Sabtu, 3 Februari 2024

TEMASYA TINTA - A. Samad Ismail


 

Hamba amat menghargai usaha Penerbitan FIXI menerbitkan semula karya-karya lama seperti ini di bawah label FIXI Retro. Usaha ini membolehkan generasi hari ini menikmati semula karya-karya lama yang sukar untuk dicari hari ini. Lebih-lebih lagi jika karya itu milik karyawan tersohor seperti penulis buku ini sendiri.

A. Samad Ismail adalah seorang tokoh wartawan tanah air. Apa yang hamba tahu melalui tulisan yang pernah dibaca, tokoh berpengalaman ini amat tegas dan dikira garang orangnya. Kartunis Di-Raja Dato' Lat kadangkala melukis watak beliau dalam karyanya. Dalam novel grafiknya Mat Som juga ada watak beliau. Mungkin ini cara Lat menghargai bekas boss beliau di NST. Tak silap hamba dalam Filem Mat Som (berdasarkan kartun Lat tersebut), Tan Sri Samad turut muncul sebagai cameo memegang wataknya sendiri.

Buku ini agak tebal walaupun hanya memuatkan 11 cerpen sahaja. Ini kerana cerpen beliau rata-ratanya menjangkau sehingga melebihi 30 mukasurat. Walaupun pelbagai cerita yang ditampilkan, semua cerita ini berkisar kepada dunia orang surat khabar, tidak kira dia wartawan atau penulis atau sesiapa yang ada kaitannya dengan mereka. Maka sesuai amatlah kumpulan cerpen ini diberikan judul Temasya Tinta. 

Latar masa kisah-kisah di dalam Temasya Tinta hamba percaya berlaku sebelum perang Jepun, semasa dan selepas perang. Jadi apabila kita membacanya, fikiran dan imaginasi kita harus dibawa ke zaman lampau. Zaman orang masih lagi menulis dengan mesin taip, zaman tiada komputer dan internet, zaman wartawan bahkan hampir semua orang bergantung dengan kenderaan awam, zaman semua orang miskin dan menderita dan lain-lain lagi.

Kadang-kadang apabila membaca kisah-kisah ini hati kita akan bertanya, adakah semua kisah ini didasarkan kepada kisah benar atau semuanya hanya rekaan semata-mata. Walaupun ada yang berpandangan ada yang berdasarkan kisah sebenar, hanya Tan sri Samad sahaja yang mengetahuinya dan malangnya perkara ini telah dibawa bersemadi bersama jasadnya.

Mebacanya beberapa peristiwa yang berlaku kadangkala kita seperti sukjar hendak percaya, tetapi apabila mengenangkan ia berlaku di masa lalu, maka ia tidak mustahil pula. Contohnya pekerja media ketika itu ada yang kaki minum, tahi judi dan kaki perempuan. Dan ia pula menjadi satu hal yang biasa dalam kehidupan mereka dan seolah tidak kelihatan seperti sesuatu yang taboo. 

Ada juga yang kerana kesusahan kelansungan hidup menjual tubuhnya walaupun kerja sehariannya menulis mengenai wanita dan hak hak mereka. Pelbagai ragam mereka yang bertugas di akhbar ini. Semuanya Tan Sri Samad nukilkan dengan bahasa yang mudah tanpa penggunaan bahasa bombastik atau yang sukar difahami. Sememangnya inilah gaya penulisan wartawan yang sememangnya mahu pembaca mudah memahami tulisan mereka. Kerana itu hamba suka membaca tulisan Abdullah Hussein yang menulis dengan gaya sebegini.

Zaman-zaman ini adalah zaman perjuangan. Perjuangan para nasionalis untuk mendapatkan kebebasan bangsa. Ada kisah orang surat khabar yang dipenjara, ada orang surat khabar yang berjuang di sana sini. Tidak menghairankan kerana Pak Samad sendiri adalah seorang pejuang. 

Orang surat khabar tidak hidup mewah. Gaji mereka tidaklah besar. Pekerjanya juga kebanyakannya hanya mampu menyewa bilik kecil sahaja. Rata-rata tidak berkenderaan. Bekerja hingga ke malam bagi menyiapkan berita. Turut ditampilkan akan terdapatnya kumpulan yang menunggu berita di waktu malam terutamanya dari luar negara yang perlu dipilih dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Hamba tidak terlalu tertumpu kepada kisah kerja seorang wartawan ini. Hamba lebih tertumpu kepada penceritaan masyarakat pada era berkenaan. Ini adalah sejarah yang dirakamkan secara tidak lansung. Zaman berubah, perkara buruk masa lalu jangan diteruskan ke hari ini!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...