Sabtu, 6 Januari 2024

MERDEKA DARI HATI - A.Fuadi


 

Selamat tahun baru 2024. AlhamdulilLah, blog ini sudah menjangkau 12 tahun usianya. Apatah lagi masa kini penulisan blog oleg para bloggers tidak serancak belasan tahun dahulu, dan blog ini juga lebih banyak membicarakan tentang buku - satu perkara yang tidak ramai peminatnya masa kini, tetapi masih mampu hamba teruskannya walaupun tugasan harian di kantor semakin menghambat waktu pembacaan, Semoga perkara kecil yang hamba lakukan ini akan ada manfaatnya buat para pembaca dan pencinta buku. Sekurang-kurangnya memberi sedikit imbasan tentang buku yang mahu mereka beli.

A. Fuadi antara penulis dari Indonesia yang hamba minati. Penulis yang hamba mula kenali lewat novelnya Negeri 5 Menara ini merupakan seorang penulis yang bertaraf antarabangsa. Bukunya pernah menjadi salah satu buku wajib di dua mata kuliah di University of California. Justeru melihat novel ini di rak buku pempamer Indonesia sewaktu SIBF 2024, terus terasa ingin memilikinya. Jika sebelum ini hamba membaca novel-novel beliau yang sudah diubahsuai ke bahasa Melayu Malaysia (kecuali novel Rantau 1 Muara), Merdeka Dari Hati adalah dalam tulisan asalnya dalam bahasa Melayu Indonesia.

Novel ini adalah mengenai seorang tokoh bernama Lafran Pane yang diiktirah sebagai salah seorang Pahlawan Nasional di Indonesia. Hamba tidak kenal dengan nama Lafran Pane dan hamba amat yakin kebanyakan rakyat negara ini juga tidak kenal dengan nama ini. Dan nama ini walaupun dikenali di Indonesia, lewat novel ini dapat hamba mengerti bahawa pemilik nama ini juga bukanlah seorang yang mahukan namanya dikenali. 

Lafran Pane adalah seorang tokoh yang telah mengasaskan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) di Indonesia semenjak sebelum Indonesia merdeka lagi. HMI masih lagi hidup hingga ke hari ini. Walaupun HMI merupakan idea asal beliau, beliau sering menolak untuk dinamakan sebagai pengasas pertubuhan tersebut. Beliau lebih selesa dianggap salah seorang pengasasnya sahaja. Beliau berpandangan bahawa tanpa rakan-rakan perjuangan pastinya HMI tidak akan berjaya.

Beliau juga amat mementingkan HMI berbanding dirinya sendiri. Apabila beliau melihat ada tokoh lain yang beliau rasakan boleh membawa HMI ke peringkat yang lebih luas, beliautanpa ragu berundur daripada jawatan ketua dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada orang lain. Pengorbanan beliau ternyata membuahkan hasil. Begitulah beliau dalam kejadian-kejadian seterusnya, banyak menolak pangkat dan kedudukan kerana merasakan ada orang lain yang lebih layak.

Kehidupan beliau di masa kecil bukanlah berada di atas dulang emas. Kehilangan ibu semenjak kecil dan dijaga oleh nendanya membuatkan beliau berasa kurang kasih sayang. Apatah lagi bapanya tinggal di daerah lain bersama isteri baharunya.

Beliau hidup lasak, selalu berada di jalan dengan kawan-kawannya, pernah menjadi ahli tinju, menjual es lilin (aiskrim dalam plastik yang ditempat kita dipanggil aiskrim Malaysia) dan sering ponteng sekolah. Namun walaupun beliau sering ponteng sekolah, beliau bukannya bodoh bahkan amat cerdik. Beliau mengingati apa yang telah dipelajarinya, beliau mempunyai ingatan fotografik!

Membaca kisah awal beliau pastinya kita merasakan bahawa beliau tidak akan berjaya. Namun kesusahan kehidupan zaman itu - melalui keperitan zaman Belanda dan Jepun, perjuangan untuk memerdekakan negara, menjadikan beliau semakin matang dan berasa mempunyai satu tanggungjawab. Perlahan-lahan beliau membentuk dirinya sebagai pemimpin dan mahu mengajak sama orang lain untuk sama memerdekakan diri serta memajukan bangsa dan agama.

Kisah beliau ini berlansung dari kecil sehinggalah beliau meninggal dunia, diolah dengan baik oleh A. Fuadi dengan cara perbualan antara Lafran dengan anaknya Iqbal. Cara penulisan A. Fuadi amat baik sekali seolah hamba merasakan sedang menonton wwayang gambar dengan Lafran sendiri sedang bercerita.

Lafran menanggil ibunya dengan perkataan 'omak' satu perkataan yang membuatkan hati hamba tersentuh kerana hamba memanggil arwah ibu hamba juga dengan panggilan yang sama. Kisa kematian isteri beliau, Dewi, yang sakit kerana kanser juga membuatkan hamba terkenang kepada omak hamba. Bahkan rasa sedih Lafran serta keadaan beliau setelah kematian isterinya pula telah mengingatkan hamba kepada ayah hamba sendiri setelah kematian omak hamba. Justeru membaca kisah Lafran ini membuatkan hamba seolah merasakan hamba sedang membaca kisah diri sendiri dalam versi dan zaman yang berbeza.

Lafran bukan sahaja seorang yang tidak mementingkan pangkat, bahkan tidak hirau dengan harta benda serta tidak mahu mengambil yang bukan haknya. Beliau tidak mahu anaknya mendapat biasiswa kerana merasakan beliau mampu sedangkan hakikatnya gaji beliau tidaklah besar mana. Beliau menolak menggunakan kereta jabatan sewaktu anaknya bergraduasi. Pak Lafran hanya menggunakan basikal sahaja sewaktu pergi bekerja. Pernah pelajar beliau 'mencuri' basikalnya kerana mahu membaiki basikal tersebut yang kelihatan amat uzur. Sewaktu menjadi anggota Dewan Perwakilan Agung, beliau mengagihkan gajinya kepada semua petugas DPA kerana merasakan kerja yang beliau lakukan pada awal kemasukannya tidak seberapa berbanding gaji yang diterima. Ahhh terlalu banyak sifdat rendah hati Pak Lafran ini kalau hendak dituliskan semula di sini.

Buku ini sesungguhnya amat baik untuk kita jadikan sebagai bahan bacaan lebih-lebih lagi jika kita berhasrat untuk menjadi seorang pemimpin. Hamba melihat sukar untuk mencari seseorang seperti pak Lafran hari ini yang amat mementingkan orang lain, memikirkan dosa pahala dalam pekerjaan, tidak mahu mengambil sesuatu yang bukan miliknya. Pak Lafran benart-benar seorang yang merdeka dari segi fikiran, pendirian dan tindakan beliau.

Adakah hamba sendiri sudah merdeka?


.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...