Jumaat, 23 Oktober 2015

ILLUMINATI - Henry Makow




Buku ini sepatutnya menjadi sesuatu yang seronok untuk dibaca. Apatah lagi ia memaparkan pandangan daripada seorang penulis yahudi sendiri terhadap satu pertubuhan rahsia yang didokongi oleh bangsanya sendiri. Tetapi buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ini amat menyedihkan sekali gaya penterjemahannya. Ayatnya kadang-kadang sukar untuk difahami, ada yang tergantung dan ada yang ditamatkan dengan noktah sebegitu sahaja. Penterjemahannya dibuat seolah mengikut perkataan demi perkataan dan bukannya menterjemahkan keseluruhan frasa secara tepat dan dapat difahami. Hinggakan hamba kadang-kadang merasakan buku ini diterjemah menggunakan aplikasi Google Tranlate. Hamba katakan ini kerana ada beberapa contoh yang menguatkan sangkaan hamba seperti New Zealand menjadi Zealand baru juga concentration camp diterjemahkan sebagai kem tumpuan dan bukannya kem tahanan. Apakah editor tidak menyemak terlebih dahulu? WalLahuaalam, hamba tidak tahu. Hamba tidak menafikan kerja penterjemahan bukanlah suatu yang mudah namun tidak bermakna ia boleh diambil mudah. Antara buku terjemahan baik yang pernah hamba baca adalah buku Doktor Umum yang diterjemahkan daripada buku asal dalam bahasa Inggeris yang bertajuk Doctor In The House. Buku yang diterjemahkan oleh Datuk Dr Abdul Kadir Jasin ini amat baik dan hamba merasakan seolah Dr Mahathir sendiri yang menulis teks ini dalam bahasa Melayu.

Secara keseluruhannya, Henry Makow merasakan bahawa gerakan ini walaupun ditunjangi oleh orang Yahudi, tetapi mereka bukanlah mahu menjaga seluruh bangsa Yahudi. bagi mencapai matlamat mereka, mereka sanggup mengorbankan sesiapa sahaja termasuklah bangsa Yahudi itu sendiri. Justeru itu beberapa siri pembunuhan terutamanya Holocaust oleh Hitler dianggap sebagai perancangan Illuminati sendiri. Hitler dikatakan sebahagian atau hanya boneka mereka. Maknanya bukanlah Hitler itu sendiri yang mahu membunuh Yahudi kerana beliau membenci mereka tetapi hanya menjalankan tugas Illuminati bagi mencapai tujuan tertentu. Yahudi yang dibunuh juga bukanlah daripada golongan 'kasta tinggi' atau bangsawan. Dikatakan semasa Zionis mahukan orang Yahudi berhijrah ke Israel selepas pembentukan negara haram itu, ramai yang tidak mahu berpindah khususnya yahudi eropah yang telah selesa tinggal di kawasan berkenaan. Jadi tekanan, ancaman, ketakutan, pembunuhan sengaja ditimbulkan agar mereka berpindah sekaligus mengelabui mata dunia dan meraih simpati seolah bangsa yahudi menjadi mangsa kezaliman.

Pembacaan buku-buku oleh Ibnu Yaacob sebelum ini banyak membantu hamba untuk memahami buku ini (lantaran kecelaruan penterjemahannya). Boleh dikatakan segala peristiwa besar yang berlaku di dunia ini telah dirancang terlebih dahulu. Peperangan dunia yang pertama dan kedua, revolusi Bolsheviks, Peranchis dan sebagainya tidak berlaku begitu sahaja. Ia dirancang bagi memberi keuntungan kepada Illuminati yang menguasai bank atau lebih tepat lagi kewangan dunia. Negara-negara yang berperang tentunya memerlukan dana yang besar. Maka ketika inilah pihak bank (dibaca Illuminati) menawarkan pinjaman dengan kadar bunga yang tinggi. Maka apabila sesebuah negara itu tidak mampu untuk membayarnya maka mereka akan muncul untuk menuntut imbuhan lain yang lebih menguntungkan bagi menggantikan pinjaman yang tidak dapat dibayar tadi.

Oleh kerana gerakan ini begitu rahsia maka tidak banyak maklumat mengenainya yang diketahui. Maklumat yang ada pada hari ini selain daripada teori, turut diperolehi daripada bekas ahli mereka yang menarik diri. Namun tulisan secara rasmi organisasi itu sendiri kepada umum tiada. Bahkan bekas anggota yang membocorkan rahsia mereka ini biasanya berakhir dengan kematian. Dikatakan juga beberapa presiden Amerika yang tidak sehaluan dengan golongan ini juga menjadi mangsa pembunuhan, antaranya ialah Abraham Lincoln sendiri.

Kita tidak tahu sejauh mana kegiatan mereka ini di negara kita. Walaupun ada gerakan lain di negara kita seperti freemason yang kelihatan misteri, tetapi apa yang Illuminati rancangkan adalah lebih misteri lagi. Ini kerana anggota freemason tidak semestinya anggota Illuminati, tetapi anggota Illuminati adalah semestinya freemason. Bagaimana pula dengan kumpulan lain yang ada. Walaupun mempromosikan kebajikan sebagai kegiatan pertubuhan mereka, tetapi kita sendiri tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Dan kita lebih takut jikalau ada pemimpin kita yang menjadi bonekanya - na'uzubilLah!!


Sabtu, 17 Oktober 2015

LAMBAIAN SAYONARA UJANG DAN APO



Semuanya bermula daripada status kartunis Ubi di fesbuknya yang menyatakan bahawa syarikat yang menerbitkan kedua-dua majalah ini akan menutup operasinya. Status itu kemudiannya disalin dan tersebar terutamanya di kalangan penggemar kartun tanah air. Tiada pengumuman rasmi daripada syarikat terbabit. Namun yang pasti kedua-dua majalah berkenaan tidak lagi kelihatan di pasaran selepas terbitnya majalah seperti gambar di atas. Walaupun ada pertanyaan daripada penggemar majalah ini di laman fesbuk mereka ia tidak pernah dijawab oleh pihak pengurusan majalah berkenaan. Oleh itu tidaklah pasti sama ada kedua-dua majalah ini telah tamat penerbitannya ataupun hanya berhenti buat seketika. Yang pasti laman kartun dan jualbeli online mereka masih lagi hidup dan beroperasi.


Penjualan majalah humor sememangnya agak perlahan dalam 10 tahun terakhir ini. Yang tinggal kini hanyalah majalah Gila-Gila yang telah bertahan semenjak zaman penubuhannya pada 1978. Majalah ini juga perlahan penjualannya dan hanya terbit sakali dalam sebulan berbanding dua kali sebulan beberapa tahun yang lalu. Walaupun ada majalah lain seperti Gempak, hamba menganggap majalah ini lebih ke arah komik serius berbanding sebuah penerbitan humor. Begitu juga majalah komik Umin & Ipin, Boiboiboy dan The Amazing Awang Khenit, walaupun ada unsur humor ia adalah berdasarkan siri tv masing-masing dan terbit akibat populariti siri berkenaan di televisyen.

Penamatan majalah Ujang disambut dengan perasaan yang berbeza-beza oleh penggemar kartun tanah air. Ada yang kecewa dan ada yang gembira. Yang gembira ini adalah golongan yang menganggap majalah ini sepatutnya dikendalikan oleh 'Ujang' yang original iaitu saudara Ibrahim Anon. Akibat permasalahan dalaman Ujang telah 'tersingkir' dari majalah ini, diambil tindakan undang-undang dalam isu watak Din Beramboi sehingga diisyhtihar muflis oleh mahkamah. Tidak pasti sama ada beliau masih berstatus muflis atau tidak namun yang pasti tindakan berkenaan telah menjadikan beliau hidup menderita.

Ada khabar yang mengatakan barisan kartunis-kartunis otai majalah Ujang ini bersama Ujang itu sendiri akan bergabung kembali di dalam Gila-Gila. namun sehingga entry ini ditulis majalah Gila-Gila masih lagi dengan kartunis dan konsep lamanya. Tapi hamba percaya bahawa khabar ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Adalah sesuatu yang amat menerujakan sekiaranya ini terjadi sekaligus melihat perubahan wajah persembahan Gila-Gila itu sendiri.


Rabu, 14 Oktober 2015

PAHLAWAN ADNAN - Zailiani Taslim



Novel yang berdasarkan sejarah sepatutnya menarik memandangkan ia berdasarkan kisah yang pernah terjadi. Ia juga sepatutnya betul 100% dari segi jalan penceritaan - itu pendapat hamba. Tetapi itu tidak terjadi dalam beberapa buah novel berdasarkan sejarah yang pernah hamba baca. Kisah-kisah yang benar terjadi kadangkala bercampur dengan imaginasi penulis. Mungkin dalam kalangan penulis ianya dibolehkan, tetapi bagi hamba ia adalah satu kecacatan. Apabila ada suatu yang datangnya dari penulis sendiri, ia adalah satu fiksyen atau cereka, ia bukan lagi satu novel sejarah tetapi hanyalah sebuah kisah yang menggunakan sejarah sebagai latar peristiwanya.

Kisah Leftenan Adnan yang berjuang mempertahankan Bukit Chandu pada tanggal 14 Februari 1942 adalah merupakan kisah sejarah yang masyhur tentang pahlawan ini. Namun kisah-kisah beliau lebih banyak diketahui sewaktu beliau telah menjadi askar, lebih-lebih lagi peristiwa pertempuran berkenaan. Kisah selain dari itu tidak banyak fakta yang diperolehi. Itu cabaran yang dihadapi oleh produksi filem yang pernah memfilemkan kisah tokoh ini. Filem itu memang menarik dan pastinya ia bercampur juga sedikit fiksyen dan gambaran pengarah. Justeru untuk novel ini hamba juga berpandangan bahawa penulis terpaksa membuat gambarannya sendiri terutama tentang kisah Adnan semasa kanak-kanak. Dapat hamba rasakan perasaan itu lebih-lebih lagi apabila penulis mencoretkan bahawa Adnan masih lagi bermain permainan 'perang-perang' walaupun telah berada dalam tahun akhir pengajian sekolahnya. Hamba juga bermain permainan itu semasa zaman kanak-kanak tetapi tidak lagi memainkannya setelah memasuki alam sekolah menengah yang lebih dewasa.

Perjalanan novel ini terasa agak mendatar. Terasa seolah-olah membaca secara monolog. Ada juga perkara yang sering di ulang-ulang seperti kisah main perang-perang itu sehingga timbul sedikit rasa kebosanan. Dialog antara watak juga amat berkurangan. Sekali dua muncul dialog dan selepas itu cuma penceritaan ala monolog yang hamba sebutkan tadi. Sepatutnya kisah beliau di dalam tentera sehingga membawa kepada pertempuran terakhirnya dapat digarap dengan baik. Tetapi hamba tidak merasakan debaran itu. Hamba tidak dapat lari membandingkan novel ini dengan filemnya yang terbit lebih 15 tahun yang lalu yang memberikan aksi yang dapat dihayati penonton dengan baik. Penulis juga menggunakan beberapa patah perkataan loghat Negeri Sembilan atas dasar keluarga Adnan berketurunan Minang. Tapi hakikatnya loghat Nogori adalah berlainan sedikit dengan loghat Minang walaupun asal orang jati Negeri adalah dari Minangkabau. Perkataan 'eden' yang bermaksud saya adalah tidak kena apabila digunakan oleh seseorang ketika berbual dengan ibu bapa atau orang tua. Walaupun ada yang menggunakannya tetapi biasanya orang menggunakan perkataan 'ese' yang lebih lembut memandangkan eden lebih sesuai ketika berbual dengan rakan sebaya/rapat sahaja.

Isnin, 12 Oktober 2015

KEPUTUSAN PERADUAN FOTOGRAFI BLOG ALAM TERKEMBANG JADIKAN GURU

Alhamdulillah setelah seminggu hamba buka pertandingan ini maka tibalah pula hari untuk mengumumkan keputusannya. Tak banyak penyertaan yang hamba terima, hanya tujuh keping gambar sahaja (gambar-gambar penyertaan boleh di lihat di sini. Tak apalah, hadiah pun tak besar mana. Sekurang-kurangnya hamba cuba nak memberikan sesuatu kepada mereka yang selalu mengunjungi blog ini.

Memandangkan hanya tujuh sahaja pernyertaan yang diterima maka tidaklah sukar mana untuk hamba menentukan pemenangnya. Berdasarkan tema pertandingan 'alam dan fauna', tiga penyertaan terpaksa hamba tolak kerana tidak menepati tajuk. Mungkin peserta keliru dengan maksud fauna. Mudah cerita fauna bermaksud haiwan, justeru gamba adalah gandingan haiwan dan alam semulajadi. Manakala bagi baki tiga lagi penyertaan hamba nilaikan mengikut kreativiti gambar.

Sukacita hamba mengumumkan pemenang bagi pertandingan ini ialah Dr. Zulkifli Ishak aka Zul Baning. Pohon untuk e-melkan hamba alamat bagi penghantaran hadiah.

Terima kasih dan tahniah.



Sabtu, 10 Oktober 2015

AKU TAKKAN RELA DIPERHAMBAKAN - Shaari Isa



Satu yang menarik perhatian mengenai buku ini ia adalah berdasarkan kisah benar, berdasarkan pengalaman Encik Don bin Mat yang diceritakan pada ketika hidup. Ia bukannya seperti beberapa kisah benar lain yang diceritakan selepas kematian seseorang tokoh oleh orang-orang yang pernah rapat dengan mereka. Penceritaan secara terus oleh Encik Don kepada penulisnya Shaari Isa membolehkan kita mengetahui dengan lebih tepat tentang apa yang dikisahkan.

Pengalaman menjadi salah seorang buruh paksa landasan keretapi maut pada zaman Jepun merupakan satu pengalaman perit yang tidak ternilai harganya. Ia bukan sekadar perjuangan untuk mencari rezeki bahkan ia adalah perjuangan untuk hidup. Apatah lagi apabila tiba pada bab melarikan diri dari tahanan Jepun, ia adalah satu keberanian yang luar biasa. Ini kerana melarikan diri dari lokasi tahanan untuk pulang ke kampung halaman bukanlah satu jaminan untuk hidup, kadangkala melarikan diri juga terdedah kepada kematian sama ada oleh serangan Jepun sendiri ataupun kerana kebuluran.

Boleh dikatakan rata-rata rakyat Malaya pada zaman Jepun hidup dalam penderitaan. Encik Don yang bekerja sebagai buruh membuat jalan raya pada suatu hari telah diperdaya apabila beliau dan rakan-rakannya dibawa ke stesen keretapi Alor Star untuk menerima gaji. Sememangnya satu kepelikan apabila berada di Gurun perlu di bawa ke satu tempat yang jauh untuk menerima gaji, apatah lagi ia dibayar di tempat yang bukannya sebuah pejabat pembayaran upah.

Namun itulah harinya penderitaan beliau dan rakan-rakannya bermula. Dibawa dengan keretapi, berjalan kaki meredah hutan, melalui satu perjalanan yang panjang sehingga berhari-hari lamanya sehingga sampai ke tempat beliau akan 'bertugas'. Kebajikan pekerja amat diabaikan oleh Jepun. Para pekerja memakai pakaian yang sama semenjak mereka ditahan tanpa ditukar, makanan yang dimasak ala kadar tanpa mengambil kira aspek kebersihan beserta tempat kediaman yang begitu tidak selesa. Mana-mana pekerja yang sakit teruk ataupun mati akan ditinggalkan sahaja di dalam hutan untuk mengelakkan penyakit mereka berjangkit kepada yang lain atau dengan kata lain tiada lansung bantuan kesihatan disediakan.

Kerana tidak tahan dengan keadaan itu Encik Don bersama empat lagi orang sahabatnya telah berpakat untuk melarikan diri. Bukanlah suatu yang mudah untuk lari daripada kawalan Jepun. Kadangkala ketakutan mengatasi keberanian. Bermakna untuk melakukan hal ini mestilah betul-betul berani dan nekad. Akhirnya mereka berjaya melarikan diri dalam satu perjalanan menuju ke tempat kerja yang baharu setelah merancang sekian lama.

Perjalanan dari Thai menuju ke kampung halaman juga bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai penderitaan yang mereka alami sehingga pernah sahaja terfikir untuk menyerah diri kembali kepada Jepun. Mereka berjalan berhari-hari tanpa makanan. Mereka hidup dengan meminum apa sahaja sumber air yang dijumpai dalam perjalanan sama ada sungai, anak air, lopak dan sebagainya. Pernah juga dalam keadaan derita itu ada yang jatuh sakit. Mujurlah semangat setia kawan masih tinggi, walaupun masing-masing tidak berdaya tetap juga sama-sama sambil bergilir untuk memapah sahabat yang sakit. Hinggalah akhirnya mereka sampai ke sebuah kampung Thai barulah mereka merasai bantuan yang pertama.

Perjalanan selepas itu juga masih sukar kerana selepas kampung berkenaan dalam beberapa hari mereka tidak menemui sebarang kampung. Walaupun bertemu kampung, dalam hati mereka masih ada juga perasaan takut sekiranya ada penduduk yang menjadi talibarut Jepun. Mujurlah itu semua tidak berlaku.

Apabila kedudukan mereka semakin hampir ke sempadan Malaya barulah semakin banyak kampung yang mereka temui dan membolehkan mereka meminta bantuan. Semua kampung yang mereka singgah mereka mendapat bantuan yang sewajarnya daripada penduduk. Walaupun rata-ratanya orang Thai, mereka tetap sudi membantu termasuklah wat mereka. Sepucuk surat beserta tangkal yang diberikan oleh seorang sami siam memudahkan perjalanan mereka selepas itu apabila kampung yang disinggahi akan memberikan bantuan dengan menunjukkan surat tersebut.

Sehinggalah apabila tiba di Kedah apabila tiga daripada mereka (dua orang lagi memutuskan untuk tinggal di sebuah kampung yang mereka singgah) memutuskan untuk berpecah pulang ke kampung bagi mengelakkan ditahan Jepun. Encik Don memilih untuk pulang ke Gurun dengan keretapi. Walaupun bajunya amat daif dan compang camping, itu tidak merisaukan beliau memandangkan pada zaman itu penduduk lain juga begitu juga pakaiannya. Ini amat menginsafkan hamba. Derita benar pendudiuk tanah Melayu ketika itu akibat Jepun. Sudahlah mereka kejam, tiada pengimportan barangan pada tika itu menyebabkan Tanah Melayu ketiadaan  arangan makanan serta kain untuk dibuat pakaian. Hamba pernah mendengar cerita orang tua bahawa ada antara mereka yang membuat pakaian daripada kain guni beras.

Hinggalah sampai ke stesen keretapi Gurun apabila Encik Don terpaksa melalui kawalan Jepun lagi. Secara kebetulan beliau berjalan berhampiran seorang perempuan yang mengandung menyebabkan Jepun menyangka beliau merupakan suami kepada perempuan berkenaan. Walaupun telah pulang, Encik Don hanya bersembunyi di dalam rumah berbulan-bulan hinggalah apabila Jepun sudah mula kelihatan lemah di Tanah Melayu barulah beliau menzahirkan dirinya.

Hamba percaya keadaan sebenar pastinya lebih mengerikan berbanding dengan tulisan di dalam buku ini. Penulisan Shaari Isa tidak menampakkan sangat suasana ngeri ataupun saspen terutama di saat-saat melarikan diri. Buku ini sesuatu yang amat berfaedah untuk dibaca oleh anak bangsa. Kesenangan hidup kita pada hari ini adalah disebabkan pengorbanan oleh generasi dahulu yang ber\juang untuk kebebasan tanah air. Moga Allah memberikan ganjaran-Nya kepada semua pejuang tanah air.

Jumaat, 9 Oktober 2015

MAJLIS PERASMIAN HARI PENGELIHATAN SEDUNIA PERINGKAT KEBANGSAAN




Lama betul rasanya tak buat entry berbentuk photo journalism. Semua ini gara-gara kesibukan dengan tugas seharian. Walaupun ada bahan untuk disiarkan, kekangan masa untuk mengarang menyebabkan berita yang ingin disiarkan menjadi basi dan sudah tidak lagi relevan dengan masa. Kerana itulah walaupun pada asalnya blog ini ‘diniatkan’ untuk fotografi, namun akhirnya ia menjadi lebih kepada ulasan-ulasan buku yang dibaca.


Sebelum inipun telah beberapa kali hamba menghadiri majlis yang melibatkan Menteri atau Timbalan Menteri Kesihatan. Namun pada majlis-majlis yang lalu itu tidaklah hamba membawa DSLR hamba, sekadar kamera telefon ataupun kamera p&s sahaja. Tetapi memandangkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengelihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan semalam diadakan di Hospital Shah Alam yang serba baharu, maka hajat hamba adalah lebih untuk mengambil gambar di akwasan hospital itu sendiri. Bukannya apa pada waktu yang lain kamera adalah ‘barangan larangan’ di kawasan hospital. Lagipun ini pertama kali hamba ke hospital ini walaupun telah menjadi warga KKM semenjak 2011 ataupun warga kesihatan negeri Selangor semenjak Januari tahun lalu.

Betapa luasnya ruang lobi hospital.

Ada orang tertido nampak....

Hujan lebat, cuaca sejuk, mata berat....kroooh...

Hospital Shah Alam telahpun mula beroperasi secara tidak rasmi semenjak beberapa hari yang lalu. Memandangkan ia sebuah hospital yang baharu, maka untuk memulakan operasi secara full blast mungkin boleh mengakibatkan berlakunya terencat di mana-mana. Maka wajarlah ia bermula secara slow and steady terlebih dahulu agar perkhidmatan kesihatan yang diberikan dapat berjalan dengan lancer. Untuk makluman buat permulaan ini pesakit yang diterima adalah mereka yang dirujukkan daripada hospital atau klinik kesihatan yang lain. Mereka masih lagi belum menerima kes secara walk in. Mereka yang datang secara walk in  berkemungkinan akan dinasihatkan ke klinik kesihatan seksyen 7 yang terletak bersebelahan. Kes kecemasan juga hanya beroperasi pada waktu siang sahaja.



Bila burung tak mahu terbang, terpaksa la paksa burung keluar sangkar secara 'manual'

Maka acara petang semalam mungkin tidak berjalan seperti yang dirancang. Hujan turun dengan lebatnya dengan kilat sabung menyabung diikuti dentuman guruh. Segalanya bagaikan tidak menjadi. Tayangan montaj lansung tidak boleh dilancarkan, kerana hujan juga acara melepaskan belon dan burung dijalankan di bawah bumbung sahaja. Begitupun burung-burungnya tidak mahu keluar, mungkin kesejukan membuatkan mereka lebih selesa di sangkar hinggakan petugas terpaksa ‘mencekaunya’ seekor demi seekor dan menyerahkannya kepada para VVIP yang kemudiannya melepaskannya. Lawatan ke bas klinik mata bergerak juga dibatalkan memandangkan ia berada di kawasan lapang tidak berbumbung yang tidak membolehkan tetamu untuk merapat kerana hujan yang lebat.



Betul letih YB ni....



Hamba menghadapi sedikit masalah sebenarnya pada ketika permulaan majlis – bateri lampu denyar kamera hamba kehabisan! Hamba pula tidak membawa sebarang bateri tambahan. Mujurlah dalam majlis berkenaan hamba terlihat seorang sahabat yang turut sama menghayun kameranya. Malangnya beliau juga tiada bateri tambahan. Cuma kerana semangat sama-sama teman dalam fotografi, beliau mencabut lampu denyar daripada kameranya dan menyerahkan kepada hamba sementara beliau bergantung sepenuhnya secara manual dengan permainan ISO dan shutter. Terima kasih saudara Zakaria.


Berjalan pulang menuju ke kereta, mentari bersinar terang selepas hujan, amat indah sinarnya tanpa jerebu  yang menghalang. Moga sinar ini berterusan sampai bila-bila.

Ruang menunggu yang luas dan selesa.



Sekali tengok macam hotel pun ada...







Isnin, 5 Oktober 2015

PERADUAN FOTOGRAFI BLOG ALAM TERKEMBANG JADIKAN GURU




Ha ha, ini bukan cobaan. Ini betul-betul kejadian. Buat pertama kalinya blog ini 'test market' mengadakan satu peraduan fotografi berskala kecil. Almaklumlah blog hamba ni bukan ada penaja, dah lebih tiga tahun pasang iklan nuffnang pun tak cecah pun RM25 lagi. sebenarnya hamba ada dua tiket perlawanan bolasepak The Sultan Of Selangor Cup yang akan berlansung pada 24 Oktober ini di Stadium Shah Alam. Memandangkan barangnya dua keping, peminatnya ramai, maka hamba rasakan elok hamba buat satu pertandingan dengan pemenangnya akan menyapu bersih kedua-dua tiket tersebut. Perlu hamba nyatakan bahawa hamba bukannya mewakili penganjur pertandingan ini, hamba cuma ada dua tiket lebih dan berhasrat nak memberikannya kepada rakan-rakan pembaca blog ini dengan jalan pertandingan secara kecil-kecilan.

Syarat-syarat pertandingan adalah seperti berikut;_

TEMA : “ Alam dan Fauna”

TARIKH DAN MASA : Pertandingan bermula dari 5 Oktober hingga 11 Oktober 2015 (12.00 malam). Keputusan akan diumumkan pada 12 Oktober 2015, Insya Allah.

LOKASI : Lokasi yang dibenarkan adalah di Malaysia sahaja.

TERMA & SYARAT :
PENYERTAAN
1. Pertandingan ini dibuka kepada semua warganegara planet bumi.
2. Penyertaan adalah PERCUMA.

GAMBAR
1. Peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan memandangkan hadiah hanya satu sahaja, kah kah kah.
2. Semua gambar mesti dikemukakan dalam bentuk JPEG.
3. Tiada sebarang sentuhan digital menggunakan perisian komputer dibenarkan. (Ambil dan melkan terus!!)
4. Gambar terkini adalah digalakkan, walau bagaimanapun gambar yang diambil dalam tempoh setahun ke belakang dari tarikh 5 Oktober adalah dibenarkan.
5. Cetakan hardcopy tidak diperlukan.

HAK MILIK
1. Setiap gambar yang dikemukakan untuk pertandingan ini adalah kekal menjadi hakmilik tuan punya dengan tuan punya blog ini mempunyai hak untuk menggunakannya semula di dalam blog ini.

PENILAIAN
1. Gambar pertandingan ini akan dinilai berdasarkan pematuhan kepada tema, kreativiti dan aplikasi teknik fotografi yang terbaik.
2. Penyertaan yang tidak mematuhi syarat tidak akan dinilai.
3. Keputusan hakim iaitu hamba sendiri adalah muktamad. 
HADIAH
Dua keping tiket ke perlawanan bolasepak The Sultan Of Selangor Cup.
(Penganjur akan menghantar hadiah secara pos biasa. Penganjur tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan/kerosakan yang berlaku semasa penghantaran dilakukan.)

PENGHANTARAN PENYERTAAN

3. Penyertaan boleh diemailkan kepada mizharmazlan@gmail.com dengan menyertakan maklumat 
nama, alamat surat menyurat dan no telefon untuk dihubungi.


Penyertaan yang telah diterima setakat ini adalah seperti di bawah:-











PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...