. Merasakan dirinya telah
sihat, Nizam memohon keizinan ibunya, Fauziah untuk bekerja di Kuala Lumpur, di
tempat sepupunya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Walaupun berat untuk
membenarkan, Fauziah akhirnya melepaskan juga anak lelaki kesayangannya itu.
Nizam sebenarnya mempunyai misinya yang tersendiri. Beliau bukan sahaja mahu
bekerja mengumpulkan wang, tetapi juga mahu mencari adiknya Hajar yang telah
diambil oleh sebuah keluarga menjadi anak angkat 17 tahun yang lalu. Sejak
diambil oleh keluarga angkat, hanya sekali mereka berkesempatan untuk bertemu
beliau. Selepas itu tiada lagi berita tentang Hajar yang sampai kepada mereka.
Sebaik berada di Kuala Lumpur, bermulalah beberapa episod misteri yang
menghantui Nizam. Beliau kerap diganggu oleh satu bayangan hitam. Walaupun
sekadar ‘bayangan’, namun Nizam diperlakukan dengan ganas sekali. Badannya
dipeluk erat, mulutnya ditekup, lehernya dicekik sehingga terasa seperti
sakarat, tubuhnya dipukul, wajahnya ditampar-tampar dengan kuat, rambutnya
dicengkam dan pelbagai lagi penderaan. Siksaan-siksaan ini meninggalkan kesan
hitam di tubuh beliau namun ia bukanlah satu kesan lebam. Perkara ini turut
menimbulkan doktor, ibu dan sepupu Nizam.
Dalam masa yang sama, Nizam bertemu dengan
seorang gadis di tempat beliau bertugas sebagai pengawal keselamatan bernama
Hajar. Beberapa persamaan yang ada pada Hajar dengan adiknya menyebabkan Nizam
merasakan itulah Hajar adiknya yang telah hilang. Tetapi beliau merasa agak
pelik kerana Hajar seperti tidak ingat kepada dirinya. Justeru dua perkara
besar yang akan mengheret pembaca untuk sama–sama menyelesaikan teka teki ini
ialah apa sebenarnya yang telah mengganggu Nizam dan adakah Hajar ini adik
Nizam yang sebenar. Bersama dua teka teki besar ini akan tiba kepada soalan
bonus – apa sebenarnya yang terjadi kepada Hajar adik Nizam?
Semua plot disusun dengan baik dan tidak
mengelirukan pembaca. Penulisannya tidak nampak terburu-buru seperti mahu
segera menamatkan cerita. Segala persoalan yang berlegar di minda pembaca akan
dijawab oleh penulis lewat tulisannya. Konflik-konflik yang berlaku ditangani
oleh penulis dengan sebaiknya, termasuk konflik yang dihadapi oleh fauziah, ibu
Nizam, di tempat kerja. Hamba rasa teruja pula apabila membaca babak Fauziah ‘membelasah’
rakan sekerjanya yang bermulut lancang sehingga menyebabkan beliau digantung
kerja. Terasa bagai Fauziah sedang berada di gelanggang gusti!
Walaupun watak Nizam adalah merupakan seorang
pengidap bipolar, tetapi sebenarnya dalam perjalanan kisah ini boleh hamba katakan
bahawa Nizam lansung tidak berhadapan dengan penyakitnya sepanjang penceritaan.
Cuma gangguan yang dialaminya itu sahajalah yang menyebabkan beliau berfikir
bahawa penyakit beliau ini sedang melanda. Ia juga akan membawa pembaca berfikir
sama ada Nizam ketika ini sedang berhalusinansi akibat penyakitnya itu atau dia
benar-benar sedang menghadapi gangguan.
Kemuncak novel ini adalah kisah yang berlaku
terhadap Hajar. Hamba tidak mahu menulisnya berlebihan memandangkan penulis
sendiri di hujung novel telah meminta jasa baik pembaca untuk tidak memberikan
sebarang spoiler. Cukuplah hamba coretkan bahawa Hajar telah mengalami
penderitaan yang amat sangat, cukup sukar untuk dibayangkan apatah lagi untuk
dilalui.
Walaupun bergenre seram, penulis sebenarnya
mengheret emosi pembaca untuk sama-sama menyelami perasaan seorang pemuda yang
mempunyai penyakit, seorang ibu yang cukup menderita akibat kehilangan anak
perempuan serta anak lelaki yang mempunyai cabaran yang tersendiri. Ia adalah
kisah penderitaan akibat kemiskinan sehingga terpaksa berpisah dengan orang
tersayang. Ia adalah kisah getir kehidupan seorang yang berpendapatan rendah di
tengah kota Kuala Lumpur dan ia juga adalah keteguhan ikatan keluarga di dalam
menghadapi cabaran.
Seperti yang hamba katakan di awal tadi – anda tidak
perlu gentar untuk ke bilk air apabila membaca novel ini!
Selasa, 13 Julai 2021
KRIMINAL, CATATAN SEORANG WARTAWAN JENAYAH - Syahril A.Kadir
Sampai ke tengah malam semalam hamba nak menghabiskan juga bacaan naskhah ini. Sesuatu buku itu bila menarik hati hamba maka hamba gagahkan juga nak menyudahkannya. Kalau tak sedap hamba baca juga terutama pada waktu malam - cepat sikit datang rasa mengantuk nak tidur!
Tajuknya sudah jelas memberitahu akan isinya. Apatah lagi nama wartawannya juga bukanlah satu nama yang asing pada yang minat membaca (yang rasa asing sebab anda tak membaca, tak minat nak mengenal penulis, alah senang cerita memang tak membacalah!). Dalam buku ini Syahril menghidangkan kepada kita beberapa pengalaman berharga beliau semasa bertugas sebagai wartawan jenayah, termasuk satu dua kisah popular sebelum beliau bergelar wartawan lagi seperti Botak Chin, penahanan tawanan Penjara Pudu dan banyak lagi. Hamba percaya tajuk-tajuk yang ada di dalam buku ini sesuatu yang kita pernah dengar dan mejadi tajuk yang besar satu ketika dahulu.
Namun demikian hamba agak sedikit hampa kerana Syahril menyampaikannya dengan secara ringkas sahaja - dan memangnya hasrat beliau sebegitu. Jikalau kita membacanya seakan ada perasaan mahu tahu dengan lebih lanjut lagi - pastinya daripada perpekstif beliau dan bukannya kita Google sendiri di internet. Tetapi Syahril tentu ada alasan yang tersendiri. Mungkin jika dibicarakan dengan mendalam akan melukakan hati beliau sendiri memandangkan pertalian beliau secara lansung dalam sesuatu kes atau mungkin untuk menjaga perasaan serta sensitiviti sesetengah pihak. Rasanya bagi setiap tajuk yang ada, Syahril sebenarnya boleh mengarang sebuah buku yang khas, sama sepert kisah Prebet Adam dalam bukunya Konfesi Prebet Adam. Moga Syahril boleh mempertimbangkan hal ini terutamanya kisah yang berkaitan pencerobohan geng Jamalulkiram di Kampung Simunul.
Antara tajuk-tajuk menarik dalam naskhah ini adalah seperti Kampung 'Berdarah' Simunul, Melihat Hukuman Sebat, Amuk Prebet Adam, Kisah Adik Sharlinie dan lain-lain lagi. Terdapat sebuah catatan mengenai zakat yang hamba rasa masyarakat patut membacanya. Sebagai seorang yang pernah terlibat secara lansung dalam urusan zakat, hamba ucapkan terima kasih di atas artikel ini yang cuba mengungkapkan serta membetulkan salah pandangan masyarakat terhadap institusi zakat.
Sekiranya anda membaca buku ini dengan baik, anda akan dapati bahawa Syahril cuba menyedarkan orang ramai tentang jasa pahlawan negara khususnya pasukan polis. Walaupun banyak tohmahan yang dilemparkan terhadap pasukan ini, kita tidak boleh nafikan bahawa yang buruk itu cuma sedikit bilangannya. Lebih ramai yang berkhidmat dengan jujur dan ikhlas dan golongan inilah yang menjaga keselamatan kita selama ini. Seandainya semua polis itu korup, sudah pasti negara ini sudah lama melingkup.
Pendeknya, Syahril nak ajar anda semua agar bersyukur!
WIRA KERA - LEGENDA SEORANG RAJA - Hafiz Ismail
Hafiz Ismail adalah satu nama yang baharu buat hamba. Walaupun karyanya tidak pernah hamba baca sebelum ini, tetapi air tangan beliau di dalam naskhah ini ternyata tidak menghampakan sama sekali. Gaya persembahan beliau kelihatan mantap seperti seseorang yang telah lama bergiat dalam arena komik.
Melihat kepada tajuknya, hamba percaya tentu ramai yang terfikir tentang kisah dari China berkenaan Pengembaraan Ke Barat (Journey To The West) terutama kepada watak utamanya - Sun Wukong. Dalam hal ini penulis sama sekali tidak menafikannya. Dia mengambil inspirasi daripada kisah masyhur berkenaan dan menghasilkan karya dengan gaya yang tersendiri berlatar belakangkan Tanah Melayu. Walaupun dari segi nama tempat, pelukis telah mengubahnya, tetapi masih dapat difahami bahawa kisah ini berlatar belakangkan Tanah Melayu.
Jika kisah karut Journey To The West ada memaparkan watak-watak individu yang separuh manusia dan separuh binatang (seperti Sun Wukong itu sendiri), dalam Wira Kera ternyata ia lebih banyak. Bahkan golongan ini mempunyai kelompoknya yang tersendiri, terhasil akibat daripada satu wabak (wabak lagi, macam cerita zombi pula). Mereka hidup bersama dalam kelompok manusia biasa. Sultan juga digambarkan sebagai makhluk jadian yang boleh bertukar kepada singa.
Dalam installasi yang pertama ini, kita diperkenalkan dengan watak Wira Kera itu sendiri yang telah melakukan kekecohan sehingga kemudiannya beliau ditangkap dan dipenjarakan di Bukit Lima Jari. Ia adalah umpama episod pengenalan - permulaan sebelum berlakunya pengembaraan, dalam hal ini Wira Kera (yang namanya Kara - macam nama perempuan dah) akan mengembara bersama Omar menuju ke Pulau Langkasuri bagi menyampaikan amanah sultan kepada seorang yang bernama Tok Hadi. Sebelum mengembara Kara telah berjaya memperdayakan sultan untuk membawa bersamanya sebuah senjata yang bernama Belantan Wajawali.
Di akhir komik ini pembaca telah dihidangkan dengan teaser komik pengembaraan mereka yang akan datang. Terasa lambat benar sambungannya akan keluar!
GADIS ROBOT DAN KOLEKSI KOMIK TERBAIK BEN WONG - BEN WONG
Tidak perlu ada keraguan untuk memilih karya pelukis ini sebahagai bahan bacaan. Dalam arena komik tempatan, nama Ben Wong adalah satu nama besar. Apatah lagi beliau pernah menjadi pemenang dalam International Manga Award anjuran Japan Faoundation sebanyak dua kali - dan beliau adalah satu-satunya komikus setakat ini yang pernah memenangi anugerah tersebut sebanyak dua kali! Justeru Ben Wong mempunyai kualiti yang tersendiri, bukan sahaja pada gaya lukisan tetapi termasuk juga jalan penceritaan.
Tidak sepert antologi Komik-M yang lain, koleksi ini hanya menampilkan empat buah komik sahaja. Namun setiap komik merupakan sebuah persembahan yang panjang dan akan memuaskan hati pembaca. Empat buah komik berkenaan ialah;-
(Gadis Robot) Projek - K;
CR7- Ku Sayang;
Silat Boy; dan
K-Pow Girl (Uprising).
Kisah Gadis Robot dan K-Pow Girl adalah berkait antara satu sama lain. Namun ia masih boleh berdiri dengan sendiri sekiranya dibaca berasingan. Ia adalah sebuah kisah masa depan di mana seorang professor bernama Powell berusaha mencipta sebuah robot serba boleh. Kesibukannya membuatkan beliau sering mengabaikan masa rehat dan makan. Seorang gadis bernama Eun Hye amat mengambil berat akan lelaki ini dan sering menjaga makan minumnya. Pada hari professor hampir berjaya menyempurnakan robot rekaannya, 3 orang askar upahan telah menyerang sehingga menyebabkan Eun Hye cedera parah dan pofessor sendiri terbunuh. Dalam keadaan kalut itulah proses penyempurnaan robot berkenaan selesai dan ia telah berjaya mematahkan serangan musuh. Robot berkenaan yang mempunyai artificial intelligence telah berusaha untuk menyelamatkan Eun Hye sehingga akhirnya dia telah mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Eun Hye kini telah menjadi sebahagian manusia dan sebahagian mesin.Gaya persembahan kisah ini dan lukisannya amat memukau. Sekiranya tidak dinyatakan, kita tentunya tidak percaya bahawa kisah ini adalah karya anak Malaysia.
CR7- Ku Sayang adalah kisah yang agak jiwang. Ben Wong menyatakan kisah ini merupakan kisah jiwang terakhir yang beliau hasilkan. Beliau merasakan dengan usia yang semakin meningkat adalah tidak sesuai lagi bagi beliau untuk menghasilkan karya sebegini. Dalam komik ini Ben Wong melukis watak seorang gadis Melayu yang cantik bertudung.
Silat Boy, seperti juga namanya adalah kisah seorang budak yang jaguh dalam persilatan namun menyembunyikan identitinya di sebalik sebuah topeng harimau. Macam biasa akan ada watak crook yang hasratnya mahu menghapuskan pengamal perguruan silat berkenaan. Hamba tidak perlu menulis panjang. Cukuplah hamba kalatakan bahawa setelah mebaca komik Silat Boy ini, hamba telah menempah terus tiga buah lagi siri komik berkenaan. Kisah ini telah berjaya memikat hati hamba untuk terus membaca sambungannya.
Melalui Komik-M, Ben Wong banyak melakarkan cerita mengenai orang Melayu. Sekiranya anda belum pernah membaca komik Atan, anda perlu mendapatkannya. Garapan Ben mengenai hubungan seorang budak kampung dan kerbaunya terasa begitu dekat dengan orang Melayu. Kisah CR7 dan Silat Boy juga adalah satu contoh Ben melukis tentang orang Melayu. Anak gadisnya dikenakan tudung dan ia kelihatan amat ayu sekali - apatah lagi penerbitan Komik-M amat menitik beratkan kesopanan serta mematuhi syariat.
Penerbitan di bawah Komik-M adalah amat sesuai untuk bacaan anak-anak kita kerana ia menggunakan Bahasa Melayu yang betul serta bebas daripada anasir yang boleh mengganggu minda anak-anak. Ia adalah hiburan masa lapang, penuh nasihat dan selamat daripada bahasa carutan dan kejian!
Ahad, 11 Julai 2021
LIGA PENDEKAR RAYA & KOLEKSI KOMIK TERBAIK AZHAR ABDULLAH - Azhar Abdullah
Bagi yang biasa dengan dunia komik tanah air ini, nama Azhar Abdullah memang satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Nama ini tidak akan dapat lari daripada dikaitkan dengan Urban Comics, satu penerbitan lampau yang memberikan nafas baharu kepada komik tanah air. Agak sayang kerana nyawa penerbitan Urban Comics tidak panjang. Namun ia tetap menjadi sebahagian daripada sejarah penting komik tanah air. Menjadi suatu kebiasaan dalam penerbitan Komik-M akan ada ruangan temubual bersama pelukis bagi memperkenalkan dirinya, jadi pembaca baharu akan dapat mengenali pelukis yang kini menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar UiTM ini dengan lebih dekat lagi.
Naskah ini bukanlah satu komik baharu. Ia adalah himpunan komik beliau yang pernah diterbitkan di dalam penerbitan Komik-M. Hiasan muka depan oleh JUSTJIMI19 ini nampak begitu mantap memaparkan watak-watak komik Azhar Abdullah. Sebelum memulai pembacaan komik, pembaca terlebih dahulu dibawa untuk mengenali bagaimana Azhar berkarya di dalam ruangan Tip Berkomik Gaya Azhar Abdullah. Kita tahu bahawa setiap pelukis mempunyai cara mereka sendiri dalam berkarya. Cara Azhar mungkin serasi dengan sebilangan kita dan boleh dijadikan panduan ketika berkarya.
Terdapat enam buah komik di dalam himpunan ini iaitu;
Hikayat Anak Mangga;
Liga Pendekar Raya;
Kebangkitan China;
Khasiat Komik;
Kembali Ke Sekolah;
Semangat Komik;
K-Pop Celup; dan
Khalifah Merdeka.
Jikalau diteliti setiap komik ini, kita akan dapati bahawa ia mempunyai nuansa semangat Melayu dan patriotik yang kuat. Komik Hikayat Anak Mangga amat menarik di akhir cerita apabila seolah dihikayatkan bahawa asal manga di Jepun itu adalah daripada bakat seorang anak Melayu Melaka yang dibawa pulang ke Jepun sewaktu Portugis mula membedil Melaka. Kebangkitan China pula bukanlah untuk menunjukkan kehebatan negara China namun untuk menunjukkan bahawa orang China telah pernah tewas dalam perlawanan badminton kepada Liga Pendekar pada zaman dahulu yang menyebabkan mereka berusaha gigih untuk maju dalam permainan berkenaan.
Khasiat Komik walaupun bermula dengan kisah minat pelukis dalam komik, tetapi dihidangkan dengan pengakhiran yang agak mengejutkan - mungkin cadangan pelukis dalam akhir komik berkenaan boleh di bawa oleh pihak berkenaan untuk perhatian pihak kerajaan. Siapakah YB kita yang akan berani membawanya nanti? Begitu juga dengan lain-lain cerita yang tidak sempat hamba ulas di sini, kesemuanya membawa unsur keMelayuan yang kuat serta nasihat yang tersembunyi yang dapat kita fahami jika menghayatinya denagn baik. Cara Azhar berkenaan adalah sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang pensyarah. Ia juga menunjukkan kebijakan dalam berkarya, barulah orang tidak berani menagatakan bahawa komik ini adalah sesuatu yang sia-sia.
SKOOLASTIK - Ubi
Nasihat kartunis Ujang agar beliau melukis cerita yang disukai, faham dan tahu menjadikan kartunis Ubi berjaya melukis kisah-kisah yang melibatkan budak sekolah dengan baik sekali. Walau apapun karya yang pernah beliau lukis, pastinya siri 'Budak Hostel' antara yang paling diingati memandangkan karya inilah yang mengangkat nama beliau sebelum maju ke karya yang lain seperti Aku, Dia & Volkswagen dan In. Siri Budak Hostel adalah kisah tiga sekawan Husin, Guna dan Ah Seng yang penuh jenaka di asrama sebuah sekolah menengah. Kartun ini adalah sebuah kartun perpaduan yang melibatkan etnik yang berbeza namun boleh hidup bahagia dan sentosa.
Skoolastik masih membawa kisah budak-budak sekolah yang diterbitkan di bawah penerbitan sang kartunis sendiri - Studio Diam-Diam Ubi. Walaupun masih lagi berkonsepkan jenaka pelajar sekolah, ia dilihat sedikit 'serius' berbanding dengan Budak Hostel. Skoolastik memasukkan sedikit elemen zaman remaja terutama yang melibatkan perkara hati dan perasaan, rasa ingin bersaing serta pemilikan kuasa.
Kartun-kartun Ubi semenjak dahulu dikenali kerana hasil kerjanya yang kemas dan tidak berserabut. Ia sesuatu yang hamba gemari. Namun sebenarnya tidak semestinya sesuatu yang serabut itu tidak cantik. Ada juga kartunis yang lorekannya nampak kasar tapi bagi hamba ia kelihatan menarik. Antara watak utama Skoolastik adalah Kherry, Pyan, Aina, Kamal dan Ady. Kamal sang ketua pengawas dan Ady sebagai balacinya adalah crook dalam Skoolastik. Mereka agak iri dengan Kherry dan cuba untuk menjatuhkan beliau - menggunakan kedudukannya sebagai ketua pengawas. Dalam masa yang sama Kherry disangka seorang samseng di sekolah lamanya sehingga menimbulkan rasa kegusaran di kalangan pelajar. Sedangkan Kherry si samseng itu sebenarnya adalah persona yang lain tetapi dengan nama yang serupa. Namun kartunis Ubi bijak menggunakan keadaan ini untuk mengukuhkan lagi kedudukan Kherry sehingga beberapa insiden yang tidak dilakukan Kherry telah menyebabkan nama beliau semakin digeruni.
Selain daripada iri dengan Kherry, Kamal juga mempunyai perasaan terhadap Aina. Dalam melakukan tindakan, Kamal selalu bertanyakan pandangan Ady yang memang nampak balaci dan kaki bodek sungguh. Watak-watak sampingan seperti Cikgu Baharom dan Miss Lai walaupun muncul sekali sekala telah berjaya mewarnakan penceritaan.
Dalam buku ini kartunis Ubi ada memberikan satu link untuk pembaca mengikuti sambungan Skoolastik 2. namun cubaan hamba untuk memasuki link berkenaan gagal kerana ia telah mati. Hamba harap kartunis Ubi dapat menghidupkan semula link berkenaan bagi membolehkan kami mengikuti sambungan Skoolastik.
OPIS BOY - Lengkuas
![]() |
Gambar ihsan Jenama X |
Mat Despatch, Yeob Peon dan Opis Boi, semuanya adalah daripada tangan kartunis yang sama - Lengkuas. Walaupun tiga tajuk dengan watak yang berbeza, dua tajuk yang terakhir tetap mengikut jalan cerita tajuk yang pertama - kisah seorang budak pejabat dan penghantar surat sebuah firma guaman. Semua kisah-kisah di bawah tajuk-tajuk ini menjadi 'kacang' di tangan Lengkuas yang sebelum menjadi kartunis pernah menjadi budak pejabat di sebuah firma guaman. Bahkan beberapa watak di dalam karya berkenaan seperti boss, Tan Sri dan Carol si setiausaha adalah beradasarkan watak-watak mereka yang pernah bekerja bersamanya.
Namun Lengkuas telah lama tiada. Tanggal 11 Ogos 2017 beliau telah pergi meninggalkan kita. Opis Boi ini adalah antara karya terakhir beliau di bawah Produksi Jenama X. Memandangkan kita sudah sebati dengan karya Mat Despatch, maka agak sukar untuk kita tidak mengaitkan watak-watak dalam dalam kisah asal dengan watak-watak dalam Opis Boi. Semuanya adalah hampir sama kecuali watak-wataknya diberikan penampilan dan nama yang baru. Hamba percaya perubahan ini adalah kerana ia diterbitkan oleh penerbitan yang berbeza serta untuk mengelakkan berlakunya masalah hakcipta di kemudian hari. Ramai kartunis yang berhati-hati dalam perkara hakcipta berkemungkinan mengambil iktibar ke atas apa yang telah berlkau terhadap kartunis Ujang.
Jadi Opis Boi bermula dari awal semula. Bermula daripada watak Din yang baru mendapat kerja di sebuah syarikat dan seterusnya ragam Din yang pelbagai dan kelakar dengan bossnya itu. Hamba percaya Almarhum Lengkuas pastinya mahu karya ini lebih panjang lagi. Namun Allah lebih berkuasa, beliau terlebih dahulu dipanggil-Nya. Maka karya Opis Boi ini hanya berlansung beberapa episod sahaja. Secara kebetulan petak terakhirnya adalah gambaran Din dan boss berada di surau!
Selain daripada kartun, kartunis Ubi telah menyelitkan pengalaman beliau berkenalan dengan Lengkuas buat kali pertama. Kartunis Ubi juga merupakan kartunis pertama yang menegur Lengkuas yang ketika itu datang pertama kali bagi menyerahkan 30 keping karya beliau untuk dinilai oleh Ujang. Selain itu beberapa gambar termasuk trivia menarik tentang Lengkuas dipaparkan untuk pengetahuan peminat.
Al-Fatihah buat Lengkuas.
Sabtu, 10 Julai 2021
PENDITA ZA'BA DALAM KENANGAN - Abdullah Hussain & Khalid Hussain

Isnin, 5 Julai 2021
Loki Virtual Run 2021
Jom Sertai Loki Virtual Run 2021!
Tempoh Pendaftaran : 25 Jun 2021 hingga 31 Julai 2021
Tempoh Larian : 1 hingga 31 Ogos 2021
Tarikh Penghantaran : Pertengahan September 2021
Lokasi Larian : Bebas (mana-mana tempat mengikut keselesaan anda)
LELUHUR - Arman Jazee
Penulis ini adalah satu jenama yang hamba tidak ragu-ragu untuk membeli buku tulisannya. Hamba mengenali penulis ini lewat novel-novelnya ...

-
Novel ini dikatakan pernah menjadi novel terlaris pada zamannya. Dikatakan juga novel ini kini boleh dijual dengan harga yang lebih ting...
-
Pertama kali membacanya adalah semasa zaman sekolah hampir 30 tahun yang lalu. Hamba membacanya sekali lagi kerana tahu bahawa novel ini s...
-
Baru-baru ini hamba menemani isteri ke bengkel kereta mengambil kenderaan beliau yang telah siap dibaiki. Pandangan hamba tertarik ke ...