Selasa, 22 Mei 2018

BANJA MANGGALA - Ramlee Awang Murshid



Banja Manggala adalah satu lafaz yang digunakan oleh penulis merujuk kepada satu watak yang dinamakan Kar. Pada mulanya Banja Manggala dianggap gelaran buat Vuk, manusia yang boleh berubah menjadi serigala serta pengamal ilmu hitam. Banja Manggala menjadi satu mitos yang menakutkan penduduk persekitaran. Itu yang boleh hamba fahami akan maksud perkataan ini secara ringkas berdasarkan novel ini. Walaupun watak-watak orang Balkan menyebut makhluk berkenaan sebagai Banja Manggala, perkataan berkenaan bukanlah bahasa Bosnia sepenuhnya. Walaupun ada perkataan Banja dalam bahasa Bosnia, ia tentunya tidak kena kalau hendak dipadankan dengan watak berkenaan. Perkataan Manggala mungkin digunakan Ramlee sebagai kependekan daripada manusia serigala, yang jelas bukan satu perkataan Bosnia juga. Perkataan manggala ada dalam bahasa Indonesia yang membawa kepada beberapa pengertian seperti 1 pengantar puji-pujian; 2 pengantar bagi seorang penulis dalam permulaan atau akhir karangannya; 3 anak sulung; 4pelindung (rohani); pemimpin; panglima; 5 penatar tingkat tinggi. Namun hamba fahami seorang penulis akan mencari tajuk yang menarik untuk novelnya sebagai tarikan kepada pembaca.

Kisah dalam novel ini bolehlah dianggap sebagai kacukan kisah-kisah filem tentang werewolf, jumper, stargate dan sebagainya. Ramlee masih mengekalkan unsur magis seperti novel-novelnya yang terdahulu. Unsur-unsur melangkaui akal manusia ini mungkin menarik untuk dibaca tetapi apabila kerap sangat digunakan dalam novel-novel penulis, rasa magis ini semakin terasa kekarutannya. Untuk mengimbangi hal ini Ramlee menjadikan watak utamanya (seperti juga novel-novel lalu) sebagai seorang lelaki yang kelihatan soleh serta taat kepada suruhan agama. Sejujurnya hamba merindui corak penulisan Ramlee pada novel-novel awal beliau yang walaupun ada juga unsur magis dan khayal, ianya tidaklah terlalu ketara. 

Seperti biasa novel Ramlee adalah berunsur kebaikan menentang kejahatan. Amar yang merupakan seorang armel (raja serigala) menentang Vuk, seorang manusia pengamal ilmu hitam yang boleh berubah menjadi serigala jadian. Tanpa disedari, satu lagi watak iatu Kar yang pada awalnya kelihatan baik, bahkan diberikan gelaran puteri salji pula adalah antagonis sebenar yang mesti ditentang oleh Amar. Penggunaan perkataan armel yang membawa maksud raja serigala oleh Ramlee hanya mengingatkan hamba kepada watak Ayda Jebat dalam novel/drama adaptasi Rindu Awak 200%. Adakah itu perkataan Bosnia Ramlee? Walaupun bergelar raja serigala, Amar tidak boleh bertukar menjadi werewolf tetapi boleh menghantar 'salinan' dirinya dalam bentuk roh dan jasad ke tempat lain menggunakan kaedah mimpi. Ternyata kuasa Amar lebih hebat daripada para wali.

Selain daripada perkara pokok seperti di atas, Ramlee turut membawa beberapa isu lain seperti penderitaan mangsa-mangsa pasca peperangan seperti kehilangan orang atau keluarga yang tersayang. Selain daripada watak Amar, hal ini jelas kelihatan pada watak Lamija dan Hasanovic. Juga isu keluarga seperti ibu bapa yang mahu anaknya menikahi anak angkat mereka. Dan seperti klise drama Melayu jam 7 petang, ia akan bermula dengan tentangan watak perempuan dengan alasan mereka telah lama hidup seperti adik beradik dan agak mustahil untuk menerima orang yang telah dianggap sebagai abang kandung sebagai suami. Namun kemudiannya watak berkenaan akan cair dengan sendiri apabila terjadinya sesuatu peristiwa yang besar. Dalam hal ini watak Rania berjaya diselamatkan Amar daripada dijual kepada sindiket pelacuran.

Ramlee turut mengambil kesempatan dengan menggambarkan beberapa watak yang dipercayai sebagai keturunan Serb sebagai jahat. Ia tergambar dalam watak Mark, Sihac dan Rotok. Mereka merupakan penjahat yang menipu para pelancong serta melakukan rompakan ke atas mereka. Mereka bahkan bertindak melampau apabila cuba menjual Rania dan Haslinda kepada sindiket pelacuran di Croatia.

Hamba amat tertarik kepada seorang pegawai polis pertengahan usia yang bernama Hasanovic. Watak beliau amat sederhana. Digambarkan sebagai seorang polis yang hebat, hidup bersendirian setelah kesemua ahli keluarganya dibunuh dalam peperangan. Hasanovic digambarkan sebagai seorang yang amat dedikasi dalam tugasannya. Beliau cuba untuk menyelesaikan kes pembunuhan yang berlaku di wilayahnya- Travnik, walaupun akhirnya terpaksa melangkau ke Banja Luka.

Secara keseluruhan novel ini bolehlah dibaca untuk mengisi masa santai anda. Akan datang novel Anding Ayangan no. 2 akan keluar pula. Terlalu lambat dikeluarkan hinggakan kisah Anding Ayangan yang lalu itupun kian pudar dari ingatan. Untuk membacanya semula.....mungkin tidak.

2 ulasan:

  1. disebabkan post ni... saya baru jek beli novel ni utk bacaan sebelom tido.. trima kasih atas ulasan yg baik

    BalasPadam

AKU, KAU & BOLA - LIGA SUPER

  Komik ini tebal sungguh dan amat berpuas hati membacanya. Segala-galanya adalah kissah yang berkaitan dengan bola sepak. Walaupun mengguna...