Isnin, 26 Julai 2021

PAHLAWAN RIMBA MALAYA DAN KORBAN KESUCIANNYA - Keris Mas


 

Novel ini dikeluarkan dalam Edisi Malaysia Membaca di mana harga jualannya agak murah berbanding biasa, demi menggalakkan masyarakat Malaysia membaca. Dalam Edisi Malaysia Membaca ini telah diterbitkan semula karya-karya terbaik para Sasterawan Negara. Seharusnya masyarakat mengambil peluang untuk menambah koleksi bacaan lantaran harga yang berbaloi ini tanpa sedikitpun  mengurangkan mutu percetakan.

Novel ini memuatkan dua karya terawal Sasterawan Negara Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaludin Muhamad. Lantaran kedua karya ini nipis sahaja, ia disatukan dalam sebuah buku. Justeru kita beruntung kerana dapat membaca dua karya dalam satu buku. Hamba memilih untuk mendapatkan novel ini setelah membaca fragmennya di dalam buku Koleksi Terpilih Sasterwasan Negara Keris Mas. Fragmen Pahlawan Rimba Malaya telah menarik minat hamba ketika itu kerana terasa seperti membaca sebuah kisah penyiasatan.

Kedua-dua novel ini ditulis sekitar tahun 40an sekaligus menggunakan latar masa zaman berkenaan. Pahlawan Rimba Malaysia lebih khusus lagi menggunakan latar masa zaman pendudukan Jepun. Pada permulaan buku ini penerbit telah memuatkan satu petikan daripada '30 tahun Sekitar Sastera: Memoir Keris Mas', yang menceritakan sedikit sebanyak tentang pembikinan novel Pahlawan Rimba Malaya. Novel berkenaan asalnya ditulis sebanyak 150 halaman namun akhirnya tinggal 59 halaman sahaja. Pelbagai sebab yang menyebabkan novel berkenaan menjadi pendek seolah-olah satu sinopsis atau tinggal patinya sahaja. Antaranya ialah alasan penerbit bahawa mereka kekurangan kertas. Ketika itu negara baru sahaja terlepas daripada cengkaman Jepun dan sememangnya peralatan untuk mencetak, kertas serta dakwat mengalami kekangan ketika itu. Novel berkenaan asalnya mahu diterbitkan di Singapura tetapi tiada syarikat yang sanggup disebabkan kekangan yang disebukan tadi. Akhirnya ia dibawa pula ke Kota Bharu. Walaupun pada asalnya ia nampak seperti berjalan lancar tetapi penerbitan di sana juga mengalami masalah yang hampir serupa. Selain itu Keris Mas turut dinasihatkan oleh seorang sahabatnya yang rapat dengan pihak berkuasa agar memotong bahagian novel berkenaan yang mengandungi kisah tentang perjuangan yang memberansangkan semangat politik anti penjajahan. Selepas daripada nasihat kawan berkenaanlah tiba-tiba pihak pencetak mengatakan bahawa mereka kekurangan kertas. Agak malang kerana manuskrip asal novel berkenaan telah hilang daripada simpanan Keris Mas. Jika tidak pastinya penerbit hari ini boleh mengulang cetak versi penuh novel berkenaan.

Memang agak terasa akan betapa ringkasnya perjalanan cerita Pahlawan Rimba Malaya. Walaupun telah diringkaskan, Keris Mas sebenarnya masih berjaya untuk mengekalkan mutu penulisan yang baik. Ia adalah sebuah kisah masyarakat kita di zaman pendudukan Jepun di mana ada pejuang kita yang berjuang secara bawah tanah demi mengusir mereka dari Tanah Melayu. Dalam usaha membebaskan tanah air ini, Keris Mas turut memasukkan unsur kerjasama berbilang kaum dalam usaha menentang Jepun ini. Sesunggguhnya kehilangan manuskrip asal novel ini adalah sesuatu yang merugikan dunia sastera tanah air.

Korban Kesuciannya adalah kisah para pemuda dan pemudi bangsa yang cuba membawa perubahan dalam masyarakat demi memajukan pemikiran dan cara hidup mereka. Empat watak utamanya iaitu Aini, Aminah, Asri dan Busu merupakan pemuda dan pemudi yang mempunyai wawasan yang tersendiri. Namun kesemua mereka akhirnya 'gagal' disebabkan oleh keadaan masyarakat ketika itu yang belum terlalu boleh menerima pembaharuan. Ini diburukkan lagi unsur fitnah sehingga secara perlahan-lahan mendatangkan kesan besar kepada empat watak tersebut. Dan sekiranya diteliti dengan mendalam, walaupun kisahnya berlatarkan tahun 40an, kisah yang serupa sebenarnya masih lagi menjadi duri dalam daging masyarakat kita.

Kedua-dua kisah ini baik untuk dibaca bagi kita menyelami dan merasai cara pemikiran, suasana dan keadaan pada zaman tersebut, zaman di mana Tanah Melayu masih lagi belum merdeka!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...