Ahad, 14 Mac 2021

UJANG & APO BUMPER NEW-STALGIA PKP 2021


Kemunculan wabak covid dan pelaksanaan PKP di serata negara sesungguhnya telah mendatangkan pelbagai ilham kepada kartunis tanahair untuk melahirkan karya-karya jenaka dan sinis. Karya-karya mereka ini banyak yang dimuat naik di laman-laman sosial mereka atau di group-group berkaitan kartun. Bagi menghargai khidmat dan jasa barisan hadapan, majalah Ujang & APO? kali ini tampil dengan tema khas terbaru tentang PKP.

Gambar kulit oleh kartunis Oren memaparkan watak-watak kartun yang popular dalam majalah ini memberikan tanda jempol (thumbs up) kepada barisan hadapan negara yang diketuai oleh YAB PM dan Tan Sri KPK. Hamba lihat dalam keluaran bumper kali ini ia lebih banyak diisi dengan kartun-kartun yang baharu berbanding kartun yang lama. Kesemua kartun serta penulisan yang baru benar-benar mengikut tema yang diberikan.

Kita mengetahu bahawa kartunis Petai telahpun kembali ke RahmatulLah pada 4 Februari baru-baru ini. Sekiranya pihak penerbit tidak lagi mempunyai sebarang stok kartun baharu daripada Petai, maka lukisan beliau yang tersiar kali ini adalah benar-benar sumbangan beliau yang terakhir. Komik beliau yang bertajuk Aku, Dia & Pandemik adalah kisah kesusahan yang beliau alami sewaktu PKP. Setelah penerbitan majalah dan komik banyak ditutup, Petai antara kartunis yang terpaksa menerima realiti pahit tersebut. Bagi kelansungan kehidupan, beliau telah berniaga makanan secara food truck. Akibat PKP, perniagaan beliau terjejas dan sekaligus mengganggu jiwanya. Sewaktu kerajaan memberikan sedikit kelonggarana beliau mula berniaga kembali dengan menjalankan penghantaran makanan. Dalam tempoh itu beliau telah kemalangan motosikal sebanyak tiga kali. Kartun Petai kali ini membangkitkan kesayuan, seolah beliau tahu bahawa beliau akan meninggalkan kita. Ia turut memaparkan bagaimana beliau banyak berserah kepada Allah dalam menghadapi ujian tersebut. Petai turut memberikan ucapan penghargaan kepada ramai pihak yang memberikan bantuan semasa beliau berada dalam tempoh kesusahan.

Buat pertama kalinya juga majalah ini meletakkan beberapa iklan kempen oleh kerajaan yang memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai bahayanya penyakit Covid-19. Sebagai tanda sama-sama menyokong usaha kerajaan, setiap RM1 daripada pembelian majalah ini akan disumbangkan ke Tabung Covid-19. Justeru bagi menghargai para pembaca yang membeli naskhah ini, pihak penerbitan telah memberikan sekeping kad istimewa sebagai apresiasi dan dipenuhi dengan autograf para kartunis.

Kita sama-sama berdoa agar negara kita kembali pulih dan kita dapat hidup semula seperti sediakala.


Gambar-gambar diambil daripada Bekazon.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HAIWAN AJAIB DAN TEMPAT DITEMUI - J.K. Rowling

Buku ini merupakan terjemahan bahasa Melayu kepada Fantastic Beasts And Where To Find Them . Ia adalah merupakan skrip asal kepada sebuah fi...