Jumaat, 26 Januari 2024

SKUAD TARING NUSA - Muhaymin Wahab


 

Pembelian Skuad Taring Nusa adalah satu bentuk sokongan hamba kepada penulisnya yang merupakan seorang sahabat dalam perkhidmatan. Kerana itu walaupun naskhah ini boleh dibeli di dalam talian, hamba memilih untuk membelinya sewaktu Selangor International Book Fair 2023 dan mendapatkan tandatangan penulisnya bersekali. 

Berbanding dengan novel yang membawakan tema asmara dan percintaan, novel berkonsepkan aksi pertempuran tidak terlalu banyak dihasilkan oleh penulis tanah air. Tidak diketahui sama ada kerana penulisan jenis ini tidak mendapat sambutan ramai ataupun tIdak ramai penulis yang mahir menulis novel yang bercorak sebegini. Tidak dinafikan bahawa tidaklah mudah untuk menulis novel yang banyak membawakan aksi perlawanan atau pertempuran. Sekiranya sesebuah kisah itu dipaparkan secara visual, penonton dengan mudah dapat menikmati setiap adegan yang dipaparkan. Berbanding dengan tulisan, penulis perlu menyusun setiap perkataannya dengan baik dan teratur agar segala yang diungkapkan dalam bentuk tulisan dapat diterjemahkan kepada visual oleh otak si pembaca. Kegagalan merencana tulisan dengan baik akan menyebabkan pembaca tersesat ataupun hanyut dalam pembacaan sekaligus tidak dapat menyampaikan mesej atau maksud yang hendak dibawa.

Skuad Taring Nusa hadir untuk mengisi kelompongan ini dengan menyajikan kehebatan perajurit tanah air yang bergerak dalam diam demi mempertahankan kedaulatan negara. Walaupun novel ini sekadar sebuah fiksyen, namun penulis telah menjadikan beberapa kejadian sebenar sebagai inspirasi penulisan. Tambahan pula pengalaman penulis yang pernah bertugas di Mindanao telah membantu perjalanan cerita novel ini yang banyak menggunakan wilayah Filipina tersebut sebagai latar tempat.

Hantu boleh diistilahkan sebagai makhluk alam ghaib. Begitulah juga dengan Skuad Taring Rusa yang berfungsi sebagai 'hantu', bergerak dan bertindak dalam diam tanpa dapat dikesan. Bermula dengan kejadian pengeboman Kedutaan Malaysia di Manila, skuad ini telah digerakkan dalam diam dalam satu misi demi menjaga maruah negara. 

Bermula dari awal novel lagi pembaca telah dihidangkan dengan adegan yang mendebarkan, pertempuran yang menggunakan pelbagai senjata berat, dari hutan membawa ke kampung sehinggalah ke tengah lebuh raya. Dan debaran ini berterusan sehinggalah ke penghujung cerita.

Namun di sebalik pelbagai aksi yang dipaparkan, penulis menyelitkan pelbagai mesej sepanjang penceritaan sehingga ke noktah akhir. Novel ini sendiri adalah mengenai semangat cintakan tanah air, semangat juang anak Malaysia yang tidak rela maruah negara diinjak-injak musuh. Kerana itu peristiwa pengeboman Kedutaan Malaysia di Manila sehingga mengorbankan banyak nyawa tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa sebarang pembelaan.

Namun usaha ini harus dilakukan dalam diam, ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak serak. Ia dilakukan dengan begitu rahsia sehingga dalam angkatan tentera sendiri hanya orang tertentu sahaja yang mengetahui perjalanan skuad ini. Bahkan ahli keluarga anggota skuad ini juga sama sekali tidak mengetahui akan kerja yang dilakukan mereka.

Wilayah Mindanao digambarkan sebagai sebuah wilayah yang bergolak. Pemandangan orang membawa senjata umpama suatu kebiasaan. Bunyi letusan peluru dan bom juga adalah nyanyian yang kerap kedengaran. Namun di antara mereka masih ada yang percaya bahawa senjata bukanlah penyelesai segala masalah. Ada yang percaya kemajuan anak bangsa boleh dicapai melalui pendidikan. Watak Fairus digambarkan sebagai seorang anak Kampung Kitango yang berpendidikan universiti, kembali semula ke kampung halaman menguruskan sebuah sekolah. Penulis mewujudkan elemen sedih apabila watak ini terkorban dalam satu pertempuran di mana beliau mempertahankan sekolahnya.

Semangat setiakawan tidak dapat dipisahkan dengan anggota keselamatan. Begitulah juga halnya dengan Skuad taring Nusa. Mereka saling melindungi antara satu sama lain. Mereka mahu hidup dan mati bersama. Seorang ketua berasa bertanggungjawab untuk melindungi anak buahnya dan memastikan mereka dapat pulang semula ke pangkuan keluarga. 

Penulis turut mewujudkan watak DSP Shazrin, seorang anggota polis yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Manila. Dalam peristiwa pengeboman tersebut anak dan isteri beliau telah terkorban. Demi membalas dendam kematian ahli keluarganya, beliau sanggup berusaha sendiri mengesan musuh yang bertanggungjawab melakukannya. Beliau kemudiannya bergabung dengan Skuad Taring Nusa dalam usaha tersebut. Agak dramatik apabila kemunculan beliau berlaku sewaktu Skuad taring Nusa berada dalam kebuntuan untuk melawan musuh.

Skuad Taring Nusa hadir bukan sahaja untuk memeriahkan arena buku tanah air, bahkan lebih daripada itu ia hadir sebagai pembakar semangat dan penghargaan buat perwira negara. Ia juga membawa satu mesej buat rakyat negara ini bahawa di saat mereka sedang ketawa gembira, berehat dan tidur di waktu malam, ada sebilangan perwira negara yang berada di mana-mana dengan mata terbuka bersiaga menjaga tanah air ini.

Skuad Taring Nusa - bravo zulu!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...