Sabtu, 3 Februari 2024

ENTAH LAH MAK - Lat


 

Di tingkat atas sekali, Bazar Tok Guru di bandar Kota Bharu, Kelantan, ada sebuah toko yang menjual buku-buku terpakai. Walaupun terpakai, bukan bermakna semua buku boleh diperolehi dengan harga yang murah. Mana-mana buku yang dikira nadir dijual dengan harga yang tinggi. Terdapat banyak buku yang menarik perhatian hamba di sana. Namun kerana hamba tahu jenis buku yang hamba minati itu bersifat langka, maka tidaklah hamba bertanya kerana hamba rasa bajet hamba tidak akan dapat memenuhi kehendak si penjual. Tetapi apabila melihat buku Lat ini hamba bagaikan berbolak balik sama ada ingin membelinya atau tidak.

Walaupun kulitnya telah buruk dan ada muka suratnya yang hampir tertanggal, hamba yakin buku ini pastinya tidak akan dijual di bawah RM10. Kandungannya juga tidak tebal sekadar 86 muka surat sahaja. Akhirnya hamba capai buku ini yang terletak di satu timbunan buku bersebelahan dinding dan bertanyakan harganya. Benar telahan hamba apabila penjual meletakkan harga lebih daripada RM30. Terus hamba tawarkan ke harga RM20. Walaupun wajahnya nampak keberatan, beliau akhirnya bersetuju dengan harga yang ditawarkan apabila hamba memujuknya sekali lagi.

Buku ini tidak menyatakan tahun cetakannya tetapi pemilik asal buku ini ada menurunkan tanda tangan beliau pada muka surat hadapan dan diberi tarikh 23/1/86. Walapun bertarikh tahun 1986, semua kisah yang dibawa Lat adalah berdasarkan peristiwa di awal 80an.

Kita tahu bahawa kartun Lat biasanya menjadikan sesuatu peristiwa sama ada yang berlaku di dalam atau luar negara sebagai bahan karyanya. Bagi generasi hari ini mungkin tidak dapat memahami beberapa peristiwa yang cuba disampaikan oleh Lat memandangkan akan lamanya peristiwa tersebut dan tidak pernah disebutkan lagi atau juga kerana teknologi yang sudah ditinggalkan.

Contohnya kartun yang menggambarkan sebuah kapal besar yang sedang menurunkan kargo besar bertulis Filem Indonesia. Dalam masa yang sama sebuah kota kecil bertulis Filem Malaysia dicampak keluar dari kapal tersebut. Ia adalah peristiwa di mana ketika itu terjadinya lambakan filem Indonesia di negara kita sedangkan dalam masa yang sama filem kita sukar masuk ke sana. Dan rasanya keadaan ini masih lagi berlaku di tahun 2024 ini.

Ada juga kartun yang memaparkan lima oranmg akanak-kanak yang dimarahi bapa mereka kerana memotong rambut ala mohawk. Ini kerana ketika itu jaguh badminton negara Misbun Sidek yang masih muda berambut sedemikian dan mewarnakannya.

Ada satu adegan sepasang suami isteri di mana suaminya seorang polis berpangkat koperal yang baru pulang kerja bercakap kepada isterinya, "Apa? Awak terlupa nak tep cerita Ali Baba Bujang Lapok Malam tadi?" Orang muda hari ini mungkin tidak memahami maksud 'tep' berkenaan. Tep merujuk kepada alat pemain video yang mempunyai kemudahan merakam filem di televisyen. Pemain video agak popular ketika itu dan banyak terdapat di kebanyakan rumah.

Penggunaan komputer baru sahaja nak bermula di awal 80an dan Lat mrakamkan kelucuannya dalam kartun beliau. Trdapat banyak lagi peristiwa yang diinspirasikan oleh Lat seperti penamaan kereta nasional pertama, skandal BMF, Persidangan PATA, penguasaan perniagaan oleh warga asing, debat UMNO PAS, birokrasi di jabatan kerajaan dan lain-lain lagi.

Di akhir buku ini Lat merakamkan kenangan beliau dalam bentuk kartun bersama para penuntut Malaysia di Amerika Syarikat pada tahun 1985.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...