Ahad, 30 April 2023

EJEN ALI THE MOVIE , MISI : NEO


 

Komik ini walaupun dibeli sewaktu ianya baru berada di pasaran beberapa tahun yang lalu, tetapi baru hari inilah hamba dapat membacanya. Lama jugalah ia tersadai di atas lantai di tepi katil hamba (hamba memang meletakkan sejumlah buku-buku berdekatan katil untuk dibaca).

Komik ini adalah 'sebijik' atau sama jalan ceritanya dengan tayangan filemnya di pawagam. Hanya ia dipersembahkan dalam bentuk bahan bercetak sahaja. Dalam permulaan komik, kisah Aliya dan Niki cuba mencuri sebuah jantung sintetik dan berhadapan dengan ejen-ejen M.A.T.A., , dipersembahkan dalam bentuk lukisan komik, berlainan dengan tayangan di dalam filem. Manakala untuk kisah selanjutnya ia adalah dalam bentuk gambar pegun imej filem dengan diberikan kotak-kotak dialog.

Sebenarnya persembahan komik awal adalah lebih berkesan berbanding dengan komik gambar pegun. Ini kerana komik awal sememangnya dilukis untuk persembahan kepada para pembaca. Sedangkan gambar pegun itu adalah filem untuk persembahan penonton. Justeru apabila ia dijadikan gambar pegun, walaupun diberikan dialog dan cuba disusun sepertiu sebuah komik, ianya agak sukar difahami lebih-lebih lagi jika kita tidak pernah menonton versi filemnya.

Ini kerana filem ini sememangnya direka untuk menjadi bahan tontonan. Untuk menjadikannya sebuah komik, peranan penceritaan bertulis dan kotak dialog amatlah penting untuk kefahaman pembaca. Namun sebagai pembaca, hamba tetap merasakan satu kejanggalan di dalam penceritaan bertulisnya.

Sewajarnya kisah ini, walaupun telah ditayangkan di pawagam, diberikan nafas baru dengan cara melukis semula komiknya. Tindakan mengambil imej pegun daripada filem sebenarnya adalah satu jalan mudah untuk menjual sebuah karya. Walaupun ia bukanlah  satu kesalahan, penghasilan satu komik yang baharu akan memberikan peluang kepada pelukis tempatan untuk menonjolkan bakat mereka di samping memberikan kepuasan kepada pembaca komik tegar!


KENITRA - takkan menyesal membacanya!


25 TAHUN PEMERINTAHAN DYMM DI ATAS TAKHTA KERAJAAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN (1960-1985) - Mohd. Yusoff Hashim


 

Buku ini hamba beli di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang beberapa bulan yang lalu. Hamba membuat lawatan tanpa perancangan apabila membawa anak hamba menduduki ujian kemasukan ke Kolej Sultan Alam Shah yang terletak berhampiran. Jadi sementara beliau bergelut dengan soalan ujian, hambapun menggunakan masa yang ada untuk melakukan aktiviti yang sebaiknya.

Buku di tangan hamba adalah cetakan pertama September tahun 1985. Ia tidak dapat menceritakan secara keseluruhan tentang pemerintaan baginda Sultan Abdul Aziz. Baginda memerintah Selangor selama 41 tahun dan mangkat pada 21 November 2001 sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-11. Ayahanda baginda, Sultan Hisamuddin Alam Shah juga mangkat sewaktu menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke - 2. Kemangkatan baginda dapat hamba ingati kerana pada tahun 2001 hamba bertugas di Jabatan Perdana Menteri, di mana pejabat Istana Negara adalah berada di bawah JPM. 

Buku bercetak kulit keras ini mengandungi kisah ringkas mengenai Almarhum Sultan Abdul Aziz. Turut dimuatkan adalah mengenai sejarah negeri Selangor dan kesultanannya. Riwayat ringkas beberapa orang pemerintah Selangor sebelum baginda juga turut dimuatkan. Selain daripada kisah mengenai almarhum tuanku, beberapa pandangan serta idea baginda untuk memajukan negeri, pesanan kepada rakyat dan juga penjawat awam turut dimuatkan. Banyak gambar-gambar yang boleh dikatakan ekslusif dimuatkan di dalam buku ini.

Satu bab yang amat penting yang menjadi bab terakhir di dalam buku ini adalah mengenai penubuhan Wilayah Persekutuan. Seperti yang kita maklum, Kuala Lumpur dahulu adalah berada di bawah kedaulatan negeri Selangor. Kuala Lumpur dipilih untuk menjadi sebuah wilayah khas di bawah kerajaan persekutuan disebabkan peranannya sebagai kawasan pemerintahan yang telah bermula sejak sekian lama. Sultan Selangor yang berpandangan jauh serta memikirkan tentang keutamaan negara telah memberikan keizinan agar Kuala Lumpur menjadi sebuah wilayah milik kerajaan persekutuan. Banyak perbincangan dan jawatankuasa yang telah dibentuk bagi merealisasikan perkara ini. Tidaklah mudah sebenarnya untuk terus melaksanakan hal ini. Kerajaan Selangor telah diberikan pampasan oleh kerajaan persekutuan dengan mengambilkira kerugian hasil negeri yang sepatutnya dapat dikutip, perpindahan jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri ke Shah Alam dan lain-lain perkara lagi. Kedudukan Sultan juga diambil kira dan diletakkan keutamaan baginda dalam majlis-majlis rasmi di Kuala Lumpur ditempat kedua selepas Yang di-Pertuan Agong.

Sejarah berulang semula apabila sultan yang sama kemudiannya menyerahkan kawasan Perang Besar kepada kerajaan persekutuan yang hari ini dikenali dengan nama Putrajaya. Hamba tidak pasti sekiranya ada buku yang datang kemudian yang memperihalkan riwayat baginda dengan lebih lengkap lagi. Buku ini sewajarnya dikemaskini semula bagi mencatatkan kisah baginda dengan lebih terperinci lagi terutamanya apa yang berlaku selepas tahun 1985 sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 2001.




Jumaat, 28 April 2023

ADAT MINANGKABAU POLA DAN TUJUAN HIDUP ORANG MINANG - Amir M.S.


 

Buku ini tidaklah hamba membelinya dari mana-mana kedai buku sama ada kedai fizikal mahupun di atas talian. Ia hamba beli di sebuah kedai makan Minang di Seremban bernama Restoran Bundo Kanduang. Ia adalah tempat makan yang menjadi pilihan ayah dan arwah omak hamba. Mungkin kerana hidangan Minang kena dengan selera kami orang Nismilan yang juga bersusur galur dari Tanah Minang sana. Memandangkan hamba ingin menjadikan buku-buku tentang Adat Perpatih sebagai satu koleksi dan bahan rujukan, maka buku ini hamba beli tanpa ragu-ragu.

Sebenarnya, walaupun orang di Nismilan dikatakan mengamalkan Adat Perpatih, adat yang kami amalkan tidaklah lagi seratus peratus sama dengan tempat asalnya. Sama ada pelaksanaannya telah luntur disebabkan kemodenan, atau ia juga boleh berubah disebabkan cara pemikiran moden serta peninggalan adat-adat yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Buku ini menerangkan secara ringkas tentang pengamalan adat ini di Ranah Minang sendiri. Antaranya ialah mengenai adat sopan santun, sistem kekerabatan, nagari, suku, penghulu, tingkatan adat, pola pemikiran, peneraan adat,sistem pusaka, sifat-sifat orang Minang, ciri masyarakat Minang dan yang paling penting iaitu adat ini menentapkan bahawa ia adalah bersendi syara' dan syara' bersendi KitabulLah.

Dalam bab-bab akhir penulis memasukkan beberapa tulisan beliau yang pernah tersiar di beberapa majalah tentang adat. Antaranya ialah tentang sejarah Alam Minangkabau, rang sumando gadang malendo, penghulu andiko, perkahwinan adat Minang, malakok, ciri orang Minang dan lain-lain lagi.

Di dalam tulisan beliau di dalam artikel-artikel ini, beliau turun menyatakan kerisauannya tentang pengamalan adat ini di rantau Minang sendiri yang kelihatan mulai terhakis terutamanya disebabkan oleh kemodenan hidup. Antaranya ialah tentang pewarisan pusaka yang tidak selari dengan undang-undang tanah, anak-anak yang tidak lagi mengetahui tentang fungsi mamak dalam keluarga sehingga mereka dipanggil dengan panggilan pakcik atau oom - satu yang tidak dapat diterima serta dilihat sebagai tidak tahu adat. Juga beberapa isu lain seperti perkahwinan orang Minang dengan non-Minang yang akan memberikan impak tentang taraf Minang anak-anak mereka.

Hamba mengambil masa yang agak lama untuk mengkhatamkan buku ini. Tulisannya agak berat bagi hamba yang baru mula nak memahami adat ini daripada perspektif negeri asalnya. Banyak perbilangan adat yang dimasukkan di dalam setiap bab dan menggunakan bahasa Minang sendiri. Mujurlah cetakan yang hamba baca ini (cetakan kelima) sudah mempunyai 'terjemahan' di dalam bahasa Indonesia. Namun hamba akui walaupun sudah diterjemahkan, terdapat juga beberapa perkataan di dalam bahasa Indonesia yang tidak hamba fahami.

Hamba sebenarnya sudah mempunyai beberpa buah buku lagi berkenaan Adat Perpatih ini. Hanya masa sahaja yang diperlukan untuk menyudahkan pembacaan kesemuanya.


KENITRA adalah berkenaan anak Minang
di rantauan. Orang Minang di Indonesia
silalah mendapatkannya!


Rabu, 19 April 2023

MALAYSIA BEST RECORDS 8th EDITION


 

Merosot betul aktiviti pembacaan buku bulan posa tahun ni. Buku yang dibaca macam tak bertemu hujungnya. Buku yang inipun amat siksa rasa nak membacanya walaupun ia dipersembahkan dalam keadaan menarik dan penuh warna warni. Mungkin juga kerana buku ini adalah catatan rekod yang telah agak lama iaitu sehingga tahun 2012 sahaja yang menyebabkan mood pembacaan bagaikan tak menjadi.

Agak banyak rekod yang telah dicatatkan oleh rakyat Malaysia di dalam buku ini. Namun hamba percaya kebanyakan rekod di dalam keluaran ini telah dipadamkan oleh pencapaian yang lebih baharu. Walaupun kesemuanya rekod yang boleh dibanggakan terutama oleh pelakunya, terus terang kadangkala hamba bosan juga membaca rekod jenis 'tertinggi, terendah, terbesar, terkecil' dan lain-lain. Cerita bab replika naga terbesar, terkecil sahaja dah ada tiga empat pencapaian. Syarikat pertama yang dapat ISO pun boleh masuk sekali.

Tak larat nak menulis.........posa......



Kalau diikut cara buku di atas, KENITRA
adalah 'buku pertama' tentang anak Malaysia
di Kenitra!


NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...