Jumaat, 27 Disember 2019

SAIFUDIN JALIS - Ramlee Awang Murshid



Sebuah lagi novel yang diterbitkan sendiri oleh penulisnya. Ia menyambung kembali kisah kembara Laksamana Sunan ataupun nama sebenarnya Saifudin Jalis.


Selembar warkah dari seorang puteri Asahan yang memaklumkan keadaan kacau bilau di sana telah membuatkan Wali Sufi mengutus Saifudin untuk melakukan siasatan. Kekacauan yang digambarkan adalah mengenai perebutan kuasa, tuntutan hak sebagai pemerintah serta perang saudara. Ia turut disulami dengan gangguan sejenis makhluk jadian yang melakukan pembunuhan dengan buas. Dalam konteks novel ini hanya Laksamana Sunan sahaja yang mampu berhadapan dengannya. 

Seperti kelaziman dalam novel-novel penulis yang sebelumnya, cara penulisan RAM akan membuatkan pembaca berteka teki akan siapakah dalang di sebalik semua permasalahan ini. Agak seronok berteka teki kali ini. dengan beberapa watak yang kelihatan signifikan serta menjadikan cerita bersimpang siur menyebabkan pembaca akan merasakan setiap watak mempunyai kecenderungan untuk menjadi dalang.

Walau bagaimanapun hamba merasakan satu watak yang muncul agak awal iaitu Narimayong tentunya mempunyai hubung kait dalam permasalahan ini. Ini kerana hamba percaya RAM tidak akan mewujudkan sesuatu watak tanpa sebab. Mungkin pembaca akan mengabaikan watak ini memandangkan kemunculannya hanya di awal cerita kemudian terus senyap sehinggalah muncul semula di akhir bab. Siapa beliau? Anda perlu membacanya sendiri.

Namun di akhir bab muncul pula satu watak daripada novel Anding Ayangan. Adakah RAM akan melibatkan Laksamana Sunan dalam pengkisahan Anding Ayangan pula? Bahkan negeri Asahan yang telah aman dan dipimpin oleh seorang ratu pula berhasrat untuk menyerang Asahan. Nampaknya kisah Laksamana Sunan masih banyak sambungannya. Ini semua bakal menuntut ongkos daripada pembaca!!


Nota - Buku ini dipinjam daripada saudari Zalilyani Khadijah. Dah mula malas beli novel RAM....






Rabu, 4 Disember 2019

MASJID SRI SENDAYAN



Kadang-kadang merancang untuk melawat sesuatu tempat boleh sahaja tidak kesampaian disebabkan oleh sesuatu sebab. Tetapi sekiranya kita berpeluang untuk pergi walaupun terjadi tanpa dirancang, maka peluang seperti itu tidak seharusnya dilepaskan.

Begitu juga hamba yang teringin untuk melihat Masjid Sri Sendayan yang dibina seorang pewaqaf dermawan, Tan Sri Rashid Hussain di Sendayan, Negeri Sembilan. Orang kata masjid berkenaan amat indah seni binaannya. Sebuah lagi masjid sumbangan Tan Sri adalah masjid Hussain atau masjid putih di Seremban 2.

Kesempatan itu datang apabila hamba membawa anak hamba menghadiri temuduga di sebuah sekolah yang terletak di Bandar ENSTEK. Memandangkan temuduga dijalankan di sebelah petang, maka hamba ambil peluang untuk menunaikan solat Zuhur di masjid berkenaan.

Sememangnya masjid ini amat indah seni binaannya. Ruangan solatnya juga besar dan berhawa dingin. Ini yang hamba katakan alang-alang menderma, biarlah berderma dengan sehabis baik. Tan Sri tidak membuat masjid ini sekadarnya atau cukuplah asal boleh solat sahaja. Tetapi ia dibina begitu selesa untuk kegunaan jemaah. 

Masjid sudah cantik, nak cantikkan lagi kita pakat penuhkanlah ia pula....  






BIDADARI-BIDADARI SURGA - Tere Liye



Telah tujuh buah buku Tere Liye dalam siri Bumi hamba baca. Apabila membaca buku ini hamba tersentak apabila melihat begitu berbezanya cara penulisan beliau berbanding dengan siri Bumi. Siri Bumi sasarannya mungkin kepada pembaca remaja. Justeru gaya penulisannya lebih santai, sesuai anak muda dan lebih banyak unsur suspen dan keterujaan. Tetapi buku ini terasa lebih sasteranya, lebih melankolik dan lebih mencengkam jiwa. 

Satu sms yang hanya mengandungi 230 aksara yang dihantar oleh seorang ibu kepada empat orang anaknya - Dalimunte, Ikanuri, Wibisana dan Yashinta meminta agar mereka pulang segera menyebabkan kempat-empat mereka menghentikan serta merta pekerjaan mereka ketika itu dan memutuskan untuk pulang walaupun ketika itu kesemua mereka sedang dalam pekerjaan yang amat penting. Dalimunte yang sedang dalam pembentangan kajiannya di satu persidangan terus memberhentikan ucapannya, Ikanuri dan Wibisana yang baru sahaja sampai di Rome untuk satu urusan perniagaan penting terus sahaja membatalkan urusan tersebut dan memutuskan untuk pulang, manakala Yashinta yang sedang menjalankan kajian di kawah gunung berapi Semeru turut mengambil langkah yang sama. Ia akan menimbulkan tanda tanya kepada pembaca, apakah isi sms tersebut yang membuatkan mereka semua terus membatalkan segala urusan penting. Tere Liye hanya memaparkan isi kandungan sms tersebut pada bab terakhir novel ini.

Namun menelusuri novel ini kita akan tahu bahawa kakak kepada empat beradik ini sedang sakit. Kerana itu mereka semua mahu pulang. Tetapi tindakan mereka yang meninggalkan terus pekerjaan mereka yang amat penting semata-mata untuk pulang akan menimbulkan pertanyaan kepada pembaca, betapa penting atau besar watak kakak mereka - Laisa, sehingga kesemuanya buruan untuk pulang.

Tidak kesemua anak-anak kepada wanita bernama Lainuri dapat pulang dengan mudah. Kesemuanya mempunyai cabaran yang tersendiri. Tetapi semua cabaran yang dipaparkan sama sekali tidak menghalang mereka untuk pulang. Dalam memaparkan perjalanan pulang mereka, penulis banyak menggunakan teknik penulisan imbas kembali bagi memaparkan kenangan kesemua mereka bersama Laisa.

Melalui paparan kenangan inilah pembaca akan dapat mengetahui sekaligus menjawab persoalan kenapa kesemua adik-beradik ini mahu pulang dengan segera. Ternyata watak laisa merupakan seorang wanita yang terlalu banyak melakukan pengorbanan untuk adik-adiknya. Pesanan akhir arwah bapanya sebelum terkorban dibunuh harimau agar menjaga adik-adik benar-benar dipatuhi dan dijalankan dengan baik. Bahkan suka hamba menyatakan disini bahawa apa yang dipaparkan mengenai watak ini dalam memaparkan kasih sayang serta rasa tanggungjawab kepada adik-adiknya amatlah luar biasa. Dalam satu babak beliau tidak berfikir dua kali melindungi Ikanuri dan Wibisana, yang ketika itu sedang lari dari rumah, berhadapan dengan tiga ekor harimau di Gunung Kendeng.

Ternyata kesemua beradik ini turut menyayangi kakak mereka sehinggakan kesemua mereka lambat bernikah kerana tidak mahu melangkah bendul. Tapi mereka semua akhirnya bernikah juga setelah Laisa bertegas dengan mereka. kehebatan laisa bukan sahaja dalam pekerjaan menjaga dan memberi inspirasi kepada adik-adiknya, beliau bahkan seorang yang berwawasan jauh. Beliau telah berjaya menukar lembah kampungnya menjadi sebuah pusat penanaman strawberi yang berjaya sekaligus membantu ekonomi penduduk desa. Kerana ketabahan dan keteguhan jiwa inilah yang menyebabkan masyarakat desa juga turut hormat kepada beliau.

Semasa membaca, hamba tersedar yang penulis banyak menceritakan tentang perjalanan pulang Dalimunte, Ikanuri dan Wibisana sahaja. Tetapi kisah Yashinta seolah terhenti setelah dia memutuskan untuk turun dari gunung. Rupanya beliau telah terjatuh dan pengsan selama 20 jam. Setelah sedar, dan dalam keadaan kaki yang patah beliau bahkan mengambil masa beberapa jam lagi berjalan (termasuk pengsan) sebelum sampai di basecamp. Kehadiran Yashinta pulang ke desa penulis jadikan sebagai pelengkap novel ini. Hanya setelah Yashinta pulang, bernikah terus di hadapan Laisa yang sedang di penghujung nyawanya (bernikah atas permintaan Laisa sendiri), barulah Laisa kembali ke pangkuan Tuhannya.

Hamba boleh katakan bahawa novel ini adalah sesuatu yang luar biasa. Jalinan kasih sayang seorang kakak kepada adik-adiknya amatlah mengharukan sekaligus memberikan motivasi kepada kita untuk lebih menyayangi keluarga.

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...