Isnin, 26 Oktober 2020

LP.3 - Arman Jazee


 

Sekiranya anda pernah membaca ulasan hamba terhadap beberapa buah buku tulisan Arman Jazee sebelum ini, maka tanpa mmebaca ulasan ini sampai ke hujung pun tidak mengapa kerana anda sudah boleh berlari ke kedai buku atau ke hadapan komputer secara atas talian untuk mendapatkan buku ini. Meneruskan sambungan daripada dua buah buku sebelumnya - Legasi Pejuang dan Legasi Pejuang 2, LP.3 menjanjikan lebih banyak debaran. Tidak perlu pergi jauh, hamba boleh simpulkan dalam buku ini hanya ada dua perkara yang begitu menonjol - kembara dan pertarungan!

Tidak mudah untuk menulis tentang babak pertarungan di dalam sesebuah novel. Penulis lain sekiranya menulis tentang bab pertarungan mungkin hanya akan memakansatu atau dua helaian mukasyrat sahaja. Tetapi Arman boleh pergi sejauh satu bab bahkan lebih lagi. Dan apabila Arman menulis tentang pertarungan, otak pembaca akan sesak untuk membayangkan bagaimana pertarungan ini berlaku. Sikranya anda memang kaki filem atau peminat seni bela diri tentunya membayangkan adegan pertarungan tidak begitu sukar dan akan terasa menyeronokkan. bagi yang tidak biasa anda harus duduk tenang membacanya dan memaksa minda anda untuk bermain dengan bicara penulis. Amat rugi sekiranya anda tidak dapat hanyut dalam pertarungan Muaz aka Mushashi Kuromoto!

Muaz telah bersara. setelah menewaskan Menehem Gremend dan hilang sebelah tangan, dia nekad untuk hidup sebagai orang biasa. Namun semuanya berubah apabila isteri dan anaknya yang masih berada did alam kandungan dibunuh. Dia tahu bahawa dia tidak boleh berdiam diri. Ternyata kejadian ini menjadikan Muaz lebih buas dan ganas.

Walaupun kelihatan seperti perbuatan kumpulan Yakuza Yamaguchi-Gun, namun di belakang mereka ada tangan zionis yang memainkan tetali boneka. Anda boleh hanyut dengan adegan-adegan pertarungan yang umpama tidak putus-putus serta berlaku di pelbagai negara. Dari Jepun membawa ke Amerika, Jerman, Syria, Lebanon, Rusia dan Cyprus! Tampak terlalu ramai yang mahu menamatkan riwayat Nuaz dan kali ini Arman Jazee menampilkan pesaing yang ternyata lebih kuat daripada beliau.

Di sini muncul watak misteri seorang yang berjubah dan bertopeng. Arman cuba bermain teka-teki dengan pembaca. Namun hamba dapat menekanya dengan tepat. Watak Samira yang tiba-tiba muncul di Jerman serta mendakwa merupakan pembantu kepada ayah Muaz, Syed Fahim ternyata menimbulkan teka teki melalui tindakannya.

Arman bijak mewujudkan konflik antara Samira dan Muaz dan ini akan lebih terasa di akhir novel apabila timbul persoalan adakah mereka akan bertembung dan salinbg berbunuhan sesama sendiri walaupun sebelumnya sudah ada putik kasih di antara mereka.

LP.3 digambarkan sebagai novel terakhir siri ini namun peristiwa yang berlaku 20 tahun selepas kejadian pembunuhan menimbulkan persoalan kepada pembaca, adakah novel ini akan bersambung semula memandangkan timbulnya seseorang yang menggusarkan diri hero kita!



Isnin, 19 Oktober 2020

THE ARRIVAL - Naim Tamdjis


 

Kulit novel ini ringkas sahaja. Hanya lukisan berbentuk lakaran dengan menggunakan tiga warna - hitam, putih dan kuning. Tetapi penampilan sebegini umpama novel-novel Inggeris yang terdapat di pasaran. tambahan pula tajuknya yang menggunakan bahasa berkenaan. Walau bagaimanapun novel ini menggunakan bahasa Melayu dengan beberapa ketul perkataan Inggeris.

Kebiasaannya Naim Tamdjis tampil dengan karya seram, tetapi tidak kali ini. The Arrival adalah novel bercorak aksi kepolisian yang mempunyai unsur thriller. Persoalan mengenai Imam Mahdi telah membuatkan ada beberapa individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menyamar menjadi beliau. Namun karakter-karakter ini tidak tambil secara biasa-biasa sahaja. Mereka mempunyai karisma tersendiri sehingga mampu membina kumpulan atau jemaahnya yang tersendiri. Fenomena ini tidak terhad berlaku di Malaysia sahaja bahkan juga di sudut lain dunia ini. Kadang-kadang permulaan mereka muncul hanya dengan membawa karakter seorang lelaki soleh. Kemudiannya mula memasukkan sedikit demi sedikit ajaran mereka yang dilihat seperti Islamik kerana dicampur adukkan. sambil itu doktrin tentang Mahdi di bawa hinggalah akhirnya mereka sendiri kemudiannya mengisytiharkan diri sebagai Imam Mahdi apabila merasakan telah mempunyai kedudukan serta barisan pengikut yang kukuh. Namun seringkali apabila perkara seperti ini timbul, ia akan diakhiri dengan perkara yang kurang baik sehingga membawa kepada tragedi. Salah satu contoh adalah peristiwa serangan sebuah kumpulan ajaran sesat ke atas Balai Polis Batu Pahat pada Oktober 1980. Serangan berkenaan telah membawa kepada beberapa kecederaan serta kematian melibatkan polis, penyerang serta kakitangan awam.

Naim berjaya menyusun cerita dalam The Arrival dengan baik sehingga menimbulkan debaran kepada pembaca di setiap bab. Ia telah bermula sejak permulaan cerita lagi apabila seorang lelaki bernama Sheikh Mahadi mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi, penyelamat umat akhir zaman. Peristiwa tersebut telah menimbulkan kegemparan di seluruh negara menyebabkan pasukan keselamatan perlu memainkan peranan mereka untuk mententeramkan keadaan. 

Pada peringkat awal ini, Naim telah berjaya menghidupkan watak Sheikh Mahdi sebagai seorang lelaki soleh yang mempunyai beberapa karamah seperti boleh mengubati sakit yang kronik, boleh membaca isi hati manusia, meramal dan lain-lain lagi. sekurang-kurangnya tiga kali (mungkin empat) beliau dapat meloloskan diri raipada tahanan pihak berkuasa dan seterusnya mengelirukan mereka. 'Keajaiban' yang ditimbulkan ini mungkin juga akan mempengaruhi pembaca mempercayai beliau benar-benar Mahdi memandangkan beliau tiada cacat cela, akhlaknya mulia, ibadahnya terjaga ditambah dengan perkara-perkara ajaib yang terjadi.

Penahanan Sheikh Mahadi telah membuatkan beratus ribu pengikutnya membanjiri ibu negara. Suasana begini mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa politik tanah air seperti perhimpunan pada zaman reformasi begitu juga dengan beberapa siri BERSIH. Perhimpunan yang mulanya nampak aman beransur-ansur bertukar ganas apabila mula ada pertentangan melibatkan pengikut serta anggota keselamatan. Kemudiannya bertambah ganas apabila mula melibatkan pertempuran bersenjata, penculikan VVIP sehinggalah kepada peperangan yang berlaku di Marawi City. Pengaruh Sheikh Mahadi turut meresap masuk ke dalam beberapa agensi keselamatan seperti polis, tentera dan penjara. Kerana itulah setiap kali ditahan beliau dengan mudah sahaja dapat meloloskan diri. Bab-bab yang mengandungi unsur 'gunting dalam lipatan' atau 'api di dalam sekam' ini sebenarnya membawa mesej betapa bahayanya apabila perkhidmatan awam mempunyai karakter sebegini - pepat di luar, rencong di dalam. Perkhidmatan awam yang menjadi musuh dalam selimut bukan sahaja boleh membahayakan organisasi itu sendiri bahkan dapat menghancurkan negara. Dapat dilihat bagaimana dengan hanya seorang dua yang berpaling tadah boleh merosakkan perancangan ramai pihak bahkan sehingga mendatangkan bencana melibatkan kematian.

Keadaan Sheikh Mahadi yang sering dengan mudah sekali meloloskan diri daripada kawalan keselamatan akan membuatkan pembaca tertanya dengan jalan apa penulis akan menyudahkan cerita membuatkan Sheikh Mahadi dapat ditewaskan sekaligus membuktikan bahawa beliau adalah Mahdi yang palsu. Kemunculan Ustaz Zaher, satu watak yang tiba-tiba muncul di rumah ASP Rahem merupakan kunci kepada persoalan yang bersarang di minda pembaca. Secara sedikit demi sedikit peribadi Sheikh Mahdi dibongkarkan. Ustaz zaher mewakili watak putih manakala Sheikh Mahadi adalah watak hitam yang sebenarnya menggunakan sihir dalam mempengaruhi orang ramai. Kisah kepolisian ini memang menarik cuma apabila cuba diselesaikan dengan sedikit pengaruh fantasi, hamba mula merasakan akan 'ketidakselesaannya'. Walaupun pertarungan Ustaz Zaher dan Sheikh Mahadi adalah pertarungan antara hak dan batil, hamba rasa tidak perlu hingga ke peringkat mereka boleh bertarung sehingga terbang di udara dan mengeluarkan cahaya dari tangan dan tongkat masing-masing yang boleh memudaratkan pesaing mereka. dah macam cerita Star Wars pula ada unsur tembakan laser.

Sepanjang membaca karya Naim Tamdjis, hamba merasakan ini adalah hasil tulisan beliau yang paling menarik buat masa ini. Hamba lebih tertarik dengan cara beliau menulis novel aksi ini berbanding dengan novel-novel beliau sebelum ini yang berunsurkan seram. Rasa suspen, teruja dan ingin tahu yang telah ada sejak novel ini bermula berterusan sehingga ke akhirnya. Hamba percaya Naim berbakat menghasilkan novel sebegini lagi. Walaupun begitu hamba suka untuk melahirkan beberapa pandangan terhadap beberapa kesilapan kecil (yang hamba percaya terlepas pandang) agar akan datang beliau boleh menghasilkan karyang yang lebih baik lagi. Antaranya:-

#    Ayat di mukasurat 97 '.........Ini menyebabkan Tuanku Ghazali menjadi murka dan enggan mengadap Perdana Menteri setia minggu......' Seorang Agong tidak pergi mengadap Perdana Menteri. Saya percaya ayat yang betulnya adalah 'menerima mengadap oleh Perdana Menteri'.

#    Pistol jenama Glotch, sepatutnya Glock.

#   Perkataan healer ditemui di beberapa tempat. Sepatutnya hailer atau lebih tepatnya loud hailer. Pada mukasurat 241 digunakan istilah pelaung suara yang hamba rasa lebih baik.

#    Frasa 'Jabatan Kementerian Kewangan Malaysia' seperti di mukasurat 119 dilihat kurang tepat. Hanya Kementerian Kewangan Malaysia atau Perbendaharaan Malaysia sahaja. Lagipun sebuah kementerian adalah lebih besar berbanding jabatan.

#    Pada mukasurat 144 apabila Agong memecat KSU. Hamba rasa Agong memecat KSN (Ketua Setiausaha Negara). Ini kerana KSU atau Ketua Setiausaha adalah jawatan di kementerian dan ada berpuluh-puluh KSU sedangkan dalam hal ini hanya seorang yang menjadi penggantinya iaitu Tan Sri Ahmad Marican.

Kipidap saudara Naim. Hamba harap rentak saudara akan terus kekal begini.


Selasa, 13 Oktober 2020

JANGAN BACA KOMBO NI - Ismi Fa Ismail


 

Ini adalah kali pertama hamba membaca karya Ismi. Kali ini baca tiga karya sekaligus. Ini kerana Jangan Baca Kombo Ni adalah himpunan tiga karya beliau yang bertajuk Jangan Baca Novel Ni, Tanpa Tajuk dan Akhir. Jangan Baca Kombo Ni diterbitkan pada Mac 2020 yang hamba rasa bertujuan untuk pemasaran PBAKL 2020. Namun kerana covid yang melanda, trilogi ini dijual secara atas talian.


1. Jangan Baca Novel Ni.

Semasa novel ini mula berada di pasaran lama dahulu, ia memang ada unsur tarikan. Dengan kulit yang diberikan warna hitam dan tulisan tajuk yang berwarna merah, ia menimbulkan tanda tanya kenapa jual novel sebegini sekiranya pembaca dilarang untuk membacanya. Tapi hamba memang 'lurus'. Apabila dah dilarang untuk membacanya, maka tiadalah hamba membeli naskhah ini walaupun selepas itu telah diterbitkan siri yang kedua dan ketiga.

Namun apabila mula membaca tulisan Ismi, dari muka ke muka dan dari bab ke bab, hamba dapat rasakan bahawa penulis ini mempunyai keistimewaannnya yang tersendiri. Gaya penulisannya (dalam novel ini) mampu untuk menarik pembaca untuk terus kekal menatap helaian mukasuratnya. Sukar untuk meneka pada mulanya sama ada novel ini berunsurkan seram, thriller ataupun fantasi. Ia sememangnya satu misteri. Pembaca perlu mengkhatamkan setiap siri kerana setiap siri mempunyai kaitan dan ia tidak boleh berdiri sendiri.

Perjalanan Munir ke kampung menemukan beliau dengan seorang budak bernama Adib. Memandangkan tiada siapa yang bertanggungjawab ke atas anak berkenaan, Munir telah membawanya bersama ke kampung. Bersama budak berkenaan terdapat sebuah buku hitam seperti novel dan beliau dilihat asyik menatapnya. Novel di tangan budak inilah yang akan memulakan misteri dalam cerita ini. Walaupun namanya novel, hamba boleh katakan bahawa isinya adalah sebuah antologi cerpen. Ia mengandungi beberapa cerita pendek yang pelik seperti manusia yang berubah menjadi kucing, manusia yang boleh terapung, manusia yang boleh melihat masa depan dan lainl-lain. Kepelikan mula timbul apabila Munir selesai membaca setiap cerpen akan berlaku peristiwa yang mempunyai unsur kaitan dengan cerita berkenaan. Cerpen-cerpen kemudiannya mula menimbulkan lebih banyak misteri apabila watak-watak yang hadir merupakan mereka yang dikenali oleh Munir. Keterujaan pembaca akan memuncak apabila kisah terakhir dalam novel itu memasukkan bagaimana Munir menjumpai Adib! Bagaimana Munir boleh masuk ke dalam sebuah novel yang kelihatan usang kerana telah lama ditulis sedangkan beliau hanya bertemu Adib dalam tempoh beberapa hari yang lalu sahaja.

Penulis novel ini (Ismi) juga turut 'memasukkan' watak dirinya di dalam novel ini apabila dikisahkan dia mendapatkan novel asal dari Munir dan kemudian mengkomersilkannya. Buku yang asalnya berwarna hitam telah ditulis tajuknya oleh Adib - Jangan Baca Novel Ni - sebagai satu amaran agar orang tidak membacanya, dengan menggunakan darah beliau sendiri. Justeru apabila pembaca melihat semula bentuk novel di tangan dengan tulisan tajuk yang diwarnakan merah, ia seolah membawa unsur bahawa pembaca kini adalah sebahagian daripada manusia yang telah membaca novel larangan ini!

Di penghujung novel watak Zack telah diperkenalkan. Watak ini merupakan sahabat penulis Ismi yang bertugas sebagai toxicologist. Ismi telah meminta beliau mengkaji bahan kimia yang digunakan untuk menulis novel berkenaan yang kemudiannya dikesan sebagai satu dadah jenis baru yang amat kuat sehingga boleh mendatangkan halusinasi kepada pembacanya. Namun keadaan yang berlaku kepada Zack selepas itu mula mendatangkan tanda tanya kepada pembaca. adakah Zack sendiri telah mendapat akbibat kerana terhidu bahan dadah berkenaan atau adakah beliau turut mempunyai kaitan dengan misteri novel ini?


2. Tiada Tajuk

Bukan sahaja dinamakan sedemikian, bahkan siri kedua trilogi ini hanya menampilkan sebuah buku yang kosong, hanya dihiasi warna hitam. Tidak seperti namanya, siri kedua menampilkan misteri yang lebih menyesakkan minda pembaca. Ia berlaku selepas dua tahun peristiwa dalam novel pertama. Adib telah bersekolah dan memiliki minda yang tidak padan dengan usianya. Dia dilihat genius kerana boleh menyempurnakan soalan peperiksaan percubaan SPM. Namun penumpuan terbesar adalah kepada beberapa kes pembunuhan yang dilakukan seorang pembunuh bergelar Pembunuh Batik Biru. Untuk makluman batik berwarna biru merupakan kain yang digunakan oleh watak berwarna Anom dalam salah satu kisah dalam novel Adib dan menjadi kain kegemarannya yang sering digunakan sebagai kain basahan untuk mandi. Setiap kali melakukan pembunuhan, si pembunuh akan memperlakukan mangsanya dengan kejam seperti menyembelih, melapah dan memotong jasad mereka. Jasad itu kemudiannya akan ditutup dengan kain batik biru berkenaan. 

Pembaca akan bertambah teruja apabila pada setiap mangsa yang dibunuh akan dijumpai bersama mereka satu kisah pendek yang merupakan sambungan atau mempunyai kaitan dengan kisah-kisah pendek dalam novel hitam Adib. Dan kisah-kisah pendek berkenaan pula menambahkan lagi keresahan pembaca apabila ia berlaku pula dalam dunia realiti. Pembunuh Batik Biru hanya membunuh seramai lima orang sahaja dan menyerah diri kepada polis sebaik melakukan tugasannya yang terakhir.

Satu karangan oleh Adib pada hujung novel kedua ini seolah memberikan sedikit jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain di minda pembaca seperti tentang misteri perempuan bernama Anom serta siapakah Adib. 


3. Akhir

Akhir adalah siri terakhir trilogi ini. Memaparkan tiga garisan tegak yang merupakan satu garisan yang kelihatan seperti cakaran yang berlaku kepada beberapa individu di bahagian belakang bawah bahu sebelah kiri. Sampai ke sudah kenapa berlakunya cakaran seperti ini tidak dijelaskan. 

Sewajarnya buku akhir ini akan menjelaskan segala yang kelam di dalam buku pertama dan kedua. Walaupun itu berlaku, hamba percaya ia akan tetap menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada pembaca.

Walaupun segala misteri dalam buku pertama dan kedua akhirnya seperti boleh dikaitkan dengan satu konspirasi manusia dan bersifat saintifik, misteri dalam buku ketiga kembali kepada unsur ghaib. Ini berlaku dengan kemunculan serta penjelasan tentang watak yang digelar Pohon. Pembaca akan dikejutkan dengan perkara yang tidak dijangka-jangka seperti siapakah sebenarnya Suraya. Satu yang mengejutkan juga berlaku kepada watak Munir yang mana hamba percaya ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa watak ini memandangkan sejak mula dia kelihatan baik, berusaha menjadi baik dan cuba melakukan yang terbaik. Agak menyedihkan apabila wataknya ditamatkan dengan satu perkara yang dramatik dan seterusnya memberikan peluang kepada satu watak yang sepatutnya dihukum mati.

Siri yang ketiga ini nyata lebih memeningkan kepala!







Jumaat, 9 Oktober 2020

HANG TUAH CATATAN OKINAWA - Hashim Musa, Rohaidah Kamaruddin


 

Barangkali lebih seratus tahun dahulu tidak ada sesiapa yang mempertikaikan siapa dia Hang Tuah. Adakah Si Tuah ini benar-benar ada atau tidak atau hanya sekadar sebuah hikayat tiada yang mempersoalkannya. Hang Tuah itu ada, dia lubalang Melayu Melaka, laksamana dan diplomat termasyhur. Kanak-kanak apatah lagi penuntut ilmu persilatan ingin menjadi seperti dia, ingin gagah dan kuat seperti dia hinggakan kita bertarung akan muncul kata-kata - ini dia anak cucu Hang Tuah!

Namun setelah manusia ini bertambah kemodenan, ketamadunan serta ilmu pengetahuannya, persoalan serta keraguan tentang personaliti ini mula muncul. Dari asal manusia mempercayai bulat-bulat bahawa tokoh ini ada, kini telah ada satu dua yang mempertikaikannya. Ada suara yang mengatakan ini hanya watak rekaan. Ada yang mengatakan ia adalah saduran daripada hikayat lain seperti Hikayat Pandewa Lima. Ada yang mengatakan bahawa Hang Tuah itu bukan orang Melayu tetapi cina - hanya berdasarkan Hang Li Po itu seorang cina, sedangkan melalui buku-buku kita akan tahu bukan Hang Tuah lima bersaudara itu sahaja yang mempunyai nama hang di pangkal namanya bahkan ada beberapa orang lain juga.

Lantaran kerana keraguan ini satu jawapan yang konkrit berasaskan fakta-fakta yang benar harus dicari. Kita tahu kisah Hang Tuah di Alam Melayu hanya dapat dijumpai dalam tiga naskhah sahaja iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat Al-Nafis. Malangnya ketiga-tiga naskhah ini tidak dapat dikategorikan sebagai satu sumber primer memandangkan ia tidak ditulis sezaman dengan Hang Tuah. Lebih-lebih lagi naskhah Hikayat Hang Tuah itu majhul penulisnya dan kisahnya lebih kepada sebuah cerita berbanding sebuah sejarah. 

Atas tujuan murni ini - bagi membuktikan karakter hang Tuah itu benar-benar wujud - Dr. Hashim Musa bersama Dr. Rohaidah Kamaruddin telah sama-sama berganding bahu mengkaji teks-teks atau rekod-rekod negara asing yang pernah mempunyai hubungan dagang atau diplomatik dengan Melaka. Dalam konteks buku ini mereka telah mengkaji dokumen negara Ryukyu atau namanya hari ini Okinawa.

Dokumen-dokumen yang ada memaparkan surat menyurat antara kerajaan Melaka dan Ryukyu dalah hal perdagangan. Terdapat 3 surat dari Melaka termasuk ada yang dipercayai dikarang oleh Laksamana memandangkan usia raja yang ketika itu hanya berumur 6 tahun. Selain dokumen Ryukyu, penulis membuat rujukan silang dengan merujuk kepada beberapa dokumen lain seperti The Commentaries Of The Great Alfonso Dalboquerque. Antara yang turut menguatkan hubungan dua hala ini ialah penemuan beberapa artifak seperti keris di Kuil Enkakuji, Okinawa.

Setiap isi surat itu boleh hamba katakan hampir sama sahaja isinya dengan kata-kata pujuan terhadap pemerintah serta maklumat barang dagangan yang menjadi hadiah kepada pemerintah. Dan isi hadiah berkenaan juga adalah sama daripada segi jenis dan kuantitinya. Cuma ada satu surat yang menarik hati hamba apabila surat dari Melaka memaklumkan terdapatnya anggota utusan dari Ryukyu yang berkelakuan tidak baik, tidak mendengar kata dan cuba menimbulkan masalah. Menurut surat itu lagi kelakuan tersebut telah menimbulkan masalah kepada Melaka. Susat Melaka berkenaan tidak memaklumkan siapakah nama individu yang dimaksudkan tetapi menyeru Ryukyu agar di masa akan datang dapat menghantar utusan mempunyai tingkahlaku yang baik demi faedah kepada kedua-dua pihak. Dalam jawapan balas, negara Ryukyu telah melahirkan rasa terkejut serta telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan. Ryukyu  berharap agar Melaka dapat melaporkan di masa akan datang sekiranya ada lagi utusan mereka yang berkelakuan sedemikian agar mereka dapat dihukum. Ryukyu berharap agar kerjasama kedua-dua negara tetap terjalin selamanya. Buku ini turut menampilkan petikan daripada rujukan dokumen-dokumen berkenaan serta terjemahannya ke dalam bahasa Melayu.

Buku ini jelas membayangkan bahawa betapa Melaka menjadi sebuah pelabuhan antarabangsa yang mempunyai rakan dagang yang datang dari jauh. Selain Jepun buku ini turut menunjukkan maklumat (melalui dokumen) akan hubungan Melaka dengan China serta raja-raja Melaka yang pernah berkunjung ke sana.

Tiada rekod yang menunjukkan hubungan Melaka dan Ryukyu selepas kejatuhannya ke tangan Portugis.Portugis hanya membawa bala ke rantau ini. Sejak itu Melaka tidak lagi beraja hingga ke hari ini!

Ahad, 4 Oktober 2020

BRAMFIELD HOUSE : RUMAH INGGERIS BERTIANG SERI - Maria Kajiwa


Tiang seri adalah satu ciri binaan yang biasa terdapat pada binaan rumah tradisional Melayu. Ia merupakan tiang utama yang biasanya didirikan di tengah rumah. Tetapi apa pula halnya dengan rumah berciri Inggeris yang mempunyai tiang seri? Rumah Inggeris sememangnya tidak mempunyai tiang seri sepertimana ciri sebuah rumah tradisional Melayu. Keberadannya hanya akan mencacatkan pemandangan dan seni binanya apatah lagi sekiranya rumah berkenaan diperbuat daripada batu dan konkrit. Tentu ganjil apabila terdapat pula sebatang tiang kayu yang berada di tengahnya.

Ini cerita tentang misteri sebuah rumah agam yang dibina oleh Brock Bramsfield yang dikatakan tertarik dengan budaya masyarakat tempatan. Kesukaan beliau tidak terhad kepada setakat budaya dan makanan bahkan melampaui hingga ke perkara-perkara yang dikira mistik dan khurafat. Beliau mahukan sebatang tiang seri didirikan dalam rumah yang dibinanya. Tiang seri berkenaan bukanlah sebagai satu barang perhiasan tetapi beliau mahu ia dimasukkan semangat tertentu yang boleh menjadi penjaga rumah itu.

Latar masa kisah ini adalah selepas pendudukan Jepun di tanah Melayu manakala berkenaan Brock adalah sebelum itu lagi dan diceritakan secara imbasan semula. Brock telahpun mati dipancung Jepun, Justeru selepas pendudukan bangsa pendek tersebut, ibu bapa Brock mahu menghidupkan semula rumah berkenaan. Agak susah bagi Winston, penjaga amanah rumah berkenaan untuk mencari pekerja yang boleh menguruskan rumah berkenaan lantaran kesemua penduduk kampung tahu akan sejarah hitam serta keangkeran rumah berkenaan, Banyak gangguan berlaku sehingga membawa kepada berlakunya beberapa kematian.

Bagi merungkai persoalan pembaca, maka penulis membawakan imbas semula kenapa rumah berkenaan menjadi begitu keras dan kenapa orang kampung begitu marah dengan penghuni rumah berkenaan. Persoalan juga muncul kenapa makhluk berkenaan mengganas semula sedangkan ia telahpun 'dikunci' satu ketika dahulu. Ini teka teki yang dibuat penulis bagi membangkitkan rasa ingin tahu pembaca,

Selalunya orang putih sering dilakarkan tidak begitu mempercayai sesuatu yang mistik. Namun penulis cuba mengambil pendekatan berbeza apabila memaparkan spesis orang putih yang taksub dengan perkara sebegini hingga ke tahap mempelajarinya. Namun bersahabat dengan syaitan bukanlah satu pilihan yang baik yang biasanya pasti akan memusnahkan diri sendiri. Brock yang mahukan Basariah berasa terhina apabila kehendaknya ditolak oleh keluarga gadis berkenaan. ini lantaran sikap beliau yang sombong serta tidak mahu mengubah akidah beliau walaupun mengetahui agama Basariah. Kerana dendam ini beliau dan Pawang Akik melakukan satu tindakan yang agak melampau sehingga membawa kepada kematian Basariah kemudiannya. Cuma kematian Brock di tangan Jepun sama sekali tidak ada kaitan dengan perlakuan beliau tersebut. Hamba percaya sekiranya kematian Brock dikaitkan dengan perbuatan beliau sebagai satu pembalasan pasti akan lebih menarik lagi.

Di sebalik semua kisah di dalam penceritaan ini kita dapat melihat mesej betapa sikap penjajah yang membuat tanah jajahan mereka seperti milik mereka sendiri. Mereka mahu menjadi tuan dan berasa berhak melakukan apa sahaja. Sikap mereka kadangkala menimbulkan kemarahan orang tempatan kerana kurang ajar dan tidak menghormati adat dan kepercayaan tempatan. Kita bersyukur kerana mereka sudah lama angkat kaki. Cuma masalahnya hari ini, orang kita pula yang menjadi seperti orang putih malah lebih teruk daripada orang putih lagi. Orang putih mungkin akan tersenyum - mereka telah tiada tetapi pewaris mereka tetap ada!





Khamis, 1 Oktober 2020

UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA TROBEK



Dia antara semua isu new-stalgia Ujang & APO? yang pernah diterbitkan sebelum ini, barangkali isu kali ini yang paling dekat dengan hati hamba. Isu yang mengetengahkan tema 'trobek' (throwback) dengan penumpuan kepada tahun 90an kembali menggamit memori di era tersebut. Lihat sahaja kulit depan karya kartunis Lambok ini. Kulit depan ini bidangnya lebih luas lagi apabila dibuka keseluruhannya. Menampilkan suasana di jalanan berhadapan pawagam Odeon, Kuala Lumpur. Poster panggung wayang memaparkan beberapa filem seperti Sembilu, XX Ray dan Terminator. Manakala suasana jalanannya dipenuhi dengan watak-watak yang pernah menghiasi majalah ini seperti Bas Mini 222, Mat Despatch, Felda Di Bumi Permata, Tok Moh, Budak Hostel, Ali & Davidson, Workshop dan lain-lain lagi. Selain tema 90an, keluaran ini banyak juga memuatkan kartun bertemakan kemerdekaan.

Majalah Ujang dan APO? sendiri lahir di tahun 90an. Golongan yang menikmati zamna ini adalah mereka yang lahir sekitar tahun 70an dan 80an. Mereka ibarat generasi transisi zaman lalu ke zaman digital. Mereka masih menikmati permainan cara lama seperti polis sentri, baling selipar (kaki tiga), tudung oren, gasing, konda kondi sambil dalam masa yang sama era digital mula pesat dengan permainan konsol, arked, telefon bimbit (yang sebesar bateri kereta) dan sebagainya. 

Justeru banyak kartun di dalam isu ini yang mengembalikan semula nostalgia ke era berkenaan dengan pelbagai cerita seperti rock kapak, kaset dan walkman, permainan arked, kaset cetak rompak, permainan tradisional, jajan-jajan popular seperti Din Dang, telefon awam dan pelbagai lagi. Isu ini juga turut mengutarakan beberapa lembaran daripada buku Imbauan 3 oleh kartunis Mie. 

Majalah ini turut menghadiahkan anda 10 kad yang dibuat seperti kad permainan kanak-kanak zaman dulu dengan penampilan beberapa watak daripada majalah ini yang dibuat secara parodi dengan poster-poster wayang. 

Ia adalah satu koleksi yang menarik tatkala 'kepupusan' majalah-majalah lawak. Mari sokong kartunis kita kembali!


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...