Ahad, 29 Jun 2014

BERFIKIR GAYA AL FATEH - Muhammad Syaari Abdul Rahman




Biasanya seseorang pengkaji menulis mengenai gaya ataupun corak pemikiran seseorang tokoh itu melalui kajian terhadap tulisan tokoh berkenaan. Justeru untuk menulis mengenai gaya pemikiran pemimpin agung ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan beliau tidak menulis sebarang kitab kecuali beberapa bait-bait syair. Kesukaran ini turut diakui oleh penulis buku ini.

Sultan Muhammad Al Fateh merupakan salah seorang pemimpin Islam agung dalam sejarah. Kejayaan beliau membuka Kostantinopel telah membenarkan hadith Nabi Muhammad s.a.w. mengenai pembukaan kota tersebut oleh kaum Muslimin sekaligus menjadikan beliau sebaik-baik raja dan tenteranya sebaik-baik tentera. Hamba bersetuju dengan pandangan penulis bahawa kejayaan Sultan Muhammad tersebut bukan semata-mata dirinya sahaja bahkan kejayaan beliau sebenarnya juga adalah hasil daripada pejuang-pejuang Islam dahulu yang telah juga cuba untuk membuka kota berkenaan sekaligus membuka lorong kepada Sultan Muhammad untuk merealisasikan sabda Nabi tersebut.

Sebagai seorang motivator, penulis cuba membaca pemikiran pemimpin agung ini dari sudut seorang motivator, melalui ilmu pengetahuan yang beliau ada melalui kursus-kursus NLP, 7 Habit serta pembacaan lain. Hamba berpandangan bahawa itu adalah tidak cukup kerana semua yang beliau bawakan telah pernah hamba temui melalui pembacaan di dalam buku-buku motivasi. Untuk mengkaji pemikiran Sultan agung ini kita perlu juga menjadi seorang strategis terutamanya dalam ilmu peperangan. Dan inilah kekurangan besar dalam buku ini. Pandangan seorang strategis ilmu peperangan tentunya berbeza dengan seorang motivator.

Kerana itu kadang-kadang hamba berasa kosong membaca buku ini. Bukanlah bermakna buku ini tidak memberikan manfaat. Maksud hamba kekosongan itu adalah kerana hamba tidak begitu nampak pemikiran Sultan Muhammad Al Fateh yang ingin ditonjolkan. Lalu keesokan hari selepas membaca buku ini hamba seolah mendapat jawapannya dari tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya Menalar Makna Diri. Kata beliau:-

"Betapa kriktikalnya masyarakat kita ialah, kerana kepakaran pemasaran, sebuah buku 'bodoh' pun boleh dijual ratusan ribu naskhah. Dan, kerana imej serta ketepatan teknik, manusia mengerumuni apa yang sebenarnya tidak menawarkan mereka solusi.

Saya menyebutnya begitu sebab penerbit buku sendiri yang menggunakan istilah berkenaan, menjelaskan kepada saya betapa mengarutnya buku yang beliau terbitkan. Tetapi dek kena dengan trend masyarakat, ia terjual sebagai best seller yang hebat.

Melihat dari jarak luar sedikit, sejujurnya saya rasa rakyat Malaysia seperti dirasuk. Bagai Zombie.

Sangat mudah dimanipulasi. Dan ramai yang memanipulasi. Sebahagiannya bukan dengan niat yang tidak baik, tetapi melakukannya secara tidak sedar. Mengukur kualiti pada penerimaan dan populariti, sedangkan populariti agama semakin seiringan dengan populariti maksiat serta kemusnahan jati diri"

Buku ini tidaklah bodoh cuma tidak sampai ke matlamatnya. Hamba rasa buku ini hanya perlu ditukarkan sahaja tajuknya....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...